Friday 30 December 2016

Dibogel, diarak kerana curi ayam




Lagos (Nigeria): Seorang remaja dibelasah dan dibogelkan sebelum diarak keliling kampung selepas ditangkap kerana mencuri ayam.
Dalam kejadian di Ikorodu itu, remaja berkenaan ditangkap pemilik ayam terbabit sebelum dibelasah penduduk kampung.
Menurut Daily Mail, dia kemudian dibogel dan diarak sekeliling kampung dengan tiga ayam digantung pada lehernya.
Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan remaja itu yang dalam keadaan bogel dengan mata bengkak, berjalan di kawasan pasar sambil diperhati penduduk yang ketawa dan mengejeknya.
Menjadi kebiasaan penduduk Nigeria melaksanakan hukuman sendiri, malah ada penjenayah dipukul hingga mati kerana penduduk tidak percayakan polis arau agensi penguatkuasaan berikutan rasuah berleluasa.
Laporan itu menyatakan nasib remaja berkenaan, sama ada dilepaskan atau diserah kepada pihak berkuasa.

-Metro

Thursday 29 December 2016

'Gadis besen' sudah pergi





Kano (Nigeria): Gadis berusia 19 tahun digelar ‘gadis besen’ kerana terpaksa hidup dalam besen selepas dilahirkan tanpa tangan dan kaki, meninggal dunia kelmarin.
Kisah Rahma Haruna yang menghadapi situasi misteri kerana tubuhnya berhenti membesar, menyentuh hati pengguna media sosial di seluruh dunia apabila gambar dia diletakkan dalam besen plastik ketika dibawa adik lelakinya berusia 10 tahun mengemis di bandar ini, tersebar di Internet.
Menurut Daily Mail, wartawan Sani Maikatanga yang merakam gambar Rahma itu memberitahu, remaja itu meninggal dunia pada Krismas lalu.
Sani menulis di lama sosialnya: “Rahma Haruna yang berusia 19 tahun sudah meninggal dunia pada Ahad, 25 Disember lalu. Semoga Tuhan memasukkannya ke syurga,”
Bagaimanapun, Sani tidak memberitahu punca kematian remaja berasal dari Kano, utara Nigeria itu.
Dia dilahirkan normal tetapi kemudian disahkan menghidap penyakit misteri menyebabkan badannya berhenti membesar namun tumbesaran kepalanya normal.
Ketika duduk dalam besen, Rahma terpaksa menggunakan sebatang kayu untuk menyokong kepalanya.
Sejak kisahnya tersebar, Rahma yang memberitahu dia bercita-cita memiliki kedai runcit, menerima banyak sumbangan, termasuk kerusi roda bagi memudahkan dia dibawa ke mana-mana.

-Metro

Wednesday 28 December 2016

RM17,400 jadi makanan tikus



Beijing: Seorang wanita di sebuah perkampungan di utara China terkejut apabila wang 27,000 yuan (RM17,400) yang disimpan dalam tempayan di sebuah gua hancur dimamah tikus.
Wanita berusia 51 tahun yang tidak diketahui namanya itu berkata, dia memasukkan wang yang dikumpul bersama suaminya itu dalam tempayan dan disimpan gua berkenaan di Yulin, wilayah Shaanxi.
Namun, menurut laporan South China Morning Post, baru-baru ini dia pergi ke gua itu untuk mengambil wang berkenaan bagi membayar kos perubatan anak lelakinya yang sakit namun terkejut apabila mendapati semuanya koyak rabak dimakan tikus.
“Saya buta huruf, memang tidak mungkin dapat ke bank untuk menyimpan wang.
“Saya menyangka cukup selamat jika wang disimpan dalam tempayan seperti ini. Memang saya tidak menyangka ini boleh berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, undang-undang kewangan China memungkinkan pemilik wang yang musnah dalam kebakaran atau dimakan haiwan digantikan jika boleh membuktikan sumber duit berkenaan selain punca kemusnahan disahkan bank.
Seorang pengurus bank tempatan berkata, wanita terbabit boleh mengumpulkan semua serpihan wang itu dan dibawa kepada mereka untuk membolehkan ia diganti. 

-metro

Tuesday 27 December 2016

Kerana tolak cinta


Mexico City: Seorang lelaki disyaki membunuh wanita dikenalinya melalui aplikasi bertemu jodoh Tinder kerana berasmara dengannya sebelum melarutkan mayat mangsa menggunakan asid.
Emmanuel Delani Valdez Bocanegra, 26, ditangkap selepas beberapa beg sampah mengandungi tulang manusia ditemui di balkoni apartmennya, kata pihak berkuasa.
Wanita terbabit, Francia Ruth Ibarra, 26, dilaporkan hilang pada 3 Disember lalu oleh keluarga dan rakan yang bimbang selepas dia gagal pulang ke rumah.
Kali terakhir dia dilihat ketika keluar dari rumahnya untuk ke pusat bahasa di Universiti Guanajuato.
Dalam usaha mencarinya, rakan kelasnya menjejak media sosialnya dan mendapati dia menemui Bocanegra yang juga bekas pelajar universiti berkenaan.
Mereka berkenalan melalui Tinder beberapa bulan lalu dan bertemu beberapa kali sebelum Francia hilang.
Menurut polis, Bocanegra berang selepas Francia enggan mengadakan seks dan menggunakan asid untuk menghancurkan mayat itu supaya semua orang menyangka mangsa sengaja menghilangkan diri.
Polis menemui beg berisi tulang di dalam bekas mengandungi soda kaustik serta asid hidroklorik manakala enam kilogram daging manusia yang masih melekat tulang berkenaan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti mangsa menggunakan ujian DNA.
Boncanegra ditangkap di Mexicoo City selepas berjaya dikesan pihak berkuasa.

-Metro

Friday 23 December 2016

Budak didakwa isteri


Beijing: Seorang lelaki yang membawa ‘isteri’nya yang hamil ke hospital ditahan selepas kakitangan hospital percaya ‘wanita’ berkenaan berusia kira-kira 12 tahun.
Kanak-kanak itu yang namanya tidak didedahkan, tiba di hospital bersama lelaki terbabit yang berusia 35 tahun dan seorang lagi wanita berumur 47 yang mendakwa dia ibu lelaki itu.
Ketiga-tiganya tiba di Hospital Xuzhou di wilayah Jiangsu, tengah China untuk membolehkan kanak-kanak itu yang hamil tiga bulan menjalani pemeriksaan bagi memastikan kandungannya sihat.
Lelaki dan ibunya berkata, si ‘isteri’ berusia 20 tahun.
Pemeriksaan yang dijalankan mengesahkan budak itu hamil 12 minggu. Bagaimanapun, kemudaannya menarik perhatian doktor yang kemudian meminta lelaki dan wanita tua itu menunggu di luar.

-Metro

Thursday 22 December 2016

Antara serban Muslim, dastar Sikh

Serban Muslim, dastar Sikh
Gambar hiasan.


SEORANG teman wartawan bangsa Sikh yang mengikuti kursus di Seattle menceritakan bagaimana beliau dioffload daripada satu penerbangan kerana serban dan janggutnya.
Penumpang kulit putih bersalah sangka bahawa beliau seorang Arab-Muslim, lalu minta kapten bertindak tidak membenarkannya menaiki pesawat. Beliau cukup malu dan marah, tapi tidak boleh berbuat apa.
Majoriti warga Amerika Syarikat tidak dapat membezakan orang Sikh dengan Muslim. Bagi mereka, sesiapa yang berserban, berjambang dan berkulit gelap pasti Arab dan beragama Islam.
Kerana prejudis tebal, Arab-Muslim disamakan dengan bahaya, keganasan dan perlu dijauhi. Kumpulan radikal Amerika sering menyasarkan orang memakai serban yang mereka gelar towel heads. Mangsa pertama yang dibunuh selepas peristiwa 9/11 bukannya Muslim tapi pengurus stesen minyak bangsa Sikh di Arizona, Balbir Singh Sodhi.
Lima belas tahun selepas 9/11, masyarakat Sikh yang berjumlah 500,000 di AS masih menjadi mangsa. Ribuan kes serangan, pukul dan jenayah kebencian terhadap orang Sikh dilaporkan kerana memakai serban dan berjanggut panjang.
 Dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum, mungkin ada juga yang masih kurang jelas tentang perbezaan serban Sikh (atau dastar dalam bahasa Punjabi) dengan serban yang dipakai Muslimin.
Mengikut ahli sejarah, serban adalah pakaian tradisi orang Arab Jahiliah, yang kemudiannya diadaptasi dan diterima sebagai pakaian Muslim, malah dianggap mahkota orang Arab dan raja-raja. Pada orang Arab, serbanlah yang membezakan mereka daripada bangsa lain di dunia.
Nabi Muhammad juga memakai serban yang dipanggil al-Sahab ketika hidupnya. Malah para muhaddithin meletakkan satu bab khusus mengenai pemakaian serban oleh Rasulullah SAW dalam kitab-kitab hadis.
Antaranya ialah memakai serban bersama kopiah (Ibn Qayyim 2002), sederhana saiznya, panjang tujuh hasta (Sulaiman bin Samhan 2001), berwarna hitam atau putih (Abu Dawud 1994, al-Mundhiri 1993), dan melepaskan ekor serban di antara dua bahu Baginda (riwayat Ja’afar bin Amir bin Umayyah daripada bapanya dalam al-Nasa’i 1930).
Dari segi hukum, al-Shawkani berpendapat memakai serban adalah sunnah yang sunat dan digalakkan, tapi Abdul Aziz Baz (bekas Mufti Arab Saudi) dan Muhammad Rasyid Rida anggap ia adat orang Arab sahaja. Manakala Dr Yusof al-Qaradhawi berpendapat apa sahaja yang dilakukan Rasulullah SAW adalah baik dan patut diikuti oleh lelaki Muslim.
Dastar yang dipakai orang Sikh juga adalah adaptasi serban Arab. Menurut H.O.K Rahmat, pengasas agama Sikh, Guru Nanak, adalah penganut Hindu yang menerima pengaruh Islam dan pernah ke Makkah.
Dalam pengembaraannya dan semasa mengembangkan agama Sikh, beliau pakai serban dan bawa tasbih. Kemungkinan besar Guru Nanak cenderung terhadap Islam dan Hindu, dan gabungkan unsur-unsur dua agama terbesar di India ketika itu, dalam mengasas agama Sikh. (Buku Dari Adam ke Muhammad, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1979)
Bagi orang Sikh, pemakaian dastar mempunyai tujuan dan falsafah tersendiri. Ia adalah identiti yang diasaskan guru Sikh terakhir, Guru Gobind Singh, sempena Hari Vaisaki pada 1699. Anak-anak kecil diberi kefahaman dan dipakaikan dastar sejak umur lima tahun.
Pemakaiannya berhubung erat dengan lima lambang utama dalam agama Sikh dipanggil panch kekaar: kes (rambut), kara (gelang), kachera (seluar), kirpan (pedang) dan kangha (sikat). Penganut Sikh percaya tenaga kerohanian dan kebijaksanaan guru berpusat di atas kepala, serta disimpan pada rambut panjang, justeru dibaluti dastar.
Berkaitan warna dastar, orang Sikh pilih putih untuk meningkatkan aura, dan sebagai pendinding diri, manakala biru melambangkan kepahlawanan dan dalam upacara keagamaan. Dastar oren adalah paling popular, yakni melambangkan kebijaksanaan dan sering juga dipakai semasa perayaan.
Pada waktu kematian, biasanya dastar putih dan hitam dipakai manakala untuk majlis istimewa seperti pertunangan dan perkahwinan, dastar merah jambu jadi pilihan.
 Walau apa pun warna dastar yang orang Sikh pakai, satu yang pasti ialah: Polis tidak menahan atau menyaman bila mereka menunggang motosikal atas jalan raya. Ini lesen besar untuk orang Sikh di negara kita dan kelebihan untuk etnik minoriti ini.



JUHAIDI YEAN ABDULLAH

* Penulis ialah CEO dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

-Sinar

Remaja maut selepas diasingkan kerana datang bulan


Remaja maut selepas diasingkan kerana datang bulan
Gadis diasingkan tempat tinggal kerana datang bulan.
KATHAMANDU - NEPAL. Polis sedang menyiasat kematian seorang gadis 15 tahun yang dilaporkan lemas terhidu asap selepas diasingkan dan tinggal di dalam kandang kurang udara kerana datang bulan.
Gadis itu diasingkan mengikut amalan agama Hindu purba, Chhaupadi di mana gadis yang datang bulan atau wanita baru melahirkan anak dilihat sebagai tidak suci.
Walaupun amalan itu diharamkan kerajaan Nepal pada tahun 2005, namun ia masih diteruskan di kawasan pendalaman.
Memetik BBC News, mayat Roshani Tiruwa ditemui oleh bapanya minggu lalu di dalam sebuah pondok yang diperbuat daripada lumpur di kampung Gajra, wilayah Achham, 440km dari Kathamandu.
Sesetengah masyarakat di kawasan terpencil percaya mereka perlu memencilkan wanita haid supaya tidak mengalami musibah seperti bencana alam.
Semasa pengasingan, mereka tidak boleh mengambil makanan seperti kebiasaan dan dilarang minum susu.
Sementara itu, memetik Reuters, mangsa dikatakan menyalakan api untuk memanaskan badan sebelum tidur di dalam kandang yang tidak mempunyai pengudaraan baik.
"Kami menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematiannya. Kami percaya dia mati lemas," kata pegawai polis, Badri Prasad Dhakal.

-Sinar

Wednesday 21 December 2016

Skuad 'pembunuh wanita simpanan'



Beijing: Seorang wanita memilih kerjaya pelik tetapi menguntungkan apabila membantu golongan isteri membalas dendam terhadap wanita simpanan suami mereka sejak sedekad lalu.
Zhang Yufeng dilaporkan membantu ribuan isteri ‘pulih’ daripada rasa perit akibat suami yang curang dengan mengumpulkan bahan bukti untuk kes mahkamah.
Dia juga membantu membawa mereka kepada wanita yang dianggap perosak rumah tangga untuk memukul dan memalukan mereka.
Zhang - yang lebih popular digelar ‘pembunuh wanita simpanan’ berkata, dia terpanggil untuk melakukan kerja itu selepas suaminya sendiri curang dan menceraikannya pada 1990-an.
Zhang yang enggan mengalah dan bersedih memutuskan membalas dendam dan menjejaki suaminya dan wanita simpanan terbabit hingga memaksa mereka melarikan diri serta berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mengelaknya.
Tidak lama selepas itu, dia dihampiri seorang wanita meminta bantuan membalas dendam untuk anaknya yang kemurungan dan kemudian membunuh diri selepas ditinggalkan suami yang curang.
“Saya berjanji kepadanya akan menghapuskan lelaki seperti itu tanpa belas kasihan,” katanya.
Zhang kini memiliki kediaman di Beijing yang turut dijadikan tempat perlindungan untuk wanita yang diusir suami kerana mempunyai kekasih baru.
Perniagaannya semakin berkembang dengan peningkatan kadar perceraian di China.
Zhang mendakwa menerima lebih 100 panggilan sehari daripada wanita yang terdesak.
Malah dia kini dianggap wira dan tidak ubah seperti selebriti kepada segelintir orang.
Sejak kebelakangan ini, banyak video dimuat naik ke media sosial China menunjukkan kumpulan wanita memukul dan membogelkan perempuan disyaki kekasih gelap di khalayak ramai.
Lazimnya video itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menganggap tidak adil untuk perempuan simpanan kerana si suami yang sepatutnya dipersalahkan.
Namun Zhang berpendapat wanita seperti itu sama saja jahatnya malah dianggap tidak ubah seperti ‘syaitan Jepun’ yang patut dipancung menggunakan pedang.
“Kali pertama saya membantu seorang wanita membelasah seorang perempuan simpanan suaminya selepas kami terserempak dengannya ketika membuat siasatan.
“Polis datang ketika saya menendang, memukul dan menghinanya. Saya terus memberitahu wanita itu menggoda suami orang.
“Polis terbabit berkata, ‘saya tidak nampak apa-apa.’
“Ia menandakan perbuatan saya itu tidak akan diambil tindakan.
Kerana itu saya berani terus membelasah wanita itu,” katanya.

-Metro

Tuesday 20 December 2016

Kurung anak macam anjing




Beijing: Seorang wanita dituduh mengurung anak lelakinya berusia tiga tahun di dalam sangkar anjing di wilayah Hunan.
Media tempatan memetik seorang jiran berkata, kanak-kanak itu dikurung kerana mengganggu ibunya bermain mahjong.
Gambar kanak-kanak itu mencetuskan kemarahan pengguna Internet China.
Jiran berkenaan dikenali sebagai Liu berkata, dia melihat kejadian itu kira-kira setengah bulan lalu.
“Saya tidak tahu siapa ibu atau bapa kanak-kanak itu. Selepas memuat naik gambarnya di media sosial saya bergegas mencari orang untuk membuka sangkar berkenaan dan melepaskannya,” katanya.
Menurutnya, sangkar itu milik seorang lagi penduduk, Chen.
“Ibunya bermain mahjong dan berang kerana kanak-kanak itu terlalu bising menyebabkan dia mengurung mangsa di dalam sangkar berkenaan,” kata Chen.
Kanak-kanak itu dikurung lebih 10 minit dan tidak diketahui bagaimana dia sebenarnya berjaya melepaskan diri.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Jiang, 35, mengaku mengurung anaknya kerana budak itu terlalu bising, tetapi menafikan dia bermain mahjong.
“Dia bising. Kerana itu saya memasukkannya di dalam sangkar itu sebentar, tetapi kanak-kanak lain menutup pintunya menyebabkan dia terkurung.
“Saya tidak akan melakukannya lagi,” katanya.
Wanita itu dilaporkan ibu tunggal yang tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak. 


- Agensi/Metro

Friday 16 December 2016

16 bantu ibu obes bersalin


Beijing: Seorang wanita yang berat kira-kira 140 kilogram berjaya melahirkan anak selepas 16 kakitangan perubatan bekerjasama melakukan Caesarean terhadapnya.
Pembedahan selama dua jam itu dilakukan Selasa lalu di sebuah hospital di Changsa, selatan China, lapor Huiangqiu.com.
Wanita itu dikatakan hamil 39 minggu dan disahkan menghidap pelbagai penyakit, termasuk masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Kakitangan dari pelbagai jabatan di Hospital Rakyat Hunan, dikerah membantu proses berkenaan.
Nama dan usia wanita itu bagaimanapun tidak didedahkan dalam laporan itu.
Kerana masalah berat badan pesakit itu, doktor berkata, dia berdepan dengan cabaran anestesia memandangkan jarum biasa hanya sepanjang lapan sentimeter, tidak cukup panjang untuk menyuntik anestetik ke dalam tubuhnya.
Kakitangan lain terpaksa membantu menyokong wanita itu supaya doktor boleh menyuntik anesteik dari tulang belakangnya, bukan pada lehernya.
Laporan itu juga menyatakan, wanita terbabit berdepan masalah ‘apnea tidur,’ bermakna dia berdepan bahaya jika anestesia seluruh badan dilakukan.
Pembedahan dilakukan pada sebelah pagi dan berakhir dua jam kemudian.
Laporan itu tidak menyebut jantina bayi yang dilahirkan wanita itu atau menyatakan sama ada bayi berkenaan sihat atau tidak.
Laporan itu yang tular di media sosial mendapat pelbagai reaksi dengan ada pengguna menasihati wanita itu supaya menurunkan berat badannya bagi membolehkan dia cukup sihat untuk menjaga bayinya.

 - Agensi/Metro

Remaja maut dubur dipam angin



Dhaka: Seorang pekerja remaja sebuah kilang tekstil mati selepas rakan sekerjanya memasukkan angin menggunakan hos mesin pemampat udara melalui duburnya.
Pegawai polis Manjur Quader berkata, Mohammad Yamin, 14, yang bekerja di kilang tekstil di Narayanganj, di pinggir Dhaka, mati semalam.
“Kami sudah menahan rakan sekerjanya sebagai suspek utama,” katanya.
Julai lalu, seorang budak berusia 10 tahun, juga bekerja di kilang tekstil mati dengan cara yang sama.


Undang-undang Bangladesh tidak membenarkan kanak-kanak berusia bawah 14 tahun bekerja namun ia sering tidak dipedulikan. Kira-kira suku daripada 160 juta penduduk negara itu hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan kira-kira RM9 sehari.
Pendapatan Bangladesh bergantung kepada tekstil yang menguasai 80 peratus eksport dan menyediakan empat juta pekerjaan.
Tahun lalu, seorang budak 12 tahun yang bekerja di bengkel motosikal mati dengan cara yang sama apabila dia mahu berhenti dan dua orang dijatuhkan hukuman mati kerana menyebabkan kematiannya.

-Metro

Friday 9 December 2016

Penduduk campak pencuri dalam lubang najis


Guilin (China): Tindakan seorang lelaki yang mencuri seekor anjing di sebuah kampung di sini membawa padah apabila dia ditangkap sebelum dicampak ke dalam lubang najis.
Media tempatan melaporkan, penduduk kampung menangkap lelaki berkenaan yang cuba mencuri anjing milik seorang penduduk baru-baru ini.
Penduduk tidak memukul lelaki itu sebaliknya memutuskan untuk mencampak suspek ke dalam lubang najis sebagai hukuman terhadapnya.
Lebih malang lagi, lelaki itu dipaksa berdiri di dalam lubang najis berkenaan selama beberapa minit.
Lelaki itu dilaporkan merayu supaya dikeluarkan dari lubang najis berkenaan tetapi tidak dihiraukan.
Dia hanya dikeluarkan dari lubang najis berkenaan selepas polis tiba untuk menahannya.
Gambar lelaki itu yang berdiri dalam lubang najis menjadi tular di media sosial di China dan menerima pelbagai reaksi dari pengguna Internet.
Ini bukan kali pertama pencuri anjing dihukum penduduk di wilayah Guangxi Zhuang yang mempunyai tradisi memakan daging haiwan itu.
Pada tahun ini, dua lelaki yang ditangkap kerana mencuri anjing dipukul penduduk kampung sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut. 

- Agensi/Metro

Thursday 8 December 2016

Padah nak popular

Semarang, Indonesia: Tindakan enam remaja yang memuat naik gambar sedang bersolat di atas motosikal di laman Facebook membawa padah apabila mereka ditahan polis.
Semua remaja berkenaan yang masih bersekolah ditahan polis semalam selepas gambar yang dimuat naik pada Isnin lalu itu mencetuskan kemarahan orang ramai.
Gambar itu menunjukkan sekumpulan remaja beraksi seperti bersolat di atas jalan raya dan seorang lagi yang menjadi imam berdiri di atas dua motosikal.
Remaja yang berdiri di atas motosikal itu juga memakai seluar paras lutut dan tidak berbaju.
Tindakan remaja itu mencetuskan kemarahan pengguna laman sosial kerana didakwa menghina agama Islam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan.
Ketua polis daerah Jepara, Samsu Arifin berkata, susulan laporan orang ramai itu polis mengesan keenam-enam remaja berkenaan sebelum menangkap mereka semalam.
Katanya, semua remaja berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing.
“Ketika disoal siasat semua remaja itu mengaku sengaja memuat naik gambar berkenaan kerana mahu menarik perhatian pengguna laman sosial dan menjadi terkenal.
“Mereka mengaku tiada niat untuk mempersendakan agama kerana mereka sendiri beragama Islam,” katanya.
Menurutnya, semua remaja itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil dan diminta datang semula ke ibu pejabat polis untuk siasatan lanjut.
Polis juga menyita dua motosikal yang digunakan dalam gambar berkenaan sebagai bahan bukti.

-Metro

Monday 5 December 2016

Kemanusiaan semakin terhakis : Dibiar mati di tepi mesin ATM



Kolkata (India): Seorang lelaki yang pengsan ketika beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dibiarkan terbaring hingga mati tanpa sebarang bantuan kerana orang ramai enggan meninggalkan barisan untuk mengeluarkan wang.
Saksi berkata, Kallol Ray Chowdhuri berbaris di mesin ATM di Bandel dekat sini kelmarin sebelum dia rebah akibat serangan jantung.
Bagaimanapun, orang ramai yang berbaris panjang di mesin ATM berkenaan enggan membantu Chowdhuri, 53, dan hanya membiarkan lelaki itu terbaring.
Mereka hanya memerhatikan Chowdhuri mengerang kesakitan sambil memegang dadanya sebelum dia tidak sedarkan diri.
Saksi memberitahu, orang ramai enggan membantu Chowdhuri kerana tidak mahu keluar dari barisan kerana bimbang tidak dapat mengeluarkan wang.
“Tiada siapa yang mahu membantu lelaki itu atau membawanya ke hospital,” katanya.
Ujarnya, Chowdhuri dibiarkan terbaring selama 30 minit sebelum seorang pengawal keselamatan bank itu yang melihat keadaan mangsa membawanya ke hospital dengan menaiki teksi.
Bagaimanapun, apabila tiba di hospital doktor mengesahkan lelaki itu sudah lama meninggal dunia.
Isteri Chowdhuri berkata, doktor memberitahu suaminya mungkin boleh diselamatkan sekiranya dibawa segera ke hospital.
Ujarnya, dia kesal dengan sikap orang ramai yang terlalu mementingkan diri sendiri.
India ketika ini berdepan krisis wang tunai selepas kerajaan membuat penyahwangan wang kertas 500 rupee dan 1,000 rupee. 

- Agensi/Metro

Wednesday 23 November 2016

'Bini tak sayang aku...'



