Friday 25 July 2014

Haram guna sabun susu ibu: JAKIM


Kuala Lumpur: Penggunaan susu ibu dalam penghasilan produk seperti sabun atau peralatan kosmetik adalah haram, demikian keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hasil mesyuarat ke-86 pada pertengahan Jun lalu itu dibuat berdasarkan kaedah fekah yang bermaksud, sesuatu yang diharamkan untuk digunakan, ia juga haram untuk diambil dan diproses sebagai sabun. Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata keputusan itu juga mengambil kira dasar Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) Kementerian Kesihatan yang menetapkan susu ibu atau sebarang bahan berasal daripada manusia tidak boleh digunakan dalam penghasilan produk kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.

Tiada bukti saintifik

Mengulas laporan BH mengenai beberapa kumpulan usahawan wanita di China cuba mengubah fungsi susu ibu dengan menjualnya dalam bentuk produk kecantikan, beliau berkata, keputusan panel pakar syariah JAKIM itu selaras dengan peraturan ditetapkan Annex II, Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.

“Sehingga kini tiada bukti saintifik dapat menyokong tahap keselamatan atau keberkesanan susu ibu dalam produk kosmetik. Kedudukan manusia tinggi di sisi Allah berbanding makhluk lain, jadi semua anggota atau apa saja berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, tak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya kecuali terdesak.

“Keadaan terdesak apabila ada kemudaratan yang boleh memusnahkan lima perkara dipelihara syariat, iaitu agama, akal, tubuh, maruah dan harga serta apabila tiada bahan lain yang diharuskan oleh syarak bagi menghilangkan kemudaratan berkenaan. Jadi, dilarang penggunaan susu ibu untuk kosmetik atau kegunaan luaran manusia.

“Ia demi memuliakan kedudukan manusia sendiri. Bahkan, masih banyak bahan utama lain boleh menggantikan fungsi susu isu dalam penghasilan sabun,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas penggunaan sabun susu ibu, diperkenalkan sebagai produk rawatan kulit yang dilaporkan jadi kegilaan di beberapa wilayah di China.

Ia juga hangat dijual di laman beli-belah dalam talian ‘Taobao’ dan didakwa mampu menjadikan kulit lelaki dewasa lebih putih, sihat, licin dan cantik.

Mengenai tindakan kumpulan tertentu di negara ini berkongsi tips menghasilkan sabun dari susu ibu dan menjual produk berkenaan, Othman berkata, anggota atau apa-apa berasal daripada tubuh manusia tidak boleh dijual beli dan digunakan untuk tujuan kosmetik atau kegunaan luaran walaupun lebihan perahan susu sendiri.

“Bahkan sehingga kini tiada kajian saintifik yang mengesahkan khasiat susu ibu sebagai sabun. Jika wanita mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu,” katanya.

-BH

Operator wanita dipecat larang pesakit dirawat


Sibu: Seorang operator wanita kaunter pertanyaan di sebuah hospital swasta di Jalan Pedada, di sini, yang didakwa bersikap biadap terhadap seorang lelaki ketika meminta bantuan merawat tiga beranak yang cedera dalam kemalangan Isnin lalu, sudah dipecat.

Wanita berusia lingkungan 20-an itu dipecat berikutan kisah memalukan itu tersebar luas dan menjadi 'viral' dalam Facebook, menyebabkan ramai mengutuk dan mencaci kisah hospital berkenaan.

Jurucakap hospital swasta ketika dihubungi sebentar tadi berkata, operator wanita terbabit dipecat kerana tindakan dilakukan amat memalukan.

"Tindakan ini adalah terbaik untuk mengelak kejadian sama berulang. Kami amat kesal dengan perkara seperti ini," katanya.

TIGA sekeluarga pengsan akibat parah dirempuh.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang itu menyebabkan tiga sekeluarga parah selepas dirempuh pacuan empat roda jenis Land Cruiser sebelum pemandunya melarikan diri, meninggalkan mangsa bergelimpangan atas jalan raya.

Ketiga-tiga mangsa berusia tiga tahun, 17 tahun dan 61 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri akibat parah sebelum seorang lelaki menghubungi hopsital berkenaan meminta menghantar ambulans ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, apabila operator bertugas menyambut panggilan ketika itu, dia menjawab,: "Jika ambulans pergi ambil, siapa yang nak (mahu) bayar bil nanti?.

Melihat keadaan itu orang ramai tidak puas hati terus ke kauntar pertanyaan hospital swasta terbabit untuk meminta bantuan agar menyelamatkan tiga mangsa langgar lari itu.

Namun jawapannya tetap sama dan enggan menghulurkan bantuan kerana mahu mendapat jaminan seseorang untuk mahu membayar segala kos itu.

-Metro

Pelumba basikal Malaysia berdepan tindakan, pakai sarung tangan ‘Save Gaza’ di Sukan Komanwel


Pelumba basikal Malaysia Azizulhasni Awang (gambar) bakal berdepan tindakan disiplin oleh jawatankuasa Sukan Komanwel apabila memakai sarung tangan "Selamatkan Gaza" di velodrom Glasgow semalam.

Semalam ketika menyertai perlumbaan sprint lelaki, Azizul memakai sarung tangan tertera perkataan "save" pada sebelah tangannya manakala pada sebelah lagi "Gaza".

Ia dirakamkan oleh kamera selepas perlumbaan yang membawanya ke pusingan suku akhir.

Bagaimanapun Persekutuan Sukan Komanwel yang tidak mahu sukan itu dimasukkan unsur politik memberitahu The Associated Press, mereka akan menghubungi ketua delegasi Malaysia untuk membincangkan kejadian itu dan mengambil tindakan, lapor CTVNews, laman web dari Kanada.

Tindakan itu mungkin memberikan amaran kepada Azizul atau dia boleh dihalang daripada menyertai perlumbaan seterusnya.

Pihak berkuasa Palestine berkata, lebih 750 rakyat negara itu yang kebanyakannya orang awam terbunuh sejak diserang Israel 8 Julai lalu.

Pada laman Twitter dan Facebook, Azizulhasni, yang mempunyai hampir 40,000 pengikut Twitter dan lebih 200,000 likes pada Facebooknya, mencatatkan gambar pengakuan beliau bagi rakyat Palestin.

"Alhmdulillah saya memenangi pusingan 1, 1/4 esok terhadap Kiwi tetapi pasukan pecut layak pertama petang ini. Plz berdoa," katanya melalui twitter yang telah ditweet semula 1,100 kali ketika berita ini disiarkan, dengan ramai antara mereka berdoa agar beliau berjaya dalam perlumbaannya hari ini.

Bantahan Azizulhasni ini datang ketika jumlah kematian di Gaza meningkat kepada 800 di mana sebahagian besar rakyat Malaysia bersimpati dengan nasib rakyat Palestin, malah kedua-dua belah jurang politik mengutuk serangan terbaru terhadap orang awam.

Semalam 15 terbunuh apabila sebuah sekolah antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tempat pelarian mencari perlindungan ditembak Israel.

Susulan itu menyebabkan kemarahan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon yang mengarahkan serangan dihentikan serta merta.

Azizulhasni, 28, anak kelahiran Terengganu dan bapa kepada dua anak itu merupakan pembawa bendera kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, dan memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia pada April 2008.

Pada Februari 2011, kemalangan semasa perlawanan akhir Piala Dunia acara keirin di Manchester menghalang beliau meneruskan pertandingan. – 25 Julai, 2014.

-The Malaysian Insider

Thursday 24 July 2014

Jadi hamba seks jin


RESAH di hati Liya sejak dua bulan yang lalu, terus membelenggu fikiran dan emosinya. Keadaan perut yang semakin membesar, membuatkan Liya semakin menjadi tidak keruan takut-takut apa yang dijangkakan selama ini akan terjadi.

Mahu sahaja dia berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan. Namun Liya jadi takut, andai keputusan positif yang dilakukan sendiri melalui alat ujian kehamilan, disahkan oleh doktor. Liya bingung. Bagaimana boleh hamil sedangkan dia sudah lama tidak berhubungan dengan suaminya, Razif.

Razif pula sejak dua bulan yang lalu sering tiada di rumah. Balik pun sekejap-sekejap. Itu pun dalam keadaan keletihan. Cuma apa yang menakutkan Liya, setiap kali suaminya balik ke rumah, malam itu Liya akan ‘didatangi tubuh yang seakan suaminya’ berhubungan dengannya. Tapi Liya tahu, itu bukan Razif kerana Liya masih dapat melihat Razif sedang nyenyak tidur di sebelahnya.

Keesokan paginya dia akan menceritakan kejadian malam tersebut. Namun Razif seolah tidak mahu percaya. Katanya, Liya mungkin berkhayal atau bermimpi. Tapi bukan sekali, sudah dua tiga kali perkara tersebut berlaku. Apatah lagi, setiap kali ‘hubungan’ tersebut berlaku, Liya seolah-olah jadi kaku. Tidak mampu untuk mengejutkan Razif daripada tidur. Liya cuba sedaya-upaya untuk memanggil suaminya, tetapi mulutnya seakan terkunci.

Namun setiap kali hal itu diberitahu Razif, suaminya seolah-olah tidak mahu melayan pertanyaan demi pertanyaan. Liya mula syak sesuatu yang buruk berlaku pada dirinya. Apatah lagi dengan amalan suaminya selama ini yang mencampuradukkan ayat-ayat al-Quran dengan bacaan-bacaan mantera yang sukar untuk difahami, membuatkan kebimbangannya semakin berasas. Namun dia tidak mahu menuduh suaminya dengan perkara yang bukan-bukan.

Bagi mendapatkan kepastian, Liya cuba bertanya kepada Razif. Begitu pun setiap kali dia membuka mulut, pasti akan diherdiknya. Liya takut, jika suaminya terjebak dengan ilmu-ilmu sesat. Pernah suatu malam, Liya nampak suaminya seakan berinteraksi dengan ‘seseorang’. Tapi kewujudannya tidak kelihatan. Bila ditanya, sekali lagi Razif akan memberikan pelbagai alasan.

Perut yang semakin membesar diusap Liya. Fikirannya melayang. Degup jantungnya kian bergetar. “Ini anak siapa?," tiba-tiba soalan itu terpacul daripada mulut Liya. Sesuatu yang cukup membimbangkan Liya, jika bukan anak ini daripada benih Razif, tapi adakah dia anak…? Liya tidak mampu meneruskan bisikan hatinya.

Rohani, teman rapatnya dihubungi. Segala-galanya diceritakan kepada Rohani. Dengan bantuan Rohani, Liya dibawa berubat. Namun setiap kali Liya dibawa berubat, maka malam itu Rohani sering diganggu. Hatta pernah suatu ketika, suami Rohani mendapatinya pengsan di dalam tandas di rumahnya. Bila ditanya, Rohani menjelaskan, kelihatan lembaga yang menakutkan muncul tiba-tiba. Siapa makhluk itu?

-Utusan

Akhir Ramadan yang diabaikan


BULAN Ramadan semakin sampai ke penghujungnya. Masa yang begitu pantas berlalu membuatkan ia begitu cepat berakhir. Sebahagian insan mungkin tidak sabar menanti kedatangan bulan Syawal selepas sebulan berpuasa. Namun, bagi sebahagian yang lain, mereka akan merasakan suatu kesedihan apabila semakin hampir berpisah dengan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan itu.

Para salafussoleh iaitu ulama yang hidup sebelum tahun 300 Hijrah cukup terkesan apabila ingin berpisah dengan Ramadan. Mereka berasa begitu sedih apabila tibanya hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan.

Ibadah dan amal soleh mereka lebih banyak dilakukan pada malam-malam terakhir Ramadan demi mengejar ganjaran yang begitu besar sebagaimana yang telah disampaikan dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya Lataaif Al-Ma’arif menyebutkan bahawa apabila tibanya akhir Ramadan, para salafussoleh mula berasa sedih kerana bimbang amalan-amalan yang mereka kerjakan di bulan Ramadan tidak diterima Allah SWT.

Mereka berdoa selama enam bulan memohon agar dipertemukan dengan bulan Ramadan dan berdoa selama enam bulan pula memohon agar amalan yang mereka lakukan di bulan Ramadan diterima Allah SWT.

Akhir bulan Ramadan termasuk dalam waktu-waktu yang diabaikan oleh umat Islam mutakhir ini. Apabila tibanya penghujung Ramahan, kebanyakannya tidak lagi melakukan ibadah sebagaimana yang mereka kerjakan di awal Ramadan. Tumpuan mula terarah kepada persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga penghayatan terhadap Ramadan itu diabaikan.

Khutbah

Umar bin Abdul Aziz pernah berkhutbah pada hari raya dengan khutbah yang penuh pelajaran dan keinsafan. Katanya: “Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian telah mengerjakan solat tarawih pada setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon keampunan kepada Allah agar amalan kalian diterima. Namun begitu sebahagian salaf (ulama sebelumnya) malah berasa sedih ketika tibanya Hari Raya Aidilfitri hingga dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini (Hari Raya) ialah hari yang penuh kebahagiaan." Mereka lalu berkata “Benar, akan tetapi aku adalah seorang hamba dan aku diperintahkan oleh Tuhanku untuk beramal namun aku tidak tahu apakah amalan tersebut diterima atau tidak." Begitulah gambaran kesedihan ulama terdahulu apabila tibanya akhir Ramadan sehingga mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya.

Ia sangat berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SWT, para sahabatnya dan ulama terdahulu. Apabila tibanya malam-malam terakhir Ramadan, mereka lebih bersemangat mengerjakan ibadah berbanding sebelumnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a dia berkata: Rasulullah SAW apabila masuknya 10 Ramadan yang terakhir beliau akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malam-malam itu dengan ibadah dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan mengetatkan kain sarungnya bermaksud meninggalkan isterinya untuk memberikan perhatian penuh beriktikaf dan beribadah di akhir-akhir bulan Ramadan.

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya perhatian yang diberikan oleh Nabi SAW di malam-malam terakhir di bulan Ramadan, terutama pada 10 malam yang terakhir. Ini kerana pada malam itulah munculnya satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Keperluan berhari raya

Umumnya di negara kita, akhir Ramadan bahkan pertengahan Ramadan lagi sebahagian daripada kita mula memenuhi ruang pusat membeli-belah untuk membeli keperluan berhari raya nanti. Tidaklah menjadi suatu kesalahan melakukan persiapan untuk berhari raya. Namun, sepatutnya kita lebih sensitif dan cuba sedaya mungkin untuk memperbanyakkan ibadah di akhir bulan Ramadan, terutama pada waktu malam.

Sebahagian daripada kita mula menghabiskan waktunya setiap malam di tempat-tempat membeli-belah, bahkan yang lebih parah ada yang berkunjung ke tempat-tempat maksiat, sekalipun di bulan yang dimuliakan ini.

Penghayatan di dalam Ramadan seolah-olah hanya dirasai di waktu siang dek kerana penatnya menahan lapar dan dahaga. Apabila sudah berbuka puasa dan kekenyangan, kita seolah-olah merasakan telah bebas daripada Ramadan.

Sesungguhnya nikmat dan peluang yang Allah SWT berikan untuk kita hidup dan berada di bulan Ramadan merupakan nikmat yang sangat besar nilainya. Bayangkanlah ada di antara kita yang tidak sempat menyambut bulan Ramadan dan ada juga yang pergi menghadap-Nya ketika berada di bulan Ramadan. Jika tahun ini kita berpeluang merasai nikmat Ramadan, tahun seterusnya belum tentu lagi ada buat kita. Semoga kita lebih menghargainya.

-Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR/Utusan

Wednesday 23 July 2014

Daulat Tuanku Sultan Perak!


PETANG Sabtu lepas, saya sekali lagi dijemput berbuka puasa di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Jika pada tahun lepas jemputan dibuat oleh Raja Muda Perak, tahun ini baginda sudah bergelar Sultan Perak, Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah.

Seperti biasa sebelum masuk ke dewan santapan untuk berbuka, kami - dalam kumpulan terdiri daripada orang media dan NGO yang terpilih, dititah menghadap baginda di dalam sebuah Bilik Mengadap serba merah, diberi jolokan Bilik Merah.

Tempat-tempat duduk telah ditetapkan dengan tanda nama masing-masing. Tuanku duduk di tengah-tengah bersebelahan dengan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Baginda bertanya khabar semua tetamunya. Sungguh berhemah baginda.

Kemudian kami semua berangkat ke Bilik Jamuan Negeri. Selepas berbuka dengan juadah ringan buah kurma, bubur lambuk, kuih Tokyo, cucur badak, karipap dan sirap cincau, kami bersolat maghrib berjemaah.

Ia diikuti dengan santapan makan malam - yang menunya nasi putih Basmathi, nasi beriani, ayam Vangge, kari ikan bawal, rendang Tok, sambal tumis, udang cili, ikan masin - yang cukup menyelerakan berserta pajeri nanas, acar buah, air asam dan sambal belacan serta minuman sirap cincau. Di meja santapan, masing-masing teruja dengan ayam Vangge dan perbincangan mengenainya bermula.

Tetamu kemudian bersolat isyak dan tarawih berjemaah bersama-sama Tuanku.

Suasana bersolat di dalam istana berusia 81 tahun itu, dibina pada tahun 1933 di tepi Sungai Perak, cukup syahdu sekali.

Tetamu kemudian dibawa ke dewan santapan sekali lagi untuk jamuan moreh berupa kuetiau goreng dan ketupat daun palas cicah serunding daging serta hirupan teh tarik.

Namun majlis belum selesai. Beberapa tetamu terpilih diminta sekali lagi tunggu dahulu dan diiring ke Bilik Merah sekali lagi.

Seketika menunggu, Tuanku pun masuk mengambil tempat. Kali ini baginda tidak diiringi oleh Raja Permaisuri Perak.

Tuanku Sultan memulakan cerita. Pemilihan Presiden Indonesia, "apa peluang Jokowi dan Prabowo?"

Maka, tetamu terpilih Tuanku itu pun mengulas, membuat pelbagai analisis, pendapat dan cadangan. Tan Sri Azman Mokhtar, orang kuat Khazanah turut memberi pelbagai perspektif dari segi politik dan kesan-kesan kepada ekonomi serta perniagaan serantau.

Tuanku mendengar dengan penuh analitikal dan kritikal. Pelbagai lagi pendapat yang dilontarkan secara naratif dan interpretatif.

Sebagai seorang yang cukup terpelajar - berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, baginda cukup tajam.

Soalan kemudian menjurus kepada satu lagi isu sensitif yang sedang berlegar dalam kalangan NGO Melayu sekarang iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Harmoni serta cadangan penghapusan Akta Hasutan 1948.

NGO Melayu yang turut di bilik itu iaitu Majlis Perundingan Melayu (MPM), yang sedang bersama-sama puluhan lagi NGO Melayu Islam membahaskan rang undang-undang 'berat sebelah' itu turut mengulas.

