Tuesday 20 June 2017

Zuraini jadi imam masjid liberal

KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada seorang Tan Sri dari Malaysia mengejutkan dunia apabila menjadi salah seorang imam kepada jemaah lelaki dan wanita ketika bersolat di sebuah masjid liberal yang baru dibuka di Berlin, Jerman minggu lalu.
Perbuatan Ani Zonneveld atau Zuraini Tan Sri Abdul Khalid di Masjid Ibnu Rushd-Goethe itu mendapat kecaman pelbagai pihak.
Selain dipimpin imam wanita, jemaah turut menunaikan sembahyang secara bersebelahan antara lelaki dan perempuan tanpa perlu menutup aurat.
Malah, sewaktu solat Jumaat pada 16 Jun lalu, Zuraini turut menjadi bilal apabila melaungkan azan di masjid tersebut.
Zuraini yang merupakan anak kepada bekas Ahli Parlimen Kota Star Utara (1958-1964) pernah popular sebagai penerbit dan komposer lagu di Malaysia melibatkan beberapa artis antaranya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Ziana Zain dan Liza Hanim.
Abdul Khalid Awang Osman yang meninggal dunia pada tahun 1986 juga pernah menjadi Menteri Muda Kementerian Luar Bandar.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan tidak sah solat seseorang individu yang berimamkan seorang wanita.
“Syarat sah solat berjemaah perlu diimamkan oleh lelaki dan tidak sah jika diimamkan oleh wanita.
“Wanita hanya boleh menjadi imam kepada jemaah wanita.
“Solat juga tidak sah sekiranya saf diselang-selikan dengan wanita. Umum sedia maklum bahawa perbuatan itu bertentangan dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

-Kosmo


No comments: