Monday 30 December 2013

Ratu Elizabeth ada 6 bulan untuk hidup


London: Menurut laporan terkini yang menggemparkan daripada majalah Globe Amerika, ketua monarki Britain Ratu Elizabeth mendedahkan kepada Putera William dan isterinya, Kate Middleton yang dia “hanya mempunyai enam bulan lagi untuk hidup”. Dalam edisi terbarunya, Globe juga mendedahkan maklumat lanjut mengenai sambutan pahit manis Krismas terakhir Elizabeth dan niat jahat Camilla yang terus mempengaruhi suaminya, Charles untuk menaiki takhta di sebalik pengakuan ibunya itu. Laporan terbaru dalam majalah itu turut mendakwa William mencetuskan kemarahan nenenknya selepas dia melompat di pentas ketika acara amal Istana Kensington dan menyanyikan lagu Livin’ on a Prayer bersama Taylor Swift dan Jon Bon Jovi. “Elizabeth memanggil William dan memarahinya kerana tidak sopan untuk seorang bakal raja menyanyi di pentas dan dia mahu cucunya tidak berkelakuan demikian pada masa depan,” kata satu sumber. “Namun sifat mesra Puteri Diana yang menari bersama John Travolta dan memeluk Elton John masih diwarisi anak lelakinya. “William memberitahu neneknya yang dia maklum dengan etika ahli keluarga diraja, tetapi dia mahu rakyat menganggapnya sebagai ahli keluarga diraja yang mudah didekati ramai,” kata sumber itu. -Metro

Friday 27 December 2013

Kucupan bernilai RM1,800


Kuala Lumpur: Gara-gara mencium rakan serumah kekasihnya, seorang pelajar dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam. Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Hassan Lal Gilani, 24, seorang warga Pakistan, yang mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa dengan mencium pipi wanita berusia 24 tahun itu. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Desa, Jalan Klang Lama, di sini pada jam 10.55 pagi, 30 Ogos lalu. Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Berdasarkan fakta kes, mangsa ketika itu duduk di sofa apabila tertuduh yang berjalan menuju ke bilik kekasihnya, berpatah balik ke arah mangsa dan memegang kepala mangsa dengan kedua-dua tangannya serta cuba mencium bibirnya. Mangsa berjaya mengelaknya, bagaimanapun terkena di pipinya. -Metro

Guna jarum untuk bunuh bayi sendiri


Beijing: Mahkamah di timur laut China menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki kerana cuba membunuh anak perempuannya. Mahkamah di Heilongjiang mendapati Yin Zhihe bersalah atas tuduhan cuba membunuh anak perempuannya berusia dua bulan dengan mencucuk jarum jahit ke tubuh bayi itu, lapor agensi berita Xinhua. Yin dipercayai cuba membunuh bayi itu kerana mengesyaki mangsa bukan anaknya. Yin mencucuk jarum ke sangkar rusuk bayi itu pada 4 Ogos lalu. Keesokan harinya, tangisan bayi itu mendorong ibunya membawa dia ke hospital, di mana jarum berkenaan ditemui dan dibuang melalui pembedahan. Bagaimanapun, Yin mencucuk tiga lagi jarum di dada, pusat dan perut bayi itu. Kesemua jarum berkenaan dicabut menerusi pembedahan tetapi menyebabkan kegagalan pernafasan dan kecederaan pada organ bayi malang itu. Mahkamah mengurangkan hukuman terhadap Yin kerana dia menyerah diri kepada polis, manakala bayinya terselamat. Sementara itu, ujian DNA menunjukkan Yin ialah bapa kandung kepada bayi perempuan terbabit. -Metro

Dunia oh dunia: Hias studio guna 16 tan wang kertas


Nanjing: Seorang jutawan China menghiasi ruangan studio di sebuah stesen televisyen di negara itu dengan timbunan wang miliknya. Chen Guangbiao membawa wang kertas 100 yuan seberat 16 tan yang diisi dalam tong untuk menghias studio berkenaan. Dia berbuat demikian untuk mempromosikan lonjakan ekonomi yang dijana pentadbir Nanjing, ibu negeri Jiangsu kelmarin. Sebagaimana dipetik daripada Chinadaily, wang berkenaan dibawa ke stesen televisyen terbabit dengan trak besar dan memerlukan 20 orang untuk menghiasi studio berkenaan selama lima jam. Wang not 100 yuan dilihat tersusun dengan rapi di studio itu. Chen berkata, ini kali keenam dia menggunakan wang sebagai latar belakang untuk tujuan promosi amal sejak 2010. Chen juga menegaskan dia bersikap terbuka jika pihak berkuasa ingin melakukan pemeriksaan mengenai aktiviti perniagaannya. Berdasarkan laporan media China, Hurun, kekayaan Chen mencecah AS$576 juta (RM1.8 bilion) pada 2010. Selain kaya raya, Chen turut dikenali sebagai usahawan pemurah. Dia pernah membahagi wang di jalan raya dengan mengedarkan sampul surat berwarna merah yang berisi wang tunai di dalamnya. - Agensi/Metro

Thursday 26 December 2013

Alahai dunia: Rompakan paling bodoh


Dubai: Seorang lelaki mabuk masuk ke sebuah kedai runcit di Dubai petang semalam, menumbuk tuan kedai sebelum melarikan wang berjumlah 1,800 dirham (RM1,600) dan kad prabayar telefon bimbit bernilai 2,000 dirham (RM1,800). Sejam kemudian, dia kembali ke kedai sama, mengancam seorang pekerja dengan pisau sebelum ditangkap polis yang tiba untuk menyiasat rompakan pertama. “Ini rompakan paling bodoh tahun ini. Perompak itu merompak kedai yang sama, seolah-olah mahu menyerah diri kepada polis,” lapor akhbar Alkhaleej. Menurut akhbar itu, perompak yang namanya tidak disiarkan itu kembali ke kedai yang dirompaknya sejam kemudian selepas mengetahui tuan kedai membuat laporan polis. Polis datang untuk menyiasat kes pertama menemui perompak itu di kedai berkenaan. - Agensi/Metro

Dunia oh dunia: Unta tua paling cantik


Riyadh: Seekor unta milik seorang lelaki Saudi mengalahkan 60 unta lain dari Emiriah Arab Bersatu dan negara Teluk untuk memenangi gelaran ‘Unta paling Cantik’ dalam kategori unta tua. Mahiouba dipilih oleh jawatankuasa pertandingan di Abu Dhabi berdasarkan ‘warna, leher, bonggol dan hidungnya,’ lapor akhbar Saudi, Sabq, semalam. Ia adalah kali pertama unta dari Arab Saudi memenangi gelaran itu sejak pertandingan bermula lima tahun lalu. “Mahiouba menang gelaran kategori unta tua walaupun saya satu-satunya pemilik unta dari Arab Saudi yang menyertai pertandingan,” kata pemiliknya Talal bin Suleiman Al Anzi. Menurutnya, dia hanya membawa seekor unta untuk kategori itu tetapi mempunyai 50 ekor untuk pertandingan kategori utama yang akan berlangsung Sabtu ini. - Agensi/Metro

Alahai dunia : ‘Autograf’ pada hati pesakit


London: Seorang pakar bedah di sebuah hospital di Birmingham digantung kerja selepas dakwaan mengatakan dia menurunkan tandatangannya di hati seorang pesakit. Dipercayai tanda tangan itu ditemui rakan sekerjanya ketika pembedahan rutin terhadap pesakit terbabit di Hospital Ratu Elizabeth. Pihak berkuasa kini bimbang kemungkinan beratus-ratus pesakit yang menjalani pembedahan transplan lain membabitkan pakar bedah itu berdepan nasib sama. seperti pesakit itu. Dakwaan itu mengatakan pakar bedah berpengalaman berkenaan menggunakan pancaran gas argon - bagi menutup pembuluh - untuk membuat tanda tangan itu. Pakar berkata, ia akan meninggalkan kesan terbakar di permukaan hati, tetapi tidak berbahaya. Joyce Robins dari pertubuhan Patient Concern berkata: “Kami bercakap mengenai pesakit bukan buku autograf.” - AP/Metro

Tuesday 24 December 2013

Impi jadi orang bunian


Ottawa: Seorang wanita dari Kanada menjalani pembedahan untuk memperoleh cuping telinga yang tajam kerana dia mahu kelihatan seperti orang bunian. Melynda Moon, 23, percaya dia berasal dari dunia berbeza dan hidup dalam zaman pari-pari pada hayat lalu. Melynda menjalani pembedahan bernilai RM1,350 itu bagi membolehkan dia berhubungan dengan susur galur keturunannya itu. Pembedahan itu menyebabkan rawan telinganya dipotong dan serpihan yang dipotong dari bahagian hujung itu dibentuk runcing. Keadaan itu membolehkan telinganya mempunyai bentuk meruncing sebagaimana watak dalam filem kegemarannya, Lord Of The Rings. Pembedahan itu mengambil masa dua jam. Selain telinga orang bunian, Melynda juga menjalani implan di tangannya yang menggambarkan simbol kuasa tiga Legenda Zelda. Model dari Ontario itu berkata, telinga runcing sudah lama menjadi idamannya. “Inspirasi saya bermula daripada Lord Of The Rings: rambut panjang, baju yang labuh dan hubungan rapat dengan alam semula jadi. “Saya sentiasa rapat dengan alam semula jadi,” katanya. Menurutnya, sejak zaman kanak-kanak lagi, dia memang obses dengan benda mistik. Ketika kecil, dia akan menggunakan mekap untuk tampil seperti orang bunuan dan turut menggunakan Photoshop untuk membuat telinganya runcing. Mengenai pembedahan yang dijalaninya itu, Melynda berkata: “Saya sentiasa mempunyai fantasi untuk menjadi sesuatu yang lain daripada manusia. Kerana itu, saya ubah penampilan. “Saya tidak akan kembali dengan penampilan manusia. Kini, saya hanya kekurangan sesuatu iaitu sayap untuk terbang,” katanya. - AFP/Metro

Ubah mayat anak jadi berlian


Geneva: Sekiranya anda tidak dapat melepaskan orang yang anda sayang, peluk saja mereka. Sebuah syarikat Switzerland dapat membantu anda untuk memastikan orang yang anda sayang itu terus berada bersama anda. Syarikat itu pakar dalam mengubah mayat menjadi berlian. Dalam kes terbaru, seorang lelaki berusia 15 tahun yang kematian anaknya yang masih muda kini boleh memeluknya, dalam bentuk berlian, lapor akhbar tempatan, The Local. Apabila anaknya yang berusia 20 tahun terbunuh dalam satu kemalangan kereta, mayatnya dibakar supaya abunya boleh diubah menjadi berlian. Kes itu adalah pertama seumpamanya di Itali. “Berlian’ itu dihasilkan dengan menapis karbon yang ditemui dalam abu mayat berkenaan sebelum dibakar menggunakan suhu yang sama panas dengan gunung berapi, bagi menghasilkan berlian tiruan. Kos untuk memproses itu ialah antara RM15,800 hingga RM59,000, bergantung kepada bentuk berlian yang dikehendaki. - Agensi/Metro

Bukan kembar biasa


OLIVER dan Harry Machin bukan hanya sekadar saudara kembar, malah mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain. Manakan tidak, tatkala kanak-kanak lain mengejek Harry kerana memiliki wajah tidak sempurna, Oliver sebagai abang akan bertindak melindungi adik kembarnya itu. Bahkan, dia tidak berasa malu dan menyifatkan kecacatan Harry sebagai anugerah istimewa dari Tuhan. Bagaimanapun, keadaan berbeza buat ibu mereka, Charlene Machin yang hanya dapat menerima kenyataan mengenai kecacatan Harry selepas anaknya itu menginjak usia dua tahun. Wanita yang berasal dari Stoke-on-Trent, Staffordshire, England itu mengakui dia berasa takut serta hampa pada mulanya apabila mengetahui Harry dilahirkan dengan kecacatan teruk di muka. Mengimbau kembali memori ketika melahirkan pasangan kembar tersebut tujuh tahun lalu, Charlene berkata, tidak seperti kebanyakan ibu lain yang gembira ketika menimang cahaya mata, dia sebaliknya berasa sedih saat pertama melihat anaknya itu. Menurutnya, bahagian kiri wajah Harry seakan-akan 'terpadam' kerana dia tidak memiliki mata, telinga dan separuh daripada bahagian hidungnya hilang. "Saya berasa terkejut selepas melihat Harry tidak mempunyai separuh daripada mukanya. "Apabila saya memegangnya, saya hanya mampu melemparkan senyuman tetapi jauh di sudut hati, saya tidak menaruh apa-apa perasaan," katanya menerusi portal berita Daily Mail. Keadaan tersebut membuatkan Charlene berasa terpukul dan sering kali menyalahkan diri sendiri dengan keadaan yang menimpa cahaya matanya itu. Caesarian "Selama beberapa bulan, saya menyembunyikan anak saya daripada orang ramai kerana tidak mahu dia diejek. "Saya berasa sedih kerana Harry tidak boleh menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia dengannya," kata Charlene yang melahirkan pasangan kembar itu menerusi pembedahan caesarian. Menurut Charlene, dia terpaksa menjalani pembedahan tersebut selepas air ketubannya bocor tatkala kehamilan baru mencecah tujuh bulan. Tambahan pula, posisi salah seorang anak kembarnya pada ketika itu berada dalam kedudukan songsang. "Saya sering mengalami sakit pada bahagian pelvik dan doktor memaklumkan bahawa saya mungkin menghidap kehamilan ektopik iaitu kehamilan di luar rahim. "Keadaan kesihatan saya yang tenat memerlukan saya dimasukkan ke hospital segera kerana dikhuatiri kehamilan itu boleh meragut nyawa serta bayi dalam kandungan," jelasnya. MESKIPUN cacat, Harry (kanan) tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Nasib menyebelahi Charlene apabila dia selamat melahirkan sepasang bayi kembar lelaki dengan masing-masing seberat kira-kira 1.62 kilogram. Bagaimanapun, Harry terpaksa dipindahkan ke Hospital Hope di Salford, Manchester untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan itu mendapati Harry tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, bahkan organ lain seperti buah pinggang, jantung serta tulang belakang berfungsi dengan baik. Charlene memberitahu, setakat ini, anak lelakinya itu telah menjalani tiga pembedahan bagi merawat wajahnya. Malahan pada bulan Julai tahun lalu, Harry telah menjalani pembedahan selama 10 jam di di Hospital Kanak-kanak Alder Hey, Liverpool untuk memperbetulkan kedudukan otak, tengkorak serta bahagian mukanya. "Harry juga dijangka menjalani pembedahan pemasangan kelopak mata dan mata prostetik pada hujung tahun ini," ujar Charlene. Kini, ketika kedua-duanya anak sudah membesar, ibu muda berumur 33 tahun itu sudah boleh menerima hakikat dan mampu mengatasi rasa takut untuk membantu Harry menghadapi dunia luar. Charlene juga kini tidak berasa malu berkongsi cerita dengan orang ramai, malah dia mahu mereka memahami situasi seorang ibu apabila berhadapan dengan kecacatan anak selain menjadikan kisahnya sebagai teladan. "Saya tidak mahu lagi menyembunyikan anak saya dan mahu menghadapi keadaan dengan tabah kerana Harry akan memerlukan bantuan saya apabila sudah dewasa. "Jika Oliver yang masih kecil boleh mempertahankan adik kembarnya, mengapa saya sebagai ibunya tidak mampu berbuat demikian juga," ujarnya. -Kosmo

Monday 23 December 2013

Alahai dunia : Cari jodoh dengan iklan belakang kereta


Orlando: Seorang lelaki dari Florida, Amerika Syarikat yang terdesak ingin mencari calon isteri berbuat demikian dengan meletakkan iklan di belakang keretanya. Stesen televisyen ABC News melaporkan, Alexander Gorbunov memaparkan iklan berbunyi “Saya mencari calon isteri” pada kadbod kuning yang dilekatkan di belakang kereta BMW miliknya. Dia juga melakukan perkara sama di belakang kenderaan merk Hummernya. Gorbunov berkata, cara itu cukup berkesan. Dia memperoleh kira-kira 500 mesej pesanan ringkas di telefon bimbitnya, selain menerima sekitar 250 panggilan setiap hari. Malah, panggilan bukan saja diterimanya dari Amerika, tetapi juga dari Perancis, Jamaica, Brazil, Switzerland, Finland dan pelbagai negara lain. IKLAN mencari calon isteri yang dilekatkan di belakang kereta Gorbunov. Lelaki yang berasal dari Moscow, Russia itu sudah lama mencari teman hidup sejak empat tahun lalu. Walaupun mempunyai ramai kenalan di Internet, tetapi Gorbunov lebih gemar untuk bertemu dan berkenalan dengan calon isterinya secara empat mata. Gorbunov juga agak memilih untuk mencari calon isteri yang bersesuaian kerana dia tidak akan melayan wanita yang menghubunginya semata-mata untuk bertanya mengenai harta yang dimilikinya. Tidak kurang juga ada golongan gay atau lelaki yang menghubunginya untuk menawarkan bekas isteri mereka kepadanya. - Agensi/Metro

Dunia oh dunia : Cungkil mata isteri


Guangxi (China): Seorang lelaki di sini mencungkil mata isterinya dengan tangan selepas mendapati wanita itu menjalin hubungan dengan lelaki lain. Lelaki itu juga bertindak ganas selepas isterinya menuntut cerai. Menurut akhbar Want China Times, wanita berusia 39 tahun yang hanya dikenali sebagai Li, berkenalan dengan suaminya, Long, menerusi Internet, tahun lalu. Selepas berpacaran selama tiga bulan, lelaki itu berubah, kata Li dalam laporannya kepada polis. LI hilang sebelah mata selepas dicungkil suaminya. Apabila dia enggan membantu menjelaskan hutang Long berjumlah 150,000 yuan, lelaki itu memukulnya. Li cuba meninggalkan Long tetapi lelaki berkenaan menyembunyikan semua dokumen pengenalan dirinya dan mengancam mencederakan keluarganya. Keadaan itu menyebabkan dia akur dengan kehendak Long dan akhirnya terpaksa berkahwin dengannya. Beberapa bulan kemudian, Li berkenalan dengan teman lelaki barunya. Long yang mengetahui mengenainya, menyerang lelaki berkenaan dan ketika Li cuba melindungi kekasihnya itu, suaminya memukulnya sebelum mencungkil matanya dengan tangan. Long menghantar isterinya ke hospital selepas kejadian tersebut sebelum menyerah diri kepada polis. - Agensi/Metro

Dunia oh dunia : Ganjaran pak sanggup


APAKAH anda merasakan hidup kita hari ini terlalu susah? Saya rasa tidak, jika kita mengamalkan cara hidup serba sederhana dan ikut kemampuan. Tetapi ada suami dan isteri zaman sekarang sanggup 'jual diri' semata-mata untuk kemewahan hidup. Jual diri bukan jadi pelacur tetapi sanggup menggadaikan maruah asalkan apa yang dicitakan tercapai.'' Itu kata Iffahazani dalam e-melnya. ''Kisah jual diri saya saya maksudkan ini berlaku kepada suami saya sendiri, Hans. Suami yang berusia 46 tahun rela jadi pak sanggup kepada Zanita - gadis yang bukan pun kekasihnya, cuma kenalan biasa yang pernah kerja sepejabat. ''Tiga hari Hans balik rumah asyik termenung. Bila ditanya tidak menjawab, malamnya resah tak boleh tidur. Saya yang bimbangkan kesihatannya, maklumlah dia ada darah tinggi tawarkan diri bawa dia ke hospital tapi dia kata tak sakit. "Biasanya dia paling lewat bersiap pergi kerja tetapi dalam tempoh itu, awal-awal lagi sebelum anak-anak mandi untuk ke sekolah, dia sudah bergegas kononnya nak cepat ke pejabat. ''Kerana sibuk bekerja saya terlupa bertanyakan keadaannya hinggalah masuk hari ketiga, saya desak lagi apa yang mengganggu fikirannya? "Akhirnya Hans beritahu dia nak kahwin seorang lagi. Terkejut besar saya kerana tak menduga itu jawapannya. ''Pengakuannya buat saya hampir diserang sakit jantung. Saya terduduk dan tanpa sedar menangis. Dalam sedan saya tanya Hans apa salah saya? Apa kurang diri saya hingga dia nak kahwin lagi? Sejak bila dia bercinta? Dengan siapa? Orang mana? Hans hanya diam membisu. "Saya minta diceraikan kerana itulah perjanjian awal kami ketika bercinta dahulu. ''Bila sebut soal cerai barulah Hans buka mulut bercerita. "Katanya gadis itu hamil ditinggalkan kekasihnya. Majlis kahwin sepatutnya berlangsung sebulan dua lagi tetapi mereka tak jadi kahwin. Emaknya malu dan desak mesti kahwin juga. ''Menurut Hans, seorang kawan tolong carikan lelaki yang sudi menjadi suami Zanita. Zanita akan tanggung segala perbelanjaan kahwin dan tak kisah sama ada lelaki itu masih bujang atau suami orang. Asalkan segera kahwin. ''Kawan Zanita itu yang kebetulan kawan baik Hans cadangkan dia jadi pak sanggup. Zanita pun setuju sebab dia memang kenal Hans dan tawarkan pelbagai hadiah untuk jadi suaminya. ''Cerita Hans lagi yang lebih menarik hati, Zanita sanggup diceraikan setelah anaknya genap berusia setahun. Alasan Zanita berkahwin hanya untuk jaga maruah keluarganya. Dia langsung tidak bercadang untuk berkahwin dengan Hans selamanya kerana dia juga tak mahu bermadu. ''Selain tawaran wang, Hans boleh tinggal di kondonya sementara dia melahirkan. Menurut Hans lagi, Zanita memang tidak berhasrat berkahwin dengannya kerana dia amat mencintai kekasihnya. Tetapi hubungan mereka terputus disebabkan perkara yang tidak boleh dielakkan. ''Bermacam-macam cerita Hans tetapi pada saya, semuanya rekaan semata-mata. Hati saya percaya dia memang ingin berpoligami. ''Bila saya tak bersetuju dan masih desak Hans berpegang pada janji kami sebelum kahwin dulu, Hans jadi bingung. Seminggu lamanya kami perang dingin. Saya nekad mahu menguruskan hidup sendiri bersama tiga anak kami yang sedang membesar. ''Nak jadikan cerita, lepas seminggu saya terima panggilan daripada seorang wanita mengaku ibu Zanita. Dia marahkan saya kerana menghalang Hans berkahwin dengan anaknya. Katanya Hans mesti bertanggungjawab atas perbuatannya. Lebih menyedihkan, dia sumpah saya dan harap bala akan menimpa diri saya satu hari nanti, mungkin ditakdirkan anak gadis saya pula mengandung. ''Sakit hati saya. Ini sudah lebih... main ugut-ugut pula. Kerana geram, saya cabar dia paksa Hans nikah segera dengan anaknya. Saya mahu lihat kejujuran Hans dan kekuatan duit ibunya dalam situasi ini. "Bila balik ke rumah, saya beritahu Hans apa yang berlaku dan ulangi syarat agar ceraikan saya terlebih dulu, jika mahu menikah dengan Zanita. ''Oleh kerana tempoh tawaran berlaku dalam masa yang singkat, Hans buat keputusan nikah dengan Zanita. Dia setuju jadi pak sanggup anak yang Zanita kandung. "Kami bercerai secara baik. Sebab itu perjanjian awal. Saya dan anak-anak tetap tinggal di rumah yang kami sama-sama beli kerana Hans telah melepaskan haknya kepada anak-anak. Dia juga sanggup bayar ansuran rumah yang berbaki 15 tahun lagi sebagai ganti kepada nafkah anak-anak yang dia terpaksa bayar di samping perbelanjaan sekolah dan hari raya setahun sekali. Selain itu dia beri saya kereta miliknya. "Perceraian kami memang mengejutkan kaum keluarga saya. Mereka tuduh Hans zalim kepada saya terutama pada anak-anak, sebaliknya sanggup pikul biawak hidup untuk tutup aib orang lain. ''Saya ingin tanya apa pandangan pembaca tentang tindakan Hans? Apakah dia diperangkap oleh Zanita? Adakah dia kejar kekayaan yang diberikan oleh Zanita dan keluarganya ataupun memang dia ayah kepada anak yang Zanita kandung? ''Walaupun peristiwa ini sudah enam tahun berlalu dan kini anak-anak sudah dewasa, saya masih tidak tahu jawapan sebenarnya. Tetapi pada pengamatan saya, Hans jadi pak sanggup sebab mahu hidup senang, sebab dia tahu siapa Zanita dan latar belakang keluarganya. ''Sehingga kini masih ada kawan Hans memuji tindakannya. Kata mereka, Hans banyak pahala sebab bantu orang tengah susah. Lebih penting Hans boleh hidup senang-lenang. ''Doa saya janganlah ada anak lelaki saya atau adik beradik saya yang jadi seperti Hans. Sanggup jual maruah diri, jadi pak sanggup dan lebih teruk tergamak meminggirkan anak sendiri demi mengejar kemewahan hidup,'' demikian cerita Irfahazani tentang bekas suaminya yang sanggup menjual maruah demi kesenangan hidup. -Fikir fikirkan..... -Utusan

Friday 20 December 2013

Mesej Rasulullah dan Mandela


PEMIMPIN dan masyarakat dunia berasa kehilangan Nelson Mandela yang meninggal dunia awal bulan ini. Dipenjara 27 tahun dan kemudian menjadi Presiden Afrika Selatan, beliau akan dikenang sejarah kerana toleransi dan keikhlasannya mengampunkan rejim aparteid yang menekan rakyat kulit hitam negaranya begitu lama. Walaupun secara peribadi beliau dianiayai, Mandela tidak berdendam. Mesej keamanan yang dibawanya telah mempercepatkan proses perpaduan nasional di republik itu. Toleransi dan sikap pemaaf yang ditunjukkan Mandela adalah nilai universal yang Islamik kerana Islam adalah ajaran yang sangat cintakan perdamaian. Bagi umat Islam, tiada contoh lebih baik daripada Nabi Muhammad SAW. Hakikat ini diakui bukan saja oleh sarjana Muslim tetapi juga cendekiawan dan tokoh sejarah Barat/Kristian. Stanley Lane-Poole, dalam buku The Speeches and Table Talk of the Prophet Mohammad, menyatakan kekagumannya dan memuji sikap toleransi Rasulullah SAW ketika Fath Makkah. Katanya: “The day of Mohammad’s greatest triumph over his enemies was also the day of his grandest victory over himself. He freely forgave the Koraysh all the years of sorrow and cruel scorn in which they had afflicted him and gave an amnesty to the whole population of Mecca (the city of his bitterest enemies)...The army followed his example, and entered quietly and peacefully; no house was robbed, no women insulted.” Thomas W Arnold (The Preaching of Islam, Ashraf Press, Pakistan, 1968) dan ‘Abd al ‘Aziz ‘Uthman al-Tuwayjiri (Al-Islam wa al-Ta’ayusyi Bain al-Adyan fi Ufuq al-Qarn al-Hadi wa al-‘Isrin, Morocco, 1998) menolak tuduhan bahawa penyebaran dan perkembangan Islam yang begitu pesat adalah melalui perang atau secara kekerasan. Satu contoh klasik ialah ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi (1169-1193H) menakluki Palestin pada 1187 dan menguasai semula wilayah Baitulmaqdis yang berada dalam tawanan tentera Salib sejak 1099. Beliau tidak membalas dendam atau membunuh tentera Salib walaupun mereka telah membunuh begitu ramai pejuang Islam sepanjang 88 tahun. Hugh Goddard dalam buku A History of Christian-Muslim Relations (Edinburgh University Press Ltd, Edinburgh, 2000) memetik seorang saksi, Raymond of Aguilers, yang berkata dia terpaksa berjalan di celah-celah mayat tentera Islam yang bergelimpangan. Lebih 40,000 dibunuh dalam tempoh dua hari, darah yang mengalir mencecah ke paras lutut. Ditanya kenapa beliau tidak membalas dendam, Salahuddin menjawab: “Sesungguhnya agama ku melarang menyeksa sesiapa pun. Hati murni ku juga mencegah aku daripada melakukan pembalasan sebagaimana yang telah mereka lakukan kerana agama kami melarang kami membalas perbuatan kejam sebagaimana yang dilakukan musuh kami. Kami diperintahkan agama menepati janji, memaafkan perbuatan buruk mereka dan melupakan kekejaman yang pernah dilakukan ketika berkuasa.” Banyak petunjuk dalam al-Quran yang menyeru kepada toleransi, termasuk dalam soal keagamaan dalam masyarakat majmuk. Toleransi dalam ajaran Islam membawa kepada perpaduan, keharmonian dan kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat. Islam mengajar umatnya menghindari perbuatan yang boleh mencederakan orang lain atau menimbulkan ketidakadilan. Al-Qurtubi berkata kekufuran seseorang bukan penghalang untuk mereka mendapat keadilan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Dar al-Kutub al-Ilmiah Jilid III, 1996). Ayat 99 Surah Yunus, Ayat 256 Surah Al-Baqarah, ayat 8 Surah Al-Maidah dan ayat 108 Surah Al-An’am sering diguna untuk membuktikan prinsip toleransi dan keadilan dalam Islam. Umat Islam dilarang mencerca sembahan penganut agama lain, sebagaimana kita juga tidak mahu menganut agama lain menghina Islam. Paling ideal ialah apabila pihak Muslim dan bukan Muslim sama menghayatinya. Kita tidak mahu lagi melihat peristiwa seperti bangkai babi dalam masjid, kepala lembu dipijak, gereja dibakar atau serangan ke atas kuil Hindu yang pernah berlaku di Kerling, Selangor 34 tahun lalu. Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik. Lakukanlah kebaikan selama dan selagi ia tidak menyentuh soal akidah. Akidah yang benar adalah yang bebas daripada unsur kebatilan dan kesyirikan. Moga-moga dengan cara ini, kita akan dapat kembalikan kejernihan dan perpaduan dalam masyarakat kita yang majmuk ini. -DR MASHITAH IBRAHIM/Sinar

Alahai dunia : Buah zakar ‘berasap’


Barcelona: Seorang anggota polis dihukum penjara setahun kerana mencederakan buah zakar seorang lelaki yang ingin ditangkapnya dengan bom asap. Bom itu dicampakkan ke riba mangsa apabila lelaki terbabit enggan keluar dari keretanya ketika diarahkan berbuat demikian. Anggota polis itu dipenjarakan setahun dan diarah membayar 168,000 Euro (RM751,675) kepada mangsa selepas mencederakan kemaluan mangsa tanpa sengaja. Anggota polis dari Catalonia itu pada awalnya ditugaskan menahan dua pemeras ugut yang mempunyai sejarah keganasan. Memandangkan kedua-dua suspek pakar seni mempertahankan diri dan memiliki dua anjing yang garang, pegawai atasan membenarkan anggota polis itu menggunakan bom asap jika perlu. Senjata itu direka untuk mengelirukan mangsa kerana ia menyebabkan kehilangan sementara deria pendengaran dan imbangan apabila diletupkan pada jarak dekat. Bagaimanapun, apabila seorang daripada lelaki terbabit enggan keluar dari keretanya, anggota polis dari Barcelona itu mencampakkan bom terbabit ke atas ribanya, lapor akhbar The Local. yang menterjemah artikel daripada akhbar harian Sepanyol 20minutos. Letupan itu mencederakan buah zakar lelaki berusia 25 tahun itu dan menyebabkan mangsa menjadi mandul. Mahkamah agung Sepanyol yang menjatuhkan hukuman ke atas anggota polis terbabit kelmarin berkata, insiden yang berlaku pada 2008 itu disebabkan oleh kecuaian. Mahkamah juga mengarahkan dia digantung kerja. Kes itu berlaku sebulan selepas polis Sweden dikatakan menggunakan bom asap untuk menundukkan seorang ibu yang enggan menyerahkan bayi lelakinya berusia lima bulan. Wanita berusia 30 tahun itu mengacukan pisau ketika polis memasuki flat kediamannya di Helsingborg, selatan Sweden bagi membantu petugas khidmat sosial mengambil alih jagaan bayi terbabit daripadanya. - Agensi/Metro

Thursday 19 December 2013

Mengandung tetapi tidak ada bayi


Brasilia: Doktor melakukan pembedahan Caesarean kecemasan terhadap seorang wanita yang sarat ‘mengandung’ namun terkejut apabila mendapati rahimnya kosong. Wanita berusia 37 tahun itu dirawat bidan dari Cabo Frio sejak awal kehamilannya sebelum dibawa ke hospital selepas merasa sakit bersalin, kelmarin. Dia yang kelihatan sarat mengandung turut membawa bukti rawatan pranatal yang mengatakan kandungannya berusia 41 minggu. Pengarah hospital berkenaan Rosalice Almeida berkata, dia dihantar menjalani pembedahan kecemasan apabila doktor gagal mengesan degupan jantung bayinya. “Disebabkan ‘kandungannya’ sudah melebihi masa, doktor berpendapat tiada masa untuk melakukan ultrasound. “Doktor terus melakukan pembedahan namun terkejut apabila mendapati rahimnya kosong,” katanya. Sehubungan itu, kes berkenaan direkodkan sebagai kehamilan palsu dan wanita itu dirujuk kepada pakar psikiatri. Sementara itu, suami wanita berkenaan yang berusia 23 tahun berkata, ini kali kedua isterinya ‘mengandung’. Menurutnya, isterinya ‘mengandung’ tahun lalu namun mendakwa anak itu meninggal dunia di hospital tanpa menunjukkan sijil kematian kepadanya. Sebelum ini, pada Disember tahun lalu seorang lagi wanita, Layane Santos, 19, mendakwa bayi perempuan yang baru dilahirkan dicuri di hospital selepas dia tersedar daripada pembedahan Caesarean dan dimaklumkan mengalami kehamilan palsu. Layane mendakwa dikejarkan ke hospital pada usia kandungannya 38 minggu selepas mengalami sakit perut dan pendarahan. Wanita itu menerima rawatan pranatal sepanjang kehamilannya, malah bidan turut merekodkan pembesaran bayinya termasuk ultrasound yang turut merakamkan degupan jantung menunjukkan dia hamil anak perempuan. - Agensi/Metro

Wednesday 18 December 2013

Alahai dunia : Sembunyi dadah dalam kemaluan


Oklahoma: Seorang wanita dituduh cuba menyeludup paip untuk menghisap dadah ke dalam penjara dengan menyembunyikannya dalam kemaluannya. Paip itu ditemui pada kemaluan Ericka Marie Danna, 25, sebaik dia tiba di pusat tahanan di sini. Danna ditahan polis kerana disyaki mencetuskan kekacauan di luar sebuah kediaman di Oklahoma, Sabtu lalu. Dia kemudian dibawa ke pusat tahanan dan paip itu ditemui selepas pemeriksaan dilakukan ke atasnya. Laporan polis selepas pemeriksaan menyatakan, paip berkenaan mengeluarkan bau ganja, menurut laporan. Danna kini menghadapi tuduhan mencetuskan kekacauan dan cuba menyeludup bahan terlarang ke dalam penjara. - AGENSI/BH

