Wednesday 30 August 2017

MasyaAllah : Hujan hanya turun di sebuah rumah

JAKARTA, 29 Ogos – Kejadian hujan turun hanya di sebuah rumah sahaja dekat sini pada Sabtu lepas disifatkan sebagai fenomena alam yang jarang berlaku di dunia.
Media dalam talian hari ini memetik Ketua Pusat Informasi Meteorologi Publik Badan Meteo­rologi Klimatologi dan Geofisika (BKMG) Mulyono Prabowo sebagai berkata, keadaan sebegini susah untuk berlaku.
Katanya, apa yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Tebet Barat Dalam 1, Jakarta Selatan itu adalah sesuatu yang agak ganjil kerana hujan selama kira-kira enam jam tertumpu kepada sebuah rumah berkeluasan 5x5 meter.
Video rakaman kejadian berkenaan ditular dalam media sosial di Indonesia kerana ketika kejadian itu berlaku cuaca di kawasan berkenaan adalah panas dan kering dan rumah di sekelilingnya tidak ditimpa walau setitik hujan pun.
Mulyono berkata, ketinggian awan pada musim kemarau menjadikan hujan seperti di Tebet itu sangat sukar berlaku dan hasil kajian pihaknya mendapati ketinggian awan ketika itu adalah sekitar 700 meter hingga 1 kilometer.
Hujan 'eksklusif' di sebuah rumah itu menarik perhatian penduduk di kawasan berkenaan sehingga ada yang mengambil peluang mandi air hujan dan menadahnya dengan bekas untuk disimpan.
Pemilik rumah itu yang dikenali sebagai Muzakir berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 6.30 petang, ketika beliau sedang bermain catur dengan seorang jiran dan menyangka cuaca hujan berlaku di seluruh kawasan itu.
Bagaimanapun, mereka terkejut apabila terlihat kanak-kanak yang kegembiraan bermain hujan dan menjerit kerana hujan hanya berlaku di rumahnya.
Setelah melihat sekeliling beliau mendapati sememangnya hujan hanya turun di rumahnya sahaja dan ia berterusan hingga tengah malam.
Muzakir bagaimanapun tidak mempunyai sebarang tafsiran tentang apa yang berlaku dan membiarkan enduduk di situ datang menyaksikan dan me­rakam kejadian tersebut.



 – BERNAMA/Utusan

Tuesday 29 August 2017

Jiran jadi wira


Beijing: Seorang lelaki dianggap wira selepas menyelamatkan nyawa seorang budak perempuan berusia tiga tahun yang lehernya tergantung di jeriji besi tingkap di tingkat empat.
Kejadian berlaku apabila budak itu yang ditinggalkan sendirian oleh ibunya pada Ahad lalu memanjat tingkap rumahnya di sebuah apartmen di Xiaogan di wilayah Hubei.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu tergelincir dan lehernya tersangkut di jeriji besi di tingkap berkenaan.
Seorang jiran, Chen Fangyong berkata, dia sedang tidur sebelum mendengar bunyi bising dan melihat ramai orang berkumpul di tingkat bawah.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat seorang budak tersangkut pada bahagian leher dan tergantung di jeriji besi tingkap di tingkat atas rumahnya.
“Tidak lama kemudian saya lihat budak itu semakin lemah dan tidak bergerak menyebabkan saya terus memanjat tingkap untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Beberapa gambar dan video yang tersebar di Internet menunjukkan Chen memegang budak itu dan menyokongnya menggunakan dada dan lengannya.
Chen menampung badan budak itu selama 20 minit sebelum anggota bomba tiba dan menurunkan mereka dengan selamat.
“Saya pernah lihat kanak-kanak tergantung di jeriji besi tingkap melalui berita di televisyen tetapi saya tidak menyangka ia berlaku di depan mata sendiri.
“Sesiapa yang melihat kejadian seperti ini pasti cuba untuk membantu mangsa,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa memberitahu polis dia meninggalkan anaknya berseorangan di rumah kerana mahu pergi ke kedai.

