Friday 10 November 2017

Makan rumput untuk selamatkan anak



Beijing: Satu pasangan memakan rumput untuk menghiburkan orang ramai semata-mata bagi mendapatkan wang untuk menyelamatkan anak mereka yang sakit.
Pasangan suami isteri itu memberitahu, mereka kehabisan wang selepas menghabiskan semua wang simpanan serta terpaksa berhutang dengan lintah darat.
Menurutnya, mereka membelanjakan semua wang itu untuk membiayai rawatan anak lelaki mereka berusia sembilan tahun yang menghidap leukemia.
Kerana terdesak pasangan itu meminta derma di tepi jalan di bandar Sanhe di wilayah Hebei dan sebagai balasan mereka membuat persembahan dengan memakan rumput.
Xiang Weiling memberitahu Pear Video, dia dan suaminya tiada bakat dan satu-satunya persembahan yang mereka boleh lakukan adalah memakan rumput.
“Saya dan suami menjual semua harta dan meminjam daripada semua orang, namun masih belum mencukupi untuk membiayai bayaran perubatan yang tinggi.
“Ini adalah satu-satunya cara yang kami mampu lakukan kini untuk menyelamatkan anak saya,” katanya.
Suaminya, Kuang Nengyong, 34, memberitahu, dia bekerja sebagai buruh tetapi terpaksa berhenti kerja kerana sakit.
Jurucakap Hospital Yanda di Hebei lokasi anak pasangan itu yang dikenali sebagai Kuang Han dirawat mengesahkan cerita mereka.
Kisah pasangan itu tular di media sosial di China baru-baru ini dan ramai pengguna tampil untuk membantu mereka. 

- Agensi/Metro

No comments: