Sunday 30 September 2012

Kanak-kanak 13 bulan mati digilis

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


MUHAMMAD UZAIR menunjukkan tempat kejadian Auni Iylia Aifa (gambar kiri) digilis di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang semalam.



KUALA NERANG - Sebuah keluarga di Felda Lubuk Merbau dekat sini diselubungi insiden menyayat hati apabila anak mereka berusia 13 bulan maut akibat digilis kereta yang dipandu bapa sendiri petang kelmarin.
Kejadian malang kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika Muhammad Uzair Zul, 22, memandu kereta Proton Persona miliknya selepas mengisi petrol di stesen minyak yang terletak bersebelahan rumahnya
Ketika menggerakkan kereta tersebut, Muhammad Uzair tidak menyedari Auni Iylia Aifa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik bermain di sebelah kanan kenderaan yang dipandunya.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari Auni Iylia berada di situ kerana ketika memasuki kawasan stesen minyak tersebut anaknya bermain bersama sepupunya di kedai membaiki motosikal bersebelahan rumahnya.
"Saya hanya sedar apabila terdengar sesuatu seperti terlanggar anak kucing. Apabila menjenguk kepala menerusi tingkap saya terkejut Auni Iylia berada di bawah kereta.
"Saya mengucap panjang melihat anak saya itu sudah tidak bermaya, saya berasa sebak dan sayu namun menerima kejadian itu sebagai takdir Tuhan," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Tambahnya, isterinya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah bergegas keluar selepas menyedari kejadian itu sebelum mendukung anaknya itu menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.



sumber: KOSMO

Dunia oh Dunia

Banduan bimbang rahsia kahwin 2 terbongkar


 
DUBAI: Selepas menjalani hukuman penjara 17 tahun kerana kesalahan membunuh, seorang warga Pakistan semakin risau menjelang pembebasannya.
Ahmad Abdul Rahim, 47, dalam wawacara eksklusif dengan akhbar Gulf News semalam, mengaku kebimbangan rahsianya berkahwin dua terbongkar mengatasi kegembiraan pembebasannya. Dia yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh bersama-sama empat yang lain akan dibebaskan dan diusir ke negara asal mereka minggu ini.
“Sudah tentu saya gembira kerana akan pulang ke tanah air. Saya merindui keluarga saya. Kami sudah berpisah terlalu lama. “Yang menjadi masalah, saya mempunyai dua isteri. Kedua-duanya tidak tahu mereka dimadu. “Saya amat bimbang jika mereka mengetahuinya. Jika rahsia itu terbongkar, kesannya mungkin lebih teruk daripada hukuman penjara 17 tahun yang saya lalui. “Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan mereka lakukan jika rahsia itu terbongkar. Tindakan mereka lebih merunsingkan saya lebih daripada hari saya ditangkap kerana kesalahan membunuh,” katanya. - GN


sumber:Metro 

Regangan Otak


Di antara Tanda Kiamat


Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia" - Riwayat Thabrani
 
 
 

Friday 28 September 2012

Dunia Oh Dunia

Tak hirau ditembak

Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my
 

KUALA LUMPUR: “Walaupun terkena tembakan, saya masih sempat melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta dinaiki penjenayah terbabit sebelum pengsan,” kata anggota polis Unit Peronda (MPV), Koperal R Subramaniam, 52, yang cedera di perut selepas ditembak empat lelaki dalam kejadian di Jalan Kuchai Lama, di sini, kelmarin.
Beliau yang ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam, berkata, sebaik dua daripada empat lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arahnya dan rakan setugas, Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, mereka membalas tembakan itu sehingga dia akhirnya rebah tidak sedarkan diri.
 
“Kejadian berkenaan langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjalankan tugas menjaga keselamatan negara,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam.

  Beliau yang sudah 31 menjadi anggota polis, akan terus berbakti dengan pasukan dan negara.


Sementara itu, Ismail berkata, polis bangga dengan keberanian dua anggota terbabit yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam menjalankan tugas membanteras jenayah di negara ini.
 
Nota:  
 
Setelah membaca berita ini saya terfikir " Tak ada ke Parti Politik atau NGOs yang nak buat Sidang Akhbar bagi membela nasib anggota polis ini. Kalau penjenayah yang kena tembak, ramai pulak yang tampil bagi membela mereka. hai...dunia....dunia..." 