-Metro

Monday 28 August 2017

Gadis putus tangan lepas tolak cinta


Lucknow (India): Akibat kasih tidak berbalas, seorang lelaki bertindak kejam apabila memotong tangan gadis yang dicintainya dengan pedang baru-baru ini.
Kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika gadis berusia 15 tahun itu pergi ke sebuah pasar di Lakhimpur Kheri di negeri Uttar Pradesh bersama adik lelakinya.
Apabila sampai di pasar, dia berjumpa dengan seorang lelaki, Vinod Chaurasia, 19, yang bekerja di sebuah bengkel besi.
Chaurasia mengekori gadis itu dan beberapa kali mengajak mangsa keluar bersamanya.
Bagaimanapun, gadis itu tidak melayan Chaurasia menyebabkannya berang.
Secara tiba-tiba Chaurasia mengeluarkan pedang dan terus memotong tangan kanan gadis itu hingga putus.
Chaurasia juga cuba menetak gadis itu tetapi berjaya dihalang orang ramai yang melihat kejadian berkenaan.
Polis berkata, gadis itu segera dihantar ke sebuah hospital di Lucknow untuk menyambung semula tangannya yang putus.
Menurutnya, lelaki itu berjaya ditangkap dan akan didakwa di mahkamah tidak lama lagi.
“Menurut keterangan mangsa, suspek sering mengekorinya sejak beberapa bulan lalu dan selalu mengajaknya keluar tetapi gadis itu tidak melayannya,” katanya. 


- Agensi/Metro

Friday 25 August 2017

Alahai dunia : Bunuh sesiapa laung 'Allahu Akbar'


Datuk Bandar Venice Luigi Brugnaro mahu sesiapa yang melaungkan perkataan ‘Allahu Akbar’ di bandar raya ‘cinta’ itu ditembak.
“Setahun lalu, saya mahu mereka ditembak selepas empat langkah, tetapi sekarang saya mahu selepas tiga langkah,” kata Brugnaro.
Selepas ‘cadangan kejam’ dan tidak masuk akal itu dikemukakan, rakan sejawatannya dari Florence, Dario Nardella berteriak ‘Allahu Akbar’ sebaik sahaja mesyuarat antara kedua-dua mereka bagi membincangkan isu keganasan di bandar Rimini kelmarin selesai.
Agensi melaporkan selepas mesyuarat berkenaan, Nardella bergegas beredar sebelum Brugnaro mengejarnya dan memegang lengannya.
Secara spontan Nardella melaungkan ‘Allahu Akbar’ - perkataan yang didakwa dilaungkan oleh pengganas semasa serangan - sebelum kedua-dua Datuk Bandar terbabit ketawa berikutan ‘lawak jenaka’ yang mereka lakukan.
Klip rakaman insiden berkenaan tersebar di media sosial dan dikecam oleh netizen yang berpendapat kelakuan mereka tidak wajar dan tidak melucukan.
Netizen menegaskan bahawa kedua-dua pemimpin itu tidak sensitif seolah-olah sengaja menimbulkan kemarahan apatah lagi selepas enam hari serangan yang membunuh 15 orang di lokasi tumpuan pelancong di Sepanyol.
Berikutan itu Nardella memohon maaf kerana menggunakan laungan ‘Allahu Akbar’ sebagai bahan gurauan
“Bukan tujuan saya untuk sengaja berbuat salah, bukan kepada komuniti Muslim, bukan itu buat lawak berkaitan agama apatah lagi untuk membangkitkan tragedi baru-baru ini,” katanya selepas perbuatannya menimbulkan kemarahan netizen berikutan tersebarnya rakaman insiden terbabit.
Malah dalam video itu, dakwanya, dia menjarakkan diri dari kenyataan Brugnaro berkaitan orang Islam.
“Sesiapa yang kenal saya tahu bagaimana pentadbiran saya yang berkomunikasi dengan semua komuniti agama termasuk Islam,” kata Nardella.

-Metro

Thursday 24 August 2017

Kanibal serah diri bosan makan daging manusia



Cape Town: Seorang lelaki yang disyaki membunuh sebelum memakan mayat mangsa ditangkap selepas dia menyerah diri kepada polis dan membawa cebisan mayat manusia sebagai bukti.
Lelaki itu yang juga seorang bomoh datang ke sebuah balai polis di bandar Estcourt pada Jumaat lalu dan berkata: “Saya sudah penat memakan daging manusia.”
Polis pada mulanya tidak percaya dengan pengakuan lelaki itu menyebabkan suspek menunjukkan beberapa anggota badan manusia yang dibawanya sebagai bukti.
Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di mana beberapa mayat dan potongan anggota badan manusia ditemui.
Susulan itu, polis menahan tiga lagi lelaki kerana disyaki terbabit merogol, membunuh, memotong dan memakan mayat mangsa.
Semua suspek ditahan sebelum didakwa di sebuah mahkamah majistret di bandar itu dan tidak dibenarkan diikat jamin.
Seorang pegawai perbandaran, Mthembeni Majola berkata, kemungkinan banyak mangsa yang menjadi korban kumpulan lelaki berkenaan.
“Polis yang menyiasat kes ini menemui lapan telinga di dalam satu periuk di sebuah rumah suspek,” jelasnya.
Jurucakap polis, Charmaine Struwig memberitahu, tiga suspek didakwa atas tuduhan membunuh dan seorang lagi atas dakwaan menyimpan organ manusia. 

- Agensi/Metro

Tuesday 22 August 2017

Polis siasat gambar budak diikat pada kerusi

Florissant (Amerika Syarikat): Satu pasangan suami isteri membuat laporan polis selepas anak perempuan mereka diikat pada kerusi dengan pita pelekat ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak.
Elysha Brooks dan suaminya, Christian Evans berkata, mereka dihubungi pihak berkuasa yang kemudian menunjukkan gambar anak mereka yang berusia empat tahun diikat pada kerusi.
Pasangan itu percaya, gambar yang diberi Jabatan Perkhidmatan Keluarga dan Kanak-Kanak itu dirakam di pusat jagaan tempat kanak-kanak itu dijaga setiap hari.
Bagaimanapun, pusat jagaan berkenaan enggan memberi penjelasan mengenai gambar itu.
“Apabila saya melihat gambar anak saya diikat pada kerusi dan ekspresi wajahnya, sukar saya bayangkan perasaannya ketika itu,” kata Elysha.
Evans memberitahu, dia mahu pusat jagaan itu dikenakan tindakan tegas kerana apa yang berlaku pada anaknya tidak boleh dimaafkan.
“Saya tidak gembira sehingga pusat jagaan berkenaan ditutup dan sesiapa yang melakukan perkara itu kepada anak saya mesti dihukum penjara,” tegasnya.
Ujarnya, itu bukan kejadian pertama yang menimpa anaknya di pusat jagaan berkenaan.
“Beberapa bulan lalu anak saya terpaksa mendapat rawatan di hospital apabila batu kecil ditemui di dalam telinganya,” jelasnya. 

- Agensi/Metro

Monday 21 August 2017

Lelaki disaman biarkan anak tunggang motosikal



Beijing: Seorang lelaki di barat daya China disaman polis kerana membiarkan anak lelakinya berusia enam tahun menunggang motosikal manakala dia duduk membonceng.
Dalam kejadian itu, lelaki bernama Li itu membonceng di belakang anaknya di sebatang jalan di Nanchuan, Chongqing, pada lewat Jumaat, lapor CCTV.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak berkenaan membawa motosikal itu sejauh dua kilometer dan tangan ayahnya langsung tidak memegang bar handel kenderaan itu.
Dua beranak itu berjaya dikenal pasti selepas dua hari dan Li didenda 2,000 yuan (RM1,300) manakala lesennya dibatalkan kerana dua kesalahan membenarkan anaknya yang bawah umur memandu tanpa lesen.
Li turut diarahkan ‘mendidik anaknya,’ lapor CCTV.
Media melaporkan, Li memberitahu polis anaknya meminta menunggang motosikal itu ketika mereka pulang dari kedai.
Li membenarkannya kerana tidak menyangka itu perbuatan berbahaya atau satu kesalahan, berikutan anaknya sering menunggang basikal.
Dia turut mendakwa kakinya sentiasa terletak pada brek sepanjang anaknya menunggang motosikal itu.
Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu di China.
Pada Julai lalu, seorang budak berusia enam tahun dilihat duduk di pangkuan ayahnya yang sedang memandu kereta, menyebabkan polis membuka siasatan.
Beberapa hari sebelum itu pula, seorang budak lelaki berusia 12 tahun mencuri bas dan memandunya sejauh 10 kilometer.
Seorang budak berusia lima tahun juga pernah dirakam memandu jengkaut di pusat pembinaan di Wuhan pada 2012.

-Metro

Bercerai kerana tiada tandas di rumah



New Delhi: Seorang isteri berjaya menceraikan suaminya selepas mahkamah memutuskan ketiadaan tandas di rumah mereka satu ‘kekejaman terhadap wanita.’
Wanita berkenaan yang berkahwin pada 2011 merayu mentuanya membina tandas di dalam rumah mereka kerana tidak tahan terpaksa keluar ke padang setiap kali mahu membuang air.
Bagaimanapun, permintaannya langsung tidak diendahkan menyebabkan wanita itu akhirnya pulang ke rumah ibu bapanya, dua tahun lalu dan memfailkan cerai.
Susulan itu, Mahkamah Keluarga di Bhilawara, Rajasthan, memutuskan perbuatan mentuanya itu satu kekejaman kerana menyebabkan penyeksaan mental terhadap wanita terbabit.
Hakim Rajendra Sharma menyelar amalan ketiadaan tandas seperti itu sebagai penyakit masyarakat dan memalukan pada abad ke-21 ini.
“Pelik apabila orang tiada masalah berbelanja membeli arak, rokok atau telefon bimbit tetapi bukan untuk membina tandas di dalam rumah,” katanya.

-Metro

Friday 18 August 2017

Budak tangan cakar



Dhaka: Seorang remaja menderita satu penyakit ganjil yang menyebabkan tangannya membesar dan jarinya bertukar menjadi seperti cakar.
Rajib Gain, 19, memberitahu, satu ketumbuhan mula dikesan pada tangannya ketika dia berusia tiga bulan tetapi kerana keluarganya miskin dia tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Kini ketumbuhan itu merebak di tangan, belakang dan kakinya menyebabkan dia sukar berjalan, tidur dan tidak boleh menukar baju tanpa bantuan orang lain.
Kisah Rajib yang berasal dari Sathkira kini mendapat perhatian jabatan kesihatan Bangladesh selepas bapa saudaranya memuat naik gambar remaja itu di media sosial.
Jabatan kesihatan meminta Rajib datang ke Kolej Perubatan Dhaka dan doktor di sana akan memulakan rawatan terhadapnya.
“Saya begitu teruja untuk berjumpa doktor dan saya berharap mereka mampu menamatkan penderitaan saya ini.
“Saya mahu menjalani kehidupan seperti remaja lain, menamatkan pelajaran dan mencari pekerjaan bagi membantu bapa menyara keluarga,” kata Rajib.
Keadaan tangannya dan kesukaran untuk dia bergerak menyebabkan Rajib tidak mampu menyambung pelajaran seperti remaja lain.
“Saya mahu bekerja tetapi tiada siapa mahu mengambil saya bekerja kerana keadaan ini,” katanya.
Menurutnya, dia sering menjadi mangsa hinaan dan ejekan rakan-rakan ketika di sekolah dan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.
“Ia bukan mudah tetapi ada pelajar yang bersimpati memberi dorongan dan semangat untuk saya terus belajar,” jelasnya.

-Metro

Kereta sport rentung bakal dilelong


Houston (Amerika Syarikat): Sebuah kereta sport bakal dilelong walaupun keadaannya sudah rentung terbakar.
Kereta sport Chevrolet Corvette itu dilaporkan bakal dijual dalam satu acara lelongan di Houston, Texas pada minggu ini.
Sekiranya berada dalam keadaan baik, kereta model 2015 itu dianggarkan berharga AS$42,838 (RM183,924).
Kereta itu dijual di laman sesawang Copart yang terkenal dengan jualan kereta terpakai dan kenderaan untuk dibaik pulih.
Gambar iklan yang dimuat naik di laman sesawang itu menunjukkan kereta itu dalam keadaan rentung dan musnah sama sekali.
Besi yang terdapat pada kenderaan itu juga sudah remuk tetapi ia mungkin boleh dijual untuk dikitar semula.
Tiada harga permulaan diletakkan dan bangkai kenderaan itu masih belum menerima sebarang bidaan.
Punca kereta itu terbakar juga tidak dinyatakan. 

- Agensi/Metro

Thursday 17 August 2017

Cucuk jantung sendiri

Marinette, Amerika Syarikat: Seorang lelaki hampir maut selepas jantungnya ditusuk paku sepanjang 7.6 sentimeter ketika bekerja di sebuah tapak pembinaan di sini baru-baru ini.
Doug Bergeson, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang membina tempat pembakaran di sebuah rumah di Marinette di negeri Wisconsin.
“Saya berada di tempat yang sempit sambil memegang pistol paku untuk membuat kerangka kayu.
“Bagaimanapun, saya tertekan pistol paku itu dan sebatang paku mengenai dada saya,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya dia tidak perasaan paku itu tercacak di dadanya dan hanya menyedarinya beberapa minit kemudian.
“Selepas beberapa minit, saya berasa sakit di dada dan apabila saya melihat ke bawah saya terkejut ada paku yang tercacak di badan.
“Saya tahu saya tidak boleh mencabut paku itu dan segera memandu ke hospital sejauh 20 kilometer,” jelasnya.
Apabila tiba di hospital doktor segera melakukan pembedahan jantung terbuka terhadap Bergeson bagi mengeluarkan paku berkenaan.
Pakar bedah jantung, Dr Alexander Roitstein memberitahu, Bergeson sangat bernasib baik kerana paku itu tidak terkena saluran darah utama dan bahagian penting jantung.
“Tindakan Bergeson yang tidak mencabut sendiri paku itu juga menjadi antara faktor yang menyelamatkan nyawanya.
“Sekiranya paku itu dicabut pendarahan lebih serius akan berlaku dan dia mungkin mati dalam tempoh beberapa minit,” katanya.

-Metro

Wednesday 16 August 2017

Tergamak hantar bayi guna khidmat kurier

Tergamak hantar bayi guna khidmat kurier

FUZHOU - CHINA - Seorang wanita bertindak kejam dengan menghantar bayinya yang masih hidup ke sebuah rumah anak yatim menggunakan perkhidmatan kurier, lapor Shanghaiist.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke rumah anak yatim pada Rabu, pekerja penghantaran menyedari satu bungkusan yang dibawanya mula bergerak dan menangis.
Selepas disiasat, lelaki itu menemui seorang bayi dibalut dengan beberapa lapisan plastik hitam.
Video yang tular di media sosial di China itu menunjukkan orang ramai mengerumuni bayi malang berkenaan, sementara syarikat penghantar menunggu pihak berkuasa tiba.
Orang ramai dilihat memberikan air bagi memastikan itu tidak mengalami dihidrasi kerana suhu pada ketika itu adalah 37 darjah selsius.
Bayi yang baru lahir itu dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, ibu bayi berkenaan berusia 24 tahun dari Sichuan  yang hanya dikenali sebagai Luo ditahan kerana mengabaikan bayinya.
Insiden berkenaan hangat diperdebatkan di China dan ada netizen berharap wanita itu dikenakan hukaman setimpal.
"Wanita yang tidak berhati perut. Dia patut turut dibalut dengan plastik hitam dan dibiarkan di bawah cuaca panas," tulis seorang pengguna Weibo.

-Sinar

Tuesday 15 August 2017

Suami dirotan isteri gila seks

MANGSA mendakwa dia diarahkan berlutut sebelum dirotan jika menolak permintaan isterinya yang mahu melakukan hubungan seks di rumah mereka di Klang. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa terpaksa menanggung derita hampir dua tahun selepas diperlakukan seperti hamba seks oleh isteri sendiri yang tergamak merotannya apabila dia menolak melakukan hubungan intim yang adakalanya sehingga 10 kali sehari.
Mangsa berusia 32 tahun itu yang merupakan seorang pekerja kilang akhirnya tampil mendapatkan bantuan sebuah pertubuhan keselamatan komuniti dua minggu lalu selepas tidak sanggup lagi diseksa oleh isterinya yang merupakan suri rumah.
Pasangan tersebut yang sudah berkahwin kira-kira lapan tahun lalu kini tinggal di Klang, Selangor.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia (PKKM), Kuan Chee Heng berkata, lelaki itu berjumpa dengannya dua minggu lalu bagi meminta bantuan selepas tidak sanggup lagi menderita emosi dan fizikal selepas isterinya tiba-tiba berubah seperti orang gilakan seks sejak dua tahun lalu.
“Mangsa mendakwa dia akan diarahkan berlutut sebelum dirotan selepas menolak permintaan isterinya berusia 31 tahun untuk melakukan hubungan seks yang adakalanya sehingga 10 kali sehari.
“Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan pukulan lama dan baharu pada punggung serta lain-lain anggota badannya,” ceritanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.


-Kosmo

'Tabal' kambing jadi raja



Killorglin (Ireland): Seekor kambing liar ‘ditabalkan’ sebagai raja sempena satu festival tradisi di sebuah bandar kecil di Ireland.
Sempena Puck Fair, penduduk di bandar Killorglin menangkap seekor kambing bukit liar dan ‘menabalkan’ haiwan itu sebagai Raja Puck sepanjang festival tertua negara itu.
Pada Khamis lalu, kambing itu diarak di seluruh bandar sebelum dipakaikan mahkota oleh seorang pelajar perempuan yang juga Ratu Puck.
Kambing itu kelihatan tenang walaupun sedikit terkejut sepanjang majlis berkenaan berlangsung.
“Ketika kali pertama saya berpindah ke sini kira-kira 11 tahun lalu, festival ini kelihatan pelik,” kata seorang penduduk, Ben Henry.
Menurutnya, ada seorang pengunjung yang datang ke festival itu setiap tahun sejak 57 tahun lalu.
“Ini membuktikan festival itu sangat unik dan perlu dipertahankan,” jelasnya.
Menurut penduduk, festival itu kemungkinan diambil dari satu kisah seekor kambing yang melarikan diri daripada dimakan sekumpulan askar memasuki sebuah kampung.
Apabila festival itu tamat pada Sabtu ini, kambing berkenaan akan diturunkan ‘takhta’ dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya. 

