Friday 26 May 2017

Cari susu ibu mati


New Delhi: Seorang anak kecil dirakam cuba menghisap susu ibunya tanpa menyedari wanita itu sudah meninggal dunia.
Kejadian itu dirakam berhampiran landasan kereta api di Damoh, Madhya Pradesh, semalam.
Peristiwa menyayat jati itu turut disaksikan anggota polis yang menyiasat laporan mengenai penemuan mayat di tempat kejadian.
Mereka juga terkejut menemui bayi berusia 17 bulan itu menangis dan cuba menyusu.
Saksi, Monu Balmiki, 27, berkata: “Kami melihat seorang wanita terbaring berhampiran landasan kereta api dan memaklumkan polis.
“Tetapi apabila kami menghampirinya kami melihat anaknya cuba menghisap susunya sambil menangis. Kami begitu sebak melihat kejadian itu.”
Ketua polis tempatan, Nand Ram berkata: “Kanak-kanak itu menangis dan cuba menghisap susu ibunya selepas wanita itu tidak memberi tindak balas.
“Kejadian itu amat mengejutkan dan menyayat hati. Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata Ram.
Balmiki berkata, dia dimaklumkan mayat wanita itu sudah dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
“Kami mengesyaki kematiannya akibat kemalangan kerana telinga dan hidungnya berdarah.
Sementara itu, anak wanita terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada jabatan kebajikan.
Jurucakap hospital berkata: “Kanak-kanak itu kesejukan, tetapi tiada masalah kesihatan lain.
“Kami akan memastikan dia terjaga dan buat masa ini kanak-kanak itu diserahkan ke rumah anak yatim sehingga keluarganya ditemui.”

-Metro

Alahai dunia: Cakap terus dengan tuhan


Harare: Seorang pastor yang mendakwa dia mempunyai talian terus dengan Tuhan dirakam kononnya sedang ‘bercakap dengan tuhan’ menerusi telefon di satu majlis di sebuah gereja.
Orang ramai yang hadir di gereja berkenaan kelihatan kagum melihat dan mendengar pastor warga Zimbabwe itu, Paul Sanyangore, 32, berbual dengan tuhan.
“Saya mempunyai talian terus. Saya sebenarnya mempunyai nombor tuhan dan saya boleh menelefonnya jika ada keperluan. Tidak mustahil kita boleh berbual dengan tuhan. Kenapa anda ragu saya menerima panggilan daripadanya. Saya sebenarnya mempunyai nombor terus tuhan dan saya boleh menelefonnya serta menerima arahan daripadanya. Saya menerima nombornya ketika melakukan upacara keagamaan dan saya mendengar suara menyuruh saya menelefonnya,” kata Sanyangore.
Pastor itu berkata, dia akan memberikan nombor itu kepada orang awam pada masa yang sesuai.

-Metro

Thursday 25 May 2017

Anak koyak wang RM31 ribu



PASANGAN suami isteri terkejut besar apabila mendapati anak mereka berusia lima tahun mengoyak wang kertas bernilai 50,000 yuan (RM31,173) selepas meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri di rumah di Qingdao, China.
Dalam kejadian 20 Mei lalu, People's Daily Online melaporkan bapa kanak-kanak itu membawa wang kertas yang dikoyak itu ke bank untuk menukar dengan not baru namun diberitahu dia perlu menyambung not terbabit sebelum boleh ditukar.
Menurut laporan itu, kanak-kanak berkenaan menemui wang kertas berkenaan dalam rumah dan ketika bermain, mengoyak not terbabit menjadi cebisan kecil.
Bapanya yang dikenali sebagai Gao adalah peniaga dan wang berkenaan adalah pinjaman daripada bank.
Menurutnya, banyak not terbabit dikoyak menjadi cebisan kecil menyebabkan sukar untuk disambung.
“Saya sudah berusaha menyambung selama dua hari, hanya berjaya menyambung beberapa keping. Sebahagian besar wang itu dikoyak kepada tiga cebisan, ada yang sampai belasan cebisan,” katanya.

-Metro

Jururawat 'seksi' berhenti kerja

AKIBAT gambar berpakaian seragam yang dikatakan ‘terlalu seksi’ menjadi tular, seorang jururawat sebuah hospital swasta di Isan, Thailand, terpaksa meletak jawatannya selepas ia tidak disenangi pihak pengurusan.
Gambar Parichat 'Pang' Chatsri, 26, berpakaian seragam jururawat yang agak ketat dengan skirt di atas lutut mengundang komen negatif di media sosial selepas disiarkan di laman web Thai Nurse Lovers Association.
Menurut Daily Mail, ada pengguna media sosial menuduhnya berpakaian tidak sopan dan mencalarkan profesion jururawat.
Berikutan komen negatif itu, Parichat memohon maaf secara terbuka.
“Saya sudah memberi penjelasan kepada pihak pengurusan hospital namun mereka anggap kejadian itu merendahkan imej hospital.
“Saya faham dan tidak mahu ia diperbesarkan, jadi saya letak jawatan.
“Saya memohon maaf kepada semua Majlis Jururawat dan Bidan Thailand serta hospital,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu menimbulkan masalah dan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

-Metro

Tuesday 23 May 2017

Mak... Tolong!



KELUARGA dan seorang budak perempuan kini trauma selepas seekor singa laut menarik kanak-kanak itu ke dalam air ketika mangsa duduk di tepi jeti di Steveston Fisherman's Wharf di Richmond BC, Kanada.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku hujung minggu lalu, seorang lelaki memberi makanan kepada singa laut itu yang kemudian menghampiri jeti.
Kanak-kanak itu datang untuk melihat haiwan itu makan dan kemudian duduk membelakangkannya.
Tiba-tiba haiwan itu melonjak dari dalam air dan menggigit baju kanak-kanak berkenaan, menariknya ke dalam air.
Seorang lelaki dipercayai ahli keluarga kanak-kanak itu terjun ke dalam air dan menyelamatkannya dan mereka kemudian meninggalkan jeti berkenaan.
Rakaman video ini dirakam Michael Fujiwara dari Vancouver yang memberitahu Vancouver Sun: “Saya sedang duduk di jeti apabila singa laut itu muncul. Saya keluarkan telefon dan mula merakam
“Haiwan itu menarik perhatian ramai orang, termasuk kanak-kanak itu.
“Saya rasa keluarganya muka memberi makanan kepada singa laut itu.”
Tidak dapat dipastikan tujuan singa laut berkenaan menarik budak perempuan itu ke dalam air.

-Metro

Monday 22 May 2017

'Pak Cik Gemuk' kena diet, bersenam


SEEKOR monyet yang digelar ‘Pak Cik Gemuk' di pinggir Bangkok, diselamatkan jabatan hidupan liar Thailand kerana terlalu gemuk selepas mewah dengan makanan yang diberi pelancong menyebabkan badannya kini seberat 27.2 kilogram - tiga kali ganda berbanding berat normal monyet seusianya.
Anggota jabatan perlindungan hidupan liar Thailand menangkap monyet itu di sebuah pasar di Bangkok selepas gambar monyet berkenaan tersebar di media sosial.
“Tidak mudah untuk menangkapnya kerana dia ketua sekumpulan monyet. Kami terpaksa melawan monyet lain dengan kayu,” kata seorang anggota jabatan itu, Kacha Phukem, yang menangkap ‘Pak Cik Gemuk’ bulan lalu.
Sebagai ketua kumpulan, Pak Cik Gemuk yang berusia dianggar antara 10 hingga 15 tahun itu, mewah dengan makanan yang dibawa kepadanya oleh monyet lain.
Menurut Daily Mail, Jabatan Taman Negara dan Perlindungan Hidupan Liar Thailand menempatkan monyet itu pusatnya di Nakhon Nayok, kira-kira 160 kilometer dari Bangkok.
Selain diet, Pak Cik Gemuk juga perlu bersenam - dipaksa berlari dan bergayut bersama monyet lain bagi mengurangkan berat badannya.
“Selain untuknya, makanan yang dibawa kepadanya juga dibahagikan kepada monyet lain.
“Ia kini agak kritikal dengan risiko tinggi diserang sakit jantung serta diabetis,” kata Supakarn Kaewchot yang bertanggungjawab menjaga pemakanan monyet gemuk berkenaan.
Diet Pak Cik Gemuk kini hanya 400 gram protein, buah dan sayuran setiap hari.
Perut monyet berkenaan buncit kerana terlalu banyak makanan manis, susu kocak, jagung manis adan mi
Supakam berharap dapat melepaskan kembali Pak Cik Gemuk ke hutan beberapa bulan lagi selepas berat badannya menjadi sekitar lapan kilogra,
Menurutnya, apa yang berlaku terhadap Pak Cik Gemuk contoh terbaik kepada manusia supaya tidak memberi makanan tidak sihat, terutama minuman berkarbonat dan makanan ringan kepada monyet liar.
“Pak Cik gemuk kerana makan apa saja diberi orang. Dia tidak sakit tapi perlukan bantuan. Dia suka makan dan ramai yang memberinya makanan setiap hari,” katanya.

https://youtu.be/vvMMYzCxclA


-Metro

Demi anak, ibu bagi rahim




SEORANG wanita berusia 43 tahun mendermakan rahimnya kepada anak perempuannya yang berusia 21 tahun melalui pembedahan pertama seumpamanya di India dengan harapan anaknya yang dilahirkan tanpa rahim, berpeluang merasai pengalaman melahirkan anak.
Pembedahan sukar selama lapan jam itu dilakukan di Pune, selatan India, Khamis lalu, oleh sepasukan doktor dan pembantu di Hospital Penjagaan Galaxy Pune diketuai pengarah perubatan hospital itu, Dr Shailesh Puntambekar.
Portal berita kfor.com yang memetik CNN melaporkan, Shailesh berkata, pembedahan itu amat sukar kerana banyak saluran darah utama perlu disambung manakala saluran darah lain pula kecil dan pendek.
Beliau berkata, pesakit perlu menunggu setahun bagi membolehkan luka pembedahan sembuh serta tubuhnya menyesuaikan dengan rahim berkenaan
sebelum boleh cuba hamil melalui IVF.
Menurut Dr Mats Brannstrom, seorang profesor perubatan di Universiti Gothenburg, Sweden, hanya enam bayi dilahirkan melalui rahim pindahan dengan dua oleh ibu yang sama.
Brannstrom mengetuai pasukan yang melakukan pembedahan pemindahan pertama yang berjaya pada 2014 selepas 11 pembedahan lain oleh pasukannya serta pasukan lain di seluruh dunia, gagal, membolehkan bayi pertama dilahirkan di Sweden.
Semua lima lagi bayi hasil pembedahan yang dilakukan pasukan perubatan Sweden dan dunia kini menunggu hasil pembedahan di India itu.
Pembedahan pemindahan rahim yang berjaya amat jarang kerana prosesnya yang kompleks serta rumit dan pembedahan yang pertama di India itu ialah percubaan yang ke-30 di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Brazil, Sweden, China, Jerman, Serbia, Czechoslovakia, Arab Saudi dan Turki.
Menurut Brannstrom, pembedahan itu pada masa depan boleh lakukan terhadap wanita yang menghidap penyakit rahim atau lelaki yang menukar jantina membolehkan mereka hamil dan melahirkan anak.
“Namun masuk banyak penyelidikan perlu dilakukan dan saya menjangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sebelum boleh menjadi prosedur klinikal,” katanya.

-Metro

Friday 19 May 2017

Peluk mayat anak dipenuhi ulat



BAPA mangsa rogol yang dibunuh kejam, terpaksa membersihkan ratusan ulat pada tubuh anak gadisnya yang berusia 22 tahun ketika mengenal pasti mayat yang ditemui ditinggalkan di tengah padang tepi hutan, di bandar Sonipat, kira-kira 40 kilometer di utara New Delhi, India, 9 Mei lalu.
Sebelum kejadian, wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerja bahagian pembungkusan sebuah syarikat farmasi apabila diculik sekumpulan lelaki, termasuk seorang yang ditolak lamaran untuk mengahwini wanita berkenaan.
Bapa mangsa, Mahender Singh, 45, berkata dia pergi ke Post Graduate Institute of Medical Sciences (PFGIMS) di Rohtak, pada 12 Mei lalu, tiga hari selepas anaknya hilang untuk mengenal pasti mayat anaknya itu.
“Mayatnya sukar dikenal pasti. Sebaik tiba saya dapati mayatnya berada dalam tong, tiada siapa meletakkannya di atas katil atau pengusung.
“Ada 200 ulat pada tubuhnya dan saya peluk sebelum angkat mayatnya ke atas pengusung. Doktor mengambil masa empat jam untuk membuang ulat terbabit,” katanya.
Menurutnya, dia mengenal pasti mayat anaknya itu berdasarkan pakaian dan rantai yang diberi ibunya beberapa hari sebelum kejadian.
Selain kepala dan mukanya pecah akibat dihentak benda keras, dipercayai bata, bedah siasat mendapati organ dalaman serta kemaluan mangsa rosak teruk. Tubuh mangsa juga didapati digilis dengan kenderaan.
Menurut Daily Mail, doktor juga menemui dawai dimasukkan ke dalam mulutnya manakala sebahagian rambutnya dicabut.
Pengarah Jabatan Forensik PFGIMS, Dr Suresh Kumar Dhatterwal, berkata mayat mangsa ‘dimusnahkan dengan amat kejam’ bagi menghapuskan identitinya.
“Tempurung kepalanya pecah teruk. Kami percaya beberapa lelaki merogol dan membunuhnya,” katanya.
Seorang lelaki yang dikenali keluarga mangsa, Sumit Kumar, 25, sudah ditahan bersama seorang rakannya.
Sumit tinggal berhampiran kampung keluarga mangsa dan sudah beberapa kali lamarannya untuk mengahwini mangsa ditolak wanita itu serta keluarganya.
Ibu mangsa, Baed Kaur, 40, yang mengancam membunuh diri jika anaknya tidak mendapat pembelaan berkata, anaknya itu meninggalkan rumah pada 8 pagi dan apabila tidak pulang pada sebelah petang, mereka menjadi bimbang.
“Saya dan anak lelaki ke kilang tempatnya bekerja namun sudah ditutup. Kami kemudian membuat laporan polis kehilangannya.
“Esoknya jiran datang memberitahu mereka terbaca dalam akhbar mengenai anak saya dirogol dan dibunuh,” katanya.
Menurut polis, mangsa diculik ketika dalam perjalanan ke tempat kerja oleh Sumit dan rakan-rakannya, memaksa wanita itu minum minuman mengkhayalkan, membawanya ke kawasan hutan, 60 kilometer dari kampungnya sebelum dirogol beramai-ramai dan dibunuh.
Menurut ibunya, anaknya itu mahu menjadi doktor dan bekerja di kilang berkenaan dengan gaji Rs 5,000 (£60) sebulan, bagi mengumpul wang membiayai pelajaran selain membantu keluarganya.
Baed berkata, Sumit mengganggu anaknya itu sejak 12 bulan lalu, mendesaknya menerima lamaran dan tiga bulan lalu, mereka membuat laporan polis menyebabkan keluarga Sumit datang meminta maaf.
“Namun, ibunya pernah mengancam menculik anak saya untuk dikahwinkan dengan Sumit. Anak saya enggan kerana lelaki itu menganggur, tidak beradab dan panas baran,” katanya.
Timbalan Superintendan Polis di Rohtak, Mukesh Kumar, berkata dua lelaki ditahan iaitu Sumit dan Vikas, 21, mengikut Seksyen 302 (dihukum kepada membunuh), 376 A (dihukum kerana merogol), 376 D (merogol berkumpulan) yang akan dibicarakan dalam masa 90 hari.
Bagaimanapun, doktor percaya lebih ramai lelaki terbabit dalam kejadian itu.

-Metro

Thursday 18 May 2017

Anjing selamat bayi ditanam dalam semak


SEEKOR anjing menyelamatkan bayi yang ditanam hidup-hidup dalam semak selepas dipercayai terhidu bayi berkenaan di Jiangjin, wilayah Chongqing, selatan China, lalu menggali bayi berkenaan keluar.
Menurut laporan Pear Video, dalam kejadian 6 Mei lalu, bayi lelaki berusia sebulan itu kemudian diselamatkan pemilik anjing dan dibawa ke klinik untuk rawatan.
Pemilik anjing itu, Yang Jiali, berkata dia mencari anjingnya dan ternampak haiwan peliharaannya itu sedang berusaha menggali sesuatu dalam semak sebelum ternampak sebahagian tubuh bayi dalam lubang.
Menurutnya, bayi itu diselimuti kain putih dan menangis.
Menurut doktor di bandar Wutan, An Yue, ketika sampai ke klinik, suhu badan bayi itu sudah menurun selain degupan jantungnya rendah.
“Mulutnya dipenuhi tanah dan lumpur,” katanya.
Bayi itu kemudian dipindahkan ke Hospital Jiangjin dan keadaannya kini stabil.
Polis dan doktor percaya bayi berkenaan ditanam kerana keluarganya menyangka dia sudah meninggal dunia dan sedang berusaha mengesan ibu bapanya.

-Metro

https://youtu.be/38EH4ASf698

Tuesday 16 May 2017

Bunuh, rebus isteri pondan

POLIS Australia yang menemui anggota tubuh manusia sedang direbus dalam periuk di sebuah apartmen di Brisbane, menyangka ia adalah ‘jenaka Halloween’.
Mahkamah di Sydney diberitahu demikian hari ini, ketika perbicaraan inkues tukang masak Australia Marcus Volke yang dituduh membunuh ‘isterinya’ seorang pondan Mayang Prasetyo pada 2014 dan cuba menghapuskan bukti dengan memotong tubuh mangsa dan memasaknya.
Polis menerima aduan daripada pengurusan bangunan yang melaporkan bau busuk dari apartmen pasangan itu di Brisbane.
Menurut Australian Broadcasting Corporation (ABC), apabila polis tiba, Volke memberitahu dia perlu mengurung anjingnya terlebih dahulu namun dia mengunci pintu dan lari sebelum membunuh dirinya.
Konstabel Liam McWhinney memberitahu koroner apabila dia dan Konstabel Kanan Bryan Reid memasuki apartmen itu, mereka mendapati darah memenuhi lantai manakala kaki manusia berada dalam periuk.
“Pada mulanya saya menyangka ia jenaka melampau sebelum menyedari ia adalah kejadian sebenar,” katanya.
Reid memberitahu dia tercium bau tidak menyenangkan yang tidak pernah dihidu sebelum ini.
Volke yang bertemu ‘isterinya’ itu ketika kedua-dua mereka bekerja sebagai teman sosial, sedang menjalani rawatan mental sejak beberapa minggu sebelum kejadian itu.

-Metro

Alahai dunia: 'Mak halau saya dari rumah'



Sungai Petani: “Emak bagi RM3, lepas itu dia halau saya dari rumah dan suruh balik pada ayah di Kelantan,” kata seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mendakwa dihalau dari rumah oleh ibunya di Kampung Sungai Pasir, pagi kelmarin.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia dimarahi ibu dan kerana takut dipukul jika ingkar, dia terus beredar sambil membawa beg pakaian dan menuju ke arah jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir (SKSP).
“Saya tidak tahu ke mana hendak pergi dan bagaimana mahu pulang ke Kelantan untuk berjumpa ayah.
“Sebelum ini, saya pernah dipukul ibu biarpun salah yang dilakukan hanya sedikit, malah saya juga tidak dibenarkan ke sekolah sejak awal tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas diselamatkan orang ramai, kelmarin.
Murid tahun tiga itu ditemui merayau-rayau di kawasan itu oleh orang ramai kira-kira jam 11 pagi sebelum membawanya ke sebuah gerai.

-Metro

Monday 15 May 2017

Dunia oh dunia :Kudung tangan kerana minta gaji


Islamabad: Seorang remaja berusia 13 tahun kudung selepas tangannya dipotong majikan yang berang apabila dia meminta makanan dan gajinya.
Menurut media tempatan, remaja dari keluarga miskin itu berkerja dengan seorang wanita dikenali sebagai Shafqat Bibi dengan bayaran 3,000 rupee (RM124) sebulan untuk menjaga ternakan dan melakukan kerja rumah di kediamannya di Punjab.
Minggu lalu, remaja itu enggan melakukan kerja kecuali dia diberi makan dan dibayar gaji, lapor 24 News HD.
Bagaimanapun, Shafqat dilaporkan berang dan terus menyumbat tangan mangsa ke dalam mesin dedak untuk ‘mengajarnya.’
Ibu mangsa berkata: “Shaf qat menuduhnya mendesak mahukan wang tanpa menyiapkan kerjanya.”
Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi doktor tidak dapat menyelamatkan tangannya yang hancur.
Menurut laporan media, polis pada mulanya enggan mengambil tindakan terhadap Shafqat, tetapi ibu mangsa melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa sehingga mendapat perhatian Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, yang mengarahkan polis terbabit memberi tunjuk sebab.
Shafqat akhirnya ditangkap bersama abang dan dua suspek lain, 10 hari selepas kejadian.
Wanita itu dibebaskan dengan jaminan tetapi abangnya masih ditahan reman.
Ketua Hakim Pakistan, Mian Saqib Nisar mengambil alih kes itu kelmarin dan mengarahkan polis Punjab menyerahkan laporan mereka dalam tempoh 48 jam.

