Wednesday 23 December 2015

Wanita maut dalam almari semasa cari biskut


Biskut

POVOLETTO - ITALI. Seorang pesara maut selepas terperangkap di dalam almari pakaian semasa mencari biskut yang disembunyikan anaknya.
Pesara yang berusia 84 tahun mencari biskut selepas anak lelakinya menyorokkannya di dalam almari pakaian di Povoletto, timur Itali.
Anak lelaki mangsa menyembunyikan biskut berkenaan bagi mengawal diet ibunya yang menghidap diabetes, lapor Udine Today dipetik Metro.uk.
Namun tindakan anaknya itu menyebabkan ibunya terbunuh selepas dia bertindak mencari biskut di seluruh rumah.
Mangsa mengalami sesak nafas selepas terperangkap di sebalik timbunan pakaian di dalam almari berkenaan.
Mayat mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba.

-Sinar

Tuesday 22 December 2015

Bukan air kencing unta



Riyadh: Pegawai kesihatan Saudi menutup sebuah kedai ubat tradisional selepas mendapati botol yang didakwa mengandungi air kencing unta sebenarnya berisi air kencing seorang pekerja kedai itu.

Pegawai berkenaan melakukan pemeriksaan mengejut di kedai ubat di bandar Qunfudah itu apabila menyedari seorang pekerja menggigil ketika ditanya mengenai 70 botol yang tersembunyi di belakang almari dalam kedai itu.

“Mereka mendapati botol itu diisikan air kencing manusia. Pekerja itu kemudian mengaku ia air kencingnya.
“Pegawai berkenaan serta-merta menyita kedai itu,” lapor akhbar Sada.

 - Agensi / Metro

Thursday 17 December 2015

6 tahun dikebumi masih elok, wangi



Sungai Petani: Gambar jenazah lelaki dalam keadaan baik walaupun dikebumikan kira-kira enam tahun lalu seperti yang ‘viral’ di Facebook baru-baru ini adalah benar.

Penggali kubur, Azhar Bidin, 37, berkata, jenazah itu ditemui pada 8 pagi, Isnin lalu, ketika dia bersama rakannya menggali satu liang kubur bagi mengebumikan jenazah seorang warga emas wanita di Masjid Tuan Husien, Bukit Tukang Jusoh, Pantai Merdeka, di sini.

Katanya, ketika mengorek liang separas pinggang, tiba-tiba tanah yang dikorek runtuh menyebabkan dia terpaksa membersihkan tanah berkenaan sehinggalah cangkulnya beberapa kali terkena pada satu objek dan kemudian mereka terhidu bau wangi sebelum menemui jenazah yang masih elok itu.

Siapakah arwah dan apa amalannya sehingga jenazahnya ditemui dalam keadaan elok walaupun sudah lama meninggal dunia.

-Metro

Wednesday 16 December 2015

Doktor beragama Islam selamatkan askar Britain

Doktor beragama Islam selamatkan askar Britain

SEORANG askar Britain yang bertugas di Iraq dan kehilangan sebelah kakinya memberikan 'nasihat keras' kepada warga netizen dan dunia yang takut kepada agama Islam.

Chris Herbert yang berumur 19 tahun ketika kehilangan kaki kanan selepas dibom pengganas Taliban di Basra memberitahu kejadian tersebut tidak menjadikannya takut kepada Islam.

"Ya, pengganas beragama Islam bom saya, saya hilang kaki kanan. (Selepas itu) seorang askar Britain yang beragama Islam juga kehilangan tangannya," kata Chris di Facebook kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, rakannya yang juga seorang askar, Luke Simpson maut dan mencederakan dua yang lain.

"Seorang Muslim berada dalam helikopter yang mengangkut saya dari medan perang (selepas kejadian). Seorang doktor bedah Muslim bedah saya untuk menyelamatkan nyawa saya.

"Seorang jururawat Muslim yang menjaga dan membantu saya balik ke Britain. Seorang petugas kebajikan kesihatan Muslim yang menguruskan ubat-ubatan saya.

"Seorang pemandu teksi Muslim yang memberikan saya perjalanan percuma kepada saya dan ayah saya. Seorang doktor Muslim yang menenangkan ayah saya kerana sedih dengan keadaan saya," jelas Chris panjang lebar.

Difahamkan, Chris membuat perkongsian tersebut kerana terdapat sesetengah pihak kecewa kerana 'Chris tidak membenci Islam' walaupun selepas diserang pengganas.

"Seorang rakyat Britain yang menolak kerusi roda saya dari lif kerana dia mahu menggunakannya dahulu. Seorang warga Britain menjerit kepada ayah saya kerana menggunakan parkir OKU (untuk dirinya).

"Apa yang saya mahu cakap adalah, berambus. Saya tahu siapa patut saya benci dan siapa saya tidak patut benci. Saya tahu siapa yang saya patut hargai dan siapa saya tidak pedulikan.

"Kalau anda mahu bencikan penganut sebuah agama kerana perbuatan segelintir individu, suka hatilah, tapi angan paksa saya untuk membenci mereka juga.

"Menyalahkan seluruh orang Islam kerana perbuatan Taliban seperti menyalahkan agama Kristian kerana perbuatan Klu Klux Klan atau KKK(KKK merupakan sebuah golongan pelampau kulit putih)," jelas Chris lagi.

Perkongsian oleh Chris disambut gembira oleh beratus ribu pelayar bukan Islam di Facebook.

"Kejadian lebih kurang sama berlaku kepada saya selepas saya kembali ke Britain (dari operasi tentera). Seorang Muslim belanja saya air kopi dan mengucapkan terima kasih kepada saya!" kata Karl.

"Kalau anda tidak mencarut dalam perkongsian ini, saya sudah cetak ayat anda menjadi sebuah poster," kata Tim.

"Perkongsian anda adalah benda paling bagus yang saya baca di Facebook hari ini," kata Calum.

-Sinar

Anjing liar balas dendam rosakkan kereta



Shijiazhuang (China): Sekumpulan anjing liar bertindak membalas dendam dengan merosakkan kereta milik seorang lelaki yang menghalau haiwan itu dari tempat letak keretanya.
Kejadian berlaku di sebuah apartmen di sini apabila lelaki itu berang selepas mendapati ada sekumpulan anjing liar tidur di tempat letak keretanya.
Lelaki itu kemudian dilaporkan menendang dan menghalau anjing itu dari tempat letak keretanya.
Selepas meletakkan keretanya di parkir itu, lelaki berkenaan terus masuk ke dalam apartmennya.
 
Bagaimanapun, anjing liar yang dihalau lelaki itu kembali ke tempat letak kereta itu dan terus merosakkan kenderaan berkenaan.
Aksi kumpulan anjing liar mengerumuni kereta Volkswagen berkenaan berjaya dirakam seorang penduduk.
Dalam rakaman itu, seekor anjing dilihat menggigit bahagian badan kereta berkenaan sehingga kemek.
Seekor lagi anjing dilihat mematahkan pengelap cermin dan ada yang mencakar badan kereta itu sehingga calar.

- Agensi/Metro

Monday 14 December 2015

Ibu, anak perempuan bersanding bersama

JULIHAI KASSIM (dua dari kanan) dan Lailatul Shahirah Janesdin
 
LABIS 13 Dis. – Seorang ibu dan anak perempuannya mencipta sejarah tersendiri apabila bersan­ding serentak dengan pasangan masing-masing dalam sebuah majlis kenduri perkahwinan di Felda Chemplak Barat, di sini semalam.