- Agensi/Metro

Friday 11 August 2017

Bintang filem jadi pendakwah Islam



PENERBIT dan bintang filem Bangladesh yang menjadi pendakwah, mahu menggunakan kemasyhurannya untuk menarik golongan muda mendalami Islam.
Sebelum ini, pelakon wanita Naznin Akter Happy, 22, yang kini berjubah dan bertudung, turut menyertai kumpulan tabligh itu dan meninggalkan terus bidang lakonan.
Bulan lalu, ribuan peminatnya datang ke Dhaka untuk mendengar ceramah pelakon itu, Ananta Jalil, 39, yang memakai jubah dan serban.
Menurutnya, dia menyertai kumpulan Tabligh Jamaat yang mempunyai jutaan pengikut di Bangladesh selepas menunaikan umrah tahun lalu.
“Allah beri kita nyawa, hantar kita hidup di bumi untuk beribadat kepadanya. Saya belajar ini di sana.
“Jika saya boleh menyampaikan dakwah kepada golongan muda, mereka akan mengingat Allah, mengikut sunnah Rasulullah dan bersembahyang lima kali sehari,” katanya dalam temuramah melalui telefon dengan AFP di Dhaka.


Naznin Akter Happy, 22. - Foto Pak Today
Menurut Ananta, dia akan tetap menghasilkan filem namun filem selepas ini bercirikan ajaran Islam.
Pelakon itu membuat kekayaan melalui perniagaan tekstil dan menggunakan wang itu bagi menerbitkan filem dengan dirinya sebagai pelakon utama.
Ananta sudah menerbitkan enam filem, bermula dengan ‘Khoj (The Search)’ pada 2010 dengan dia memegang watak ejen pihak berkuasa
menumpaskan sindiket senjata antarabangsa.


-Metro

Wednesday 9 August 2017

Badan ditusuk besi penghadang jalan


Ahmedabad: Seorang lelaki hampir maut selepas badannya ditembusi besi penghadang jalan raya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.
Piyush Sondarva, 30, memberitahu, dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya pada bulan lalu ketika pulang dari bekerja.
Katanya, ketika kejadian dia memandu pulang ke rumah tetapi tertidur menyebabkan keretanya merempuh besi penghadang di tepi jalan raya.
“Apabila sedar saya tidak boleh bergerak dan berasa sakit di bahagian kanan badan.
“Tidak lama selepas itu baru saya sedar satu besi penghadang jalan sepanjang lebih satu meter menembusi badan saya dan kerusi kereta,” katanya.
Ujarnya, dia juga masih sedar ketika orang ramai dan pasukan kecemasan memotong besi sebelum membawanya ke hospital.
Selain kecederaan parah di dada, dua jari kanan Sondarva turut hancur dan dia mengalami kecederaan pada tangannya.
Seorang pakar bedah di Hospital Shalby, Dr Bhavin Desai memberitahu, pembedahan untuk mengeluarkan besi pada badan Sondarva sukar kerana beberapa tulang rusuknya patah termasuk kecederaan pada paru-paru dan organ dalaman lain.
“Besi ini menembusi badan Sondarva selama lebih sejam sebelum berjaya dikeluarkan melalui satu pembedahan,” katanya.
Menurutnya, keadaan Sondarva kini semakin sembuh dan lelaki itu sangat bernasib baik kerana masih hidup walaupun mengalami kecederaan yang sangat parah.

-Metro

'Tak kisah bayar RM1,200'

Segamat: Meskipun harganya mencecah RM400 sebiji, durian Musang King masih menjadi pilihan dan buruan peminat tegar raja buah itu sejak kebelakangan ini.
Ditawarkan RM90 sekilogram, durian Musang King mempunyai berat purata antara tiga hingga 4.5 kilogram itu tetap dibeli pelanggan yang ingin menikmati kepuasan rasanya yang berkualiti tinggi.
Pemborong di Projek Pembangunan Kluster Tanaman Durian Jementah, Samsari Ahmad berkata, sejak dua minggu lalu pelbagai jenis durian termasuk berkualiti tinggi ditanam pekebun dalam kalangan penduduk setempat seperti Musang King, Duri Hitam, 101 dan durian kampung mulai membanjiri pusat pengumpulan di sini untuk dipasarkan.
Selain itu katanya, ada pelanggan yang mencari durian Duri Hitam yang harganya kini mencecah sehingga RM120 sekilogram, namun ia sukar diperoleh disebabkan kurang menjadi pada musim ini disebabkan faktor cuaca tidak menentu di sekitar Segamat sejak beberapa bulan lalu.
“Saya pernah didatangi pelanggan yang sanggup membayar sehingga RM1,200 untuk mendapatkan beberapa biji durian Musang King dan ini menunjukkan wang bukan penghalang bagi mereka yang benar-benar gemarkannya.
“Peminat durian mahu menikmati setiap ulas Musang King yang lengkap dengan rasa lemak, manis, sedikit pahit serta warna kekuningan emas selain tebal isinya boleh menenggelamkan duit siling 50 sen,” katanya ketika ditemui di Pusat Pembangunan Kluster Tanaman Durian di Kampung Paya Jakas, semalam.

