Friday 17 November 2017

Swafoto jadikan nenek terkenal

SWAFOTO atau ‘selfie’ ternyata mempunyai pengaruh yang amat kuat dalam masyarakat zaman ini hingga menyebabkan seorang wanita berusia 89 tahun dari Kumamoto, Jepun, terkenal dengan aksinya hingga boleh membuat pameran seluruh Jepun, malah diundang memberi ceramah.
Kimiko Nishimoto yang sudah menjadi nenek itu diajar merakam gambar oleh anak lelakinya 17 tahun lalu, yang selepas itu menjadi hobinya sehingga membina studio di rumahnya.
Sejak 10 tahun lalu, dia merakam pelbagai gambar, terutama dirinya dalam pelbagai aksi yang kemudian disunting untuk hasil yang lebih menarik.

Antara gambar kegemaran Kimiko yang membawa maksud terselindung. - Foto Instagram/Kimiko Nishimoto
Menurut laporan akhbar The Mainichi, wanita itu adalah pakar kecantikan sebelum menjadi penunggang basikal profesional ketika berusia 22 tahun. Selepas memenangi banyak kejohanan, dia bersara kerana berkahwin dan selepas itu bekerja sambilan.
Selepas 10 tahun menjadi jurugambar, Kimiko mengadakan pameran solo di tempat asalnya, Kumamoto, mempamerkan hasil seninya dengan tajuk ‘Hitori ja naka yo’ (Anda tidak bersendirian).
Kini dia akan mengadakan pameran di Galeri Imej Epson Espite di Tokyo dengan tajuk ‘Asobokane’ atau ‘Mari bermain’.

“Saya mahu mereka ketawa melihat gambar ini. Saya akan terus mengambil gambar menggambarkan keseronokan hidup.” - - Foto Instagram/Kimiko Nishimoto
Gambar swafoto dirinya yang disiar di internet, menarik perhatian ramai di seluruh Jepun, antaranya dirinya tergantung pada ampaian di tengah panas yang menggambarkan dirinya sentiasa positif dan gembira dalam hidup walaupun pernah berdepan tragedi gempa bumi yang merosakkan rumahnya, April lalu.
“Saya gembira apabila orang ramai suka swafoto ini.
“Saya mahu mereka ketawa melihat gambar ini. Saya akan terus mengambil gambar menggambarkan keseronokan hidup,” katanya.

-Metro

No comments: