Thursday 31 May 2018

Aduh, sakitnya!



New Delhi: Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan apabila pancuran mandi sepanjang 15 sentimeter (cm) tertusuk ke dalam duburnya selepas dikatakan terjatuh ketika mandi.
Lelaki berusia 26 tahun dari India itu terpaksa mencabut sendiri sambungan paip ke pancuran berkenaan sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan tanpa kecederaan serius selepas doktor mengeluarkan objek terbabit.
Dia dimasukkan ke Hospital Ram Manohar Lohia dan Institut Pendidikan dan Penyelidikan Perubatan Pasca Siswazah di New Delhi, namun lelaki terbabit menafikan dia memasukkan kepala pancuran air itu sendiri ke dalam duburnya.
Berdasarkan laporan kes BMJ, keadaannya stabil dan tiada pendarahan dikesan berlaku di dalam rektumnya.
Imbasan menunjukkan kepala pancuran itu berada di dalam saluran duburnya, namun ia tidak menyebabkan sebarang kecederaan dalaman sebelum dia dibenarkan keluar hospital 48 jam selepas itu.
Laporan itu turut menyebut saiz, bahan dan bilangan objek berkenaan perlu dikenal pasti sebelum rawatan dilakukan.
Ia turut mencadangkan bahawa sesetengah pesakit memerlukan rundingan psikiatri.
“Sejarah pesakit dan pemeriksaan yang betul wajib dilakukan untuk mencari petanda dan simptom daripada tusukan itu selain jangkitan seperti demam, sakit perut dan pendarahan.
“Sejarah pesakit biasanya tidak lengkap disebabkan rasa malu. Sama juga seperti kes ini. Walaupun pesakit dikatakan secara tidak sengaja memasukkan pancuran air dan menafikan berbuat demikian, terdapat kemungkinan ia dimasukkan untuk tujuan seksual,” kata Dr Peeyush Kumar yang menulis laporan itu.

-Metro

Bunuh, kerat kekasih kerana tidak perawan



Taipei: Seorang peninju amatur bertindak membunuh teman wanitanya sebelum mengerat mayat mangsa kepada beberapa bahagian selepas wanita itu menipu dia masih perawan dan curang dengan lelaki lain.
Satu rakaman kamera keselamatan yang tular menunjukkan detik-detik akhir mangsa, Yee-min Huang, 27, bersama suspek, Gary Chu, 28, menaiki tangga menuju ke apartmen lelaki itu yang terletak di daerah Banqiao.
Mangsa dipercayai dibunuh di kediaman itu sebelum mayatnya dipotong dan diletakkan di dalam tujuh beg sampah sebelum ditanam.
Mayat wanita itu ditemui ditanam di bawah pokok bunga pada 27 Mei lalu selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Sehari selepas itu, polis menemui mayat Gary dalam keadaan tergantung di atas sebatang pokok tidak jauh dari rumahnya.
Polis juga menemui satu nota bunuh diri pada mayat Gary yang bertulis, “Dia bersalah pada saya.”
Sebelum mayatnya ditemui, Gary sempat menulis di Facebook memberitahu dia kecewa dengan Yee-min selepas wanita itu menipu dia masih dara dan curang dengan lelaki lain.
“Kami bertemu di laman mencari jodoh, Tinder. Dia menipu dengan memberitahu dia masih dara. Saya rasa terpedaya dan dikhianati selepas mengetahui dia menipu serta curang dengan lelaki lain yang ditemuinya di Tinder,” katanya. 

- Agensi/Metro

Monday 28 May 2018

Sumbat enam telefon dalam dubur



Baitulmaqdis: Seorang lelaki sengaja menyebabkan dirinya ditahan bagi membolehkannya menyeludup ke dalam penjara enam telefon bimbit yang disorokkan di dalam duburnya.
Lelaki berketurunan Arab itu ditahan polis sempadan Israel apabila dikesan cuba memanjat pagar keselamatan berhampiran al-Ram, petang Selasa lalu.
Bagaimanapun, mereka sempat mengesan taktik lelaki terbabit yang sebenarnya menyimpan enam telefon bimbit di dalam badannya beberapa minit sebelum dia dihantar ke penjara keselamatan Ofer, lapor Jewish Press.
Polis turut mengesan lelaki terbabit cuba melakukan kegiatan sama sehari sebelum itu, namun disoal siasat dan dihantar pulang.
Memandangkan ia kesalahan berulang, suspek disoal siasat sekali lagi dan dibawa ke penjara sebelum semua telefon bimbit berkenaan dikeluarkan dari ususnya.
Telefon bimbit itu cuba diseludup masuk untuk digunakan enam banduan bagi memudahkan mereka berkomunikasi.
Kejadian itu berlaku sehari selepas menteri luar Palestin menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) membuka siasatan segera terhadap dakwaan jenayah perang dan aparteid terhadap orang Palestin.
Di sebalik ketegangan yang berlaku dengan Israel, menteri terbabit, Riyad al-Maliki mengadakan pertemuan sejam dengan ketua pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda di tribunal The Hague berhubung situasi di Palestin.

-Metro

'Hamil' dadah



Mexico City: Doktor di sebuah hospital di sini terkejut apabila mengeluarkan 1 kilogram (kg) daun ganja di dalam kemaluan seorang wanita yang mendapatkan rawatan selepas mendakwa bayi yang dikandungnya tidak bergerak.
Wanita itu yang dikenali sebagai Gloria C, 37, mengadu sakit perut dan memberitahu doktor di Hospital Ruben Lenero bahawa dia tidak merasai bayi yang dikandungnya bergerak.
Apabila pemeriksaan dilakukan doktor gagal mengesan denyutan jantung bayi itu dan memindahkan wanita itu ke sebuah hospital pakar wanita untuk menjalani pembedahan.
Ketika pembedahan dilakukan, doktor terkejut apabila menemui 1kg daun ganja di dalam kemaluan dan perut wanita itu.
Doktor juga mendapati wanita itu sebenarnya tidak mengandung.
Menurut laporan media tempatan, daun ganja yang ditemui dalam kemaluan wanita itu baru dipetik dan masih terdapat kesan tanah.
Ganja itu dibalut dengan pita pelekat tetapi dadah berkenaan didapati sudah pecah ketika dikeluarkan.
Pihak hospital kemudiannya membawa semua ganja yang dikeluarkan itu kepada Kementerian Awam untuk tindakan lanjut.
Gloria ditahan dan dibawa ke hospital untuk didakwa tetapi hakim memutuskan penahanan wanita itu tidak sah dan dia dibebaskan.
Pegawai di Pejabat Pendakwa Raya memberitahu kes itu masih dalam siasatan dan berharap mereka mempunyai bukti untuk mendakwa wanita berkenaan ke mahkamah.
Gloria sebelum ini pernah didapati bersalah di mahkamah atas tuduhan menyeludup dadah pada 2010 dan 2015.
Wanita itu memberitahu dia tinggal di Ixtapaluca di negeri Mexico tetapi enggan mendedahkan dari mana ganja itu berasal.

-Metro

Friday 25 May 2018

Cerai isteri selepas kahwin 15 minit

Cerai isteri selepas kahwin 15 minit

DUBAI - EMIRIAH ARAB BERSATU. Seorang lelaki di Dubai nekad menceraikan isterinya yang baharu dikahwininya selama 15 minit.
Keputusan itu dibuat selepas lelaki tersebut berasa 'terhina' dengan tuntutan hantaran oleh bapa mertuanya.
Ketika kejadian itu, pengantin lelaki tersebut menyerahkan hantaran 50,000 dirham (RM54,160) seperti yang dipersetujui kedua-dua belah pihak dan baki wang tersebut akan diberikan selepas majlis meraikan hari bahagia mereka.
Bagaimanapun, bapa pengantin perempuan tidak sabar dan terus mendesak supaya dia memberikan kesemua wang 100,000 dirham (RM108,320) tersebut.
Lelaki terbabit berasa terhina dengan perbuatan bapa mertuanya dan dia bertindak menceraikan wanita itu di hadapan seluruh keluarga dan rakan mereka.
Sebelum ini, perkahwinan terpendek dalam sejarah Emiriah Arab Bersatu (UAE) berlangsung selama beberapa saat.
Kejadian pada 2012 itu berlaku apabila pengantin lelaki berang selepas bapa mertuanya meminta supaya anaknya dibenarkan untuk terus bekerja. 