Dr. Hasan Mad selaku Setiausaha Agung MPM memberi pencerahan kepada Tuanku. Cadangan rang undang-undang itu yang disokong oleh Majlis Peguam - yang pada pandangan NGO Melayu Islam ialah ke arah untuk mengekang hak keistimewaan Melayu dibincangkan dengan mendalam.

Ada juga tetamu yang agak emosional semasa perbincangan. Namun Tuanku cukup tenang.

Seorang lagi berkata sebagai sultan yang baharu dilantik, Tuanku harus juga memberi tumpuan kepada isu pokok itu.

Sebaliknya Tuanku amat menitikberatkan agar Rukun Negara diterapkan di jiwa rakyat Malaysia.

Benar kekhuatiran baginda. Sudah jauh dari hati dan jiwa rakyat kepada ideologi kebangsaan Malaysia itu.

Rukun Negara diwujudkan setahun selepas tragedi berdarah perkelahian kaum 13 Mei 1969. Ia dijadikan satu ideologi kebangsaan, seperti Pancasila yang cukup dihormati di Indonesia sehingga kini.

Rakyat Malaysia sudah lupa kepada ikrar bahawa mereka sewajibnya menumpukan seluruh tenaga dan usaha untuk mencapai cita-cita nasional itu berdasarkan prinsip-prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Benar ingatan Tuanku itu. Rukun Negara harus dimartabatkan semula. Malangnya, kini tiang nasional itu sudah semakin melayu dan lesu. Asas-asas Perlembagaan juga harus diajar sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Ajar anak-anak kecil kita mengenai asas Perlembagaan dan di akhir tahun biar anak-anak itu sendiri melakonkan drama pementasan mengenai Rukun Negara dan Perlembagaan.

Biar semua ibu dan bapa menyaksikan pementasan anak-anak kecil itu. Biar semua kita menyelami erti pementasan itu, seperti mana pementasan oleh anak-anak sekolah rendah di Amerika Syarikat mengenai Declaration of Independence 9 Julai 1776 oleh Jeneral George Washington.

Wajibkan ia mulai sekarang.

Kami di dalam Bilik Merah itu tidak sedar jam sudah melepasi 1 pagi hari Ahad.

Tuanku akhirnya bertitah; "Masa sudah suntuk, anda semua perlu membuat perjalanan jauh. Terima kasih, satu perbincangan yang amat baik."

Daulat Tuanku!

-Oleh Zaini Hassan@Utusan

Dunia oh dunia: Orang kaya pun mengemis


Yanbu (Arab Saudi): Polis di sini semalam menangkap seorang lelaki Arab kerana mengemis walaupun dia mempunyai wang simpanan SR1.2 juta (RM1.01 juta) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mahal.

Polis berkata, lelaki itu yang namanya tidak disiarkan, warga negara Teluk, melawat Saudi dengan menggguna visa pelancong bersama-sama isteri dan tiga anaknya. Mereka didapati menginap di sebuah apartmen mewah di Yanbu, bandar di barat Saudi.

“Kami menemui sejumlah besar wang padanya dan resit deposit wang. Jumlah yang dimilikinya lebih SR1.2 juta (RM1.1 juta) dan sebuah kenderaan mahal.

“Kami juga mendapati dia tinggal bersama-sama keluarganya di sebuah apartmen mewah. Dia ditangkap kerana mengemis di jalan raya,” kata jurucakap polis, Kolonel Fahd Al Ghannam.

- AFP/Metro

Tuesday 22 July 2014

Maut terkejut lihat anjing


Xianyang: Sepasang suami isteri mendakwa anak perempuan mereka yang berusia lima tahun mati ketakutan selepas terserempak dengan seekor anjing kacukan serigala yang besar.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital Xianyang Xixiang baru-baru ini, Setakat ini pihak hospital masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian.

Doktor tidak menemui sebarang kecederaan pada tubuhnya.

Menurut bapa mangsa yang dikenali sebagai Zhao, keluarganya makan malam di sebuah restoran terbuka apabila kanak-kanak itu dan ibu saudaranya ke tandas.

Apabila pulang, mereka terserempak dengan seekor anjing yang besar.

“Tiba-tiba anjing itu menerkam ke arah mangsa, menyebabkan dia terkejut. “Saya segera mendapatkannya dan mendapati mulutnya berbuih dan dia terkencing di dalam seluar kerana ketakutan,” kata Zhao.

Tambah Zhao, laluan ke tandas itu amat gelap, dan membuatkan mangsa terperanjat apabila melihat anjing itu.

- Agensi/Metro

Lelaki sengaja tikam kanak-kanak


Beijing: Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun dan mencederakan dua kanak-kanak lain.

Agensi berita Xinhua semalam melaporkan, lelaki berusia 23 tahun berkenaan menyerang kanak-kanak terbabit di dalam sebuah bilik sewa di bandar Zhongshan.

Yang cedera ialah budak perempuan berusia 10 tahun dan budak lelaki, enam tahun.

Bagaimanapun, sumber tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai serangan kejam itu.

Laporan berkenaan tidak memberi butir terperinci mengenai kejadian berkenaan.

-AP/Metro

Monday 21 July 2014

Wanita makan makanan haiwan


SEORANG pemilik kedai haiwan peliharaan dari Richland, Washington, Amerika Syarikat yang mahu mempromosikan pemakanan sihat untuk haiwan kesayangan bertindak memakan makanan haiwan selama sebulan.

Pada suatu hari, pemilik Paws Natural Pet Emporium, Dorothy Hunter, tiada masa untuk mendapatkan snek ketika dia menyusun rak yang menempatkan makanan anjing di kedainya.

"Saya tidak sempat membeli snek. Jadi, saya makan makanan sihat yang dimakan haiwan peliharaan. Saya melakukannya selama 30 hari," katanya.

Hunter memakan makanan kucing iaitu kepingan ikan salmon dan ayam yang dibekukan selama seminggu. Dia mengikuti diet haiwan itu dengan berdisiplin.

Apabila membandingkan bahan-bahan yang digunakan dalam makanan manusia, dia mendapati corak pemakanan haiwan lebih sihat.

Katanya, manfaat kesihatan memakan makanan haiwan sangat ketara pada dirinya.

"Saya kehilangan berat badan tetapi bukan melakukannya untuk mempromosikan makanan haiwan atau menurunkan berat badan, saya cuma ingin menunjukkan yang saya percayakan produk saya," ujarnya.

Jelasnya, dia tidak kisah dengan rasa kepingan salmon dan ayam yang dibekukan malah dia turut mengeluarkan beberapa produk pilihan makanan haiwan.

Walaupun hanya memakan makanan haiwan, Hunter berkata, dia tetap menggemari kopi bagi memastikan dirinya sentiasa segar dan tidak tidur di tempat kerja.

-Kosmo

Penghalang sebenar penukaran Khalid Ibrahim


Akhirnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kehilangan sokongan terpenting sebagai seorang ahli politik PKR yang dipilih menjawat jawatan Menteri Besar Selangor apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kepada media bahawa PKR bersetuju menukarkan Khalid dengan orang lain.

Jika PKR berkuasa penuh untuk menentukan siapa pengganti Khalid, sudah tentu perkara ini lebih mudah bagi mudah.

Tapi, menukar Khalid yang imejnya hanya sekadar dicalarkan tohmahan-tohmahan yang masih tidak dibuktikan bukan mudah.

Selepas PKR, Anwar memerlukan empat sokongan lagi yang selari iaitu, DAP, PAS, istana dan Khalid sendiri.

Rasanya, Anwar boleh menyelesaikan masalah yang pertama iaitu mendapat persetujuan kesemuanya bahawa Khalid perlu ditukar.

Yang rumitnya ialah soalan – apakah Khalid akan akur dan meletak jawatan dan Khalid perlu ditukar dengan siapa?

Dr Wan Azizah?

Melihat daripada pemilihan PKR sendiri di mana kerjasama Nurul Izzah Anwar-Rafizi Ramli-Saifuddin Nasution yang dilihat mendapat sokongan penuh Anwar gagal menguasai pemilihan daripada pasukan Mohamed Azmin Ali, Anwar sudah tentunya ingin isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR menjadi Menteri Besar Selangor berbanding Azmin.

Risikonya ialah Dr Wan Azizah mungkin akan mengalami nasib seperti Shahidan Kassim dan Idris Jusoh, di mana majlis sumpah di istana dilengah-lengahkan kerana pihak istana tidak bersetuju untuk seorang wanita menjadi menteri besar.

Ketika itu, pertembungan dengan istana akan berlaku, dan Dr Wan Azizah adalah mangsanya. PKR sudah cukup dihujani masalah seperti Malaysia Airlines, perlukah mereka menambah masalah dengan penolakan terhadap presiden mereka untuk menjadi menteri besar?

Kesian Dr Wan Azizah yang terpaksa memikul satu demi satu amanah berat parti sejak penubuhan PKR. Mungkin beliau sendiri pun tidak rela, tapi apakah daya kerana suaminya turut ditimpa masalah demi masalah sejak 1998.

Azmin Ali?

Gerakan ‘Asal Bukan Khalid’ menguntungkan Azmin. Ada yang kini rela Azmin menjadi menteri besar Selangor meskipun satu dahulu kala dulu, merekalah penentang kuat perkara ini berlaku.

Ini bukan kerana Azmin berubah tapi kerana status Khalid menjunam teruk, bukan di kalangan rakyat, tapi di kalangan mereka yang terpaksa bekerja dengannya setiap hari.

Bagi Azmin, asalkan Khalid tidak menjadi menteri besar, ia sudah adalah satu kemenangan meskipun Dr Wan Azizah yang menjadi menteri besar.

Kemenangannya ke atas Khalid di pertembungan kerusi timbalan presiden PKR sudah cukup untuk beliau berpengaruh ke atas keputusan kerajaan negeri asalkan Khalid tidak lagi berada di situ.

Berbanding Dr Wan Azizah, peluang istana untuk menerima Azmin lebih tinggi meskipun beliau tidak dilantik sebagai exco selepas kemenangan di PRU13.

Calon pilihan Khalid?

Akan tetapi, Azmin belum tentu selamat sekiranya Khalid melancarkan serangan balas sebagai perang terakhirnya sebelum mengosongkan kerusi menteri besar.

Apakah Khalid akan mendedahkan salahlaku musuh-musuh politiknya sebelum tamatnya karier politik beliau?

Memandangkan PKR sendiri tidak mahu beliau terus menjadi menteri besar, apakah Khalid akan mencadangkan kepada istana penggantinya juga dari PKR? Susah dibayangkan.

Apakah syarat-syarat yang bakal Khalid kemukakan untuk perletakan jawatan beliau?

Apakah syarat-syarat yang melibatkan Azmin, yang selama ini ditentangnya habis-habisan? Apakah Anwar akan setuju?

Bayangkan juga jika Khalid memberitahu Anwar, “Saya tak akan letak jawatan. Kalau nak saya turun, buat ikut perlembagaan – undi tak percaya di DUN.”

Apakah Anwar akan mengambil risiko tersebut, yang besar kemungkinan berakhir dengan pembubaran DUN Selangor?

Penutup

Anwar sebenarnya tidak perlu berbincang dengan PAS dan DAP mengenai penukaran Khalid sehinggalah beliau sendiri dapat mencapai persetujuan dengan Khalid.

Susah juga nak jawab jika Khalid bertanya soalan ini kepada Anwar: “Apa kesalahan saya?”

Jika Anwar membalas dengan isu kitab Bible bahasa Melayu, Lebuh Raya Kidex, loji air Langat 2, masalah hutang dengan Bank Islam dan cubaan meluluskan projek yang melibatkan kepentingan Umno, Khalid bakal bertanya soalan yang lebih susah dijawab, “Kalau kamu jadi menteri besar, kamu akan buat apa? Apa bukti kamu bahawa saya mengkhianati negeri dan Pakatan Rakyat?”

Khalid akan berani tanya soalan sebegini kerana beliau seorang yang melakukan setiap perkara dengan cermat dan berpandukan undang-undang.

Yang pasti, Khalid bukan Ahmad Said, yang ada rekod-rekod buruk untuk memaksa beliau berundur dan mendengar cakap.

Sebab itu, bukan mudah untuk menukar Khalid, meskipun Anwar pendesaknya.

Penghalang sebenar penukaran ini bukanlah PAS mahupun presiden PAS sebagaimana dakwaan pemimpin kanan PKR, tapi kesukaran PKR mendapat kerjasama Khalid untuk berundur secara terhormat.

Ini diburukkan cara melampau yang mereka gunakan untuk menyingkirkan Khalid sehingga hari ini, kesilapan bermain catur di Langkah Kajang dan strategi pemilihan parti yang gagal. -- 21 Julai, 2014.

By Timmy Say/MI

Friday 18 July 2014

Pandangan menarik Dr Mahathir


SEBAGAI tetamu melawat kilang Proton beberapa tahun lalu, mantan Setiausaha Agung Asean dan Felo Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Surin Pitsuwan, berkesempatan berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad. Menceritakan pengalaman itu kepada saya baru-baru ini, Dr Surin berkata beliau terkejut dan hairan apabila Dr Mahathir berkata: “Semua yang anda lihat di kilang ini adalah daripada al-Quran.” Lalu beliau minta penjelasan.

Jelas Dr Mahathir: “Perkataan pertama al-Quran ialah ‘Iqra, bacalah. Tapi apakah yang boleh dibaca oleh orang Islam ketika al-Quran belum ada? Orang Islam pada zaman awalnya mempelajari ilmu yang dikuasai bangsa Yunani, Parsi dan lain-lain. Mereka menterjemah segala ilmu yang diperoleh ke dalam bahasa Arab. Mereka juga menambah baik apa yang dipelajari kerana dalam Islam tiada tegahan. Dalam al-Quran, tiada tertulis, ‘Kamu ditegah daripada mempelajari apa yang tidak ada kaitan dengan agama kita’. Apabila kita membaca, kita mendapat pengetahuan. Ilmu Islam tidak berkisar kepada soal agama sahaja, tapi semua bidang termasuk teknologi, sains dan kejuruteraan. Inilah pengetahuan yang telah kita peroleh daripada ajaran Islam, ‘Iqra dan semua itu telah diterjemah menjadi kilang yang mengeluarkan kereta Proton.”

Dr Surin, yang juga bekas Menteri Luar Thai, mengakui beliau cukup terkesan dengan jawapan Dr Mahathir. Seterusnya, Dr Mahathir menerangkan: “Kalau kita membaca al-Quran dan kita mengkaji hadis-hadis yang sahih dan bukan sembarangan, kita akan dapati bahawa ajaran yang terdapat dalam al-Quran itu cukup baik, pragmatik dan sesuai untuk mana-mana zaman. Sehingga ke zaman sekarang pun ia cukup sesuai. Yang menjadi masalah ialah tafsiran dibuat, kadang-kadang ditumpukan kepada form (bentuk) bukan substance (isi).”

Sebagai contoh, Dr Mahathir bercakap mengenai pertahanan ke atas orang Islam. “Dalam Quran disebut orang Islam mesti mempunyai kebolehan mempertahankan diri. Pada zaman nabi, senjata bermaksud tombak, pedang, panah; tapi pada zaman ini, kita memerlukan roket, bom, kereta kebal. Untuk itu, kita perlu ada pengetahuan dalam bidang sains, fizik, kimia, ilmu hisab. Tapi ini kita tidak belajar (seperti dituntut agama). Kita perlu ada ilmu (serta kemampuan dan cara untuk menghasilkan) senjata moden. Tanpa ilmu ini kita tidak dapat menunaikan fardu kifayah, mempertahankan agama dan umat Islam seperti disuruh al-Quran.

“Kebanyakan daripada ajaran agama Islam yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih tidak dijelaskan kepada orang Islam. Mereka lebih menumpukan kepada ibadat tertentu seperti fardu ain. (Manakala) fardu ain kalau kita lakukan, kita mendapat pahala, fardu kifayah berkehendakkan dalam satu masyarakat itu mesti ada orang yang membuat sesuatu yang penting untuk masyarakat itu. Tapi ini tidak ditekankan.” Pandangan Dr Mahathir ini terdapat dalam buku Jejak Seorang Pemimpin:

Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan Yayasan Kepimpinan Perdana dan Universiti Utara Malaysia. Buku setebal 184 halaman ini adalah hasil wawancara oleh Prof Dr Mustapa Kassim, Prof Dr Abdul Rahman Abdul Aziz dan Dr R. Sivaperegasam P. Rajanthiran meliputi pelbagai tajuk menarik: politik, kerajaan, ekonomi, kewangan, pendidikan, agama, Perlembagaan serta kisah-kisah peribadi Dr Mahathir.

Seterusnya, Dr Mahathir menegaskan: “Islam itu ad-deen, a way of life, cara hidup bukan a way of death. Way of life ini banyak, menyeluruh termasuk mencari rezeki, bekerja, mempunyai kecekapan dan macam-macam lagi. Bagi orang yang mengajar agama, dia hanya utamakan ibadat tertentu. Tapi Islam is a religion and a way of life bukan sembahyang sahaja, atau puasa dan ibadah haji sahaja. Bercucuk tanam, membuat baju, menenun kain, semua ini cara hidup. Justeru kita tidak boleh kata bahawa perkara ini adalah sekular. Kita tidak boleh kata (soal seperti) pentadbiran adalah kegiatan sekular. (Pandangan) ini salah dan mengikut cara barat, iaitu mengasingkan sekular dengan religion, church and state. Pada zaman dahulu, church secara langsung terlibat dengan pentadbiran sehingga menidakkan pemerintahan oleh raja. Oleh itu mereka terpaksa memisahkan pentadbir dan pentadbiran daripada gereja. Tapi dalam agama Islam, ini tidak boleh dipisahkan kerana pentadbiran dan mentadbir adalah sebahagian daripada way of life.”

Satu lagi bentuk tafsiran yang membawa masalah ialah kegagalan Pas memahami konsep keadilan Islam dalam usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Jelas Dr Mahathir: “Al-Quran menyeru kepada keadilan. Dalam lebih daripada 43 ayat, penekanan diberikan terhadap keadilan. Lebih 14 ayat menyatakan kita mesti menghindarkan ketidakadilan. Akan tetapi Pas tidak melihat pada bahagian ini (sebaliknya) mereka menumpukan semata-mata pada proses membuat penghakiman dan punishment, hukuman yang dikenakan kepada penjenayah. Jadi dalam al-Quran, yang ditekankan bukan proses, bukan hukum, tetapi keadilan. Kalau kita berpegang kepada keadilan, maka kita sedar bahawa agama Islam adalah satu agama yang cukup baik.”

-DR MASHITAH IBRAHIM/Sinar

Azab 4 tahun berakhir


Beijing: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram dari perutnya.

Han Bingbing yang berasal dari Heilongjiang, timur laut China, menjalani pembedahan itu yang mengambil masa selama lapan jam baru-baru ini.

Ketumbuhan itu membesar sehingga sebesar dua bola sepak sejak empat tahun lalu.

Sehingga 18 Jun lalu, ia memenui lima perenam daripada perut Han, menyebabkan organ dalamannya gagal berfungsi secara berperingkat-peringkat.

Nasib menyebelahi Han apabila Perbadanan Penjagaan Kesihatan Xukecheng berjaya mengumpul dana yang sama jumlah dengan RM60,000 untuk membantu membiayai pembedahan berkenaan.

Han disahkan menghidap penyakit ovarian teratoma sejak 2009.

Sejak itu hutang keluarganya menimbun selepas merusaha berusaha menanggung rawatan perubatan murid itu.

Tidak ramai doktor yang yakin dia akan selamat.

Beberapa klinik enggan merawatnya sehingga keluarganya mengetahui mengenai sebuah hospital di Guangzhou, selatan China, kira-kira 4,000 kilometer dari kediaman mereka.

- Agensi/Metro

Thursday 17 July 2014

Padah ambil jalan dekat


Beijing: Seorang lelaki berusia 30 tahun di Wuhan tersangkut pada pagar besi seperti daging kebab apabila tertusuk ketika cuba memanjat pagar berkenaan.

Mangsa dikenali sebagai Wu itu bagaimanapun terselamat tetapi mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, Wu melalui sebuah lorong kecil untuk pulang ke rumahnya namun mendapati pintu pagar di hujung jalan itu terkunci.

Dia dan beberapa rakannya kemudian memutuskan untuk memanjat pagar tetapi malangnya lengan serta bahu kiri Wu tersangkut serta tertusuk pada pagar itu ketika cuba melompat.

Wu pengsan akibat kecederaan itu dan rakannya segera menghubungi pasukan kecemasan.

Anggota bomba terpaksa menggunakan alat pemotong untuk menurunkan Wu sebelum alat pemotong hidraulik pula digunakan untuk memotong pasak pada pagar besi itu.

Akhirnya, bomba menggunakan gergaji bulat untuk membuang besi yang menusuk bahu Wu.

Keseluruhan proses mengambil masa lima minit sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

Wu bernasib baik kerana tulang dan organ dalamannya tidak rosak dan kini beransur pulih.

- Agensi/Metro

Sahabat gugur syahid

ORANG ramai mengusung mangsa keluarga Al-Batsh yang terkorban. Gambar kecil, Ahmad Bala’wi.

Gaza: Saya mengenalinya sebagai penjual kurma, namun hubungan kami amat erat, malah saya menganggapnya seperti adik sendiri. Namun, Allah lebih menyayanginya apabila rakan saya itu Ahmad Bala’wi mati ditembak tentera Israel.

Apa yang mengejutkan, hanya selepas kematiannya baru saya tahu Allahyarham sebenarnya bukan penjual kurma yang biasa-biasa, kerana dia sebenarnya anggota Briged komando Al-Qassam yang terkenal dengan kehebatan menentang rejim zionis.

“Kalau perlukan apa saja, maklumkan kepada saya.” Itu kata-kata terakhir arwah kepada saya pada pertemuan kami minggu lalu dan sehari sebelum dia syahid di medan perjuangan.

Seolah-olah masih terasa erat pelukannya sebelum kami berpisah. Sehari kemudian, saya diberitahu dia bersama dua lagi rakan terkena bedilan bom dilancarkan tentera Zionis ketika mereka melakukan kawalan sempadan.

Sepanjang perkenalan kami hampir lima bulan lalu, langsung saya tidak menyangka dia seorang pejuang komando Al-Qassam kerana perilaku dan tutur katanya lemah-lembut. -Me

-Metro

Wednesday 16 July 2014

Pekerja restoran rela makan lipas

PEKERJA restoran berkenaan dilihat memakan lipas membuktikan serangga itu tidak memudaratkan

Sichuan (China): Seorang pelanggan yang tidak puas hati terkejut apabila seorang pekerja restoran sanggup memakan lipas untuk membuktikan serangga itu tidak memudaratkan.

Kejadian berlaku apabila seorang lelaki, Zhang makan di sebuah restoran di sini menemui lipas dalam hidangannya.

Ekoran penemuan yang menjijikkan itu, pelanggan itu membuat aduan dan mengharapkan ganti rugi.

Seorang pekerja wanita sebaliknya memberitahunya: “Di restoran mana juga kamu makan, pasti kamu menemui lipas dan ia perkara biasa.”

Zhang yang berang dengan penjelasan wanita berkenaan menyuruhnya memakan lipas itu.

Pelayan menyahut cabaran Zhang dengan memakan serangga berkenaan.

Zhang yang terkejut dengan tindakan wanita itu segera membayar makanan itu.

Sejurus selepas itu, pemilik restoran memohon maaf kepada Zhang dan menegaskan tindakan akan dikenakan terhadap pekerja itu dengan memotong gajinya.

Pemilik kedai menjelaskan mungkin lipas itu termasuk ke dalam makanan kerana ditiup udara panas ketika memasak.

Ini bukan kali pertama pekerja restoran berjaya mengaburi kesilapan yang berlaku dengan melakukan aksi luar biasa. Mei lalu seorang pengurus restoran memakan kondom yang ditemui di dalam ikan yang dihidang kepada seorang pelanggan.

- Agensi/Metro

Kerana marah hendak dicerai, wanita Myanmar potong kemaluan suami


Gara-gara marah kerana mahu diceraikan, seorang wanita warga Myanmar nekad memotong kemaluan suaminya di rumah lelaki itu di Taman Wilayah, Selayang, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita berusia 40 tahun yang tinggal berasingan pergi ke rumah suaminya yang juga warga Myanmar untuk berbincang.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, setelah suaminya membenarkan wanita itu masuk dan beliau terus tidur di ruang tamu, wanita itu secara tiba-tiba bertindak memotong kemaluan suaminya dengan pisau.

"Mangsa berusia 40 tahun itu yang tertidur berasa sakit di bahagian kemaluannya dan dia terkejut apabila kemaluannya berlumuran darah.

Mangsa melihat isterinya memegang pisau dan dia terus melarikan diri dari rumah itu. Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil," katanya, hari ini.

Munusamy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan usaha untuk mengesan suspek masih dipergiatkan.

– Bernama

Monday 14 July 2014

Hutang orang meninggal dunia


SOALAN: Saya ingin bertanya mengenai permasalahan hutang orang yang telah meninggal dunia. Untuk makluman, ibu saya baru sahaja meninggal dunia dan arwah mempunyai hutang dua buah kereta yang belum dilangsaikan. Adakah arwah masih dikira berhutang jika kereta tersebut kami kembalikan semula kepada pihak bank?

JAWAPAN: Permasalahan hutang adalah perkara yang sangat ditegaskan oleh Baginda Nabi SAW seperti peristiwa Baginda tidak mahu solat jenazah ke atas orang yang berhutang dan tidak meninggalkan harta untuk membayarnya.

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan oleh Imam Muslim RA bermaksud: "Akan diampuni orang yang mati syahid semua dosanya, kecuali hutangnya."

Orang yang mati dengan meninggalkan hutang, maka walinya (saudaranya) haruslah menyelesaikan hutang. Jika tidak roh si mati akan tergantung antara langit dan bumi akibat hutang yang belum selesai.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang rohnya berpisah dari jasadnya dalam keadaan terbebas daripada tiga hal, nescaya masuk syurga: (pertama) bebas daripada sombong, (kedua) daripada khianat, dan (ketiga) daripada tanggungan hutang."

Dalam permasalahan sewa beli kereta, kebiasaannya jika membeli dengan kaedah atau sistem syariah, pembeli disaran mengambil insurans yang membolehkan hutang kereta dilangsaikan sekiranya berlaku kematian ke atas tuan kereta.

Namun, tidak semua pembeli yang mengambil pakej ini. Jika hutang itu masih tertunggak, wali atau ahli keluarga hendaklah melangsaikan hutang si mati sepertimana sabda Nabi SAW dari Abu Hurairah: "Jiwa orang Mukmin bergantung pada hutangnya hingga dilunasi."

Mengembalikan kereta kepada pihak bank juga harus disusuli dengan memastikan tiada apa-apa lagi perkara yang bersangkutan hutang. Jika ada, selesaikan agar jelas dan tiada keraguan lagi.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya."

-Kosmo

‘Andai ajal tiba, biar kita bersama’


Gaza: “Suatu hari sebuah bangunan berhampiran kami dibom dengan misil. Kami nampak ada bebola api besar dan cahaya terang,” kata seorang wanita Palestin, Zahra, menceritakan detik awal Gaza diserang minggu lalu.

Seperti kebanyakan penduduk Gaza, dia dan keluarganya tidak tidur pada malam itu, sebaliknya hanya terlena kira-kira jam 8 pagi keesokan harinya. Kemudian, mereka difahamkan Israel cuba menyasarkan bangunan disyaki tempat persembunyian pejuang Hamas di kejiranan Tel al-Hawa, namun sebaliknya yang menjadi mangsa adalah sebuah klinik serta mengorbankan pemiliknya, Dr Anas Rizaq Abu al-Kas, 33. Dia adalah sebahagian daripada lebih 165 penduduk Gaza yang terbunuh akibat serangan tentera rejim Zionis.

Kata Zahra, ibu dan bapa doktor itu terkorban oleh serangan Israel ketika Gaza diganyang pada 2012.

“Hidup di sini memang sentiasa dalam kebimbangan.

“Ketika siang, kami menanti malam tetapi apabila malam, kami menanti siang.

“Kami menunggu masa giliran rumah ini menjadi rumah penyembelihan,” katanya.

