Thursday 30 June 2016

Lelaki pilih telefon pintar sebagai isteri



Las Vegas: Sebahagian penduduk di Amerika Syarikat menganggap telefon pintar keperluan paling penting dalam kehidupan mereka.
Bagaimanapun, seorang lelaki dari Los Angeles melangkah lebih jauh apabila mengambil keputusan berkahwin dengan telefon pintarnya.
Aaron Chervenak sanggup memandu dari Los Angeles ke sebuah gereja kecil di Las Vegas semata-mata mahu menunaikan impian untuk berkahwin dengan telefonnya.
Lebih menarik lagi dia turut menyarungkan cincin pada telefonnya sebagai tanda ikatan cinta.
Gereja yang dikenali sebagai The Little Las Vegas Chapel itu terkenal kerana sering menganjurkan perkahwinan pelik dan tidak masuk akal.
Chervenak berkata, telefon pintar sudah menjadi sebahagian besar kehidupannya dan dia tidak boleh hidup tanpa alat komunikasi berkenaan.
“Oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan telefon pintar,” katanya.
Menurutnya, dia menghubungi pihak gereja itu dan menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan telefon pintarnya pada bulan lalu.
“Perkahwinan ini adalah satu simbolik bagi menunjukkan bagaimana telefon pintar menjadi semakin dihargai dalam kehidupan kita.
“Saya berharap orang ramai akan bertanya soalan yang sama mengenai diri dan hubungan mereka,” jelasnya.

- Agensi/Metro

Wednesday 29 June 2016

Adun pulangkan sampah lagi

Adun pulangkan sampah lagi

BALAKONG – Geram dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang membuang sampah secara haram di tepi jalan, Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee sekali lagi bertindak luar biasa ‘memulangkan’ kembali longgokan sampah tersebut kepada pihak terbabit, pagi semalam.
Itu tindakan kali ketiga diambil selepas beliau melakukan perkara sama kepada pembuang sampah haram di Bandar Tun Hussein Onn dan Taman Megah sebelum ini.
Eddie Ng berkata, beliau menerima maklumat serta bukti bergambar melalui aplikasi WhatsApp berhubung kegiatan pembuangan sampah di tepi Jalan KPB 12, kawasan perindustrian Kampung Baharu Balakong oleh pekerja sebuah kilang dua hari lalu.
Katanya, gambar jelas menunjukkan tiga pekerja termasuk dua dipercayai warga asing leka memunggah sampah atap lama di atas lori yang tertulis milik sebuah kilang besi sebelum membuangnya di tepi jalan.
Beliau berkata, setelah mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), pihaknya memutuskan untuk mengutip sampah dibuang dan memulangkan kembali ke premis pemilik lori yang juga terletak di Kampung Baharu Balakong.
“Setelah berkunjung ke alamat yang tertulis di lori, kita dapati ia adalah sebuah kilang besi dan pemerhatian mendapati pengusaha bukan sahaja membiarkan pekerja membuang sampah di tepi jalan tetapi juga ke dalam sungai terletak bersebelahan kilang mereka.
“MPKj mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik dan tidak akan melayan apa-apa rayuan untuk mengurangkan denda tersebut,” katanya sebelum mengarahkan sampah dipungut dari tempat pembuangan haram sebelum itu, dilonggokan di depan premis kilang.
Katanya, tindakan kom-paun diambil di bawah Undang-undang Kecil MPKj 2007 dan pesalah boleh dikenakan kompaun RM1,000. Sekiranya gagal, kes boleh dibawa ke mahkamah.
“Sudah sampai masanya kami ambil tindakan sebegini kepada mereka yang masih berdegil, ini satu-satunya cara mendidik mereka kerana sanggup membuang sampah di tempat orang lain untuk bersihkan tempat sendiri,”katanya.
Beliau berkata, akan mengambil tindakan sama kepada sesiapa yang dicekup melakukan kesalahan itu selepas ini.
Dalam perkembangan lain , Eddie Ng berkata, kerajaan negeri dalam peringkat cadangan melaksanakan hukuman lebih berat kepada pembuang sampah haram.
Katanya, perkara itu dijangka dikemukakan di Dewan Negeri Selangor hujung tahun ini.

-Sinar

Panggang anak tiri kencing malam


Asuncion (Paraguay): Seorang budak lelaki berusia tiga tahun dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk selepas didera ayah tirinya menggunakan api disebabkan kencing malam.
Rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu menjerit kesakitan manakala ayah tirinya berusia 20 tahun mengangkat dan memegangnya di atas api yang menyala.
Kejadian berlaku di Limpio berhampiran Asuncion, ibu negara Paraguay dan dirakam jiran yang mendengar mangsa menjerit kesakitan, tetapi tidak berani menghalangnya.
Dalam video itu, lelaki berkenaan dilihat jelas merapatkan budak berkenaan pada api sehingga terkena kulitnya.
Kanak-kanak yang tidak didedahkan namanya itu dimasukkan ke hospital dengan melecur tahap pertama pada punggung serta kemaluannya.

-Metro

Tuesday 28 June 2016

Playar tusuk kepala



Beijing: Seorang wanita warga emas terselamat selepas playar yang terjatuh dari tingkat 31 sebuah apartmen jatuh ke atas kepalanya dan menusuk tengkorak ketika dia berjalan di luar bangunan itu.
Wang Youfang, 58, sedang berjalan dengan cucunya keluar dari pintu pagar belakang bangunan apartmen itu apabila tiba-tiba playar berkenaan jatuh dari tingkat 31 bangunan berkenaan dan tertusuk di kepalanya, Jumaat lalu.
Chengdu Business Daily melaporkan, mangsa masih sedar ketika orang ramai menghubungi ambulans, tetapi disebabkan kecederaan teruk dialaminya, dia terpaksa dipindahkan hospital dua kali sebelum dapat dibedah.
Playar itu dilaporkan tertanam 15 sentimeter ke dalam otaknya selama kira-kira 14 jam sebelum akhirnya dikeluarkan melalui pembedahan.
Polis kini menyiasat kes berkenaan dan seorang suspek sudah ditahan. Difahamkan, kejadian berlaku akibat projek pengubahsuaian pada bangunan itu.
Wanita itu dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan doktor berkata, dia masih berisiko tinggi terkena jangkitan kuman disebabkan playar berkenaan kotor selain luka dialaminya terlalu dalam sehingga sukar dibersihkan.

-Metro

Monday 27 June 2016

Doktor keluarkan spana dari tekak lelaki


Baghdad: Satu rakaman video mengerikan menunjukkan detik-detik sekumpulan doktor pakar di sini berusaha mengeluarkan sebatang spana dari dalam tekak seorang lelaki.
Video berkenaan dipercayai dirakam di sebuah hospital di Iraq pada 2009, tetapi mula viral di laman sosial baru-baru ini.
Rakaman itu menunjukkan sekumpulan doktor berdiri mengelilingi seorang lelaki yang terbaring di atas meja bedah.
Seorang doktor dilihat menggunakan satu peralatan khas untuk mengeluarkan sesuatu dari dalam mulut pesakit berkenaan.
Doktor itu dibantu rakannya dengan berhati-hati cuba mengeluarkan objek dalam mulut pesakit berkenaan yang kelihatan tidak sedarkan diri.
Selepas beberapa kali mencuba akhirnya doktor itu berjaya mengeluarkan sebatang spana sepanjang hampir 30 sentimeter dari mulut pesakit berkenaan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengapa lelaki itu menelan spana berkenaan, tetapi dia dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

- Agensi/Metro

Friday 24 June 2016

Dilayang kad merah akibat buang angin

 
Stockholm: Seorang pemain bola sepak di Sweden tidak berpuas hati selepas dia dilayangkan kad merah oleh pengadil akibat kentut ketika beraksi di padang.
Pemain bek kiri kelab Pershagen SK, Adam Lindin Ljungkvist memberitahu, dia dibuang padang ketika perlawanan menentang kelab Jarna SK pada minggu lalu.
Ljungkvist, 25, berkata, ketika perlawanan dia sakit perut dan terus mengeluarkan angin.
“Secara tiba-tiba pengadil yang berada berhampiran melayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah kepada saya.
“Saya terkejut dan bertanya kepada pengadil: Adakah saya tidak dibenarkan untuk membuang angin? dan pengadil menjawab tidak,” katanya.
Penyerang Jarna SK, Kristoffer Linde memberitahu, ketika kejadian dia berada berhampiran Ljungkvist dan pengadil perlawanan.
“Saya boleh mendengar dengan kuat dan jelas Ljungkvist melepaskan angin di padang.
“Ia perkara paling pelik yang pernah saya alami sejak bermain bola sepak pada usia lapan tahun lagi,” katanya.
Sementara itu, pengadil berkenaan, Dany Kako berkata, Ljungkvist sengaja mahu mencetuskan provokasi ketika perlawanan.
“Dia sengaja membuang angin dan ia satu tindakan yang tidak sopan. Atas sebab itu saya melayangkan kad merah,” jelasnya.
Dalam perlawanan liga divisyen ketujuh Sweden itu, Pershagen SK dibelasah Jarna SK apabila tewas 6-2. - Agensi

-Metro

Thursday 23 June 2016

Puja mayat ibu



Temanggung (Indonesia): Seorang lelaki menggali kubur ibunya dan membawa mayat itu pulang ke rumah dengan harapan wanita berkenaan hidup semula.
Lebih mengejutkan lagi, Supriyanto, 40, menggali kubur ibunya yang sudah lebih sebulan meninggal dunia dan tindakannya cuma disedari kira-kira sebulan selepas itu.
Seorang penduduk di Dusun Ngrancang di Desa Bojonegoro berkata, ibu Supriyanto yang dikenali sebagai Parimah meninggal dunia pada 14 April lalu akibat sakit.
Katanya, pada 24 Mei lalu, Supriyanto bersama seorang rakannya menggali semula kubur Parimah dan membawa mayat wanita itu pulang ke rumah.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu hanya disedari penduduk kampung kelmarin yang curiga dengan bau busuk di rumahnya sebelum melaporkan kepada polis.
“Polis yang membuat pemeriksaan di rumah lelaki itu terkejut apabila menemui mayat wanita itu yang masih berkain kafan diletakkan di atas katil di sebuah bilik.

“Lelaki itu berkata, sepanjang sebulan mayat berkenaan berada di rumah, dia membuat pelbagai upacara pemujaan supaya ibunya hidup semula,” katanya.

Ujarnya, Supriyanto turut meletakkan banyak minyak wangi pada mayat ibunya yang sudah reput bagi menutup bau busuk.

Sementara itu, jurucakap polis Temanggung, Suharto memberitahu, pihaknya menahan Supriyanto untuk soal siasat.

“Lelaki ini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan psikologi dan kami sedang menyiasat motif dia menyimpan mayat ibunya,” katanya.
Ujarnya, jenazah wanita itu diserahkan kepada ketua kampung untuk dikebumikan semula.

-Metro

Tuesday 21 June 2016

Bas pertama angkut jemaah haji

GAMBAR fail menunjukkan bas yang didakwa pertama kali digunakan untuk mengangkut jemaah haji di Makkah.

Jeddah: Akhbar tempatan dan rangkaian media sosial Arab Saudi kelmarin menyiarkan gambar yang mereka dakwa bas pertama mengangkut jemaah haji ke Makkah hampir 86 tahun lalu.
Kaedah pengangkutan bermotor pertama itu dimulakan secara beransur-ansur dan menggantikan unta dan keldai yang digunakan penduduk Saudi serta umat Islam dari negara lain yang menunaikan haji di Makkah dan menziarah Masjid Nabawi di Madinah serta tempat bersejarah lain di Hijaz.
Sebelum kenderaan bermotor diperkenalkan, perjalanan menggunakan unta dari negara Arab seperti Syria dan Lubnan ke Makkah mengambil masa beberapa bulan.

- Agensi/Metro

Monday 20 June 2016

Arak bogel seru hujan



New Delhi: Seorang budak lelaki diarak bogel keliling kampung sebelum disiram air dipercayai kerana dapat ‘menyeru hujan’ di kawasan yang dilanda kemarau di Chitradurga, India.
Dalam video yang tersebar di Internet, budak lelaki dianggarkan berusia awal remaja itu dipakaikan kalungan bunga dan membawa patung dewa serta menari di depan orang kampung sambil diiringi pukulan gendang.
Dia kemudian disiram beberapa baldi air sebelum diberi salinan pakaian baru.
Upacara di kampung Pandarahalli itu dipercayai mampu menggembirakan dewa hujan seterusnya menamatkan kemarau panjang di kampung berkenaan.
Video upacara itu dikongsikan Indian Express dan dilihat lebih 3,500 kali.

Tidak dinyatakan kenapa kanak-kanak itu yang dipilih untuk upacara berkenaan, atau sama ada keluarganya tahu mengenai kejadian itu.
Difahamkan, upacara seperti itu kerap berlaku di kampung berkenaan dengan seorang remaja lelaki dipilih untuk melakukannya.
Pihak berkuasa berkata, kejadian berlaku pada 10 Jun lalu.

- Agensi/Metro

Gagal adakan buka puasa di gereja



Jakarta: Majlis buka puasa dihadiri bekas wanita pertama Indonesia, Sinta Nuriyah Abdurrahman Wahid yang sepatutnya diadakan di sebuah gereja di Samarang, Jawa Tengah kelmarin terpaksa dipindahkan selepas dibantah anggota Barisan Pembela Islam (FPI).
Sinta, balu bekas Presiden Abdurrahman Wahid atau Gus Dur, ialah pengasas pertubuhan Puan Amal Hayati dan sudah mengadakan acara berbuka puasa yang disertai wakil pelbagai agama sejak 16 tahun lalu.
Ini kali pertama majlis itu terpaksa dipindahkan ke tempat lain berikutan tunjuk perasaan besar-besaran menentang acara buka puasa itu yang diadakan di sebuah gereja.
Majlis berkenaan dirancang diadakan di Gereja Raja Ungaran, tetapi terpaksa dipindahkan ke gereja St Yakobus Zebedeus di Pudakpayung.
Bagaimanapun, FPI masih tidak berpuas hati menyebabkan penganjur akhirnya terpaksa mengadakannya di dewan pentadbiran Kampung Pudakpayung.
Majlis berkenaan berlangsung tanpa masalah dan dikawal oleh puluhan polis serta Banser, sayap pemuda pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama.

- Agensi / Metro

Friday 17 June 2016

Roh tidak kembali ke dunia

Alam barzakh bermaksud pemisah antara dua alam

RAMADAN datang lagi. Kemuliaan dan kelebihannya dirasakan tidak perlu lagi dihuraikan kerana majoriti umat Islam arif tentangnya. Pasang surut ‘kemeriahannya’ secara asasnya terbahagi kepada tiga fasa - 10 hari pertama saf masjid dan surau meriah dengan jemaah, 10 hari kedua semakin berkurangan dan 10 hari terakhir yang tinggal hanya imam serta beberapa penunggu setia masjid sahaja.

Masuknya Ramadan, antara topik popular dalam laman sosial ialah tentang isu pulangnya roh untuk meninjau dan mengutip pahala daripada anak-anak serta saudara-mara mereka yang masih hidup.
Maka ramailah yang akan berkongsi maklumat ini tanpa terlebih dahulu memperinci kesahihannya. Alasan lazim yang diberikan, “aku dengar ada ustaz kata begitu. Guru agama aku pun cakap benda sama...,”.

