Friday 27 July 2012


Arab Spring berbeza dengan kita
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BEBERAPA hari lalu, seorang pelajar Malaysia dari Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Syariah Maahad Duali di Syria, Abdullah Mohd. Shauki yang dihubungi oleh rakan saya, Sofian Baharom memberitahu, ibadat solat tarawih di masjid-masjid sekitar Damsyik terpaksa dilakukan lapan rakaat sahaja kerana huru-hara yang mengancam makmumnya.
Jemaah lain merungut kerana mahukan rakaat yang lebih. Di sempadan Syria-Iraq pula beberapa hari lepas, pengawal sempadan Iraq hanya terdaya melihat seorang kolonel Syria sedang dipotong kedua-dua belah kaki dan tangannya oleh anggota pemberontak negara berkenaan manakala 12 tentera Syria turut ditembak mati.
Kita di Malaysia bernasib baik walaupun ada pihak tertentu dalam ucapan-ucapan mereka cuba mengaitkan besar kemungkinan Malaysia akan berlaku Arab Spring seperti yang terjadi di Asia Barat, tetapi ia sukar berlaku.
Apabila Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang dijatuhkan oleh rakyatnya pada Januari 2011, ada pihak di negara ini mengaitkan Malaysia akan menghadapi suasana yang sama. Rakyat kononnya kata mereka akan bangun dan menolak kerajaan demokrasi yang ada.
Arab Spring berterusan lagi dengan gugurnya Presiden Mesir, Hosni Mubarak pada Februari 2011, diikuti jatuhnya Presiden Libya, Muammar Gaddafi pada Ogos 2011. Semuanya terjadi pada 2011. Dan pergolakan Arab Spring di Syria sedang berlangsung.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan, mengakui pihak tertentu terutama sekali pakatan pembangkang memang ingin mengaitkan Malaysia adalah sama suasananya seperti Arab Spring.
"Ertinya suatu perbandingan tentang musim luruh yang jatuh berturutan, daun-daun yang berturutan gugur satu persatu akibat dari sistem yang rapuh.
"Sedangkan di Malaysia tidak berlaku demikian sebab Arab Spring ini mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat tersendiri," kata beliau.
Apakah sifat Arab Spring? Apakah punca revolusi Arab yang berlaku sehingga menyebabkan terjadi penolakan rakyat terhadap para pemimpin mereka.
Fuad menilai isu ini daripada sudut berikut:
1. Semua pemimpin di Asia Barat yang dijatuhkan oleh rakyat mereka naik secara kudeta (rampasan kuasa). Baik Zin al-Abidine yang mengambil kuasa daripada Habib Bourguiba, juga sama dengan Gaddafi dan Mubarak. Latar belakang mereka semuanya daripada militari. Naik secara militari dan ditolak secara militar. Oleh kerana naik secara militar, sudah tentulah dia berkuasa secara autokratik dan kuku besi.
2. Para pemimpin yang digulingkan ini sifatnya naik secara militar dan memerintah dalam tempoh begitu lama. Zin al-Abidine memerintah selama 24 tahun, Mubarak (30 tahun) tetapi sebelum itu selama enam tahun sebagai Naib Presiden. Itu bermakna 36 tahun. Mereka mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk. Oleh kerana dia tentera, dia empunyai kecenderungan untuk menyekat kebangkitan ataupun pandangan Arab yang berbeza.
3. Malaysia, sebuah negara yang demokratik. Pemimpin yang naik dipilih oleh rakyat melalui satu sistem demokrasi pilihan raya. Ia sudah bersilih ganti sejak 55 tahun sehingga enam Perdana Menteri. Dan masing-masing Perdana Menteri silih berganti menyambung usaha sebelumnya dalam memajukan kepentingan rakyat. Sentiasa ada pembaharuan.
4. Sentiasa berlaku pembaharuan di Malaysia. Kalau dilihat pada kadar ketelusan (transparency) negara-negara yang terlibat dalam kebangkitan Arab Spring, kebanyakannya dari segi indeks ketelusan antarabangsa mendapat markah kurang daripada 4 berbanding dengan keseluruhan 10. Kebanyakan negara yang runtuh akibat Arab Spring adalah kurang daripada 4. Tunisia cuma 3.8 daripada kadar ketelusan. Maknanya, rasuah berlaku. Di Mesir pula, kadar ketelusan hanya 2.9 peratus, Syria (2.6), Iran 2.7 dan Libya 2.
Sedangkan Malaysia mencatat 4.3 kadar ketelusan dan Turki 4.2, sekali gus bermakna Malaysia lebih baik. Walaupun pemimpin pembangkang selalu membandingkan Malaysia dengan Turki dengan mengatakan Turki lebih baik dan sebagainya, tetapi indeks transprensi international menyatakan kadar ketelusan kita lebih baik berbanding Turki, baik daripada Indonesia, baik daripada Iran 2.7.
Namun, tidak usahlah dibandingkan negara ini dengan Qatar dan Brunei sebab di sana tidak boleh sesiapa persoalkan sebab mereka sistem beraja.
5. Kadar inflasi di kebanyakan negara yang menghadapi Arab Spring adalah tinggi. Apabila inflasi tinggi, harga barang menjadi mahal, jadi, rakyat memberontak. Contohnya, Mesir mencatat 8.6 peratus inflasi, sangat tinggi. Di Tunisia pula kadar inflasinya mencecah 5.4 peratus, Turki paling tinggi 8.7 dan Malaysia sekadar berpuas hati dengan hasil 1.7 peratus.
6. Walaupun ramai bisingkan harga sesuatu barang agak mahal, kita sebenarnya mempunyai kadar subsidi yang cukup tinggi berbanding negara lain.
7. Dari segi negara selamat, Malaysia menduduki tangga ke-19 di seluruh dunia daripada 153 negara yang dikatakan selamat daripada Global Peace Index. Maknanya dari segi itu, kita patut bersyukur oleh kerana berada dalam negara yang aman.
Daripada Global Peace Index, kadar jenayah menunjukkan tanda-tanda menurun. Contohnya, melalui NKRA kadar jenayah jalanan menurun dua peratus.
8. Kehidupan rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat negara lain. Pada era Presiden Suharto, pembangkang menjadi senyap dan tidak terbuka. Di Libya langsung tiada pembangkang, mereka diberi tekanan.
9. Perdana Menteri ketika ini menekankan soal maqasid syariah (matlamat mengikut aturan Islam) yang dicapai untuk kepentingan umat. Sebab itu, dalam maqasid syariah, antara perkara ditekankan ialah bagaimana seseorang itu harus menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Ini ditekankan untuk kebajikan rakyat.
Menurut Fuad, pembangkang di negara ini akan cuba menggunakan Arab Spring sebagai jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat dan pemimpin.
"Mereka sudah cuba sistem demokrasi tetapi mereka gagal sejak 1955 lagi. Sebabnya, dasar mereka gagal diterima rakyat. Sebab itu mereka mengalun-alunkan Arab Spring. Bila gagal cara 'demokrasi', mereka menggunakan keganasan," katanya. 

Ramadan membangun jiwa muttaqeen
PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
DALAM Surah al-Baqarah ayat 183 dinyatakan dengan jelas mengenai orang yang beriman dan kewajipan untuk melakukan siyam atau puasa. Ayat itu juga memberi perisyaratan hubungan siyam sebagai madrasah rohiyyah untuk membangun jiwa muttaqeen.
Jiwa muttaqeen adalah puncak kepada kemuliaan diri insan di sisi Allah (Surah al-Hujurat ayat 13). Isu takwa ini adalah isu pokok yang membezakan orang yang beriman dengan yang lainnya. Pancaran jiwa muttaqeen adalah gambaran hubungan rapat manusia dengan Allah (taqarrub Ilallah).
Kedekatan hubungan Khaliq-Makhluk ini menyebabkan seluruh pertimbangan manusia dalam percakapan, perbuatan dan amalnya mengambil pertimbangan Allah untuk mendapatkan redha-Nya.
Siyam dalam maksud yang luas bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi adalah madrasah rohiyyah yang melatih insan terhadap kawalan diri zahir dan batin. Latihan ini amat penting kepada manusia supaya jiwa abid (ahli ibadah) sentiasa dalam kehambaan dirinya dengan Allah.
Ia membangun jiwa ibadullah dan ibadurrahman yang membentuk watak abid menjadi orang yang berjiwa ruku' dan sujud. Asas ini amat penting bagi menghasilkan jiwa patuh, taat, akur dan tunduk dan pekerti taabudi yang tinggi kepada Allah.
MADRASAH ROHIYYAH
Rasulullah SAW dalam hadisnya memberi asas mengenai disiplin dan adab. "Ya Allah didiklah aku dengan didikan yang terbaik". Adab dan ta'dib adalah sesuatu yang amat penting dalam melakukan tarbiyyah terhadap rijal atau manusia.
Addaba membawa maksud adab merujuk kepada disiplin akal, hati dan amal. Perjalanan rijal membangun disiplin akal membolehkan penjanaan ilmu berlaku, ketangkasan hati terjadi dan kebaikan amal terlihat. Ia amat penting sebagai suatu proses pembangunan insan seutuhnya. Tanpa disiplin, adab tidak akan lahir.
Fokus pembangunan rijal ialah hati. Faktor dalaman diri manusia ini memerlukan tarbiyyah rohhiyyah supaya terhubung antara faktor akal dengan faktor naql atau wahyu yang menyerasikan fikir dan zikir supaya ia memberi makna kepada amalan.
Siyam yang dilalui adalah proses memperkukuh hati dengan kawalan diri yang tinggi. Siyam dalam ertikata yang luas tidak sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi ia juga mengawal pancaindera daripada terhubung dengan perkara-perkara yang mungkar dan menyalahi. Siyam juga meletakkan manusia memiliki daya ihsan yang tinggi dengan Allah kerana jiwa muttaqeen meletakkan Allah itu segala-gala.
AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK
Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 185 memberikan perisyaratan tentang al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan untuk memberi pertunjuk kepada manusia mengenai yang hak dan batil.
Maksud petunjuk dalam Islam amat luas maknanya. Al-Quran tidak sekadar memberikan manusia ilmu, maklumat, prinsip dan kisah tetapi terkandung hikmah yang tinggi membentuk pemikiran yang rohhiyy mengenai kebesaran Allah dan hikmah yang terdapat dalam kejadian-Nya.
Petunjuk tidak sekadar menjadikan manusia berilmu tetapi sekali gus membentuk akhlak karimah yang menjadi sumber teladan dan ikutan kepada manusia.
Al-Quran tidak sekadar ayat-ayat yang bersifat harfiah dibaca untuk mendapatkan fadhilat atau pahala tetapi ia sarat dengan ilmu sebagai sumber petunjuk memahami alam dan kehidupan dan bukti-bukti saintifik bagi keperluan manusia.
Ramadan yang dilalui diiringi dengan tilawah dan tadarus mendekatkan para abid dengan kalimatullah supaya al-Quran sentiasa dijadikan sumber petunjuk dalam proses pengilmuan dan kehidupan.
JIHAD AN NAFS
Rasulullah SAW selepas kembali dari Perang Badr yang berlaku dalam bulan Ramadan menyatakan kepada sahabat bahawa "Kita baru saja kembali dari perang yang kecil ( jihad al-asghar) dan akan berhadapan dengan jihad yang lebih besar (jihad al-akbar) atau jihad al- nafs iaitu jihad nafsu atau jihad diri.
Manusia yang memiliki nafsu adalah sebesar-besar cabaran dalam perjuangan hidup. Sesetengah ulama mengkategorikan nafsu dalam tiga tahap iaitu Nafs amarah bissuk iaitu nafsu haiwani, nafsul lawamah dan nafs al mutmainnah iaitu nafsu orang berjiwa tenang.
Faktor nafsu adalah sesuatu yang fitrah dikurniakan Allah kepada manusia. Tanpa nafsu manusia hilang keinginan, kemahuan dan perasaan. Daripada nafsu yang dimiliki manusia memerlukan tarbiyyah rohiyyah supaya nafsu dapat dikawal dan mencari ititk keseimbangan dalam melaksanakan amalan, keinginan dan perbuatan.
Contoh mudah nafsu ini ialah ibarat kuda liar. Kuda liar apabila ditunggangi boleh menyebabkan penunggang menghadapi masalah. Justeru kuda perlu dijinakkan dengan latihan dan kawalan tali kekang. Kuda yang jinak dan terlatih akan ikut cakap tuannya atau penunggang itu sendiri.
Nafsu manusia juga sedemikian. Ramadan yang dilalui dengan siyam sebagai intipati penjinakan hati dan pengawalan diri bakal meletakkan hati insan dalam jiwa muttaqeen. Disiplin hati ini amat penting kepada manusia kerana setiap amal bermula dengan niat.
Kalau niat manusia terbina dengan rasa taabudi yang tinggi rasa ketakwaan akan hadir dalam diri manusia dan ia menjadi asas bagi menatijahkan amal soleh dan solehah bagi insan.
KEMBALI KEPADA FITRAH
Sebulan Ramadan yang dilalui merupakan tazkiah an nafs bagi orang yang beriman dengan mengalami proses pengawalan diri, pembersihan jiwa dan hati supaya insaf ketuhanan berlaku dan ia adalah barometer yang memberikan daya kawalan hati dan amal.
Madrasah Rohiyyah yang dilalui ini dengan solat tarawih, qiyam dan tahajud membolehkan jiwa ruku' dan sujud terbina, berbuka dan sahur adalah tanda kesyukuran terhadap rahmat Allah dan ujian bangun pagi bagi yang beriman, menggunakan pancaindera secara makruf, selalu melakukan muhasabah diri di depan Allah supaya jiwa tawaduk mengambil tempat hingga para abid (ahli ibadah) sentiasa melakukan sesuatu dalam redha-Nya.
Asas ini sangat penting bagi mengembalikan semula orang yang beriman ke dalam fitrah diri. Diumpamakan sebuah kereta yang lalu di lebuh raya kehidupan memerlukan ia dibawa ke bengkel untuk digantikan minyak hitam atau pistonnya supaya kereta ini sentiasa dalam keadaan baik untuk menjalani lebuh raya kehidupan yang banyak cabarannya.
Aidilfitri yang dirayakan selepas sebulan melalui madrasah rohiyyah ibarat kelahiran anak kecil seputih kain untuk melalui perjalanan hidup yang fitrah. Manusia yang beriman akan melalui proses transformasi diri yang hebat.
Kalau dulunya para abid ini seorang sombong dan takabur, melalui Madrasah Ramadan ia menjadi seorang yang tawaduk dan menginsafi diri bahawa seluruh rahmah dan nikmah itu datangnya daripada Allah.
Dari seorang yang kedekut dan bakhil menjadi seorang pemurah dan memiliki ihsan yang tinggi terhadap manusia lain. Dari seorang yang gelojoh, melampau dalam cakap dan perbuatan menjadi seorang yang tenang dan sabar. Jika ini berlaku ia adalah tanda- tanda transformasi atau perubahan diri insan yang mengembalikan diri kepada fitrah.
Perubahan diri manusia boleh diukur apabila setiap proses tarbiyyah berlaku. Ukuran yang paling nyata ialah terhadap akhlak dan gelagat manusia. Kalau sebelum Ramadan amal-amal yang bersifat mazmumah nyata ada pada dirinya.
Tetapi selepas melalui proses tarbiyyah an nafs ini wataknya berubah dan memiliki kekuatan amal yang sifatnya mahmudah.
Sukakan hal-hal yang baik dan bermanfaat, tidak kedekut dan bakhil, baik sangka terhadap manusia lain, memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Sekiranya ini tidak terjadi bermakna tarbiyyah rohiyyah tidak terjadi dan ia tidak kembali ke fitrah dan ramadan tidak membentuknya menjadi orang yang berjiwa muttaqeen.
Muhasabah ini penting supaya melalui Ramadan mestilah dengan hati ikhlas dan suci bersih. Lantaran kembalinya insan kepada tuntutan fitrah adalah isyarat orang yang menerima redha Allah.
Sumber: Utusan Malaysia

Iktibar nasib Muslim Rohingya?
Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
DR. AHMAD ZAKI ISMAIL ialah Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris).


PENDUDUK Muslim Rohingya cuba menyeberangi Sungai Naf untuk melarikan diri ke Bangladesh pada 13 Jun lalu.

 
SUDAH puluhan tahun Muslim Rohingya di Myanmar berjuang untuk mendapat hak mereka. Malah tidak sedikit darah, wang, tenaga dan air mata yang dicurahkan mohon diiktiraf untuk menjadi warganegara. Untuk menumpang teduh dan mencari sesuap nasi dari tanah tumpah darah mereka sendiri. Namun nampaknya, hingga kini perjuangan itu tidak ke mana.
Mana agaknya pejuang hak asasi antarabangsa, mana agaknya cerdik pandai dan alim ulama, mana agaknya ahli pemikir dunia, mana agaknya penyokong demokrasi ternama. Semuanya diam umpama tikus jatuh ke dalam tepung. Sang juara dan pejuang agung ternama terbenam dalam lubuk legasi dan kepentingan diri. Terkontang-kantinglah Muslim Rohingya dibunuh, diusir dan dianiaya.
Bukan sahaja tidak mendapat simpati di tempat sendiri, dari kalangan saudara mara seagama, malah mereka diusir dari perairan negara jiran yang seagama dan mempunyai pertalian saudara jika diteliti susur galur sejarahnya.
Cubalah renungi di mana sahaja, di Asia malah di Amerika adakah ini berlaku begitu. Kononnya mereka pejuang kebebasan dan hak asasi, tetapi masih penuh hasad dengki. Orang Islam sentiasa dipandang serong, malah warna kulit masih tetap diperkatakan meskipun tidak secara terangan.
Proses apa yang berlaku di Myanmar dan nasib yang menimpa Rohingya sepatutnya membuka mata kita. Justifikasi sudah jelas, analogi sudah menepati, bukti terang terserlah cuma mungkin akal sahaja yang masih belum mampu diwaraskan untuk menerima kebenaran. Kerana dalam kehidupan realiti sebenarnya, kebenaran selalunya adalah sesuatu yang pahit dan sukar untuk diterima.
Bagaimanapun, nasib dan tragedi Rohingya sepatutnya boleh menjelaskan segalanya. Ia satu bukti nyata untuk mereka yang ikhlas menilainya.
Betapa beruntungnya hidup di Malaysia, betapa sucinya hati budi bumiputera yang sentiasa dituduh dengan pelbagai kata nista, dicemuh malah dijadikan mangsa cerca. Bayangkan kalau mereka di Myanmar, apa bakal nasib yang akan menimpa dan tidakkah itu boleh diteladani dan dipandang dengan seikhlas hati.
Sedih hati jika kita membaca pelbagai cercaan di blog dan pelbagai laman media elektronik dewasa ini. Dengan perkataan kesat yang berbaur sumpah seranah, maki hamun dan pelbagai kutukan yang bukan sahaja bagai menghina tetapi turut menyentuh perasaan sehingga tergamak menyentuh bangsa, keturunan dan agama.
Bagi umat Islam di negara kita pula kena bermuhasabah. Kenangi nasib rakan dan saudara seagama kita di Myanmar sana. Pernahkah hinggap di minda kita bahawa nasib yang sama juga mungkin bakal menimpa dan kita akan masuk pada bakul yang sama jika kita leka.
Sekali lagi kita merujuk kepada umat Islam di Semenanjung Arab sana tidak terkecuali di Libya kini mereka sudah ditimpa musibah akibat leka. Kononnya nak memperbaiki nasib negara tetapi akhirnya jatuh ke dalam percaturan petualang yang bersorak kerana akhirnya runtuh sudah empayar Islam seluruh dunia.
Sudah tibalah janji Allah, sungguh benar sabda Rasulullah di mana umat Islam di akhir zaman banyak bilangannya tetapi kurang impaknya umpama buih di lautan yang luas.
Benarkah hujahan di atas ini boleh berlaku? Mari kita undur hanya kira-kira 622 tahun lalu, teliti apa yang berlaku kepada empayar gah seantero Nusantara. Roboh hingga sukar dibangunkan semula, dan hilanglah Melaka bersama Rajanya. Sudah puas Melayu berjuang, sudah ratusan tahun diusahakan, namun kegemilangan gagal dikembalikan hinggalah kemerdekaan dapat diusahakan.
Kini atas nama merdeka, yang sudah dinikmati 55 tahun tidak lama lagi, maka kita terasa amat megah. Kita terasa sudah cukup hebat sambil mendabik dada. Demokrasi yang kami pinta. Kami tidak mahu diperintah si kuku besi, kami tidak beroleh apa yang sudah orang lain miliki.
Itulah yang dijadikan alasan bagi menghalalkan cara dalam mengatur onar dan angkara. Tentu hasrat mereka ingin memerintah negara, mengambil alih pucuk dan puncak kuasa. Cuma waraskah kita semua melompat dan meracau mengikut gendang yang dipalu mereka tanpa usul periksa, tanpa meneliti fakta dan tanpa bukti nyata.
Kemudian, mulalah terlebih pandai bermadah lantas menolak ketuanan, menolak payungan malah menolak titi dan jambatan. Mahu ditolak pulakah tangga untuk kita naik ke rumah kelak?
Rohingya, malang sungguh nasib anda bila negara kelahiran anda tidak menerima anda seadanya. Bukan sahaja dinafikan hak sebagai warga negara malah hak selaku manusia juga ditolak sebegitu rupa. Hak untuk hidup dan mencari makan selaku manusia biasa yang tidak bersangkut paut dengan politik, bersaing untuk kerusi pemerintahan atau meminta sebarang keistimewaan atau sedikit bantuan tidak pernah dipedulikan.
Lantas mereka menjadi buruan, menjadi pelarian, menjadi mangsa belasahan sehingga ke tahap pembunuhan. Ini tidak menimbulkan sebarang keinsafan kepada kita semua sehingga menjadi terus kufur kepada nikmat dan rahmat yang melimpah ruah selama ini. Hingga mungkin kita menjadikan apa yang sedang kita nikmati ketika ini seolah-olah datang dengan sendiri tanpa sebarang usaha dan pengorbanan generasi sebelum ini.
Kepada mereka yang mendapat perkongsian hasil toleransi selama ini, belajarlah sedar diri. Bukan sentiasa menuding jari, mencaci dan memaki. Fikirlah untung diri jikalau anda di tempat asal yang hakiki. Bukan mengungkit jauh sekali berdengki, tetapi inilah akibatnya bila sejarah tidak dipelajari. Ia tidak lagi diajar di sekolah, anak muda tidak faham erti muafakat, bagi mereka celik mata semua sudah di hadapan mata.
Neraca perlu diperbetulkan semula, ada sesuatu yang tidak kena sehingga permintaan sudah di peringkat mengada-ada dan keterlaluan. Kita perlu membuat penilaian dan memberikan ganjaran yang sesuai dan kena pada tempatnya. Dengan kata lain, kalau rakyat diibaratkan sebagai anak-anak sudah tentu hadiah hanya diberikan kepada mereka yang baik, yang berjaya dan bukan sebaliknya.
Apa guna hanya kita yang memegang teguh pada janji sedangkan orang lain memanipulasikannya secara berterangan di hadapan mata kita.
Kata rakyat jelata, buat baik berpada-pada, tapi rakan kongsi khianat kita masih ketawa dan mereka terus bersandiwara. Dapat lebih daripada yang sepatutnya, kita sahaja yang berkorban dan dikorban dan akhirnya tentulah penyokong menjadi bosan.
Malaysia dan Rohingya, mungkin ketika ini di kedudukan yang berbeza. Tetapi hidup ini umpama roda. Kalau tersilap percaturan tentu kita akan binasa.
Hanya masa yang bakal menentukannya atau kita biarkan sahaja dan tutup mata, tutup telinga dan tutup minda. Kita peduli apa, hati puas, biarlah semua merasa. Tuding saja jari sini dan sana, salahkan orang lain.

