Tuesday, 17 October 2017

Selamba tunggang ular 'gergasi'



Hanoi: Rakaman menggemparkan yang tular menunjukkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun selamba ‘menunggang’ ular sawa sepanjang enam meter ketika banjir di Vietnam.
Ular itu sebenarnya peliharaan keluarga kanak-kanak berkenaan di wilayah Thanh Hoa, utara Vietnam, dan dilaporkan dibawa keluar untuk membolehkan reptilia itu menikmati air banjir.
Banjir di Vietnam setakat ini meragut 72 nyawa dan menenggelamkan ribuan kediaman dalam pada negara itu kini bersedia berdepan Taufan Khanun yang dijangka membawa lebih banyak hujan mulai semalam.
Bagaimanapun, dalam rakaman video berkenaan, kanak-kanak bernama Truong jelas tidak mengendahkan air setinggi paras buku lali di kelilingnya, malah sebaik ular seberat 80 kilogram itu dibawa keluar dia terus melompat ke atas badannya dan menjerit kegembiraan.
Gambar dan video kejadian itu menjadi tular serta ramai yang mendakwa ia diubah suai. Bagaimanapun, keluarga Truong menegaskan ia bukan dibuat-buat.
Ibu saudara Truong, An Nguyen berkata: “Dia berusia tiga tahun dan ular itu seberat 80 kilogram. Kami membela sawa ini sejak empat tahun lalu dan ia sangat jinak.
“Disebabkan hari hujan dan air naik sedikit kami mengeluarkan ular itu untuk membolehkannya turut menikmati cuaca berkenaan.”

-Metro

Monday, 16 October 2017

Maut julur kepala


Santo Domingo, Republik Dominica: Seorang pelancong warga Russia maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya melanggar papan tanda jalan selepas dia menjulurkan badannya keluar tingkap kereta.
Natalia Borodina, 35, yang hanya memakai seluar dalam menjulurkan badannya ke luar tingkap kereta yang dipandu rakannya ketika bercuti di Punta Cana dekat sini.
Rakannya, Ivanna Boirachuk, 32, memandu kereta jenis Kia Picanto sambil merakamkan aksi Natalia menggunakan telefon bimbit.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 10 Oktober lalu tetapi video yang memaparkan kejadian ngeri itu tular di Internet kelmarin.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 11 tahun itu dipercayai bercuti di Republik Dominica bersama rakannya ketika kemalangan itu berlaku.
Dalam video berkenaan, Natalia yang dipercayai mabuk dan hanya memakai seluar dalam dilihat mengeluarkan kepalanya di luar tingkap kereta yang dipandu laju.
Dia kemudiannya menjulurkan sebahagian badannya dan secara tiba-tiba kepala wanita itu terkena papan tanda jalan.
Menurut media tempatan, Ivanna segera memandu ke hospital tetapi Natalia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, pihak berkuasa Republik Dominica dilaporkan menahan rakan mangsa selepas video kemalangan berkenaan tular di Internet.

-Metro

Friday, 13 October 2017

Aset orang kaya China RM11 trilion

GABUNGAN jumlah 2,130 orang terkaya China iaitu AS$2.6 trilion (RM11 trilion) menyamai jumlah KDNK negara kelima ekonomi terbesar dunia, United Kingdom.
Menurut Hurun Rich List, orang terkaya China ialah Pengerusi konglomerat pemaju hartanah Kumpulan Evergrande, Xu Jiayin, dengan aset berjumlah AS$43 bilion (RM181.6 bilion).
South China Morning Post melaporkan, Pengerusi Kumpulan Wanda, Wang Jianlin, yang mendahului senarai itu tahun lalu, kini berada di tangga kelima berikutan kejatuhan harga saham kumpulan itu menyebabkan asetnya merosot kepada AS$23 billion (RM97.1 bilion).
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tencent, Pony Ma Huateng, ditangga kedua dengan aset AS$37 bilion (RM156.2 bilion), mengatasi CEO Alibaba, Jack Ma (AS$30 bilion - RM126.7 bilion) di tangga ketiga.
Di tangga keempat ialah wanita terkaya China, Yang Huiyan, iaitu timbalan pengerusi dan pemegang saham terbesar pemaju hartanah Country Garden dengan aset AS$24 billion (RM101.3 bilion).
Antara individu lain dalam 10 teratas senarai itu, termasuk pengasas serta CEO Baidu, Robin Li, dan CEO NetEase, Ding Lei.
Menurut senarai itu, daripada 2,130 orang, 43 individu ialah dari Alibaba dan anak syarikatnya, Ant Financial, dengan aset sekitar AS$300 juta (RM1.3 bilion).

-Metro

Thursday, 12 October 2017

Salah walau isteri


New Delhi: Mahkamah tertinggi di sini semalam memutuskan hubungan seks dengan remaja bawah umur tetap diklasifikasikan sebagai rogol walaupun pasangan itu sudah berkahwin, sekali gus menutup kelemahan dalam undang-undang negara itu yang selama ini membolehkan pelaku terlepas daripada hukuman.
Usia sah berkahwin untuk remaja perempuan India adalah 18 tahun, namun ramai yang terpaksa berbuat demikian termasuk yang masih kanak-kanak, terutama yang tinggal di kawasan miskin.
Undang-undang rogol di negara itu tidak terpakai untuk pasangan yang sudah berkahwin seterusnya menyebabkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur - walaupun tanpa kerelaan mangsa - tidak diklasifikasikan pemerkosaan jika berlaku dalam perkahwinan.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung berkata, ia bertentangan dengan undang-undang India yang mementingkan faktor usia dalam pemberian izin bagi mengadakan seks.
Susulan itu, mahkamah memutuskan pada masa depan polis perlu mendakwa kes rogol dalam perkahwinan jika mangsa berusia 18 tahun ke bawah serta membuat laporan dalam tempoh setahun selepas kejadian.
Vikram Srivastava, peguam yang memfailkan petisyen mengenai isu itu di mahkamah, mengalu-alukan keputusan berkenaan yang dianggap mampu memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa perkahwinan.
“Perkahwinan kanak-kanak dilarang di negara ini, tetapi kita semua tahu ramai yang dikahwinkan sebelum berusia 18 tahun,” katanya.
Kebanyakan ibu bapa di India mengahwinkan anak mereka dengan harapan dapat meningkatkan taraf hidup dan mengelak mendapat malu jika berlaku hubungan seks sebelum kahwin.
Akibatnya, mereka terpaksa berhenti sekolah demi menjaga keperluan suami dan menderita masalah kesihatan kerana melahirkan anak pada usia muda.

-Metro

Bayi tong sampah jadi rebutan


Chiang Mai: Seorang bayi perempuan kini menjadi rebutan untuk dijadikan anak angkat apabila ditemui dibuang ibunya di dalam tong sampah selepas dilahirkan.
Bayi itu dibalut dengan selimut dan diletakkan di dalam beg galas sebelum dibuang ke dalam tong sampah pada Ahad lalu.
Seorang penduduk terdengar suara bayi itu menangis pada jam 8 malam (waktu tempatan) sebelum menyelamatkannya.
Polis yang tiba dilokasi kejadian segera membawa bayi itu ke hospital di mana dia diberi oksigen dan pemeriksaan kesihatan.
Doktor memberitahu, individu yang membuang bayi itu di dalam tong sampah kerana mahu kanak-kanak yang berusia tidak sampai 12 jam itu mati.
Selepas berita dan gambar bayi itu tersebar, ramai keluarga berkunjung ke hospital untuk menjadikan kanak-kanak berkenaan sebagai anak angkat.
Jurucakap Hospital Lanna di Chiang Mai, Jiralak Jankrajai berkata, ramai orang melawat dan menghubungi hospital untuk menjadikan bayi itu anak angkat.
“Selepas dibuang keluarganya sendiri kini ramai orang yang mahu menjadikan bayi ini anak mereka.
“Sangat penting bayi ini diberi kepada keluarga angkat yang betul supaya dia membesar dengan gembira,” katanya. 

- Agensi/Metro

Tuesday, 10 October 2017

Dihina, dibuli kerana tangan untut

KURANG pengetahuan mengenai penyakit menyebabkan seorang budak lelaki lima tahun di Bangladesh dianggap ‘iblis’ oleh penduduk kampungnya kerana tangan kiri budak itu lebih besar berbanding tangan kanannya, malah lebih besar berbanding kepalanya.
Malu dan berasa rendah diri menyebabkan Tajbir Akhtar meminta ibunya menyembunyikan dia daripada penduduk kampung serta kanak-kanak lain.
Malah, keadaan tangannya yang menjadi seperti itu akibat penyakit ‘Elephant Foot (elephantitis)’ atau untut, juga menyebabkan Tajbir tidak ke sekolah dan tiada kawan.
Ibunya, Parvin Akhtar, berkata penduduk kampung takut dengan anaknya itu kerana tangan besar.
“Mereka kata anak saya menakutkan anak-anak mereka dan menggelarnya ‘iblis’.
“Amat sedih melihat anak saya dibuli mereka,” katanya.
Menurut Parvin tangan anaknya itu tiga kali ganda lebih besar berbanding tangan kanak-kanak seusia dan amat berat menyebabkan Tajbir sering jatuh ketika berjalan atau berlari.
“Setiap hari dia membelek tangannya, menangis sepanjang hari meminta jawapan daripada kami kerana tangannya terlalu besar.
“Saya beritahu dia, Allah mencipta dia dengan cara berbeza serta dan yakin Allah akan memulihkan tangannya dan akan mendapat kawan nanti.
“Namun, berapa lama saya boleh terus memberi harapan? Apa yang kami boleh buat? Kami tiada wang untuk rawatannya,” katanya.
Menurut Parvin, Tajbir lahir selepas dia dan suami, Toufiqul, berdoa mahukan anak lelaki namun tangan kanak-kanak itu mula membesar selepas tiga bulan dilahirkan.
Suaminya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM180 sebulan
Mereka sudah membawa Tajbir untuk diperiksa doktor di bandar berhampiran namun tidak mampu menanggung kos pembedahan.
Bapanya datang bekerja di Malaysia dalam usahanya mengumpul wang untuk rawatan anaknya itu namun masih tidak cukup sehingga Toufiqul pulang ke Bangladesh tiga bulan lalu.
Mereka kini mengharapkan aktivis media sosial Mamun Biswas dapat membantu mereka mengumpul wang untuk rawatan Tajbir.
“Saya terkejut melihat keadaan kanak-kanak itu dan sudah memberitahu Setiausaha (Menteri) Kesihatan. Kita tunggu bila doktor kerajaan boleh memulakan rawatan untuknya,” kata Mamun. 

- Daily Mail/Metro

Sisa jadi teman




Minnesota (Amerika Syarikat): Seorang lelaki sanggup hidup selama setahun bertemankan mayat ibu dan kembar lelakinya semata-mata tidak sanggup mengebumikan mereka.
Robert James Kuefler, hidup bersama mayat ibunya, Evelyn, 94, dan kembarnya Richard, selama setahun sebelum mayat mereka ditemui.
Evelyn meninggal dunia pada Ogos 2015, beberapa bulan selepas Richard.
Beberapa bulan selepas kematian mereka, Robert menghantar kad Krismas kepada anggota keluarganya dan menyertakan surat mendakwa ibu serta abangnya tidak sihat.
Dalam surat itu, kakitangan penyelenggaraan itu mendakwa mereka tidak boleh bercakap melalui telefon atau dilawat sesiapa.
Polis akhirnya menemui mayat dua beranak itu dalam keadaan mereput pada September tahun lalu selepas seorang jiran melaporkan sudah lama tidak melihat aktiviti di rumah berkenaan.
Dalam temu ramah melalui telefon, Robert berkata: “Saya tidak gila. Mungkin orang menyangka saya tidak siuman, tapi itu tidak benar.
“Saya terlalu sayangkan mereka.”
Polis berkata, Robert tidak mengambil wang pencen daripada akaun ibunya yang masih dimasukkan ke akaun wanita itu.
Robert didakwa atas tuduhan mengganggu mayat dan lokasi kematian kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa bahawa mereka meninggal dunia atas sebab semula jadi.
Dia kini berdepan hukuman penjara setahun dan denda AS$3,000 (RM13,000).

-Metro

Monday, 9 October 2017

Bayi lahir dengan kepala leper


KOLKATA, India – Beberapa orang doktor di sini tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu menyelamatkan seorang bayi yang dilahirkan dengan kepala leper dan mempunyai kantung di belakang lehernya.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Babu itu menghidap ensefalosel iaitu kecacatan tiub saraf (NTD) yang memberi kesan kepada otak.
Kedua-dua ibu bapanya, Jyotsna dan Jhontu Das diberitahu bahawa anak lelaki mereka tidak mempunyai harapan untuk hidup lama walaupun Babu kini telah berusia dua bulan.
Mereka kini mengharapkan satu keajaiban kerana percaya Babu boleh ‘hidup selamanya’ walaupun doktor mengingatkan mereka bahawa bayi itu tidak boleh dirawat.
Babu kini menghabiskan masanya di rumah, manakala kedua-dua ibu bapanya mencuba sehabis baik untuk menyelamatkan nyawanya.
“Apabila doktor tidak mampu untuk membantu, adalah lebih baik kami menjaganya mengikut cara kami.
“Kami akan memberi semua keselesaan dan kasih sayang kepada anak kami dengan harapan dia boleh hidup dengan lebih lama,” kata Jyotsna. – Agensi