Menurut Zahra, baru beberapa jam sebelum ditemui media dia diberitahu bahawa sebuah keluarga dari Rafah terbunuh. Katanya, serangan itu sengaja disasarkan kepada keluarga terbabit kerana seorang daripada mereka menjadi anggota Jihad Islam yang gigih memerangi Israel. Kenyataan itu selaras dengan pengumuman Pusat Hak Asasi Manusia Palestin yang menyatakan jet tentera Israel melancarkan tiga peluru berpandu - tanpa amaran lebih awal - ke arah rumah Abdul Raziq Hassan al-Ghannam, 58. Akibatnya, Abdul Raziq, isteri, anak serta beberapa saudaranya terkorban. Seorang daripada mereka, Kifah Shaker al-Ghannam, 33, adalah orang kurang upaya kerana pekak. Tujuh jiran mereka pula cedera. Kurang dari sejam sebelum itu (4.34 pagi) sebuah jet Israel mengebom satu terowong di kejiranan Sha’ath di Rafah. Nour Marwan al-Nijdi, 10, terbunuh akibat terkena serpihan bom, manakala abangnya, Abdul Rahman, 15, dan ibunya, Salwa Ahmed al-Nijdi, 49, cedera.

Semua mereka berada dalam rumah ketika serangan dilancarkan. Dengan suara perlahan, Zahra berkata, penduduk di situ tidak tahu misil yang dilancar tentera Zionis akan meragut nyawa mereka.

“Justeru, saya sentiasa berpesan kepada anak-anak dan suami bahawa kami perlu sentiasa bersama dan duduk di tempat sama.

“Jika takdirnya ada bom disasar ke sini, biar kami semua mati bersama-sama,” katanya. Sementara itu anak perempuan bongsu Zahra pula mengakui dia sentiasa ketakutan untuk mandi kerana bimbang jika peluru berpandu Israel menyerang ketika itu. Untuk memujuk anaknya, Zahra berkata, dia menggalakkan mereka mandi seperti biasa.

“Biarlah kita mati dalam keadaan bersih,” katanya. Pada masa sama, anaknya juga kadang-kadang begitu tabah berbanding Zahra.

Jika Zahra kelihatan bimbang, mereka akan menenangkannya dan berpesan: “Cuma ada dua keadaan yang di depan kita - hidup bersama, atau mati bersama.” Mengenai nasib mereka yang tidak terbela, Zahra sempat bertanya kepada wartawan mengenai pendirian pemimpin Arab, Eropah malah Tebing Barat.

“Golongan cerdik pandai di sana cuba tahu menulis puisi dan takut kepada Mahmoud Abbas (pemimpin Fatah di Tebing Barat), bukan Yahudi.

“Nampaknya ini memang takdir kami - terpaksa hidup di bawah kawalan jarak jauh tentera Israel,” katanya. Seorang lagi wanita Gaza, Fatma berkata, dia dan keluarganya tidak tidur lebih 24 jam sejak wilayah itu diserang, “Kami tidak keluar rumah, tidak tahu apa khabar saudara-mara lain dan terseksa kerana tiada bekalan elektrik di kawasan petempatan panas begini,” katanya. Latifah - dari Rafah - pula berkata dia juga ketakutan apabila mendengar letupan bom di kawasan itu.

“Anak perempuan saya bertanya: Mengapa mereka mengebom kami ketika Ramadan?” katanya.

- Agensi/Metro

Saturday 12 July 2014

Dijauhkan dari neraka 70,000 musim


Riwayat: (Muslim)

Hadith: Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.

Huraian Hadith: Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:

i) orang berpuasa kerana malu kepa...da Allah dan manusia.

ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.

iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

-Sinar/FB Nasrudin Hassan

Wanita mahu kahwin empat


Harare: Seorang wanita yang sudah mempunyai suami, berhasrat berkahwin dengan dua lagi lelaki.

Dukun wanita yang berusia 57 tahun itu, Emma Chaleka berkata, memang menjadi impiannya untuk mempunyai empat suami.

Menurutnya, dia akan menambah bilangan suaminya itu jika mereka sanggup hidup dengan aman di bawah satu bumbung dan menghormati apa yang dianggapnya sebagai ‘tugas’ masing-masing.

Emma mendakwa suami pertamanya, Never Mudenda yang memperkenalkan dia kepada suami keduanya, Sikabenga Pendasi, 55.

Disebabkan amalan luar biasa yang diamalkannya, perkahwinannya menjadi ‘buah mulut’ masyarakat di bandar di Gadzema.

Pendasi berkahwin dengan Emma di hadapan saksi yang juga jiran mereka dengan membawa seekor ayam sebagai hantaran.

Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi huru-hara apabila suami pertamanya mula cemburu terhadap suami baru isterinya itu.

Mudenda dan anaknya kemudian menyerang Pendasi. Kerana tidak mahu anak-anaknya dipenjara, Emma memujuk suami keduanya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis. Emma sebelum itu mempunyai 11 anak hasil perkahwinan dengan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia, selain dua lagi dengan Mudenda.

- Agensi/Metro

Tuesday 8 July 2014

Arnab peliharaan Chu miliki bulu terlalu tebal


SAN JOSE - Seekor arnab baka Angora Inggeris dipercayai memiliki bulu arnab terpanjang di dunia, lapor akhbar The Huffington Post kelmarin.

Arnab betina yang diberi nama Ida itu mempunyai bulu sepanjang 25.4 sentimeter.

Haiwan itu dibiak dan dipelihara oleh seorang wanita Betty Chu yang merupakan profesor emeritus di Universiti Negeri San Jose, di sini, dalam negeri California.

Baka Angora Inggeris popular dalam kalangan peminat arnab kerana haiwan itu memiliki bulu yang panjang dan lembut.

Chu menggunakan gunting untuk memotong bulu arnab tersebut dan tidak pernah mencederakan haiwan peliharaannya.

Bulu arnab itu tumbuh pada kadar 2.54 sentimeter sebulan manakala Chu menggunakan bulu yang dipotong itu untuk membuat skarf , topi dan sarung tangan.

- Agensi/Kosmo

Jadi janda malam pertama


Riyadh: Seorang pengantin lelaki menceraikan isterinya pada malam perkahwinan mereka selepas menerima gambar intim wanita berkenaan daripada bekas kekasihnya.

Pasangan itu meraikan majlis perkahwinan mereka di sebuah hotel apabila pengantin lelaki itu diberi bunga dan sampul mengandungi kad memori di samping nota yang menggesanya melihat gambar isterinya dalam kad itu.

Kerana terkejut selepas melihat gambar itu, dia mengambil keputusan menceraikan isterinya ketika itu juga, lapor akhbar Sabq, memetik cerita seorang pendakwah, Shaikh Ghazi Bin Abdul Aziz Al Shammari.

Menurut laporan itu, pengantin perempuan dihubungi bekas kekasihnya empat hari sebelum majlis perkahwinannya.

Bekas kekasih wanita itu memaksa mereka bertemu malah mengancam mendedahkan hubungan mereka kepada bakal suaminya jika dia enggan berbuat demikian.

Wanita itu memberitahu bekas kekasihnya agar melupakan hubungan mereka kerana dia mahu menempuh hidup baru bersama suami dan mempunyai keluarga.

Rayuan wanita itu tidak diendahkan malah bekas kekasihnya yang tidak berpuas hati bertindak menghantar bunga bersama gambar pengantin perempuan yang mengakibatkan dia dicerai.

-Agensi/Metro

Monday 7 July 2014

Lelaki campak 1 juta yuan


Beijing: Gambar seorang lelaki yang mencampakkan wang kertas sebanyak 1 juta yuan (RM503,000) ketika bertengkar dengan dengan bekas kekasihnya di sebuah hospital di Harbin tersebar meluas di Weibo, laman sosial utama di China.

Lelaki yang sudah berkahwin itu dilaporkan mencampakkan wang berkenaan pada bekas kekasihnya, jururawat di hospital berkenaan, kerana terlalu marah apabila wanita itu menerima kereta BMW daripada teman lelaki barunya.

Sumber yang tidak dikenali memberitahu wartawan, pasangan berkenaan bertengkar di depan unit kecemasan selama beberapa minit sebelum lelaki itu bertindak demikian.

Pergaduhan itu dileraikan oleh pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, apa yang terjadi dengan wang itu tidak diketahui.

- Agensi/Metro

Tak sedar kahwin saudara sesusuan


Riyadh: Seorang wanita terkejut apabila mendapat tahu dia berkahwin dengan saudara susuannya sejak 50 tahun lalu malah mempunyai lapan anak hasil perkahwinan itu sebelum suaminya meninggal dunia.

Wanita itu hanya dimaklumkan pernah berkongsi ibu susuan sama dengan suaminya itu selepas kematian lelaki berkenaan.

Akhbar Okaz melaporkan, wanita berkenaan pada mulanya tidak mempercayai perkara itu dan kembali ke kampung kelahiran suaminya untuk menyiasat. Saudara-mara suaminya kemudian mengesahkan dia dan suaminya sebenarnya mahram.

Wanita itu dilaporkan berkata: “Saya terkejut dan sedih dengan berita ini, namun semuanya berlaku dengan izin Tuhan,” katanya.

- Agensi/Metro

Friday 4 July 2014

Awie tidak mengaku cedera isteri


Ampang : Penyanyi rock terkenal, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Rozana Misbun di Ukay Perdana, Hulu Kelang, di sini, 2 Jun lalu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Vokalis kumpulan Wings itu yang memakai jaket hitam hadir ke mahkamah dengan jaminan polis ditemani beberapa rakannya, termasuk ahli kumpulan rock terbabit, Joe dan Eddy.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Rozana, 36, hingga menyebabkan wanita terbabit cedera, jam 1.30 petang pada 2 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, UK Perdana, Hulu Kelang, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara dan denda, jika disabit kesalahan.

