Tuesday 30 June 2015

Kucing ketua stesen kereta api mati

TOKYO – Rakyat negara ini meratapi kematian seekor kucing terkenal dikenali sebagai Tama yang dilantik sebagai Ketua Stesen Kereta Api Kishi di barat Jepun selepas haiwan itu mati disebabkan kegagalan fungsi jantung pada 22 Jun lalu.

Tama dinamakan sebagai ketua stesen pada 2007 dan memakai pakaian serta topi khas sambil duduk di atas pagar tiket bagi menyambut penumpang yang tiba atau berangkat menaiki kereta api.

Keletah kucing betina comel itu berjaya menarik perhatian pelancong sehingga ke peringkat antarabangsa dan menyumbang kepada pemulihan Syarikat Kereta Api Elektrik Wakayama yang hampir muflis dan juga ekonomi penduduk setempat.

Dalam upacara pengebumian mengikut kepercayaan Shinto di stesen tersebut kelmarin, Tama yang sempat menyambut ulang tahun kelahiran ke-16 pada 29 April lalu turut diangkat sebagai dewi bagi penganut agama tersebut.

Sebuah tapak bagi memperingati Tama di hadapan stesen Kishi dipenuhi jambangan bunga, tin ikan tuna dan bermacam hadiah daripada peminat yang datang dari seluruh Jepun untuk mendoakan kucing tersebut.

Presiden syarikat kereta api itu, Mitsunobu Kojima mengucapkan terima kasih kepada Tama dan merancang mengabadikan kenangan kucing itu di sebuah tapak persemadian kucing berhampiran pada bulan hadapan. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0630&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3eX5sXtdd
Hakcipta terpelihara

Monday 29 June 2015

Mabuk: Ibu potong, makan kulit kepala anak

WEST BENGAL - INDIA.  Seorang wanita diikat dan dibelasah orang ramai selepas didakwa memotong dan memakan kulit kepala anak perempuannya sendiri ketika mabuk, Rabu lepas.
Menurut laporan Dailymail, Bharati Mondal, dua tahun berjaya diselamatkan selepas jeritan kanak-kanak tersebut didengari oleh pakciknya, Dablu Mondal.
Dablu kemudian menemui kakak iparnya, Pramila, 40 sedang memotong dan memakan kulit kepala Bharati.
"Saya sedang berehat di rumah pada waktu tengahari ketika saya mendengar jeritan Bharati.
"Saya pantas merampas Bharati dari Pramila dan bawanya ke Kolej Perubatan dan Hospital Malda," katanya lagi.
Laporan mengatakan penduduk tempatan yang marah dengan tindakan Pramila mula berkumpul sebelum mengikat dan membelasah wanita berkenaan.
Wanita yang mempunyai tiga orang anak tersebut yang juga merupakan seorang penagih alkohol mengaku melakukan perbuatan tersebut, namun gagal menjelaskan sebabnya.
Pramila bagaimanapun terselamat selepas adik iparnya, Mamta Mondal memanggil polis yang kemudiannya datang untuk menyuraikan orang ramai.
Polis inspektor, Kishna Das memberitahu bahawa Pramila dibawa ke hospital selepas kejadian.
Pramila dijangkan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

Friday 26 June 2015

Tangkap haiwan aneh di padang pasir

Jeddah: Seorang lelaki Saudi menangkap seekor haiwan menyerupai anjing di padang pasir dan berkata, tidak seorang pun dapat mengenal pasti jenis binatang itu.

Mutammam Al Rabei memberitahu akhbar Sabq, dia memandu melintasi padang pasir itu di Jeddah apabila melihat binatang berkenaan berlari di depan keretanya.

“Saya menangkapnya hidup-hidup. Kepalanya seperti anjing tetapi binatang itu lebih kecil dan mudah takut.

