Friday 29 September 2017

Jerung melekap enggan lepaskan perut




Marthon (Amerika Syarikat): Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas perutnya digigit anak jerung ketika menyelam di perairan Marthon, Florida baru-baru ini.
Dalam satu rakaman video, Ervin Maccarty dilihat keluar dari laut dan terus naik ke bot dengan seekor anak jerung melekat di perutnya.
Maccarty cuba menarik ikan jerung itu tetapi haiwan berkenaan enggan melepaskan gigitannya menyebabkan lelaki itu mengerang kesakitan.
Beberapa rakannya cuba membantu tetapi ikan jerung itu terus menggigit perut Maccarty dengan kuat.
Selepas berusaha, mereka akhirnya mengambil keputusan menikam ikan jerung berkenaan supaya ia melepaskan gigitannya.
Selepas beberapa saat, ikan jerung itu mati dan perlahan-lahan melepaskan gigitan di perut Maccarty.
Maccarty berkata, dia menyelam untuk mencari udang karang sebelum seekor anak jerung tiba-tiba menyerangnya.
“Anak ikan jerung ini sangat agresif dan ia terus menggigit perut saya menyebabkan saya hampir lemas.
“Saya terpaksa segera naik ke permukaan dan berenang ke bot untuk meminta bantuan rakan

-Metro

Thursday 28 September 2017

Lahir anak dalam lif hospital [VIDEO]

SEORANG wanita penjaga lif sebuah hospital di Shandong, China, mendapat pengalaman baru apabila membantu seorang pesakit melahirkan anak dalam lif kerana wanita itu tidak sempat sampai ke bilik bersalin.
Li Fengling yang bekerja sebagai penjaga lif di Hospital Rakyat Daerah Wenshang, berkata wanita sarat mengandung itu masuk ke dalam lif dalam keadaan menahan kesakitan.
Menurut laporan Daily Mail hari ini, rakaman CCTV menunjukkan wanita itu terduduk selepas memasuki lif dan Li segera menghentikan lif, mengarahkan penumpang lain keluar bagi membolehkan petugas perubatan memberi rawatan.
Jururawat Lin Jun kemudian membantu wanita itu bersalin dalam lif berikutan sudah tidak sempat membawanya ke bilik bersalin kerana menurut Lin, kepala bayi sudah keluar.
Wanita itu bernasib baik kerana masih sempat sampai ke hospital.
Petugas hospital kemudian mengangkat wanita itu ke bilik rawatan bersama bayinya yang dilapor sihat dengan berat 2.72 kilogram.

-Metro


https://youtu.be/r7SYbRQi4nc
https://youtu.be/r7SYbRQi4nc?t=63

Wednesday 27 September 2017

Sami Buddha serbu rumah perlindungan Rohingya


SAMI Buddha Sri Lanka mengetuai penduduk tempatan menyerbu rumah perlindungan disediakan PBB untuk pelarian Rohingya di Colombo hari ini, memaksa pihak berkuasa memindahkan pelarian terbabit.
Sami terbabit mengetuai perusuh memecah masuk kawasan rumah menyebabkan 31 pelarian mengurung diri di tingkat paling atas dalam ketakutan sehingga diselamatkan.
Menurut seorang pegawai polis, pihaknya berjaya menyuraikan perusuh dan pelarian akan ditempatkan di lokasi baru.
Seramai 31 pelarian itu diselamatkan tentera laut Sri Lanka Mei lalu, ketika hanyut dalam bot mereka.
Pelarian itu akan dihantar ke negara ketiga dan dibenar berada di Sri Lanka menunggu dokumen mereka siap.
Dalam rakaman video oleh kumpulan pelampau Sinhale Jathika Balamuluwa (Tentera Kebangsaan Sinhalese), seorang sami mendesak orang ramai meruntuhkan bangunan menempatkan pelarian terbabit.
“Inilah pengganas Rohingya yang membunuh sami Buddha di Myanmar," kata sami berkenaan yang disiarkan secara langsung di Facebook, menunjuk kepada wanita Rohingya yang ketakutan memeluk anak kecil mereka.
Sami Buddha yang radikal di Sri Lanka mempunyai hubungan rapat dengan sami Buddha di Myanmar dan mereka didakwa mencetuskan keganasan terhadap Islam minoriti di negara masing-masing.