-Kosmo

Main permainan di telefon sampai buta

Chang’an (China): Seorang wanita berusia 21 tahun buta sebelah mata selepas bermain permainan komputer di telefon bimbitnya selama seharian tanpa henti.
Wanita itu yang dikenali sebagai Wu berkata, mata kanannya tiba-tiba kabur pada 1 Oktober lalu ketika bermain permainan, King of Glory di telefon bimbit.
Pada mulanya, Wu menyangka dia hanya keletihan dan terus tidur tetapi apabila bangun keesokan harinya, mata kanannya terus tidak boleh melihat.
Wu dibawa keluarganya ke hospital dan doktor mengesahkan dia mengalami satu keadaan dikenali sebagai arteri retina tersumbat.
Keadaan itu biasanya berlaku pada orang tua tetapi doktor percaya mata Wu terlalu penat dan tertekan kerana sering merenung skrin telefon yang kecil.
Wu bekerja di bahagian kewangan di mana dia sering menggunakan komputer sekali gus memberi tekanan yang lebih kepada matanya.
Wanita itu juga mengaku dia ketagih bermain permainan di telefon bimbit hingga mengabaikan tidur dan pemakanannya.
“Ketika cuti saya akan bangun pada jam 6 pagi, mengambil sarapan sebelum bermain hingga jam 4 petang. Saya akan berhenti untuk makan dan tidur sebentar sebelum sambung bermain hingga jam 1 atau 2 pagi.
“Kadang kala saya malas untuk berhenti atau makan dan akan bermain tanpa henti sepanjang hari,” katanya.
Wu kini masih dirawat di hospital di mana doktor masih berusaha memulihkan semula penglihatannya.
Sejak kes Wu tular di media sosial di China, pakar mata menasihatkan orang ramai menggunakan telefon mereka kepada 30 minit ke satu jam pada satu-satu masa sebelum berehat.

-Metro

Friday, 6 October 2017

Dibelasah, ditikam kerana simpan misai, kasta rendah

Dibelasah, ditikam kerana simpan misai, kasta rendah

GUJARAT - INDIA. Seorang lelaki mendakwa dibelasah individu dari kasta tinggi kerana beliau menyimpan misai, minggu lalu.
Kelmarin, sepupu mangsa pula didakwa ditikam oleh individu dari kasta sama.
Menurut laporan BBC, kedua-dua mangsa berasal dari kasta Dalit dan penyerang didakwa berasal dari kasta Rajput.
laporan mengatakan lelaki dari kasta Rajput melarang lelaki dari kasta rendah menyimpan misai.
Mangsa pertama, Krunal Maheria menceritakan beliau diserang ketika melawat kawannya, Jumaat lepas.
"Saya diberitahu saya tidak boleh menjadi sebahagian dari kasta Rajput hanya dengan menyimpan misai. Bila saya buat tidak tahu, saya dibelasah dengan kayu.
Kejadian tersebut juga tular dan menyebabkan sebahagian rakyat India menukar foto di aplikasi WhatsApp mereka dengan foto misai mereka sebagai tanda solidariti.
Seorang guru dari Kodinar, Mayur Vadher juga bersolidariti dengan mangsa serangan.
"Hari ini, ramai Dalit mendapat pendidikan tinggi dan berpakaian elok. Kejadian ini tidak boleh diterima kerana mereka yang mempercayai sistem kasta menyerang kasta Dalit kerana tidak puas hati," kata Mayur Vadher.

-Sinar

Kurang ajar...


