Tuesday 7 November 2017

Pelajar sekolah antara mangsa dilapah



TIGA pelajar perempuan, termasuk seorang berusia 15 tahun antara sembilan mangsa dibunuh Takahiro Shiraishi di rumahnya di pinggir Tokyo, minggu lalu.
Selain sembilan kepala, polis menemui 240 tulang dan anggota tubuh manusia dalam kotak penyejuk dan kotak peralatan di rumah lelaki itu. Takahiro melapah mayat mangsa dan membuang daging serta organ dalaman ke dalam tong sampah.
Polis mengesahkan sekurang-kurangnya tiga mangsa adalah pelajar sekolah dari daerah berlainan dengan seorang daripada mereka berusia 15 tahun yang dilapor hilang hujung Ogos lalu.
Seorang wanita berusia 20-an mendakwa dia sepatutnya berjumpa lelaki itu pada hari dia ditahan polis bagi membincangkan mengenai membunuh diri selepas berhubungan melalui emel dan telefon sejak dua bulan lalu.
“Ketika perbualan kami pada satu malam Oktober lalu, dia enggan bercakap selepas saya beritahu terdengar suara wanita mengerang.
“Dia beri saya dua pilihan, membuatkan saya pengsan dengan memasukkan ubat dalam minuman dan selepas itu menjerut leher saya.
“Pilihan kedua, dia menjerut leher saya dari belakang ketika saya leka, mungkin menonton televisyen.
“Jika saya bertemunya, saya juga akan dipotong-potong seperti mangsa lain,” kata wanita itu kepada televisyen Fuji.
Usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti identiti mangsa lain dengan melalui rekod orang hilang serta barangan mangsa yang ditemui di rumah lelaki berkenaan, termasuk kad bank.
Takahiro disyaki berkenalan dengan mangsa melalui Twitter dengan memberitahu mereka dia boleh membantu rancangan mangsa untuk mati atau mati bersama mereka.
Dia membunuh mereka walaupun tahu mangsa terbabit belum mahu membunuh diri, hanya mahu berbual.
Menurut laporan televisyen Fuji, Takahiro memberitahu polis: “Saya tidak bercadang untuk membunuh diri. Tiada (mangsa) yang mahu mati sebenarnya.”
Menurutnya, dia menggantung atau mencekik mangsa selepas memberi mereka minuman beralkohol atau ubat tidur.

-Metro

No comments: