Friday 28 February 2014

Telah nyata kebenaran Islam


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya. (Ali-Imran: 19)

Di tengah-tengah senario umat Islam dituduh sebagai pengganas, dinafikan hak mereka di bumi sendiri, dimalukan dengan insiden-insiden yang tidak langsung memahami sensitiviti masyarakat Islam, namun siapa sangka agama Islam itu semakin mendapat perhatian penduduk dunia. Malah, kalau sebelum ini agama Kristian dikatakan menduduki tangga teratas sebagai penganut teramai, kini fakta itu telah berubah. Yang dibenci itulah yang kini sedang dicari-cari dan dicintai oleh insan-insan yang Allah SWT pilih. Subhanallah

Buktiknya, jumlah penduduk dunia (2013) adalah 7,021,836,029. Sebaran maklumat menurut agama adalah: Islam 22.43 peratus, Kristian Katolik 16.83 peratus, Kristian Protestan 6.08 peratus, Orthodok 4.03 peratus, Anglican 1.26 peratus, Hindu 13.78 peratus, Buddha 7.13 peratus, Sikh 0.36 peratus, Yahudi 0.21 peratus, Baha 0.11 peratus, lainnya 11.17 peratus, Non Agama 9.42 peratus dan Atheists 2.04 peratus (www.30 days.net).

Bahkan dikatakan bahawa jumlah umat Islam pada 2012 adalah berjumlah lebih 2,000 juta. Sedangkan jumlah penganut Kristian dan Protestan adalah 2,000 juta. Sehingga Islam sekarang ini walaupun dibandingkan dengan penganut Kristian dan Protestan, sudah menjadi agama terbesar di dunia. (www.religiouspopulation).

Lima kali ganda

Menurut The Almanac Book of Facts, 2011, penduduk dunia (2011) berkembang 137 peratus dalam satu dekad terakhir, di mana Kristian berkembang hanya sebanyak 46 peratus, sebaliknya Islam berkembang sebanyak lima kali ganda iaitu 235 peratus. Disebutkan bila trend perkembangan ini terus berlaku, dijangkakan pada 2030, satu daripada tiga penduduk dunia adalah orang-orang Islam. (www.muslimpopulation.com).

Fakta ini senada dengan jangkaan Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keamanan, Djoko Suyanto pada Persidangan Antarabangsa Cendikiawan Islam di Hotel Sultan, Jakarta, tidak lama dahulu. Beliau telah meramalkan bahawa pada 2025 nanti, umat Islam akan menjadi penduduk majoriti di dunia. Jumlahnya juga akan mendadak naik iaitu 30 peratus dari seluruh populasi warga bumi atau seperempat penduduk dunia.

Dalam persidangan yang bertemakan ‘Meningkatkan Solidaritas dan Kesatuan Muslim Dunia’ (Upholding Solidarity and Unity in the Moslem World) itu, Djoko turut meramalkan umat Islam akan mengambil peranan utama dalam bidang keilmuan dunia.

Sementara itu, jika dilihat pecahan mengikut benua, data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (2012) menunjukkan, sejak 1989 sehingga 2012, perkembangan jumlah penganut agama Islam yang paling cepat berkembang di Australia dan Oceania/Pacific iaitu 257.01 peratus, diikuti oleh Eropah 142.35 peratus, Amerika 25 peratus, Asia 12.57 peratus, Afrika 2.15 peratus dan Amerika Latin 4.73 peratus (www.30-days.net).

Menurut The Almanac Book of Facts (2011) lagi, dalam 10 tahun terakhir, penduduk dunia bertambah sebanyak 137 peratus. Di mana penganut agama Kristian bertambah sebanyak 46 peratus. Sedangkan penganut agama Islam bertambah sebanyak 235 peratus (www.geocities.com).

Dapat disimpulkan di sini, Islam adalah agama dengan perkembangan penganutnya yang tertinggi di dunia setiap tahun. Hal ini diperkukuhkan dengan fakta yang dipetik daripada Guinness Book of World Records, 2011 di mana antara 1990 hingga 2000, diperkirakan sekitar 12.5 juta orang daripada pelbagai agama, berhijrah kepada agama Islam.

Dapatan daripada tinjauan pendapat di Amerika Syarikat, didapati sekitar 200,000 orang setiap tahun berhijrah akidah dari agama Kristian kepada agama Islam (www.usislam.org).

Suatu penyelidikan yang dibuat oleh Faith Matters (2011) di Eropah, didapati bahawa dalam 10 tahun terakhir diperkirakan jumlah orang Inggeris yang bertukar daripada agama lain (Kristian) menjadi Muslim ialah seramai 5,000 orang setiap tahun (http://insideislam.wisc.edu).

Oleh IBRAHIM ABDULLAH-Utusan

Thursday 27 February 2014

Lelaki Afrika Selatan tawar duit untuk dara wanita


JOHANNESBURG 27 Feb. - Seorang lelaki di Afrika Selatan menawarkan sejumlah ganjaran bernilai AS$9,300 (RM 30,528) dan pingat kepada wanita dalam kalangan usia sehingga 35 tahun, yang masih memelihara dara mereka.

Tawaran itu dilakukan lelaki tersebut sebagai usaha untuk memerangi jangkitan virus kekurangan imuniti manusia (HIV) dan gejala kehamilan di kalangan remaja.

Seorang pekerja komuniti, Rabelani Ramali yang berasal dari daerah Limpopo memberitahu akhbar The Times bahawa dia akan menghadiahkan calon yang berjaya dengan wang tunai sehingga 100,000 rand (RM 30,444) dan beberapa pingat daripada emas, perak dan gangsa, berdasarkan umur mereka.

Bagaimanapun, inisiatif itu telah menerima pelbagai reaksi.

- AFP/Utusan

Wednesday 26 February 2014

Kisah pakar anatomi Thailand masuk Islam...

 
”Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada
ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali
kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya
mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS.
An-Nisa: 56)

Bagi sebahagian besar umat Islam, ayat di atas terdengar
seperti ayat-ayat serupa dalam Al-Quran yang menjelaskan pedihnya siksa neraka
bagi orang-orang yang tidak beriman. Namun tidak demikian bagi Tagatat Tejasen,
seorang saintis Thailand di bidang anatomi. Baginya, ayat itu adalah sebuah
keajaiban.

Persidangan Perubatan Saudi ke-6 di Jeddah yang diikuti
Tejasen pada Mac 1981 menjadi awal detik pertemuannya dengan keajaiban itu.
Dalam persidangan yang berlangsung selama lima hari itu, sejumlah ilmuan Muslim
mendedahkan kepada Tejasen beberapa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan
anatomi.

Tejasen yang beragama Buddha kemudian mengatakan bahawa agamanya
juga mempunyai bukti-bukti sama yang secara tepat menjelaskan tahap-tahap
perkembangan embrio. Para ilmuan Islam yang ada ketika itu tertarik
mempelajarinya dan meminta profesor yang berasal dari Thailand itu untuk
menunjukkan ayat-ayat tersebut kepada mereka.

Setahun kemudian, pada
bulan Mei 1982, Tejasen menghadiri persidangan perubatan yang sama di Dammam,
Arab Saudi.

Apabila ditanya tentang ayat-ayat anatomi yang pernah
dijanjikannya, Tejasen meminta maaf dan mengatakan bahawa ia telah menyampaikan
kenyataan tersebut sebelum mempelajarinya. Ia telah memeriksa kitabnya, dan
mendapati bahawa tidak ada rujukan di dalamnya yang dapat dijadikan bahan
kajian.

Ia kemudian menerima cadangan para ilmuan Muslim untuk membaca
sebuah makalah penelitian karya Keith Moore, seorang profesor bidang anatomi
yang berasal dari Kanada.

Makalah itu berbicara tentang keserasian antara
embriologi moden dengan apa yang disebutkan dalam Al-Quran.

Tejasen
tercengang saat membacanya. Sebagai saintis di bidang anatomi, ia menguasai
dermatologi (ilmu tentang kulit).

Dalam tinjauan anatomi, lapisan kulit
manusia terdiri daripada tiga lapisan yakni Epidermis, Dermis, dan Sub Cutis.
Pada lapisan yang terakhirlah, Sub Cutis, terdapat hujung-hujung pembuluh darah
dan saraf.

Penemuan moden di bidang anatomi telah mendedahkan bahawa luka
bakar yang terlalu dalam akan mematikan saraf-saraf yang menetapkan
sensasi.

Saat terjadi Combustio grade III (luka bakar yang telah menembus
Sub Cutis), seseorang tidak akan merasakan sakit. Hal itu disebabkan tidak
berfungsi hujung-hujung serabut saraf afferent dan efferent pengatur sensasi
yang rosak oleh luka bakar tersebut.

Makalah itu tidak saja menunjukkan
kejayaan teknologi perubatan dan perkembangan ilmu anatomi, namun juga
membuktikan kebenaran Al-Quran.

Ayat 56 surah An-Nisa ‘mengatakan bahawa
Allah akan memasukkan orang-orang kafir ke dalam neraka, dan menukar kulit
mereka dengan kulit yang baru setiap kali kulit itu hangus terbakar, agar mereka
merasakan pedihnya azab Allah.

Jantung Tejasen berdebar. “Bagaimana
mungkin Al-Quran yang diturunkan 14 abad yang lalu telah mengetahui fakta
perubatan ini?”

Sebelum berjaya mengatasi kejutan tersebut, Tejasen
dilempari soalan oleh para ilmuan Muslim yang mendampinginya, “Mungkinkah ayat
Al-Quran ini berpunca dari manusia?”

Ketua Jurusan Anatomi Universiti
Chiang Mai Thailand itu sentak menjawab, “Tidak, kitab itu tidak mungkin berasal
dari manusia. Ia kemudian termangu dan meneruskan respondnya, “Lalu dari mana
kiranya Muhammad menerimanya?”