“Saya bertanya penduduk di kawasan itu, tetapi tidak seorang pun pernah menemuinya. Agak ganjil dan ini kali pertama saya menemui binatang seperti ini,” katanya.- Agensi

-Metro

Thursday 25 June 2015

Lelaki ‘terhodoh’ timang anak kelapan

KAMPALA - UGANDA. Rupa paras bukan menjadi ukuran kebahagiaan sesebuah perkahwinan.
Hal ini dibuktikan oleh seorang bekas tukang kasut yang digelar lelaki terhodoh menerima cahaya mata kelapannya.
Godfrey Baguma, 47, dipercayai mengidap penyakit ganjil berkahwin dengan Kate Namanda, 30, dan baru menerima kelahiran bayi perempuan.
Selepas dikurniakan anak pertama pada tahun 2008, pasangan itu memutuskan untuk berkahwin pada tahun 2013 dan kini mereka dikurniakan 6 orang cahaya mata.
Sebelum berkahwin dengan Kate, Godfrey dikurniakan dua orang anak bersama perkahwinan terdahulu namun berakhir selepas mendapati isteri pertamanya curang.
Menurut Godfrey, dia pernah menasihatkan Kate untuk meninggalkannya kerana rupa paras yang dimilikinya.
“Dia pernah tinggalkan saya ketika dia hamil 6 bulan tetapi dia kemudiannya mula menerima takdir dan kembali kepada saya 2 bulan selepas itu,” katanya dipetik Metro.uk.
Sementara itu, menurut isterinya, Kate percaya dengan pilihan hatinya dan menganggap rupa paras bukanlah keutamaannya.
"Jika anda telah bertemu dengan lelaki yang betul, pedulikan apa yang orang katakan. Ikut kata hati. Duit dan penampilan fizikal bukanlah satu isu untuk menjamin kebahagiaan," katanya dipetik Metro.uk.
Godfrey yang dikenali dengan nama pentas Ssebabi kini mendapatkan wang melalui persembahan nyanyian dan komedi.
 
-Sinar

Wednesday 24 June 2015

Gadis sasa

MOSCOW 22 Jun - Seorang atlet bina badan perempuan dari Rusia, Natalia Trukhina yang baru berusia 23 tahun, berjaya memecah rekod apabila beberapa kali memenangi gelaran juara dunia.

Menurut laman web Oddity Central, Trukhina dikatakan mahu menceburi sukan bina badan sejak berusia seawal 14 tahun lagi. Ketika itu, gadis tersebut disifatkan sebagai seorang yang sangat aktif, namun hasrat bergelar atlet bina badan terpaksa dilupakan kerana dia hanya mempunyai berat sebanyak 40 kilogram.

Bagaimanapun, impian gadis tersebut akhirnya tercapai apabila dia memiliki lengan sebesar 45 sentime­ter dan otot kaki sebesar 72 sentimeter, hasil kerja kerasnya di gimnasium. Tubuh Trukhina yang dulunya kurus, berubah menjadi sasa sehingga me­ngalahkan fizikal seorang lelaki.

Dengan ketinggian 168 sentime­ter, Trukhina mempunyai berat sebanyak 92 kilogram. Lebih mengagumkan, Trukhina turut mencatat rekod apabila berjaya mengangkat deadlift seberat 240 kilogram dan bench press seberat 170 kilogram.

Namun, dalam temu bual dengan laman web bina badan, Pro Secret Rusia, Trukhina mendedahkan, dalam kehidupan sebenar tiada siapa yang berani untuk mengusik dan menghinanya, tetapi dia sering dikritik di alam siber.

“Setiap kali saya memuat naik gambar di laman sosial, ada yang memuji kejayaan, saya tetapi ada juga orang yang memperlekeh dengan berkongsi gambar-gambar saya untuk dikutuk,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gadis-sasa-1.106011#sthash.vCnlkszl.dpuf

Tuesday 23 June 2015

Wanita bogel punca bekalan elektrik

Seattle: Lebih 4,000 penduduk di Seattle terputus bekalan elektrik Jumaat lalu, selepas seorang wanita yang memandu dalam keadaan bogel melanggar tiang bekalan elektrik.

Anggota polis yang sampai di tempat kejadian di Shoreline, utara Seattle, kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan, mendapati ada kabel berarus elektrik di atas kereta wanita itu lalu menghubungi bomba dan syarikat penyedia elektrik.

Selepas kabel berkenaan dialihkan, mereka terkejut menemui seorang wanita berusia 24 tahun yang tidak sedarkan diri dalam kereta berkenaan kerana wanita itu langsung tidak berpakaian.

Wanita berkenaan yang tidak cedera teruk, dibawa ke hospital untuk diambil darah bagi menentukan kemungkinan dia memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Kemalangan itu menyebabkan kira-kira 4,400 penduduk terputus bekalan elektrik selama beberapa jam. - Reuters

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59370#sthash.rAHvOkgx.dpuf

Monday 22 June 2015

Aktor Lukman Sardi umum murtad

KUALA LUMPUR 21 Jun – Pelakon popular Indonesia, Lukman Sardi (gambar) menggemparkan negara itu apabila mengumumkan keputusannya keluar daripada Islam dan memeluk agama Kristian.

Pengakuan anak kepada legenda biola Indonesia, Allahyarham Idris Sardi itu dapat ditonton dalam rakaman yang dimuat naik dalam saluran media sosial popular, YouTube.

Menurut Lukman, 43, keputusannya berpindah agama bukanlah disebabkan oleh tekanan daripada mana-mana pihak atau kerana kecantikan isterinya, Pricillia Pullunggono.

Dalam pengakuan itu juga, Lukman memberitahu, Allahyarham bapanya sedia maklum dengan hasratnya untuk berpindah agama semasa beliau masih hidup. Kata Lukman, bapanya turut merasa kecewa sebaik mendengar berita itu. “Waktu saya pindah (agama), ayah saya orang yang pa­ling kecewa.

Kerana dia dari orang Muslim taat. Tapi saya punya prinsip bahawa ini yang saya pilih. sampai akhirnya beliau bilang, ‘ya sudah, tetapi kamu harus bertanggungjawab dengan pilihan kamu’,” kata Lukman lagi.

Allahyarham Idris meninggal dunia pada 28 April tahun lalu ketika berusia 76 tahun. Lukman sering melakonkan watak seorang Islam yang baik khususnya dalam filem Sang Pencerah dengan memegang karakter seorang kiai.

Antara filem lain lakonan Lukman ialah Soekarno, Merah Putih, Laskar Pelangi dan Negeri Tanpa Telinga. Pelakon itu bernikah dengan Pricillia Pullunggono yang menganut agama Kristian pada 2009.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aktor-lukman-sardi-umum-murtad-1.105643#sthash.lAIWPPzi.dpuf

Friday 19 June 2015

Wanita mengandung ketagih jilat sabun

BRISTOL - BRITAIN. Seorang ibu mengandung tidak dapat menahan keinginan peliknya iaitu makan sabun.

Jess Gayford, 26, yang kini mengandung lapan bulan kerap menjilat ketulan sabun atau cecair sabun pencuci tangan.

"Saya tidak pasti mengapa saya ingin makan sabun, tetapi setiap kali melihat sabun, saya ingin menjilatnya.

"Saya ke pasaraya untuk membeli sabun dan akan menjilatnya. Ia kedengaran menjijikan tetapi saya amat gemarkannya," katanya dipetik Bristolpost.

Suaminya, Jess Le Trimby berkata, pada mulanya dia agak bimbang mengenai keinginan pelik isterinya itu, namun berasa lega kerana ia tidak akan membahayakan kandungan isterinya itu.

-Sinar

Thursday 18 June 2015

Ketahui suami nikah lagi selepas nahas

KOTA TINGGI - [DIKEMASKINI] Seorang isteri terkejut apabila mendapati wanita yang maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa suami dan ibu mertuanya semalam adalah isteri kedua suaminya, dipercayai baru bernikah beberapa hari lalu.

Abdullah Suhaime Abd Rahman, 30, yang bekerja sebagai pembantu juru X-Ray di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan Rohayu Abas, 29, serta ibu Abdullah Suhaime, Rokiah Abu Bakar, 52, maut di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42.2 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran stesen minyak di Batu 1 Jalan Mawai kira-kira jam 5 pagi.

Kemalangan berlaku apabila kereta Ford Fiesta dipandu Rohayu yang merupakan jururawat di HSA, bertembung dengan sebuah lori pasir.

Pemandu lori cedera di mata dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Isteri pertama mangsa, Farah Fadila Faizal, 27, berkata, dia mendapat tahu kejadian menimpa suaminya daripada rakan melalui aplikasi WhatsApps sebelum dimaklumkan anggota polis.