-Metro

Tuesday 26 September 2017

Suami isteri bunuh, makan 30 orang

SATU pasangan di wilayah Krasnodarsky, selatan Russia, ditahan selepas mengaku membunuh dan memakan sekurang-kurangnya 30 orang sejak 18 tahun lalu.
Difahamkan, polis sudah menemui sekurang-kurangnya lapan anggota tubuh manusia dan sedang memeriksa rumah mereka bagi mencari bukti lain, termasuk anggota tubuh manusia.
Lelaki berkenaan yang dilaporkan media tempatan dikenali sebagai Dmitry Bakshaev, 35, memberitahu polis kegiatan kejamnya itu bermula sejak 1999.
Menurut Daily Mail, portal berita Russia, Mash, melaporkan isteri lelaki itu, Natalia, 42, seorang jururawat dan mereka digelar ‘keluarga kanibal’.
Pasangan itu ditahan selepas polis menemui gambar seorang lelaki bersama anggota tubuh manusia dalam telefon yang ditemui.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Russia yang mengendalikan jenayah berat Russia, Dimitry dan isterinya menyimpan anggota tubuh manusia dalam peti sejuk dan peti sejuk beku serta di ruang bawah tanah.
Antara anggota tubuh manusia yang ditemui di ruang bawah tanah pasangan itu ialah milik seorang wanita yang anggota tubuhnya ditemui di tepi jalan di Krasnodar pada 12 September lalu.

Wanita berusia 35 tahun dipercayai mangsa terbaru Dimitry dan isterinya yang anggota tubuhnya ditemui di tepi jalan di Krasnodar pada 12 September lalu. - Foto Daily Mail
Pekerja pembersihan menemui telefon bimbit berkenaan pada hari yang sama dan menyerahkannya kepada polis.
Dimitry dan isterinya mengaku melakukan jenayah itu ketika soal siasat.
Media tempatan menyiarkan gambar Dimitry bersama seorang wanita berusia 35 tahun yang tidak dinyatakan nama serta hubungan dengan Dmitry namun menurut sumber siasatan, wanita itu dipercayai mangsa terbaru.
Polis menemui tujuh anggota tubuh manusia sejuk beku dan pasangan itu juga mengawet anggota tubuh dalam balang kaca seperti jeruk. Turut ditemui 19 bukti dipercayai kulit manusia.
Polis turut menemui satu beg plastik berisi aksesori wanita

Anggota tubuh manusia yang ditemui tersimpan dalam balang dan kanan, gambar kepala manusia dalam pinggan dihiasi hirisan limau bertarikh 28 Disember 1999. - Foto Daily Mail
Antara gambar yang ditemui di rumah pasangan itu ialah kepala manusia dalam pinggan dihiasi hirisan limau bertarikh 28 Disember 1999.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dadah untuk ‘menidurkan’ mangsa sebelum membunuh dan melapah mereka.


-Metro

Monday 25 September 2017

Lesap lepas lahir bayi kembar siam secara normal



Lucknow (India): Seorang wanita yang melahirkan anak kembar siam secara normal menghilangkan diri selepas doktor memintanya kembali ke hospital untuk menjalani pembedahan bagi memisahkan bayi itu.
Wanita berusia 32 tahun itu melahirkan bayi kembar siam berkenaan di Hospital Bhawani Prasad di negeri Uttar Pradesh pada 2 September lalu.
Dr Rahul Aggarwal yang menyambut kelahiran bayi itu berkata, wanita berkenaan tidak tahu dia mengandung anak kembar kerana tidak pernah membuat imbasan ultrabunyi.
“Wanita itu melahirkan anak berkenaan dalam tempoh sejam.
“Melahirkan bayi kembar siam terutama sekali bercantum di bahagian badan secara normal adalah sangat mencabar dan sangat jarang berlaku,” katanya.
Menurutnya, bayi itu berkongsi satu tali pusat dan masing-masing mempunyai organ penting yang lengkap.
Bagaimanapun, jantina bayi itu tidak dapat diketahui kerana mereka perlu menjalani pembedahan pemisahan.
“Ibu dan bayi itu berada dalam keadaan sihat dan kami membenarkannya pulang sementara ke rumah.
“Bayi itu saya rujuk ke Institut Sains Perubatan Seluruh India di New Delhi untuk pembedahan tetapi wanita itu tidak dapat dihubungi,” jelasnya.
Menurutnya, dia bimbang sekiranya bayi itu tidak dibawa ke hospital mereka mungkin berdepan komplikasi kesihatan.

 - Agensi/Metro

Thursday 21 September 2017

30 tahun, 145 ijazah


Chennai: Seorang lelaki di sini dianggap individu paling banyak menggenggam ijazah di dunia apabila mempunyai 145 sijil akademik dalam tempoh 30 tahun.
Profesor VN Parthiban yang mengajar di beberapa universiti di sini berkata, dia masih dahagakan ilmu dan tidak merancang berhenti belajar.
Parthiban, 56, memberitahu, perjalanannya bermula sejak dia mengambil ijazah pertama di sebuah universiti di sini kira-kira 30 tahun lalu.
Katanya, dia bukan seorang pelajar yang pintar dan tidak pandai mengatur waktu belajar menyebabkan dia selalu gagal dalam peperiksaan.
Bagaimanapun, selepas beberapa kali berusaha dia akhirnya berjaya mendapatkan ijazah pertamanya.
Kerana tertarik dengan subjek dan kajian yang ditawarkan di universiti, Parthiban mengambil keputusan untuk belajar semula bagi mendapatkan ijazah keduanya.
Sejak itu, Parthiban mula ketagih belajar dan dia mengambil beberapa jurusan ijazah dan diploma pada satu-satu masa.
“Selama 30 tahun hidup saya dihabiskan dengan proses belajar dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.
Parthiban kini mempunyai tiga ijazah sarjana sains, lapan ijazah sarjana undang-undang, lapan ijazah sarjana kewangan, sembilan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan, 10 ijazah sarjana seni dan 12 ijazah dalam pelbagai bidang kajian.
Apabila ditanya apakah subjek yang tidak disukainya, Parthiban dengan pantas menjawab, matematik.
Malangnya, terdapat kesan sampingan negatif yang dialami Parthiban kerana terlalu banyak mengingati maklumat.
Parthiban kini mengalami kesukaran mengenali wajah seseorang dan dia juga sering lupa jalan yang sering dilaluinya.
Namun, bapa kepada dua anak itu masih berazam untuk belajar lagi.

-Metro

Wednesday 20 September 2017

Lelaki bunuh, makan wanita ditembak mati



POLIS menembak mati seorang lelaki ‘kanibal’ yang memakan daging wanita selepas membunuh dengan mengelar leher mangsa di Mount Frere, Afrika Selatan.
Dalam kejadian pada 9 September lalu, lelaki itu, Aphiwe Mapekula, 23, mati di hospital akibat terkena tembakan di lengan, kaki dan perut oleh polis yang cuba menahannya di rumahnya.
Lelaki itu tidak menghiraukan beberapa tembakan amaran sebaliknya terus memakan daging Thembisa Masumpa secara mentah dan polis menembaknya apabila dia menyerang mereka dengan pisau.
Menurut The Sun UK, Aphiwe menyerang dan mengelar leher wanita 35 tahun itu sebelum membelasah kepalanya.
Menurut polis, lelaki itu menarik mangsa dari jalan raya sebelum membelasah dan membunuhnya namun menurut jiran, wanita itu sedang bekerja mengambil upah di rumah keluarga Aphiwe apabila dia diserang.
Ibunya yang terkejut melihat perbuatan anaknya yang kejam itu segera menghubungi polis.
Kapten polis Edith Mjoko, berkata anggota yang tiba terkejut melihat Aphiwe sedang membaham wanita berkenaan dan terpaksa menembaknya apabila dia menyerang mereka dengan pisau.
Ibu lelaki itu berkata: “Saya tidak melahir dan membesarkan anak yang seperti ini.”
Datuk Bandar, Bulelwa Mabengu, mengesyaki lelaki itu di bawah pengaruh dadah.
Ia kejadian ‘kanibal’ kedua di Afrika Selatan bulan ini. Sebelum ini, enam lelaki ditahan selepas seorang wanita dirogol, dibunuh dan mayatnya dipotong dengan beberapa anggota tubuhnya dimakan.
Polis mengesyaki ia ada kaitan dengan upacara ilmu hitam diketuai bomoh selepas menemui lapan telinga manusia dalam periuk di Estcourt kerana percaya memakan daging manusia boleh menjadi kebal.
Pihak berkuasa kemudian mendapati 300 penduduk mengaku makan daging manusia, termasuk mayat yang digali dari kubur.

-Metro

Tuesday 19 September 2017

30 minit anu dalam mulut ular



Bangkok: Seorang lelaki berjuang selama 30 minit dengan bantuan isteri dan jiran untuk melepaskan kemaluannya daripada gigitan ular sawa sepanjang tiga meter yang muncul dari lubang tandas di rumahnya ketika dia bertinggung untuk membuang air, pagi semalam.
Dalam temuramah dengan stesen televisyen Thai Channel 7, Attaporn Boonmakchuay, 38, berkata dia bertinggung untuk menggunakan tandas seperti kebiasaan apabila tiba-tiba ular itu muncul dan menggigit kemaluannya.
“Isteri dan seorang jiran bergegas datang membantu. Kami berjaya melepaskan gigitan ular itu selepas isteri membelit tali pada reptilia berkenaan membolehkan saya mengoyak mulut ular bagi membebaskan kemaluan sebelum saya pengsan,” katanya yang ditemuramah di hospital.
Anggota penyelamat terpaksa memecahkan mangkuk tandas jenis tinggung di rumahnya di wilayah Chachoengsao, 90 kilometer di timur Bangkok bagi mengeluarkan ular berkenaan yang kemudian dilepaskan ke dalam hutan.
Menurut doktor, kemaluan Attaporn tidak putus dan dia dalam keadaan stabil serta akan pulih daripada kecederaannya.

-Metro

Pawang buaya maut dibaham buaya



Samarinda (Indonesia): Seorang lelaki yang mengaku pawang buaya maut dibaham buaya kelmarin ketika melakukan satu upacara untuk menangkap reptilia ganas berkenaan.
Suprianto, 38, maut akibat dibaham buaya ketika berenang di sebatang sungai di Muara Jawa daerah Kutai Kartanegara, Kalimantan timur.
Lelaki itu dilaporkan sedang melakukan upacara untuk menangkap seekor buaya yang membaham seorang remaja, Arjuna, 16, pada Jumaat lalu.
Akhbar Kaltim Post melaporkan, Suprianto yang mengaku pawang buaya menawarkan diri untuk menangkap buaya yang membunuh remaja itu.
Selepas melakukan upacara, Suprianto turun ke dalam sungai di lokasi Arjuna diserang dan menyelam sebelum timbul semula.
Ketika Suprianto berenang untuk ke lokasi lain, secara tiba-tiba lelaki itu tenggelam dipercayai disambar buaya yang mengheretnya ke dasar sungai.
Kejadian itu disaksikan puluhan penduduk dan video Suprianto turut tular di media sosial di Indonesia.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu mayat kedua-dua mangsa masih belum ditemui. 


- Agensi/Metro

Monday 18 September 2017

Curi tempat duduk mangkuk tandas



Beijing: Dua pelancong China meminta maaf kerana cuba membawa tempat duduk mangkuk tandas hotel mereka sebagai cendera hati percutian di Jepun.
Pasangan suami isteri itu menemui alat berkenaan di bawah katil mereka yang disimpan di situ sebagai ganti sekiranya yang sedia ada di dalam tandas rosak.
Mereka kemudian mengambilnya kerana menyangka perbuatan itu tidak dikesan sesiapa.
Bagaimanapun, kakitangan hotel di Nagoya itu berjaya menghidu perbuatan mereka dan pihak pengurusan terus menghubungi pemandu pelancong mereka menuntut pasangan itu segera memulangkan barangan berkenaan.
Pada mulanya pasangan itu menafikan tuduhan berkenaan, namun terpaksa membuat pengakuan selepas ia ditemui di dalam bagasi mereka.
Sebagai penjelasan, mereka mendakwa menyangka tempat duduk itu ditinggalkan di bawah katil oleh penghuni terdahulu bilik berkenaan.
Pasangan itu turut menulis surat ‘meminta maaf seikhlasnya’ atas kejadian berkenaan dan berjanji tidak mengulanginya.
Mereka dijadualkan kembali ke hotel itu pada hujung percutian mereka.
Tempat duduk mangkuk tandas Jepun yang canggih amat diburu pelancong China ke negara itu.
Pada festival musim bunga lalu, seorang lelaki dari Hangzhou pergi ke Jepun semata-mata mahu membeli barangan berkenaan tetapi kecewa selepas mendapati ia dibuat di kilang diHangzhou. 