Mereka memberitahu Tejasen bahawa Tuhan
itu adalah Allah, yang membuat Tejasen semakin ingin tahu. “Lalu, siapakah Allah
itu?” soalnya.

Dari para ilmuan Muslim tersebut, Tejasen mendapatkan
keterangan tentang Allah, Sang Pencipta yang dari-Nya berpunca segala kebenaran
dan kesempurnaan. Dan Tejasen tak membantah semua jawapan yang diterimanya. Ia
menerimanya.

Profesor yang pernah menjadi dekan Fakulti Perubatan
Universiti Chiang Mai lalu itu kembali semula ke negaranya, tempat ia
menyampaikan sejumlah kuliah tentang pengetahuan dan penemuan barunya
itu.

Maklumat yang dikutip oleh laman special.worlofislam.info
menyebutkan bahawa kuliah-kuliah profesor yang masih beragama Buddha itu, di
luar dugaan, telah mengislamkan lima mahasiswanya.

Hingga akhirnya, pada
Persidangan Perubatan Saudi ke-8 yang diadakan di Riyadh, Tejasen kembali hadir
dan mengikuti siri pidato tentang bukti-bukti Quran yang berkaitan dengan ilmu
perubatan.

Dalam persidangan yang berlangsung selama lima hari itu,
Tejasen banyak membincangkan dalil-dalil tersebut bersama para sarjana Islam dan
bukan Islam.

Di akhir persidangan, 3 November 1983, Tejasen maju dan
berdiri di podium. Di hadapan semua peserta persidangan, ia menceritakan detik
awal minatnya pada Al-Quran, juga kekagumannya pada makalah Keith Moore yang
membuatnya meyakini kebenaran Islam.

“Segala yang terakam dalam Al-Quran
1400 tahun yang lalu pastilah kebenaran, yang boleh dibuktikan oleh sains. Nabi
Muhammad yang tidak boleh membaca dan menulis pastilah menerimanya sebagai
cahaya yang diwahyukan oleh Yang Maha Pencipta, “katanya.



Tejasen lalu menutup
pidatonya dengan mengucap dua kalimah syahadat






Sumber : disini

Sakit ditipu ‘pakar’


ZOU menjalani pembedahan membuang 42 butir permata dari badannya

Changsha (China): Seorang lelaki terpaksa melalui pengalaman menyakitkan ketika doktor mengeluarkan 42 butir permata dari badannya selepas dia diperdaya ‘pakar perubatan’ alternatif.

Zou Feng - dari wilayah Hunan - berkata, selepas mengadu sakit belakang seorang jiran menyarankan dia bertemu seorang tokoh yang mahir dalam perubatan tradisional.

Lelaki berusia 61 tahun itu mengunjungi ‘pakar’ terbabit pada 2011 dan diberitahu penyakitnya itu luar biasa sehingga ia hanya boleh disembuhkan dengan menanam permata di bawah kulitnya.

Kata Zou, ‘pakar’ berkenaan membuat tebukan kecil pada kulit dan memasukkan permata itu sebelum luka berkenaan dijahit.

“Pesakit lain berkata, kaedah itu berkesan dan saya mahu mencubanya.

“Memang pada peringkat awal selepas dia memasukkan 42 butir permata ke dalam badan, saya berasa sedikit lega,” katanya.

Bagaimanapun, Zou mula menghadapi masalah baru - dia sukar berjalan dan bukan saja belakangnya sakit, malah semua sendi.

Bimbang keadaan semakin parah, Zou pergi semula ke klinik ‘pakar’ berkenaan tetapi kecewa apabila orang yang dicari sudah berpindah.

“Justeru, saya pergi mendapatkan rawatan di hospital biasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Sying Wan dari Hospital Ortopedik Nianlun di ibu negeri Hunan, Changsha berkata, dia tidak pernah menemui kes seperti dialami Zou.

“Mula-mula saya tak tahu apa objek ada dalam badan Zou ketika melihat salinan x-ray sehinggalah dia menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Menurut Dr Sying, setiap butir permata itu menyebabkan tulang Zou mati, termasuk di sendi pinggulnya yang tidak dapat diselamatkan.

- Agensi/Metro

Penduduk Islam diancam bunuh


Gambar bertarikh 13 Februari lalu menunjukkan, sekumpulan penduduk Islam berehat di sebuah kem pelarian sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Mpoko di Bangui, sementara menanti giliran dibawa keluar dari Republik Afrika Tengah berikutan krisis agama. - REUTERS

CARNOT, Republik Afrika Tengah 25 Feb. - Sekumpulan 800 penduduk Islam yang kini berlindung di dalam sebuah gereja di sini, berdepan ancaman bunuh oleh militan Kristian sekiranya mereka gagal meninggalkan Republik Afrika Tengah dalam tempoh masa seminggu.

Dalam kejadian semalam, kumpulan militan Kristian itu turut berkumpul di hadapan gereja tersebut dengan membawa 40 liter minyak sambil mengugut untuk membakar rumah ibadat itu.

Keadaan itu memaksa kira-kira 30 orang anggota pengaman dari Cameroon, melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan anggota kumpulan Kristian anti-Balaka tersebut.

Penduduk Islam yang mendapatkan perlindungan di gereja itu merupakan penduduk Kampung Guen, kira-kira 100 kilometer dari Carnot, yang melarikan diri setelah kumpulan anti-Bakala menyerang penempatan mereka sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang penduduk terbunuh, awal bulan ini.

Sebelum ini, penduduk Islam dan Kristian yang tinggal di Carnot hidup dalam keadaan aman damai, sehinggalah kumpulan pemberontak Muslim Seleka menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden, Francois Bozize pada Mac tahun lalu.

Kumpulan pemberontak itu, dipersalahkan atas kejadian pembunuhan beramai-ramai penganut Kristian dan kekacauan yang berlaku di negara ini.

Menurut seorang paderi, Rigobert Dolongo yang membantu mengebumikan mayat-mayat berkenaan, kumpulan anti-Balaka melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti membunuh penduduk kampung berkenaan dengan kejam.

Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan hari pertama dan 43 orang lagi pada hari kedua.

Seorang saksi kejadian, Ibrahim Aboubakar, 22, berkata, anggota kumpulan anti-Balaka menyerang Kampung Guen dan membunuh dua orang abangnya, selepas anggota kumpulan tersebut mendengar mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Arab.

"Selepas kejadian itu, kumpulan berkenaan mengumpulkan berpuluh-puluh orang dan memaksa mereka untuk baring sebelum bertindak menembak mereka satu persatu,’’ jelas Ibrahim.

Sementara itu, dua orang penduduk Islam yang enggan mendedahkan nama mereka atas faktor keselamatan mendakwa, penduduk yang masih berada di Kampung Guen bertindak menelefon pasukan pengaman Afrika di sini, untuk segera membantu menyelamatkan mereka dan menegaskan bahawa tentera anti-Balaka yang lengkap bersenjata masih mengawal kampung ini, hari ini.

- AGENSI/Utusan

Tuesday 25 February 2014

Bakar diri tuntut tanah di India

GUWAHATI, India - Seorang aktivis hak asasi manusia, Pranab Boro membakar dirinya di depan pejabat Sekretariat Assam di sini semalam. Dia mencurahkan petrol pada badannya sendiri sebelum bertindak menyalakan api dan membakar dirinya. Boro yang berusia 45 tahun melakukan perbuatan itu bagi menuntut tanah untuk penduduk tempatan di beberapa lokasi di negeri Assam. Namun, beberapa anggota polis berjaya memadamkan api yang menjilat tubuhnya. Dia turut dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan. Boro kemudian bagaimanapun meninggal dunia selepas hampir keseluruhan badannya melecur akibat dijilat api. Lelaki itu merupakan anggota persatuan pembela hak petani iaitu Krisak Mukti Sangram Samiti. - Agensi/Kosmo

Monday 24 February 2014

Ridhuan Tee marah Melayu ‘elak khinzir’ tapi masuk gereja


Pensyarah, Ridhuan Tee Abdullah hari ini mengecam tindakan seorang calon Melayu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berucap di gereja demi kepentingan politik.

Menulis di ruangannya di akhbar Sinar Harian, Ridhuan mengkritik langkah calon tersebut, yang memasuki serta berucap dalam gereja Holy Family Kajang, sebagai perbuatan liberal dan keterlaluan.

"Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam. Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka.

"Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam demi kepentingan politik. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka akan bersama-sama menimbang khinzir. Melayu bolehlah katakan!" tulisnya.

Beliau menasihatkan calon PRK Kajang itu agar jangan menggadaikan maruah demi kepentingan politik.

"Saya memohon kepada sesiapa pun yang ingin bertanding di Kajang, jangan kerana terlalu obses untuk menang, kita menggadaikan segala-galanya. Jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara, untuk mendapat undi dan nafsu serakah politik. Ingatlah, sekali maruah dan hak tergadai, sukar untuk dicari ganti," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tiada salahnya masuk ke gereja demi tujuan dakwah.

"Saya tidak melarang orang Melayu untuk masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam jika ada tujuan dakwah, seperti pernah saya lakukan membantu membawa ibu ke tokong untuk dia sembahyang, ziarah kubur ibu bapa dan lain-lain, ihsan anak kepada orang tua," katanya.

Sebelum ini, calon Pakatan Rakyat (PR) untuk PRK Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di gereja selepas upacara keagamaan mingguan penganut Kristian di gereja tersebut.

Langkahnya mendapat sokongan ramai penganut Kristian yang hadir, namun dikecam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan beberapa mufti negeri.

PRK Kajang diadakan ekoran peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sana.

Pakatan Rakyat (PR) menamakan Anwar sebagai calon PRK sehari selepas peletakan jawatan Lee.

