Thursday 30 January 2014

Syafaat Nabi Muhammad SAW.

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Allah akan menghimpunkan sekalian manusia pada hari qiamat, maka dengan sebab dahsyatnya keadaan di situ, mereka merasa berat dan resah gelisah lalu mereka diilhamkan jalan untuk melepaskan diri dari yang demikian.

Mereka pun berkata sesama sendiri: "Bukankah elok kalau kita mencari orang yang dapat mengemukakan syafaat kepada Tuhan kita supaya Tuhan melepaskan kita dari penderitaan tempat ini?" Nabi s.a.w., bersabda: "Setelah itu, mereka pun pergi menemui Nabi Adam a.s., serta berkata: Engkau ialah bapa sekalian manusia, Allah telah menciptakanmu dengan kekuasaanNya dan meniupkan padamu dan roh-Nya, serta ia memerintahkan Malaikat sujud kepadamu; tolonglah kemukakan syafaat kepada Tuhamu untuk kami supaya ia melepaskan kami dari penderitaan tempat ini". Mendengarkan yang demikian, Nabi Adam berkata: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu", (dan pada satu riwayat, Nabi Adam berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu), serta ia menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu ia merasa malu kepada Tuhannya; tetapi, kata Nabi Adam: "Pergilah kamu menemui Nabi Noh, Rasul yang pertama yang telah diutus oleh Allah Taala'."Nabi s.a.w., bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Noh a.s., maka Nabi Noh menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu", (pada satu riwayat, Nabi Noh berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu"), serta ia menyebut salah-silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu ia merasa malu kepada Tuhannya: Tetapi, kata Nabi Noh, "Pergilah kamu menemui Nabi Ibrahim yang Allah telah jadikan dia orang yang berdamping di sisi-Nya." Nabi s.a.w, bersabda: "Setelah itu merekapun pergi menemui Nabi Ibrahim a.s., maka Nabi Ibrahim menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu, (dan pada satu riwayat: Nabi Ibrahim berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu"), serta ia menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu ia merasa malu kepada Tuhannya; Tetapi, kata Nabi Ibrahim: "Pergilah kamu menemui Nabi Musa a.s., yang Allah berkata-kata dengannya serta memberikannya kitab Taurat. " Nabi s.a.w., bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Musa a.s., maka Nabi Musa menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu, (dan pada satu riwayat: Nabi Musa berkata: Aku bukanlah orang yang layak untuk itu), serta ia menyebut salah silapnya yang pernah dilakukan, dengan sebab itu ia merasa malu kepada Tuhannya, Tetapi, kata Nabi Musa: "Pergilah kamu menemui Nabi Isa a.s., Roh Allah dan kalimah-Nya." Nabi s.a.w., bersabda: "Setelah itu mereka pun pergi menemui Nabi Isa Roh Allah dan kalimah-Nya, maka Nabi Isa menjawab dengan katanya: "Aku bukanlah orang yang berpangkat boleh menunaikan maksud kamu itu", (dan pada satu riwayat: Nabi Isa berkata: "Aku bukanlah orang yang layak untuk itu"), Tetapi kata Nabi Isa, "Pergilah kamu menemui Nabi Muhammad s.a.w. , seorang hamba Allah yang telah diampunkan salah silapnya yang terdahulu dan yang terkemudian." Kata rawi: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Setelah itu mereka pun datang menemuiku, aku pun memohon izin mengadap Tuhanku, lalu diizinkan"; (dan pada satu riwayat: Baginda s.a.w., bersabda: "Setelah itu mereka datang menemuiku, aku pun berkata: "Akulah orang yang layak untuk itu, akulah orang yang layak untuk itu" maka aku pun pergi serta memohon izin mengadap Tuhanku, lalu diizinkan), maka apabila aku mengadap-Nya, aku merebahkan diri sujud, lalu dibiarkan-Nya aku sujud seberapa lama yang Allah kehendaki, kemudian diserukan daku: Wahai Muhammad! angkatlah kepalamu, dan berkatalah apa sahaja hajatmu supaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan, dan kemukakan syafaat supaya dikabulkan syafaatmu; maka aku pun mengangkat kepalaku serta memuji Tuhanku dengan Puji-pujian yang diajarkan kepada aku oleh Tuhanku `Azza wa Jalla; kemudian aku kemukakan syafaatku;" (dan pada satu riwayat: Baginda s.a.w., bersabda: "Lalu diizinkan daku mengadapnya, maka aku pun berdiri mengadapnya serta memujinya dengan puji-pujian yang aku tidak dapat menyebutnya sekarang, yang Allah mengilhamkannya kepadaku, kemudian aku menumuskan muka sujud kepadanya hingga aku diseru: "Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu dan berkatalah apa sahaja nescaya diperkenankan, mintalah supaya diberikan dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu; Maka aku pun merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Kasihanilah umatku! Kasihanilah umatku!), (dan pada satu riwayat lagi: Baginda bersabda: "Maka aku pun mengangkat kepalaku serta memohon dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Segerakanlah apalah kiranya, perbicaraan hitungan amal khalayak yang ramai ini. (Al-Jama'ah)

Baca selanjutnya : disini

Wartawan ubah muka


Seoul: Seorang wanita Korea Selatan dituduh merosakkan mukanya selepas prosedur mengenai pembedahan plastiknya tersebar di Internet. Wanita yang didakwa sebagai wartawan di sebuah stesen televisyen Korea Selatan berkenaan menjalani pembedahan rahang bagi memperoleh wajah berbentuk bujur sirih yang diimpikan kebanyakan wanita Asia Timur. Masyarakat Korea Selatan lebih banyak menjalani pembedahan plastik berbanding dengan masyarakat negara lain, menurut angka terkini dengan golongan sasaran berusia 19 hingga 49 tahun. Prosedur itu menghasilkan dagu yang runcing secara luar biasa hingga beberapa pengguna forum Internet Jepun sangat terkejut. Seorang pengguna menulis: “Tolong beritahu saya ini adalah hasil Photoshop, manakala seorang pengguna menulis: “Nampaknya kamu boleh membajak sawah dengan dagu seperti itu”, lapor RocketNews24. Seorang pengguna bertanya: “Adakah dagu seseorang benar-benar boleh diruncingkan sebegitu? Dia tidak tahu apakah makna sebenar kecantikan asli.” -Metro

HIDAYAH : Model Antarabangsa Peluk ISLAM


Aliza Kim, seorang model antarabangsa berbangsa Thai-Amerika mengisytiharkan keislamannya di FB beliau pada 1 Januari lalu. Seorang siswazah Sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa, beliau mula bekerja di AS dan seterusnya di Thailand selama dua tahun dan menyertai pertandingan ratu cantik Thailand, menceburi iklan komersial dan drama TV yang membawanya ke Malaysia. Ikuti kisah perjalanan hidayah beliau yang menyentuh hati.

Saya telah melihat halaman kosong ini (FB) sekurang-kurangnya 20 minit, memikirkan bagaimana saya harus mulakan cerita yang ingin saya beritahu anda. Saya telah memikirkan kandungannya untuk beberapa hari – sebenarnya untuk beberapa bulan – tetapi tidak menemui cara yang memuaskan untuk saya mulakan. Jadi, saya rasa saya hanya mulakan dengan memperkenalkan diri saya.

Nama saya Aliza. Saya tidak berbeza daripada anda, tetapi ramai yang berkata bahawa saya telah mengalami beberapa perkara yang luar biasa. Dalam hidup saya, saya telah belajar di beberapa sekolah-sekolah yang paling teruk dan juga sekolah-sekolah yang terbaik di dunia, mempunyai peluang untuk mengembara ke lebih daripada sedozen negara-negara, bekerja dalam pekerjaan yang berubah seperti yang anda boleh bayangkan – dari seorang pelayan kepada seorang anggota pengurusan kanan korporat, model yang ‘in-demand’ kepada seorang jurubahasa tentera.

Saya boleh katakan bahawa saya telah mempunyai suatu hidup yang ditaburi dengan cebisan-cebisan menarik dalam perjuangan, pengembaraan, kesusahan dan sedikit glamor. Malah pada tahun lalu, saya berada di muka depan sekurang-kurangnya dalam dua majalah dan menjadi tajuk utama dalam tiga atau empat majalah yang lain.

Tetapi tahun ini sangat berbeza.

Bagi tempoh 12 bulan lalu, saya sengaja menjauhkan diri daripada media dan daripada acara-acara industri model; memendam diri untuk mencari diri saya sendiri. Walaupun banyak kerja saya masih mendapat perhatian tinggi di TV, nama saya pudar daripada majalah, media dan senarai undangan. Tahun ini, saya dikelilingi oleh rakan-rakan dan bukannya kamera. Tahun ini, hati saya lebih damai daripada apa yang dirasai. Mengapa? Saya telah menemui asas, kebenaran, keikhlasan dan ketenangan dalam agama … agama yang bukan ketika saya dilahirkan.

(Saya berharap untuk berkongsi pengalaman hidup saya, minat saya dalam kesihatan dan kesejahteraan, pengembaraan makanan saya dan pandangan saya mengenai isu-isu dunia dan banyak lagi hanya kerana saya telah lama dengan anda selepas cerita ini dikeluarkan. Saya tahu bahawa jika anda seperti saya, anda adalah seseorang yang melihat seseorang melebihi bangsa, agama dan jantina mereka dan berminat untuk berkawan dengan semua orang dengan cara yang positif dan terhormat tanpa mengira perjalanan hidup mereka.)

Saya telah menemui agama yang berasaskan kedamaian, keikhlasan dan kehormatan. Nama agama ini diterjemahkan secara bahasa bermaksud “penyerahan” dan, apabila dimasukkan ke dalam konteks keagamaan, ia bermakna “untuk beribadah (menyerah diri) kepada satu-satunya Tuhan”. Ini adalah Tuhan yang sama Nabi Adam, Nuh, Musa, Ibrahim, Daud dan Isa sembah … Tuhan yang sama yang saya suburkan sembah dan cinta sebagai penganut Kristian yang kuat.

Tetapi, agama yang saya peluk itu adalah satu agama yang terlalu disalah fahami dan dan ditakuti secara meluas kerana budaya popular dan peristiwa-peristiwa semasa.




Baca seterusnya : di sini

Wednesday 29 January 2014

Terkini: Remaja perempuan jatuh dari ketinggian 915 meter selamat


TULSA (Oklahoma): Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang terjatuh dari ketinggian 915 meter ketika bermain payung terjun, terselamat dan kini menerima rawatan lanjut. Doktor pakar bahagian trauma, Dr Jeffrey Bender berkata Makenzie Wethington mengalami kegagalan fungsi hati, patah tulang pelvis, tulang belakang dan beberapa tulang rusuk serta bahu beliau ketika tragedi pada Sabtu lalu. “Saya tak tahu bagaimana kemalangan itu boleh berlaku, kerana saya tidak berada di tempat kejadian. Bagaimanapun, ketinggiannya adalah 915 meter, saya tak tahu bagaimana beliau masih hidup,” katanya. Bender berkata, remaja berkenaan berada berada dalam keadaan stabil dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). - AP/BH

Saksi kelima akui lihat komando terkorban


Kota Kinabalu: Saksi kelima pendakwaan kes pencerobohan bersenjata di Lahad Datu mengakui melihat dua anggota komando VAT69 yang terkorban terbaring dalam keadaan kepala berbalut dan berlumuran darah ketika sedang berbalas tembakan. Ketua Sektor D Deputi Superintendan Abdul Rani Alias ketika memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, situasi itu dilihat ketika pasukannya bergabung dengan Sektor C diketuai Deputi Superintendan Anwar Rosdi ketika serangan pengganas. “Ketika itu, saya dimaklumkan dua anggota komando VAT69 terkorban dalam insiden tembak-menembak iaitu Sarjan Sabarudin Daud dari Sektor B dan Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dari Sektor C. “Saya melihat sendiri kedua-dua anggota ini terbaring dengan kepala mereka berbalut dan berlumuran darah,” katanya. Terdahulu, ketika ditanya Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail, Abdul Rani berkata, pasukannya tidak melihat pengganas Sulu, sebaliknya hanya melihat percikan api senjata dari arah semak di hadapan ketika insiden berbalas tembakan di Kampung Tanduo pada 1 Mac tahun lalu. “Pada hari kejadian, pasukan saya yang berkawal di Sektor D melakukan tinjauan rapat termasuk melakukan pemeriksaan terhadap 23 rumah yang dikosongkan di kampung terbabit. “Kemudian ketika di dalam rumah dua tingkat, kami terdengar bunyi tembakan dan mengambil keputusan bergerak ke arah bunyi terbabit. “Kami bergerak dalam bentuk ‘V’ ke arah bunyi tembakan dan dalam jarak 200 meter, pasukan saya secara tiba-tiba ditembak dari arah depan dan kiri,” katanya ketika perbicaraan pencerobohan pengganas Sulu di Penjara Pusat Kota Kinabalu, di sini, semalam. Abdul Rani berkata, ketika itu dia bersama Lans Koperal Mohammad Qayyum Aiqal Zolkifli berada di hadapan melalui denai manakala anggota lain di kiri dan kanan. “Sebaik diserang, saya bersama anggota lain terus mencari perlindungan, namun Mohammad Qayyum cedera selepas terkena tembakan pada bahu kanannya. “Saya segera memanggil anggota perubatan untuk membawa Mohammad Qayyum keluar dari tempat perlindungan manakala kami terus berbalas tembakan dengan pihak musuh selama satu jam,” katanya. Abdul Rani berkata, sepanjang insiden berbalas tembakan, dia tidak melihat kelibat musuh dan hanya menembak ke arah semak yang mengeluarkan ‘flash’ (percikan api). -Metro