-Metro

Tuesday 8 August 2017

Timbalan menteri mengaku belasah wanita

TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi Afrika Selatan memohon maaf selepas rakaman beliau dan pengawalnya membelasah dua wanita di sebuah kelab malam tersiar sejak hujung minggu lalu.
Menurut Reuters, kejadian berlaku pada awal pagi Ahad di sebuah kelab malam di Johannesburg, beberapa hari sebelum sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada Rabu, memperingati perarakan oleh wanita pada 1956 membantah pemerintahan kerajaan apartheid.
Timbalan Menteri itu, Mduduzi Manana dalam kenyataannya berkata: “Kejadian memalukan itu tidak sepatutnya berlaku. Saya akan bekerjasama dalam siasatan polis”


Menurut portal berita Enca, dalam laporannya kepada polis, wanita yang menjadi mangsa itu mendakwa dia dan rakannya duduk dekat meja Manana dan rakannya itu merakam apabila Manana berucap sebelum diarah berhenti merakam.
Manana menjadi marah dan mengarahkan dua wanita itu dikeluarkan dari kelab dan ketika diiring keluar, rakannya berpaling kepada timbalan menteri berkenaan sambil berkata: “Tapi anda gay.”
Serangan berlaku ketika wanita itu sudah berada di luar manakala rakannya masih di dalam apabila pengawal Manana menyerangnya - menampar serta menumbuknya hingga jatuh sebelum ditendang.
Manana kemudian masuk campur menendang wanita itu serta menarik rambutnya.
Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, berkata beliau terganggu dengan kejadian itu.
“Kerajaan mengisytiharkan keganasan terhadap wanita adalah jenayah utama perlu diperangi.
“Wanita mempunyai hak keselamatan diri dan tidak boleh diserang atau didera sesiapa saja, di mana saja di negara ini, tidak kira kedudukannya atau penyerangnya. Afrika Selatan perlu selamat untuk semua wanita,” katanya.
Polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan terhadap Manana sedang dilakukan.

-Metro

Monday 7 August 2017

Siasat gerakan atheist dalam kalangan orang Islam

Facebook Atheist Republic of Malaysia

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika perhimpunan itu menggugat soal akidah umat Islam, kerajaan mempunyai undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah di peringkat negeri-negeri dan Pusat bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Dakwaan kononnya golongan tidak percaya kepada kewujudan Tuhan mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur
Dakwaan kononnya golongan tidak percaya kepada kewujudan Tuhan mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur

Dakwaan kononnya golongan tidak percaya kepada kewujudan Tuhan mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Kerajaan melalui jabatan agama Islam di negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan memantau dakwaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota di sini hari ini. 


-Utusan

Wanita boleh berbikini di Arab Saudi?



Riyadh: Arab Saudi baru-baru ini melancarkan pelan untuk membangunkan sebahagian pantai barat negaranya menjadi pusat peranginan Laut Merah.
Projek itu akan membongkar potensi pantai sepanjang 200 kilometer dan 50 pulau batu karang dengan pembangunan hotel, kediaman mewah di satu zon pelancongan.
Pembinaan, termasuk sebuah lapangan terbang baru dijadual bermula 2019 sementara pusat peranginan itu akan ‘ditadbir menggunakan undang-undang yang setara dengan standard antarabangsa,’ kata kerajaan Saudi.
Ini mungkin bermakna wanita akan dibenarkan mandi dan berjemur dengan hanya memakai bikini, sesuatu yang tidak pernah dilihat dan tidak pernah dijangka akan berlaku di negara tempat terletaknya dua tempat paling suci umat Islam.
Pelan itu ialah sebahagian daripada projek Wawasan 2030 yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan dirancang untuk menamatkan penggantungan ekonomi Saudi pada minyak.
“Projek Laut Merah akan menjadi destinasi pelancongan mewah. Ia akan meletakkan standard baru bagi pembangunan lestari dan menempatkan Arab Saudi dalam peta pelancongan antarabangsa pada masa akan datang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Tabung Pelaburan Awam (PIF) Saudi.
Untuk tujuan itu, sekatan terhadap visa pelancong akan dilonggarkan di zon itu walaupun setakat ini tidak jelas sama ada pengharaman arak di kawasan itu juga akan ditarik balik.
Fasa pertama projek itu dijangka siap menjelang 2022 dengan jumlah pengunjung diramalkan mencecah sejuta setahun menjelang 2035.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), PIF akan menyumbang modal awal sementara mencari rakan kongsi dalam kalangan syarikat utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti. 