 - Agensi/Metro

Friday 12 May 2017

Kulit kepala tercabut dalam mesin



Beijing: Seorang pekerja kilang plastik nyata panjang umur apabila terselamat walaupun kulit kepalanya tersiat selepas rambutnya tersangkut dalam mesin.
Dalam kejadian di Jinhua, wilayah Zhejiang, timur China itu, pekerja yang cuma dikenali sebagai Yang itu berkata, ketika kejadian dia membongkok untuk mengambil sesuatu apabila tiba-tiba rambutnya tersangkut pada alat penggiling menyebabkan kulit kepalanya tersiat.
Yang tidak pengsan, malah masih mampu berlari mendapatkan bantuan rakannya selepas kejadian itu.
Mereka terkejut melihat kepala Yang berlumuran darah dan terus mengeluarkan kulit kepala serta rambutnya dari mesin berkenaan yang diserahkan kepada paramedik yang tiba beberapa minit kemudian.
Yang dalam keadaan terkejut ketika dibawa ke hospital untuk pembedahan segera dan doktor mengambil masa lapan jam untuk menyambungkan semula kulit kepalanya.
Dr Li Bin berkata, pembedahan itu amat mencabar kerana kulit kepala Yang tersiat sepenuhnya dari bawah kening, telinga dan tengkuk.
“Dia mengalami trauma dan kehilangan banyak darah,” katanya.
Dr Li turut mengingatkan pekerja kilang sentiasa mengikat rambut mereka dan menutup kepala untuk mengelak kejadian seumpama itu berlaku.

-Metro

Thursday 11 May 2017

Ikan 'bertatu' tiada sisik



SEKUMPULAN nelayan terkejut apabila seekor ikan besar yang mereka tangkap tidak bersisik, sebaliknya penuh dengan ‘tatu’ seperti mahkota dan perisai, tulisan serta bentuk daun.
Nelayan terbabit yang juga kagum dengan tangkapan mereka mengambil gambar ikan itu dengan ikan lain sebagai perbandingan.
Sejak gambar itu dimuat naik ke rangkaian berita tempatan GMA News, ia mencetuskan ribuan komen daripada orang ramai yang cuba memahaminya.
Satu kemungkinan adalah ikan itu memang ditatu sebelum dicampakkan semula ke laut.
Namun seorang pembaca, Steve Clark memberi jawapan paling boleh dipercayai.
“Mungkin ada sampah atau kain yang dicampakkan ke dalam laut dan melekat pada badan ikan itu menyebabkan coraknya melekat pada badan ikan itu.
“Ini sekadar pandangan saya,” katanya.
Tidak kurang juga yang menganggap ikan yang ditangkap di wilayah Lopez, Filipina itu mempunyai unsur mistik seperti jelmaan dewa.
Seorang pengguna Internet berkata: “Banyak perkara di dalam dunia ini yang tidak diketahui kita, terutama di laut dalam.
“Jangan lupa, laut jauh lebih luas berbanding daratan.”
Seorang pengguna lain pula berseloroh dengan menulis, ikan itu mungkin banduan yang terlepas dari penjara di dalam laut.

-Metro

Tuesday 9 May 2017

Mohon guna sperma mendiang kekasih



SEORANG wanita di Queensland, Australia bercadang kembali ke mahkamah untuk meminta kebenaran bagi menggunakan sperma teman lelakinya yang meninggal dunia, tahun lalu.
Ayla Cresswell, 24, diberi kebenaran tahun lalu oleh Hakim Mahkamah Agung, Martin Burns untuk menyimpan 'testis dan spermatozoa' teman lelakinya, Joshua Davies yang meninggal dunia pada 23 Ogos 2016.
Ia kini disimpan oleh pertubuhan persenyawaan in vitro (IVF) sementara menunggu permohonan tahap kedua oleh Cresswell.
Peguam Cresswell, David Riwoe memberitahu akhbar The Courier Mail bahawa mereka akan memfailkan permohonan tahap kedua itu di Mahkamah Agung menjelang Julai.
"Kami masih dalam proses menyiapkan afidavit untuk tahap kedua ini," katanya.
Sementara itu, bapa Davies, John, memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa dia dan isterinya, Ionie menyokong sepenuhnya permohonan Cresswell itu.
"Walaupun Joshua tidak pernah membincangkan hal ini, saya percaya sepenuhnya dia bangga Ayla dapat melahirkan anaknya," katanya.
Cresswell juga memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa ibu bapanya turut menyokong keputusannya untuk melahirkan anak Davies.