Dia yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga dan hamil empat bulan, terkejut menerima berita buruk itu.

“Ahad lalu, suami ada beritahu saya dia hendak pergi kursus beberapa hari.

"Saya ada mengirim pesanan ringkas melalui telefon ketika dia sedang berkursus mengadu kaki saya sakit, tapi suami tak balas.

“Saya tak tahu ibu mertua dan wanita itu bersamanya sehingga terima berita tentang kemalangan ini,” katanya.

Sementara itu, adik Abdullah Suhaime, Maizatul, 25, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian tersebut kira-kira jam 7 pagi daripada ibu saudaranya sebelum bergegas ke HKT bersama ayahnya, Abd Rahman Ali, 58.

Katanya, dia mengetahui ibu, abang dan kakak iparnya maut sebaik tiba di balai polis.

“Rohayu merupakan isteri kedua abang dan mereka baru melangsungkan pernikahan di Terengganu. Mereka ke Terengganu tiga hari lalu.

“Saya dan abang hanya dua beradik. Selepas abang tidak tinggal bersama, saya jarang berbual dengannya. Malah akhir-akhir ini, dia (nampak seperti) tidak seceria selalu,” katanya ditemui di unit forensik HKT, semalam.

Jenazah dibawa untuk dikebumikan di kampung neneknya dekat Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, nahas dipercayai berlaku apabila Ford Fiesta dinaiki ketiga-tiga mangsa dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru, bertembung dengan lori yang datang dari arah Johor Bahru.

“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan lurus, jalan berkembar dua hala serta mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi jalan,” katanya.

-Sinar
 

Wednesday 17 June 2015

Lelaki jahanam

Cagayan De Oro (Filipina): Seorang lelaki Australia yang disiasat kerana membunuh dan beberapa kesalahan seks, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol dan memperdagang dua budak perempuan di Filipina, hari ini.

Gerard Peter Scully, 51, menghisap rokok sebelum dengan tenang menjawab ‘tidak bersalah’ selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah di bandar pelabuhan Cagayan de Oro.

Polis Filipina mendakwa Scully merogol dua remaja perempuan berulang kali yang ditemui bogel dan dirantai dalam apartmennya di bandar itu, tahun lalu.

Dia menghadapi lima tuduhan merogol dan satu tuduhan memperdagang manusia yang membawa hukuman penjara seumur hidup bagi salah satu tuduhan itu jika didapati bersalah.
Scully juga sedang disiasat merogol bayi perempuan berusia 18 bulan dan merogol serta membunuh budak perempuan berusia 12 tahun yang mayatnya ditemui tertanam di bawah lantai dapur satu lagi apartmen lelaki itu di Surigao.

Scully ditahan pada bulan sama di Malaybalay di selatan Filipina.

Media Australia melaporkan Scully yang berasal dari Melbourne, melarikan diri ke Filipina pada 2011 selepas dia didakwa kerana menipu.

Di Filipina, dia memulakan perniagaan seks siber, merakam adegan seksnya dengan budak perempuan berusia antara 12 hingga 18 tahun dari keluarga miskin. Rakaman itu dijual kepada pelanggan di Jerman, Amerika Syarikat dan Brazil.

Filipina kini antara pusat industri seks siber menggunakan kanak-kanak dan minggu lalu, polis menyelamatkan lapan budak perempuan dari sebuah rumah di Manila yang dijual untuk pelacuran dan dipaksa melakukan seks untuk tontonan secara dalam talian. Dua orang, termasuk ibu seorang budak itu ditahan. - AFP/Metro

Tuesday 16 June 2015

$100 bilion untuk beli 3 telur

Harare: Bank Pusat Zimbabwe menawarkan kepada rakyat negara itu untuk menukar wang kertas Zimdolar kepada dolar Amerika Syarikat. Bagaimanapun, untuk menukar 100 trilion dolar Zimbabwe mereka hanya akan memperoleh AS$0.40 saja.