Calon lain yang bakal bertanding adalah Datin Paduka Chew Mei Fun untuk Barisan Nasional dan dua calon bebas termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 23 Mac sebagai hari PRK manakala 11 Mac untuk hari penamaan calon. - 24 Februari, 2014.

-The Malaysian Insider

Si panjang, si pendek cari calon isteri

Makkah: Dua lelaki yang mendakwa diri mereka lelaki tertinggi dan terpendek di dunia berkata, mereka berhajat untuk mencari jodoh yang sesuai.

Kehadiran Ajaz Ahmed, 38, dan Qamar Ali, 30, menyuarakan hasrat itu ketika ditemui di Makkah kerana mengerjakan umrah, semalam.

Ajaz berkata, dia masih belum menemui calon untuk dijadikan isteri. Dia turut menyuarakan rasa sedih kerana namanya masih belum tercatat di dalam Buku Rekod Dunia Guinness.

“Dia (Ajaz) datang bersama Qamar Ali, lelaki terpendek dunia. Qamar yang beratnya hanya 24 kilogram juga berhasrat untuk berkahwin dan mempunyai keluarga.

“Seperti Ajaz, Qamar juga sedih kerana tidak disenaraikan dalam Buku Rekod Dunia Guinness,” lapor akhbar tempatan.

Ajaz yang menggunakan tongkat berkata, kakinya patah ketika mengerjakan umrah beberapa tahun lalu.

Dengan ketinggian sekitar 2.54 meter, Ajaz dikategorikan sebagai lelaki tertinggi di dunia manakala Qamar yang tinggi 95 sentimeter, lelaki terpendek di dunia.

- Agensi/Metro

Friday 21 February 2014

Apa beza mereka dengan Kassim Ahmad?

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

1. MALAYSIA dikejutkan dengan kemunculan semula Kassim Ahmad setelah menyepi hampir 30 tahun lamanya. Pandangan murtadnya berkenaan hadis yang membawa kepada pengharaman bukunya pada tahun 1986 kembali disuarakan apabila beliau diberi ruang untuk bercakap pada hari Sabtu lepas, 15 Februari 2014 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Selepas itu beliau mula mendapat ruang lagi di dalam media-media dan kemungkinan akan terus mendapat ruang berita.

2. Saya tidak berniat untuk mengulas tentang pandangan sang ‘idealis’ Kassim Ahmad itu kerana sudah ramai yang menyelar pandangannya. Penolakan terhadap hadis adalah penolakan terhadap al-Quran itu sendiri kerana arahan untuk berpegang dengan hadis datangnya dari al-Quran. Di sudut lain, arahan untuk berpegang dengan al-Quran itu disuarakan oleh Nabi Muhammad SAW di atas lisannya kerana al-Quran itu dibunyikan kali pertama di atas lisan Nabi Muhammd SAW. Jika hadis ditolak kerana lisan Muhammad boleh tersilap periwayatannya, maka apa jaminan bahawa periwayatan al-Quran adalah betul? Idea idealis yang celaru.

3. Akan tetapi persoalan sebenar yang patut ingin saya bincangkan, kenapa dengan mudah Kassim Ahmad sekarang mendapat pentas kembali?

4. Pada pandangan saya, Kassim Ahmad hanya menjadi tamu di pentas yang memang sudah wujud untuk golongan liberal di Malaysia. Kemunculannya bukan mencipta pentas baru. Pentas itu sudah pun wujud lama. Ada pentas dicipta oleh golongan liberal juga. Malangnya ada juga pentas yang disediakan oleh golongan yang menanggap idea Islam Liberal.

5. Pentas diberikan kepada Khalid Jaafar, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar. Khalid ini pernah sedekah al-Fatihah kepada orang bukan Islam yang mati, pernah mengeluarkan pandangan bahawa Syiah perlu dipertahankan dan pelbagai lagi kelakuan peliknya. Apa bezanya dengan Kassim Ahmad?

6. Pentas juga diberikan kepada Khalid Ismath yang pernah menyindir mengenai peristiwa Israk dan menyindir bahawa Ustaz Harun Taib adalah seorang nabi. Apa juga bezanya dengan Kassim Ahmad?

7. Pentas juga masih diberikan kepada Ahmad Farouq Musa dan Fuad Rahmat dari IRF. Mereka secara halus mempromosikan penafsiran al-Quran secara hermenutika. Mereka menafsirkan secara salah pemikiran al-Maududi, Sayid Qutb dan ramai lagi ulama Islam demi menjual idea mereka. Mereka menolak negara Islam dan mempromosikan negara sekular. Malangnya, buku Wacana Pemikiran Reformis mereka diberikan prakatanya oleh Dr Zulkifli Ahmad, Pas dan tidak habis-habis dipuji oleh Dr Mujahid, Pas. Apa beza mereka ini dengan Kassim Ahmad sebenarnya?

8. Bagaimana pula dengan Zainah Anwar dari Sister in Islam? Beliau pernah menolak hudud secara terang-terangan. Pernah juga memberikan pandangan bahawa fatwa dan undang-undang adalah terpisah dengan ertikata jika Majlis Fatwa mana-mana negeri mengeluarkan fatwa umum ke atas satu-satu masalah, itu tidak akan terkena perlaksanaannya kepada semua orang. Apa beza kata-kata dan pandangannya terhadap Islam dengan Kassim Ahmad?

9. Cuba lihat pula Marina Mahathir. Scara terang-terangan menyokong segala tuntutan Comango yang liberal, tetapi masih diberikan ruang istimewa dilantik menjadi Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional. Telitilah pemikirannya di dalam pelbagai isu dan nilai dengan neraca Islam. Jauh sangatkah bezanya dengan Kassim Ahmad?

10. Satu lagi tokoh yang saya nak sebut di sini, mungkin sedikit tidak bersetuju, tetapi saya yakin majoriti umat Islam akan bersetuju. Apa pula pandangan kita terhadap Anwar Ibrahim? Bagaimana ucapannya berkenaan Religion and Pluralisme in a Divided World (Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE)? Begitu juga ucapan-ucapannya selepas itu yang mengulangi konsep yang sama dengan lafaz yang berlainan? Tidakkah itu juga pandangan liberal yang bercanggah dengan Islam?

11. Dan banyak lagi yang boleh dikongsikan di sini. Ada tokoh yang memang liberal. Ada tokoh yang membawa idea liberal tapi kerana dia membacakan sikit-sikit ayat al-Quran dan Hadis (tapi secara salah), masyarakat rasa idea mereka boleh diterima di sisi Islam.

12. Penentangan terhadap tokoh-tokoh liberal ini mesti dilakukan secara menyeluruh. Golongan ini berbahaya dan idea yang mereka bawa jika meresap ke dalam masyarakat boleh meruntuhkan terus baki struktur Islam di dalam masyarakat. Mereka wujud di dalam pelbagai pertubuhan samada dalam BN atau PR atau badan-badan berjenama Islam yang lain.

13. Saya memuji pihak yang mengecam Kassim Ahmad dan ideanya. Tetapi jangan lupa juga untuk mengecam sama idea dari tokoh-tokoh liberal yang lain termasuklah Anwar Ibrahim. Tanpa menuduh niat, saya juga mengingatkan agar kecaman terhadap Kassim Ahmad memang benar-benar kerana idea liberalnya dan bukan kerana ingin menjatuhkan blok politiknya semata-mata.

14. Bagi yang mungkin menganggap penutup artikel ini sebagai bias, saya menegaskan bahawa Isma telah pun mengeluarkan kenyataan tentang Kassim Ahmad pada 17 Februari lepas. Tanpa mengira blok kepartiannya, kami menganggapnya idealis sesat dan menyokong fatwa 1986 yang menjatuhkan beliau sebagai murtad dan wajib dibunuh jika mengikut undang-undang Islam.

-Sinar

Meninggal ‘senyum’ dalam solat


Pasir Mas: “Walaupun arwah penduduk negara jiran, namun dia selalu solat berjemaah di masjid ini. Saya terkejut arwah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini. “Saya lihat wajah arwah kelihatan tersenyum,” kata Samsuddin Yasin, 52, antara saksi seorang guru pondok meninggal dunia ketika solat Isyak pada rakaat pertama di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, Mahama Jehma, 56, dari Kampung Weng, Thailand berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah dan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan sebelum pulang ke kampungnya. Ketika rakaat pertama, guru pondok itu rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung. Samsuddin yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan masjid itu berkata, kejadian berlaku ketika kira-kira 60 jemaah sedang solat Isyak pada rakaat pertama sebelum dia terdengar bunyi seperti benda jatuh. -Metro

Alahai dunia : Budak 6 tahun mahu beli kereta untuk teman wanita


Beijing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilihat minggu lalu bersama-sama “teman wanitanya” di sebuah kedai dengan membawa duit yang banyak untuk membeli kereta elektrik. Dia yang pergi ke kedai berkenaan Khamis lalu meminta pengurus kedai memberinya kereta elektrik yang paling mahal. Pekerja kedai itu berkata, “Saya nampak dia mengeluarkan satu sampul dan menyatakan yang dia tidak cukup duit. “Dia membawa hampir 10,000 yuan (RM5,430),” menurut pekerja kedai berkenaan. “Saya tidak boleh menjualnya kepada kanak-kanak, Saya suruh dia membawa ibu bapanya. Tetapi dia berkata, ayahnya bercuti. Dia mahu mencuba kenderaan itu,” katanya. Masih belum dapat dipastikan dari mana kanak-kanak itu mendapat wang berkenaan tetapi melihat pada sampul merah yang dibawanya, duit itu mungkin dikumpulnya hasil pemberian anggota keluarga ketika Tahun Baru China atau diambil daripada ibu bapanya. Orang ramai yang berada di situ merakam gambar kanak-kanak berkenaan mencuba pelbagai jenis motosikal bersama “teman wanitanya” tetapi pekerja kedai berkenaan enggan menjual kenderaan itu. - Agensi/Metro

Thursday 20 February 2014

Balas dendam cara ‘kotor’


Washington: Seorang pembantu rumah yang tertekan dengan majikannya membalas dendam dengan cara yang menjijikkan. Dia menukar air botol di bilik tidur majikannya dengan air kumbahan dan mencelup berus gigi mereka ke dalam lubang tandas. Pembantu rumah itu mendedahkan perbuatannya dan berkata selepas merana dengan tugasannya selama tiga bulan, dia membalas dendam kepada majikannya, sepasang suami isteri, kerana mereka “menyakitkan hati dan tidak bertimbang rasa.” “Saya membalas dendam dengan menyelinap masuk ke bilik air mereka dan mencelup berus gigi mereka ke dalam tandas,” katanya. Menurut sumber, wanita itu melakukan beberapa lagi “kerja gila” untuk membalas dendam sebelum berhenti kerja. “Isteri majikan saya selalu meletakkan botol air di tepi katil dan saya juga mencampurkan air itu dengan air dari lubang tandas. Ia membuatkan saya rasa puas ketika itu,” kata wanita itu. Menurutnya, perbuatannya mungkin memberi kesan buruk terhadap majikannya. “Saya mendapat tahu dari seorang kenalan yang mereka kini mengalami masalah kesihatan, tetapi saya tidak tahu penyakit apa dan saya risau saya menjadi penyebabnya,” katanya. - Agensi/Metro

Petua Elak Anak Kencing Malam








Bagi mengelakkan anak anda kencing malam, Anda boleh mengamalkan petua ini.
Caranya ialah dengan menggunakan madu dan perahan lemon. Bagi anak anda satu
sudu madu yang dicampurkan dengan sedikit jus lemon. Amalkan setiap pagi dan
sebelum tidur. Anda juga boleh mengajar anak untuk kencing dahulu sebelum tidur,
Selain itu berikan kata-kata pujian jika anak anda tidak kencing pada waktu
tidur. Hal ini dapat mendorong mereka dari kencing di tempat tidur.

Sumber: petua opah di sini

Gadis direjam sampai mati kerana Facebook


DAMSYIK 19 Feb. - Seorang gadis Syria dijatuhi hukuman rejam sehingga mati kerana membuka akaun laman web sosial, Facebook, menurut satu laporan hari ini. Mahkamah Syariah di bandar al-Raqqa, di sini menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Fatoum al-Jassem, selepas didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral kerana memiliki akaun laman web itu. Dia dibawa ke mahkamah oleh militan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) selepas ditangkap ketika sedang melayari laman web itu. Laman web berita, examiner.com menjelaskan, mahkamah tersebut yang berada di bawah penguasaan ISIS turut menjatuhkan hukuman sama terhadap kesalahan zina. ISIS merupakan kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan ditubuhkan pada April, tahun lalu. Kumpulan tersebut merupakan satu daripada pertubuhan yang menentang tentera kerajaan Syria, dan kini menawan bandar al-Raqqa pada Mac, tahun lalu. Dilaporkan, terdapat penduduk yang menentang kumpulan itu ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara tanpa perbicaraan. Penduduk wanita pula diarah untuk menutup aurat dan menurut laporan saluran televisyen CNN, mereka dilarang bertemu dengan doktor lelaki dan meninggalkan rumah tanpa ditemani saudara lelaki. - AGENSI -Utusan

Wednesday 19 February 2014

Perbanyakkan zikir, doa dalam sujud


Pergerakan dalam solat ketika sujud adalah gambaran terbesar kehambaan kita kepada Allah SWT. Sujud keadaan yang paling hampir seseorang hamba itu kepada penerimaan Tuhannya maka perbanyakkan zikir dan doa ketika sujud. Rasulullah SAW bersabda: “Paling hampir seorang hamba itu dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud maka perbanyakkan doa.” (Riwayat Muslim) Maksud hampirnya hamba itu kepada Allah SWT adalah dekat penerimaan segala permohonan, rasa rendah dirinya kepada Allah, bukan hampir dari segi tempat atau ruang makhluk kerana zat Allah bukan di kiri, kanan, belakang, depan, atas atau bawah. Begitu juga lafaz yang disebut bererti Maha Suci Tuhan Yang Tinggi Keagungan-Nya bukan bererti tinggi tempat kerana Allah SWT ada tanpa bertempat. Sementara itu, tiada didikan yang amat mulia melainkan memberi tarbiah kepada anak supaya memelihara akidah dan solat lima waktu. Kalam ulama muktabar Imam Syeikhul Islam Abdullah al-Harari memetik sabda Baginda Rasulullah SAW: “Wajib ke atas penjaga kanak-kanak sama ada perempuan atau lelaki yang telah mumayyiz iaitu telah mula boleh memahami sesuatu ketika berumur tujuh tahun ke atas ibu bapanya hendaklah menyuruh anaknya menunaikan solat dan mengajar keduanya hukum hakam solat serta memukul keduanya setelah berumur 10 tahun jika sengaja meninggalkan solat begitu juga pada puasa yang selagi dia mampu.” Ibnu ‘Abbas ketika berehat sebentar di rumah ibu saudaranya, Maimunah isteri Rasulullah, baginda yang pulang ke rumah terus bertanya: “Adakah Ibnu ‘Abbas telah solat.” (Riwayat al-Bukhari) Sejurus Nabi Muhammad SAW pulang ke rumah, baginda terus bertanya akan solat terhadap anak di bawah jagaannya. Ini menunjukkan penting memerhatikan orang bawahan kita terutama anak-anak supaya sentiasa memelihara solat. Ucapan setinggi-tingginya tahniah kepada ibu bapa yang mendidik anak untuk menjaga solat sekalipun berada di negara barat yang agak sarat dengan gejala sosial demi melahirkan generasi yang beramal dengan agama Islam dan cinta akan solat. Oleh Mohd Rasyiq Mohd Alwi-BH

Empat tahun sorok mayat suami


London: Seorang wanita dipenjara tiga tahun selepas didapati bersalah mengebumikan secara rahsia suaminya di kawasan berbukit berbatu. Rebekah Sturdey dituduh berbuat demikian kerana mahu terus memperoleh faedah saraan suaminya yang berjumlah £57,000 (RM314,712) selama lebih empat tahun. Wanita berkenaan yang berusia 56 tahun mengebumikan suaminya secara rahsia dengan bantuan dua rakan. Pegawai mengesyaki sesuatu tidak kena apabila elaun hilang upaya dan bayaran pencen berjumlah £77,318 (RM426,893) kepada Geoffrey sedangkan kali terakhir dia dilihat ialah pada 2008. Mahkamah dimaklumkan bahawa Rebekah memberitahu penyiasat bahawa suaminya bercuti mengelilingi Eropah. Pendakwa raya Huw Rees berkata: “Ketiga-tiga wanita itu mengebumikan mayat Geoffrey di ladang mereka. Rebekah dan rakannya Boqer-Ore Adie masih menuntut bayaran saraan Geoffrey sehingga perbuatan mereka terbongkar tahun lalu.” Boger-Ore ialah penjaga Geoffrey yang berdaftar dan dia dibayar elaun untuk menjaga lelaki berkenaan. Pasukan forensik menghabiskan kira-kira £20,000 (RM110,399) untuk menyiasat dari udara dan darat bagi mengesan tempat Geoffrey dikebumikan. -Metro

Tuesday 18 February 2014

Tempat selamat ‘buang’ anak


Beijing: China akan menyediakan tempat selamat untuk ibu bapa menyerahkan anak yang tidak dimahukan di seluruh negara itu, walaupun terdapat pertikaian sama ada ia akan menyaksikan lebih banyak bayi dibuang, demikian menurut laporan media. Kerajaan negara itu sudah menubuhkan 25 pusat bayi di 10 wilayah dan bandar utama sejak Jun 2011, menurut agensi berita rasmi Xinhua, kelmarin. Lebih banyak akan dibina di 18 wilayah lain, kata laporan itu yang memetik Pusat bagi Kebajikan dan Anak Angkat Kanak-Kanak China (CCCWA). Pusat berkenaan mempunyai inkubator, penggera, penyaman udara dan katil bayi, menurut laporan itu. Kakitangan kebajikan mendapatkan bayi antara lima ke 10 minit selepas ditinggalkan dan menekan butang penggera, membolehkan keluarga menyerahkan anak mereka dengan selamat dan tanpa diketahui orang lain. Tak mampu tanggung kos perubatan Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak berkenaan mempunyai kecacatan atau penyakit kronik seperti sindrom down atau ‘cerebral palsy’. Banyak bayi dibuang kerana ibu bapa tidak mampu menanggung kos perubatan dan pendidikan khas yang mahal. Kemudahan berkenaan sering dipuji kerana membantu menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang mungkin ditinggalkan di jalanan. Cetus kebimbangan “Tetapi ia turut mencetuskan kebimbangan bahawa kewujudannya menggalakkan ibu bapa untuk membuang anak yang tidak dimahukan, iaitu ia salah dari segi undang-undang,” kata Xinhua. Tetapi ketua CCCWA, Li Bo menolak kebimbangan berkenaan dengan menambah bahawa sejak kemudahan berkenan dibuka di bandar utara Shijiazhuang, ia sudah menerima kanak-kanak pada kadar sama yang dilaporkan institusi kebajikan bandar dalam dua tahun lalu. -AFP/BH

Menyesal kebumi ibu ‘masih hidup’