Penyebaran agama bukan Islam dikesan


SHAH ALAM 17 Dis. - Kebimbangan masyarakat Islam terhadap penyalahgunaan kalimah Allah di samping terdapat agenda tersembunyi di sebaliknya ternyata benar apabila satu gerakan penyebaran agama bukan Islam secara terbuka dikesan di bandar raya ini. Modus operandinya bukan lagi tersembunyi malah dilakukan secara terbuka oleh sekumpulan lelaki dan wanita di sekitar bandar raya dengan menjadikan kawasan tumpuan remaja dan pelajar sebagai sasaran mereka. Kumpulan terbabit yang dipercayai diketuai oleh seorang lelaki yang mendakwa warga Amerika Syarikat (AS) serta fasih berbahasa Melayu dan beberapa orang lelaki serta wanita tempatan dipercayai dari Sabah bergerak mendekati golongan muda di kawasan ini minggu lalu. Difahamkan kegiatan itu sudah bergerak aktif sejak awal tahun ini dan mereka bergerak secara berkumpulan untuk melaksanakan tujuan berkenaan. Kebenaran mengenai kegiatan itu terbongkar apabila wartawan Utusan Malaysia sendiri didekati oleh kumpulan berkenaan minggu lalu dengan membawakan penerangan mengenai beberapa konsep dalam ajaran agama tersebut seperti pengampunan dosa, syurga dan neraka. Kaedah yang diguna pakai oleh kumpulan ini agak licik kerana mereka terlebih dahulu cuba bermesra dengan kelompok sasaran sebelum membawa kepada perbualan yang lebih lanjut. Selain itu, kumpulan berkenaan turut memberikan beberapa buah buku tafsiran yang menerangkan mengenai kejadian Nabi Isa menurut kepercayaan agama tersebut. Buku-buku yang diberi itu juga mengandungi kalimah Allah yang tertera dalam isi kandungannya. Tanpa sebarang rasa bersalah, kumpulan itu menjadikan Melayu dan Islam sebagai sasaran. Sedangkan tindakan itu menyalahi dari segi perundangan kerana sebarang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam adalah dilarang sama sekali di negara ini berdasarkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 Berdasarkan perbualan dengan salah seorang ahli kumpulan itu, mereka dikatakan berada di sekitar kawasan i-City di sini untuk melakukan kegiatan itu. Bagi menarik perhatian golongan muda, kumpulan tersebut juga mengedarkan sebuah komik berunsur agama tersebut secara percuma kepada sasaran yang ditemui. Komik yang memaparkan mengenai kisah hidup Nabi Isa yang secara tidak langsung bercanggah dengan al-Quran turut mengandungi ilustrasi kisah kehidupan dan kewujudan Nabi Isa yang dilakarkan dalam bentuk kartun. Muka hadapan komik itu tidak mencatatkan sumber penerbitannya namun ditulis perkataan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Penceritaan dalam komik dengan ilustrasi mengenai agama bukan Islam itu dikhuatiri dapat menjejaskan kepercayaan serta akidah umat Islam. Selain itu, kumpulan tersebut juga menyebarkan beberapa buah buku tafsir sebuah kitab yang tertera kalimah Allah di dalamnya. Isi kandungan dalam buku itu mengandungi kalimah Allah yang tertera dalam setiap penerangan yang diberikan. -Utusan

Kantoi : Rantai emas dalam perut


Miami: Seorang pencuri terjerat selepas mesin pengimbas di penjara menunjukkan terdapat dua rantai emas di dalam perutnya. Joseph Bravo Ramos, 21, ditahan pada 11 Disember lalu sehari selepas sebuah kediaman di Safety Harbor dilaporkan dipecah masuk. Walaupun pada awalnya Ramos ditahan kerana memandu dengan cuai, polis mendapati bahawa kereta Chevrolet Tahoe 2005 yang dipandunya dilaporkan hilang selepas kejadian rompakan itu. Ketika di penjara, dia diarahkan berjalan melalui mesin Imbasan SecurPass yang kemudian menunjukkan “imej gelap” di dalam perutnya, menurut Tampabay.com. IMEJ rantai emas (dalam bulatan merah) yang kelihatan di dalam perut Ramos (gambar kecil) selepas diimbas mesin SecurPass. Imej itu ialah dua rantai emas yang ditelan Ramos sebelum dia dihantar ke penjara. Ramos kemudian diarah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan rantai berkenaan di sebuah hospital sebelum barang kemas terbabit dikenal pasti milik mangsa yang dirompaknya. Ramos yang didakwa dengan tuduhan merompak turut dituduh menyembunyikan bukti fizikal barang rompakannya. Dia kini ditahan di penjara Pinellas dengan ikat jamin AS$15,000 (RM48,767). Mesin imbasan SecurPass yang mengimbas tubuh manusia dipasang di penjara itu Jun lalu. Menurut jabatan polis, mesin itu boleh mengesan logam, pil, plastik, dadah dan “bahan luar biasa lain yang mungkin disembunyikan tahanan”. - AFP/Metro

8 bulan tak sedar batang buluh tertusuk di muka


Beijing: Seorang wanita China tidak menyedari terdapat batang buluh sepanjang 13 sentimeter terperangkap dalam mukanya selama lapan bulan. Doktor yang mendapati ada batang buluh terperangkap di antara pipi dan rahang atas Fu Jinfeng, 61, amat terkejut dengan penemuan itu ketika menjalankan ujian imbasan sinar-X pada kepala warga emas berkenaan. Keluarga wanita terbabit membawanya ke Hospital Xiang Ya di Changsa, Hunan awal Disember lalu kerana dia tidak boleh membuka mulut sepenuhnya untuk makan, selain luka yang dialami sejak lapan bulan lalu belum juga sembuh. Selepas penemuan mengejutkan itu, doktor mengeluarkan batang buluh itu dari muka Jinfeng. Tidak diketahui bagaimana ia boleh tercucuk menembusi muka wanita tua itu April lalu. - Agensi/Metro

Tuesday 17 December 2013

Tumpang tangan pada buku lali


Beijing: Doktor di Changsha berjaya mencantumkan tangan seorang lelaki yang terputus selepas menampalnya pada kaki mangsa selama sebulan. Xiao Wei putus tangannya selepas kemalangan di tempat kerja pada 10 November lalu. “Saya tergamam sehinggalah rakan-rakan memadam mesin yang saya gunakan dan mengambil tangan itu sebelum membawa saya ke hospital. “Doktor memaklumkan tidak dapat menyelamatkan tangan saya. “Saya masih muda dan tidak dapat membayangkan kehidupan sebagai orang kudung,” katanya. Bagaimanapun, doktor mencadangkan supaya dia mencuba nasib di hospital daerah yang lebih besar. KECEDERAAN dialami serius malah tangan mangsa penyek akibat kejadian itu. Sehubungan itu, tujuh jam selepas kejadian Xiao Wei dirawat doktor di Changsha dan mereka yakin dapat mencantumkan semula tangan itu. Bagaimanapun, mereka menampal tangan itu pada buku lalinya untuk mengelak pereputan. “Kecederaan dialaminya serius kerana tangan itu bukan saja koyak malah penyek. “Kami terpaksa membersihkan dan merawat kecederaannya sebelum menyambungkan semula tangannya itu,” kata seorang doktor yang merawatnya. Kini, selepas hampir sebulan kejadian, Xiao sudah cukup sihat untuk menjalani pembedahan mencantumkan semula tangannya itu. Walaupun dia masih memerlukan beberapa pembedahan lain, doktor yakin tangan itu mampu digunakan seperti sedia kala. - Agensi/Metro

Alahai dunia : Ustaz ugut sumbat isteri dalam neraka


Klang: Sembilan tahun lalu, perwatakannya seperti ustaz yang mahir selok-belok agama, menambat hati seorang wanita di sini, yang kemudian berkahwin dengannya, tetapi malang kerana beberapa tahun kemudian, dia menjadi mangsa belasahan lelaki berusia 39 tahun itu yang berubah menjadi panas baran sehingga sering memukulnya walaupun hanya disebabkan perselisihan faham kecil. Selain memukul, lelaki yang mendapat taraf sebagai penduduk tetap (PR) di negara ini juga sering mengugut isterinya bahawa wanita itu ‘disumbat’ ke dalam neraka jika tidak mendengar kata dan arahannya dan keadaan bertambah buruk selepas lelaki berkenaan berkahwin seorang lagi dua tahun lalu. Itu liku kehidupan yang terpaksa ditempuh seorang wanita dikenali sebagai Salma, 35, juga wanita asing yang mendapat taraf PR, yang mendakwa sering menjadi mangsa belasahan suaminya sejak 2008. Menurutnya, impian bersuamikan lelaki berpengetahuan agama bagi membimbing diri dan anaknya, kini hanya tinggal kenangan apabila sikap suaminya berubah sepenuhnya. “Saya akan dipukul jika tidak mendengar arahannya selain sering diugut kononnya saya akan masuk neraka jika ingkar dengan apa dimahukan suami. “Tidak mahu diri terus dijadikan sasaran suami melepaskan kemarahan, saya hanya berdiam diri walaupun tidak sanggup menanggung kesakitan akibat perbuatannya. “Namun, saya bersyukur kerana suami tidak pernah memukul anak, tetapi sikapnya itu membuatkan anak takut setiap kali dia bersuara,” katanya yang ditemui di sini, semalam. Menurutnya, antara kejadian tidak dapat dilupakan, suaminya itu memukul kakinya dengan objek keras hanya kerana dia mahu melawat mentuanya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya. Akibat tindakan suaminya itu beberapa tahun lalu, kaki kanan Salma membengkak sehingga dia sukar berjalan beberapa minggu. Terbaru, dia dipukul minggu lalu kerana enggan membuka pintu rumah, tempatnya tinggal sekarang di sebuah kampung di daerah ini, berikutan mereka dalam proses bercerai. “Suami datang dan memaksa saya membuka pintu. Sebaik membuka pintu dia membelasah saya sebelum berlalu pergi,” katanya. Tambahnya, perubahan sikap alim suaminya itu bertambah teruk selepas lelaki itu berkahwin dengan seorang wanita warga asing yang menetap di kawasan perkampungan berhampiran. “Saya tidak sanggup diperlakukan sedemikian kerana suami menjadikan saya sebagai tempat belasahan dan melepaskan geram,” katanya. Bimbang akan terus dibelasah suami, Salma membuat laporan polis baru-baru ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop yang mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa dan siasatan sedang dijalankan. -Metro

Gani Patail sedia beri surat kuasa kepada Rafizi periksa akaun bank


Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sedia memberi surat kuasa kepada Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli untuk memeriksa akaun bank di mana-mana negara, kononnya beliau menerima wang sogokan berkaitan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Dalam kenyataan empat perenggan di sini hari ini, Abdul Gani berkata surat kuasa atau autoriti itu akan diberikan jika Rafizi mahu memeriksa akaun bank di mana-mana negara, termasuk di Hong Kong, kononnya berjuta-juta dolar dimasukkan ke atas nama beliau sebagai wang sogokan berkaitan kes itu yang didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Beliau turut menjemput Rafizi, yang juga Pengarah Strategik PKR, ke pejabatnya pada bila-bila masa bagi mendapatkan surat kuasa jika mahu memeriksa akaun bank atau mana-mana institusi kewangan di mana-mana negara. "Saya juga menafikan dengan keras dakwaan yang disebarkan ke atas saya sejak sebulan yang lalu, dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua yang terbabit menyebarkan dakwaan tidak berasas sama sekali ke atas saya," tegas beliau. Hari ini The Malaysian Insider melaporkan Rafizi sebagai berkata PKR akan meminta kerjasama pihak berkuasa Hong Kong untuk menyiasat dakwaan salah laku Abdul Gani yang didedahkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim baru-baru ini. Pada 26 November Mat Zain dilaporkan mendakwa wujudnya sogokan wang yang menyebabkan kekalahan Malaysia dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih pada 2007. Pendedahan itu dilakukan dalam bentuk akuan bersumpah setebal 31 muka surat yang antara lain mendakwa salah laku Abdul Gani ketika mengendalikan kes itu. – Bernama, 16 Disember, 2013. -The Malaysian Insider

Monday 16 December 2013

Angola tidak iktiraf Islam: Benar atau palsu?


MINGGU lalu, negara Afrika Selatan, Angola mengundang kritikan dunia selepas kebanyakan media antarabangsa melaporkan negara itu mengambil keputusan mengharamkan Islam. Jika benar, maka negara tersebut menjadi negara pertama di dunia memutuskan untuk melarang perkembangan agama Islam dan komuniti Muslim di negara tersebut. Bagaimana kerajaan Angola berani mengambil keputusan luar biasa dan boleh mengharamkan agama kedua terbesar dunia di zaman moden ini? Selepas laporan itu tersebar, kerajaan mengeluarkan kenyataan negaranya tidak mengharamkan Islam tetapi belum mengharamkannya. Walaupun fakta itu mampu diputar belit namun secara logiknya, negara itu kini menjurus untuk mengurangkan pengaruh Islam. Ianya terbukti selepas lebih 60 masjid dirobohkan dan ratusan al-Quran dibakar. Kenyataan presiden, menteri Presiden Jose Edurado dos Santos berkata, ini adalah tahun terakhir pengaruh Islam di negaranya. “Islam perlu diharamkan kerana hanya terdapat satu peratus daripada 19 juta penduduk. Perkara ini sama seperti 194 mazhab lain yang telah diharamkan sebelum ini,” katanya. Menteri Kebudayaan Rosa Cruz e Silva pula berkata, masjid-masjid di negara ini sebahagian besarnya akan ditutup sehingga diberitahu kelak. Beliau menyifatkan Islam sebagai ‘mazhab’ yang akan diharamkan kerana bertentangan dengan adat dan budaya Angola. “Amalan Islam belum diluluskan Kementerian Kehakiman dan Hak Asasi Manusia dan masjid akan ditutup," katanya. Pengarah Kementerian Institut Kebangsaan Kebudayaan Hal Ehwal Agama Angola, Manuel Fernando bagaimanapun menafikan dakwaan itu. “Tiada peperangan di Angola terhadap Islam atau mana-mana agama lain. Tiada keputusan rasmi menyasarkan kemusnahan atau penutupan tempat ibadat dari mana-mana agama sekalipun,” katanya. Seorang duta Angola di Washington baru-baru ini turut menyangkal dakwaan amalan diskriminasi agama yang diamalkan di Angola. Kenyataan ICA Persatuan Masyarakat Islam Angola (ICA) melaporkan dalam satu kenyataan, umat Islam tidak boleh mengamalkan agama mereka secara bebas. Masjid, sekolah dan pusat komuniti Islam ditutup atau dirobohkan. Setakat ini, 78 masjid di Angola, kecuali di Luanda, telah ditutup. Laporan turut menyebut majoriti rakyat Angola terdiri daripada Roman Katolik dan mazhab Kristian yang lain melihat Islam sebagai negatif. Islam diisytiharkan sebagai ‘tidak diundang’ di Angola, dengan kata lain Islam dianggap tidak memenuhi nilai-nilai penduduk Angola. Terdapat wanita Islam dipukul kerana mereka memakai hijab sehingga mereka takut keluar rumah,” menurut laporan itu. Jelas daripada laporan ini, kebebasan agama Islam di Angola sedang dicabuli. Mereka tidak mampu untuk mengamalkan tuntutan agama tanpa campur tangan kerajaan. Seorang ahli masjid yang dirahsiakan namanya berkata, pihak berkuasa wilayah Huambo, selatan Angola diarahkan tutup sebuah masjid serta-merta dan ini merupakan masjid ke-60 yang ditutup di Angola. “Kami berasa marah dengan penutupan tempat-tempat ibadat ini,” katanya. Sementara itu, Mufti Mesir Shaqi Allam dalam satu kenyataan berkata, tindakan ini merupakan satu bentuk penganiayaan anti-Islam. “Mereka bukan sahaja mencetuskan provokasi umat Islam Angola, malah kepada lebih daripada 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya. Perlembagaan Islam pada hakikatnya tidak diiktiraf oleh Angola. Mengikut Perlembagaan negara itu, sesebuah pertubuhan agama perlu memohon pengiktirafan oleh kerajaan jika ingin menjalankan amalan dan aktiviti keagamaan. Status ini sekali gus membolehkan sesebuah agama itu membina sekolah dan tempat ibadat. Perlembagaan Angola menetapkan, sebuah kumpulan agama mesti mempunyai 100,000 ahli dan perlu ada di 12 daripada 18 wilayah. Bagaimanapun, mengikut laporan audit negara itu, hanya terdapat kira-kira 90,000 umat Islam daripada jumlah penduduk 19 juta orang. Maka itu, mereka gagal memenuhi syarat tersebut menyebabkan agama Islam tidak diiktiraf. Apa juga kemelut atau pendedahan, persoalannya terdapat dua kenyataan bercanggah. Apakah benar ajaran Islam diharamkan atau ianya sekadar tidak diiktiraf di Angola kerana pengamalnya hanya penduduk minoriti. -Sinar

Alahai dunia : Sejuta ‘like’ di FB sebagai mas kahwin


Sana’a: Seorang pemuda Yaman yang melamar kekasihnya terkejut apabila bakal bapa mentua menyuruhnya mendapatkan sejuta ‘like’ di Facebook (FB) sebagai mas kahwin. Salim Ayyash meminta lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Osama menulis perkataan ‘like’ sejuta kali selama sebulan dalam setiap tweet selain kepada semua rakannya di Facebook. Bagaimanapun, Osama diberitahu jumlah ‘like’ itu mungkin diberi ‘diskaun’ sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. Salim yang merupakan personaliti Facebook terkenal di wilayah Taizz turut memberi amaran akan memantau akaun laman sosial Osama itu. “Salim akan memantau aktiviti ‘online’ Osama bagi memastikan dia melaksanakannya. “Namun Salim berjanji akan membuat penilaian pada hujung bulan dan mungkin mengurangkan jumlah mas kahwin jika berpuas hati dengan kesungguhan Osama,” lapor akhbar Arab Saudi, Sada. - Agensi/Metro

Bongkar kubur nak jadi ‘Superman’


Cilacap: Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan. Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu itu. “Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya. Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu. Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi. “Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain. “Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya. RESI dan kain kafan yang dicurinya. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam. “Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api. “Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya. Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya. Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek. Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi. Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas. Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. - Agensi/Metro

Campak kekasih kerana takut bini


Rabat: Kerana terlalu takutkan isteri, seorang lelaki sanggup mencampakkan kekasihnya keluar dari tingkap apartmennya. Lelaki itu yang tinggal di tingkat satu apartmen berkenaan lebih rela mencampak teman wanita berusia 17 tahun itu kerana terlalu takut apabila isterinya pulang secara mengejut. “Dia terus mengangkat gadis itu, berlari ke arah tingkap dan mencampaknya ke luar,” kata pegawai polis. Lelaki itu baru membawa remaja berkenaan ke rumahnya namun terkejut apabila isterinya mengetuk pintu. Menurut polis, mangsa parah akibat terhumban ke dinding dan dikejarkan ke hospital. Menurut laporan akhbar, lelaki itu ditahan kerana mendatangkan bahaya kepada mangsa, namun tidak menceritakan reaksi si isteri terhadap kejadian itu. - Agensi/Metro

Friday 13 December 2013

TERLALU SEBAK UNTUK MENGUKIR KATA...


Sumber : di sini

Alahai dunia : Malang Nkrumah kemaluan dipatuk ular di tandas


Accra: Perbuatan yang biasa kadang-kadang menyebabkan kesan yang luar biasa. Seorang lelaki melalui pengalaman yang mungkin kekal dalam ingatan sepanjang hayatnya apabila kemaluannya dipatuk ular ketika dia sedang membuang air, lapor media semalam. Menurut media Ghana, Kwabena Nkrumah, 34, sedang menggunakan tandas awam di wilayah Ashanti apabila seekor ular “hitam dan besar” menjulur keluar dari bawah dan mematuk zakarnya. Nkrumah menyedari dia diserang selepas mengalami kesakitan melampau dan mendakwa hampir pitam. “Saya lihat ke bawah, ular itu bersedia untuk mematuk lagi. “Saya pun terus keluar melarikan diri untuk mendapatkan bantuan,” katanya. Bagaimanapun, jeritan lelaki itu menyebabkan keadaan panik dengan sesetengah pengguna tandas turut keluar dalam keadaan terburu-buru. Nkrumah kemudian dirawat di hospital tempatan sebelum dibenarkan pulang. Insiden itu berlaku hanya beberapa bulan selepas media melaporkan bahawa bomoh di Swaziland dilarang terbang dengan penyapu mereka melebihi ketinggian 150 meter di dara. - Agensi/Metro

Dunia oh dunia: Empat generasi hidup bergelumang noda


Wanita pakai purdah enggan hadir ke mahkamah


PARIS 12 Dis. - Seorang wanita beragama Islam di sini semalam, membuat keputusan untuk tidak menghadiri prosiding sebutan kes hari pertama selepas dia didakwa atas kesalahan memakai purdah pada Julai lalu. Cassandra Berlin, 20, enggan menghadiri prosiding tersebut kerana dia tidak mahu dilihat sebagai 'simbol keislaman melampau'. Berlin ditahan polis di Trappes bersama suaminya, Michael Khiri, selepas dia dikesan memakai purdah. Dia turut didakwa menghina anggota polis yang menahannya apabila dia menyuruh mereka diam, namun menafikan tuduhan mengeluarkan kenyataan 'Allah SWT akan menghukum anda'. Suaminya pula dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama tiga bulan kerana cuba menghalang Berlin daripada ditahan polis. Kes penahanannya mencetuskan tunjuk perasaan oleh penduduk tempatan, terutamanya di Trappes yang menentang undang-undang larangan pemakaian purdah yang dikuat kuasakan pada 2011. Sehubungan itu, peguam bela Berlin, Philippe Bataille mencabar Perlembagaan Perancis untuk menggugurkan undang-undang tersebut yang dianggap menindas penduduk Islam. "Larangan itu bersifat diskriminasi, tidak mematuhi Perlembagaan dan menentang prinsip Republik Perancis," katanya kepada sebuah mahkamah di Versailles, di barat bandar raya ini. Kumpulan ahli politik konservatif mendakwa enam juta penduduk Islam di Perancis kini cuba mengubah norma asal di negara ini. - AGENSI/Utusan

Thursday 12 December 2013

Jurubahasa temberang


Johannesburg: Seorang jurubahasa palsu menimbulkan kemarahan ketika upacara peringatan pemimpin antiaparteid Nelson Mandela, malah dilihat ‘merepek’ apabila menggerakkan tangannya kononnya bagi menterjemahkan ucapan pemimpin dunia kepada bahasa isyarat. DeafSA Afrika Selatan semalam mengecam kehadiran lelaki tidak dikenali itu ketika upcara peringatan yang turut dihadiri Presiden Jacob Zuma dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Lelaki berpakaian kemas dan mempunyai pas keselamatan rasmi melakukan beberapa isyarat tangan yang tidak bermakna ketika pemimpin dunia memberi ucapan di hadapan 95,000 penonton di stadium Soccer City. “Dia sekadar membuat isyarat namun tidak menggunakan tatabahasa dan struktur betul, malah mencipta isyarat berkenaan sesuka hatinya. PENTERJEMAH bahasa isyarat palsu (kanan) dilihat membuat isyarat yang dicipta sendiri ketika Obama menyampaikan ucapan. “Dari segi ketepatan, memang kosong peratus. “Perkara paling asas pun salah,” kata penterjemah rasmi DeafSA bahasa isyarat Afrika Selatan Delphin Hlungwane. Malah, katanya, ‘penterjemah’ itu gagal menggunakan memek muka sesuai bagi menggambarkan reaksi negatif di stadium itu terhadap Zuma khususnya bagi penonton televisyen. “Memek muka memainkan peranan penting walaupun isyarat diberikan tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. “Dia seperti tidak pedulikannya pun,” katanya. Polis kini memburu lelaki misteri itu. - Reuters/Metro