- Daily Mail/Metro

Thursday 24 May 2018

'Cewek' cantik dicekup mencuri



MISTERI kecurian di asrama pelajar universiti termasuk beberapa buah motosikal di Bandung akhirnya terbongkar dengan tertangkapnya seorang lelaki yang menyamar sebagai perempuan.
Jurucakap polis Hidayatullah berkata, sebelum ini berlaku beberapa kes kecurian di asrama dan beberapa buah motosikal milik pelajar.
Katanya, dalam satu kejadian terbaru kamera keselamatan yang dipasang di kawasan asrama pelajar merakamkan aksi seorang ‘wanita’ yang lengkap bertudung memecah masuk sebuah bilik.
“Suspek dirakam mencungkil tingkap sebelum masuk ke bilik dan melarikan barangan berharga seperti komputer riba dan telefon bimbit.
“Susulan rakaman video berkenaan kami berjaya mengesan ‘wanita’ itu, dan menangkapnya sebelum mendapati suspek sebenarnya adalah lelaki,” katanya yang dipetik Merdeka.com.
Hidayatullah memberitahu, suspek berusia 27 tahun itu mengaku terbabit dalam banyak kes kecurian di bandar ini termasuk mencuri beberapa buah motosikal.
Ketika disoal-siasat suspek memberitahu dia menyamar sebagai wanita kerana mudah masuk ke kawasan asrama dan melakukan jenayah berkenaan tanpa dicurigai sesiapa.
“Ini unik kerana suspek menyamar menjadi wanita, malah jalannya dan pertuturannya juga seperti seorang wanita. Boleh dikatakan dia seorang wanita yang cantik,” kata Hidayatullah.

-Metro

Penangan ciuman terakhir

Penangan ciuman terakhir
Pihak berkuasa terpaksa menggunakan penyembur lada ke atas wanita itu.

BEIJING - CHINA. Putus cinta itu memang 'menyakitkan', terutamanya bagi lelaki ini.
Mangsa berusia 23 tahun dari timur China ini terpaksa diselamatkan oleh polis selepas bekas kekasihnya menggigit lidahnya dan enggan melepaskannya dalam kejadian pada akhir minggu lalu.
Menurut beberapa saksi, insiden itu berlaku apabila lelaki terbabit mahu memutuskan hubungan dengan wanita berumur 26 tahun itu dan wanita itu turut meminta ciuman terakhir. 
Pihak berkuasa di wilayah Anhui terpaksa menggunakan penyembur lada terhadap wanita tersebut.
Rakaman yang diambil menggunakan telefon bimbit menunjukkan mangsa menangis dan bergelut mahu melepaskan diri.
Selepas insiden 'ciuman terakhir' itu tamat, lelaki itu telah dibawa ke hospital.
Sementara itu, ibu bapa wanita itu memberitahu keadaan anak mereka agak kurang stabil selepas dia menjadi mangsa penipuan pembelian atas talian selain pernah mengalami masalah kesihatan mental sebelum ini. 

- Daily Mail/Sinar

Tuesday 22 May 2018

Digantung kerja gara-gara puji rakan sekerja 'kacak'

Digantung kerja gara-gara puji rakan sekerja 'kacak'
Basma digantung tugas sementara siasatan dijalankan ke atasnya.

KUWAIT CITY - KUWAIT. Kementerian Maklumat Kuwait menggantung tugas seorang penyampai stesen TV selepas beliau memuji paras rupa rakan sekerja lelakinya ketika siaran langsung.
Rakaman video yang menjadi tular di Youtube menunjukkan Basma al-Shammar memanggil rakannya 'mayzoon' yang bermaksud 'kacak dan menarik' dalam dialek tempatan.
Ketika itu, wartawan terbabit, Nawaf al-Shiraki sedang membetulkan ghutra yang dipakainya ketika membuat liputan Pilihan Raya Majlis Perbandaran.
Basma yang mahu memberi isyarat bahawa mereka akan bersiaran langsung sempat mengusik, "Tak perlu betulkan ghutra kamu. Kamu sudah kelihatan kacak!".
Tindakan itu dianggap sebagai cubaan 'bermain cinta', namun beberapa pengguna Twitter menganggap ia bukan satu kesalahan besar.
Seorang ahli parlimen turut membuat aduan tentang insiden itu yang didakwa tidak boleh diterima di stesen TV. 

- Arab News/Sinar

Paksa telan julap keluarkan 106 kapsul kokain



NEW DELHI: Polis India terpaksa menggunakan julap selama beberapa hari untuk mengeluarkan 106 kapsul kokain bernilai AS$900,000 (RM3.5 juta) daripada perut seorang wanita Brazil yang cuba menyeludup bahan itu ke negara berkenaan.
Wanita berusia 28 tahun berkenaan bersama-sama kapsul dibawa ke mahkamah di New Delhi yang mengenakan tahanan ke atasnya di penjara Tihar.
Wanita itu ditahan pada 14 Mei lalu selepas tiba di lapangan terbang New Delhi dari Sao Paolo, menurut Superintenden Biro Kawalan Narkotik, Vishwa Vijay.
“Dia dibawa ke hospital Safdarjung dan doktor menggunakan julap selepas ujian sinar X menunjukkan kewujudan kapsul berkenaan,” katanya.
Kapsul itu, mengandungi kira-kira 930 gram kokain asli Amerika Selatan, sepatutnya disampaikan kepada penjual di ibu kota India itu.
“Ia adalah kapsul kokain paling tinggi dikeluarkan daripada perut orang profesional dalam menelan dadah di New Delhi,” kata Vijay.
Hukuman maksimum bagi penyeludupan dadah adalah 20 tahun menurut undang-undang India.

-Metro

Monday 21 May 2018

Kaki tersembul dari kubur



PENDUDUK di Desa Tegowangi, Plemahan, Kediri, Jawa Timur gempar dengan penemuan kaki mayat yang tersembul keluar dari sebuah kubur.
Tribun news melaporkan, kejadian itu disedari seorang lelaki yang datang ke tanah perkuburan berkenaan untuk mencari buluh pada Khamis lalu.
Lelaki itu, Budiono, 55, berkata, dia terkejut apabila melihat ada kaki keluar bersebelahan batu nisan di kubur berkenaan dan terus memaklumkan kepada penduduk kampung serta pihak berkuasa.
Jurucakap polis Plemahan memberitahu, kaki yang ditemui tersembul keluar dari kubur itu adalah seorang wanita yang dipercayai dibunuh sebelum ditanam.
“Mayat ini ditanam secara tergesa-gesa di kubur lama dan terdapat bunga yang ditabur di atasnya.
“Identiti wanita ini yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun masih disiasat dan punca kematiannya masih belum diketahui,” katanya.

-Metro

Pengemis mati tinggalkan wang RM4.3 juta dalam akaun


BEIRUT – Seorang pengemis wanita berstatus orang kelainan upaya yang bergantung hidup menerusi sumbangan orang ramai di Lebanon disahkan meninggal dunia sebagai jutawan.
Polis tempatan terkejut selepas mendapati Fatima Othman, 52, berjaya mengumpul wang dengan begitu banyak ketika meminta sedekah di kawasan jalan raya sekitar bandar Beirut.
Mayat Fatima ditemui dalam sebuah kereta terbiar di daerah Barbir di sini bersama dua beg mengandung wang tunai AS$3,300 (RM13,100).
Pemeriksaan lanjut menemui satu buku akaun simpanan sebuah bank Fatima mengandungi deposit wang terkumpul sebanyak AS$1.1 juta (RM4.3 juta).
Jurucakap polis, Joseph Musallem menyatakan, Fatima meninggal dunia akibat serangan jantung dan tidak disiasat sebagai kes kematian akibat perbuatan jenayah.
Fatima cacat selepas cedera ketika Perang Saudara Lebanon yang menyebabkan tangan dan kakinya kudung, menurut akhbar tempatan. 

– Agensi/Metro



Friday 18 May 2018

Tragedi Kassim Selamat



Pertelingkahan keluarga berlaku apabila Abdul Baqi, 22, dari Nasirabad, wilayah Balochistan meminta keluarganya melamar gadis terbabit menyebabkan bapanya Dost Muhammad, 70, berang.
Dost dan empat abang mangsa, Abdul Ghani, Abdul Sattar, Abdul Rehman serta Abdul Karim mengunci Abdul Baqi dalam bilik manakala ibunya dikurung dalam kamar berasingan supaya tidak boleh menghalang ‘hukuman’ dilaksanakan mereka.
Mereka kemudian mengorek matanya menggunakan pisau serta sudu.
“Pada mulanya ayah bersetuju melamar kekasih saya, namun tiga jam kemudian dia dan empat abang membawa saya ke bilik lalu mengikat saya ke katil sebelum mengorek mata saya. Saya hanya mampu menjerit dan bertanya kenapa mereka berbuat demikian. Mereka langsung tidak mengendahkan saya.
“Saya nampak bebola mata terjuntai dari rongganya selepas bapa menggunakan belakang sudu untuk mengoreknya sebelum memotong uratnya menggunakan pisau. Saya meminta mereka membiarkan saya, namun mereka mengorek pula sebelah lagi mata.
“Sebaik mereka selesai saya merayu mereka membunuh saya. Tetapi mereka berkata, saya akan menjadi contoh untuk budak lelaki lain di kampung kami,” katanya.
Jiran menghubungi seorang lagi abangnya, Abdul Ghaffar, 24, yang terus mengejarkannya ke hospital.
“Saya tiada di rumah ketika kejadian dan terkejut mendapat panggilan jiran menyuruh saya pulang segera.
“Alangkah terkejut melihat adik yang parah dan menangis kesakitan. Kami tiada wang tetapi beberapa jiran dan rakan membantu mendermakan 35,000 rupee (RM1,200), membolehkan kami terus membawanya ke hospital di Quetta.
“Bagaimanapun, doktor mengarahkan kami terus membawanya ke Karachi dengan harapan sekurang-kurangnya satu mata dapat diselamatkan. Malangnya, doktor di Karachi pula memberitahu kami dia kini buta,” katanya.
Dost dan dua anak lelakinya ditahan, manakala dua lagi menghilangkan diri.

-Metro

Thursday 17 May 2018

Bekas jutawan bawa diri ke pulau

Bekas jutawan bawa diri ke pulau
Glasheen lebih tenang berada di pulau terpencil ini.

SYDNEY - AUSTRALIA. Tidak semua yang kita harapkan menjadi kenyataan, begitulah nasib seorang lelaki yang pernah bergelar jutawan suatu ketika dahulu.
David Glasheen, 73, berasal Sydney North Shore, Australia terpaksa akur dengan kehidupannya sekarang selepas muflis sekali gus kekayaanya hilang dalam sekelip mata.
Akibat terlalu kecewa dan tertekan, lelaki ini mengambil keputusan tinggal berseorangan di sebuah pulau terpencil di Restoration Island sejak 20 tahun lalu bagi menghabiskan sisa hidupnya.  
Glasheen berkata, dengan kemudahan asas terbatas seperti tiada bekalan air dan elektrik di tambah dengan terdedah kepada serangan haiwan liar dia berasa hidupnya kini lebih bahagia dan jauh beza dengan kehidupannya sebelum ini.
“Saya dapat kebenaran menyewa pulau ini bagi tempoh 50 tahun dan membuat keputusan untuk terus menetap di pulau ini walaupun serba-serbi kekurangan,” katanya.
Bagi menampung keperluan hariannya di pulau itu, dia mengambil upah sebagai pemandu pelancong di sekitar pulau tersebut.  
“Saya dapat upah tak banyak tetapi cukup menampung kehidupan harian di pulau ini,” katanya.
Menyingkap kisah hidupnya, pada 1987, dia dikatakan kehilangan AS10 juta akibat krisis kewangan dunia ketika itu.
Sususlan kejadian itu, dia diisytiharkan muflis oleh pihak bank dan kekecewaan itu bertambah parah apabila dia ditinggalkan isterinya.

-Sinar

Suami, isteri hanya ceria seketika temui peti harta



NEW YORK: Saat gembira pasangan suami isteri menemui peti harta berisi wang dan barang kemas di halaman belakang rumah mereka tidak kekal lama selepas mendapati ia milik jiran mereka yang dirompak beberapa tahun lalu.
Mereka terkejut apabila menemui peti berkenaan tertanam ketika membersihkan halaman belakang rumah mereka di Pulau Staten, New York, minggu lalu.
Menurut Daily Mail yang memetik CBS2NY, mereka menanam pokok baru menggantikan pokok yang dimakan rusa apabila menemui peti berkenaan.
Menurut Maria Colonna-Emanuel dan suaminya, Matthew, peti besi itu mengandungi wang tunai berjumlah AS$52,000 (RM206,091), barang kemas dan batu permata, termasuk delima.
“Kami terkejut dan pada masa yang sama, teruja mendapati peti besi itu mengandungi barang berharga, termasuk puluhan cincin berlian, emas dan jed,” kata Matthew.
Namun, dalam peti berkenaan mereka juga menemui sekeping kertas bertulis satu alamat dan selepas membuat carian, mendapati alamat berkenaan berdekatan dengan rumah mereka.
Mereka mengunjungi rumah jiran berkenaan dan bertanya sama ada mereka pernah dirompak atau tidak.
“Pasangan itu beritahu rumah mereka pernah dirompak beberapa tahun lalu,” kata Matthew.
Jabatan Polis New York mengesahkan rumah jiran berkenaan dirompak pada 2011 dan antara barang yang hilang ialah peti besi mengandungi wang tunai serta barang kemas.
Matthew dan isterinya kemudian memulangkan peti besi dan kandungannya kepada jiran terbabit.
“Ada orang bertanya kenapa kami memulangkannya. Bagi saya itu soalan itu tidak perlu kerana barang berkenaan bukan milik kami,” kata Maria.