BIADAP. Itulah ungkapan sesuai buat seorang remaja perempuan yang membuang najis di hadapan sebuah kedai dobi di Jalan Manickavasagam, Lobak, Seremban.
Perbuatan menjijikkan itu dikesan selepas pemilik kedai terbabit, Datuk Adzwan Ab Manas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premisnya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sebanyak tiga kali bermula pada awal dan pertengahan September lalu dan terbaru, Selasa lalu.
"Pada mulanya saya ingat najis anjing. Selepas diperiksa barulah saya tahu itu najis manusia. Apabila melihat CCTV, perbuatan itu dilakukan seorang remaja perempuan yang membuang air besar di tempat sama.
"Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara 1.30 tengah hari hingga 1.45 petang. Pada mulanya, saya tidak memperbesarkan perkara ini namun terpaksa membuat laporan kerana sudah tiga kali berlaku.
"Berdasarkan susuk tubuh dirakam dalam CCTV, saya percaya perbuatan itu dilakukan orang sama. Lebih mengecewakan apabila perbuatan kali ketiga turut 'direstui' seorang wanita dewasa yang dipercayai ibunya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, dia tidak pasti perbuatan dilakukan sama ada menerima upah atau sebaliknya kerana kawasan ini turut mempunyai dobi lain terdapat banyak premis makanan di sekitarnya.
"Jika tidak tahan sekalipun, pergi lah ke tandas premis makanan itu dan bukannya membuang najis di premis ini," katanya.
Adzwan berkata, sejak menjalankan perniagaan itu hampir tiga tahun, ini kejadian pertama berlaku di premisnya.
"Demi keselamatan premis dan perniagaan saya, saya akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seremban 2, di sini.
"Saya tidak mahu disebabkan perbuatan tidak bermoral yang boleh menjejaskan pengunjung ke sini," katanya.

-Metro

https://youtu.be/qP8o_0wrrzk

Thursday, 5 October 2017

30 juzuk = makan 'free' selamanya



PENIAGA mi ayam di kawasan Harmoni, Jakarta Pusat, viral apabila menawarkan hidangan percuma jika pelanggannya menghafaz al-Quran.
Detiknews dipetik melaporkan peniaga, Bu Ijah, menawarkan hidangan percuma selamanya jika pelanggan menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Selain itu, peniaga itu juga manawarkan seminggu makan percuma jika menghafaz juz 30.
Detiknews dipetik menyatakan bahawa kedai mi ayam milik Bu Ijah itu terletak di Suryopranoto, depan Harmoni Plaza, Jakarta Pusat.
Mengikut laporan itu, idea untuk melakukan promosi sedemikian bermula daripada anak Bu Ijah iaitu Anto yang dikhabarkan rajin beribadah.

-Metro

Penjual Mie Ayam Ini Gratiskan Penghapal 30 Juz Alquran SelamanyaFoto: Dok. Istimewa

Jakarta - Mie ayam di kawasan Harmoni, Jakarta Pusat, ramai diperbincangkan. Pasalnya, penjual berani menggratiskan selamanya bagi mereka yang hapal 30 juz Alquran. 


Pembaca detikcom, Ririn Yuli Susanti, berbagi ceritanya saat mengunjungi kedai mie ayam tersebut pada Rabu (4/10) malam kemarin. Menurut Ririn, saat dia datang sekitar 19.00 WIB, kedai tersebut cukup ramai. 

Kedai milik Ibu Ijah tersebut beralamat di Jalan Suryopranoto, depan Harmoni Plaza, Jakarta Pusat. Penjual memasang banner promo di depan kedainya yang menggratiskan mie ayam untuk para penghapal Alquran. 
Bagi penghapal juz 30 atau juz amma maka digratiskan seminggu. Sementara yang hapal penuh Alquran atau 30 juz, digratiskan selamanya. 

Kepada Ririn, Bu Ijah bercerita ide promo tersebut berasal dari anaknya yang bernama Anto. Anto, menurut Bu Ijah, memang dikenal sebagai anak yang rajin beribadah. 

"Kita juga nggak tahu, itu anak yang pasang. Untuk narik pelanggan aja," ujar Ijah kepada Ririn, Rabu (4/10/2017) malam. 

"Sambil beramal, ya yang hapal gitu kan jarang. Dia (Anto) sih gitu ceritanya ke aku. Dia mah emang agamanya kuat," jelasnya. Sayangnya Anto sedang tak ada di tempat saat itu. 

Semangkuk mie ayam ditambah es teh dibandrol dengan harga Rp 18.000. Tertarik menantang hapalan Anda? 

Wednesday, 4 October 2017

Satu badan, dua kepala



Karachi: Seorang pemilik ladang tenusu di sini terkejut selepas seekor lembu peliharaannya melahirkan anak lembu berkepala dua.
Anak lembu itu dilahirkan di Ladang Tenusu Lucky Foods pada 27 September lalu dan masih hidup hingga kini.
Haiwan itu tidak mampu berdiri kerana kepalanya terlalu berat dan diberi susu menggunakan botol.
Pemilik ladang berkenaan, Salman Mamnoon Hussain berkata, dia terkejut apabila pengurus memberitahu seekor anak lembu dengan dua kepala dilahirkan di ladang itu.
“Saya terus pergi ke ladang untuk melihat anak lembu itu. Ia satu keajaiban.
“Pada mulanya saya percaya anak lembu itu mungkin mati tidak lama selepas dilahirkan tetapi sehingga kini ia masih hidup dan sihat,” katanya.
Ujarnya, doktor haiwan di ladang itu menjaga anak lembu itu dengan teliti bagi memastikan ia terus hidup.
“Saya mahu lihat anak lembu ini hidup, berdiri dan berjalan seperti haiwan yang lain,” jelasnya.

-Metro

Tuesday, 3 October 2017

Tuduh kuda kepang pula 'dicuri'



Jakarta: Pengguna media sosial di Indonesia menuduh Malaysia cuba mencuri tarian kuda kepang selepas peserta pertandingan ratu cantik Miss Grand International dari Malaysia bergambar dengan kuda kepang.
Peserta dari Malaysia, Sanjeda John bergambar dengan pakaian tradisional sambil memegang kuda kepang atau dikenali sebagai kuda lumping di Indonesia dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Miss Grand International berlangsung di Vietnam pada Khamis ini sebelum berakhir pada 25 Oktober depan.
Ramai pengguna media sosial di Indonesia melahirkan kemarahan dan mendakwa kupang kepang adalah budaya asal penduduk Jawa.
Beberapa pengguna juga menuduh Malaysia sekali lagi cuba mencuri budaya Indonesia.
Sebelum ini, Malaysia juga pernah dituduh media Indonesia mencuri budaya dan makanan negara itu termasuk batik, rendang, cendol dan lagu Rasa Sayang.
Sementara itu, seorang pereka fesyen Indonesia, Rinaldy A Yunardi menggesa kerajaan Indonesia mempatenkan semua budaya dan kesenian milik negara itu.
“Selepas ini apa lagi? Saya harap pemerintah supaya lebih peduli,” katanya yang dipetik Jawa Pos.

-Metro

'Balas dendam' goreng sawa gigit penduduk



Pekanbaru (Indonesia): Seorang lelaki cedera parah di tangan selepas digigit seekor ular sawa sepanjang tujuh meter.
Robert Nababan, 37, dilaporkan cuba menangkap ular sawa itu pada Sabtu lalu di Desa Belimbing di Indragiri Hulu, wilayah Riau.
Jurucakap polis, Sutarja berkata, Robert yang cedera parah dibawa ke hospital oleh penduduk dan keadaannya dilaporkan stabil.
Menurutnya, ular sawa itu kemudian dibunuh penduduk sebelum digoreng untuk dimakan.
“Menurut laporan yang diterima ular itu sudah digoreng dan dimakan bersama-sama oleh penduduk,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila Robert melihat beberapa penduduk cuba menangkap ular sawa berkenaan di sebuah ladang kelapa sawit.
“Robert pada mulanya berjaya menangkap kepala ular itu dan cuba memasukkan haiwan berkenaan ke dalam guni.
“Bagaimanapun, ular itu tiba-tiba menggigit tangan Robert menyebabkan dia cedera parah,” jelasnya.

-Metro

Monday, 2 October 2017

Dua beradik jual udara di dataran Tibet

Xining (China): Pencemaran udara yang teruk di China menyebabkan usahawan muda di negara itu mengambil peluang untuk menjual udara segar dari gunung.
Yang terbaru dua beradik dari Xining di wilayah Qinghai membuka kedai secara dalam talian untuk menjual udara segar dari dataran Tibet.
Di halaman jualan itu, pelanggan boleh memilih membeli udara yang diambil dari puncak gunung, lembah atau taman bunga di Tibet.
Laman itu juga memaparkan gambar menunjukkan dua beradik itu mengambil udara di Taman Xining ke dalam beg plastik.
Setiap beg itu dijual pada harga 15 yuan (RM9.50) dan dua beradik itu mendakwa mereka sudah menjual lebih 100 beg.
Kata mereka, objektif perniagaan mereka bukanlah wang tetapi bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan usaha memelihara alam sekitar.
Bagaimanapun, pengguna media sosial mempersoalkan usaha dua beradik berkenaan dan mendakwa beg plastik yang digunakan mereka turut menjejaskan alam sekitar.
“Teknik pemasaran yang licik. Udara ini milik bumi, bagaimana anda boleh menjadikan ia hak sendiri dan menjualnya?” kata seorang pengguna.