-Metro

Tulis lucah berang disaman


Georgetown: Berang kerana cubaannya merasuah anggota polis tidak dilayan, seorang lelaki bertindak biadab apabila menurunkan tandatangan dengan menulis perkataan lucah pada surat saman dikeluarkan terhadapnya atas kesalahan melanggar lampu isyarat merah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi di Batu Feringghi, di sini, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dua anggota polis selepas mendapati dia tidak berhenti ketika lampu isyarat sedang merah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mazlan berkata, kedua-dua anggota polis terbabit sudah membuat laporan di Balai Polis Batu Feringghi, kelmarin, berhubung tindakan biadab lelaki berkenaan.

-Metro

Thursday 3 July 2014

China larang Muslim puasa


Beijing: China melarang kakitangan kerajaan, pelajar dan guru di wilayah majoriti Islam Xinjiang daripada berpuasa pada Ramadan ini.

Parti pemerintah Komunis China - yang secara rasmi ateis - sudah beberapa tahun menghalang penduduk wilayah itu yang kebanyakannya berbangsa Uighur.

Beberapa jabatan kerajaan menaikkan notis di laman sesawang masing-masing sejak beberapa hari lalu memaklumkan larangan berkenaan.

Biro Hal Ehwal Perdagangan di Turfan berkata di laman sesawangnya Isnin lalu bahawa “kakitangan kerajaan dan pelajar tidak boleh berpuasa atau mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan lain.”

Radio Bozhou dan sebuah rangkaian televisyen universiti pula berkata larangan itu perlu dipatuhi anggota parti, guru dan golongan muda.

“Kami ingin mengingatkan semua orang bahawa mereka tidak dibenarkan berpuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebuah jabatan kaji cuaca di barat Xinjiang pula berkata di laman sesawangnya: “Sejajar dengan arahan pihak atasan, semua kakitangan sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara diingatkan supaya tidak berpuasa pada Ramadan ini.”

Sementara itu, pejabat kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan Sungai Tarim pula memuat naik gambar pekerjanya yang memakai topi tradisional Uighur sedang makan.

“Walaupun gambar ini diambil pada bulan Ramadan, mereka yang digambarkan ini bersikap positif dan tidak berpuasa,” katanya.

China sebelum ini mendakwa larangan terhadap puasa adalah untuk memastikan kesihatan kakitangan kerajaan terjamin.

Sementara itu, jurucakap kumpulan dalam buangan Kongres Uighur Sedunia Dilxat Raxit berkata, dia dimaklumkan pihak berkuasa menggalakkan orang Uighur makan dengan memberi makanan percuma selain membuat pemeriksaan di rumah untuk memastikan penghuninya tidak berpuasa.

“Tindakan China yang mengekang amalan dan kepercayaan Uighur hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik.

“Kami menggesa kerajaan China memberi lebih kebebasan beragama untuk orang Uighur dan berhenti menyekat mereka daripada menyambut Ramadan,” katanya.

- AFP/Metro

Potong tangan anak tiri


Fujian (China): Seorang wanita memotong tangan kanan anak tirinya yang berusia tujuh tahun dengan pisau dan membuangnya ke dalam saluran najis di luar rumah mereka.

Kejadian berlaku Sabtu lalu apabila suspek yang dikenali dengan nama keluarganya, Wu, 35, secara mengejut melakukan perbuatan itu.

Ia disedari oleh datuk mangsa selepas mendengar jeritan kanak-kanak itu.

Berikutan kejadian ngeri itu, anggota keluarga dan jiran kanak-kanak berkenaan, Xiao Ting, melancarkan gerakan mencari tangan mangsa di kawasan berhampiran dan pada masa sama menahan wanita berkenaan.

Bapa Xiao Ting berkata, isterinya mengidap penyakit mental dan bergantung kepada ubat untuk menenangkan perasaannya.

Dia dilapor memberitahu anggota keluarganya supaya tidak mencetuskan kemarahan wanita itu.

Menurut laporan, Wu tinggal bersama-sama keluarga suaminya sejak tiga tahun lalu dan mempunyai seorang anak sendiri.

Wu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

-Agensi/Metro

Kelar muka suami kencing merata-rata


Billings (Amerika Syarikat): Seorang wanita berusia 52 tahun dituduh mengelar muka suaminya kerana kencing merata-rata di bilik air.

Menurut dokumen mahkamah, Shery Lyn Downs ditahan Isnin lalu selepas polis tiba di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, suami Shery yang berusia 68 tahun ditemui duduk di tangga sambil menekap mukanya dengan tuala yang berlumuran darah.

Dia memberitahu polis isterinya cuba mengelar lehernya.

Polis yang memasuki rumah berkenaan menemui darah di ruang tamu dan titisan darah menghala ke bilik tidur.

Shery berada di dalam rumah berkenaan dalam keadaan mabuk tetapi tidak cedera.

Dia mulanya memberitahu polis suaminya mencederakan dirinya sendiri dan mendakwa lelaki itu mencetuskan masalah dengan kencing merata-rata.

Di hospital, mangsa memberitahu isterinya berang kerana dia kencing di atas lantai di bilik air.

Dia berada di dalam bilik tidur apabila isterinya cuba dua kali untuk masuk dengan membawa pisau dan mengugut membunuhnya.

Kali kedua dia masuk ke bilik tidur itu, Shery bertindak mengelar muka suaminya.

Menurut sumber, mangsa luka beberapa sentimeter di muka dan memerlukan pembedahan khas.

- Agensi/Metro

Wednesday 2 July 2014

Iktibar Ramadhan: Tukang kebun yang bijaksana


HAYATILAH ini satu cerita; kisah tukang kebun yang bijaksana; kepintarannya selamatkan pembesar negeri daripada hilang kuasa; ini kisah nasihat dahulu kala, bukannya auta!

Pada suatu hari di suatu zaman, seorang raja mengajukan soalan kepada pembesar negeri (PN).

Titah raja: "Sudah lama mamanda nikmati jawatan, harta dan kuasa. Hari ini, beta bentangkan tiga perkara. Jika gagal, mamanda akan hilang segalanya dan dinyahkan dari negeri beta. Mamanda ada tujuh hari menjawabnya."

Maka PN pun jadi gundah-gulana, makan tak lalu tidur tak lena, berjumpa semua pembantu, anak isteri dan sanak-saudara, meminta tolong cari jawapannya.

Hari demi hari berlalu, fikirannya bercelaru, wajah dan pakaiannya tidak segak macam dahulu.

Pada hari keenam, PN disapa si tukang kebun (TK).

"Hamba nampak tuan sangat sugul. Apakah masalahnya?. Beritahulah, biar hamba cuba-cuba tolong," kata TK.

"Pembesar-pembesar negeri pun tidak mampu selesaikan, ini pula si TK," fikir PN.

Namun, memandangkan waktu terlalu suntuk, suka tidak suka PN terpaksa juga tunduk. Kepada si TK dibentangkan soalan, dengan harapan mendapat jawaban.

"Soalan pertama; raja mahu tahu", kata PN, "Dalam banyak perkara palsu, apakah kepalsuan yang paling besar?

"Itu mudah sahaja. Kepalsuan paling besar adalah dunia. Jika dunia ini sesuatu yang bukan palsu, ALLAH tidak akan memberi segala kemewahan kepada mereka yang mengkufuriNya.

"Pada ALLAH, dunia ini lebih kecil nilainya daripada sebelah sayap seekor nyamuk.

"Apakah kita membawa jawatan, pangkat, harta dan kuasa ketika menemui ALLAH? Kita hanya akan dibalut dengan kain tidak berjahit dan dikebumikan enam kaki dalam tanah.

"Kita akan tinggal segalanya dan membawa amalan, sedekah jariah dan anak-anak yang mendoakan. Bahkan kita akan membawa dosa.

Termenung PN mendengar huraian TK.

"Soalan kedua?" tanya TK. Raja mahu tahu, dalam banyak-banyak kebenaran, apakah yang paling benar?

"Itu mudah," ujar TK. "Jawapannya ialah 'mati'. Semua orang tahu, setiap makhluk akan mati. Yang kufur, malah ateis pun mengakui mati itu benar.

"Tuan, saya dan semua makhluk tidak tahu apakah kita akan mati lima minit, lima hari, lima bulan atau lima tahun dari sekarang, tetapi kita pasti mati apabila tiba giliran kita.

"Betapa malangnya apabila ada yang tipu helah untuk mencapai kehendak nafsu secara salah, maki hamun untuk mendapat jawatan, mengaut harga dan kuasa, sedangkan di penghujungnya kita akan pergi tangan kosong, meninggalkan perbuatan buruk dan nama yang mengaibkan, sedangkan kita membawa dosa untuk dibentangkan di depan ALLAH."

PN sebak. "Soalan ketiga?" tanya TK. "Raja mahu tahu, dalam banyak-banyak perkara yang tinggi, apakah yang paling tinggi di dunia?," kata PN.

"Itu pun mudah," kata TK, cuma tuan balik dahulu, siapkan makanan yang paling tuan gemar dan bawa kepada saya esok."

Bengkeng diarah demikian rupa oleh TK, tetapi kerana tiada pilihan, PN terpaksa akur.

"Tuan makan makanan ini, bukan saya," kata TK apabila PN menghulurkan makanan paling digemarinya kepada TK.

"Sila duduk dan kongsi makanan dengan haiwan ternakan saya ini," kata TK.