Monday 27 January 2014

Adolf Hitler didakwa bersembunyi di Brazil


BERLIN - Bekas diktator Jerman, Adolf Hitler sebelum ini dipercayai membunuh diri di sebuah kubu bawah tanah di sini tahun 1945 menjelang kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Namun, seorang penulis, Simoni Renee Guerreiro Dias dalam bukunya, Hitler in Brazil mengejutkan banyak pihak apabila dia mendakwa bekas diktator itu meninggal dunia pada tahun 1984 selepas hidup dalam penyamaran di sebuah bandar kecil dekat sempadan Brazil dengan Bolivia. Dias berkata, Hitler berjaya melarikan diri dari tempat persembunyiannya di sini dan menuju ke Amerika Selatan. Penulis berkenaan mengemukakan sekeping gambar gambar menunjukkan Hitler bersama seorang wanita kulit hitam untuk membuktikan dakwaannya. Melalui bukunya, Dias mencabar pendapat ramai ahli sejarah yang percaya Hitler menembak dirinya di kubu bawah tanah berkenaan pada 20 April 1945. Pengarang tersebut sebaliknya memberitahu, bekas pemimpin Parti Nazi itu melarikan diri ke Argentina dan kemudian ke Paraguay sebelum menetap di Mato Grosso, Brazil. Menurutnya, Hitler kemudian menetap di sebuah bandar kecil, Nossa Senhora do Livramento bersama seorang teman wanita. Menurut Dias, Hitler sengaja memilih wanita kulit hitam sebagai kekasih bertujuan untuk mengelirukan musuh-musuhnya. Sebelum ini, bekas diktator tersebut terkenal kerana membenci bangsa Yahudi dan kulit hitam tetapi memuliakan bangsa Aryan. Dias merancang untuk menjalankan ujian DNA dengan menggunakan seorang saudara Hitler yang tinggal di Israel setelah diberi kebenaran untuk menggali kubur Adolf Hitler yang didakwa ditanam di Nossa Senhora do Livramento bagi membuktikan dakwaannya. - Agensi/Kosmo

Tangan dipotong kerana beri sedekah


DIKISAHKAN bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana ALLAH S.W.T." Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka ALLAH S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina. Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut. Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya. Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri." Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya. Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu." Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan ALLAH S.W.T. Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka ALLAH S.W.T." Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat." Dipetik daripada blog Detik Islam.com

Friday 24 January 2014

Sumber dedahkan pembunuhan besar-besaran etnik Islam bakal dilaksanakan ?


YANGON 23 Jan. - Kerajaan Myanmar didakwa melakukan persediaan bagi menghapuskan penduduk Rohingya Islam di negara ini, sebelum bancian penduduk Myanmar 2014 dijalankan pada 30 Mac hingga 10 April depan. Menurut laporan Burma Times yang memetik sumber dalaman Myanmar, pasukan tentera diketuai Presiden, Thein Sein sedang bersiap sedia untuk melakukan penghapusan etnik di negeri Rakhine, barat Myanmar tersebut. Jelas sumber itu, pentadbiran kerajaan pusat di Naypyidaw turut didakwa mengeluarkan arahan penahanan terhadap semua lelaki dewasa dan kanak-kanak Rohingya Islam yang berusia 10 tahun ke bawah. Sekiranya dilaksanakan, rancangan pihak berkuasa Myanmar itu bakal menyerupai penghapusan kaum yang dijalankan tentera Bosnia Serbia di Srebrenica dan Zepa ketika Perang Bosnia 1992-1995. Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya Islam kini dilaporkan tinggal di Myanmar, dengan 90 peratus daripadanya kini berada di barat negara tersebut. Myanmar tidak menganggap etnik itu sebagai warganegara, malah penduduk Rohingya sering berhadapan dengan kekejaman yang disokong oleh kerajaan sejak tahun 1978 lagi. Dalam kejadian pada 18 Januari lalu, pasukan keselamatan yang dikenali sebagai Lun Htein memusnahkan sebuah perkampungan yang dihuni oleh 4,000 orang penduduk Rohingya Islam di Maungdaw, Rakhine. Sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pernah memberi amaran kepada Myanmar supaya menghentikan serangan ke atas penduduk minoriti Islam itu jika mahu dilihat sebagai sebuah negara yang berwibawa. Keganasan etnik ke atas penduduk Rohingya biasanya dilakukan oleh penganut agama Buddha. Pada tahun 2012, perbalahan agama yang berlaku di negeri Rakhine mengakibatkan lebih 200 orang terkorban, kebanyakannya adalah penduduk Islam Rohingya yang dinafikan kewarganegaraan, manakala 140,000 orang lagi hidup melarat tanpa tempat perlindungan. Kerajaan Myanmar turut menolak perbincangan berkaitan isu etnik Rohingya pada persidangan pertama menteri-menteri luar ASEAN yang akan diadakan di negara ini pada 28 Mac depan. - AGENSI/Utusan

Dunia oh dunia : Tawar RM433j untuk kahwini anak lesbian


Terkini : Bot karam: 17 selamat, 1 hilang


SARIKEI 24 Jan. - Sebanyak 17 penumpang selamat manakala seorang lagi hilang selepas sebuah bot penumpang karam di Sungai Sian, Bintangor awal pagi ini. Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Tengah, Abdul Mutalib Rashid berkata, kesemua mangsa diselamatkan oleh kapal tongkang yang melalui sungai itu kira-kira pukul 6.50 pagi. Menurutnya, mangsa yang hilang dipercayai lelaki berketurunan Iban berusia lingkungan umur 30-an. - UTUSAN ONLINE

Wednesday 22 January 2014

Empat suspek bunuh budak ditahan


KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan kes penemuan mayat kanak-kanak berusia dua tahun di Paka, Dungun, dalam tempoh terdekat berikutan penahanan tiga suspek selain ibu mangsa, semalam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek utama yang juga teman lelaki ibu mangsa berusia 25 tahun, ditahan di Kuala Paka jam 3.30 petang semalam. "Polis mencari lelaki ini sejak 18 Januari lalu iaitu sejurus laporan polis dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 27 tahun mengenai kehilangan anaknya. "Susulan penahanan ibu mangsa juga, kita mendapat tahu laporan dibuat sebelum ini adalah palsu dan wanita itu mendakwa dia dipaksa berbohong oleh suspek utama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, sebentar tadi. Manoharan berkata, ketika ditahan, semua suspek dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah. "Kita percaya semua suspek termasuk ibu mangsa terbabit dengan dadah dan turut menjadi pengedar secara kecil-kecilan," katanya. -Metro

Saturday 18 January 2014

Alahai dunia: Ubat gigi gagal pikat wanita


Nigeria: Seorang lelaki memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pembekal ubat gigi jenama “Close-Up” apabila gagal memikat wanita seperti yang diiklankan syarikat berkenaan. Athony Olatunfe, 26, memfailkan saman terhadap Unilever Nigeria Ltd dan meminta syarikat berkenaan membuktikan keberkesanan produk mereka melalui ujian makmal. Iklan ubat gigi berkenaan memaparkan wanita tertarik kepada lelaki yang menggunakan ubat gigi syarikat terbabit. “Tiada wanita yang mahu keluar minum dengan saya walaupun saya yakin mereka mampu menghidu nafas saya. “Saya sering menggunakan ubat gigi berkenaan untuk memastikan wanita tertarik dengan kesegaran nafas saya seperti yang disiarkan dalam iklan syarikat itu di televisyen,” kata Anthony yang telah tujuh tahun menggunakan produk berkenaan. Anthony turut menyerahkan semua tiub ubat giginya kepada mahkamah sebagai bukti. Anthony juga menuduh syarikat Unilever menipu hingga menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan.- AFP/Metro

Tentera sembunyi 30 tahun di hutan meninggal dunia


Tokyo: Seorang anggota tentera Jepun yang bersembunyi di hutan Filipina selama tiga dekad kerana tidak percaya yang Perang Dunia Kedua sudah berakhir meninggal dunia pada usia 91 tahun di Tokyo semalam. Hiroo Onoda yang melancarkan perang gerila di Pulau Lubang dekat Luzon hanya mempercayai yang perang sudah berakhir pada 1974 selepas diarahkan bekas komandernya agar menyerah diri. Onoda meninggal dunia di Tokyo akibat sakit jantung. Dia ialah individu terakhir daripada puluhan anggota tentera yang bersembunyi di seluruh Asia yang setia berjuang untuk maharaja Jepun. Dilatih sebagai pegawai risikan dan ketua gerila, Onoda dikerah ke Lubang pada 1944 dan diarahkan agar tidak menyerah diri, tidak membunuh diri dan tetap berjuang hingga pasukan bantuan tiba. Dia dan tiga lagi anggota tentera terus mematuhi arahan itu walaupun Jepun sudah tewas dalam Perang Dunia Kedua pada 1945. Tokyo mengisytiharkan mereka sudah mati selepas gagal mencari mereka selama sembilan tahun. Bagaimanapun, pada 1972, Onoda dan beberapa rakannya terbabit dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina. Rakan seperjuangannya maut tetapi Onoda berjaya melarikan diri. Onoda menjelaskan yang dia percaya percubaan memujuknya itu ialah angkara regim boneka di Tokyo yang didalangi Amerika Syarikat. - AFP/Metro

Wednesday 15 January 2014

Derita 'tegang' lima minggu


Dublin: Seorang penunggang basikal gunung berdepan pengalaman memeritkan apabila kemaluannya menegang selama lima minggu akibat kecederaan dialami ketika melakukan aktiviti lasak kegemarannya. Lelaki berusia 22 tahun itu mengalami masalah dikenali sebagai priapisme selepas jatuh terkangkang atas palang basikalnya. Kejadian itu mengakibatkan gangguan saraf yang mengalirkan darah ke zakarnya. Media semalam melaporkan, mangsa hanya mendapatkan rawatan di Hospital Tallaght lima minggu selepas mengalami kecederaan itu. Pemeriksaan awal menunjukkan lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan menyebabkan doktor tertanya-tanya cara untuk membantunya. Doktor di hospital Tallaght berkata, seseorang yang mengalami priapisme masih boleh mengadakan hubungan seks namun mungkin tidak akan merasai sebarang kenikmatan, sebaliknya cuma menderita. “Ia juga boleh menyebabkan darah beku jika tidak dirawat segera,” katanya. Selepas beberapa rawatan, masalah lelaki terbabit akhirnya berjaya diselesaikan apabila melalui busa gel serta empat lingkaran platinum kecil yang dimasukkan di antara urat yang membekalkan darah ke kemaluannya. - Agensi/Metro

Sunday 12 January 2014

Biodata iblis, anda patut tahu!


Nama sebenar: IBLIS LAKNATULLAH Kelahiran: Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s Status diri: Fasik kelas pertama Agama: Kufur Tempat Tinggal: Di hati-hati mereka yang lalai Alamat Tetap: Neraka jahanam Kawasan: Di setiap penjuru yang di dalamnya tiada usaha langsung untuk mengingati ALLAH Arah perjalanan: Tiada haluan dan bengkang-bengkok Isteri: Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati ALLAH, Rasul dan suaminya Kaum kerabat: Semua golongan yang menentang dan memusuhi ALLAH Modal pusingan: Angan-angan kosong dan tipu daya yang halus Tempat pertemuan: Konsert-konsert hiburan, pasar-pasar dan di semua tempat jual beli Musuh ketat: Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa Sahabat karib: Anak-anak Adam Motto kerja: 'Hipokrasi asas akhlak' Hobi: Melalaikan orang dari mengingati ALLAH, menggoda manusia lalu menyesatkannya Cita-cita: Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir Sukan (yang tidak digemari): Acara langkah seribu (semasa malaikat maut ingin mencabut nyawa) Kelemahan diri: Bila manusia membaca istighfar Mentor yang dikagumi: Manusia yang mempunyai berkelebihan lebih dari dirinya Logo: Sebarang tatu Pejabat operasi: Tandas, bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat Rakan kongsi: Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia Sumber pendapatan: Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba Jenis perkhidmatan: Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap ALLAH SWT Tempoh perkhidmatan: Sehingga hari khiamat Matlamat sebenar: Membawa anak cucu Adam bersama-sama ke neraka jahanam Teman sejawat: Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran Ganjaran: Dosa-dosa kecil/besar dan kemurkaan ALLAH Pembantu setia: Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam Peristiwa yang tak dapat dilupakan: Semasa ALLAH menjadikan Nabi Adam a.s Kenangan manis: Di waktu manusia diambang sakaratul maut, mati dalam kekafiran Kenangan pahit: Manusia yang digodanya mati dalam keimanan Makanan kegemaran: Daging orang mati, segala najis dan kotoran Minuman yang digemari: Wiski, brandi, tequila, todi, wine, arak dan semua minuman yang memabukkan. Yang paling ditakuti: Orang mukmin yang bertakwa Yang paling dibenci: Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati ALLAH Alat perangkap: Wanita-wanita cantik, model, pelacur, peragawati dan sebagainya Saat ajal: Bila tiba waktu yang ditentukan ALLAH di hari kiamat kelak Yang paling membosankan: Bila tiada lagi manusia yang mahu mengikuti kemahuannya Tugas yang paling meletihkan: Menganggu manusia ke arah kebaikan kerana ALLAH Taala Tugas yang paling disukai: Mengajak melakukan homoseks, lesbian dan berzina Janji kepada manusia: Janji-janji kosong, angan-angan dan tipu daya Yang membuatnya gembira: Manusia yang mengikut jejak langkahnya Saat yang mendukacitakannya: Manusia yang mempunyai cita-cita untuk bertaubat Yang membuatnya menangis: Bila manusia yang disayanginya sujud kepada ALLAH SWT Dipetik dari detikislam.blogspot.com

Lipas terbesar dalam telinga manusia


Darwin (Australia): Doktor menarik keluar bangkai lipas sepanjang satu inci yang memasuki telinga seorang lelaki ketika tidur. Hendrik Helmer terjaga daripada tidur apabila terasa sakit dan cuba menggunakan pembersih vakum untuk menarik benda asing yang dirasai bergerak di dalam telinga kanannya, namun gagal. “Saya mengagak ada serangga di dalam dan ketika itu bimbang ia mungkin labah-labah berbisa,” katanya. Helmer akhirnya ke hospital selepas tidak tahan kesakitan yang semakin menjadi-jadi. Doktor kemudian menuangkan minyak zaitun ke dalam telinga itu menyebabkan lipas berkenaan lemas dan mati. “Namun sebelum itu lipas berkenaan masuk lebih dalam dan mengambil hampir 10 minit untuk mati. “Saya tetap rasa sakit kerana lipas itu menggelupur sebelum mati,” katanya. Doktor kemudian mengeluarkan lipas itu menggunakan penyepit dan terkejut apabila mendapati saiznya sepanjang seinci dipercayai serangga terbesar ditemui dalam telinga manusia. Helmer tidak bimbang kejadian berulang, namun rakan-rakannya kini memakai penutup telinga sebelum tidur selepas geli mendengar pengalamannya. - Agensi/Metro

Saturday 11 January 2014

Kunyah kereta lepas marah

Cardiff: Seorang wanita mengejutkan orang ramai apabila bertindak menggigit bumbung kereta mereka selepas terbabit dalam pergaduhan. Perbuatan Rhian Jeremiah, 26, menggigit bumbung kereta Fiat 500 itu tidak ubah seperti watak penyangak dalam filem James Bond yang dikenali sebagai Jaws. Selina Day, 23, memberitahu Mahkamah Majistret Aberystwyth semalam, dia dan dua rakannya terkejut apabila terdengar bunyi besi dikerkah Rhian yang dipercayai mabuk ketika itu. Katanya, mereka bertiga sebelum itu meletakkan kereta di luar sebuah restoran makanan segera sebelum tiba-tiba dihampiri Rhian yang kelihatan agresif dan marah. “Wanita itu cuba membuka pintu sambil memaki hamun namun saya tidak faham apa dikatakannya kerana dia terlalu mabuk. “Berlaku sedikit pertengkaran sebelum dia tiba-tiba menggigit bumbung kereta. “Memang kami terdengar bunyi besi dikerkah,” katanya ketika memberi keterangan. Pihak polis menemui bekas gigitan pada kenderaan itu malah kerosakan itu menelan belanja lebih £200 (RM1,073) untuk diperbaiki. Mahkamah diberitahu, Rhian sebelum itu minum arak ketika majlis memperingati hari lahir teman lelakinya Simon Jones yang mati lemas, baru-baru ini. Rhian dihukum melakukan kerja khidmat masyarakat selama 12 bulan dan menghadiri 20 sesi kaunseling bagi penyalahgunaan alkohol selepas didapati bersalah menyebabkan kerosakan jenayah dan menyerang dua pegawai polis yang dipanggil memberi bantuan. - Agensi

Friday 10 January 2014

VAT 69 : 'Jangan tembak kecuali diserang'


KOTA KINABALU - Pasukan penembak hendap VAT69 yang menjalankan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas Sulu jika mereka dikesan. Superintendan Mancha Anak Ata dari unit Komando VAT69 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata arahan itu diberi oleh Komander Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun dalam satu taklimat di sebelah pagi sebelum Mancha dan pasukannya selain empat pasukan lagi memasuki kampung itu untuk menjalankan operasi berkenaan. “Kami tidak dibenarkan menyerang atau melepaskan tembakan ke arah penceroboh bersenjata (jika dikesan) melainkan kami diserang atau ditembak terlebih dahulu oleh penceroboh itu,” beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, semalam. Mancha beri keterangan pada perbicaraan 30 orang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas. Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berhubung kedudukan sekumpulan 35-40 pengganas ketika mereka meneriak kepada pasukan penembak hendap “Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!” sebelum pertempuran tercetus pada hari berkenaan, Mancha berkata: “berselerak, tetapi dekat antara satu sama lain).” 22 daripada 30 individu dibicarakan bersama, termasuk dua lelaki rakyat Malaysia, terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda. Daripada 22 orang itu, seorang berdepan dua pertuduhan tambahan merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas. Lima daripada lapan lagi tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas; seorang daripada mereka, satu-satunya wanita daripada 30 orang itu yang juga warga Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya menjadi anggota kumpulan pengganas, manakala dua lagi didakwa cuba melindungi orang yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas. Bakinya adalah warga Filipina. Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas. Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung hari ini -Bernama/Sinar