- Agensi/Metro

Sembunyi mayat anak dalam peti beku


Tarakan: Kerana bimbang bayi yang dilahirkannya tidak akan memperoleh surat beranak, seorang wanita berusia 24 tahun yang hanya dikenalkan kepada media sebagai SA, sanggup membunuh anak yang baru dilahirkannya sebelum menyimpan mayat bayi itu di dalam peti beku.
Ketua polis Tarakan, Dearystone Michael Hence Royke Supit berkata, SA adalah isteri keempat seorang pemilik kedai basuh kereta.
“Dia tidak mahu anaknya mengalami nasib yang sama dengan anak pertamanya, tidak mempunyai sijil kelahiran,” kata Dearystone.
Menurut Dearystone, SA melahirkan bayi perempuan itu seorang diri di bilik mandi rumahnya di Kota Tarakan di Kalimantan Utara, Mei lalu.
“Selepas melahirkan, anaknya itu meninggal dunia. Dia membungkus bayi itu menggunakan plastik hitam dan menyimpan mayatnya di peti beku di rumahnya,” kata Dearystone.
Menurutnya, ketika disoal siasat, SA mengaku memindahkan mayat berkenaan ke peti sejuk tempat cuci kereta suaminya, dua hari selepas itu apabila mayat berkenaan sudah beku.
Bungkusan berisi mayat itu ditemui pekerja suaminya minggu lalu, selepas tiga bulan di simpan di dalam peti sejuk itu, bercampur dengan makanan lain.

-Metro

Friday 4 August 2017

Tak dapat terima anak tampan

Beijing: Seorang wanita memfailkan saman terhadap sebuah hospital kerana dipercayai tertukar bayi 28 tahun lalu, dalam kejadian yang cuma disedari selepas mereka membuat ujian DNA disebabkan suaminya curiga anak itu bukan anaknya kerana dia terlalu kacak.
Wanita dikenali sebagai Zhang itu berkata, perkara berkenaan cuma diketahui selepas bekas suaminya mendesaknya melakukan ujian DNA kerana mengesyaki dia curang sehingga melahirkan anak yang sangat tampan.
Isu itu mencetuskan masalah dalam rumahtangga mereka sehingga pasangan itu bercerai pada 2004 kerana tidak tahan asyik disoal mengenai rupa paras anak mereka.
Zhang percaya anaknya tertukar selepas dilahirkan pada Februari 1989 di hospital di Shanghai.
Kan Kan News melaporkan, bekas suami Zhang yang masih tidak berpuas hati mendesaknya melakukan ujian DNA pada 2011.
Keputusannya tetap sama, si anak tidak ada pertalian dengan pasangan berkenaan.
Anak mereka itu, Wang Ye berkata: “Saya masih tidak dapat menerimanya. Kami hidup sebagai satu keluarga untuk begitu lama.”
Zhang menuntut ganti rugi 1.3 juta yuan (RM828,000) dari hospital berkenaan dan pada masa sama berusaha untuk menjejaki anak kandungnya dan mencari ibu bapa kandung Wang Ye.
Sementara itu, hospital terbabit dalam kenyataan pada 28 Julai lalu berkata, ia sudah membentuk pasukan untuk menyiasat kes berkenaan.
Pihak hospital juga bersedia bertanggungjawab jika siasatan mendapati ia melakukan kesilapan.

-Metro

Thursday 3 August 2017

Mayat memasak



Accra (Ghana): Keluarga seorang wanita memilih cara pelik untuk mempamerkan mayatnya sebelum pengebumiannya apabila mayat wanita diatur untuk menunjukkan dia seolah-olah masih bekerja.
Wanita berkenaan yang mengusahkan gerai makan ketika hidupnya diletakkan dalam keadaan duduk dengan dikelilingi kelengkapan termasuk lesung dan periuk seolah-olah dia sedang memasak di dapurnya.
Mayatnya yang diawet nampak tidak ubah seperti sedang sibuk menumbuk keladi untuk dijadikan hidangan dan menjualnya kepada pelanggan.
Mayat itu turut dipakaikan gaun labuh dan penutup kepala berbentuk serban seperti yang digunakan wanita tempatan.
Kejadian dilapor berlaku di Ghana tetapi lokasi sebenar tidak dinyatakan. Mengikut amalan masyarakat tempatan, mayat si mati ‘dipamerkan’ di dalam keranda - untuk membolehkan kenalan datang memberikan penghormatan terakhir.

-Metro