-Metro

Amarah si isteri

SEORANG wanita bertindak nekad duduk di atas bonet kereta yang dipandu suaminya selepas mendapati lelaki itu keluar bersama kekasihnya di Pretoria, Afrika Selatan.
Satu rakaman video yang disiarkan semalam menunjukkan wanita itu duduk di bonet kereta sambil menjerit ke arah suaminya yang sedang memandu.
Selepas beberapa saat, lelaki itu menghentikan keretanya di tepi jalan dan meminta isterinya turun tetapi wanita berkenaan tetap enggan.
Seorang pengguna Facebook, Norah Pitje yang memuat naik video berkenaan memberitahu, wanita itu melihat suaminya membawa wanita lain di dalam kereta dan terus bertindak melompat di atas bonet kenderaan berkenaan.
“Bagaimanapun, lelaki bodoh ini masih mahu melindungi teman wanitanya dan terus memandu walaupun isterinya berada di bonet kereta,” katanya.

-Metro

Friday 5 May 2017

Siar gantung anak di FB Live


Bangkok: Seorang lelaki yang kecewa menyiarkan secara langsung di Facebook (FB) ancamannya untuk menggantung anak perempuannya berusia lima tahun.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Wichai Kwanprom menyiarkan video melalui FB Live cubaannya membunuh anaknya itu - beberapa hari selepas seorang lelaki di Phuket menggantung hingga mati anak perempuannya berusia 11 tahun, juga disiarkan melalui FB Live sebeleum membunh dirinya.
Dalam video di rumahnya di wilayah Phetachabun, Kwanprom meletakkan tali pada leher anaknya sambil berkata: “Tali ini akan menghantar saya dan anak ke tempat lebih baik.”
Dia kemudian membuang tali itu dari leher anaknya selepas budak itu mula menangis.
Menurut laporan Coconuts Bangkok, dia kemudian memberitahu polis berbuat demikian hanya untuk menarik perhatian isterinya, yang dituduhnya curang.
Jurucalkap polis, Leftenan Kolonel Kritsanapong Patsit, berkata lelaki itu dibebaskan selepas dinasihati dan pihak berkuasa yakin dia tidak berniat buruk terhadap anaknya.
Menurutnya, Kwanprom yang bekerja di Bangkok, pulang ke kampung mendapati anaknya sendirian di rumah dan mendakwa isterinya bersama lelaki lain.

Wuttisan Wongtalay (kiri), mendukung seorang anaknya, manakala isterinya, Jiranuch Trirat, memegang anak perempuan mereka, Beta, 11 bulan.
Minggu lalu, Wuttisan Wongtalay, 20, menggantung hingga mati anak perempuannya, Beta, 11 bulan, dalam bangunan tinggal di Phuket dan menyiarkan video perbuatannya itu secara langsung di FB Live.
Dua video kejadian itu boleh ditonton di FB lelaki berkenaan selama 24 jam sebelum dipadamkan selepas mula disiarkan Isnin lalu. Video pertama ditonton 112,000 kali dan yang kedua, 258,000 kali.
Menurut media tempatan, Wongtalay mengesyaki isterinya, Jiranuch Trirat, curang dan mengancam membunuhnya sehari sebelum kejadian sebelum keluar dari rumah membawa anak perempuannya itu.
Jurucakap polis, Leftenan Kolonel Sanit Nookhong, berkata kejadian itu disebabkan cemburu. 

- DM/Metro

Thursday 4 May 2017

Kepala di perut


New Delhi: Doktor di India memberi harapan baru kepada seorang bayi perempuan yang lahir dengan kepala kembarnya - yang mati dalam kandungan - melekat pada perutnya.
Pakar di Hospital JK Lone di Jaipur berjaya membuang kepala kembar parasit itu dalam pembedahan kompleks selama empat jam.
Kepala yang dibuang tidak mempunyai mata atau telinga dan kanak-kanak berkenaan turut mempunyai tangan ketiga yang juga milik kembar tidak jadinya.
Ibu kanak-kanak itu yang berusia 21 tahun dilaporkan mendapat rawatan selepas mengalami kesakitan ketika mengandung.
Hasil imbasan sonografi dan ultrabunyi menunjukkan dia mengandung kembar tanpa menyedari seorang daripadanya sebenarnya menjadi parasit.