- Agensi/Metro

Janin tunjuk tanda bagus


Manchester: Sepasang suami isteri di sini terkejut selepas anak mereka yang masih dalam kandungan dirakam menunjukkan isyarat bagus ketika pemeriksaan ultrabunyi.
Pasangan berkenaan, Paul Schofield, 31, dan isterinya Cheryl Stevenson, 32, membuat pemeriksaan rutin di Hospital Saint Mary di sini baru-baru ini.
Schofield dan Cheryl serta beberapa jururawat di hospital berkenaan terkejut serta ketawa selepas melihat imej janin itu.
Jururawat yang menjalankan pemeriksaan ultrabunyi itu memberitahu bahawa, mereka tidak pernah melihat bayi yang masih dalam kandungan menunjukkan isyarat bagus begitu jelas.
“Jururawat itu berkata, mereka pernah melihat bayi yang masih dalam kandungan menunjukkan isyarat tangan, tetapi tiada yang sejelas ini.
“Dia membawa kebahagiaan dalam hidup kami,” kata Schofield.
Dalam pemeriksaan itu pasangan berkenaan dapat mengesahkan anak yang dikandung Cheryl lelaki.
Pasangan berkenaan sudah bersama selama lima tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 bulan.
“Ini sangat menakjubkan dan ramai yang bertanya adakah gambar anak kami ini tulen.
“Bagi kami ini gambar yang sangat berharga dan kelihatan bayi kami sangat bahagia dalam rahim sehingga menunjukkan isyarat bagus,” ujar Cheryl.
Menurut pasangan berkenaan, mereka masih belum memutuskan nama untuk anak mereka itu. 

- Agensi/Metro

Friday 15 September 2017

Bunuh diri tak tertanggung sakit bersalin


DUA kakitangan sebuah hospital di Yulin, wilayah Shaanxi, digantung kerja selepas seorang wanita hamil membunuh diri dengan terjun dari bangunan hospital akibat tidak tahan sakit berikutan pihak hospital enggan melakukan pembedahan Caesarean terhadapnya.
Dalam kejadian yang menggemparkan orang ramai pada 31 Ogos lalu, wanita berkenaan, Ma Rongrong, 26, terjun dari tingkat lima hospital.
Hospital berkenaan dilapor enggan melakukan pembedahan berkenaan yang diketahui mempunyai banyak risiko kerana keluarga wanita itu tidak membenarkan pembedahan terbabit.
Menurut Daily Mail yang memetik laporan People's Daily Online, pasukan penyiasat mengumumkan pengarah dan ketua jabatan sakit puan hospital itu digantung tugas, Isnin lalu.
Ma mengalami kesakitan yang amat sangat ketika hendak bersalin dan dimasukkan ke hospital itu pada 30 Ogos dan membunuh diri kira-kira 8 malam sehari kemudian.
Rakaman video yang beredar di media sosial China menunjukkan wanita itu keluar dari bilik bersalin mencari keluarganya dan dilihat menahan kesakitan ketika berlutut di depan keluarga serta jururawat, dikatakan merayu supaya mereka memberi kebenaran pembedahan dilakukan.
Di China, doktor hanya akan melakukan pembedahan besar selepas mendapat kebenaran bertulis keluarga pesakit.
Laporan media menyatakan hospital mendakwa sudah memberitahu keluarga wanita itu bahawa Ma menghadapi risiko jika bersalin secara normal kerana kepala bayinya terlalu besar.
Selepas kejadian itu, suami mangsa, Yan Zhuangzhuang, 29, mengeluarkan kenyataan selepas dia dan keluarga dikecam orang ramai mendakwa doktor enggan melakukan pembedahan itu pada saat-saat akhir.
Portal bersekutu People's Daily, Huanqiu.com, melaporkan pihak hospital mendakwa mencapai persetujuan dengan keluarga wanita itu, termasuk bayaran ganti rugi serta keluarga mangsa tidak lagi membuat kenyataan kepada media.
Pasukan penyiasat Biro Kesihatan Yulin itu tidak menyatakan kenapa atau bagaimana pembedahan Caesarean tidak dilakukan selepas keluarga mangsa akhirnya membenarkannya.
Pasukan itu menegaskan pihak hospital sudah mengambil semua langkah perlu, termasuk memberitahu perkembangan kepada keluarga namun, ia tidak menyediakan ‘penjagaan kemanusiaan secukupnya kepada wanita hamil’ menyebabkan dua kakitangan itu digantung kerja.