Wednesday 26 September 2012

Akhbar Mesir terbit karikatur ‘lawan’ majalah Perancis hina Nabi

                   
Akhbar Mesir terbit karikatur ‘lawan’ majalah Perancis hina Nabi
Satu lagi karikatur dibawa akhbar Al-Watan.
Akhbar Mesir terbit karikatur ‘lawan’ majalah Perancis hina Nabi
Salah satu daripada 13 karikatur dibawa oleh akhbar Mesir, Al-Watan. – Foto ihsan BBC
KAHERAH - Akhbar Mesir mula melancarkan kempen membalas karikatur majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Nabi Muhammad SAW minggu lalu.
Laporan BBC menyebut Al-Watan menerbitkan 13 karikatur kelmarin di bawah slogan "Lawan karikatur dengan karikatur".
Salah satunya menunjukkan pemandangan Menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) terbakar dengan kapsyen berbunyi "Kaca mata Barat bagi dunia Islam".
Majalah Charlie Hebdo menyiarkan karikatur susulan klip video yang dimuat naik menerusi YouTube awal bulan ini.
Hampir 60 orang dilaporkan terbunuh dalam protes ganas membantah filem Innocence of Muslims dan karikatur majalah itu.
Protes membantah filem itu tercetus di Mesir dan Libya pada 11 September lalu.
Al-Watan dilaporkan memperuntukkan 12 muka surat untuk membalas kandungan dibawa Charlie Hebdo. Karikatur-karikatur dimuatkan dalam dua halaman penuh.
Seksyen itu juga menyertakan artikel ditulis oleh penulis-penulis sekular popular, antaranya Pengarah Penyelidikan Carnegie Middle East Centre, Amr Hamzawi dan Mufti Besar Mesir, Ali Gomaa.
Laporan BBC juga menyebut bahawa pembaca-pembaca Al-Watan, yang kritikal ke atas Presiden Mesir, Mohammed Mursi, memberi reaksi positif dengan memuji idea tersebut


sumber: Sinar Harian

Saturday 22 September 2012

Azerbaijan pindah Solat Jumaat ke hari Sabtu?


Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Republik Azarbaijan memerintahkan kepada para khatib masjid di seluruh negara itu untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu.

Arahan itu dikeluarkan pada 30 Jun yang lalu.

Alasan pemindahan tersebut kerana dinilai mengganggu jam kerja, di mana hari Jumaat di Azarbaijan adalah hari kerja rasmi negara itu.

Menurut pemerintah Azarbaijan, pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah.

Menanggapi alasan pemerintah, khatib Masjid Masyhadi Dodosh, H Shahin Hasanali mengatakan, pemindahan tersebut dinilai sebagai sebuah sentimen politik semata-mata.

“Pemerintah risau solat Jumaat menjadi medan pendidikan politik yang boleh menggugat kewibawaan pemerintah. Solat Jumaat tidak boleh dipindahkan hari sesuka hati,” ujarnya.

Republik Azarbaijan adalah negara kecil yang majoriti penduduknya beragama Islam. Dilaporkan, jumlah komuniti muslim di sana mencapai 90% dari jumlah keseluruhan penduduknya.

Kedekatan regim yang berkuasa dengan Israel, menyebabkan dasar-dasar pemerintah cenderung anti Islam. Sehingga kini, warga muslim Azarbaijan masih memperjuangkan hak-hak kaum muslimah untuk memakai tudung.

sumber:
http://www.exelroze.info /MPP online

Provokasi melampau


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
rencana@hmetro.com.my
 

PELBAGAI insiden muncul memperlekehkan Rasulullah yang menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Islam.
Terbaru, munculnya filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina Rasulullah hingga mencetuskan kemarahan di seluruh dunia. Menghina Rasulullah bermakna mencemuh dan merobek maruah penganutnya lantaran rasa dengki melihat perkembangan agama Islam mutakhir ini.
Situasi itu sebenarnya membuktikan betapa sayang dan cintanya umat Islam terhadap Rasulullah serta mereka tidak reda Baginda diperlekehkan pihak lain.

Kita tahu dunia Barat sebenarnya amat risau dengan pertambahan dan kepesatan jumlah penduduk Islam yang kian meningkat.

Malah golongan yang baru menerima hidayah Allah juga semakin ramai.

Bagi mengaburi pandangan dunia, mereka mencipta pelbagai gaya provokasi melampau dengan tujuan ‘menaikkan darah’ masyarakat Islam hingga menimbulkan kekeruhan hubungan antara agama di dunia.

Itulah sebenarnya agenda Yahudi. Masyarakat Barat tidak memahami statistik penduduk Islam yang tepat.

Malah puak Yahudi juga rasanya kurang peka dengan statistik berkenaan.

Perlu disedari, umat Islam di negara-negara Arab hanyalah 15 peratus daripada keseluruhan umat Islam yang berjumlah kira-kira 1.8 bilion.

Islam kini tersebar ke seluruh pelosok dunia, dari utara ke selatan dan dari barat ke timur.

Jika kita teliti apa yang terkandung dalam Britannica Yearbook 1997 tentunya mengejutkan.

Ini kerana dipaparkan fakta seorang daripada lima penduduk dunia adalah penganut Islam.

Yahudi dan tali barutnya perlu memahami statistik itu kerana tindakan mereka mempersendakan Islam dan menghina Rasulullah bukan saja menaikkan emosi masyarakat di negara Arab malah seluruh penganutnya terasa dihina.

Masyarakat Islam sejak dulu lagi sentiasa berdepan dengan cabaran yang bukan calang-calang sifatnya.

Hal itu semakin berleluasa dan bertambah kronik selepas peristiwa pengeboman Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Bermula dari itu, Islam dilukiskan dengan ‘wajah buruk’ hingga terhasillah slogan Islamofobia sebagai ‘bahan api’ bagi menyemarakkan pertelingkahan dengan umat Islam.