-Metro

Kaki 'putih' tiga hari dalam telaga



Chennai (India): Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang terjatuh ke dalam telaga terbiar sedalam 15 meter di Tiruttani, terpaksa berdiri selama tiga hari di dalam air cetek perigi itu sebelum diselamatkan.
Rangarajulu yang menjual pisau sebagai mata pencariannya, hanya mampu menangis malah hilang suara kerana pada awalnya cuba menjerit untuk menarik perhatian.
Selepas tiga hari berendam dalam air berkenaan, kulit kakinya menjadi pucat.
Bomba bergelut selama hampir sejam untuk membersihkan tumbuhan tebal di sekitar telaga itu sebelum menghantar dua anggotanya turun untuk menarik mangsa keluar.
Rangarajulu segera dibawa ke hospital kerajaan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di mana dia masih berada di bawah pemerhatian.
“Saya kehilangan suara kerana kurang tidur dan tiada makanan. Saya cuma minum sedikit air telaga yang dipenuhi lumut dan daun mati untuk terus hidup,” kata Rangarajulu.
Menurutnya, dia terjatuh dalam perigi pada 26 September lalu, ketika menjaja pisaunya selepas masuk ke kawasan itu untuk membuang air besar sebelum terjatuh ke dalamnya.
Apabila dia tidak pulang ke rumah, ahli keluarganya pergi mencarinya sebelum membuat laporan polis.
Nasibnya hanya diketahui apabila pemilik tanah tempat perigi itu, Krishna Babu, mendengar tangisannya dan pergi menyiasat bersama keluarganya.
Babu berkata, dia menyangka bunyi tangisan itu anak kucing dan dia sekeluarga terkejut apabila melihat seorang lelaki tua menangis merayu diselamatkan.

-Metro

Friday, 29 September 2017

Jerung melekap enggan lepaskan perut




Marthon (Amerika Syarikat): Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas perutnya digigit anak jerung ketika menyelam di perairan Marthon, Florida baru-baru ini.
Dalam satu rakaman video, Ervin Maccarty dilihat keluar dari laut dan terus naik ke bot dengan seekor anak jerung melekat di perutnya.
Maccarty cuba menarik ikan jerung itu tetapi haiwan berkenaan enggan melepaskan gigitannya menyebabkan lelaki itu mengerang kesakitan.
Beberapa rakannya cuba membantu tetapi ikan jerung itu terus menggigit perut Maccarty dengan kuat.
Selepas berusaha, mereka akhirnya mengambil keputusan menikam ikan jerung berkenaan supaya ia melepaskan gigitannya.
Selepas beberapa saat, ikan jerung itu mati dan perlahan-lahan melepaskan gigitan di perut Maccarty.
Maccarty berkata, dia menyelam untuk mencari udang karang sebelum seekor anak jerung tiba-tiba menyerangnya.
“Anak ikan jerung ini sangat agresif dan ia terus menggigit perut saya menyebabkan saya hampir lemas.
“Saya terpaksa segera naik ke permukaan dan berenang ke bot untuk meminta bantuan rakan

-Metro

Thursday, 28 September 2017

Lahir anak dalam lif hospital [VIDEO]

SEORANG wanita penjaga lif sebuah hospital di Shandong, China, mendapat pengalaman baru apabila membantu seorang pesakit melahirkan anak dalam lif kerana wanita itu tidak sempat sampai ke bilik bersalin.
Li Fengling yang bekerja sebagai penjaga lif di Hospital Rakyat Daerah Wenshang, berkata wanita sarat mengandung itu masuk ke dalam lif dalam keadaan menahan kesakitan.
Menurut laporan Daily Mail hari ini, rakaman CCTV menunjukkan wanita itu terduduk selepas memasuki lif dan Li segera menghentikan lif, mengarahkan penumpang lain keluar bagi membolehkan petugas perubatan memberi rawatan.
Jururawat Lin Jun kemudian membantu wanita itu bersalin dalam lif berikutan sudah tidak sempat membawanya ke bilik bersalin kerana menurut Lin, kepala bayi sudah keluar.
Wanita itu bernasib baik kerana masih sempat sampai ke hospital.
Petugas hospital kemudian mengangkat wanita itu ke bilik rawatan bersama bayinya yang dilapor sihat dengan berat 2.72 kilogram.