-Metro


Thursday 14 September 2017

Salib anak tidak siap kerja sekolah



Chongqing (China): Seorang bapa bertindak mengikat anak lelakinya yang berusia 10 tahun pada sebatang kayu berbentuk salib sebagai denda kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Kanak-kanak itu dirakam melutut dengan tangannya diikat pada kayu berbentuk salib dan dibiarkan di luar kedai buah, selama hampir sejam.
Seorang jiran yang bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu mengambil gambar kejadian berkenaan dan memuat naik ke laman sosial di China.
Jiran itu berkata, bapa kanak-kanak yang mengusahakan kedai buah berkenaan terkenal dengan sifat tegas terhadap dua anak lelakinya.
Lelaki itu dikatakan berang selepas guru sekolah mengadu bahawa anak lelakinya sekali lagi tidak menyiapkan kerja sekolah.
Sebagai hukuman kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, lelaki itu mengarahkan anaknya berlutut di atas raga plastik dan kayu berbentuk salib diikat pada belakangnya.
Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan sering mengenakan denda seperti itu kepada anaknya.
Selepas gambar itu tular di media sosial, lelaki berkenaan dilaporkan berjumpa dan memarahi jirannya.
Lelaki itu juga mengancam untuk menyaman jirannya kerana merakamkan gambar anaknya tanpa kebenaran. 


- Agensi/Metro

Badan hampir putus disepit lif



Chongqing (China): Seorang lelaki hampir maut apabila badannya hampir terputus dua selepas tersepit di celah lif yang sedang dipasangnya.
Lelaki itu bersama beberapa pekerja dilaporkan memasang lif di sebuah apartmen di bandar ini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, berlaku satu kesilapan menyebabkan lif itu tiba-tiba bergerak ke atas menyebabkan mangsa yang berada di atasnya tersepit.
Dengan darah mengalir keluar, lelaki itu tergantung dalam keadaan kepala ke bawah dan badan serta kakinya tersepit di celah lif.
Anggota paramedik yang tiba tidak lama selepas itu mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri akibat terlalu lama tergantung.
Bomba kemudian menggunakan alatan hidraulik untuk membuka lif berkenaan sebelum berjaya menarik lelaki itu keluar.
Kata bomba, lelaki itu bernasib baik kerana lif itu tidak naik sepenuhnya dan memotong badan mangsa menjadi dua.
Doktor berkata, lelaki itu hanya mengalami kecederaan pada perut dan badan akibat tersepit di celah lif berkenaan.
Namun, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di sebuah hospital di sini.

-Metro

Wednesday 13 September 2017

Mati diserang pemangsa misteri, pontianak?



PENDUDUK di Gunungkidul, Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Indonesia kini pelik dengan kejadian sejumlah kambing milik seorang penduduk mati dalam keadaan aneh apabila semua darah haiwan itu kering dan ada dua lubang pada leher seperti kesan gigitan pontianak.
Menurut laporan Liputan6, pemilik kambing itu, Suraji, di Dusun Danggolo, Desa Purwodadi, Kecamatan Tepus, Gunungkidul, berkata tujuh daripada lapan kambingnya ditemui mati dalam kandang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
“Seekor kambing yang terselamat luka di kaki manakala seekor lembu tidak diapa-apakan,” katanya semalam.
Suraji sudah memasang pagar kayu dan buluh bagi mengelak haiwan buas masuk ke kawasan kandang dan dia menemui kesan tapak kaki kecil di sekitar kandang.
Namun, penduduk berasa pelik kerana badan kambing tiada kesan luka, hanya beberapa bahagian kecil kelihatan seperti dimamah.
Suraji dan penduduk menemui kesan luka di leher yang menyebabkan kambing terbabit kehabisan darah namun tiada kesan lumuran daerah di sekitar kawasan jadian.
“Haiwan pemangsa itu mungkin puluhan jumlahnya dan kesan tapak kaki kecil menuju ke kawasan bukit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian dan Penternakan Gunungkidul, Bambang Wisnu Broto, berkata pihaknya belum dapat memastikan haiwan pemangsa yang menyerang kambing terbabit,
Ketua kampung, Purwodadi Sucipto, mendakwa sudah lebih 50 kambing milik penduduk menjadi mangsa serangan misteri itu dan pihaknya akan mengadakan rondaan selepas ini.

