Monday 19 December 2011

Regangan Otak : Teman vs Kawan

Adab berteman ada budaya
Adab berkawan ada batasnya


Kalau berteman jaga susila
Kalau berkawan jaga tuturnya


Biar merendah dalam bicara
Biar berbudi, biar berbahasa


Teman rapat jarang berkira
Tempat meluah segala rasa


Ada yang rapat sama jantina
Ada yang rapat lain selera


Ada yang rapat biasa-biasa
Ada yang rapat luar biasa


Kalau dah rapat luar biasa
Iblis mengintai mengatur rencana


Bermula dengan tiada apa-apa
Berakhir dengan noda dan dosa


Dosa maksiat menjadi biasa
Sering menjadi sarang pesona


Jauhi maksiat jauhi noda
Jauhi terlebih dari biasa


...Ingatlah,    banyak maksiat terjadi
                     bermula dengan tiada apa-apa
                     berakhir dengan iblis ketawa
                     melihat anak adam terpedaya
                     fikir, fikir dan fikir...






Friday 16 December 2011

Regangan Otak : Relax

    
                    Father - why don't  u just go and study ?

              Son     - what for ?

              Father - U'll get good marks...

              Son     - then ?

              Father - U'll get good job

              Son     - then ?

              Father - U'll have big house, new car

              Son     - so what after that ?

              Father - after that U'll relax

              Son     - so what do u think I am doing right now ????





Regangan Otak : Titian Hidup

Dalam meniti hidup ini
kita bagai meraih cemar
mengumpul nanar
jauh ke dasar  sesal

hidup dalam hayal
terpesong dalam sedar

inilah aku sang nanar
yang terpanggil dari lena yang panjang
menitip duri dalam diri
membunuh sunyi
memenggal sepi

kepingin menyinsing lengan
meraih buih harapan
di laut kehidupan

dan ombak pun terus mengalun di persada damai



Thursday 15 December 2011

Nostalgia Kehidupan (3)

15 Disember 2011: Tamat pendidikan rendah aku melangkah masuk ke Sekolah Menengah di daerah berhampiran. Melaporkan diri ke sekolah baru hanya bersama teman, tidak diiringi ibu bapa seperti anak-anak sekarang. Sekolah baru. Persekitaran baru. Guru-guru baru dan teman-teman baru. Semuanya serba baru. Agak kekok pada mulanya bila mula melangkah ke alam remaja. Pergi dan balik  sekolah menaiki bas. Pada mulanya seronok, lama kelamaan menjadi jemu.

Memulakan persekolahan di tingkatan satu kami mula didedahkan dengan pelajaran baru. Tawarikh (sejarah) Ilmu Alam (geografi) Ilmu Hisab (matematik) Sivik dan lain-lain. Dalam bidang akademik aku hanya berada ditahap sederhana. Sering berada dipertengahan setiap kali peperiksaan penggal persekolahan diumumkan. Mana tidaknya, ulangkaji pelajaran tidak pernah. Asyik mencari duit dan mengembala lembu peliharaan walaupun hanya dua ekor. Mujur juga aku masih mampu lulus semasa peperiksaan SRP(PMR).

Selepas tamat SRP aku menyambung pelajaran ke tingkatan empat. Aku semakin aktif dengan kegiatan di luar bilik darjah. Matapelajaran sastera menjadi kegemaranku. Tiap kali guru sastera masuk aku akan menjadi sasaran cikgu untuk mendeklamasikan sajak dan membaca puisi. Menjadi pelakon dalam drama sebabak dan menjadi penari dalam persembahan tahunan di sekolah. Aku juga mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Kegiatan ini menyebabkan aku dikenali ramai pelajar dan guru-guru sekolah. Ramai jugalah peminat aku pada masa itu. Namun tidak sempat aku mengembangkan bakat di luar sekolah kerana kekurangan peluang dan kesempatan.

Selepas tamat SPM aku terus mencari pekerjaan. Ini kerana ayahku sudah bersara dari pekerjaannya di Majlis Tempatan. Pencen yang diterima hanya sekitar RM 80 ke 90 kalau tidak silap ingatanku. Bagi membantu keluarga ibu berniaga, menjaja kain dari rumah ke rumah. Kakak sulongku bekerja disebuah kilang. Dua orang abangku merantau mencari pekerjaan di Kuala Lumpur terlebih awal. Dua lagi kakakku telahpun berkahwin.


Pekerjaan pertamaku di kilang air batu. Tidaklah susah sangat, setimpallah dengan gaji sebanyak RM70.00 sebulan. Namun aku bekerja tidak lama di situ. Ini kerana pada suatu hari ada seorang lelaki datang mencari kerja di kilang tersebut. Semasa berbual dengannya aku mendapat tahu yang dia sudah berkahwin dan ada seorang anak. Tersentuh dengan ceritanya aku mengambil keputusan berhenti kerja dan mencadangkan dia mengambil tempatku bekerja di situ. Aku rela. Tidak lama selepas itu aku bekerja di kilang memproses getah. Agak berat juga kerana terpaksa mengangkat getah-getah beku yang beratnya hampir 30 ke 40 kilogram yang dipotong menjadi ketulan  untuk dimasukkan ke dalam kolah sebelum diproses menjadi kepingan. Gaji yang aku terima RM 90.00 sebulan untuk kerja sebegini. Tiap hari menghidu asid yang digunakan untuk  membekukan getah membuatkan aku tidak tahan. Akhirnya aku mengambil keputusan berhenti setelah  hampir 6 bulan bekerja.




Monday 12 December 2011

Nostalgia Kehidupan (2)

12 Disember 2011 :Mengimbau kehidupan awal persekolahan dipertengahan 60an segalanya serba ringkas dan lambat. Kehidupan bagai tidak bergerak.  Waktu malam dihiasi dengan lampu minyak tanah dan rengekkan radio transistor yang hanya boleh didengari dengan memekapkan ke telinga. Bunyi cengkerik menjadi irama indah mendodoi lena hingga ke pagi diselangi bunyi pungguk merindu bulan. Sayup-sayup irama lagu dendangan penyanyi angkatan 60an bermukim di gegendang telinga. Syahdu.


Aku lahir dari keluarga serba kekurangan. Anak ke 7 dari sembilan adik beradik. Seorang abang dan adikku telah meninggal dunia sewaktu masih kecil.  Seorang kakakku baru sahaja meninggal dunia pada tahun lalu. Ayah dan ibu juga telah pergi menyahut seruan Ilahi. Kini kami tinggal 6 beradik. Kakak sulongku menjadi pengganti ibu dan ayah tempat kami mengadu dan berkongsi masalah.


Sewaktu di zaman persekolahan, setiap pagi dikejutkan ibu yang telah siap dengan rebusan ubi dan kopi panas buat sarapan sebelum ke sekolah. Kekadang lempeng pisang dan kelapa menjadi hidangan. Tiada rungutan. Tiada bantahan. Sarapan sama setiap sajian.

Aduh ibu, aku jadi rindu saat itu walau kau telah jauh meninggalkan kami. Terlalu besar pengorbananmu kepada kami. Terlalu sikit bakti kami kepadamu. Hanya doa yang mampu kami titip buat perjalanan kekalmu di Sana.


Ayah sejak dari subuh lagi telah ke masjid menjalankan tanggungjawabnya. Sekembali dari masjid terus menukar baju mengelek pisau penebas rumput mengayuh basikal ke tempat kerjanya di Majlis Tempatan. Ayah menjadi buruh "Local Council"  sejak berhenti dari perkhidmatan SC ("Special Constabal"). Walau gaji tidak seberapa dia tidak pernah merungut. Tawakal.

Ke sekolah aku jarang sekali membawa bekal mahupun duit belanja. Aku faham. Tiada rungutan. Kawan-kawan ku juga sama. Tiada sebarang bekalan yang kami bawa, cuma air paip menjadi mangsa buat penghilang dahaga. Sebelum balik dari sekolah kami mengutip buah saga  di perkarangan kantin sekolah buat makanan semasa berjalan pulang dari sekolah yang jaraknya hampir 2 batu dari rumah.

Sampai di rumah selepas makan nasi dengan lauk ala kadar, aku terus keluar ke halaman mencari kawan-kawan sepermainan. Bermain polis senteri, galah panjang, konda kondi dan kekadang bola sepak. Tiang rumah jiran menjadi pintu gol. Asyik. Tidak sedar azan maghrib telah berkumandang.

Ada waktu dimusim hujan kami sempat  berpesta di sungai yang terletak agak jauh dari kampung. Semasa balik sempat memetik pucuk paku buat bekalan. Di malam bulan Ramadhan keadaan kampung kami bagaikan pesta. Anak-anak sebaya berkejaran bermain didingin malam diterangi lampu pelita minyak tanah. Ayah ibu hanya memerhati dan sesekali menegur agar tidak keterlaluan bergembira. Letupan meriam buluh dan mercun silih berganti berperang antara kampung. Indahnya. Sewaktu cuti panjang penggal persekolahan kami berkumpul di rumah ibu saudara yang mengerjakan sawah bendang. Menyelinap dari satu petak sawah ke petak yang lain menangkap ikan dan siput belitung di musim menuai. Menimba paya bersama sepupu menangkap keli, haruan dan puyu. Bahagianya. Begitulah kehidupan sewaktu kanak-kanak yang sentiasa menghantui kehidupan dewasaku. 