Perlu diperbetul bahawa kesahihan mengenai isu agama bukannya berdasarkan kepada nama individu tetapi wajib bersandarkan kepada sumber asal agama iaitu al-Quran, sunnah yang sahih, ijmak dan kias.

Fokus kali ini merupakan hasil susunan jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri dan beberapa tokoh agama lain mengenai isu pulangnya roh orang mati.

HAKIKAT ROH

Sebenarnya pengetahuan manusia mengenai roh terlalu sedikit. Firman Allah, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja,” (al-Isra’: 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman: ayat itu menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Mereka yang meninggal dunia, roh mereka tidak mungkin kembali semula ke dunia, sama ada untuk menziarahi ahli keluarga atau membalas dendam.

Antara dalil-dalil:

1. “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (al-Mu’minuun: 100)
l Imam Ibn Jarir al-Tabari menukilkan riwayat Mujahid Rahimahullah (tabiin dan juga anak murid kepada Ibn Abbas r.a.) bahawa barzakh di dalam ayat itu ialah hijab (seperti tembok penghalang) antara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia.

2. “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajal semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajal yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (al-Zumaar: 42)

l Ayat di atas menunjukkan bahawa roh orang mati tidak akan kembali, bahkan Allah yang berkuasa menahannya daripada kembali ke dunia. Ini seperti riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabiin dan juga anak murid kepada Ibn Abbas r.a.) yang mengatakan bahawa telah dikumpulkan antara roh-roh orang yang hidup dan mati (di dalam mimpi) kemudian Allah menahan roh orang mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula.

3. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam musnadnya daripada Jabir r.a.:
“Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah SWT telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.”

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada nas dan pendapat para ulama, kami (Irsyad al-Fatwa) nyatakan bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ia berada di satu alam yang dinamakan barzakh.
Nas yang sahih lagi jelas seperti yang terdapat pada hadis Jabir r.a menjadi pemutus dan penghukum di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dalam isu ini, yang mana menunjukkan bahawa roh tidak dapat kembali ke dunia.

KEBIASAANNYA pada zaman dahulu menjelang penghujung Ramadan, kebanyakan rumah di kampung mula dihias dengan pelita minyak tanah, terutamanya di sepanjang jalan masuk ke kawasan halaman rumah.

Selain bagi menimbulkan suasana menjelang Aidilfitri, dikatakan bahawa tradisi itu kononnya bertujuan meraikan kepulangan roh-roh keluarga untuk melihat waris-waris yang ditinggalkan. Roh yang baik peluangnya amat tinggi untuk dibenarkan ‘turun’ ke dunia, manakala bagi yang kurang amalannya hanya mampu ‘menggigit jari’.

Kononnya apabila roh pulang, perkara pertama yang bakal dilakukan ialah kembali ke kubur untuk melihat jasad mereka sebelum meneruskan perjalanan ke rumah pusaka, anak-anak dan rumah orang yang selalu mendoakan mereka.

Roh ini akan kembali ke Luh Mahfuz pada malam 1 Syawal bersama ‘poket’ yang sarat dengan amalan-amalan yang disedekahkan oleh waris-warisnya.

Sementara itu, Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam yang juga pengasas Pusat Rawatan Islam Darussyifa, Datuk Dr. Haron Din turut mengulas mengenai isu ini.

Antara penjelasan beliau:

l Orang meninggal dunia bermaksud rohnya berpindah ke alam baqa’ yang bermula dari kubur.
- Hadis Nabi SAW menyebut (yang bermaksud), “Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia,”

l Barzakh bermaksud pemisah atau penghalang seumpama sebuah tembok kukuh yang memisahkan di antara dua alam.

- “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.” (Surah az-Zumar, ayat 42)

l Banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menunjukkan bahawa roh si mati berada dalam suatu kepungan barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.

l Logiknya, jika roh boleh kembali ke dunia, melakukan pelbagai perkara, sudah tentu orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.

Haron Din mengakui terdapat tanggapan segelintir bahawa roh kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad tertentu. Berdasarkan kepada pengalamannya, ada yang mendakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya serta mampu mengubat orang melalui ilmu yang diperoleh daripada orang telah mati.

“Semuanya tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan roh, dalam istilah Arab disebut ‘tanasuthil arwah’ - reincarnation. Elemen ini wujud dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

“Umat Islam mesti beriman bahawa roh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk ke dalam diri orang lain. Satu jasad satu roh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, roh kembali ke alam barzakh.

“Apabila tiba hari Kiamat, jasad akan dijadikan semula dan roh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah SWT,” katanya.

Jawapan ini boleh dirujuk melalui:

www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/945-irsyad-al-fatwa-ke-112-bolehkah-roh-orang-yang-telah-mati-kembali-ke-dunia
www.darussyifa.org/SJ001.php.

-Utusan

Singa makan manusia dipenjara seumur hidup



New Delhi: Tiga singa dihukum ‘penjara’ seumur hidup kerana memakan manusia yang tinggal berhampiran hutan simpan Gir di Gujarat.
Sebanyak 17 singa di hutan simpan itu ditangkap oleh pihak berkuasa perhutanan dan hidupan liar bulan lalu, selepas tiga orang yang tinggal berhampiran, diserang haiwan buas berkenaan.

Pengarah Jabatan Hutan Gujarat, A P Singh, berkata sisa tubuh manusia ditemui dalam najis tiga singa, iaitu seekor jantan dan dua betina.
Menurutnya, singa jantan menyerang mangsa manakala dua singa betina itu turut memakan mangsa.
Menurut pegawai zoo berhampiran, singa jantan itu kini dikurung di zoo berkenaan manakala dua singa betina terbabit ditempatkan di pusat penyelamat haiwan.
Sebanyak 14 lagi singa dibebaskan kembali ke dalam hutan.


-Metro

Thursday 16 June 2016

Mayat budak diheret buaya ditemukan

Graves
 
ORLANDO 16 Jun - Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun semalam, 16 jam selepas mangsa diheret seekor buaya di sebuah tasik buatan berhampiran Walt Disney World Orlando.

Mayat Lane Graves ditemukan dalam keadaan sempurna kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam waktu tempatan.
Mangsa ditemukan dengan bekas gigitan buaya lebih kurang tiga hingga 4.5 meter dari pantai buatan Tasik Seven Seas Lagoon.
Menurut CBS News, tasik buatan itu menjadi habitat buaya, namun pihak pengurusan pusat peranginan tersebut ada meletak papan tanda melarang pengunjung mandi.

- AGENSI/Utusan

Wednesday 15 June 2016

Penculikan ibarat satu perniagaan

culik

BUKAN satu tugas yang mudah, malahan meletakkan nyawa di hujung senjata puak Abu Sayyaf, itulah yang dihadapi kumpulan perunding yang membawa kepada pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik kumpulan pemisah sejak April lalu.
Tersilap langkah, bila-bila saja nyawa boleh hilang dek kerana muntahan peluru yang dikeluarkan mereka.
Tetapi dengan penuh tanggung jawab, mereka mengambil tugasan ini sebagai satu cabaran dalam mengembalikan rakyat kita ke pangkuan keluarga.
Tanpa sebarang senjata api, pembayaran pampasan mahupun pertumpahan darah, misi berkenaan berjaya dilakukan.
Hanya doa dan izin ALLAH SWT sahaja menjadi bekal dan semangat kepada mereka.
Berbekalkan pengalaman pernah bertugas dalam pasukan elit VAT69 Polis Diraja Malaysia (PDRM), dia menggunakan kepakaran itu bagaimana untuk mengambil tanggung jawab ini.
Ketika awal pertemuan dengan Sinar Online, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, empat tebusan akan dibebaskan dalam masa terdekat ini.
“Tunggu beberapa hari lagi, kami akan bawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya ketika bertemu Sinar Online baru-baru ini.

Rundingan awal

Halim berkata, pihaknya telah lakukan beberapa sesi rundingan pembebasan mangsa.
”Kita mendapat bantuan yang amat baik dari pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), Nur Misuari.
”Dia mengarahkan pasukannya yang diketuai lima komander untuk mengadakan rundingan dengan puak Abu Sayyaf kerana memandangkan risiko yang amat berbahaya, beliau nasihatkan saya untuk berada di kem MNLF sahaja di Kem Bokud Awal, Inadanan, Jolo,” katanya.
Dalam usaha itu menyelamat empat rakyat Malaysia itu, dua daripada mereka adalah adik beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34, diculik di perairan Pulau Ligitan, Semporna pada 1 April lepas berjaya dibebaskan.

Tanpa pembayaran tebusan

Lebih menarik, pembebasan mereka tanpa melibatkan sebarang pembayaran kepada puak Abu Sayyaf.
Bercerita lanjut beliau berkata, sebagai langkah keselamatan misi berkenaan juga telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri.
”Saya telah berhubung dengan Nur Misuari pada penghujung Mei lalu bagi meminta bantuan membebaskan empat rakyat kita, syukur beliau setuju dan memberikan nasihat keselamatan kepada saya.
”Saya perlu berada di kem MNLF di Jolo sahaja kerana apa saja boleh berlaku tanpa disangka di Mindanao ini, peperangan, serang hendap dan apa saja kemungkinan boleh berlaku,” katanya yang pertama kali bertemu Nur Misuari awal Februari lalu bagi membincangkan aspek keamanan, perpaduan dan keselamatan di perairan Sabah.
Ketika itu turut membincangkan kes penculikan Bernard Then, jurutera elektrik, Thien Nyuk Fun, pengurus Restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei 2015.
Bagaimanapun, November lepas Bernard Then telah dipenggal kepalanya oleh puak pemisah, Nyuk Fun bernasib baik apabila dibebas oleh kumpulan penculik itu selepas rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan.