Friday 3 January 2014

Antara bughah, lughah dan lurah


SEJAK semalam kita heboh dengan cerita ‘bughah’ yang mana puncanya dikatakan berasal usul daripada kenyataan seorang mufti yang dilaporkan berkata kumpulan demonstran pada malam tahun baru di Kuala Lumpur dua hari lalu sebagai ‘bughah’ dan ‘bughah’ mengikut hukum adalah halal darah mereka. Keras. Memang sangat keras. Dan oleh kerana kerasnya kenyataan itu, saya tidak yakin bahawa apa yang dilaporkan adalah yang sebenar sebagaimana dikatakan oleh mufti berkenaan. Maka saya pun hubungi seorang rakan wartawan Sinar Harian dan minta disahihkan oleh mufti, apa benar begitu kenyataannya sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar. Ya, saya tahu pendapat saya ini pastinya tidak disukai oleh ramai kawan-kawan wartawan. Akan tetapi sebagai orang Islam, saya tidak dapat terima sikap ambil mudah pada kenyataan seseorang ulama apa lagi yang bertaraf mufti. Ini kerana apa yang juga yang diperkatakannya, adalah membawa imej, reputasi dan kredibiliti Islam, bukan hanya pada batang tubuhnya sahaja. Maka jika sesuatu kenyataan itu kontroversi sifatnya, biarlah apa yang disiarkan itu 100 peratus sebagaimana yang dikata dan yang 100 peratus itulah juga disiarkan dalam media. Implikasi daripada hukum ‘halal darah’ adalah sangat berat. Saya berasa teramat sedih melihat kenyataan-kenyataan biadab, maki hamun yang bukan sahaja tidak seharusnya dituju kepada seorang mufti atau ulama malahan juga kepada orang biasa seperti saya yang kini sudah jadi mainan dalam media sosial. Saya yakin, daripada yang memaki hamun mufti itu, termasuk juga yang baru pertama kali kenal perkataan ‘bughah’ ataupun yang merujuk kepada Google dahulu. Selepas itu, tanpa segan silu terus maki hamun orang lain seolah-olah sudah khatam 20 atau 30 kitab hal ‘bughah’. Begitulah hebatnya pahlawan-pahlawan papan kekunci kita! Walau apa pun, saya akui bahawa saya sendiri terkejut melihat kenyataan itu tetapi saya ambil pendekatan tidak mahu terus percaya bulat-bulat. Saya bukan kata keseluruhan tetapi mungkin kenyataan 50 kilometer disingkat kepada 20 kilometer atau 30 kilometer sahaja. Maklumlah, sekarang minyak mahal, bukan? Tetapi, kenalah ingat, kenyataan halal darah bukan main-main. Apa lagi jika dilaporkan dari mulut seorang mufti. Mufti adalah individu yang layak untuk berfatwa. Sedang Salman Rushdie seorang pun gegak –gempita dunia dibuatnya, inikan pula berpuluh ribu orang! Walau apa pun, berlakunya konflik yang semacam ini menyebabkan kita secara tidak langsung dapat belajar beberapa istilah baharu dalam bahasa Arab. Kalau dahulu kita dihadapkan dengan perkataan seperti mubahalah, muqobalah dan macam-macam ‘lah’ lagi, hari ini kita belajar ‘bughah’ pula. Apa yang pasti, walaupun sudah macam-macam pendekatan dicadang untuk merapatkan jurang sesama kita, hakikatnya, makin lama, makin parah. Muqobalah tidak menjadi sebaliknya yang makin menjadi-jadi ialah ‘mu koho balah’ atau semakin teruk berbalah. Nampaknya, kita tidak pernah ambil pengajaran untuk insaf dan berusaha merapatkan semula perbezaan. Apa yang kita dapat hanya belajar ‘lughah’ atau bahasa Arab! Sebut pasal sambutan malam tahun baharu, selain ‘bughah’ ada satu lagi yang perlu disentuh iaitu ‘lurah’. Kita semua maklum bahawa setiap tahun, sudah bertahun-tahun, sambutan tahun baharu diraikan dengan bermacam-macam pesta maksiat. Bermula dari pertunjukan hiburan di Dataran Merdeka, aksi menunjukkan ‘lurah’ di atas pentas, kemudian berjangkit kepada meraba ‘lurah’ oleh bughah-bughah yang di bawah. Adegan ini kemudian bersambung-sambung pula ke satu lagi ‘rah’ iaitu hotel murah yang sudah awal ditempah di Chow Kit, Jalan Raja Laut atau di mana-mana sahaja. Tidak pernah berubah! Aksi ‘lurah’ yang murah tetapi cara sambutannya tidak pula murah pun ada juga. Tinjaulah di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Sri Hartamas atau Bukit Bintang. Ini pesta ‘lurah’ untuk anak-anak orang kaya lagi kenamaan! Tahun ini, DBKL peruntukan ratusan ribu ringgit kos untuk sambut tahun baharu pada ketika warga kota sudah mula kebingungan berikutan ura-ura cukai pintu akan dinaikkan. Dan buat pertama kali, tahun ini ada suara daripada Pemuda Umno supaya sambutan tahun baharu diubah, ditinggalkan acara-acara yang ‘lagha’ sebaliknya ditumpu hanya pada acara yang bersifat agama. Pun, tidak diikut juga! Akhirnya, yang ‘lurah’ juga yang dibenarkan bebas di bumi bertuah ini! -Muhamad Mat Yakim @ Sinar