Palermo: Satu keluarga di Itali kesal selepas mereka “dipaksa” mengebumikan ibu mereka walaupun percaya dia masih hidup. Media melaporkan keluarga Grazi Bruno, 68 berkata wanita itu belum mati kerana tubuhnya tidak keras atau mengalami pereputan yang biasanya terjadi kepada mayat. Perbalahan antara keluarga berkenaan dengan pihak berkuasa tempatan berlaku selama lapan hari selepas dua pakar perubatan mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia akibat kanser pankreas. Keluarga berkenaan mengadakan majlis pengebumian di bandar Villagrazia di Carini berhampiran wilayah Palermo. “Kami berasa amat kesal kerana terpaksa mengebumikan ibu kami walaupun dia masih lagi bernyawa,” kata seorang ahli keluarga yang dirahsiakan identitinya dalam satu kenyataan, semalam. - Agensi/Metro

Monday 17 February 2014

Alahai dunia : Jual anak sertai pertandingan


Guizhou: Seorang lelaki, Zhou dipenjara lima tahun selepas menjual anaknya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membolehkan dia menyertai satu pertandingan bakat. Zhou menyertai pertunjukan bakat tahun lalu tetapi gagal memasuki pusingan akhir selepas menghabiskan wang untuk membayar yuran penyertaan dan kos pengangkutan. Lelaki itu yang amat gemar menyanyi tetapi tidak mempunyai modal, akhirnya mengambil keputusan menjual anaknya, supaya dia boleh menyertai lebih banyak pertandingan nyanyian. Dia mengiklankan di Internet mengenai hasrat untuk menjual anaknya berusia empat bulan, kononnya isterinya sudah meninggalkan mereka dan tidak berupaya membesarkan kanak-kanak itu bersendirian. Seorang wanita bersetuju membelinya dan dia menjual bayi itu dengan harga 10,000 yuan (RM5,400). Apabila isterinya menyedari anak mereka hilang, dia membuat laporan polis dan Zhou ditangkap selepas soal siasat. - Agensi/Metro

Gadis 17 tahun derma RM44 juta


Riyadh: Seorang gadis berusia 17 tahun mendermakan SR50 juta (RM44 juta) kepada kegiatan kebajikan di Arab Saudi. Gadis yang tidak dinamakan itu memberitahu akhbar tempatan, jumlah itu suku daripada kekayaan yang diwarisi daripada bapanya. Menurut laporan, gadis berkenaan pergi ke mahkamah di Riyadh dan mendermakan wang itu kepada kumpulan kebajikan yang terbabit dalam pembinaan masjid, membantu membebaskan tahanan yang terlibat dengan hutan, pembinaan sekolah, hospital dan aktiiviti lain. “Saya digalakkan oleh ibu dan abang saya untuk menderma. Saya mengambil keputusan untuk berbuat demikian kerana takutkan Allah dan kerana sayangkan bapa saya,” katanya. -Metro

Friday 14 February 2014

Terkini: Seorang polis dituduh bunuh rakan sekerja


Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat Koperal Cawangan Khas Bukit Aman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh rakan sekerjanya, di tepi Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, 4 Februari lalu. Wan Masrul Faiezie Wan Mustapha, 33, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin. -Metro

Wanita amuk selepas kekasih enggan berasmara dengannya


GLENDALE, Arizona - Seorang wanita, Ashley Marie Prenovost mengamuk selepas kekasihnya enggan berasmara dengannya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin. Prenovost yang berusia 24 tahun itu menumbuk dinding dan cermin selepas kekasihnya enggan menjalin hubungan seks dengannya. Dia juga dituduh membawa anak perempuannya yang berusia empat bulan keluar dari rumahnya di sini dan menjerit-jerit dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu. Polis Glendale berkata, ketika tiba di tempat kejadian, wanita itu kelihatan berbogel dan tubuhnya berlumuran darah. Ketika ditemui, dia berada dalam keadaan mabuk. Prenovost ditangkap di sebuah kedai pakaian dan didakwa melakukan penderaan ke atas kanak-kanak dan menyerang sebuah budak di bawah umur. - Agensi =Kosmo

Thursday 13 February 2014

Lelaki ‘syaitan’


London: Seorang bekas pengawal keselamatan sanggup menjalani beberapa siri pembedahan kosmetik yang menyakitkan untuk menjadikannya kelihatan seperti “syaitan.” Dengan imej lidah bercabang, gigi taring tajam dan tanduk di dahi, Diablo Delenfer, 43, yang berasal dari Kent, kini kelihatan seperti Lucifer yang menakutkan. Delenfer yang menggelar dirinya ‘artis pengubahsuaian tubuh’ kini berusaha untuk memasang implan besi yang dilekatkan dengan skru pada tengkorak kepalanya bagi mendapatkan imej syaitan bertanduk yang lengkap. Memandangkan ‘pengubahsuaian tubuh’ tidak dibenarkan undang-undang United Kingdom (UK), keseluruhan pembedahan itu dilakukannya tanpa bius. “Semua pembedahan dilakukan dalam keadaan saya sedar sepenuhnya. Saya melihat jarum pembedahan menembusi badan saya dan ia sangat menyeksakan. Tetapi sebagai ‘Manusia Syaitan’ saya tidak boleh takut dengan kesakitan,” kata Delenfer. Antara pembedahan yang dilakukan Delenfer yang nama sebenarnya Gavin Paslow ialah membelah lidahnya, memasukkan implan untuk membentuk tanduk dan membuat tatu pada mata putihnya untuk menjadikannya merah. Walaupun ia amat menyakitkan, Delenfer tidak bercadang untuk berhenti melakukannya. “Pengubahsuaian tubuh adalah cara hidup saya. Mungkin ia agak pelik tetapi inilah saya. “ Saya memilih cara begini kerana perkara lain sudah banyak dilakukan di United Kingdom atau di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, saya tidak membawa fahaman syaitan, ia cuma untuk keseronokan,” kata Delenfer. Delenfer membelanjakan lebih £10,000 (RM54,673) untuk hobinya itu dan dia mengakui proses berkenaan memerlukan belanja besar. Kos yang tinggi itu juga perlu ditanggung pembayar cukai kerana Delenfer pernah didakwa menyelewengkan RM19,419 dengan beberapa penipuan membabitkan tuntutan faedah dan dijatuhkan hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam. Dalam usaha merealisasikan impian melengkapkan proses itu dengan mempunyai ekor, Delenfer sudah melakukan pembedahan ke atas telinganya untuk kelihatan seperti telinga syaitan sebenar dan melukis tatu di seluruh tangan dan muka. Dia mengaku hobinya menjejaskan hubungannya dengan masyarakat setempat. “Ramai gadis yang tidak mahu mendekati saya. “Saya ingin mencari seseorang yang dapat melihat lebih dari imej ini dan menerima saya dengan seadanya. Walaupun sukar, saya tidak akan berhenti mencari,” katanya. Dia juga mengakui imejnya menjadi perhatian ramai dan mendapat reaksi berbeza. “Saya bukan syaitan sebenar, ia hanya sekadar imej,” katanya ketika ditemui, semalam. - Daily Mail/Metro

Wednesday 12 February 2014

Kandung anak bermuka dua


Sydney: Sepasang suami isteri berkeras enggan menggugurkan kandungan mereka yang disahkan mempunyai dua muka dan dua otak. Renee Young dan Simon Howie dari Tregear, di sini, dinasihatkan doktor supaya menggugurkan kandungan itu yang pada mulanya disangka kembar. “Kami terkejut apabila imbasan ultrabunyi menunjukkan anak dikandung sebenarnya seorang saja, bukannya kembar,” kata Renee. Imbasan tiga dimensi menunjukkan bayi itu mempunyai sepasang kaki dan tangan selain satu badan dan semua organ dalaman sempurna termasuk jantung. Doktor sebelum ini menasihatkan kandungan itu digugurkan bagi mengelak anak berkenaan menghadapi kesukaran kelak kerana dianggap pelik. Sebaliknya pasangan itu tegas mahu membesarkan anak mereka dengan penuh kasih sayang dan dikelilingi orang yang menyayanginya. Imbasan jelas menunjukkan dua muka bayi berkenaan masing-masing dengan mata, hidung dan mulut yang lengkap. “Kandungan ini kini berusia 19 minggu dan sihat dengan degupan jantung serta otak yang kuat,” kata Renee dalam rancangan A Current Affair - In Both Brains. Keadaan itu dikenali sebagai kraniofasial hiperhidrosis adalah sejenis kes kembar siam ekstrem dan terlalu jarang dilihat, malah hanya 35 kes direkodkan setakat ini. Tidak satu pun mampu hidup melepasi usia kanak-kanak. Kemungkinan itu tidak menggugat semangat pasangan terbabit, malah mereka berazam membesarkan bayi itu bersama tujuh anak mereka. “Keluarga kami sangat rapat dan kami percaya mampu melindungi bayi ini tidak kira apa pun kecacatannya. “Pada kami menggugurkannya perbuatan tidak bermoral. “Anak ini tiada bezanya dengan kanak-kanak yang mempunyai autisme atau sindrom Down. “Bayi ini sihat dan membesar elok dalam kandungan. Tidak wajar ia digugurkan,” kata Howie. Sementara itu, pakar obstetrik Greg Kesby berkata, ini kali pertama dia melihat kes seumpama itu. - Agensi/Metro

Usman beli syurga

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

PARA sahabat Nabi mempunyai bermacam-macam ragam. Ada yang kaya, ada juga yang miskin. Namun begitu, semangat untuk menyumbang kepada dakwah Islam menyatukan mereka. Antara sahabat Nabi yang kaya ialah Usman bin Affan. Beliau sangat mahir berniaga, justeru berjaya menjana pendapatan yang cukup banyak. Harta yang beliau miliki sepenuhnya digunakan untuk pelaburan akhirat. Beliau bertekad “membeli" syurga dengan harta yang beliau miliki. Berkata Abu Hurairah: “Usman bin Affan telah membeli syurga daripada Rasulullah SAW sebanyak dua kali. Kali pertama apabila beliau membeli perigi rumah. Dan kali kedua apabila beliau membiayai pasukan usrah (perang Tabuk)." (riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak) Perigi rumah Perigi rumah adalah satu-satunya sumber air bersih di Madinah apabila kaum muslimin berhijrah ke kota itu. Menurut Ibnu Abd. al-Bar dalam kitab al-Isti’ab, sumur ini milik seorang Yahudi. Beliau tidak membenarkan kaum muslimin mengambil air daripadanya melainkan dengan bayaran. Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang membeli perigi rumah lalu menyerahkannya kepada kaum muslimin, maka ia akan memiliki telaga di dalam syurga." Apabila mendengar cadangan Nabi ini, Usman segera mendatangi pemuda Yahudi itu. Setelah tawar-menawar berlaku, orang itu bersetuju menjual setengah bahagian sahaja. Harga yang ditetapkan ialah 12,000 Dirham. Usman bersetuju membeli setengah bahagian itu. Kedua-duanya sepakat menetapkan satu hari milik Yahudi dan satu hari yang lain untuk Usman. Pada hari milik Yahudi, tiada siapa yang datang untuk mengambil air. Sebab mereka telah mengambil air untuk persediaan dua hari pada hari milik Usman. Melihat perkara ini, Yahudi itu berkata kepada Usman: “Engkau telah merosak perniagaanku." Ia lalu menjual bahagiannya kepada Usman pada harga 8,000 Dirham. Perang Tabuk Adapun perang Tabuk, maka peperangan ini ialah peperangan terakhir yang dihadiri oleh baginda Nabi SAW. Pasukan Islam mesti keluar ke Tabuk untuk menghadang pasukan Rom yang dikhabarkan telah bersiap-siaga menyerang Madinah. Persiapan perang kali ini sangat mencabar. Cuaca pada masa itu sangat panas. Kendaraan dan bekalan juga sangat minimum. Justeru, al-Quran menyebut peristiwa ini sebagai: sa’at al-’usrah (saat-saat sukar). Abdurahman bin Khabbab bercerita: Aku menyaksikan Rasulullah SAW menggalakkan manusia untuk berinfak bagi peperangan ini. Usman lalu berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 100 ekor unta dan keperluannya." Baginda lalu menggalakkan infak sekali lagi. Usman kembali berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 200 ekor unta dan keperluannya." Baginda menggalakkan infak sekali lagi. Usman kembali berdiri dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku menjamin 300 ekor unta dan keperluannya." Abdurahman berkata: aku melihat Rasulullah turun dari mimbar sambil bersabda: “Tidak akan membahayakan Usman apa yang akan ia lakukan setelah ini." (riwayat al-Tirmidzi). Sabda ini menunjukkan bahawa dosa-dosa Usman telah diampuni oleh Allah kerana sumbangan besar beliau untuk dakwah Islam. Ukuran iman Usman bin Affan patut menjadi teladan seluruh umat Islam terutama yang memiliki kelebihan harta. Pandanglah harta sebagai titipan Allah yang mesti diserahkan apabila diminta. Permintaan itu tidak lain ialah apabila dakwah dan umat Islam memerlukan bantuan anda. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai Allah SWT berbanding Mukmin yang lemah. Kekuatan ini bukan hanya dalam tenaga sahaja, akan tetapi meliputi juga aspek ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan. Siapa yang memiliki salah satu kelebihan ini, hakikatnya tengah diamanahkan tanggungjawab untuk membela Islam menerusi amanah tersebut. Dan ukuran iman seseorang ditentukan oleh sikapnya dalam menjalankan amanah ini dengan baik. Semoga kita boleh menjadi seperti Usman bin Affan. Seorang sahabat Nabi yang telah dijanjikan syurga semenjak beliau masih hidup lagi. Amin Ya rabbal ‘alamin Nota: PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM) -Utusan

Tuesday 11 February 2014

Wanita Tokyo mogok seks


Tokyo: Sekumpulan wanita melancarkan mogok seks terhadap lelaki yang mengundi gabenor baru bandar raya ini yang memenangi pilihan raya kelmarin. Kumpulan itu bertindak demikian selepas Yoichi Masuzoe mendakwa wanita tidak layak memegang jawatan kerajaan kerana tidak boleh membuat keputusan kritikal ketika haid memandangkan mereka tidak normal ketika itu. Kempen di Twitter itu yang menggesa ‘wanita bersatu untuk tidak melakukan seks dengan lelaki yang mengundi untuk Masuzoe’ memperoleh 3,000 pengikut sejak dilancarkan minggu lalu. Bagaimanapun, bekas menteri kesihatan yang disokong parti pemerintahan berkenaan memenangi pilihan raya gabenor, menewaskan dua calon yang berjanji untuk mengakhiri kuasa nuklear. Pengasas kumpulan itu yang tidak dikenali berkata dalam profil mereka: “Kami sudah berusaha untuk menghalang Masuzoe yang mengeluarkan kenyataan menghina wanita, daripada dipilih. Kami tidak akan melakukan seks dengan lelaki yang mengundinya.” Dalam wawancara 1989, Masuzoe berkata, wanita menjengkelkan apabila datang haid. “Wanita tidak stabil ketika datang bulan. Kita tidak boleh mengharapkan mereka membuat keputusan kritikal ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan. Laman web kedua yang turut dilancarkan Rabu lalu oleh sekumpulan wanita yang cuba untuk menghalangnya daripada menjadi Gabenor Tokyo menarik 75,000 pengikut, lapor media.- Agensi/Metro

Monday 10 February 2014

Anjing kongsi susu badan


Seorang wanita sanggup memberi susu badannya kepada seekor anak anjing yang hampir mati akibat enggan makan. Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia tidak sampai hati melihat anak anjing itu terlalu lemah kerana enggan makan. “Melihat keadaannya saya rasa seolah-olah anjing itu akan mati dalam sejam jika tidak makan kerana terlalu lemah dan tidak mampu bergerak. “Saya tidak tahu apa lagi nak buat. Rasanya tidak sanggup nak duduk saja dan melihat anjing itu mati perlahan-lahan,” katanya kepada rangkaian berita tempatan KRDO-TV. Menurutnya, haiwan itu yang paling kecil dalam sekumpulan anak anjing yang ditemuinya. Wanita itu yang mempunyai anak perempuan berusia 15 bulan mengakui rasa ‘pelik’ ketika pertama kali membiarkan anak anjing itu menyusu badannya. Namun dia tidak menyesali perbuatannya itu kerana yakin haiwan berkenaan pasti mati jika tidak mendapat susu. Malah, anak anjing itu kini semakin sihat dan tidak lagi perlukan susunya. Menurut KRDO, gambar wanita itu menyusukan anak anjing itu disebarkan di Internet selepas dia menyiarkan gambar di laman Facebook miliknya menjelaskan alasannya berbuat demikian. Walaupun ramai yang mempertikaikan tindakannya, ada juga yang memujinya. “Saya rasa dia sangat hebat kerana sanggup membantu seekor anak anjing yang lemah,” kata seorang pengguna Internet di laman web KRDO. -Metro

Alahai dunia: Perut meletup terlebih makan


Beijing: Seorang wanita berusia 58 tahun terpaksa melakukan pembedahan membuang perutnya yang ‘meletup’ selepas makan dan minum arak (terlalu banyak) ketika Festival Musim Bunga. Portal web Modern Express memetik, seorang pakar nutrisi di Hospital Friendship Beijing sebagai berkata, wanita berkenaan dihantar ke sebuah hospital di Suzhou, wilayah Jiangsu, sejam selepas mengalami bengkak teruk pada perutnya akibat terlebih makan dan didiagnos menghidap gastrektasia. Ketika pembedahan dilakukan, gas mengandungi alkohol etil dilepaskan dari perutnya dan terkena pisau pembedahan elektrik pakar bedah mengakibatkan kebakaran kecil berlaku. Ketua doktor di Hospital Nanjing Drum Tower Wang Hao berkata, kes seumpama itu ada kalanya berlaku sehingga 12 kali setahun di hospital tertentu. Katanya, kejadian perut terbakar amat jarang berlaku, namun tidak mustahil disebabkan kadar alkohol yang tinggi di dalam organ mangsa. “Lazimnya seseorang berhenti makan apabila rasa kenyang. “Bagaimanapun, seseorang mungkin tidak mampu peka terhadap amaran badannya jika mencampurkan minuman beralkohol ketika makan besar mengakibatkan pemakanan berlebihan,” katanya. - Agensi/Metro

Thursday 6 February 2014

Nabi Muhammad (s.a.w) dalam Kitab Hindu?

Seorang professor penyelidik pakar bahasa India dari Universiti Alahabad, dalam buku hangatnya, telah menerbitkan buku mengenai Kalki Avatar beerti Pembimbing Agung. Beliau mendakwa bahawa gambaran mengenai Kalki Avatar yang terdapat didalam kitab suci Hindu yang sebenarnya adalah Nabi Muhammad s.aw.



DiIndia adalah merupakan factor benar bahawa sejurus selepas sesuatu buku dilancarkan akan menjadi suatau bahan bualan dan gossip seluruh negara. Jikalah sekiranya pengarang buku ini, seorang muslim, sewajarnya dia akan ditangkap dan atau beliau akan dibunuh dan semua buku bukunya akan ditarik balik dari berada dipasaran. Hingga ketahap dimana ianya akan tidak dibenarkan untuk diulang cetak.



Tunjuk perasaan dan keganasan akan tercetus terhadap insan muslim yang tidak berdosa dengan pertumpahan darah dimana mana. Yang menakjubkan bahawa pengarang buku ini adalah seorang yang berfikiran sederhana dan professor khusus yang secara kebetulan adalah seorang Hindu. Nama beliau ialah Mr. Pandit Vedaprakash Upadhal, manamakan tajuk bukunya sebagai "Kalki Avatar. Pengarang adalah penyandang sami berugama hindu Brahmin berasal dari Bengali. Penyelidik sekular.


Menurut kepercayaan penganut hindu, ada digariskan gambaran dan panduan tentang pemimpin yang bernama Kalki Avatar , ia sangat bertepatan hanya dengan Nabi Muhammad s.a.w. Jadi penganut hindu diseluruh dunia tidaklah perlu menunggu lagi akan kedatangan Kalki Avatar (semangat/roh) yang dimaksudkan. Sewajarnya mereka segera menerima kenabian nabi Muhammad s.a.w Bin Abdullah sebagai pesuruh Allah (Kalki Avatar) yang dimaksudkan oleh kitab suci hindu mereka itu. Fakta fakta dan penemuan mengenainya telah disahkan oleh lapan pandit sami kanan hindu yang lain yang mengatakan penganut hindu selama ini menghanyutkan diri mereka dalam penantian yang tidak berpenghujung, sedangkan pesuruh tersebut telah pun muncul dan telah pun wafat 14 abad yang lalu.

Pengarang mengemukakan bukti yang kukuh saperti dibawah yang digali dari kitab Vedas serta buku buku suci ugama hindu yang lain bagi membuktikan kebenaran hujah beliau:

1. Didalam ramalan Prophecy Hindus Purana (Buku suci hindu) telah dinukilkan bahawa Kalki Avatar adalah pesuruh tuhan yang terakhir dimuka bumi ini untuk pertunjuk bagi seluruh dunia dan seluruh manusia dialam ini. Alqur'an telah memberitahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah nabi yang terakhir buat pertunjuk seisi alam termasuk Jin dan manusia.

2. Menuruk ramalan ugama hindu, kelahiran Kalki Avatar akan berlaku disuatu tempat menyerupai pulau (negeri dikelilingi padang pasir) dan mengikut ugama hindu ianya di kawasan bumi Arab.

3. Didalam buku hindu, nama bapa dan emak Kalki Avatar dikenali sebagai VISHNUBHAGAT dan SUMAANI. Jika kita lihat makna bagi kedua nama tersebut, akan kedapatan sesuatu yang menarik untuk direnungi. Lihat, VISHNUBHAGAT = Vishnu beerti tuhan + Bhagat beerti hamba, diterjemah dalam bahasa arab, tuhan itu ALLAH + hamba itu Abdul = Dicantumkan akan menjadi ABDULLAH (bapa kepada Nabi Muhammad s.a.w) Manakala SUMAANI beerti aman atau tenang yang didalam bahasa arab AMINAH (nama emak Nabi Muhammad s.a.w).


1. Dalam buku buku ugama hindu, dinukilkan bahawa bahan makanan asas Kalki Avatar ialah buah korma dan zaitun. Beliau merupakan seorang yang amanah lagi jujur dan paling dipercayai seluruh masyarakatnya. Tak dapat disangsikan bahawa makanan asas Nabi ialah buah Korma dan zaitun. Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai akhlak sebegini tinggi dan dipercayai oleh setiap orang dan masyarakatnya.

2. Dinukilkan juga dalam Vedas, bahawa kelahiran Kalki Avatar akan berlaku ditengah tengah kalangan keturunan yang dihormati. Ini bertepatan dengan dimana Nabi Muhammad dilahir dari golongan Quraish yang terkenal sangat dihormati oleh masyarakat ketika itu.

3. Dalam buku tersebut juga dinukilkan bahawa Tuhan akan mengajar Kalki Avatar melalui malaikat didalam Gua. Bertepatan dimana Allah telah mengajar Nabi Muhammad s.a.w dengan memerintahkan Malaikat Jabrail untuk mengunjungi serta mengajar nabi berupa Wahyu didalam gua yang bernama Gua Al Hira.

4. Juga dinukilkan bahawa tuhan akan memberi kenderaan yang pantas buat Kalki Avatar untuk mengembara keseluruh alam maya serta naik kelangit hingga kelangit ke 7. Ini bertepatan dengan apa yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.aw dalam peristiwa Isyra' dari masjidi haram diMekah ke masjidil al aqsa diPelestin Dan Mi'raj nabi kelangit ke 7 dengan menunggang seekor Burak dalam satu malam.

5. Dinukilkan juga dalam buku tersebut bahawa Kalki Avatar akan diberikan pertolongan yang luar biasa oleh tuhan, ini terbukti jelas bahawa Allah telah memberi bantuan luar biasa kepada Nabi Muhammad s.a.w didalam peperangan Uhud dan yang lain lain.

6. Yang menakjubkan dinukilkan juga bahawa Kalki Avatar akan dilahirkan pada 12 haribulan. Ini bertepatan sekali bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah dilahirkan pada 12hb Rabiulawal (kelendar Islam).

7. Dinukilkan juga dalam Vedas bahawa Kalki Avatar adalah merupakan seorang penunggang kuda yang baik dan ahli main pedang yang cekap, ini bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w yang terkenal dalam bidang berkenaan. Lagipun pengarang mengajak penganut ugama hindu berfikir bahawa zaman kuda dan pedang telah berlalu dan kini manusia menggunakan senapang dan roket. Adalah sesuatu yang dangkal mengharapakan datangnya Kalki Avatar yang ditunggu tanpa penghujung, walhal ia telah pun muncul 1400 tahun yang lalu.


Dalam alqur'an telah diceritakan tentang ciri ciri dan tanda tanda mengenai Nabi Muhammad s.a.w dengan jelas dan bertepatan apa yang dinantikan oleh penganut hindu terhadap Kalki Avatar. Pengarang telah memberi hujah hujah yang mengatakan Kalki Avatar yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad s.a.w dan kepada yang masih lagi menunggu akan kedatangan Kalki Avatar? sewajarnya berfikir semula dan renungilah akan kebenarannya.




Lihat : Sumber

Wednesday 5 February 2014

Bunuh rakan enggan adakan hubungan seks

MAHTAB
Milan: Sepasang kekasih didakwa menjerut rakan serumah mereka hingga mati sebelum membawa mayat mangsa di dalam beg pakaian sejauh 400 kilometer ke Venice. Pembunuhan itu dilakukan selepas mangsa, warga Iran, menolak melakukan seks dengan mereka. Mayat Mahtab Savoji, 29, ditemui dalam beg yang terapung. Gagandeep Kaur, 30 dan Rajeshwar Singh 28, yang berkongsi bilik dengan mangsa ditangkap semalam berhubung pembunuhan itu. Gagandeep dan Rajeshwar, kedua-duanya warga Iran mendakwa mereka cemas dan menyembunyikan mayat Mahtbab selepas menemuinya mati Isnin lalu setelah minum terlalu banyak arak. Kedua-duanya, pekerja hotel, membuang mayat mangsa selepas membawanya di dalam beg dalam perjalanan selama 20 jam dengan tiga kereta api. Polis menahan pasangan itu kerana meragui kenyataan mereka. Gagandeep dan Rajeshwar dirakam oleh kamera litar tertutup di stesen kereta api Venice apabila mereka tiba dengan beg berisi mayat itu sebelum mereka kembali ke Milan dengan teksi. Polis percaya mangsa dibunuh kerana menolak melakukan seks oleh pasangan kekasih itu. - Agensi/Metro

Tuesday 4 February 2014

Dunia oh dunia: Industri kotor China


DAGING tikus dikatakan daging kambing, produk tenusu dicampur bahan kimia berbahaya, buah dan sayur mengandungi bahan pengawet dan toksin serta ‘minyak longkang’ kitar semula digunakan untuk memasak antara isu keselamatan makanan di China. Minggu lalu, negara terbabit sekali lagi terpalit skandal terbaharu apabila peruncit terbesar dunia Walmart mengeluarkan arahan akan mengetatkan pemeriksaan terhadap pembekal produk makanan China selepas terpaksa menarik semula daging keldai dipercayai mengandungi daging musang. Menurut syarikat berpangkalan di Arkansas, Amerika Syarikat itu, pihaknya juga akan mengubah peraturan di China bagi memastikan penghantaran daging diperiksa dan didokumenkan lebih terperinci sebelum dipasarkan. Penarikan semula dibuat selepas Pentadbiran Makanan dan Dadah Shandong memaklumkan, produk daging keldai dengan lima rempah mengandungi daging musang. “Antara keperluan diperlukan termasuk menyediakan label kandungan produk, laporan ujian makmal ke atas makanan dan permit pengilang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. Selain itu, vendor juga perlu mengesahkan produk dikeluarkan adalah organik atau mempunyai kebaikan kepada kesihatan pengguna. Penyelidik makanan dan farmaseutikal peraturan keselamatan China, Profesor Mao menyifatkan penghasilan makanan di negara itu kini telah menjadi skala lebih besar dan lebih berteknologi. Namun, masalah timbul apabila penggunaan teknologi canggih digunakan untuk menipu penyediaan makanan dan pengguna. -Sinar

14 bulan minum darah, kencing


Majuro (Kepulauan Marshall): Seorang nelayan yang hanyut 14 bulan di Lautan Pasifik menyambung hidup minum dengan hanya meminum darah penyu selain makan ikan dan camar mentah sepanjang tempoh berkenaan. Jose Salvador Alvarenga yang kini digelar Lelaki Ajaib Pasifik juga minum air kencingnya sendiri untuk mengelak kehausan. Namun dia gagal membantu rakannya berusia antara 15 hingga 18 tahun dikenali sebagai Ezekiel yang meninggal dunia kira-kira empat minggu selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin pada 21 Disember 2012. Ezekiel mati kerana tidak dapat menelan atau menghadamkan daging mentah. Alvarenga berkata, dia terpaksa melepaskan mayat Ezekiel ke laut, namun enggan menceritakan insiden itu lebih lanjut. “Saya sedih apabila mengenangkan Ezekiel namun bersyukur masih hidup. “Sukar percaya saya terselamat. “Saya tidak dapat ingat apa yang berlaku sepanjang tempoh itu. Apa yang ada dalam memori saya cumalah lautan yang luas. “Saya terselamat kerana tidak henti berdoa,” katanya. Menurutnya, dia dan rakannya pada mulanya cuba mendapat bantuan nelayan namun gagal. Bot dinaiki mereka hanyut lebih 12,500 kilometer dari El Salvador dan dipukul ombak ketika cuaca ribut sebelum akhirnya menemui daratan di Ebon Atoll. “Saya bernasib baik bot terlanggar sesuatu lalu saya terus mengumpulkan tenaga dan semangat untuk berenang ke daratan. “Jika tidak mungkin saya terus hanyut. Tidak mungkin saya terselamat dalam keadaan itu,” katanya ketika ditemui. Menurutnya, dia terlelap keletihan di bawah pokok kelapa tanpa menyedari ada perkampungan di situ. Penduduk yang menemuinya terkejut apabila mendapati Alvarenga yang berambut panjang dan berjambang lebat dengan pakaiannya yang hampir reput akibat berada di laut tidak ubah seperti watak dimainkan Tom Hanks dalam filem Castaway. - Agensi/Metro