Tuesday 24 July 2012


Memahami pengertian konsep Maqasid Al Syariah

Oleh ZAINAL RASHID AHMAD
ZAINAL RASHID AHMAD
ialah Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al Hijrah

KENYATAAN Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Bicara Tokoh di Kuala Terengganu baru-baru ini, membuka minda kita untuk melihat dengan lebih luas akan aspek pembangunan negara ummah dalam konteks Islam yang lebih luas.
Apatah lagi, dalam kenyataannya itu, Dr. Sulaiman yang Profesor Jurusan Akidah, Mahzab dan Firaq, Universiti Ummul Qira, Mekah itu turut memberi amaran akan bahaya anasir yang memecah belah perpaduan ummah, serta ancaman rusuhan jalanan dalam usaha menjatuhkan pemimpin Islam.
Kehadiran Dr. Sulaiman melengkapkan lagi perbincangan yang menyentuh mengenai Maqasid Al Syariah yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Malam Jasamu Dikenang, Allahyarham Ustaz Nik Mohamed Mohyideen Wan Musa di Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang baru-baru ini.
Kata Perdana Menteri, perjuangan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah berteraskan kepada tuntutan Islam berdasarkan konsep Maqasid Al Syariah.
Maqasid Al Syariah yang khusus menyentuh mengenai perbincangan keutamaan dalam bersyariah ini, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan umat; yakni, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.
Sehari sebelum itu, program Bicara TV Al Hijrah turut membincangkan isu Maqasid Al Syariah dalam konteks Islam dalam pembangunan negara serta keupayaannya untuk dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penyelidik, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), mencerakinkan apa yang dimaksudkan Maqasid Syariah, dengan bahasa mudahnya adalah mengambil kebaikan dan meninggalkan kemudaratan.
"Asas utama Islam adalah keadilan dan ihsan. Allah menyeru kita untuk berbuat keadilan dan bersikap ihsan. Antara ulama terawal yang membincangkan Maqasid Syariah, Imam Al-Ghazali dalam kitabnya 'Al-Mustashfa'," katanya.
Imam Ghazali, jelas Dr. Asyraf, membincangkan lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri; yakni, agama, diri, akal, keturunan dan harta.
Hujah ini diperkuatkan dengan kenyataan Dr Ahmad Al-Raisunni, yang menyeru kepada perspektif lebih besar, dengan merujuk kepada prinsip asas Islam yang menekankan kepada manifestasi keadilan dan kebajikan.
Walaupun Maqasid Al Syariah diangkat dari pemikiran Islam, apakah kandungannya relevan untuk sebuah negara bangsa pelbagai etnik seperti Malaysia?
Isu ini diperjelas Datuk Fuad Hassan , Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menyentuh mengenai Perlembagaan Fasal 3 (1).
"Fasa ini ada menyebut bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan. Semasa memorandum dihantar untuk perbincangan kemerdekaan dahulu, apakah muslihat tidak meletakkan Malaysia sebagai negara Islam ketika itu?"
Menurut Fuad, hal ini berlaku kerana pada ketika itu, tuntutan-tuntutan untuk mencapai kemerdekaan terdiri daripada gabungan antara kumpulan yang bukan Islam, mewakili kaum Cina, India dan Melayu sendiri.
Jadi katanya, bagi memudahkan tuntutan mencapai kemerdekaan dengan cepat, maka pada masa itu, dasar yang menyatakan Malaysia negara Islam ditukar kepada Islam sebagai agama rasmi.
Dalam Maqasid Syariat, diutamakan mendahulukan sesuatu yang baik bagi memastikan hasilnya membawa kebaikan kepada umat manusia secara keseluruhannya. Konteks rundingan kemerdekaan itu sendiri bertolak kepada kebijaksanaan pemimpin pada waktu itu yang melihat kepada mendahulukan yang lebih penting.
"Dalam konteks pembangunan negara, kayu ukurnya ialah rakyat. Apa yang penting tentunya konsep keharmonian, kebahagiaan dan kesenangan rakyat yang dijadikan asas utama kerajaan dalam melaksanakan sesuatu matlamat," kata Fuad.
Meluaskan lagi perbincangan Bicara malam itu, Dr. Asyraf menyentuh mengenai pendekatan wasatiyah yang turut didokong oleh Perdana Menteri.
Prinsip wasatiyah, katanya, mengimbangi pandangan ekstremisme beragama dalam pelbagai isu, dan amat diperlukan dalam persekitaran negara membangun.
"Konsep wasatiyah menyeru kita untuk membangunkan rakyat dan negara dengan meletakkan aspek keharmonian dan keamanan sebagai keutamaan," katanya.
Wasatiyah dalam konteks semasa juga, katanya, memfokuskan pembangunan ummah dalam konteks ekonomi, bagi menjamin kualiti hidup yang aman dan selesa.
Kesederhanaan dalam berwasatiyah, menjadikan kita melihat jauh ke hadapan terutama dalam mengukuhkan ekonomi rakyat berbanding fikiran-fikiran dengan ideologi sosial dan politik yang ekstrem.
Mengenai Malaysia sebagai negara Islam contoh pula, Fuad menjelaskan, negara ini menjadi contoh bukan dalam aspek tertentu sahaja, tapi boleh dilihat secara keseluruhannya.
"Ada negara yang maju kerana hasil petroleum tetapi kadar literasinya rendah, malah ada negara yang maju kerana sistem autokrasinya, tetapi menenggelami masalah kadar pengangguran yang tinggi serta kekerasan dalam hak asasi, tetapi Malaysia, jauh mendahului hingga ke tahap pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Selain itu, katanya, sikap umat Islam yang amat sederhana serta bertoleransi tinggi, menjadi resipi utama kemakmuran hari ini. Sumbangan kaum-kaum lain juga turut diakui.
Merujuk kepada semangat wasatiyah kerajaan, Dr. Asyraf turut menambah, kepimpinan hari ini tidak pernah menghalang pembangunan dan penyuburan fahaman Islam di kalangan masyarakat, melalui sokongan dana kepada pelbagai pertubuhan Islam.
"Kerajaan mewujudkan J-QAF dan KAFA, tujuannya serampang dua mata, bagi memastikan pelajar sekolah rendah memahami asas seperti jawi, Al-Quran dan Fardhu Ain," hurainya.
Bicara dihoskan Pakar Motivasi, Amin Idris dan disiarkan secara langsung dari Studio TV Al Hijrah, Kompleks Pusat Islam setiap Isnin, pukul 10 malam. 

Mensyukuri nikmat Ramadan

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRE) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

ALHAMDULILLAH tahun ini kita bertemu lagi di bulan Ramadan, bulan suci yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan pengampunan oleh Allah SWT. Ketika umat Islam dari Maghribi sehingga Afghanistan menempuh dugaan paling hebat kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi ekoran cuaca panas, kita umat Islam Malaysia amat beruntung dengan pelbagai jenis makanan yang terhidang di depan mata tatkala berbuka puasa.
Jangan sesekali melupakan nasib umat Islam yang lain di negara-negara seperti Iraq, Pakistan, Syria dan sudah semestinya di Palestin. Di sana mereka terpaksa menjalani ibadah puasa dengan mengikat perut. Ada di antara negara tersebut berada dalam zon perang. Di Malaysia, kita sungguh aman. Kita bebas menjalani ibadah puasa dengan ditambah ibadah-ibadah lain sepanjang bulan ini.
Pengalaman penulis ketika berada di Paris, Perancis, baru-baru ini bagi membentangkan satu kertas kerja di persidangan antarabangsa, berkesempatan melihat sebuah negara yang maju tetapi kos sara hidup mereka amat tinggi. Segala-galanya cukup mahal. Harga tanah di situ berlipat kali ganda berbanding harga tanah di Kuala Lumpur.
Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan terdapat ramai penduduk yang tidak memiliki rumah. Sebahagian mereka terpaksa bekerja sebagai pencopek saku. Menangani mereka bukannya mudah kerana mereka ini dalam keadaan terpaksa untuk menyara hidup mereka. Jangan terkejut jika anda melihat peminta sedekah di kalangan kanak-kanak.
Dianggarkan hampir separuh penduduk Paris merupakan pendatang asing. Mereka bekerja di merata-rata tempat terutamanya dalam industri pelancongan Paris. Penulis bernasib baik kerana bertemu dengan seorang pemandu teksi yang berketurunan Melayu Champa yang boleh berkomunikasi Bahasa Melayu dengan fasih.
Maklumlah rata-rata penduduk Perancis lebih mengutamakan bahasa mereka berbanding Bahasa Inggeris. Malahan, rancangan televisyen yang berbahasa Inggeris pun dialih suara ke Bahasa Perancis. Mereka lebih berbangga berbahasa Perancis, bahkan ada di antara mereka tidak boleh langsung berbahasa Inggeris tetapi menariknya masyarakat mereka lebih maju berbanding negara kita. Berbeza di Malaysia, Bahasa Melayu semakin dipinggirkan. Adakah ini menggambarkan jati diri rakyat Perancis lebih kuat berbanding rakyat Malaysia?
Berbalik kepada pemandu teksi tadi. Dia telah menetap di Paris selama 32 tahun. Kehidupannya di sana tidaklah secantik kota Metropolitan Paris. Dia terpaksa mengharungi kesukaran. Penulis amat teruja melihat ketabahannya menjalani kehidupan di Paris sehingga berjaya menyara anak-anak ke menara gading.
Salah seorang anaknya bekerja sebagai akauntan di firma perakaunan yang terkenal di dunia. Dia mempunyai ramai adik beradik yang menetap di Malaysia. Kakaknya menetap di Johor manakala adik-adiknya pula menetap di Perak. Disebabkan adik beradiknya berada di Malaysia, dia sekeluarga selalu mengunjungi Malaysia. Menurutnya, anak-anaknya masih diajar berbahasa Melayu meskipun dia berkahwin dengan rakyat Perancis dan berada di negara asing. Begitu kukuh jati dirinya!
Penulis sempat bertanya soalan kepadanya sama ada dia gemar berada di Malaysia. Menurutnya, berada di Malaysia lebih baik berbanding di Perancis. Adik beradiknya sedang menjalani kehidupan yang selesa di Malaysia tidak sebagaimana ketika mereka berada di zaman Pol Pot yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman. Kalau diberi pilihan dia ingin menetap di Malaysia, namun kerana beberapa kekangan, dia masih menetap di Perancis. Baginya, rakyat Malaysia amat beruntung. Hidup dengan aman damai dan boleh mencari rezeki sebanyak yang mungkin.
Penulis tersenyum mendengar kata-katanya dan berasa amat bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Sepanjang perjalanan ke hotel penginapan penulis, dia berkali-kali memuji Malaysia sehingga tiba di hotel, dia sempat mengakhiri kata-kata bahawa dia sekeluarga tidak sabar-sabar untuk datang ke Malaysia pada Disember ini.
Itu pengalaman penulis dengan seorang pemandu teksi yang berketurunan Melayu Champa. Penulis juga berkesempatan berbual dengan pemandu teksi berketurunan Maghribi ketika dalam perjalanan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de gaulle untuk pulang ke Malaysia. Penulis memaklumkan kepadanya mengenai penerbangan penulis iaitu menggunakan perkhidmatan MAS. Mendengar sahaja syarikat penerbangan MAS, dia terus menyatakan bahawa syarikat ini adalah antara syarikat penerbangan terbaik di dunia dan rata-rata penumpang cukup berpuas hati dengan syarikat ini.
Sememangnya MAS telah mengharumkan nama Malaysia sekian lama dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada para penumpang seluruh dunia.
Sekali lagi, penulis mengajukan soalan yang sama kepada beliau sebagaimana pemandu teksi berketurunan Melayu Champa, adakah beliau berasa seronok bekerja di Paris? Jawapannya tetap sama, dia terpaksa menempuh liku-liku kehidupan kerana terpaksa mengharungi diskriminasi di kalangan penduduk di situ.
Menjalani kehidupan di Paris umpama indah khabar dari rupa kerana kos sara hidup amat tinggi. Namun dek kerana sesuap nasi dia tetap bekerja di situ.
Dua kisah pemandu teksi beragama Islam yang bekerja di negara yang majoritinya bukan Islam mengingatkan penulis betapa bersyukurnya menjadi warga Malaysia terutamanya tatkala Ramadan ini yang dengan jelas menampakkan bahawa Malaysia negara Islam yang amat sesuai untuk didiami bagi sesiapa sahaja. 

Friday 13 July 2012


Iblis sentiasa sesatkan manusia 

SETELAH Allah mengisytiharkan iblis sebagai makhluk yang sombong dan akan menjadi penghuni neraka terkutuk, iblis berikrar akan berusaha menyesatkan manusia.
Ikrar Iblis itu termuat di dalam surah Al-A’raaf ayat 16-17 yang bermaksud: “Kerana Engkau (Allah) menghukum saya tersesat, maka saya benar-benar akan menghalang-halangi mereka (manusia) dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya (Iblis) akan mendatangi mereka (Manusia) dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau (Allah) tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).
Daripada ayat itu, Imam Al-Ghazali dalam salah satu kitabnya menjelaskan, iblis akan menyesatkan anak Adam dengan cara mengubah cara pandangannya terhadap kebenaran.

Yang benar dipandang salah dan begitulah sebaliknya. Contohnya, seseorang mengajak kita solat ke masjid, iblis akan membisikkan ke telinga kita: “Lihat si fulan itu ajak kamu ke masjid (solat), si fulan rajin doa dan lain sebagainya tapi cuba lihat apa yang dia dapat dari semua itu? masih miskin-miskin juga.”
Jika terpengaruh, kita akan mengiyakan tetapi jika melawan kita akan mengatakan: “Solat adalah kewajipan saya sebagai Muslim, soal rezeki urusan Allah.”
Selain itu, iblis juga akan menggunakan cara kedua iaitu mendatangi dari belakang. Pada tahap itu, iblis berusaha menundakan ibadat manusia, contohnya, apabila sudah mendengar azan di masjid tetapi iblis akan membisikkan ke telinga manusia mengapa terburu-buru sedangkan waktu asar masih panjang.

Jadi bisikan itu akan menyebabkan kita lewat menunaikan solat, malah ada yang terus meninggalkannya.

Jika cara itu tidak berhasil, iblis akan menggunakan pula cara ketiga iaitu datang dari arah kanan. Iblis akan menghalang manusia melakukan perkara yang lebih sempurna dalam ibadat.

Jika sudah berjaya pada peringkat pertama hingga ketiga, tetapi iblis akan membisikkan pula, mengapa perlu ditambah-tambah lagi jika sudah selesai melaksanakan kewajipan (buat solat sunat).

Jika tidak berjaya, mereka datang pula dari sebelah kiri iaitu seseorang itu ditanamkan rasa sombong di hati atau berasa diri mereka paling baik.

Iblis tetap meneruskan usahanya dengan membisikkan lagi supaya hati kita kalah dengan pujian. “Hebat la kamu punya ibadat tepat waktu, setelah yang wajib, kamu zikir dan menambah ibadat dengan yang sunat.”

Manusia yang mendapat pujian itu akan terbit di dalam hatinya rasa sombong dan berasa dirinya hebat berbanding orang lain.

Jika itu yang berlaku, samalah kita dengan iblis laknatullah, sombong, bongkak dan memandang rendah kepada orang lain.

Jika kita berjaya menepis semua bentuk bisikan dan godaan itu, insya-Allah syurga Allah menanti kita di akhirat kelak.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12
Sumber: Harian Metro