Masyarakat Islam mesti bersatu hati dan bersepakat dalam menangani permasalahan secara bersama.

Kesepakatan ummah harus digemblengkan secara sepadu kerana jika dibiarkan, Islam dan Nabi terus dijadikan bahan eksperimen puak Yahudi.

Mereka mencetuskan rasa kegelisahan masyarakat global terhadap Islam dan penganutnya.

Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sebagai payung umat Islam tidak harus berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat Islam diperkotak-katikkan sebegitu keji.

Inilah masanya OIC menepis semua perbezaan pendapat dan fahaman demi menjadi benteng mempertahankan agama dan ummah.

OIC boleh membawa usul isu itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai langkah menyedarkan masyarakat dunia bahawa umat Islam tidak membiarkan Nabi mereka dihina.

Pastinya dengan suara lantang, masyarakat dunia mengerti Islam dan Nabi mereka bukan boleh dijadikan ‘barang mainan’.

Namun demikian, tindakan balas secara melulu juga dirasakan tidak wajar hingga api permusuhan menjadi semakin marak.

Bak kata Presiden Mesir, Mohammed Morsi, “Kami juga mengecam keras semua yang memulakan provokasi itu dan mereka yang mendalangi kebencian.”

Yahudi pasti tersenyum puas dan merasakan taktik mereka menimbulkan kekacauan kepada masyarakat Islam sudah berjaya.

Malah dunia Barat menuding jari menghala ke arah umat Islam apabila tindakan balas mengakibatkan insiden seperti pembunuhan.

Lalu, Islam dilabel agama pengganas. Musuh Islam berani menghina dan mempersendakan kerana kita bagaikan buih saja.

Memang benarlah sebagaimana kata Rasulullah, pada akhir zaman nanti umatnya bagaikan buih meskipun mereka ramai.

Ia disebabkan umat Islam bercerai-berai dan hidup saling bertelingkah sesama sendiri.

Malah anak muda menjadi layu dengan gaya hidup lebih banyak menampilkan peniruan budaya asing.

Kita perlu kembali berundur sambil memikirkan kesalahan diri sendiri seterusnya mengorak langkah pembetulan yang dinamik. Selain menepati standard beragama berasaskan Quran dan Sunnah.

Jika kita terus hanyut dibuai kelalaian dunia, musuh terus mengambil peluang. Apakah ini senario yang ingin kita teruskan dalam masyarakat Islam?

Justeru, dalam masa penuh kritikal dan beremosi ini, umat Islam disaran tidak bertindak keterlaluan hingga ‘mengesahkan’ kita umat ganas sebaliknya masih ada saluran berkesan tanpa membiarkan pihak tidak bertanggungjawab itu dilepas bebas.

Inilah yang disarankan Majlis Ulama Indonesia baru-baru ini sebagaimana dipetik berita agensi. Seharusnya pesanan Rasulullah dijadikan ingatan.

Sabda Baginda, “Kamu bakal mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga jikalau mereka masuk lubang biawak pun kamu mengekori mereka.”

Para sahabat Baginda pun bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan? Lalu Rasulullah berkata, “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis riwayat Muslim).
 

Thursday 20 September 2012

Islam bolehkan pemindahan rahim wanita

HARUSSANI (tengah) menjawab soalan peserta pada Forum Pendermaan Organ di Ipoh semalam. Turut kelihatan, Fadzilah Zowiyah Lela (kiri) dan Mohamed Anis.

IPOH- Pemindahan rahim seorang wanita kepada wanita lain menerusi pendermaan organ dibolehkan dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, walaupun ketiadaan organ peranakan itu tidak menjejaskan nyawa seseorang, hukum menderma rahim adalah harus.
"Bagaimanapun, dengan syarat rahim tersebut adalah daripada wanita yang sudah meninggal dunia dan penerima organ pula merupakan wanita mandul.
"Pemindahan rahim juga bertujuan untuk mendapat zuriat sesuai dengan perintah Allah di dalam al-Quran," katanya sewaktu menjawab soalan seorang peserta pada Forum Pendermaan Organ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Selain Harussani, turut menjadi panel pada program anjuran Unit Pendermaan Organ HRPB ialah Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Datin Dr. Fadzilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor dan Pengurus Klinikal Transplan Kebangsan, Dr. Mohamed Anis Abd. Wahab.
Pembedahan pemindahan rahim pertama berjaya dilakukan Dr. Omer Ozkan di Hospital Universiti Akdeniz di Antalya, Turki pada 9 Ogos tahun lalu melibatkan seorang isteri muda, Derya Sert, 22, yang dilahirkan tanpa organ peranakan.
Dalam perkembangan sama, Harussani memberitahu, tiga syarat lain menderma organ dalam Islam adalah penderma mesti disahkan telah meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma dan tidak melibatkan urusan jual beli.
Beliau berkata, kebenaran ahli keluarga amat penting kerana dari segi syarak, mereka berhak terhadap jenazah bakal penderma biarpun individu terbabit telah menandatangani akujanji pemindahan organ semasa hayatnya.
Fadzilah Zowiyah pula memberitahu, berdasarkan pengalamannya, kes halangan daripada ahli keluarga dalam isu pendermaan organ berlaku kerana mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu hayat bakal penderma.
"Jarang ahli keluarga membantah sekiranya mengetahui lebih awal hasrat si mati untuk menderma organ.
"Oleh itu, saya sarankan individu yang berhasrat untuk terlibat dalam program tersebut agar menghebahkannya terutama kepada ahli keluarga terdekat," katanya.