Zimbabwe tidak lagi menggunakan nilai matawangnya sendiri sejak 2009 dan menggantikannya dengan sistem dikuasai dolar AS dan rand Afrika Selatan selepas inflasi yang melanda negara itu menjangkau 230 juta peratus. Sejak itu, penjaja jalanan juga enggan menerima not Zimdolar.

Dengan wang 100 bilion Zimdolar pembeli hanya boleh membeli tiga biji telur. Sementara 100 trilion Zimdolar hanya boleh digunakan untuk tambang bas selama seminggu. Tidak hairanlah jika melihat rakyat negara itu membawa beberapa bungkusan wang untuk membeli roti dan susu.

Mulai esok, mereka boleh menukar Zimdolar yang masih disimpan kepada dolar AS. Ia sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menarik balik peredaran matawang tempatan secara menyeluruh.

Sebahagian penduduk di Harare berkata, mereka sudah lama membuang Zimdolar.“Saya jadikannya baja untuk tanaman saya,” kata penjaja Isaac Mutezowepasi. Yang lain berkata, mereka masih menyimpan wang kertas itu dan tidak tertarik dengan tawaran kerajaan.“Saya mahu menyimpannya untuk ditunjukkan kepada cucu saya. Tambahan pula, saya yakin nilai Zimdolar akan meningkat kerana banyak permintaan apabila ia semakin pupus,” kata pereka grafik Tendai Nyaundi.

- Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57702#sthash.x4dnfKXM.dpuf

Monday 15 June 2015

30 tahun dirantai keluarga

Lingshanmio: Selepas 30 tahun dirantai keluarga sendiri, seorang wanita yang sakit mental akhirnya dibebaskan untuk menjalani rawatan di sebuah hospital di sini, baru-baru ini. Long Fen, 53, dari Lingshanmio, pekan kecil di wilayah Shandong, mula mengalami gangguan mental selepas terkejut mendengar bunyi guruh tiga dekad lalu.

Sejak itu dia tidak mengenal keluarganya dan mula menjerit, memaki hamun mereka serta jiran, menyebabkan dia digelar Wanita Gila. Keluarganya memberitahu akhbar People’s Daily, keadaan Long begitu teruk sehingga dia tidak kenal suami dan anaknya sendiri.

Lebih buruk lagi, dia menyerang mereka dan pernah mencederakan cucunya yang berusia enam tahun baru-baru ini.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57568#sthash.kRdc5rG9.dpuf

6 bulan tinggal dengan mayat adik

Kolkata: Seorang lelaki ditahan selepas didapati tinggal bersama mayat adiknya dan dua bangkai anjing di sebuah rumah di sini sejak enam bulan lalu. Polis menemui rangka berkenaan ketika menyiasat kematian Arabinda De, pemilik rumah itu yang mayatnya ditemui dalam kamar mandi beberapa jam sebelum itu, selepas satu kebakaran.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Kolkata Murli Dhar berkata, anak Arabinda, Partha De, 42, mendedahkan kehadiran mayat adiknya di rumah berkenaan ketika disoal siasat mengenai kebakaran itu.“Kami menemui mayat Arabinda yang rentung.

Kami juga menyedari anaknya, Partha, berkelakuan ganjil hingga mendorong kami menyoalnya. “Dia menceritakan mengenai rangka adiknya, Debjani, yang mati enam bulan lalu tetapi masih disimpan di rumah itu,” kata Dhar.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa adiknya mati kerana tertekan selepas kematian anjing peliharaan mereka.

Bagaimanapun, polis enggan membuat sebarang rumusan sehingga keputusan bedah siasat terhadap rangka Debjani dan mayat Arabinda. Dhar berkata, dia percaya Partha berdepan masalah mental sehingga enggan melaporkan kematian adiknya.

Sumber polis juga berkata, mereka mengesyaki Partha membunuh Arabinda dengan membakar bilik air ketika bapanya berada di dalam. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57474#sthash.ddulS7Ad.dpuf

Friday 5 June 2015

Petik gitar ketika otak dibedah

Rio de Janeiro: Seorang lelaki Brazil mengejutkan doktor dengan menyanyi lagu The Beatles ‘Yesterday,’ sambil memetik gitarnya ketika menjalani pembedahan otak.