Monday 3 February 2014

Dibakar ketika susukan anak


New Delhi: Seorang ibu muda dibakar hingga mati bersama bayinya oleh suami dan keluarga lelaki itu kerana gagal membayar hantaran perkahwinan. Polis di negeri Jharkhand di timur India berkata, Annu Devi, 22, dibakar hidup-hidup ketika menyusukan bayi perempuannya. Polis menahan suaminya, Gunjan Masat yang didakwa menyimbah minyak tanah ke tubuh Devi dan bayi perempuan mereka sebelum membakar kedua-dua beranak itu. Menurut bapa Devi, Raghuni Rana pasangan itu berkahwin lebih setahun tetapi masalah timbul selepas Devi melahirkan bayinya. “Mereka mahukan anak lelaki tetapi tidak menyedari yang mendapat anak perempuan bukan salah Devi. “Mereka mula menyeksa anak saya dan saya tidak menyangka mereka sanggup membunuhnya. ‘Mereka ada menuntut motosikal dan televisyen walaupun saya sudah memberikan mereka dua bighas (1.6 ekar) tanah sebagai hantaran perkahwinan,” katanya. Bagi menutupi kematian Devi dan agar kelihatan seolah-olah seperti kemalangan, Gunjan meletakkan tubuhnya berhampiran pendiang api, selain turut meletakkan bekas air berhampiran tempat itu. Seorang penduduk melihat Devi dan bayi perempuannya terbaring di halaman rumah mentuanya. Dia masih bernyawa ketika itu walaupun tubuhnya melecur 90 peratus. Dua beranak itu kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Abang ipar Devi yang didakwa turut terbabit dalam pembunuhan itu masih diburu polis. Superintendan polis di daerah itu, Nirmal Kumar Mishra berkata, semua tertuduh akan ditahan dan didakwa. Hantaran perkahwinan menjadi alasan utama mengapa bayi lelaki lebih digemari berbanding dengan bayi perempuan dalam budaya India. Ribuan janin digugurkan setiap tahun selepas ujian ultra bunyi menunjukkan jantina janin berkenaan. Wanita juga dibunuh berikutan isu hantaran perkahwinan setiap jam di India, menurut data dikeluarkan Biro Rekod Jenayah Kebangsaan negara itu. “Seramai 8,233 wanita muda, kebanyakan pengantin baru dibunuh dalam isu ‘kematian hantaran perkahwinan’ pada 2012,” lapor biro itu tahun lalu. - Agensi/Metro

Potong kemaluan kekasih kerana bimbang


Shanghai: Seorang wanita di daerah Minhang di sini Khamis lalu memotong kemaluan teman lelakinya kerana mengesyaki dia akan memutuskan hubungan mereka. Akhbar Internet xinmin.cn melaporkan, wanita berusia 30 tahun itu yang dikenali sebagai Tu, lebih tua sembilan tahun daripada teman lelakinya, Xia. Kerana keluarga Xia tidak merestui hubungan mereka, lelaki berkenaan mengambil keputusan untuk memutuskannya. Xia enggan membawa pulang Tu untuk menemui keluarganya sempena Tahun Baru Cina. Sebaik mengetahui Xia hanya membeli satu tiket untuk pulang bercuti, Tu menyangka kekasihnya akan memutuskan hubungan dengannya. “Dia mencampurkan dadah dalam minuman Xia menyebabkan lelaki itu tidak sedarkan diri di atas katil. Tu kemudian mengambil pisau dan memotong kemaluan Xia,” lapor akhbar itu. Saksi berkata, lelaki itu tiba di hospital kira-kira jam 3 pagi dengan ambulans bersama-sama seorang anggota polis yang membawa kemaluannya dalam termos berisi air. Seorang wanita dipercayai Tu yang berlumuran darah dilihat berbual dengan pegawai perubatan sebelum dibawa menaiki kereta peronda. Polis dan pihak hospital enggan menyatakan mengenai keadaan Xia. - Agensi/Metro

Saturday 1 February 2014

Jatuh talak tiga kerana wifi


SELALU disebut orang, wanita lebih setia berbanding lelaki. Betulkah? Sama seperti dalam banyak hal yang lain, walaupun mungkin benar wanita lebih setia dalam percintaan tetapi pastinya bukan seratus peratus. Cuma daripada pemerhatian rambang, wanita sering dianggap lebih setia. Tengoklah pada kawan-kawan kita, saudara mara kita, berapa ramai wanita yang terus hidup sendiri, tidak cari pengganti selepas kematian suami. Tidak. Saya tidaklah sampai mengatakan mereka yang berkahwin lagi itu sebagai tidak setia. Itu soal jodoh dan juga ada sebab-sebab yang lain. Islam dan budaya kita pun tidak menghalang sesiapa juga untuk berkahwin kali kedua, ketiga atau ke berapa sekalipun setelah habis tempoh iddahnya. Ini sekadar perbandingan mudah dalam konteks setia cinta antara lelaki dengan wanita. Dan kita lihatlah pula bagaimana lelaki yang berhadapan situasi serupa. Berapa ramai yang kekal hidup menyendiri selepas kematian isteri atas alasan tidak sanggup untuk menduakan si dia yang sudah pergi dan hati menolak kehadiran orang baru untuk bergelar pengganti. Banyak yang saya jumpa untuk tempoh seminggu atau dua tiga minggu pertama, sedih hibanya tidak terkata. Lepas sebulan, akan disebut-sebut, kawan-kawan di surau , di pejabat sudah bertanya, “bila nak cari pengganti?” Beberapa hari kemudian, keluarlah status baru: “hidup mesti diteruskan ...” Masuk bulan kedua, bukan setakat status Facebook, status diri pun sudah baharu, ‘kalau dah jodoh ...!’ Itulah yang kita biasa perhatikan walaupun bukanlah maknanya semua lelaki demikian. Pada zaman dahulu, dicipta orang perumpamaan untuk menggambarkan mereka yang cepat bertemu jodoh baharu selepas kematian pasangan iaitu ‘tanah kubur masih lagi merah ...’ Itu zaman dahulu. Zaman sekarang lain pula. Seiring dengan perkembangan teknologi, diciptakan pula perumpamaan baharu. Untuk menggambarkan betapa wanita lebih setia berbanding lelaki, hati mereka diumpamakan seperti wifi. Wifi seperti yang kita tahu hanya boleh diakses oleh yang memiliki kata laluan atau password sahaja. Ini khusus kepada yang diiktiraf sebagai pasangan sahaja, sama ada suami atau kekasih yang sejati. Manakala hati lelaki pula, kononnya diumpamakan dengan aplikasi ‘bluetooth’. ‘Bluetooth’ seperti yang kita tahu apabila berdekatan, akan ‘connect’ sebaliknya tatkala berjauhan, ia akan ‘try to search a new device’ atau cuba mencari pasangan baharu. Betulkah begitu? Seperti yang saya nyatakan di atas tadi, penilaian terhadap hal-hal yang semacam ini tidak akan ada yang seratus peratus betul atau seratus peratus sama. Ianya adalah pada diri masing-masing. Sendiri tanya, sendiri juga yang kena jawab! Ada pun berkaitan dengan wifi, satu lagi kisah yang walaupun bunyinya sekadar olok-olokan tetapi elok juga dijadikan peringatan. Dikisahkan daripada seorang peguam yang menyampaikan cerita ini kepada saya bahawa seorang suami yang panas baran menerima SMS daripada bekas jirannya yang baru berpindah. Dalam SMS itu, pemuda bekas jirannya itu meminta maaf kerana katanya selama mereka tinggal berdekatan, dia sudah beberapa kali curi guna 'wife' lelaki itu. “Saya minta maaf sebab saya tahu saya berdosa kepada tuan kerana guna ‘wife’ tuan tanpa kebenaran,” demikian pengakuan pemuda berkenaan. Lelaki itu pula yang tanpa usul periksa balik ke rumah terus mengamuk lalu menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus. Tidak lama kemudian, dia terima satu lagi SMS daripada bekas jirannya itu: “Minta maaf tuan, bukan wife tapi wifi. Salah ejaan.” Ya, cerita ini mungkin sekadar rekaan walaupun ada juga komen rakan-rakan yang mengaku pernah dengar cerita yang hampir sama atau seumpamanya bahawa hal yang seperti itu pernah berlaku secara realiti. Apa pun bagi saya, ia baik untuk kita jadikan peringatan. Orang yang panas baran mudah hilang pertimbangan dan dalam keadaan hilang pertimbangan apa-apa yang tidak logik, tidak munasabah pun boleh berlaku tatkala kerasukan. Jadi waspadalah. Berdoa pada ALLAH minta perlindungan daripada hasutan syaitan pada setiap masa kita. Jangan sampai nasi jadi bubur apa lagi yang berkaitan dengan talak. -MUHAMAD MAT YAKIM @ Sinar