sumber: Kosmo

Pembedahan pertama pemindahan rahim ibu kepada anak di dunia


TIGA daripada lebih sepuluh pakar bedah yang melakukan transplan rahim ibu kepada anak perempuan di Sweden. Dari kiri: Andreas G Tzakis, Pernilla Dahm-Kähler dan Mats Brannstrom. -AP

STOCKHOLM - Sepasukan doktor di Sweden berjaya melakukan pembedahan pemindahan rahim daripada ibu kepada anak perempuan yang pertama di dunia, kata satu pasukan perubatan kelmarin.
Universiti Gothenburg menyatakan, dua wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an menerima rahim daripada ibu mereka dalam pembedahan di Hospital Sahlgrenska, barat Sweden pada hujung minggu lalu.
Identiti mereka tidak didedahkan.
"Lebih sepuluh orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk prosedur tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam pembedahan sukar ini," kata ketua pasukan pakar bedah berkenaan, Mats Brannstrom.
Beliau merupakan seorang profesor Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Gothenburg.
Menurutnya, rahim seorang wanita itu telah dibuang bertahun-tahun lalu akibat kanser servik. Sementara wanita kedua pula dilahirkan tanpa rahim.
" Kedua-dua pesakit yang menerima rahim baharu berada dalam keadaan baik tetapi penat selepas menjalani pembedahan. Ibu mereka sudah boleh berjalan dan akan dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lagi," jelas Brannstrom.
Pihak universiti berkenaan memberitahu, dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 wanita di Sweden tidak dapat mengandung kerana ketiadaan rahim.
Pasukan perubatan tersebut memberitahu, kualiti rahim dikawal oleh ovari dan hormon di dalam badan manusia. Berdasarkan teori tersebut, mereka menjelaskan, rahim wanita yang sudah mengalami menopaus boleh menampung kehamilan.
Seorang penerima rahim tersebut yang dikenali sebagai Anna berkata, dia memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula fungsi badannya seperti wanita lain.
"Satu perasaan hebat kerana dapat merasai pengalaman ini (mempunyai rahim)," katanya dalam komen yang disiarkan di laman web Hospital Sahlgrenska.
Menurutnya, tiada jaminan dia dan teman lelakinya akan dapat menimang cahaya mata selepas prosedur tersebut.
"Namun, kami ada peluang yang baik. Jika saya hamil, ia adalah bonus buat kami," katanya.
- Reuters

sumber: Kosmo

 

Wednesday 19 September 2012

Pekerja swasta dakwa dicabul ketika terima rawatan di klinik

 

DUNGUN: Seorang petugas syarikat swasta mendakwa dicabul oleh seorang pembantu perubatan ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Dungun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, mangsa yang berusia 24 tahun itu pergi ke klinik berkenaan bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sakit di bahagian dada sebelum seorang pembantu perubatan lelaki tampil memeriksa dan memberi rawatan.
Difahamkan pembantu perubatan yang menyamar sebagai doktor klinik itu memeriksa dada pesakit hingga ke bawah sebelum menyuruh si mangsa membuka seluar dan kemudian mencabulnya.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu terus menampar muka pembantu perubatan yang berusia 20-an itu sebelum menyarungkan kembali seluarnya dan melarikan diri untuk membuat laporan polis.

Namun begitu, bimbang rahsianya terbongkar, suspek sempat memberi sebuah telefon jenama Blackberry kepada mangsa supaya tidak membongkar rahsia itu.

Mangsa kemudiannya mengambil telefon tersebut dan membuat laporan polis kira-kira jam 9.15 malam di Balai Polis Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun. - BERNAMA

Tuesday 18 September 2012

Fariza ingin 20 anak

 
 
KATA sesetengah orang, sakit bersalin itu ibarat beberapa tulang rusuk dipatahkan serentak atau kuku dicabut daripada isinya. Sebahagian wanita pula mengalami loya dan muntah-muntah sepanjang sembilan bulan tempoh kehamilan.
Namun, bagi seorang ibu, Fariza Ibrahim, dia bagaikan sudah lali dengan kepayahan dan kesakitan itu. Fariza, 47, yang berkahwin pada usia 19 tahun sudah dikurniakan 14 orang anak – fenomena yang jarang ditemui di Malaysia memandangkan purata sebuah keluarga moden sekarang memiliki antara tiga hingga lima orang anak sahaja. Secara purata, dia hamil selama 126 bulan atau lebih 10 tahun.
“Semua anak saya dilahirkan secara normal,” ujar pemegang ijazah dalam bidang kimia daripada Universiti Queensland, Australia ini.
Fariza yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, bertemu jejaka Negeri Sembilan, Abdul Halim Abdullah, di universiti yang sama pada tahun 1984. Pasangan berkenaan berkahwin di Australia.

ABDUL HALIM ingin kesemua anaknya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Kemudian, Fariza dan Abdul Halim sama-sama mengambil ijazah kedua dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Saya sempat melahirkan tiga orang anak semasa menuntut di Mesir. Selama tujuh tahun di sana, ramai rakan universiti yang tolong menjaga anak-anak semasa saya pergi ke kuliah,” cerita Fariza.
Mengunjungi kediaman pasangan ini di Seremban, Negeri Sembilan, suasananya terasa meriah sekali.
“Seperti sekolah bukan? Di sinilah kami membesarkan 14 orang anak, lapan perempuan dan enam lelaki. Sepuluh daripadanya tinggal dengan kami kerana masih bersekolah,” cetus Abdul Halim, pemilik sebuah agensi pelancongan Muslim ini.
Abdul Halim menggabungkan tiga buah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan tempat tinggal yang selesa bagi keluarga besarnya. Setelah diubah suai, rumah ini mempunyai sembilan buah bilik termasuk sebuah bilik khusus untuk tetamu.
Tutur Abdul Halim, dia dan isteri tiada sebarang petua untuk memiliki anak yang ramai. “Ia satu anugerah dan amanah daripada Allah,” beritahu Abdul yang meyakini setiap anak yang dilahirkan ada rezeki masing-masing.

ABDUL HALIM menggabungkan tiga buah rumah teres dua tingkat untuk keselesaan keluarganya.



Anugerah
“Jika diikutkan saya ingin ada 20 orang anak. Memang bukan senang untuk membesarkan seorang anak lebih-lebih lagi terpaksa merasai sakit bersalin, tetapi saya seronok melihat pelbagai telatah dan ragam mereka,” celah si isteri, Fariza Ibrahim, 47.
Sebelum ini, seorang wanita Amerika Syarikat, Michelle Duggar, menjadi terkenal kerana melahirkan anak yang ke-19 pada tahun 2009 pada usia 42 tahun. Angka 19 memeranjatkan Michelle sendiri sebelum dia hamil lagi pada hujung tahun lalu. Bagaimanapun, anak ke-20 pasangan Michelle dan Jim Bon itu mengalami keguguran.
Menurut Fariza, dia menyangka kelahiran anak yang ketujuh, Ahmad Muktaz pada tahun 1997 merupakan zuriat yang terakhir.
“Rupa-rupanya saya dikurniakan tujuh orang anak lagi selepas itu. Buat masa ini 14 orang anak sudah memadai bagi saya tetapi tidak menolak jika saya bakal mengandung lagi pada masa hadapan,” katanya yang berhenti kerja sebagai guru sekolah agama swasta selepas mendapat anak yang ke-12.
Jika keluarga besar, perbelanjaan mingguan juga bertambah. Itu satu perkiraan matematik yang mudah.
“Saya mengamalkan perbelanjaan secara mingguan untuk keperluan dapur. Biasanya saya akan beli tiga ekor ayam, tiga hingga lima kilogram daging (kg), 5kg ikan dan 30 biji telur selain makanan kering dan susu bayi.
“Bila masak terasa seperti sedang menyediakan hidangan untuk majlis kenduri pula,” katanya ketawa.
Dari segi pengangkutan, keluarga ini menggunakan dua buah kereta iaitu Perodua Kelisa dan Toyota Avanza untuk pergi ke destinasi pilihan.
“Suami berasal dari Seremban manakala saya dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Jika balik kampung, kedua-dua kenderaan digunakan,” ujar Fariza yang memanggil anaknya dengan nama gelaran mengikut kedudukan anak dalam keluarga seperti along, angah, ateh dan alang.
Walaupun mempunyai anak yang ramai, soal didikan agama menjadi keutamaan pasangan ini.
“Tiga orang anak saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir. Jika tiada aral, kesemua mereka akan dihantar belajar di sana.
“Persekitaran beragama masih kuat di Mesir. Di sebalik kisah kezaliman Firaun, ia juga sebenarnya bumi anbiya. Kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf, misalnya, berlaku di Mesir. Negara itu juga melahirkan banyak ulama terkenal sejak lebih 1,400 tahun lalu. Jadi mungkin disebabkan itu suasana Islam agak kuat di sana. 
Masjid-masjid di sana selalunya dipenuhi jemaah setiap kali solat fardu, selain kurangnya masalah sosial,” kata Abdul Halim.
Menurutnya lagi, dia ingin setiap anaknya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
“Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anaknya. Doa anak yang soleh tidak akan terputus walaupun tulang-belulang kita sudah lama hancur di dalam kubur,” beritahu Abdul Halim.
Sumber: Kosmo

Saturday 15 September 2012

Zeus anjing tertinggi di dunia

DOORLAG (kanan) berdiri dekat anjing paling tinggi di dunia yang dipeliharanya di Otsego, Michigan kelmarin.