Anthony Kulkamp Dias, 33, sedar sepanjang pembedahan membuang ketumbuhan di otaknya dan menyanyi untuk pasukan perubatan yang membedahnya.

Tindakannya membolehkan doktor mengelak daripada menyentuh saraf otak yang mengawal deria, pergerakan dan percakapan.

Kulkamp, pekerja bank, bermula dengan menyanyi lagu Emanuel yang dicipta untuk anaknya yang baru lahir sebelum meneruskan dengan lagu hit Beatles itu.

 Kulkamp pemain gitar profesional sejak 20 tahun lalu, disahkan menghidap ketumbuhan berkenaan 15 hari selepas anaknya dilahirkan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55800#sthash.55Qv7Hsg.dpuf

Thursday 4 June 2015

Ya Rasulullah, Kenapa Hari Ini Tidak Engkau Berika...

SUATU hari Rasulullah SAW pulang dari medan jihad fisabilillah. Rasulullah pulang diiringi para sahabat. Di depan pintu gerbang kota Madinah kelihatan Aisyah ra sudah menunggu dengan penuh rindu. Rasa rindu kepada Rasulullah SAW sudah sangat terasa.

Akhirnya Rasulullah SAW tiba juga ditengah kota Madinah. Aisyah ra dengan sukacita menyambut kedatangan suami tercinta.

Tiba Rasulullah SAW di rumah dan berehat melepas lelah. Aisyah di belakang rumah sibuk membuat minuman untuk suami tercinta. Lalu minuman itu disajikan kepada Rasulullah SAW.

Beliau meminumnya perlahan hingga hampir menghabiskan minuman tersebut ,tiba-tiba Aisyah berkata, "Yaa Rasulullah biasanya engkau memberikan sebahagian minuman kepadaku tapi kenapa pada hari ini tidak kau berikan gelas itu?"

Rasulullah SAW diam dan hendak meneruskan meminum habis air digelas itu. Aisyah bertanya lagi, Yaa Rasulullah biasanya engkau memberikan sebahagian minuman kepadaku tapi kenapa pada hari ini tidak kau berikan gelas itu? "

Akhirnya Rasulullah SAW memberikan sebahagian air yang tinggal di gelas itu .Aisyah ra meminum air itu dan dia terkejut dan terus memuntahkan air itu.



Ternyata air itu terasa masin bukan manis. Aisyah baru tersedar bahawa minuman yang dia buat dicampur dengan garam bukan gula. Kemudian Aisyah ra meminta maaf kepada Rasulullah.

Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com, Wallahu'alam bissawab

-Sumber: detikislam.blogspot.com

Mati mahu pinggul besar

New York: Seorang wanita berusia 34 tahun mati selepas mendapatkan suntikan untuk membesarkan pinggul daripada seorang doktor tidak berlesen di tingkat bawah tanah sebuah rumah di sini.

Kelly Mayhew dari Suitland, Maryland, ditemani ibunya untuk mendapatkan suntikan itu daripada wanita yang diperkenalkan oleh seorang rakannya.

Wanita itu menyuntik silikon ke dalam pinggul Kelly tetapi ketika prosedur itu, mangsa menggelupur kerana sukar bernafas, kata ibunya kepada polis.

Si ibu mula memberi bantuan kecemasan kepada anaknya dan meminta wanita berkenaan menelefon ambulans tetapi dia lari meninggalkan rumah berkenaan.

Ibu Kelly yang cemas menelefon rakan anaknya yang memperkenalkan wanita itu kepada mereka, tetapi dia tidak menjawab, lapor akhbar Daily News.

Petugas kecemasan yang tiba mendapati Kelly dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia diberi bantuan kecemasan dan dibawa ke hospital, tetapi disahkan mati ketika dalam perjalanan.

Doktor kini berusaha memastikan punca kematiannya sementara polis melancarkan siasatan, termasuk menguji bahan yang ditemui dalam jarum suntikan itu.

Menurut polis, mereka masih memburu suspek dan setakat ini tidak pasti sama ada sudah menemui rakan Kelly yang memperkenalkannya dengan wanita itu.

Kematian akibat menyuntik silikon untuk membesarkan pinggul pernah dilapor berlaku di Alabama, Georgia, Florida, Pennsylvania, Nevada dan New York.

Di Mississippi tahun lalu, seorang wanita, Tracey Lynn Garner didapati bersalah menyuntik bahan itu pada Karima Gordon, 37, yang mati beberapa hari kemudian.

Dia dihukum penjara seumur hidup.

Seorang lagi wanita yang bertanggungjawab menyebabkan kematian serupa di Florida, kini menanti untuk dibicarakan.

Oneal Ron Morris dituduh bertanggungjawab terhadap kematian Starka Nuby selepas menyuntiknya dengan silikon.

Dia berdepan hukuman penjara 100 tahun jika sabit kesalahan.

-Metro

Wednesday 3 June 2015

Jadi kuning lepas langgar lori cat

MOSCOW - RUSIA. Seorang pemandu lori diselaputi cat berwarna kuning selepas melanggar sebuah lori yang membawa cat di Lebuhraya M-4 Don, kelmarin.

Menurut laporan Dailymail, kemalangan tersebut menyebabkan berpuluh-puluh tin cat berwarna kuning terang tumpah di atas jalan raya berkenaan.

Difahamkan, cat tersebut digunakan untuk menanda garisan di jalan.

Bagaimanapun kedua-dua pemandu lori terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

-sinar

Tuesday 2 June 2015

Suamiku wanita

Maros (Indonesia): Seorang isteri terkejut dan membuat laporan polis selepas mendapati suaminya yang dikahwini selama dua tahun sebenarnya wanita. Nurhayati, 24, membuat laporan polis kerana berasa tertipu selepas ‘suaminya’ yang dikenali sebagai Iwan, 39, sebenarnya perempuan.

Ketua jabatan jenayah polis Maros di Sulawesi Selatan, Yusrizal berkata, identiti ‘suami’ wanita itu terbongkar pada Rabu lalu selepas keluarga kedua-dua belah pihak bertemu.

Katanya, Iwan atau nama sebenarnya Juma pergi ke rumah Nurhayati di sini dengan membawa surat keterangan pernikahan.

“Juma memberitahu keluarga Nurhayati bahawa mereka sudah bernikah pada September 2013 dan perkara itu menyebabkan keluarga wanita itu berang.“Pertengkaran yang tercetus menyebabkan Juma akhirnya mengaku dia sebenarnya wanita,” katanya.

Nurhayati yang terkejut dengan pengakuan ‘suaminya’ itu bertindak membuat laporan polis dan mendakwa Juma menipu serta memburukkan nama baik keluarganya.“Juma turut membuat laporan polis mendakwa keluarga Nurhayati cuba menyerangnya.

“Kami menahan Juma untuk soal siasat dan pemeriksaan doktor mengesahkan suspek wanita,” katanya. Nurhayati memberitahu dia tidak mengetahui ‘suaminya’ wanita kerana sepanjang tempoh perkahwinan mereka tidak pernah melakukan seks.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54375#sthash.vTdOF6vO.dpuf

Monday 1 June 2015

Penagih tegar mainan telefon

Changsha: Seorang lelaki dirakam masih asyik bermain permainan dalam telefon bimbitnya walaupun terlantar di atas jalan raya selepas motosikalnya dilanggar kereta.

Gambar ini dirakam di Changsha, ibu negeri wilayah Hunnan di selatan China. Menurut laporan People’s Daily Online, lelaki itu dilanggar di persimpangan jalan yang sibuk, kelmarin. Motosikalnya jatuh dan kotak dibawanya bertaburan.

Bagaimanapun, apabila polis tiba, lelaki itu enggan bangun, sebaliknya memberitahu mereka, dia mahu tunggu ambulans. Kedegilan dan perbuatannya terus bermain dengan telefon bimbitnya menyebabkan kesesakan teruk.

Polis mengesahkan dia dibenarkan keluar dari hospital pada hari itu juga selepas doktor mendapati dia hanya mengalami luka kecil. Beberapa media sosial percaya lelaki itu sengaja menjatuhkan dirinya untuk menuntut pampasan daripada pemandu kereta terbabit. Seorang pengguna laman sosial menulis: “Ini satu lagi penagih permainan online.” - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54659#sthash.3WochNgG.dpuf