Julihai Kassim, 44, dan anak sulungnya, Lailatul Shahirah Janesdin, 21, berkongsi pelamin dengan pasa­ngan masing-masing dalam maj­lis yang meriah dengan kehadiran sa­nak saudara dan jiran tetangga.
Menurut Julihai, idea bersanding serentak bersama anak sulungnya timbul setelah mendapat panda­ngan daripada ahli keluarganya.
“Pada awalnya, saya bercadang bernikah pada Februari tahun de­­pan, namun Lailatul mencadangkan supaya diadakan majlis persandingan serentak bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan.
“Tambahan pula, ramai ahli keluarga dan saudara mara yang tinggal berjauhan dan bagi saya adalah membazir sekiranya hendak buat satu lagi majlis perkahwinan pada tahun depan kerana tempoh yang dekat selepas majlis perkahwinan anak,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.
Menurut Julihai, selepas 12 tahun bergelar ibu tunggal, dia tidak menyangka bertemu jodoh buat kali kedua dengan Shamsul Abdul Rahman, 42, selepas berkenalan menerusi laman sosial Facebook.
Katanya, dia tertarik dengan keberanian suaminya melamar pada pertemuan kali pertama mereka yang membawa kepada majlis pertunangan pada 20 Julai lalu.
Bagi Lailatul, dia dan pasangannya, Mohd. Tajul Ashikin, 29, bersyukur apabila semua perancangan berjalan lancar dan semua pihak termasuk masyarakat setempat turut memberi galakan melihat dua beranak itu bersanding bersama.
Mengakui berasa bimbang ter­ha­dap pandangan masyarakat yang mungkin memandang si­nis tindakan mereka, Lailatul me­nge­tepikan perasaan tersebut kerana ma­sing-masing sudah bergelar pasangan suami isteri yang sah.
“Saya dan pasangan juga boleh dikatakan bertuah kerana berpeluang berkongsi kegembiraan menamatkan zaman bujang bersama ibu dan ayah tiri yang jarang diperoleh oleh pasangan mempelai lain.
“Kami memilih tarikh 12 Disember untuk mengadakan majlis persandingan kerana menyifatkan angka tersebut unik dan tidak menyangka menjadi lebih bermakna apabila berpeluang berkongsi pelamin dengan ibu dan ayah tiri,” katanya.

-Utusan

Friday 11 December 2015

Seluar terlondeh ketika terima anugerah daripada Presiden Croatia



ZAGREB, Croatia – Seorang aktivis hak asasi manusia malu besar selepas seluarnya terlondeh ketika dia menerima satu anugerah daripada Presiden Croatia, Kolinda Grabar-Kitarovic di Zagreb kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Helsinki di Croatia, Ivan Zvonimir Cicak baru memegang anugerah tersebut ketika seluarnya tiba-tiba jatuh hingga ke pergelangan kakinya di hadapan media tempatan dan antarabangsa.

Cicak bagaimanapun bertindak pantas menarik kembali dan membetulkan seluarnya.

Dia bernasib baik kerana seluar dalamnya tidak kelihatan apabila dilindungi sijil besar anugerah tersebut yang dipegang Grabar-Kitarovic sekali gus mengelakkan kejadian lebih memalukan kepada warga emas itu.

Grabar-Kitarovic juga kelihatan kekal tenang dan bertindak secara diplomatik melindungi ‘kehormatan’ ketua hak asasi negaranya sepanjang insiden itu meskipun turut tersenyum ketika melihat Cicak tunduk untuk menarik kembali seluarnya.

Kebanyakan individu lain yang berdiri bersama Grabar-Kitarovic dan Cicak ketika majlis tersebut tidak menyedari kejadian itu kerana sedang menumpukan perhatian ke arah kamera.

Anugerah itu disampaikan kepada Cicak dan ahli-ahli jawatankuasa tersebut untuk hasil kerja mereka menjelang Hari Hak Asasi Manusia antarabangsa 2015 yang disambut pada 10 Disember setiap tahun. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3tyxzh7su

Thursday 10 December 2015

Nasib si kaki 4




New Delhi: Seorang lelaki yang dilahirkan dengan empat kaki digelar ‘setan’ oleh penduduk kampungnya, menyebabkan dia terpaksa menjalani kehidupan bersendirian. Arun Rajput, 20, dari kampung pedalaman di Farrukhabad, Uttar Pradesh, kini berharap untuk menjalani pembedahan bagi membolehkan dia menjalani kehidupan seperti orang lain.


“Saya menjadi bahan ejekan. Mereka berkata saya saya setan. Tidak ada yang menghormati saya kerana keadaan saya. Saya mahu menjadi seperti mereka.


Saya mahu bekerja seperti lelaki lain,” katanya. Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia teringin sangat untuk menjalani pembedahan, belajar dan memenuhi impian untuk menjadi guru. Dua kaki tambahan Arun yang dipercayai akibat daripada kembarnya yang tidak menjadi, menyebabkan dia tidak boleh duduk dengan betul.


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99107#sthash.zOLfMYK4.dpuf

Wednesday 9 December 2015

Gagal sembelih isteri




Kaherah: Seorang lelaki bersenjatakan pisau cuba menyembelih isterinya di tengah jalan raya di bandar raya ini.
Bagaimanapun, wanita itu berjaya diselamatkan penduduk yang menendang dan melontar lelaki berkenaan dengan batu.