OTSEGO, Michigan - Guinness World Records kelmarin mengiktiraf Zeus of Otsego yang berusia tiga tahun sebagai anjing paling tinggi di dunia.
Menurut agensi berita AP semalam, pengiktirafan itu dibuat dalam buku The Guinness World Records 2013.
Anjing itu setinggi 1.120 meter dari kaki ke bahu haiwan tersebut.
Ketika anjing baka Great Dane itu berdiri, ketinggiannya ialah 2.25 meter.
Haiwan itu milik seorang wanita, Denise Doorlag dari sini.
Ketinggian Zeus hanya 2.5 sentimter daripada Giant George yang sebelum ini merupakan anjing paling tinggi di dunia.
Berat Zeus ialah 70 kilogram.
Menurut Doorlag, dia terpaksa menggunakan van untuk mengangkut anjingnya itu. - Agensi

sumber: Kosmo

Tangisan di sisi mayat ibu

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Ravale Savarinathan
 
E-mel ArtikelNORMAYA...ditemui mati
                NORMAYA...ditemui mati
BAGAN DATOH: Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dipercayai menangis berjam-jam sebelum ditemui di sisi mayat ibunya di kuarters guru di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, pagi kelmarin.
Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang juga guru Bahasa Jepun di sekolah berkenaan dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, ditemui rakan yang ke rumahnya jam 8 pagi kelmarin.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menghantar SMS, malam Rabu lalu, namun tidak dibalas, menyebabkan dia beranggapan mangsa sibuk.
“Saya pelik apabila mendapat tahu dia tidak hadir ke sekolah (pagi kelmarin) menyebabkan saya ke rumahnya yang tidak jauh dari sekolah itu. Sebaik tiba di rumahnya, saya dapati pintu rumah tertutup rapat biarpun berkali-kali dipanggil, namun tiada jawapan.
“Saya segera memeriksa keadaan sekeliling rumah dan mendapati kunci pendua disimpan di hadapan rak kasut rumah berkenaan sehingga membolehkan saya membuka pintu hadapan rumahnya,” katanya.
Menurutnya, sebaik melangkah masuk, dia terus mencari rakannya di setiap ruang sebelum mendapati mangsa terbaring di ruang bilik tidur utama dan bayinya berada di sisi.
“Dia ditemui dalam keadaan pucat dan terbaring di atas katilnya bersama bayinya yang menangis. Doktor yang memeriksa keadaannya selepas itu memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurut seorang lagi saksi yang enggan dikenali, dia terdengar tangisan bayi berpanjangan sehari sebelum mengetahui berita kematian guru berkenaan, namun dia tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Arwah seorang guru bahasa Jepun dan sudah mengajar di sekolah berkenaan sejak lebih dua tahun lalu. Dia sangat disenangi rakan-rakan dan suka membantu,” katanya. Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
“Mangsa meninggal dunia lewat petang Rabu lalu, namun hanya diketahui jiran dan rakan yang ke rumah mangsa pagi esoknya. Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut namun turut menjalankan siasatan bagi mengesan jika ada unsur jenayah,” katanya.
Difahamkan, mangsa dipercayai menetap di rumah berkenaan bersama bayinya yang berusia tujuh bulan, manakala suami bekerja di Johor Bahru.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Gajah petang kelmarin.
Sementara itu, Exco Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan kematiannya satu kehilangan besar bagi warga pendidik.
“Saya dimaklumkan pengurusan sekolah berkenaan mengenai perkara itu. Saya sepatutnya mewakili Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, namun terpaksa menghantar wakil kerana terbabit dengan program lain,” katanya.



sumber: Metro

Misteri pengarah filem hina nabi


LOS ANGELES - Seorang lelaki dari negeri California mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW sekali gus mencetuskan bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.
Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik dan pernah didapati bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus dan membekalkan logistik untuk produksi tersebut.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.
Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula menafikan dia mengarahkan filem biadap itu.
Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile.
Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP pada Selasa lalu untuk menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.
Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.
Lelaki itu menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.
Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.
Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki itu menunjukkan lesen memandunya untuk mengesahkan identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari untuk menutup nama tengahnya, Basseley.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon kelmarin.
Jones berkata, lelaki berkenaan menghubunginya beberapa minggu lalu untuk mempromosikan filem tersebut.
"Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.
"Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya," kata Jones.
Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.
Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem tersebut dengan dia seorang penganut Kristian.
Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.
Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.
"Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut," kata Klein.
Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip video filem itu di Mesir dan Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan mengumpulkan bukti dengan beberapa orang telah ditangkap," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.
Namun, beliau enggan memberikan butiran terperinci berhubung bilangan orang yang ditangkap atau latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan. - Agensi /kosmo
 

Thursday 13 September 2012

Hina Nabi, Duta AS mati ditembak

Penduduk Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan mengoyakkan bendera Amerika dari Kedutaan Amerika di Kaherah, kelmarin sebagai membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad. -AP
 