Tebusan Selamat

Katanya, antara yang terlibat dalam rundingan ini adalah Jeneral Sufi (The Lion of Mindanao), Brig Jeneral Tahir yang mengalami kecacatan mata dan tangan akibat pertempuran dan Brig Jen Rene.
”Tahir, Rene dan tentera-tenteranya seramai 70 - 100 yang lengkap bersenjata sahaja dibenarkan melakukan rundingan dengan Abu Sayyaf kerana faktor keselamatan.
“Sebanyak tiga kali pertemuan dengan kumpulan penculik dan mereka melihat empat tawanan kita berada dalam keadaan selamat dan sihat. Abu Sayyaf telah diberikan amaran oleh Nur Misuari agar tidak mengapa-apakan tawanan rakyat kita. Kesemua mangsa telah diberikan makanan dan penjagaan yang baik,” katanya.
Jelasnya, lebih mudah usaha menyelamat ini kerana kebanyakan ahli kumpulan Abu Sayyaf ini mempunyai talian kekeluargaan dengan sebilangan besar MNLF.
“Mereka juga amat menghormati dan takut kepada Nur Misuari yang mempunyai ribuan tentera di seluruh Mindanao.
“Bagaimanapun aspek keselamatan tidak boleh diambil muda, itu tegas Nur Misuari,” katanya.
Ditanya mengenai pembayaran bagi pembebasan mereka, beliau mengakui Abu Sayyaf ada meminta sejumlah wang, mencecah puluhan juta ringgit untuk setiap ‘kepala’.
“Bagaimanapun, itu bukan penyelesaian membebaskan tebusan. Nur Misuari sendiri menegaskan jangan beri sebarang wang pun. Waima satu sen kepada pemisah,” katanya.
Tegas Nur Misuari, masalah penculikan tidak akan selesai di perairan Sabah sekiranya pembayaran dibuat.
“Penculikan akan berpanjangan, pembayaran wang tebusan dan amat menyukarkan MNLF dalam usaha untuk membantu membebaskan tebusan.
“Nur Misuari memberikan contoh beberapa tebusan warga Indonesia yang diselamatkan tanpa sebarang bayaran wang tebusan. Jadi dalam hal ini kami amalkan perkasa sama, saya cuba hubungi keluarga mangsa untuk mengingatkan perkara ini, tapi tidak dapat bercakap dengan mereka,” katanya lagi.
Ujar Halim, walaupun tiada pembayaran dari pihak Malaysia mahupun keluarga, mereka difahamkan terdapat sedikit pembayaran ganti rugi yang dibayar ahli politik tempatan dalam proses pembebasan tanpa pengetahuan Nur Misuari dan beliau.
“Saya melihat pembayaran ini dibuat kerana kebimbangan ahli politik itu dengan lawatan bakal Presiden yang dijadualkan bertemu Nur Misuari dalam masa terdekat di kem MNLF,” jelasnya.

Tawanan dibebaskan

Selepas tiga kali rundingan dilakukan, akhirnya Abu Sayyaf bersetuju membebeaskan tahanan yang ditempatkan hampir 20 kilometer dari kem MNLF, di Jolo.
Kesemua mereka dibawa menggunakan bot laju ke Sandakan oleh pasukan khas MNLF bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin pada 9 Jun lalu.

-Sinar

Wanita hamil 'kereta sport'

London: Sepasang suami isteri teruja apabila ultrabunyi kandungan bayi mereka yang baru berusia 24 minggu nampak tidak ubah seperti kereta kecil yang turut mencetuskan keseronokan pengguna Internet lain.
Pengguna Reddit, Brewhaus3223 memuat naik gambar ultrabunyi itu ke Internet dengan keterangan: “Isteri saya hamil kereta sport.”

Katanya, dia dan isteri mempunyai anak perempuan menerusi persenyawaan i vitro (IVF) dan tanpa disangka isteri hamil kali ini secara semulajadi.
“Memang ajaib apabila isteri hamil secara semulajadi walaupun sekilas pandang gambar ultrabunyinya menunjukkan kandungannya seperti kereta sport,” katanya.

-Metro
Gambar ultrabunyi itu mencetuskan pelbagai gurauan berkaitan kereta oleh pengguna Reddit lain termasuk gelaran ‘The Fast and the Fetus’ merujuk kepada francais filem popular The Fast and the Furious, serta ‘The All-New Ford Fetus!’ seolah-olah iklan kereta Ford.
Brewhaus3223 juga menulis, anak yang bakal dilahirkan itu ‘kereta lelaki.’ - Agensi

Tuesday 14 June 2016

Hukum tekan tubi kerana tidak berpuasa

Bogor (Indonesia): Pihak berkuasa daerah Leuwiliang di Bogor menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap penduduk beragama Islam yang tidak berpuasa pada Ramadan.
Pegawai di Agensi Penguat kuasa Awam menyerbu beberapa kedai makan pada tengah hari Khamis lalu dan menahan 13 orang yang sedang makan.

Selepas mengesahkan semua lelaki itu beragama Islam, mereka dibawa ke pejabat daerah untuk diberi nasihat dan dikenakan hukuman senaman tekan tubi.
“Ini adalah satu bentuk nasihat supaya lelaki ini tidak mengulangi kesalahan mereka,” kata ketua daerah Leuwiliang, Chairuka Judhianto.