-Metro

Wednesday 3 May 2017

Mengharapkan keajaiban


Peshawar: Satu keluarga mengharapkan keajaiban anak kembar siam mereka yang bercantum di kepala akan selamat.
Zainab Bibi, 35, melahirkan anak kembar itu, Safa dan Marwa di sebuah hospital di Peshawar Januari lalu.
Meskipun bercantum di hujung tengkorak, pemeriksaan, termasuk pengimbasan yang dilakukan mereka mempunyai otak berasingan menyebabkan doktor di hospital berkenaan berharap dapat memisahkan kedua-dua beradik itu.
Pengarah perubatan hospital berkenaan, Dr Shahzad Akhbar bagaimanapun berkata, kerja memisahkan kanak-kanak itu amat rumit.
Pihaknya kini berusaha mendapatkan bantuan dan pendapat pakar antarabangsa untuk merancang pembedahan itu.

-Metro

Kanak-kanak selamat selepas digilis dua SUV


Beijing: Video mengenai seorang kanak-kanak yang terselamat selepas digilis dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Xichang, wilayah Sichuan tular di Internet pada minggu ini.
Rakaman menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berlari di jalan raya yang sibuk sebelum hilang kerana digilis sebuah SUV.
Kanak-kanak itu kelihatan tidak cedera tetapi sebuah lagi SUV di belakang kenderaan itu terus menggilis mangsa sekali lagi.
Seorang wanita kemudian dilihat berlari dan terus mendukung kanak-kanak itu yang terbaring kebingungan di atas jalan.
Jurucakap polis, Guo Wei memberitahu, pemandu pertama tidak melihat kanak-kanak itu kerana mangsa berada di kedudukan titik buta.
“Jarak antara kereta kedua dengan kanak-kanak itu pula terlalu dekat untuk pemandu melihatnya. Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak itu digilis dua kali,” katanya.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu terselamat dan hanya mengalami luka kecil pada badannya. 

- Reuters/Metro

Tuesday 2 May 2017

Tumbuh dalam telinga





Beijing: Seorang budak lelaki berusia enam tahun terpaksa menjalani pembedahan selepas sebutir kacang tersangkut di dalam telinganya tanpa disedari, malah sudah bercambah sebelum berjaya dikeluarkan.
Kacang itu ditemui ibunya, dikenali sebagai Peng, ketika cuba membersihkan telinga kanak-kanak itu, Haohao, pada 24 April lalu.
Doktor mengesahkan butiran di dalam telinga Haohao memang kacang yang sudah bercambah di dalam saluran telinganya.
Pakar telinga, hidung dan tekak Dr Zhang Xiao Chun berkata, dia terkejut melihat kacang berkenaan jauh di dalam rongga telinga kanak-kanak itu.
“Mungkin ia termasuk ke dalam telinganya tanpa disedari ketika Haohao bermain pasir atau mungkin juga rakannya memasukkannya ke situ tanpa disedarinya,” katanya.
Menurutnya, kacang itu berjaya dikeluarkan selepas pembedahan selama 30 minit.
Dr Zhang berkata, keadaan suhu di dalam telinga sekitar 37 darjah Celsius dan lembap amat sesuai untuk pembesaran kacang.
Haohao kini semakin pulih dan akan dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari.

-Metro

Alahai dunia: Pelanggan 'serah tengkuk' dikapak

Moscow: Seorang pereka fesyen rambut menarik perhatian pengguna Internet apabila memilih kaedah pelik untuk menggayakan rambut pelanggannya dengan menggunakan kapak.
Daniil Istomin dari Novosibirsk, Siberia, mendapat pelanggan yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu merasai pengalaman rambut dipotong menggunakan kapak.
Video YouTube menunjukkannya mengerat rambut seorang wanita yang berani meletakkan kepalanya di atas papan pemotong.
Istomin ‘mengapak’ rambutnya sebelum menggunakan bilah senjata itu seperti pisau biasa bagi mengemaskan hasil kerjanya.
Disebabkan kaedah pelik itu, Istomin disamakan dengan watak novel kurun ke-19, Sweeney Todd, seorang tukang gunting rambut yang membunuh dan memakan pelanggannya.
Istomin sudah pasti tidak menjamah daging pelanggannya, sebaliknya berkata, dia cuma mahu mencuba sesuatu yang menarik dan berbeza dalam kerjayanya.
“Saya dan beberapa rakan bergurau. Pada mulanya saya bersetuju menutup mata ketika memotong rambut sebagai cabaran dan akhirnya entah bagaimana saya menggunakan kapak.
“Tetapi sebenarnya menggunakan kapak jauh lebih mudah daripada gunting asalkan tahu sudut yang perlu digunakan. Jadi saya menggunakan prinsip asas geometri digabungkan dengan kaedah pemotongan rambut,” katanya.

-Metro