-Metro


https://youtu.be/r7SYbRQi4nc
https://youtu.be/r7SYbRQi4nc?t=63

Wednesday, 27 September 2017

Sami Buddha serbu rumah perlindungan Rohingya


SAMI Buddha Sri Lanka mengetuai penduduk tempatan menyerbu rumah perlindungan disediakan PBB untuk pelarian Rohingya di Colombo hari ini, memaksa pihak berkuasa memindahkan pelarian terbabit.
Sami terbabit mengetuai perusuh memecah masuk kawasan rumah menyebabkan 31 pelarian mengurung diri di tingkat paling atas dalam ketakutan sehingga diselamatkan.
Menurut seorang pegawai polis, pihaknya berjaya menyuraikan perusuh dan pelarian akan ditempatkan di lokasi baru.
Seramai 31 pelarian itu diselamatkan tentera laut Sri Lanka Mei lalu, ketika hanyut dalam bot mereka.
Pelarian itu akan dihantar ke negara ketiga dan dibenar berada di Sri Lanka menunggu dokumen mereka siap.
Dalam rakaman video oleh kumpulan pelampau Sinhale Jathika Balamuluwa (Tentera Kebangsaan Sinhalese), seorang sami mendesak orang ramai meruntuhkan bangunan menempatkan pelarian terbabit.
“Inilah pengganas Rohingya yang membunuh sami Buddha di Myanmar," kata sami berkenaan yang disiarkan secara langsung di Facebook, menunjuk kepada wanita Rohingya yang ketakutan memeluk anak kecil mereka.
Sami Buddha yang radikal di Sri Lanka mempunyai hubungan rapat dengan sami Buddha di Myanmar dan mereka didakwa mencetuskan keganasan terhadap Islam minoriti di negara masing-masing.

-Metro

Tuesday, 26 September 2017

Suami isteri bunuh, makan 30 orang

SATU pasangan di wilayah Krasnodarsky, selatan Russia, ditahan selepas mengaku membunuh dan memakan sekurang-kurangnya 30 orang sejak 18 tahun lalu.
Difahamkan, polis sudah menemui sekurang-kurangnya lapan anggota tubuh manusia dan sedang memeriksa rumah mereka bagi mencari bukti lain, termasuk anggota tubuh manusia.
Lelaki berkenaan yang dilaporkan media tempatan dikenali sebagai Dmitry Bakshaev, 35, memberitahu polis kegiatan kejamnya itu bermula sejak 1999.
Menurut Daily Mail, portal berita Russia, Mash, melaporkan isteri lelaki itu, Natalia, 42, seorang jururawat dan mereka digelar ‘keluarga kanibal’.
Pasangan itu ditahan selepas polis menemui gambar seorang lelaki bersama anggota tubuh manusia dalam telefon yang ditemui.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Russia yang mengendalikan jenayah berat Russia, Dimitry dan isterinya menyimpan anggota tubuh manusia dalam peti sejuk dan peti sejuk beku serta di ruang bawah tanah.
Antara anggota tubuh manusia yang ditemui di ruang bawah tanah pasangan itu ialah milik seorang wanita yang anggota tubuhnya ditemui di tepi jalan di Krasnodar pada 12 September lalu.

Wanita berusia 35 tahun dipercayai mangsa terbaru Dimitry dan isterinya yang anggota tubuhnya ditemui di tepi jalan di Krasnodar pada 12 September lalu. - Foto Daily Mail
Pekerja pembersihan menemui telefon bimbit berkenaan pada hari yang sama dan menyerahkannya kepada polis.
Dimitry dan isterinya mengaku melakukan jenayah itu ketika soal siasat.
Media tempatan menyiarkan gambar Dimitry bersama seorang wanita berusia 35 tahun yang tidak dinyatakan nama serta hubungan dengan Dmitry namun menurut sumber siasatan, wanita itu dipercayai mangsa terbaru.
Polis menemui tujuh anggota tubuh manusia sejuk beku dan pasangan itu juga mengawet anggota tubuh dalam balang kaca seperti jeruk. Turut ditemui 19 bukti dipercayai kulit manusia.
Polis turut menemui satu beg plastik berisi aksesori wanita

Anggota tubuh manusia yang ditemui tersimpan dalam balang dan kanan, gambar kepala manusia dalam pinggan dihiasi hirisan limau bertarikh 28 Disember 1999. - Foto Daily Mail
Antara gambar yang ditemui di rumah pasangan itu ialah kepala manusia dalam pinggan dihiasi hirisan limau bertarikh 28 Disember 1999.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dadah untuk ‘menidurkan’ mangsa sebelum membunuh dan melapah mereka.


-Metro