Kuantan: “Biar aku mati, ada bini (isteri) pun tak sayangkan aku lagi,” jerit seorang lelaki yang cuba membunuh diri dari bumbung sebuah inap desa di Jalan Alor Akar, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki berusia lingkungan 30-an dilihat duduk di atas bumbung premis berkenaan dan beberapa kali mengugut untuk terjun.
Tindakannya menarik perhatian orang ramai di kawasan perumahan terbabit, malah ada yang cuba memujuknya untuk turun sebelum mendapatkan bantuan pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 3.11 petang dan melihat lelaki berkenaan dalam keadaan tidak berbaju duduk di bahagian tepi bumbung inap desa itu.
Katanya, pihaknya cuba memujuk lelaki berkenaan untuk turun namun tidak dihiraukan sebaliknya berulang kali berkata mahu mati dan terjun dari bumbung.
“Kita merapatkan jentera di tepi rumah untuk keselamatan dan bagi memudahkan anggota kita menghampirinya namun lelaki berkenaan menghalang kita mendekatinya dan mengancam untuk terjun.
“Kita menggunakan khidmat anggota wanita dalam usaha memujuk lelaki berkenaan kerana dia kelihatan sedikit agresif apabila anggota lelaki mendekatinya. Selepas lebih setengah jam, lelaki itu akhirnya termakan pujukan dan mula turun ke arah jentera kami,” katanya.
Menurutnya, selepas turun dari bumbung itu, lelaki berkenaan menuju ke bahagian hadapan jentera sambil berkata sesuatu kepada orang ramai sebelum terjun dari kenderaan itu namun anggota polis dengan pantas menyambutnya.
Kamerul Bieza berkata, lelaki berkenaan bertindak demikian dipercayai kerana tertekan dengan masalah keluarga dihadapinya.
“Kita menyerahkan lelaki berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut dan hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan lalu lintas sesak berikutan orang ramai memperlahankan kenderaan masing-masing dan tidak kurang juga mengerumuni kawasan berkenaan bagi melihat ‘adegan’ itu.

-Metro

Diserang harimau di tengah pasar



Riyadh: Rakaman video ngeri menunjukkan saat seorang kanak-kanak perempuan dibaham harimau yang dibawa berjalan-jalan oleh tuannya di sebuah pasar di Arab Saudi.
Rakaman itu menunjukkan haiwan buas berkenaan dibawa bersiar-siar di kawasan awam di barat laut negara itu hanya beberapa meter dari orang ramai yang membeli-belah.
Kanak-kanak dapat dilihat melarikan diri ketika haiwan itu ditunjukkan kepada semua orang.
Malangnya, beberapa minit kemudian seorang budak perempuan berusia kira-kira enam tahun datang terlalu dekat dengan harimau itu menyebabkan haiwan berkenaan mencakar dan menimpanya.
Kanak-kanak itu menjerit sekuat hati dan pemilik haiwan itu terus bertindak menarik harimau terbabit dari mangsa.
Rakaman berakhir di situ, tetapi saksi mendakwa kanak-kanak itu sempat diselamatkan sebelum dicederakan lebih teruk.
Bagaimanapun, pengguna media sosial menyuarakan kemarahan terhadap kejadian itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, golongan muda di beberapa negara Asia Barat gemar membela binatang buas sebagai haiwan peliharaan eksotik.
Pihak berkuasa Majlis Kerjasama Teluk kerap memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya memelihara haiwan seperti itu di kediaman mereka.
Namun amalan itu dilihat sebagai simbol status, malah haiwan berkenaan juga boleh diiklankan dan dibeli dengan mudah melalui Internet. 

- Agensi/Metro

Tuesday 22 November 2016

Dibakar hidup-hidup kerana curi makanan


Lagos: Seorang budak dibelasah sekumpulan perusuh sebelum dia dibakar hingga mati.
Kejadian itu berlaku di daerah Badagry di ibu negara Nigeria ini.
Rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu dengan mukanya berdarah mengangkat tangan sambil orang ramai mengelilinginya dalam keadaan kakinya diikat.
Dia dituduh merompak peniaga tempatan dan juga mengancam membunuh penduduk sebelum ditangkap.
Kanak-kanak itu yang namanya tidak dinyatakan dipukul berulang kali walaupun merayu supaya dimaafkan.
Seorang lelaki dilihat cuba meletakkan tayar terpakai pada lehernya.
Ia bertujuan mencurahkan minyak tanah pada tayar berkenaan sebelum api dinyalakan untuk membakar mangsa.
Budak itu berjaya menolak tayar itu. Namun, dia tetap dibakar hingga mati walaupun sebahagian penduduk mendesak dia diserahkan kepada polis.
Video itu dimuat naik ke media sosial dengan ada pengguna berkata, budak itu berusia 15 tahun dan ada yang berkata, dia mungkin berumur tujuh tahun.
Budak itu didakwa ditangkap di sebuah pasar raya ketika cuba mencuri makanan.
Dia sebelum ini ditangkap beberapa kali kerana kesalahan sama di samping merompak penduduk tempatan. 

- Agensi/Metro

Monday 21 November 2016

Perut berlubang selepas tertelan jarum pengasah




Brisstol (Britain): Seorang wanita mengalami kecederaan dalaman termasuk perut berlubang selepas tertelan jarum pengasah pergigian ketika mendapat rawatan daripada seorang doktor gigi di sini baru-baru ini.
Vanessa Snary, 29, berkata, ketika kejadian dia diberi ubat bius di mulut dan dia tidak merasai jarum tajam itu jatuh ke dalam mulut ketika mendapat rawatan.
Katanya, dia mula tercekik apabila jarum sepanjang tiga sentimeter itu tersangkut di tekaknya.
“Ia berlaku dengan pantas dan saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya tercekik. Saya sangat takut kerana tidak tahu apa yang saya telan,” katanya.
Ujarnya, doktor segera membawanya ke hospital dan pemeriksaan sinar X-ray mendapati ada jarum di bahagian atas perutnya.
“Doktor memberitahu pembedahan perlu dilakukan segera kerana jarum itu mencederakan usus, perut dan tekak saya.
“Saya bernasib baik kerana doktor berjaya mengeluarkan jarum berkenaan selepas melakukan pembedahan kecil,” ujarnya.
Menurutnya, jarum itu menyebabkan perutnya cedera dan dia juga tidak boleh bercakap selama seminggu kerana peti suaranya luka.
“Apa yang paling teruk saya dibuang kerja oleh majikan kerana mengambil cuti terlalu lama,” jelasnya.

 - Agensi/Metro

Thursday 17 November 2016

Pasangan dikecam letak bayi di cenuram


Makkah: Sepasang suami isteri dikecam di media sosial selepas memuat naik gambar bayi mereka yang diletakkan di cenuram sebuah gunung.
Gambar itu dirakam di Dikkat Al Al Halwani, sebuah destinasi popular di puncak Gunung Al Hada yang di bawahnya lebuh raya Makkah, di barat Arab Saudi.
Menurut laman web Al-Marsad, pasangan yang tidak dinamakan itu dikritik sebaik gambar itu viral.
Pengguna media sosial menuduh mereka sengaja membahayakan nyawa bayi itu semata-mata mahu merakam gambar berkenaan dan menarik tumpuan.
Ada yang menggesa pihak berkuasa memenjarakan pasangan itu atas alasan mencabuli nyawa kanak-kanak.
Seorang pengguna yang menamakan dirinya Salem menulis: “Ini perbuatan tidak bertanggungjawab. Mereka yang di sebalik gambar ini perlu dihukum.”
Seorang lagi menulis: “Ibu bapa bayi ini tidak tahu bersyukur selepas memperoleh anak. Mereka perlu dipenjarakan.”

-Metro

Wednesday 16 November 2016

Jack Ma biayai pendidikan kanak-kanak miskin yang menyerupainya

Beijing: Pengasas Alibaba Group, Jack Ma berkata, dia akan membiayai pendidikan seorang kanak-kanak yang menyerupai wajahnya selepas tersentuh dengan nasib budak itu.
Agensi berita Xinhua memetik satu kenyataan yang dikeluarkan Alibaba Group sebagai berkata, Ma, orang kedua paling kaya di China, berikrar untuk membiayai pendidikan Fan Xiaoqin dari sekolah rendah hingga kolej.
Fan, lapan, yang juga dikenali dengan panggilan ‘Jack Ma mini’ menjadi popular selepas orang ramai di China menyedari kesamaan wajahnya dengan bilionair China itu apabila gambarnya di muat naik ke Internet.
Pengguna media sosial juga bersimpati selepas mengetahui nasib keluarga Fan.
Menurut laporan, keluarga Fan miskin. Ibunya menghidap polio dan buta sebelah mata sementara bapanya, satu-satunya yang bekerja untuk menyara keluarga itu, kudung sebelah kaki akibat kemalangan. Neneknya pula nyanyuk.
Ma sebelum ini menyuarakan rasa terkejut dengan wajah Fan yang sama dengannya. Dia menulis dalam laman sosial tahun lalu: “Mulanya saya sangka ia gambar saya ketika kecil. Satu-satu yang berbeza antara kami ialah cara kami membutang baju.”
Bilionair itu tergerak untuk membantu Fan selepas netizen di China menggesa dia berbuat demikian.

-Metro

Tuesday 15 November 2016

Tangisan bayi disangka bunyi kucing

IPOH 14 Nov. – Seorang wanita tidak menyangka bunyi seperti kucing mengiau dari arah belakang rumahnya di Taman Perpaduan di sini awal pagi semalam rupa-rupanya tangisan seorang bayi lelaki.
SEORANG bayi lelaki cukup sifat ditemukan dalam kawasan semak di belakang sebuah rumah kosong di Taman Perpaduan, Ipoh, Perak, semalam.
Bayi cukup sifat itu ditemukan dalam semak di belakang sebuah rumah kosong tanpa pakaian atau dibalut kain, kira-kira pukul 1 pagi.
Nur Amira Zulkifli, 21, berkata, dia sekeluarga mula terdengar bunyi tersebut pada pukul 11 malam, namun menyangka itu bunyi anak kucing mengiau di luar rumah.
Walau bagaimanapun kata­-
­­­nya, semasa menemani sua­mi­nya­, Muhammad Iskandar Johari, 21, makan di dapur, bunyi itu masih kedengaran dan mereka kemudiannya mengambil keputusan melihat sendiri dari arah mana datangnya bunyi tersebut.
“Saya dan suami membuka pintu dapur dan ketika itu bunyi tangisan tersebut semakin kuat dan jelas. Kami menggunakan lampu suluh dan terkejut apabila mendapati banyak tompokan darah di kaki lima.
“Lebih memeranjatkan apabila melihat seorang bayi tersembam dalam kawasan semak yang dipenuhi ranting dan duri di belakang rumah jiran yang sudah tidak berpenghuni,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suami­nya dan beberapa jiran segera mengeluarkan bayi tersebut dengan berhati-hati dari kawasan semak itu dan mendapati mukanya dipenuhi calar manakala badannya pula sejuk dan sudah bertukar biru.
Katanya, bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu segera dibawa masuk ke dalam rumah untuk dibersihkan sebelum laporan polis dibuat.
“Sehingga sekarang saya masih menggigil dan terkejut. Saya tidak sangka langsung ia adalah tangisan bayi. Oleh kerana panik, kami hanya memberinya minum air mineral yang dibasahkan menggunakan hujung tuala. Bayi itu sangat comel dan kelihatan sihat. Sebelum pulang ke Kuantan, Pahang saya mahu melihatnya di hospital, namun tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, bayi lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan kini di bawah pemantauan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, usaha mengesan individu yang membuang bayi itu giat dilakukan dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.