-Metro
Chairuka berkata, surat arahan dikeluarkan meminta restoran di daerah itu hanya boleh beroperasi pada jam 4 petang hingga 9 malam dan dari jam 2 pagi hingga 4 pagi pada Ramadan ini.
Menurutnya, surat arahan itu juga mengharamkan kafe dan lokasi hiburan beroperasi pada bulan yang mulia ini.
Pekerja hotel dan restoran juga digesa berpakaian sopan serta menutup aurat.
“Sekiranya mereka ditangkap tidak berpuasa lagi, kami akan meminta mereka membuat lebih banyak senaman tekan tubi.
“Pemilik restoran juga diberi amaran dan sekiranya ingkar, kami akan menyita premis berkenaan,” tegasnya.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan supaya keadaan lebih tenang di Bogor ketika Ramadan bukannya berkaitan dengan isu keselamatan

Monday 13 June 2016

Nyaris hilang senjata sulit kerana curang

Pattaya: Gara-gara menjalinkan hubungan sulit dengan rakan baik isterinya sendiri, seorang lelaki hampir kehilangan kemaluan akibat dikelar wanita berkenaan.
Serangan berlaku apabila wanita yang bekerja sebagai penjual ayam goreng itu berang selepas mengetahui suaminya curang dengan rakan baiknya sendiri.

Wanita itu dilaporkan berpura-pura mahu melakukan hubungan seks dengan suaminya sebelum mengeluarkan pisau pemotong kotak dan terus mengelar kemaluan lelaki itu.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Somchai menjerit kesakitan dan terus berlari keluar rumah dalam keadaan bogel.
Isterinya yang panik kemudian segera menghubungi ambulans untuk meminta bantuan.
Pasukan perubatan yang datang ke lokasi kejadian menemui Somchai dalam keadaan berlumuran darah duduk di kaki lima kedai.
Satu beg ais turut diletakkan di celah kelangkang lelaki itu.
Pasukan perubatan segera membawa Somchai ke hospital dan isterinya turut menemaninya.
Doktor memberitahu, Somchai cedera parah dan kehilangan banyak darah akibat perbuatan isterinya itu.
Bagaimanapun, keadaan Somchai dilaporkan stabil dan dia dijangka pulih seperti sedia kala.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya akan mengambil keterangan Somchai sebelum memutuskan tindakan yang bakal diambil terhadap isterinya.

 - Agensi/Metro

Cari berkat



Kluang: “Ambillah seberapa banyak pun, asalkan habis dimakan ketika berbuka puasa kerana semua percuma,” kata Ismail Bakar, 63, kepada orang ramai yang datang ke gerai jemput-jemput yang diusahakannya sejak 17 tahun lalu di Jalan Kampung Melayu, di sini, sepanjang Ramadan.
Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mail Jemput-Jemput berkata, tujuannya memberikan percuma kuih itu kerana ingin bersedekah serta mencari berkat pada bulan mulia ini selain berkongsi keuntungan yang diperolehi sepanjang tahun.
“Apa salahnya kita habiskan antara RM1,000 dan RM2,000 sepanjang Ramadan ini untuk bersedekah kerana apa yang diperoleh melalui keuntungan jualan sepanjang tahun melebihi daripada dikeluarkan ini.
“Ini adalah tahun pertama ia dilakukan dan berharap dilaksanakan setiap kali Ramadan sekiranya panjang umur,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.
Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan jemput-jemput di gerai itu setiap hari sepanjang Ramadan bermula jam 4.30 petang hingga 6.30 petang dan perisa sama seperti hari biasa.
“Saya membuka peluang kepada orang ramai berkongsi bersedekah dengan menyumbangkan buah-buahan seperti pisang, betik, tembikai susu, nanas dan nangka untuk dijadikan jemput-jemput dan diagihkan kepada orang ramai.
“Semoga dengan apa yang dilakukan ini mendapat berkat daripada Allah seterusnya dilimpahi rahmat serta rezeki sama ada daripada sudut perniagaan mahupun pekerjaan lain,” katanya.
Justeru, Ismail dengan berbesar hati menjemput sesiapa saja yang meminati jemput-jemput diusahakannya datang ke gerainya dan mendapatkannya tanpa perlu membayar sesen pun.

-Metro

Tuesday 7 June 2016

Kereta mewah untuk guru tadika

Kuwait: Seorang murid tadika memberi hadiah tidak disangka - kereta Mercedes mewah baru - kepada guru kesayangannya selepas tamat persekolahan.
Noor Al Faris, lima, memilih hadiah itu untuk gurunya sebagai tanda terima kasih kerana membantunya tamat pembelajaran di tadika itu, minggu ini.

Noor dilihat duduk di atas bonet keretanya yang tertulis ‘Kereta ini untuk guru kesayangan saya, Nadia’ dalam bahasa Arab pada cermin depannya.
Noor berkata, itu caranya dia menunjukkan terima kasih dan kasih sayang kepada guru itu yang membantunya sepanjang belajar di tadika.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan hadiah itu dibeli bapa Noor kerana berterima kasih selepas guru itu membantu anaknya setelah isterinya meninggal dunia.
Lelaki berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, guru terbabit memainkan peranan penting membantu perkembangan Noor selain membawa kesan positif kepada kanak-kanak itu selepas dia kehilangan ibunya.
Harga dan butiran lanjut mengenai kereta itu tidak didedahkan, namun media tempatan melaporkan ia model mewah.

