Saya tiba-tiba teringat kepada Olubunmi Adigun, bekas pemain pertahanan skuad bola sepak negeri saya yang cukup masyhur pada awal 1990-an.

Gaya permainannya yang diumpamakan seperti kereta kebal membuatkan dia cukup diminati di negeri Kedah pada waktu itu. Kekebalannya mengekang asakan lawan menyebabkan kubu Hijau Kuning cukup sukar untuk ditembusi.

Adigun lebih popular berbanding rakan senegaranya, Peter Nieketein, mahu pun seorang lagi pemain import Kenari, Tibor Szaban.

Kemasyhuran Adigun tidak hanya terhad di dalam malahan juga di luar padang. Sesiapa yang masih ingat akan kisahnya, ingatlah. Saya tidak mahu ungkit semula kisah kejadian itu sini.

Sebelum kembali ke Nigeria, Adigun peluk Islam dan tukar nama kepada Abdul Rahman Adigun Abdullah.

Saya teringat kepada Adigun tatkala mendengar seorang kawan mengumpamakan isteri seperti bola. Sebabnya, isteri Adigun yang dibawanya dari Nigeria, bernama Bola.

Sebab itu, kalau ada sesiapa yang mendengar Adigun berkata "I love Bola" harus dipastikan bola yang mana dia 'love' sama ada bola ataupun Bola.

Berbalik kepada kata-kata kawan saya yang mengumpamakan isteri seperti bola, katanya, walaupun bola, isteri sebaliknya janganlah dijadikan seperti bola sepak.

"Bola sepak ditendang-tendang orang tanpa sedikit pun perasaan belas kasihan. Semuanya hanya kerana satu matlamat iaitu untuk menjaringkan gol dan mencapai kemenangan bagi pihak pasukan. Selain itu, nama akan terpahat dalam senarai penjaring.

"Pemain yang menjaringkan banyak gol akan jadi rebutan dan dibayar dengan harga yang mahal untuk bermain dengan sesuatu pasukan," katanya.

Kerana itu katanya lagi, tidak patutlah untuk diumpamakan wanita seperti bola sepak kerana ini menunjukkan mereka seolah-olah begitu terdedah kepada manipulasi lelaki (suami) yang hanya mahu mencapai matlamat dirinya sendiri.

"Isteri juga jangan dijadikan seperti bola jaring (adakah suami yang bermain bola jaring?). Bola jaring pun seperti bola sepak juga, dibaling-baling, direbut-rebut orang, dilambung-lambung untuk dimasukkan ke dalam jaring bagi memastikan kemenangan pasukan," katanya.

Dan katanya lagi, seperti bulu tangkis pun jangan. Mesti ada orang tanya, adakah bulu tangkis itu pun dikira bola juga.

Yang boleh jawab soalan ini hanya kawan baik saya, Jasni Shafie yang setiap kali mengulas perlawanan badminton di televisyen, selalu menyebut 'bola tanggung'. Tak pernah saya dengar dia kata 'bulu tanggung'.

Mengikut kata kawan saya itu, isteri tidak sesuai untuk diumpamakan seperti bulu tangkis kerana bulu tangkis, asal ada peluang akan dismesy (smash) tanpa belas kasihan. Ertinya, dalam kehidupan realiti, isteri yang seperti ini terdedah kepada keadaan untuk dipergunakan suaminya sendiri bagi satu-satu tujuan tanpa sebarang rasa hormat atau belas kasihan.

Akan tetapi katanya, sebaik-baik bola dan cara permainannya yang boleh digunakan sebagai analogi dengan isteri ialah bola ragbi.

Nak tahu sebabnya?

Seseorang pemain ragbi apabila mendapat bola akan melindunginya dengan sebaik mungkin. Bola itu akan dipeluk, didakap, dipegang dengan sehabis erat, disembunyikan dan dilindungi daripada direbut oleh lawan.

Dalam pada itu, ia dibawa lari laju menuju garisan lawan. Ada serangan atau cubaan merebut bola oleh pemain lawan, mereka ditangkis habis-habisan asalkan bola yang dilindungi itu selamat.

"Begitulah juga isteri. Sebagai suami, kita kena lindungi, kita kena jaga dan bela mereka. Pastikan mereka selamat, sihat, maruah terjaga, hati tidak berdukacita sama ada oleh perbuatan kita ataupun orang lain," katanya seolah-olah menyampaikan kuliah ilmu berumah tangga ketika kami melepak sambil pekena teh tarik di Ada Warong, Bandar Tasik Puteri, Rawang, tengah malam itu.

Tatkala masing-masing terdiam menghadam analogi yang disampaikan dalam 'kuliah' itu, tiba-tiba ada pula yang bertanya, "bola boling tak boleh ke?"

Maka dijawab oleh kawan itu, "Kita ni masing-masing baru 40an saja kan, takkan guna jari dah kut?"

Apa lagi, berderailah ketawa kami memecah kesunyian tengah malam minggu itu.-Sinar