- See more at: https://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tangisan-bayi-disangka-bunyi-kucing-1.407680#sthash.PoBr4Q99.dpuf

Monday 14 November 2016

Penyepit sangkut dalam anu



Beijing: Gara-gara takut mendapat rawatan doktor kerana kencing berdarah, seorang lelaki di China memasukkan kayu penyepit ke dalam kemaluannya menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan alat itu selepas ia tersangkut.
Menurut doktor, lelaki yang dikenali sebagai Chen bernasib baik kerana kecederaan dialaminya mampu menyebabkan maut sekiranya dia menolak kayu penyepit dibuat daripada besi itu lebih jauh ke dalam kemaluannya.
Imbasan menunjukkan kayu penyepit berkenaan sudah sampai ke dinding rektumnya, lapor Asia Wire.
Chen, yang tinggal di wilayah Zhejiang, timur China, bernasib baik apabila pembedahan terhadapnya berjaya mengeluarkan objek itu.
Bulan lalu, seorang lelaki Thai dibawa ke hospital untuk mengeluarkan alat permainan seks berupa cincin yang tersangkut pada kemaluannya.
Mangsa mengalami kecederaan apabila ‘cincin’ itu tidak dapat dicabut selepas menggunakannya di rumah sebelum menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.
Beberapa hari sebelum itu, seorang lelaki di Honduras terpaksa dipotong zakarnya selepas tersangkut di dalam botol yang digunakan untuk melampiaskan nafsunya selama empat hari.
Lelaki itu pada mulanya enggan mendapat rawatan tetapi terpaksa pergi ke hospital apabila kemaluannya bertukar hitam. 

- Agensi/Metro

Nelayan jadi jutawan kerana muntah paus




Muscat: Seorang nelayan Oman bakal menjadi juawan selepas dia menaikkan longgokan besar ambergris atau muntah ikan paus ketika menangkap ikan di pesisir pantai negara itu.
Bahan berwarna kelabu seperti lilin itu ialah hasil sampingan sistem penghadaman paus sperma yang digelar ‘emas terapung.’
Harganya amat mahal dan menjadi buruan syarikat pengeluar minyak wangi kerana ia menyebabkan reaksi kimia yang menjadikan wangian kekal lama.
Khalid Al Sinani menemui longgokan muntah paus seberat 60 kilo itu ketika memeriksa jalanya di luar pantai Qurayat.
Pakar berkata, muntah ikan boleh dijual dengan harga lebih RM11 juta.
Bercakap kepada media tempatan, Khalid berkata: “Saya dalam pelayaran pulang apabila terhidu bau sangat busuk tidak jauh dari bot saya. Apabila memeriksanya, saya nampak selonggok besar bahan terapung di air. Saya menggunakan tali untuk menariknya. Beratnya lebih 60 kilogram sedangkan bot saya hanya enam meter panjang.”
Menurut media tempatan, Khalid yang berusia 30-an merancang berhenti menjadi nelayan dan mahu hidup mewah.
Dia sudahpun menolak tawaran sebuah syarikat pembuat minyak wangi tempatan yang mahu membeli muntah paus itu pada harga RM61,100 sekilo.
Dia memberitahu akhbar Shabiba: “Impian saya menjadi kenyataan. Saya menanti saat ini sejak 20 tahun lalu apabila mula menjadi nelayan bersama bapa.”
Ambergris terbentuk dalam usus paus sperma untuk melindungi sistem penghadamannya daripada objek tajam seperti muncung sotong yang ditelannya ketika makan.
Ia sama ada dimuntahkan atau dikeluarkan menerusi sistem penghadaman dan akan terapung di laut atau dibawa ombak ke pantai. 

- Agensi/Metro

Thursday 10 November 2016

Tak sedar mayat bawah katil



Mexico City: Pelanggan sebuah hotel di sini dipercayai tidak menyedari mereka tidur di atas katil yang terdapat mayat di bawahnya.
Polis yakin mayat wanita berkenaan yang dibungkus dengan plastik berada di bawah katil itu sejak seminggu lalu sebelum ia ditemui di Hotel El Senador.
Bau busuk dalam bilik berkenaan mendorong dua kakitangan hotel menyelongkar bawah katil itu kelmarin sebelum penemuan mengejutkan itu.
Pasukan perubatan yang tiba di hotel yang terletak di Kejiranan Doctores itu hanya boleh mengesahkan wanita itu sudah mati dan dia berusia antara 25 hingga 30 tahun.
Laporan koroner kemudian mengesahkan, wanita itu mati akibat dicekik.
Seorang jurucakap hotel berkata: “Kami percaya ada beberapa pelanggan yang ditempatkan di bilik berkenaan tidur di katil itu tanpa menyedari ada mayat di bawahnya.”
Dia mengesahkan wanita itu tiba kira-kira seminggu lalu bersama seorang lelaki.
Sehingga ini, identiti wanita dan teman lelakinya masih misteri.

 - Agensi/Metro