Mamah kening bapa


Colorado: Seorang lelaki didakwa atas tuduhan melakukan serangan ganas tahap kedua selepas dia menggigit kening bapanya hingga putus dalam satu perkelahian. Kejadian mengerikan itu berlaku minggu lalu ketika suspek, Joel Salmeron-Ciprian berada di tempat duduk belakang trak bapanya bersama-sama anggota keluarga lain, dalam perjalanan pulang daripada menghadiri satu majlis perkahwinan. Menurut polis, Salmeron-Ciprian yang mabuk mula menceceh dan menggesa bapanya menghentikan kenderaan di tepi jalan kira-kira jam 7.45 malam. Timbalan polis King county, berkata apabila bapanya tidak menghiraukannya, Salmeron-Ciprian menolak bapanya dari belakang sebelum kedua-dua beranak itu keluar dari trak dan bergaduh. Akhbar Seattle Post Intelligencer melaporkan apabila polis yang dihubungi tiba di tempat kejadian, mereka mendapati lelaki berusia 30 tahun itu dihempap bapanya yang berlumuran darah di muka. Menurut polis, Salmeron-Ciprian mengunyah kening kanan bapanya hingga putus ketika dia bergelut dengan mangsa. Polis terpaksa menggunakan ‘stun gun’ untuk menghentikan pergelutan itu. Bapanya yang cedera segera dikejarkan ke pusat perubatan Harborview untuk rawatan. Sementara itu, suspek dipenjarakan kerana cuba menendang alat sulit polis dan mengancam untuk menggigit kening anggota itu. Salmeron-Ciprian juga ditahan dengan ikat jamin AS$100,000 (RM321,649) ekoran kejadian itu. - AFP/Metro

Wednesday 11 December 2013

Pengasas implan payudara silikon dijel


Marseille (Perancis): Mahkamah memutuskan bahawa ahli perniagaan Perancis yang menjual puluhan ribu implan payudara silikon di seluruh dunia bersalah kerana menipu. Dengan puluhan wanita hadir dalam perbicaraan, tribunal di Marseille menjatuhkan Jean-Claude Mas, pengasas Poly Implant Prothese (PIP) hukuman maksimum empat tahun penjara di atas kesalahannya itu. Dia juga diarah membayar denda sebanyak 75,000 euro (RM330,260). Peguamnya Yves Haddad berkata, Mas bercadang merayu terhadap keputusan itu. Bagaimanapun, dalam keputusan yang bakal membabitkan ribuan wanita di seluruh dunia yang mahu menuntut bayaran pampasan, mahkamah juga memutuskan yang syarikat menguji produk Jerman, TUeV Rheinland yang meluluskan PIP untuk pensijilan, turut menjadi mangsa penipuan Mas. Tidak diketahui bagaimana keputusan semalam memberi kesan kepada keputusan mMahkamah komersial Toulon bulan lalu mengarahkan TUeV membayar kerugian kepada lebih 1,600 wanita dan enam pengedar implan itu. -Metro

Bunuh diri dipaksa beli-belah


Beijing: Seorang lelaki membunuh diri dengan terjun dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah selepas bertengkar dengan teman wanitanya yang mendesak agar mereka terus membeli-belah. Rakaman kamera CCTV menunjukkan Tao Hsiao, 38, menemani teman wanitanya membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Xuzhou, Jiangsu, timur China. Selepas lima jam Tao yang keletihan mengajak teman wanitanya pulang. Saksi berkata, Tao dikatakan memberitahu teman wanitanya yang barang dibeli sudah mencukupi dan mereka sudah membawa terlalu banyak beg. Bagaimanapun, wanita terbabit mendesak agar mereka pergi ke sebuah lagi kedai kasut yang menawarkan potongan harga. “Mangsa memberitahu yang wanita itu sudah mempunyai banyak kasut, lebih banyak daripada yang boleh dipakainya sepanjang hayat dan tiada guna membeli sepasang lagi. “Wanita terbabit mula menjerit dan menuduhnya kedekut serta merosakkan semangat Krismas. Mereka r bergaduh besar,” kata saksi berkenaan. Pergaduhan terhenti apabila Tao menghempaskan beg beli-belah mereka ke lantai dan terus terjun dari balkoni. Dia jatuh di atas pokok Krismas sebelum jatuh ke lantai menyebabkan orang ramai yang terkejut bertempiaran lari kerana panik. Petugas kecemasan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian tetapi mendapati Tao sudah tidak bernyawa. Jurucakap pusat beli-belah berkata, mayat Tao dialihkan dengan segera. “Mangsa jatuh di satu daripada kedai di tingkat bawah sebelum jatuh ke lantai. “Ini adalah insiden yang tragik tetapi tempoh waktu ini mungkin detik sukar bagi sesetengah orang,” katanya, semalam.- Agensi/Metro

Usia 60 tahun tak halang Wan Maimunah nikah lagi


MENCECAH usia 60 tahun, selepas sekian lama hidup menjanda, pelakon Wan Maimunah Wan Abdul Aziz bakal bernikah lagi. Pelakon yang terkenal dengan watak-watak sedih dalam drama itu sendiri mengesahkan bahawa dirinya akan kembali mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Johor, berusia tujuh tahun lebih muda daripada beliau. "“Kami mula berkenalan kira-kira dua bulan lalu sebelum bersetuju untuk berkahwin tidak berapa lama selepas perkenalan itu. Saya tidak pernah menjangka akan kembali bergelar isteri apatah lagi pada usia seperti ini, namun kita tidak dapat melawan ketentuan takdir ALLAH," katanya dipetik dari sebuah portal. "“Dalam waktu yang sama, saya turut bersyukur dan terharu kerana masih ada individu yang bersedia menjadi tempat berlindung dan menumpang kasih dan sayang," tambahnya lagi. Wan Maimunah bakal bernikah pada 13 Disember ini di sebuah hotel di Johor Bahru, selepas Maghrib. Sementara majlis resepsi ringkas akan diadakan di Pasir Gudang pada keesokan harinya. Menurut Wan Maimunah, semenjak berita dia bakal berkahwin diketahui umum, tidak kurang ramai pihak yang menghubunginya dan melemparkan kata-kata negatif berhubung perancangannya itu. “"Sesungguhnya saya amat sedih apabila ada suara-suara yang melemparkan kata-kata kurang manis seperti saya sudah tua namun masih gatal dan sebagainya. “"Sejujurnya saya bersetuju dengan perkahwinan ini bukan disebabkan hawa nafsu atau harta dunia. Tetapi saya mencari teman hidup, sekurang-kurangnya saya mempunyai peneman hidup yang dapat berkongsi waktu susah dan senang. Walau apa tohmahan masyarakat sekeliling, saya berharap mereka di luar sana dan peminat akan mendoakan kebahagiaan saya," ujarnya. Wan Maimunah pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Puaka Tebing Biru, Anak Mami The Movie, Jimi Asmara dan Wanita Bertudung Hitam. Pelakon berasal dari Johor Bharu ini merupakan pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk 5 tahun berturut-turut pada edisi 1992 - 1996/1997. Dia menceburi bidang lakonan sejak 1972 dan merupakan pelakon serba boleh yang mampu membawakan apa sahaja watak yang ditawarkan padanya. Selain watak komedi, Wan Maimunah juga lebih terkenal dengan watak air mata yang paling melekat di mata peminatnya. -Sinar

Tuesday 10 December 2013

Pesan makanan dapat beg berisi ribuan dolar


Nashville: Sepasang suami isteri yang memesan makanan segera melalui kaunter pandu lalu mendapat lebih daripada apa yang diingini - satu beg berisi wang. Menurut media wang bernilai ribuan dolar itu disiapkan untuk dihantar ke bank tetapi diletakkan dalam beg kertas yang digunakan untuk pelanggan berhampiran kaunter pesanan pagi semalam. Seorang petugas secara tidak sengaja menyerahkan beg berkenaan kepada pasangan Greg dan Stacye Terry yang membuat pesanan sarapan. Namun petugas itu menyedari kesilapan berkenaan sejurus kemudian dan mengikut pasangan terbabit ke rumah mereka yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu Stacye berkata, suaminya terkejut apabila membuka beg kertas berkenaan dan mendapati ia dipenuhi wang. “Saya terfikir untuk melarikan wang itu tetapi menyedari ia tidak wajar,” katanya. Pasangan itu kemudian mengambil gambar wang berkenaan sebelum menyerahkannya kembali kepada pekerja restoran terbabit. -Metro

Friday 6 December 2013

Campak budak 18 bulan dari tingkat 25


BEIJING - CHINA. Satu rakaman memaparkan seorang pelajar perempuan menyerang seorang kanak-kanak lelaki di dalam lif dan mencampakkannya ke bawah dari beranda di tingkat 25 memeranjatkan seluruh negara. Rakaman video pengawasan itu yang menunjukkan pelajar perempuan terbabit memukul dengan kejam kanak-kanak berkenaan selepas menghempas dan menendangnya beberapa kali di dalam lif tersebar luas dalam laman sosial mirip Twitter China, Sina Weibo, mencetuskan perdebatan hangat melibatkan lebih 310,000 perbincangan dalam mikroblog. Portal berita dalam talian BjNews melaporkan insiden itu berlaku pada 25 November di bandaraya Chongqing, barat daya China, apabila nenek kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan itu yang digelar 'Yuanyuan' keluar dari lif dengan membawa basikal cucunya, pintu lif tertutup dan meninggalkan Yuanyuan bersama pelajar perempuan berumur 10 tahun itu. Rakaman itu menunjukkan selepas menyerang anak kecil itu dengan kejam, lif tiba di tingkat 25, pelajar perempuan mengangkat Yuanyuan dan mencampakkannya keluar. Setelah mendapati lif berhenti di tingkat 25, si nenek yang amat bimbang berkata dia segera bergegas ke tingkat berkenaan dan berjumpa pelajar perempuan itu. Bagaimanapun, pelajar itu berkata dia tidak nampak kanak-kanak itu dan mendakwa seseorang telah membawanya pergi, tetapi tidak ingat sama ada wanita atau lelaki yang membawanya, kata nenek dan menambah pelajar itu malah menawarkan diri untuk mencari cucunya. "Dalam masa lima minit, Yuanyuan terbaring berlumuran darah di atas tanah di luar bangunan," kata nenek itu. Kanak-kanak itu dilaporkan mengalami pendarahan paru-paru dan retak tempurung kepala. Keadaannya stabil dan diletakkan di bawah pemerhatian dalam unit rawatan rapi di sebuah hospital. Polis berkata kes itu masih disiasat. Sungguhpun menerima 58,000 yuan (US$9,464) daripada keluarga pelajar perempuan itu, ibu mangsa berkata pada Rabu dia akan memfailkan saman terhadap keluarga pelajar berkenaan. - Bernama/Sinar