Pemikiran Islam Liberal - Fahaman berpandu nafsu, akal


Pemikiran Islam Liberal berteraskan kepada beberapa dasar. Namun, sebelum itu kita lihat asas umum yang menjadi momentum kepada ideanya. Antara gagasan itu sebagaimana yang dikemukakan Charles Kurzman adalah seperti berikut : Syariat liberal - berhujah bahawa ayat al-Quran dan amalan Nabi mengarahkan Muslim untuk mengikuti amalan liberal. Syariat senyap - berpendapat bahawa kewujudan bersama tidak dikehendaki oleh syariat, tetapi dibenarkan. Kiasan ini berhujah bahawa syariat senyap mengenai topik tidak pasti kerana wahyu tidak lengkap atau rosak, tetapi kerana wahyu sengaja dibiarkan begitu, manusia boleh membuat pilihan ke atas isu tertentu. Syariat ditafsirkan - kiasan ketiga ini menunjukkan bahawa kepelbagaian agama tidak dapat dielakkan, bukan hanya dalam kalangan komuniti agama, tetapi dalam Islam itu sendiri. Secara ringkas, idea ini dijadikan bahan anjakan dalam melahirkan beberapa dasar pemikiran Islam Liberal. Antara dasar pemikiran Islam Liberal adalah seperti berikut: Pluralisme agama (kesatuan agama) Golongan Islam Liberal berpendapat Islam bukan satu-satunya agama yang benar. Bahkan, semua agama di dunia ini adalah sama dan benar berdasarkan kepada konsep keseluruhan. Iaitu semua agama memiliki Tuhan dan menganjurkan kebaikan. Justeru, mereka menganggap masyarakat beragama Islam perlu menerima teologi pluralis dan kefahaman yang menghubungkan semua agama (lintas agama). Sebagai contoh, Nurkholis Majid berpendapat bahawa pluralisme sesungguhnya adalah aturan Tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah sehingga juga tidak mungkin ditentang dan diingkari. Beliau mengibaratkan pluralisme seperti roda, pusat roda itu adalah Tuhan dan jaringnya adalah simbolik dari perbagai agama. Demikian juga pendapat yang dikemukakan oleh Alwi Shihab di dalam bukunya Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama. Beliau berpendapat bahawa ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Ma’idah itu bersifat inklusif bukannya eksklusif untuk umat Islam sahaja. Pendapat ini disokong oleh Abd Rahman Wahid, Djohan Effendi, Arief Budiman dan ramai lagi. Ulil Absar Abdalla pula mengatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju kebenaran. Jadi Islam bukanlah yang paling benar.” Bertitik tolak daripada fahaman ini, mereka menyimpulkan bahawa semua agama adalah sama. Dengan itu, mereka begitu mudah menghalalkan perkahwinan antara penganut yang berbeza agamanya. Mereka mendakwa inilah sebahagian daripada hasil ijtihad dan pembaharuan hukum pada dimensi Islam. Paling tuntas, dasar inklusif-pluralis ini sebenarnya menyimpang daripada kebenaran. Bahkan, ia mengutamakan kehendak akal dan nafsu semata-mata. Al-Quran sebagai produk budaya Penganut Islam Liberal enggan menyebutkan ‘Allah berfirman’ disebabkan mereka mendakwa al-Quran adalah susunan kata-kata Muhammad atau karya bersama. Mereka berhujah bahawa teks al-Quran dalam bentuk apapun pada hakikatnya adalah produk budaya. Sebagai contoh, Nasr Hamid Abu Zayd menganggap hukum-hakam di dalam al-Quran hanyalah sesuai dengan sosio-budaya, ekonomi dan politik masyarakat Arab abad ketujuh sahaja. Oleh itu, adalah tidak sesuai jika ia hendak dipraktikkan tanpa sebarang kajian dan menilai hikmah di sebalik penurunan ayat berkenaan. Tidak cukup dengan teori logik di atas, Nasr Hamid Abu Zayd dengan keras mengkritik metodologi ulama tafsir Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau mendakwa autoriti tafsir bukannya dimiliki oleh ahli tafsir terdahulu. Bahkan beliau berpendapat bahawa kalangan ahli tafsir melakukan satu kesilapan besar kerana menafsirkan sesuatu ayat dengan unsur kenabian dan penurunan wahyu. Selain itu, muncul pula Hassan Hanafi dari Mesir yang mempelopori pemikiran Islam Berhaluan Kiri. Beliau berpendapat bahawa nas al-Quran adalah dilalah dzanniyyah (dalil yang diragui), manakala akal adalah pemutus (al-qat’iyah) terhadap perkara yang berkaitan dengan ketuhanan, kenabian dan hari akhirat. Muhammad Arkoun pula menggunakan pendekatan sejarah dalam menafsirkan al-Quran. Beliau berkeyakinan bahawa sebarang kajian kritis sejarah terhadap al-Quran adalah satu bentuk ijtihad zaman kini. Lantaran itu, beliau mengintegrasikan bahan sejarah dari pelbagai agama seperti Hindu, Buddha, Injil Perjanjian Lama dan Injil Perjanjian Baru. Beliau juga berpendapat al-Quran itu lebih suci ketika berada di peringkat pertama jika dibandingkan dalam bentuk bertulis. - Bersambung Metro/Rehal Muhtadin -Penulis ialah Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri

Alahai dunia : ‘Dia syok sendiri’


Melaka: “Mustahil untuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi pengiktirafan kepada Noor Jan Shah sebagai Sultan Melaka sedangkan kerajaan Malaysia sendiri tidak mengiktiraf beliau,” kata pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam. Menurut beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), tidak munasabah untuk ICJ berbuat demikian tanpa mendapatkan pandangan daripada kerajaan dan pakar sejarah di negara ini. “Soal mendapat pengiktirafan ICJ itu adalah urusan dia (Noor Jan), tetapi kita tidak boleh rekod, malah tiada rekod rasmi yang dicatatkan oleh kerajaan Malaysia yang mengesahkan dia adalah Sultan Melaka. Kita tidak boleh terima pakai pengiktirafan itu. “Mungkin dia nak jadi terkenal dengan berbuat demikian. Niat sebenar hanya dia yang tahu,” katanya. ketika dihubungi, di sini, semalam. Harian Metro semalam melaporkan bukti pengiktirafan ICJ yang ditunjukkan ahli perniagaan lingkungan 50-an yang mendakwa dirinya pewaris Sultan Melaka ke-44 dan pewaris takhta ke-35 Sultan Perak itu tidak kuat bagi membuktikan beliau adalah waris Kesultanan Melaka. Bukti terbaru yang dikemukakan itu masih boleh dipertikaikan dari segi kesahihannya oleh pakar sejarah. Mengulas lanjut, Dr Ramlah berkata, sebagai pengkaji sejarah negara, beliau tidak pernah menemui bukti dalam mana-mana dokumen, risalah atau buku bahawa akan wujud seorang individu yang bergelar Sultan Melaka baru. “Malah, semua pengkaji sejarah di negara ini juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan dalam mana-mana pentas perbincangan atau forum. “Dari segi kisah sejarah lampau, memang tiada bukti akan wujud Sultan Melaka baru dan pengakuan dia mungkin kerana syok sendiri atau ada sesuatu niat yang kita sendiri tak tahu,” katanya. -Metro