Ayah seperti biasa jarang berada di rumah setelah balik dari bekerja. Masjid adalah rumah kedua. Menjadi siak masjid dan penggali kubur adalah kerja sampingannya. Kini telah hampir 10 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Moga kau dilimpahi rahmat Nya.

Aku sejak dari usia 11 tahun lagi telah menjadi penggali kubur menolong ayah. Tanah perkuburan sudah menjadi taman permainanku.Terjumpa tulang, tengkorak dan keranda lama telah menjadi perkara biasa.Tiada istilah takut. Kekadang aku keseorangan di tengah-tengah tanah perkuburan menanti ayah menunaikan solat. Aku pernah terlena di dalam liang lahad kerana keletihan. Tidak pernah pulak ada gangguan. Seram mungkin ada, tetapi tidak menggangu. Pernah aku mengendalikan pengkebumian mangsa serang hendap pengganas komunis. Aku juga mengendalikan pengkebumian jenazah Salbiah yang dikaitkan dengan pembunuhan oleh Insp Sadri. Kes ini cukup hangat suatu masa dulu. Pendapatan dari pekerjaan ini hanyalah sekitar 3 ke 4 ringgit setelah dibahagi dua dengan ayah. kebanyakan pendapatan kuserahkan kepada ibuku. Hanya sebahagian kecil yang kuambil untuk kegunaan sendiri.

Mengharapkan wang perbelanjaan dari ayah memang tidak pernah. Aku tahu ayahku tidak mampu. Gajinya hanya sekitar RM 90.00 sebulan. Sedangkan barang harian yang dibeli secara hutang dari kedai runcit cina di pekan kecil daerah kediaman kami  menjangkau RM 130.00 hingga RM 150.00 sebulan. Setiap bulan ayah hanya menandatangani boucer gaji tanpa sempat menyentuh wang gajinya. Wang gajinya telah dipotong keseluruhannya untuk membayar hutang. Apa lagi yang tinggal. Mujurlah ayah membuat kerja sampingan memotong rumput di rumah jiran disamping kerjanya sebagai siak dan penggali kubur. Pendapatan itu lah digunakan untuk perbelanjaan runcit lain. Namun ayah tidak pernah mengeluh.  Rezekinya sentiasa murah. Ada sahaja sedekah dan wang upah yang diterima. Tiap pagi dia mampu ke pasar membeli ikan dan sayuran. Malah tidak pernah dia lupa membeli ikan untuk makanan kucing dijalanan. Kucing-kucing ini sentiasa setia menungu kepulangannya setiap pagi menunggu habuan. Itulah ayahku, dalam kepayahan, rezeki tetap dikongsi walau bersama haiwan tidak bertuan. Doaku moga rezekimu murah di Sana.
          

Sunday 11 December 2011

Nostalgia Kehidupan (1)

10 Disember 2011 : Berpusu-pusu sahabat, jiran, teman dan saudara mara membanjiri perkarangan LHDN, pejabat-pejabat Penghulu, Ketua Kampung dan sekolah-sekolah terpilih. Semuanya kerana kerajaan mengumumkan borang untuk BR1M akan mula diedarkan. Begitulah berkebajikannya negara ini, rakyat marhaein tidak pernah dilupakan. Walau sebelum ini bantuan persekolahan RM 100.00 bagi setiap pelajar telahpun dikeluarkan, masih belum putus bantuan yang dihulurkan, bertujuan meringankan beban. Di awal Januari 2012 kakitangan kerajaan akan diberi kenaikan gaji pula. Bersyukurlah. Kalau di negara lain belum tentu kita akan dilayan sebegini rupa. Bersuykurlah.  Jangan terjadi "bagai melepas anjing yang tersepit."

"Ya Allah, Terlalu banyak nikmat Mu yang kami terima, Terlalu sedikit kesyukuran kami. Ya Allah ampunilah kami. Jangan Kau masukkan kami ke dalam golongan hamba Mu yang kufur nikmat."

Mengimbau kenangan 30 tahun berlalu, terlalu jauh bezanya. kalau dulu pendapatan empat angka boleh dikatakan senang dan selesa tetapi kini pendapatan kurang dari RM 3000.00 diisytiharkan sebagai di bawah paras  kemiskinan. Bayangkan 20 ke 30 tahun lagi. Tidak berani nak ku bayangkan.

Semasa mula melangkah ke alam pekerjaan dipenghujung tahun 70an gaji permulaan hanya RM 205.00 sebulan. Agaknya apa lah yang dapat dibeli jika ianya adalah gaji sekarang. Bersyukurlah. Terlalu banyak perubahan. Terlalu banyak kemajuan. Kekadang bagai tak mampu untuk dikejar.