- Agensi/Metro

Kemaluan kanak-kanak tersepit pada eskalator

BAGAI SERAI 6 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit apabila kemaluannya tersepit pada eskalator di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Diifahamkan, mangsa dipercayai duduk di atas eskalator yang sedang bergerak sehingga menyebabkan seluar dan kemaluannya tersepit.
Jurucakap bomba berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika mangsa Mohd. Rohaizad Abdul Rahman sedang menaiki eskalator bersama bapanya di pasar raya tersebut.
“Bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.06 malam dan sepasukan anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan ‘crow bar’ untuk mengumpil bahagian eskalator untuk menyelamatkan mangsa.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan mangsa dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 8.50 malam,” katanya.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan seluar dan kemaluan mangsa tersepit ketika duduk di atas eskalator yang sedang bergerak.
Katanya, setakat ini keadaan kecederaan mangsa tidak dapat dipastikan dan bahagian kema­luan mangsa yang tersepit berlaku pendarahan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Anggota bomba mengumpil bahagian eskalator untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang kemal
-Utusan

Monday 6 June 2016

Sesiapa boleh bunuh pengedar dadah

Manila: Bakal presiden baru Filipina menggesa rakyat negara itu yang memiliki senjata menembak mati pengedar dadah yang melawan ketika di tangkap.
Bercakap pada perhimpunan menyambut kemenangannya dalam pilihan raya presiden di bandar Davao lewat kelmarin, Rodrigo Duterte berkata: “Jangan takut menelefon kami, polis atau anda boleh melakukannya sendiri jika anda mempunyai senjata. Saya menyokong tindakan anda,” kata Duterte.

Ucapannya disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.
Menurutnya, rakyat Filipina yang menyokongnya dalam peperangan menentang jenayah akan diberi hadiah.
“Jika pengedar dadah melawan ketika ditangkap atau enggan dibawa ke balai polis serta cuba mengancam orang awam dengan pistol atau pisau, bunuh sahaja dia. Anda tembak dia dan saya berikan pingat kepada anda,” katanya.
Dalam ucapannya itu, Duterte juga meminta tiga pegawai kanan polis berpangkat jeneral di Manila meletak jawatan kerana terbabit dalam jenayah yang tidak dijelaskannya.
Dia mengancam akan memalukan pegawai terbabit jika mereka tidak meletak jawatan.
Duterte yang menjadi Datuk Bandar Davao sejak 20 tahun lalu serta bekas pendakwa raya berkata, punca polis melakukan jenayah ialah sama ada kerana ‘tamak melampau atau kerana keperluan terlampau.’
Duterte, 71, yang memulakan khidmat enam tahunnya pada 30 Jun mengulangi rancangan menawarkan hadiah besar kepada mereka yang menyerahkan ketua dadah, tidak kira hidup atau mati, kepada kerajaan.
Dia mencapai kemenangan besar pada pilihan raya 9 Mei lalu dengan janji untuk mengakhiri jenayah dan rasuah dalam masa enam bulan selepas menjadi presiden.

-Metro

Friday 3 June 2016

Dapat ampun sebelum dipancung

Riyadh: Seorang lelaki yang dihukum mati kerana membunuh terselamat sejurus sebelum menjalani hukuman pancung di tempat awam selepas keluarga mangsanya memaafkannya.
Zonaifar Al-Merri, warga tempatan, dibawa ke dataran di Jubail, bandar di timur Saudi dengan kawalan ketat dan dalam keadaan matanya ditutup untuk menjalani hukuman berkenaan.

POLIS mengawal tempat hukuman pancung itu sepatutnya dijalankan
 
“Ketika tukang pancung bersiap sedia untuk melaksanakan hukuman itu, abang mangsa mengumumkan dia memaafkan lelaki itu selepas berbincang dengan ibunya, yang turut hadir di dataran itu,” lapor akhbar Alriyadh.
Menurut undang-undang syariah yang diamalkan di Arab Saudi, mereka yang didapati bersalah kerana membunuh boleh dibebaskan jika dimaafkan keluarga mangsa sebagai ganti kepada wang darah yang dibenarkan ditetapkan keluarga mangsa.

- Agensi/Metro

Wednesday 1 June 2016

Polis temukan dua aligator sedang makan badan manusia

SOUTHWEST RANCHES, Florida 31 Mei - Police di South Florida terkejut dengan satu kejadian di mana dua ekor aligator sedang memakan badan yang dipercayai manusia, semalam.
Polis temukan dua aligator sedang makan badan manusia
Laporan portal The Sun Sentinel yang memetik pegawai polis di Davie, Capt. Dale Engle sebagai berkata, badan manusia itu ditemukan Ahad lalu di Southwest Ranches, kira-kira 32.2 kilometer dari Fort Lauderdale, dan dikatakan kejadian itu sudah lama di lokasi tersebut.
Menurut Engle, para pegawainya gagal untuk menghalau dua aligator tersebut bagi membolehkan mereka mendapatkan badan manusia terbabit.
Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat situasi tersebut dan belum mengetahui cara kematian serta jantina manusia terbabit.

- AGENSI/Utusan