Mengembara untuk beli kambing


Penghidap barah limfoma, Wang Xinmin, sanggup mengembara beribu-ribu kilometer untuk membeli kambing berkaki dua di daerah Zhoukou, wilayah Henan, China, baru-baru ini. - AGENSI BEIJING 5 Dis. - Seorang pesakit kanser dari wilayah Anhui di China, sanggup mengembara beribu-ribu kilometer ke wilayah Henan semata-mata kerana mahu membeli seekor kambing berkaki dua yang dipaparkan sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini. Wang Xinmin, penghidap barah limfoma dari daerah Fuyang membuat keputusan untuk membeli haiwan dari daerah Zhoukou itu selepas dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kambing tersebut untuk terus hidup walaupun cacat. Xinmin, 31, membayar sebanyak 4,500 yuan (RM2,343) kepada pemilik kambing itu yang mampu berjalan sendiri selepas dilahirkan hanya dengan dua kaki di bahagian belakangnya. "Bila saya melihat laporan tentang kambing itu, saya rasa, saya mempunyai tanggungjawab untuk melindunginya kerana haiwan itu menunjukkan semangat yang bersungguh-sungguh untuk terus hidup. "Saya mahu membesarkan kambing itu kerana semangatnya yang kuat merupakan 'penawar' terbaik kepada saya,'' kata anak sulung daripada lima beradik itu yang kini mempunyai sebuah syarikat yang diusahakan bersama seorang rakannya. Menurut petani yang memelihara kambing itu, Zhao Jinfeng, haiwan tersebut dilahirkan pada Ogos lalu dan mempunyai empat beradik. Namun katanya, tiga daripada anak kambing itu dilahirkan dalam keadaan sempurna dan sihat. Katanya lagi, sebulan sejurus dilahirkan, kambing yang mempunyai dua kaki itu mula belajar untuk berjalan sendiri dengan dua kaki belakangnya. Menurut doktor haiwan, kecacatan yang dialami kambing itu adalah disebabkan oleh faktor mutasi genetik. - AGENSI/Utusan

Thursday 5 December 2013

Tuntut cimpanzi status 'manusia'


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Aktivis haiwan Amerika Syarikat (AS) menuntut mahkamah supaya memberi status ‘manusia’ terhadap cimpanzi. Ketua Pertubuhan Hak Haiwan, Steven Wise memohon supaya cimpanzi digelar Tommy diberikan status tersebut dan berhak diberi kebebasan ‘fundamental.’ “Kami mohon mahkamah memberikan hak otonomi dan haiwan itu berhak menentukan hidupnya sendiri,” katanya. Menurutnya, tuntutan itu dikemukakan lengkap dengan bukti saintis. Sementara itu, pemilik Pusat Perlindungan Gloversville, Patrick Lavery berkata, Tommy ditempatkan di sebuah bilik, lengkap dengan permainan dan rutin hidupnya menyerupai manusia. “Tuntutan itu tidak munasabah dan perlu dikaji. Amat mustahil jika cimpanzi diberi status hak menyerupai manusia,” katanya dipetik BBC.-Sinar

Rasulullah, Khadijah nikah pada bulan Safar


Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Peristiwa besar dalam sejarah Islam bukti tanggapan masyarakat salah Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Islam yang bermaksud kosong. Sudah menjadi kebiasaan orang Arab, pada bulan Safar, mereka akan meninggalkan rumah dan kampung halaman kerana melaksanakan tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian dan berdagang. Bulan Safar juga mencatatkan pelbagai peristiwa besar penting yang sewajarnya menjadi bahan renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian. Antara peristiwa penting itu ialah pernikahan Rasulullah dengan Khadijah binti Khuwailid. “ Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis.” (Riwayat Bukhari) Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul. Safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun ke-2 hijrah. Peperangan pertama disertai Rasulullah adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran. Seterusnya, peperangan Bi’r Ma’unah juga berlaku pada tahun ke-4 hijrah di bawah pimpinan al-Munzir bin ‘Amr As Sa’idi yang ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar agama Islam serta al-Quran kepada Bani ‘Amir. Peperangan ini disertai 40 sahabat Rasulullah SAW. Tragedi al-Raji’ Selain itu, bulan Safar mencatatkan tragedi al-Raji’, peristiwa membabitkan tujuh sahabat Baginda yang diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah, tetapi mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah). Antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib bin ‘Adi, Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawiy, ‘Asim bin Thabit dan Zaid bin al-Dathanah. Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin ‘Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di situ. Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah. Pembukaan Khaibar (kubu Yahudi) juga berlaku pada Safar tahun ke-7 hijrah yang turut disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Pada peperangan itu, seramai 15 sahabat gugur syahid, manakala 73 Yahudi terbunuh. Demikianlah antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan Safar dirakamkan oleh sejarawan untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam. Walaupun begitu, masih ada sebahagian umat Islam terutama yang lemah akidah, mempunyai prasangka buruk terhadap bulan Safar. Lebih malang lagi, mereka percaya pada bulan ini Allah SWT akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa saja yang dikehendaki Allah SWT. Justeru, berdasarkan kepercayaan karut itu, ada umat Islam yang telah menulis ayat wifiq pada kertas dan pinggan mangkuk yang kemudiannya diletakkan di dalam tempayan, kolam, perigi atau seumpamanya untuk diminum serta bermandi manda untuk mengelak bala. Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis.” (Riwayat Bukhari) Pada masa sama, Rasulullah SAW juga berpesan kepada setiap Muslim supaya mengambil langkah berwaspada ketika berhadapan musibah dan jangan meletakkan diri ke kancah bahaya atau kemusnahan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Belanjakanlah (apa yang ada padamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195) Kepercayaan Safar, bulan nahas Maka jelaskan yang dipercayai dan diamalkan sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu, burung sial dan seumpamanya adalah kepercayaan karut yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ada sesetengah orang tua yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau keramaian pada bulan Safar kerana dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Kepercayaan itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51) -BH

Padah pasangan bosan di ranjang


Cairns (Queensland): Seorang lelaki Australia yang dibicarakan kerana membunuh isterinya mengadu wanita terbabit sangat membosankan ketika di ranjang dan menjadi tukang masak yang sangat teruk. Klaus Andres, 70, sebelum ini mengakui melarutkan mayat Li Ping Cao, 42, dalam tong sampah yang dipenuhi dengan asid. Andres menghadapi perbicaraan kerana dituduh membunuh wanita kelahiran China itu yang menjadi isterinya selama lima tahun dalam satu pembunuhan di kediaman mereka di pinggir Cairns, akhir Oktober 2011. Dia mengaku bersalah menyebabkan kematian Li Ping dan cuba melupuskan mayat mangsa tetapi berkata, kematian isterinya adalah satu kemalangan. Li Ping dipercayai ditolak ke lantai oleh Andres selepas mangsa menikam tangan suaminya dengan garfu. Selepas Li Ping mati, Andres membawa 60 liter asid dan melarutkan mayat isterinya dengan bahan itu di dalam tong sampah. Saksi, John Gunner yang juga suami kepada kawan kekasih Andres minggu ini memberitahu mahkamah tertuduh ada mengadu mengenai isterinya. Gunner bertemu Andres pada Ogos 2011, dua bulan sebelum kematian Li Ping. Andres pula bertemu kekasihnya awal tahun itu ketika isterinya berada di China menziarahi saudara-maranya. “Li Ping bersikap dingin kepada suaminya, tidak seperti kekasih warga Thai Andres,” katanya dalam kenyataan di mahkamah. Gunner juga memberitahu mahkamah yang Andres menggelar Li Ping sebagai tukang masak yang teruk dan dia mahu kekasihnya berpindah ke Australia. Ketika pembunuhan, jiran tetangga memberitahu berita tempatan bahawa mereka terdengar pasangan itu bertengkar sebelum kematian Li Ping. - Agensi/Kosmo

Wednesday 4 December 2013

Lelaki tabur wang kertas ditangkap


PULUHAN keping wang kertas bertaburan di atas pentas ketika sebuah kumpulan membuat persembahan di pasar raya Mall of America di Bloomington pada Jumaat lalu. Gambar kanan Vorobyov. BLOOMINGTON, Amerika Syarikat - Seorang lelaki, Serge Vorobyov menaburkan puluhan keping wang kertas berjumlah AS$1,000 (RM3,215) dari tingkat empat pasar raya Mall of America di sini pada Jumaat lalu. Dia kemudian ditangkap polis dan didakwa melakukan perbuatan yang tidak senonoh kerana tindakannya itu boleh menyebabkan orang ramai cedera kerana merebut wang tersebut. Vorobyov turut menyiarkan rakaman video yang menunjukkan dia membuang wang itu. Lelaki berkenaan memberitahu di laman sosial itu bahawa dia kini dilanda krisis perceraian dengan isterinya menyebabkan perbuatan tersebut dilakukan. Vorobyov menganggap nasibnya pada tahun depan akan bertambah baik selepas dia membuang wang itu ketika sebuah band sedang membuat persembahan. Lelaki itu yang berusia 29 tahun menyatakan tujuannya berbuat demikian untuk mewujudkan perasaan gembira dalam kalangan orang ramai. Selain bercerai, dia juga gagal dalam perniagaan mengangkut kereta dengan trak. Dia turut menyatakan perasaan gembiranya dengan perbuatannya itu. Ketika menceritakan tentang perceraian itu, lelaki berkenaan memberitahu: "Saya tidak mempunyai banyak wang untuk membeli banyak barang. Saya kini mengharungi perceraian yang dahsyat. Dia (isterinya) turut mengambil kucing kami. Dia enggan memberitahu di mana kucing itu kini." Polis berkata, Vorobyov melakukan perbuatan itu sebagai salah satu cara untuk memujuk bekas isterinya kembali kepadanya. -Agensi/Kosmo

Rabecca Terkejut Terima Wang Saman Erma Dalam Bentuk Syiling 5 Sen


Oleh FERIDE HIKMET ATAK Rabecca telah memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200. PETALING JAYA: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam yang menang saman terhadap Erma Fatima terkejut apabila menerima wang tuntutannya sebanyak RM11,200 dalam bentuk wang syiling 5 sen. Rabecca, 23, berkata, pihak peguam Erma bersama beberapa pembantu menyerahkan wang tuntutan berkenaan di pejabat peguamnya, Nordin Othman pada petang Selasa yang dimasukkan dalam beberapa bungkusan termasuk sebuah kotak yang terdapat Al-Quran. "Apa maksudnya itu apabila dia (Erma) membayar wang saman dengan cara begitu? Adakah dia masih tidak berpuas hati dengan kekalahannya di mahkamah? Kenapa dia perlu menghantar kitab Al-Quran kepada saya seolah-olah ingin sindir saya?," katanya yang menghubungi mStar Online di sini pada Selasa. Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200 (40 peratus berserta lima peratus faedah) daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya. Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman pada 23 Julai 2013. Foto beberapa bungkusan wang 5 sen yang diterima rabecca daripada pihak Erma. Dejavu Di Kinabalu diterbitkan oleh Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd sebanyak 28 episod dan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, bermula 18 Jun hingga 31 Julai 2012. Tambah Rabecca, sekiranya Erma berbuat demikian kerana ingin menimbulkan kemarahannya, perkara itu tidak mungkin akan berlaku. Sebaliknya, dia akan memulangkan wang tersebut kepada Erma dan meminta penerbit dan pengarah itu membayar wang tuntutannya dengan cara berhemah. Dalam pada itu, Rabecca mendakwa dia terkejut selepas mendapat tahu Erma cuba mempengaruhi pihak atasan sebuah organisasi media agar tidak menyiarkan apa-apa berita yang mengaitkan mereka berdua berhubung saman berkenaan. "Saya tak faham kenapa dia perlu berjumpa dengan pihak atasan media tersebut meminta mereka tidak mengeluarkan berita tentang hal berhubung kekalahannya di mahkamah? "Biarlah... apa tindakannya sekalipun, ia tidak akan menjejaskan saya," tegasnya.

Tuesday 3 December 2013

Cucu Kamariah pilih Islam


KUALA PILAH – Biarpun masih berusia 13 tahun, namun kerana kagum mendorong Siti Nursuzana memeluk Islam sebagai pegangan hidupnya. Lebih bermakna apabila hasratnya mendapat restu kedua orang tua, P.Vijaya dan K.Murugunadan, serta sokongan adik-beradik, sanak saudara. Siti Nursuzana yang sebelum ini dikenali sebagai M.Puvana mendapat hidayah ALLAH SWT sejak menziarahi neneknya dan terdetik di hatinya untuk mendalami Islam secara serius dengan mengikut jejak langkah neneknya. “Saya memeluk agama Islam kerana kerelaan hati, bukan atas paksaan,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan (YKSNS), selepas mengucap dua kalimah Syahadah tepat jam 9 malam, Sabtu lalu. Bercerita mengenai salasilah keluarga, Siti Nursuzana mempunyai seorang nenek dikenali sebagai Kamariah Sarip, 82, yang berkahwin dengan datuknya berketurunan India iaitu Kandasamy. Sebelum itu, pada awal 40-an, Kamariah telah berkahwin dengan seorang lelaki India Muslim bernama Kamarudin Abdullah dan dikurniakan empat orang anak yang tinggal di sebuah Estet di Pagoh, Johor. Namun entah mana silapnya, Kamariah telah meninggalkan anak-anaknya, kemudian mendirikan rumah tangga bersama Kandasamy dengan dikurniakan tujuh orang anak hasil perkahwinan mereka. Cari adik beradik, sanak saudara Menurut anak saudara Kamariah, Norizan Mohd Nor, 53, pertemuan dia bersama ibu saudaranya (Kamariah) bermula pada awal tahun ini selepas ibu saudaranya di masukkan ke hospital di Kajang, Selangor. “Sebelum ini, Kamariah telah menghilang diri lebih dari 30 tahun selepas berkahwin dengan Kandasamy dan difahamkan, perkahwinan mereka tidak berlandaskan agama Islam. “Hinggalah, dikurniakan anak-anak beragama Hindu. Namun pada akhir 2008, Kamariah telah bermimpi ditemukan oleh ibu bapanya serta adik-beradiknya. "Menurut Kamariah, dalam mimpinya itu, kedua ibu bapanya marah kerana tindakannya berjauhan dengan keluarga dan meminta dia kembali memeluk Islam semula serta mencari sanak saudara se-Islam,” katanya. Atas dorongan itu katanya, Kamariah pulang ke kampung halaman di Rantau Panjang, Port Dickson untuk mencari adik-beradik dan sanak-saudaranya. “Namun kerana faktor masa, rumah pusaka sudah tiada dan adik-beradik juga telah merantau. Kamariah hanya dimaklumkan oleh jiran, bahawa sanak saudara berada di sekitar Jempol. “Usaha untuk mencari sanak-saudara menemui jalan buntu kerana kekurangan maklumat sehinggalah berlarutan beberapa tahun,” katanya. Tak sangka ibu saudara masih hidup Menurut Norizan, selepas itu, dengan bantuan Jabatan Mufti negeri, Kamariah di bawa ke YKSNS pada penghujung 2008 untuk mendalami semula agama Islam dan mengucap kembali dua kalimah Syahadah. “Selepas setahun berada di YKSNS, anak-anaknya ingin menjaga ibunya dan berjanji akan menjaga makan minum ibunya kerana memahami ibunya telah memeluk Islam semula. “Dalam tempoh itu juga, Kamariah dimasukkan ke Hospital Kajang dan ditempatkan di wad rawatan rapi (ICU) kerana demam panas. “Ekoran keadaan dirinya tidak stabil dan sering meracau, Kamariah sering menyebut nama adik-beradiknya. Akhirnya doktor meminta anak-anaknya mencari ahli keluarga asal Kamariah sebelum menghubungi semula YKSNS untuk membantu mencari keluarga asal Kamariah dipercayai masih berada di sini,” katanya. Susulan itu kata Norizan, pihak YKSNS telah berjaya menjejaki anak buah Kamariah, Idris Kasim, 56. “Suami (Idris) saya telah dihubungi pihak YKSNS menyatakan terdapat seorang perempuan bernama Kamariah Sarip ingin bertemu saudaranya. “Selepas menerima panggilan, suami saya tidak menjangka ibu saudaranya masih hidup kerana lebih 30 tahun dia tidak pernah berjumpa dengan ibu saudaranya itu. “Alhamdulillah, kami bersyukur ditemukan semula dengannya. Malah, kami sangat gembira kerana dia telah memeluk Islam semula," katanya. Hubungan masih erat biarpun lain agama Sejurus pertemuan tersebut, anak perempuan Kamariah sering datang ke rumahnya di Felda Raja Alias 4 untuk bertemu ibunya. “Selepas keluar dari Hospital Kajang, Kamariah telah duduk bersama kami tetapi hubungannya dengan anak-anak tetap seperti biasa kerana mereka sering datang ke sini. Malah hubungan kami lebih erat meskipun berlainan agama,” katanya. Katanya. dia bersyukur kerana Siti Nursuzana memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya. “Buat masa ini, Siti Nursuzana akan tinggal di YKSNS untuk mendalami ilmu agama Islam sebelum dia sendiri membuat keputusan sama ada mahu tinggal bersama kami di Felda Raja Alias 4, atau terus tinggal di YKSNS,” katanya. Sementara itu, Kamariah yang fasih berbahasa Tamil berkata, hati kecilnya masih menaruh harapan untuk bertemu dengan empat orang anak iaitu Khatijah, Rokiah, Ariffin dan Baharudin iaitu anak-anak hasil perkahwinan pertamanya. “Wan sangat merindui mereka. Puas sudah wan mencari mereka tetapi tetap tidak bertemu. Wan tidak tahu di mana mereka berada sekarang. “Wan harap, sekiranya ALLAH dipanjangkan usia wan, wan mahu bertemu dengan anak-anak sebelum mata terpejam untuk selamanya,” katanya gembira dapat bertemu dengan adik-beradiknya serta sanak saudara Melayu. Bagaimanapun, suami kedua-dua Kamariah telah meninggal dunia. -sinar

Kafe Jepun benarkan lelaki raba wanita?


Kafe biasanya menjual kopi dan manisan, tetapi kali ini di Jepun, lain pula “manisan” yang ditawarkan. Soineya, kafe yang dimaksudkan terletak di bandaraya Tokyo, menawarkan perkhidmatan memeluk pada harga USD80 untuk sejam. Nampaknya pakcik tua gatal pasti sukakan kafe ini kerana bukan itu sahaja yang ditawarkan. Menurut The Real Singapore, pelanggan boleh memilih gadis yang ingin “dipeluk” untuk bayaran tambahan. Perkhidmatan “memeluk” ini boleh dilanggan pada minima 20 minit sehinggalah 10 jam, namun seperti “perniagaan” biasa pasti dikenakan caj tambahan. Gadis tersebut turut berikan perkhidmatan urutan kaki selama 3 minit (dan anda perlulah bayar USD13) dan akan tidur dalam pangkuan pelanggan pada bayaran USD26. Nampaknya lebih ramai pakcik tua gatal akan mengunjungi Jepun selepas ini. -Atiqa Juana

Monday 2 December 2013

Tangisan Muslim Rohingya, Malaysia terus membisu


SATU Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah diadakan akhir tahun lepas bagi mencapai kata sepakat berhubung isu penghapusan etnik Muslim Rohingyadi Myanmar. Hasil dari perhimpunan tersebut, satu resolusi telah berjaya dipersetujui dengan menggesa kerajaan Myanmar mengambil tindakan memperbaiki situasi dengan melindungi hak asasi manusia dan memberi hak kewarganegaraan masyarakat Islam. Namun, reaksi cukup negatif telah ditunjukkan oleh masyarakat Buddha Rakhine. Di saat Muslim Rohingya diperintah berkurung, mereka telah menyerang dengan ganas Pasaraya Utama Maungdaw di Arakan dengan membakar tujuh kedai yang dimiliki oleh orang Islam dan membuat rompakan sebanyak 12 kedai. Mereka juga telah membakar sebuah masjid tertua di Arakan yang telah didirikan dari abad ke-19 yang dikenali sebagai ‘Hakim Ali’. Pada bulan November 2013, satu delegasi OIC telah membuat lawatan ke Myanmar bagi meninjau nasib Muslim Rohingya yang terpaksa hidup dalam keadaan terancam. Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dan anggota delegasi yang lain telah menghabiskan masa selama empat hari berhasrat untuk bertemu dengan presiden, menteri, kumpulan agama dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tetapi, Aung San Suu Kyi enggan menemui mereka. Reaksi dari lawatan delegasi OIC tersebut, satu demonstrasi telahdilancarkan oleh puak sami-sami Buddha esktrimis sebagai tanda protes dan bantahan. Demonstrasi yang telah mendapat cop ‘halal’ dari pihak berkuasa kerajaan Myanmar dengan jelas membawa mesej ingin mengisyiharkan perang ke atas Islam dan kaum Muslimin. Tidak cukup dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai, membakar hidup-hidup mangsa, membakar masjid, memusnahkan kubur, menyeksa kanak-kanak dan merogol gadis-gadis tanpa sifat kemanusiaan, mereka dengan berani mengangkat sepanduk yang membawa mesej melabelkan Islam sebagai agama haiwan. Dengan jelas, mereka mahu melenyapkan Islam di bumi Myanmar dengan meneruskan penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam. Di Malaysia, satu tindakan diambil diperingkat NGO dengan menubuhkan Koaliasi Menentang Ekstrimisme Agama di Myanmar (Coaliation Against Extremism in Myanmar-CAREM) bagi mengutuk sekerasnya terhadap penghinaan Islam yang dipamerkan dalam demonstrasi tersebut. Mohd Azmi Abdul Hamid bertindak sebagai Koordinator CAREM telah mendesak semua penganut agama di dunia yang cintakan kedamaian, keharmonian dan saling hormat antara agama supaya menyatakan sikap dan pendirian mengecam tindakan kelompok esktrimis Buddha di Myanmar. Tindakan kejam yang dilakukan oleh esktrimis Buddha telah melanggar Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB apabila bertindak melakukan keganasan antara agama. Dalai Lama sebagai ketua kerohanian penganut Buddha seluruh dunia perlu bersuara agar kerajaan Myanmar menghentikan penindasan terhadap penganut agama lain. Anggota negara-negara Asean juga tidak boleh berdiam diri dengan sikap ‘lepas tangan’dan membisu dengan terusmemberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan polisi penindasan terhadap agama lain. Jika Myanmar terus bersikap ekstrim dan menjadikan masyarakat Islam Rohingya dalam suasana ketakutan, maka kedudukan Myanmar sebagai Pengerusi Asean 2014 juga perlu dikaji semula. Negara-negara OIC juga perlu sebulat suara dalam menyatakan bantahan terhadap kebiadapan ekstrimis Buddha yang secara hakikatnya disokong oleh kerajaan Myanmar. OIC perlu mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar dan menuntut supaya semua kedutaan Myanmar di negara-negara OIC 'dihalau’ keluar jika kempen membenci Islam tidak dihentikan serta-merta. Pendirian kerajaan Malaysia juga masih dinanti-nantikan di saat Kejohanan Sukan SEA kali ke 27 yang bakal berlangsung di Myanmar bermula 11 Disember ini. Kerajaan Malaysia sewajarnya membatalkan penyertaan olahragawan dan olahragawati Muslim dari Malaysia ke Sukan SEA tahun iniatas alasan kerajaan Myanmar bersikap anti Islam dan kehadiran atlet Islam yang tidak selamat dan tidak terjamin. Seterusnya, kerajaan Malaysia secara bijaknya digesa untuk menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Myanmar agar kerajaan Myanmar menghormati agama Islam dengan memberi kebebasan kepada orang Islam untuk hidup aman dan tenang sebagaimana penganut agama Buddha merasai kebebasan beragama di Malaysia. Rakyat juga masih menunggu di mana suara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sinonim dengan membawa aspirasi anak muda agar memberi respon dengan penglibatan atlet Islam dalam Kejohanan Sukan SEA di Myanmar kali ini.-SH Hasil Nukilan, ABDUL MALIK BIN AB RAZAK Penulis ialah mahasiswa tahun 3 di Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)