Klip video yang dimuat naik di Youtube menunjukkan lelaki tidak dikenali itu memaksa isterinya merebahkan badannnya sementara dia cuba menyembelih wanita itu sebelum diserang sekumpulan penduduk yang meluru selepas mendengar jeritan mangsa.
Rakaman menunjukkan orang ramai melontar batu ke arahnya. Sebahagian mereka menendangnya sementara seorang lelaki dilihat menghentak batu ke atas kepala lelaki itu.
Lelaki itu melarikan diri, tetapi dikejar orang ramai yang terus merejamnya dengan batu.
Tidak dapat dipastikan punca lelaki itu mahu membunuh isterinya.
Media Mesir yang menyiarkan rakaman berkenaan bagaimanapun tidak menyebut sama ada lelaki itu ditahan polis atau tidak.


- Agensi/Metro

Tuesday 8 December 2015

Insan mulia langsai hutang RM10,000




Johor Bahru: “Hanya Allah dapat membalas jasa baik beberapa insan mulia yang menyalurkan bantuan RM10,000 tanpa mahu mendedahkan identiti, sekali gus melangsaikan hutang rumah dan mengelak satu-satunya aset saya daripada dilelong,” kata lelaki orang kurang upaya (OKU), Suliman Jaafar, 46, semalam. Suliman berkata, hasrat keluarganya untuk membayar balik sumbangan berkenaan secara ansuran sekiranya mampu berbuat demikian turut ditolak penyumbang terbabit yang tidak mengharapkan sebarang balasan. Keluarganya kini mampu menarik nafas lega untuk terus tinggal di kediaman keluarganya berusia 15 tahun itu yang terletak di Taman Teratai, Skudai di sini.


“Dalam usaha membatalkan lelongan, saya terpaksa melangsaikan hutang RM10,000 termasuk kadar bunga kira-kira RM4,000 biarpun tunggakan asalnya hanya RM6,000 selain bagi prosedur pelepasan geran rumah pula, saya dinasihatkan untuk melantik peguam.“Penyumbang berkenaan datang ke rumah secara berasingan dan mereka tidak mahu mendedahkan identiti sebaliknya menyatakan wang diberikannya tidak perlu dipulangkan. “Saya terharu ketika itu dan yakin ia berkat doa orang ramai kepada keluarga kami yang menempuhi keadaan sukar sehingga Allah menghantar insan mulia itu untuk membantu,” katanya.


Suliman berkata, keluarganya juga menerima kunjungan daripada beberapa individu termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan seluruh Johor semata-mata mahu menyalurkan bantuan termasuk barangan keperluan rumah dan kelengkapan sekolah tiga anaknya. “Sokongan moral diberikan mereka amat bermakna bagi membolehkan saya kembali bersemangat dan berusaha untuk mencari rezeki bagi keluarga pada masa depan biar pun bergelar OKU,” katanya.


Pada 3 Disember lalu, akhbar ini menyiarkan kisah seorang lelaki OKU yang hanya mempunyai tempoh 20 hari untuk tinggal di rumah keluarga sebelum ia dilelong. Kisah kesempitan hidup ditanggung bapa kepada lima anak berkenaan menjadi tumpuan pelbagai pihak selepas ia tersebar di media sosial facebook (FB) pada 1 Disember lalu.






- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98629#sthash.uQOoofbq.dpuf

Monday 7 December 2015

2 wanita dipenjara kencing depan keluarga Islam

Natalie Richardson dan Claire Farrell mabuk ketika mereka menghina  
 
ADELAIDE 30 Nov. - Sebuah mahkamah di sini menyifatkan perbuatan dua wanita melondehkan seluar mereka dan membuang air kecil di hadapan sebuah keluarga Islam yang sedang solat di kawasan taman rekreasi Devon, sebagai menjijikkan dan mengenakan hukuman penjara selama enam bulan seorang.
Bagaimanapun, hukuman terhadap mereka telah ditangguhkan.
Portal berita, northdevonjournal.co.uk melaporkan, Natalie Richardson, 32, and Claire Farrell, 36, mabuk ketika mereka melakukan perbuatan tersebut.
Selain itu, kedua-dua tertuduh juga bertindak menyerang orang awam yang mempertahankan keluarga Islam tersebut.
Ketika perbicaraan, mahkamah dimaklumkan, tertuduh melakukan perbuatan berkenaan di hadapan pasangan suami isteri bersama bersama enam orang anak mereka di Central Park, Plymouth.
Bagaimanapun, Richardson dan Farrell, memohon maaf selepas kejadian tersebut dan dikenakan hukuman penjara.
Hakim John Trevaskis dirakamkan berkata: “Tiada sesiapa dalam masyarakat bertamadun boleh melihat sikap kamu dan berdiam diri terutama dalam masyarakat pelbagai budaya sekarang. Saya sifatkan perbuatan ini sebagai menjijikkan.
Kedua-dua suspek mengaku bersalah melakukan ancaman perkauman dan berkelakuan tidak senonoh sehingga menyebabkan gangguan awam pada 16 Ogos lalu.

-utusan



Friday 4 December 2015

Lelaki bela lintah gergasi sebagai haiwan peliharaan




RAKAMAN video menunjukkan seekor lintah gergasi peliharaan menghisap darah pada lengan tuannya di satu lokasi tidak diketahui di Jepun.




TOKYO, Jepun – Seorang lelaki memilih untuk membela seekor lintah gergasi sebagai haiwan peliharaan selain memuat naik di internet rakaman video haiwan itu menghisap darah pada lengannya.

Video yang agak menggerunkan itu menunjukkan lintah gergasi sebesar lengan diberi makan tengah malam dengan menghisap darah tuannya sendiri.

Sambil lintah terus menghisap darahnya, lelaki yang tidak dikenali itu secara bersahaja menyuluh lampu di badan haiwan peliharaannya bagi menunjukkan saiz sebenar makhluk tersebut.

Seekor lintah akan menggigit sebelum melekatkan mulut pada kulit mangsanya dan terus menghisap darah sehingga kenyang sebelum melepaskan cengkamannya.

Kebanyakan spesies lintah bagaimanapun tidak memakan darah manusia dan lebih menyukai haiwan kecil tanpa tulang yang ditelannya sekali gus seperti seekor ular sawa.

Lintah yang memang digunakan dalam perubatan tradisional juga telah kembali digunakan dalam perubatan alternatif khususnya bagi mengelakkan darah membeku serta pembedahan plastik.

– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3ruUBsQHp

Ikan mati jadi hiasan

Antara gambar yang dikongsikan Elya Bulochka yang menggunakan
MOSCOW 3 Dis. – Seorang jurusolek Rusia mencetuskan kemarahan orang ramai apabila membunuh ikan peliharaan untuk dijadikan sebagai sebahagian solekan model bagi pertunjukan fesyen.

Portal Mail Online melaporkan, kontroversi itu tercetus apabila jurusolek terbabit, Elya Bulochka menyiarkan gambar muka-muka model yang dihiasi ikan mati jenis angelfish dan neons yang kebiasaannya dibela di dalam akuarium.

Tambah laporan berkenaan, tindakan itu mencetuskan kemarahan kumpulan pencinta haiwan yang menyifatkan pembunuhan ikan tersebut sebagai tidak wajar dan bukan satu seni seperti yang didakwa oleh jurumekap terbabit.

Semua imej itu yang dikongsi di laman sosial Instagram dengan kapsyen ‘Mermaid’ disiarkan beberapa hari lalu, namun telah dipadamkan oleh Bulochka, yang mempunyai 25,000 pengikut.

“Hari ini seekor ikan mati, esok jari manusia pula digunakan sebagai hiasan. Tindakan ini tidak layak digelar sebagai seni mekap,” marah seorang pengikut jurusolek itu.

Seorang lagi pengikut Bulochka berkata, kreativiti yang cuba ditonjolkan jurusolek itu bukan seni, tetapi tindakan orang bodoh yang membunuh haiwan tanpa sebab.

“Haiwan bukan benda, kenapa sukar sangat untuk memahami perbezaan tersebut?,” katanya.
Namun Bulochka membalas semula kritikan tersebut yang disifatkan sebagai berat sebelah.
“Sebelum menulis komen, ingat semula bila kali terakhir anda makan ikan,” ujarnya.

-Utusan