-Metro

Wednesday 16 May 2018

Dah kena langgar baru nak ceraikan...



Beijing: Seorang lelaki berhati mulia apabila sanggup bertahan selama 10 tahun dalam perkahwinan walaupun diseksa isteri dengan teruk sebelum menceraikannya selepas dilanggar kereta dipandu wanita terbabit.
Dalam kejadian awal tahun ini, pertengkaran antara pasangan itu tercetus ketika kereta dinaiki mereka berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat rumah mereka di bandar Changzhou, wilayah Jiangsu, menyebabkan si suami keluar dari kereta.
Bagaimanapun, kemarahan isteri tidak terhenti di situ apabila dia terus memecut kereta ke arah suaminya.
Menurut laporan South China Morning Post, lelaki malang itu cuba mengelak namun terseret di bawah tayar hingga mengalami kecederaan teruk.
Susulan kejadian itu, wanita terbabit dihadapkan ke mahkamah dan diberi hukuman penjara tertangguh selama 18 bulan.
Sebelum ini, laporan menyebut wanita terbabit pernah menikam suaminya pada bahagian dada selain menghentak botol bir di kepala lelaki terbabit hingga menyebabkan mangsa kehilangan banyak darah.

-Metro

Rumahku Nerakaku: Ziana Zain

Ziana Zain
Ziana Zain
in mSHAH ALAM -  Penyanyi terkenal Ziana Zaendedahkan  kehidupannya dengan suami, Armin Zaharin selama ini ibarat hidup dalam neraka.
Masakan tidak, pelantun lagu Putus Terpaksa itu mendakwa, seawal empat bulan perkahwinan, dia sudah terpaksa menanggung penderaan mental bersendirian.
"Tiada siapa tahu kerana saya diajar ibu bapa agar tidak menceritakan hal rumahtangga," katanya.
Menurutnya, setiap kali selesai bekerja, dia seolah- olah trauma untuk pulang ke rumah.
"Melihat pagar pun saya dah meraung. Kalau orang lain rumahku syurgaku, tetapi bagi saya dan anak- anak, rumahku nerakaku," katanya sambil menangis.
Menurut artis berkenaan, dia  tidak menyangka  penderaan mental dihadapinya itu meleret sehingga perkahwinan mereka berusia 20 tahun.
"Bayangkan bagaimana saya menghadapinya. Tahap kesabaran saya sudah maksima," katanya.
Ziana juga  mendakwa suaminya melemparkan kata-kata kurang sopan di mana sahaja termasuk di tempat awam dan di hadapan keluarga.
"Anak- anak sampai tidak mahu keluar makan bersama Armin kerana malu sekiranya diherdik," katanya.
Ziana berkata, di usia 50 tahun dia sudah tidak mampu lagi menahan penderitaan itu.
"20 tahun saya berbakti kepadanya. Beri yang terbaik untuk dia. Walaupun bekerja, saya tetap memasak untuknya dan anak- anak.
"Jangan dia cakap saya tidak menjalankan tanggungjawab, tanya diri dia, apa tanggungjawab dia terhadap saya dan keluarga," katanya.
Menurutnya, anak-anaknya turut menghidapi stress akibat daripada perilaku Armin.
"Salah seorang anak terpaksa mendapat rawatan dan dirujuk ke psikitri selepas menghidapi simptom kemurungan sejak umur 14 tahun," katanya.
Tambahnya, anak- anak juga mempersoalkan tindakan Armin.
"Mereka (anak-anak) tanya sampai bila terpaksa menanggung dan menyatakan tindakan Armin tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang bergelar suami atau bapa.
"Mereka beritahu saya, Ma don't died," katanya menangis.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana berkata, sepanjang kehidupan bersama, dia sentiasa mencukupkan keperluan keluarga tanpa pernah mengungkit.
"Saya anggap ini rezeki, namun apabila dia buat saya macam ini, saya tidak akan tunggu lagi," katanya.
Menurutnya, sejak tidak lagi berkhidmat dengan Malaysia Airlines (MAS) tiga tahun lalu, Armin tidak mempunyai inisiatif untuk mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Semuanya saya. Dia duduk rumah hisap rokok dan ambil anak sekolah sahaja," katanya.
Tambah Ziana, dia tidak percaya dirinya mampu  bersabar sehingga kemuncaknya.
"Saya manusia paling sabar kalau orang lain anak pertama boleh cerai, saya boleh tunggu lagi dengan apa yang dia buat kepada saya," katanya.
Kata Ziana, ibu dan bapa saudara Armin juga seolah-olah tidak menyangka dengan tahap kesabarannya.
"Kalau mak saudara cakap, Kau boleh sabar Rozie? Sabar betul kau Rozie?
Jadi maksudnya apa?" katanya kepada media selepas sebutan kes penceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.

-Sinar

Tuesday 15 May 2018

'Lois Lane' meninggal dunia



LOS ANGELES : Aktres Margot Kidder yang terkenal dengan watak seorang wartawan wanita dikenali sebagai Lois Lane dalam filem adiwira ‘Superman’ dilaporkan meninggal dunia pada usia 69.
Kidder yang melakonkan watak itu sekitar tahun 1970-an dan 1980-an menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Montana, semalam.
Pusat Pengebumian Franzen Davis di Livingston, Montana menerusi satu kenyataan di laman web berkata, punca kematian Kidder tidak diketahui setakat ini.
Selain Superman, aktres kelahiran Kanada itu juga pernah membintangi filem ‘The Great Waldo Pepper’ dan siri televisyen kanak-kanak, ‘R.L Stine’s The Haunting Hour.

-Metro

Monday 7 May 2018

Makan 'anu' bos dengan nasi



LELAKI dihukum penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah membunuh majikannya sebelum mengerat dan memakan kemaluan mangsa akibat berang kerana tidak dibelikan makanan.
Mansur didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di Muarabulian, Sumatera, Indonesia atas tuduhan membunuh majikannya Dasrullah di sebuah ladang kelapa sawit pada 4 November tahun lalu.
Detik News melaporkan, Mansur bekerja dan tinggal di sebuah rumah di ladang kelapa sawit milik Dasrullah.
Pada hari sebelum kejadian, Dasrullah menghubungi Mansur memberitahu dia mahu datang ke ladang berkenaan dan tertuduh sempat berpesan untuk membawa makanan kerana tiada makanan di rumah.
Apabila Dasrullah tiba di rumah pekerjanya itu, Mansur bertanyakan makanan yang dipesannya tetapi mangsa memarahi tertuduh kerana tiada wang.
Dasrullah kemudian memberikan wang kepada Mansur dan mengarahkan lelaki itu berjalan kaki ke kedai.
Ketika Mansur pulang ke rumah itu, dia dimarahi Dasrullah kerana terlalu lambat.
Kerana terlalu marah, Mansur bertindak menyerang Dasrullah dengan parang ketika mangsa tidur di biliknya dan menetak lelaki itu hingga mati.
Selepas mangsa mati, Mansur memotong alat sulit lelaki itu sebelum memasak dan memakan organ berkenaan bersama nasi.

-Metro

Thursday 3 May 2018

Adoiii... sakitnya punggung



Beijing: Seorang pekerja terpaksa menanggung azab sakit apabila punggungnya tertusuk buluh ketika melompat dari sebuah jambatan di Suining, China.

Media tempatan melaporkan, lelaki terbabit sebelum itu baru sahaja selesai memasang papan iklan berhampiran jambatan sebelum melompat turun.
Dia kemudiannya terjatuh ke dalam kawasan semak sebelum punggungnya tertusuk.
Mangsa terpaksa mendapatkan pertolongan anggota bomba yang memotong sebahagian buluh terbabit sebelum menghantarnya ke hospital.
Dia menerima rawatan di Hospital Daerah Shehong, China.

-Metro