-Metro

Friday 8 September 2017

Rahsia jalan kengkang



Shenzhen, China: Rahsia seorang wanita yang dilihat berjalan dalam keadaan mengengkang terbongkar selepas ditangkap cuba menyeludup 7,200 kad memori yang disembunyi di celah kangkangnya.
Wanita pertengahan usia itu dilaporkan masuk ke China dari Hong Kong melalui pintu sempadan Guangdong di Shenzhen pada Isnin lalu.
Seorang pegawai polis sempadan berkata, dia melihat wanita itu berjalan dengan pelik dan kelihatan cemas.
“Saya melihat wanita itu berjalan dalam keadaan mengengkang dan menahannya kerana mengesyaki dia membawa bahan terlarang.
“Ketika disoal wanita itu kelihatan sangat cemas dan kami bawa ke bilik khas untuk pemeriksaan badan,” katanya.
Menurutnya, ketika pemeriksaan, pihaknya menemui beberapa bungkusan plastik di celah paha suspek yang diikat dengan pita pelekat.
“Apabila beg itu dibuka, kami menemui sejumlah 7,200 kad memori di dalamnya.
“Ketika disoal siasat wanita itu mengaku dia cuba menyeludup kad memori itu ke China untuk dijual,” jelasnya.
Menurutnya, wanita itu ditahan, manakala kes itu disiasat oleh Jabatan Kastam dan Cukai.
Ini bukanlah kali pertama individu cuba membawa masuk barangan elektronik ke China dengan menyembunyikan di bahagian badan.
Sebelum ini, beberapa individu ditangkap apabila cuba menyeludup masuk berpuluh-puluh telefon pintar jenis iPhone yang dilekat pada badan dan kaki.

-Metro

Curiga bakal menantu tak serupa lelaki



DAERAH Purworejo, Indonesia, kecoh dengan kejadian seorang wanita menyamar sebagai lelaki untuk berkahwin dengan kekasihnya, minggu ini. 
Media dan portal berita Indonesia melaporkan, bakal ibu mentuanya yang curiga kerana suara serta tubuh bakal menantunya itu tidak seperti lelaki, membuat laporan polis, beberapa hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan yang dijadualkan Selasa lalu.
Bakal menantunya itu yang nama sebenarnya ialah Nova Aprida Avriani berusia 27 tahun dari Desa Binong, Kota Tangerang, Jawa Barat, menyamar menggunakan nama Pratama, meminang Wilis Setyowati, 26, pada 31 Ogos lalu.
Dia memalsukan dokumen pengenalan diri dan permohonan perkahwinan.
Kompas, kelmarin, melaporkan jurucakap polis Purworejo, Kholiq Mawardi berkata, susulan laporan diterima itu, pihaknya menahan Pratama tetapi mendapati dokumen pengenalan diri suspek menunjukkan dia adalah lelaki.
“Tdak berpuas hati, kami membawa Pratama ke hospital untuk pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan dia adalah wanita.
“Wanita itu akhirnya mengaku menyamar sebagai lelaki untuk berkahwin dengan Wilis yang juga kekasihnya,” katanya.
Kholiq berkata, menurut keterangan keluarga dan saksi, Wilis dan ‘calon suaminya’ itu sudah menjalin hubungan sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, Nova juga mengaku memalsukan dokumen pengenalan diri untuk menyamar sebagai lelaki.
“Kami menahan Nova atas tuduhan penipuan dan pemalsuan dokumen.
“Dia akan didakwa mengikut Fasal 263 berkaitan pemalsuan dokumen dan berdepan hukuman penjara enam tahun jika didapati bersalah,” jelasnya.