KAHERAH 12 Sept. - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens terbunuh di Benghazi akibat ditembak dalam insiden bangunan Kedutaan AS di negara itu semalam diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan sebuah filem yang didakwa menghina Nabi Muhammad.
Tiga lagi rakyat AS turut terbunuh akibat terkena tembakan.
Di Kaherah hampir 3,000 penunjuk perasaan, kebanyakan mereka penyokong pergerakan Salafis, berkumpul di Kedutaan AS di Kaherah untuk menyuarakan bantahan yang sama.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan memanjat bangunan Kedutaan AS dan menggantikan bendera negara kuasa besar itu dengan kain rentang yang tertulis 'Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah' dan membakar bangunan konsulat berkenaan.
Polis Mesir terpaksa campur tangan untuk memujuk penunjuk perasaan beredar dan kini masih terdapat beratus-ratus orang berkumpul di luar kedutaan berkenaan.
Di timur Benghazi, pegawai Kementerian Dalam Negeri Libya, Wanis al-Sharef berkata, Stevens maut bersama tiga pegawai AS lain ketika sekumpulan besar penunjuk perasaan menyerbu pejabat konsulat AS di Benghazi, dengan lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan.
Katanya, pasukan keselamatan Libya tidak mampu berbuat apa-apa ekoran jumlah penunjuk perasaan yang terlalu ramai.
Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagur mengesahkan kematian Stevens dalam akaun laman web Twitternya.
Seorang saksi berkata, terdapat penunjuk perasaan yang melepaskan tembakan senjata automatik dan roket pelancar grenad ke arah bangunan terbabit ketika mereka bertempur dengan pengawal Libya yang ditugaskan mengawal kedutaan tersebut.
Kejadian itu merupakan yang pertama terhadap bangunan diplomatik AS di kedua-dua negara sejak bekas pemimpin, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan di kedua-dua negara itu pada tahun lalu.
Tunjuk perasaan itu tercetus ekoran sedutan filem, Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiarkan dalam laman YouTube dengan menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.
Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones, yang pernah mencetuskan kontroversi cuba membakar al-Quran, untuk berkempen membenci Islam di AS.
Bacile yang berketurunan Yahudi Israel berkata, Islam merupakan 'kanser' dan dia berharap filemnya itu dapat menunjukkan kepada dunia mengenai kelemahan Islam. - AP/AFP

Anggap musibah peluang baiki diri


11/09/2012 - 07:55:52 AM Lokman Ismail
 
Sesungguhnya Allah SWT menurunkan peringatan melalui musibah supaya manusia memperbetulkan atau meninggalkan amalan dosa dilakukan. Allah SWT menurunkan musibah kecil sebelum musibah besar sebagai satu peringatan.

Allah memaafkan dosa dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat. FirmanNya: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30)

Penghapus dosa

Ada juga dosa dihapuskan Allah SWT melalui pembalasan dalam bentuk musibah. Setiap musibah menimpa orang beriman adalah kiffarah (penghapus) kekotoran dosa.

Oleh itu, orang beriman berasa bertuah dikenakan musibah sebagai pembalasan. Mereka sedar walaupun seberat mana musibah di dunia ini, tentulah tidak seberat diterima di akhirat. Di dunia masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan dan bertaubat.

Pengampunan dosa dengan cara musibah berkesan jika menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan bertaubat. Sebaliknya, jika tidak ada keinsafan, bahkan menyalahkan Allah terhadap apa dialami, maka musibah itu bakal menimbulkan musibah lebih buruk.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkatan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)
Justeru, apabila berdepan musibah, tindakan pertama perlu dilakukan ialah reda dengan apa berlaku. Sesiapa menerima musibah dengan reda akan mendapat keredaan Allah. Beruntunglah siapa mendapat reda Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah.”
(Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah)

Tabah hadapi musibah

Sebesar mana musibah menimpa perlu dihadapi dengan tabah. Anggaplah musibah menimpa sebagai peluang memperbaiki kehidupan. Ada sinar harapan menanti bagi orang sabar.

Amalan membunuh diri akibat menanggung musibah ditegah dalam Islam. Membunuh diri bukan penyelesaian masalah, sebaliknya mencipta masalah lain kepada kaum keluarga. Individu membunuh diri berdepan pembalasan maha pedih di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW: “Jangan sekali-kali seseorang kamu bercita-cita hendakkan mati kerana sesuatu bencana menimpanya. Kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah dia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkan aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Musibah diturunkan membabitkan banyak orang seperti wabak penyakit dan bencana banjir, kemarau, gempa bumi dan ribut. Musibah ditanggung semua orang tanpa mengira tahap keimanan dan ketakwaan.

Dalam hal ini, musibah itu perlu diusahakan bersama untuk mengatasinya. Mungkin ia berpunca tindakan seseorang atau segelintir saja, tetapi kesannya ditanggung semua. Sebab itu, sebarang tindakan buruk perlu dihalang agar tidak membabitkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Sesungguhnya dengan keyakinan, keimanan, ketakwaan, iltizam, istiqamah dan keinsafan dapat menghadapi sebarang musibah menimpa diri sendiri, orang tersayang, keluarga dan negara dengan perasaan tenang dan berserah kepada-Nya.
Sumber: Berita Harian

Monday 10 September 2012

Pahlawan Syurga


Abu Ayub al-Ansari pembela Rasulullah
10/09/2012 - 07:53:32 AM   
 
Sewaktu utusan Madinah pergi ke Makkah untuk mengangkat sumpah setia atau baiah yang diberkati terkenal dengan 'Baiah Aqabah kedua', Abu Ayub Al-Ansari termasuk antara 70 orang Mukmin yang menghulurkan tangan kanan mereka ke tangan kanan Rasulullah serta berjabatnya dengan kuat, berjanji setia menjadi pembela.