Marilah bersama kita menghisab diri. Di manakah sebenarnya kita berdiri. Di kanan atau di kiri. 

"Maka beruntunglah sesiapa yang menerima kitab suratan amalnya melalui tangan kanannya" 

renungkan.................

Friday 9 December 2011

Ulang Tahun Kelahiran

Hari ini, 9 Dis 2011 adalah  hari ulang tahun kelahiran
Muhammad Nor Haikal Amir yang ke 14.

Doa dari kami semoga engkau berbahagia dalam menempuh dunia yang penuh cabaran.

Ingatlah, tidak semua yang kita sukai baik untuk kita. Tidak semua yang kita benci jadi penawar dalam kehidupan. Berpadalah dalam kehidupan ini, jangan terlalu cepat menjadi dewasa, kerana menjadi dewasa tanpa persediaan akan merosakkan. Belajarlah menjadi dewasa kerana itu akan lebih membahagiakan.
Bukankah kita sering diingatkan.....

Kebahagiaan sebenar letaknya di hati, bukan di mata.
Gembira sebenar letaknya diminda bukannya di harta.

Lupakan sementara kegembiraan yang melekakan demi mencapai apa yang dicita.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran ke 14 dari kami:

Abah dan Ibu mu yang tercinta Noor Azizah Jamaluddin
serta kakak Siti Nur Atiqah dan adik-adikmu Mas Adila dan Mas Ridza 

serta opah Norliah Baharom, acik Tiha dan acik Anis
.............Amin...........
Mas Ridza

Silaturrahim

Salam persaudaraan...teman, marilah kita jadikan medan perbualan kita ini sebagai medan menghubungkan tali silaturrahim di antara kita. Bukannya medan menyemai kebencian, rasa curiga mencurigai dan berburuk sangka. Mari kita cari titik persamaan, bukannya perbezaan. Mari kita bina kekuatan bukannya kelemahan. Mari kita saling bantu bukannya merobohkan. Kukuhkan tapak kehidupan dengan saling sayang menyayangi, saling sama berpaut, kukuh mengukuhkan. Kehidupan ini hanya sementara. Kita akan kembali ke alam yang kekal dimana setiap kita akan dihisab, dihitung dan diadili. Jadi apakah sebenarnya yang kita cari.... kalau bukan keredhaan Ilahi. 

Marilah sama-sama kita menegakkan kebenaran walaupun ianya pahit. Marilah kita sama-sama menolak kesesatan walaupun ianya manis diulit nafsu. Marilah kita hubungkan tali silaturrahim sesama kita. Ketepikan kepentingan diri demi menyatakan kebenaran. Katakan kebenaran walaupun ia menyakitkan.

Salam Silaturrahim buat teman-teman........

Wednesday 7 December 2011

Keberkatan

Gunung yang tinggi azam didaki
Kaki yang berat tetap digagahi
Bangun pagi mengadap Ilahi
Mendapat berkat, hidup diredhi

Didingin pagi burung menari
Hembusan bayu menambah syahdu
Mencari rezeki diterik mentari
Keluarga bahagia dirumah menunggu

                    

Keredhaan

Salam Perkenalan.......


Teman, memulakan kehidupan bagi menempuh hari mendatang adalah sebuah cabaran yang amat getir jika tiada pedoman dan pegangan. Melihat kehidupan bagai melihat lautan yang sentiasa bergelombang. Pantai dikejauhan bagaikan tak tercapai dek tangan. Namun itulah kehidupan. Mahu atau tidak, mampu atau  tidak kita mesti tempuhi.

Dari itu pesiapkan diri.Tuntutlah ilmu penuhkan didada, kuatkan minda Iman jangan dilupa. Tenangkan fikiran selalu berlapang dada. Bersangka baik, senyum jangan dilupa.



Tuesday 6 December 2011

Kehidupan

Dalam kehidupan ini, kita sering alpa.....
ego, bongkak, sombong dan takbur
menjadi pakaian seharian
Hebat, punya kuasa dan harta
merasa diri bukan hamba
merasa diri punya segala.

Sebenarnya kita tak punya apa-apa
harta bukan milik kita
kuasa hanya pinjaman sementara

yang jadi milik kita
hanya usaha dan ikhtiar
serta tawakal

sedarlah...kehidupan ini sebenarnya bukan segalanya

Salam Perkenalan

Alhamdulillah....segala pujian hanya bagi Nya jua. Ini adalah hari permulaan saya menyertai dunia yang serba baru dalam hidup. Seandai ada sebarang kesilapan dan kealpaan dalam penulisan dan pendapat maaf jua yang di pinta. Teguran dan bimbingan dari teman-teman amat diharapkan dalam menambahbaikkan cara dan gaya penulisan. Salam Hormat dan Salam Perkenalan.