Kemarahan PN memuncak, tetapi kerana itu adalah hari terakhir untuk dia menyembahkan ketiga-tiga jawapan kepada raja, maka PN terpaksa menelan ego dan menurut perintah TK.

Setelah habis, TK bertanya: "Tentunya tuan tahu sekarang apa yang paling tinggi".

"Maruah?" tanya PN. "Bukan," jawab TK. "Ego?", tanya PN. "Itu pun bukan," kata TK.

"Jawapannya", kata TK, "ialah matlamat. Bayangkan, fikiran tuan berkecamuk, diri tuan tidak terurus, pakaian tuan kusut. Tuan sanggup meminta bantuan sesiapa sahaja, tidak kira walaupun orang biasa, bahkan tuan lakukan yang bertentangan dengan ego tuan selama ini semata-mata untuk mencapai matlamat tuan agar tuan dapat membentangkan jawaban kepada raja supaya tuan tidak hilang jawatan, harta dan kuasa."

PN mengangguk. Air matanya mengalir mengakui hakikatnya.

-FARUSH KHAN@Sinar

Iktibar Ramadhan: Debat Iblis dengan Firaun


INI ada satu cerita, Iblis terkutuk berdebat dengan Firaun durjana. Tiada yang baik antara keduanya, namun ada yang teruk macam mereka.

Kononnya, pada suatu malam, Iblis pergi ke istana Firaun ketika ‘sahabatnya’ itu hendak tidur. Tiba sahaja di hadapan kamar Firaun, Iblis pun mengetuk pintu lalu memanggil Firaun keluar.

Firaun berang tidak terkira kerana ada yang berani mengganggunya ketika dia mahu melelapkan mata. “Siapa yang berani ketuk pintu bilik tidur aku?,” tanya Firaun yang sombong itu dengan suara bengis.

“Hai! Bukankah engkau sentiasa dakwa diri engkau tuhan, tapi aku ada di sebalik pintu depan engkau pun engkau sudah tidak tahu. Tapi tidak apalah. Sebenarnya aku Iblis. Keluarlah sekarang kerana aku mahu berbincang dengan engkau,” jawab Iblis selamba.

Dia menyeringai, puas hati kerana awal-awal lagi dia sudah berjaya memperlekehkan Firaun, seorang raja negara besar yang digeruni ramai.

Maka, setelah Firaun membuka pintu dan melihat Iblis tercegat bercekak pinggang di hadapannya, dia jadi bertambah marah.

“Engkau memang makhluk tidak berguna. Dengan makhluk lain, bahkan Nabi Adam, engkau bersikap biadab. Dengan aku pun engkau mahu tunjuk keras kepala?,” sergah Firaun.

Iblis senyum. “Anggapan engkau salah. Sebenarnya engkau lebih teruk daripada aku,” jelas Iblis yang tidak terkesan pun dengan kemarahan Firaun.

“Kenapa engkau kata begitu?,” tanya Firaun, api kemarahannya semakin membara.

“Cuba engkau fikir. Aku lebih tua, lebih cerdas dan lebih kuat daripada engkau. Tapi aku tidak seberani engkau. Aku hanya tidak mahu tunduk pada Nabi Adam apabila diperintah ALLAH kerana aku lebih hebat.

“Aku dijadikan daripada api, sedangkan Adam (manusia) dijadikan daripada tanah. Mana boleh aku tunduk padanya! Bagaimanapun, aku tidak pernah tolak keesaan ALLAH.

“Tetapi engkau; walaupun hanya manusia biasa, tiada kelebihan apa pun, namun engkau berani mengaku kononnya engkau tuhan,” kata Iblis.

Firaun sedar kelemahannya. Dia teringat betapa dia cuba menghalang ancaman terhadap diri dan kekuasaannya dengan mengeluarkan perintah supaya semua bayi lelaki dibunuh, tetapi dengan kuasa ALLAH, Nabi Musa AS membesar di istana sebagai anak angkatnya sendiri dan akhirnya menjadi apa yang dianggap sebagai musuh yang akhirnya menyebabkan seluruh tentera serta dirinya tenggelam di lautan.

“Benar apa yang kamu katakan. Kalau begitu aku mahu bertaubatlah,” kata Firaun kepada Iblis.

Iblis, yang sentiasa penuh dengan tipu-helah itu menjawab: “Jangan. Penduduk Mesir sudah menerima engkau sebagai tuhan. Bila kamu cabut taraf ketuhanan daripada dirimu itu, mereka akan berpaling daripadamu, akan memusuhimu dan memporak-perandakan kekuasaanmu. Akhirnya kamu akan menjadi orang yang hina-dina.”

“Benar juga kata-kata engkau. Tetapi, aku mahu tahu adakah di dunia ini ada makhluk lain yang jahat selain aku?,” tanya Firaun.

“Ada,” kata Iblis. “Orang yang tidak sudi menerima permohonan maaf,” kata Iblis, sebelum beredar.

ALLAH yang Maha Berkuasa pun sentiasa mengalu-alukan hambaNya memohon ampun daripadaNya dan ALLAH bersedia mengampunkan hambaNya walaupun dosa mereka banyak.

Rasulullah SAW mengajarkannya kepada isteri Baginda, Aisyah, ketika Aisyah bertanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, andainya aku berjumpa lailatul qadar, apa yang perlu aku katakan?.”

Baginda bersabda: “Katakanlah: Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau cintakan kemaafan, maka maafkanlah kami.”

ALLAH berfirman (Sohih Muslim) yang maksud: Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal Aku akan mendekatinya sehasta. Sesiapa yang menghampiriKu sehasta aku akan menghampirinya sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan Aku akan pergi kepada dalam keadaan bersegera.

Dan sesiapa menemuiKu (selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu, nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu. Wallahualam. Selamat berpuasa.

-Farush Khan@Sinar

Tuesday 1 July 2014

Tertusuk batang besi

TIGA batang besi menusuk badan Lovely.

Patna (India): Seorang gadis berusia 17 tahun terselamat walaupun selepas anggota tubuhnya tertusuk besi setelah jatuh dari bumbung sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.

Tiga batang besi tertusuk menembusi badannya mengakibatkan mangsa cedera teruk.

Dia bagaimanapun tidak cemas dan terselamat walaupun dengan besi menembusi perut dan pahanya dan terpaksa menahan sakit selama hampir 12 jam.

Lovely yang berasal dari kampung Basantpur di daerah Saran mengalami kemalangan itu selepas jatuh pada tiang simen ketika hendak tidur.

Kejadian dikatakan berlaku ketika ramai tetamu berada di rumahnya kerana menghadiri satu majlis perkahwinan.

Anggota keluarganya memotong batang besi berkenaan dan membawa mangsa ke Hospital Ruban di Patna.

Pakar bedah berjaya mengeluarkan besi dari badan mangsa selepas pembedahan selama lima jam.

Keadaan Lovely kini dilapor stabil.

“Kami berjaya menyelamatkannya kerana dia menunjukkan keberaniannya dan tidak sedikitpun cemas. Ia sangat menakjubkan,” kata Dr KN Sinha.

Menurut doktor berkenaan, sebelum diselamatkan, mangsa dalam keadaan serius.

“Dia selamat kerana keberaniannya. Ramai pesakit lain akan panik,” tambahnya.

-Agensi?Metro

Tazkirah Ramadhan :Tangisan Tergoncang Arash


Jika harta yang hilang dari diri seseorang, maka tiada apa pun yang hilang, Jika kesihatan yang hilang dari diri seseorang, maka ada sesuatu yang hilang, Tetapi jika akhlak yang hilang dari diri seseorang, maka segala-galanya telah hilang dari diri seseorang.

“Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah s.a.w. sedang asyik bertawaf di Ka’bah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf, sambil berzikir: “Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah s.a.w. menirunya membaca “Ya Karim! Ya Karim!” Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Ka’bah, dan berzikir lagi: “Ya Karim! Ya Karim!” Rasulullah s.a.w. yang berada di belakangnya mengikut zikirnya “Ya Karim! Ya Karim!” Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat olehnya seorang laki-laki yang gagah, lagi tampan yang belum pernah dikenalinya. Orang itu lalu berkata: “Wahai orang tampan! Apakah engkau memang sengaja memperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang Arab badwi? Kalaulah bukan kerana ketampananmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan aku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah.”

Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah s.a.w. tersenyum, lalu bertanya: “Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?” “Belum,” jawab orang itu. “Jadi bagaimana kau beriman kepadanya?” “Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya,” kata orang Arab badwi itu pula. Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya: “Wahai orang Arab! Ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat!” Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya.

“Tuan ini Nabi Muhammad?!” “Ya” jawab Nabi s.a.w. Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya: “Wahal orang Arab! janganlah berbuat serupa itu. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada tuannya, Ketahuilah, Allah mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takabbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya.”

Ketika itulah, Malaikat Jibril a.s. turun membawa berita dari langit dia berkata: “Ya Muhammad! Tuhan As-Salam mengucapkan salam kepadamu dan bersabda: “Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar!” Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Maka orang Arab itu pula berkata: “Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan dengannya!” kata orang Arab badwi itu. “Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?”

Rasulullah bertanya kepadanya. ‘Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahnya,’ jawab orang itu. ‘Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa keluasan pengampunan-Nya. Jika Dia memperhitungkan kekikiran hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanannya!’

Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w. pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu, air mata beliau meleleh membasahi Janggutnya. Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata: “Ya Muhammad! Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu, dan bersabda: Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangismu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga la bergoncang. Katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampuni semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti!”

Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita tersebut. la lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya.”

-smzblog