Rumah pilihan Rasulullah
Abu Ayub al-Ansari Khalid bin Zaid, cucu Malik bin Najar, adalah insan yang dilimpahi nasib yang baik kerana ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, rumahnya telah dipilih menjadi tempat tinggal sementara Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW memilih untuk tinggal di tingkat bawah rumah Abu Ayub al-Ansari tetapi apabila memikirkan dirinya berdiri dan tidur di tempat yang lebih tinggi dari Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari terasa menggigil.

Beliau kemudian dengan penuh adab mempelawa Baginda tinggal di tingkat atas dan Baginda bersetuju. Nabi tinggal di rumah Abu Ayub al-Ansari hingga Masjid Nabawi dan biliknya di sebelah masjid.

Sejak orang Quraisy berniat jahat terhadap Islam dan merancang untuk menyerang tempat hijrahnya Baginda di Madinah, Abu Ayub al-Ansari mengalihkan aktivitinya berjihad ke jalan Allah bermula dengan Perang Badar.

Sedia korban harta, nyawa

Ringkasnya di semua medan tempur, dia tampil sebagai pahlawan berani yang bersedia mengorbankan harta serta nyawa untuk Allah Rabbul Alamin. Malah, sesudah Rasulullah wafat pun beliau tidak pernah ketinggalan berjuang di medan perang.

Sewaktu berlaku pertikaian antara Ali dan Muawiyah, Abu Ayub al-Ansari berdiri di pihak Ali tanpa ragu-ragu kerana dialah imam yang dibaiah oleh kaum Muslimin.

Selepas kematian Ali dan Muawiyah menjadi Khalifah, Abu Ayub al-Ansari menyendiri, berzuhud dan bertakwa kepada Allah. Tidak ada apa diharapkan daripada dunia selain tempat berjuang bersama pejuang lain.

Abu Ayub al-Ansari memohon kepada Allah untuk syahid dalam peperangan dan ketika turut serta dengan barisan tentera Islam menuju Konstantinopel, beliau luka parah.

Apabila ditanya panglima pasukan waktu itu, Abu Ayub al-Ansari memberitahu apabila tiba ajalnya nanti beliau ingin dikebumikan sejauh jarak dapat ditempuh ke arah musuh.

Ternyata itulah yang diperoleh beliau dan beliau dikebumikan di lokasi di mana tentera Islam berjaya mengalahkan musuh. Itulah Abu Ayub al-Ansari yang berwasiat jasadnya dibawa ke medan perang hingga tiba di tempat tentera Muslim mencapai kemenangan.

Diubah suai daripada buku Siri 100 Pahlawan Syurga Jilid 2
Sumber: Berita Harian

Saturday 8 September 2012


Ibadat   umrah
Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA  

DI antara satu umrah dengan satu umrah yang lain itu adalah penebus dosa di antara tempoh keduanya. Inilah di antara mafhum hadis yang diriwayatkan daripada Sahih Bukhari.
Umrah dari segi bahasanya adalah ziarah. Manakala dari segi syarak ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Umrah terdiri daripada 5 rukun iaitu :-

* Niat3

* Tawaf

* Saie

* Bercukur atau bergunting

* Tertib

Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun. Bagi mereka yang rindukan Baitullah al-Haram peluang mengerjakan umrah tidak dilepaskan begitu sahaja.

Bermula pada bulan Mac kebiasaannya, jemaah dari Malaysia akan mula mengunjungi Mekah sehinggalah bulan Ramadan.

Namun begitu, bagi mereka yang menunaikan haji, peluang menunaikan umrah tidak dilepaskan begitu sahaja.

Bagi bakal-bakal haji yang menunaikan umrah sepanjang musim haji ada dua tempat di mana mereka selalu memulakan niat.

Bagi bakal haji yang memasuki Mekah dari Madinah akan berniat Umrah di Bir Ali lebih kurang 10 kilometer dari Kota Madinah. entara itu, bagi bakal haji yang terus ke Mekah aka
Bagi bakal haji yang menunaikan umrah kali pertama biasanya pihak Tabung Haji melalui Muassasah Tawwafah Asia Tenggara akan membimbing jemaah untuk melakukan tawaf dan saie. Setelah selesai saie, mereka perlulah bercukur atau bergunting. Maka selesailah ibadat umrah.

Sementara menunggu hari wuquf perbanyakkan umrah sunat. Berhati-hatilah ketika melakukan umrah sunat. Jaga larangan Ihram supaya ibadat umrah sempurna. Jagalah kesihatan supaya menjelang hari wuquf, bakal haji dapat menunaikan haji pula.

* MOHD. RAZALI ZAKARIA ialah Pengurus (Penerbitan Haji), Lembaga Tabung Haji
Sumber: Utusan