Saintis cipta suntikan halang barah payudara


London: Ahli sains kini mencipta dadah yang boleh disuntik bagi menghalang barah payudara yang dilihat mampu memanfaatkan jutaan wanita di seluruh dunia. Ia disasarkan bagi penghidap barah peringkat awal dikenali sebagai karsinoma duktus in situ (DCIS). Bagaimanapun, dadah itu tidak berkesan terhadap jenis barah payudara lain yang hanya boleh dikenal pasti selepas mencapai peringkat lanjut. 5,000 wanita di United Kingdom didiagnos dengan DCIS setiap tahun, namun hanya separuh kes berkenaan menjadi lebih agresif. Malangnya, doktor tidak dapat meramalkan sejauh mana kesan DCIS terhadap setiap pesakit mengakibatkan kebanyakan mereka terpaksa melalui pembedahan, malah ada yang terus membuat mastektomi. - AP/Metro

Bapa kurung anak dalam reban ayam


Kuala Terengganu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bukan saja dimaki dan dipukul ayahnya sendiri, malah turut dikurung dalam reban ayam gara-gara tindakannya yang gemar ke rumah kakaknya dalam kejadian di Kampung Teluk Pasu, Manir di sini, Ahad lalu. Menurut sumber, nasib menimpa kanak-kanak malang itu hanya diketahui kakaknya berusia 20 tahun yang tinggal di Kampung Losong Megat Hussin, di sini, kira-kira jam 8 malam hari sama selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lagi adik perempuannya yang memaklumkan perbuatan ayah mereka. Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang berada di rumah kakaknya dimarahi suspek berusia 50-an yang kebetulan datang ke rumah kakaknya itu. “Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang masih kecil dimaki hamun suspek yang dikatakan tidak suka melihat anaknya berada di situ. “Selepas puas memarahi mangsa, suspek kemudian beredar sambil membawa mangsa meninggalkan kediaman itu. “Perasaan tidak puas hati suspek rupa-rupanya tidak berakhir di situ apabila mangsa dipukul ketika berada di rumah. “Malah, suspek turut bertindak kejam apabila mengurung anak kecil itu di dalam reban ayam kononnya sebagai memberi pengajaran,” katanya. Sumber berkata, ketika kejadian, seorang lagi kakak mangsa berusia 16 tahun turut berada di rumah, tetapi hanya mampu melihat tindakan tidak berperikemanusiaan ayah mereka kerana bimbang diapa-apakan jika masuk campur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya. Katanya, susulan kejadian itu, kakak mangsa yang bimbang keselamatan adiknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan. -Metro

Thursday 2 January 2014

Wanita mengilai jam 4 pagi


Port Dickson: “Lepaskan saya, saya nak menari, jangan pegang saya… tolonglah,” kata seorang wanita berusia awal 20-an yang secara tiba-tiba diserang histeria ketika tidur di dalam sebuah khemah di Batu 4, Jalan Pantai, di sini, awal pagi semalam. Wanita terbabit yang mengikut teman lelakinya menyertai Pertandingan Bola Sepak Pantai Sepanjang Malam anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), mengejutkan orang ramai yang menyaksikan perlawanan itu apabila diserang histeria dan menari ‘ulik mayang’ pada jam 4 pagi. Wanita berkenaan yang kemudian meraung sekuat hati dan berlari seperti mengejar sesuatu menyebabkan perlawanan terhenti seketika dan beberapa pengunjung terpaksa menenangkan wanita itu. Saksi kejadian, Yusri Hassan, 35, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyaksikan perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan tahun baru 2014. Katanya, ketika asyik menonton perlawanan, tiba-tiba terdengar suara wanita mengilai seperti dirasuk daripada khemah berhampiran menyebabkan 100 penonton panik. “Akibatnya, beberapa pengunjung menyerbu ke khemah wanita itu dan menyaksikannya dalam keadaan dirasuk,” katanya yang ditemui di tempat kejadian. Wartawan yang berada di lokasi kejadian membuat liputan perlawanan itu turut terkejut apabila mendapati wanita berkenaan tiba-tiba meracau. Ada beberapa individu cuba menenangkan wanita itu, tetapi dia meraung supaya dilepaskan kerana ingin membuat tarian ulik mayang. “Tolong lepaskan saya, jangan pegang, saya nak menari,” rayu wanita berkenaan kepada orang ramai dan kemudian membuat tarian berkenaan. Bagaimanapun, selepas 10 minit ditenangkan pengunjung selain dibacakan ayat suci al-Quran, wanita berkenaan kembali tenang namun masih lemah. Dia kemudian dibawa pengunjung wanita lain memasuki kereta sebelum perlawanan bola sepak diteruskan. Mengimbau kejadian sama, Harian Metro pada 10 November lalu melaporkan hampir 50 peserta Perhimpunan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Batu 1, Jalan Pantai, pernah diserang histeria ketika mengadakan tarian ulik mayang dan kuda kepang. Menurut laporan, keadaan dapat dipulihkan apabila beberapa pengamal perubatan Islam tampil memberikan bantuan. Sementara itu, pengamal perubatan Islam dari daerah ini, Ustaz Mohammad Salleh menasihatkan pengunjung pantai di daerah ini lebih berhati-hati dan menjaga tingkah laku ketika berada di kawasan berkenaan. Katanya, ia kerana makhluk halus berada di mana-mana tanpa mengira tempat dan histeria sering berlaku kepada mereka yang gagal mengawal emosi. “Jika kita terlalu gembira, sedih, takut atau marah, kebarangkalian tinggi untuk dirasuk makhluk halus,” katanya ketika dihubungi, semalam. -Metro