-Metro

Thursday 7 September 2017

Isteri lapan suami



Bangkok: Polis Thailand memburu seorang wanita yang didakwa berkahwin dengan sekurang-kurangnya lapan lelaki sebelum menghilangkan diri dengan wang hantaran.
Jariyaporn Buayai, 32, atau dikenali sebagai Nammon diburu selepas lapan lelaki membuat laporan polis mendakwa bekas isteri mereka menghilangkan diri selepas beberapa hari berkahwin.
Semua mangsa memberitahu mereka membayar wang hantaran berjumlah 200,000 baht (RM25,611) hingga 500,000 baht (RM64,021) ketika berkahwin.
Seorang mangsa, Prasarn Tiamyam, 32, membuat laporan polis kelmarin mendakwa bekas isterinya menghilangkan diri selepas empat hari mereka berkahwin.
Katanya, dia menyedari ditipu baru-baru ini selepas terbaca satu kenyataan di Facebook memberi amaran kepada lelaki supaya berhati-hati dengan seorang wanita yang menipu untuk mendapatkan wang hantaran.
“Saya berkenalan dengan Nammon pada Februari 2015 dan berkahwin dengan wanita itu sembilan bulan kemudian selepas dia mendakwa hamil.
“Selepas empat hari berkahwin Nammon menghilangkan diri dan tidak lama selepas itu meminta cerai dengan alasan dia keguguran,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berkenalan dengan Nammon di Facebook dan memindahkan wang hantaran 500,000 baht ke akaun bank wanita itu pada Februari lalu.
“Bagaimanapun, dia enggan melangsungkan perkahwinan dengan alasan tukang tilik memberitahu tahun ini adalah tempoh malang untuk berkahwin,” jelasnya.
Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Wichit memberitahu, dia berhubung dengan tujuh lagi mangsa penipuan wanita itu dan berpakat membuat laporan polis.
Dia juga percaya mangsa wanita itu mungkin lebih ramai lagi kerana ada laporan dia berkahwin dengan lima lelaki pada Ogos lalu.

-Metro

Wednesday 6 September 2017

Lahir anak ketika berdiri di tepi jalan



Yunfu, (China): Satu rakaman video yang tular di China memaparkan detik-detik seorang wanita yang melahirkan anak ketika berdiri di tepi jalan.
Media tempatan melaporkan, wanita itu melahirkan anaknya ketika berjalan kaki untuk pulang ke rumah selepas membeli barang dapur di sini pada Sabtu lalu.
Video itu menunjukkan wanita itu membongkok di tepi jalan dengan kainnya dipenuhi darah.
Beberapa saat kemudian, bayi dilihat bergerak-gerak di kakinya.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian hanya mampu melihat wanita itu melahirkan anaknya seorang diri.
Selepas melihat bayi itu terbaring di atas jalan, beberapa wanita datang memberi bantuan dan menghubungi ambulans.
Apabila ambulans tiba, seorang jururawat membantu wanita itu duduk dan memeriksa bayinya sebelum membalut kanak-kanak itu dengan kain.
Saksi berkata, jururawat memujuk wanita itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut tetapi dia enggan.
Selepas berehat, wanita itu dilihat berjalan kaki pulang ke rumah sambil mendukung bayinya dan menjinjing beg plastik mengandungi barang dapur yang dibelinya. 

- Agensi/Metro

Cawan dalam dubur



Guangzhou, China: Doktor di sebuah hospital di sini terkejut selepas seorang lelaki datang meminta bantuan untuk mengeluarkan cawan kaca yang tersangkut di duburnya.
Lelaki berusia 30-an itu datang ke hospital dalam keadaan kesakitan pada minggu lalu dan memberitahu ada cawan tersangkut di duburnya selama dua hari.
Doktor yang terkejut dengan dakwaan lelaki itu segera membuat imbasan X-ray dan menemui cawan itu berada di atas bahagian rektum.
Satu pembedahan segera diaturkan kerana doktor bimbang lelaki itu boleh maut sekiranya cawan itu tidak segera dikeluarkan.
Media tempatan melaporkan, doktor pada mulanya cuba mengeluarkan cawan itu sama seperti ia masuk ke dubur lelaki berkenaan.
Menggunakan sejenis dadah bagi merehatkan otot di dubur pesakit, doktor berjaya mencapai cawan itu tetapi ia terlalu licin untuk ditarik keluar.
Doktor juga bimbang cawan itu mungkin pecah sekiranya ditarik secara paksa sekali gus menyebabkan kecederaan dalaman yang serius.
Selepas berbincang, doktor memutuskan untuk mengeluarkan cawan berkenaan dengan membedah perut lelaki itu.
Doktor akhirnya berjaya mengeluarkan cawan itu dengan selamat selepas pembedahan yang berlangsung selama lebih sejam.
Lelaki itu yang sudah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak dibenarkan keluar dari hospital selepas beberapa hari dirawat.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan enggan memberitahu doktor atau ahli keluarganya bagaimana cawan itu boleh masuk ke duburnya.

-Metro