Friday 17 November 2017

Gerobok Rezeki : Lauk telur potong lima

Petaling Jaya: “Selalu saya pujuk anak supaya makan apa saja yang ada memandangkan hanya bubur nasi dan cucur yang mampu disediakan apabila bekalan makanan terputus.
“Kadang-kadang saya tebalkan muka pinjam duit dengan orang namun sejak ada Gerobok Rezeki, ia meringankan beban kami,” kata Noraidah Abd Hamid, 36, penerima bantuan Gerobok Rezeki Masjid Ara Damansara, di sini, sejak setahun lalu.
Menurut Noraidah, dia tidak bekerja kerana menjaga lima anak masing-masing berusia dua hingga 10 tahun dan bergantung harap kepada suami dengan berpendapatan tidak seberapa.
“Gaji suami sebagai juruteknik elektrik tidak menentu, jika ada projek adalah, kalau tak, tiadalah duit. Disebabkan itu, kami kerap terputus makanan.
“Walaupun kami terima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) RM500 sebulan, kehidupan di bandar adakalanya tidak mampu menampungnya memandangkan lima anak masih kecil, selain perlu membayar sewa rumah dan bil utiliti,” katanya selepas mengambil barangan keperluan asas di masjid berkenaan, semalam.
Seorang lagi penerima, Siti Rohani Abd Wahab, 32, berkata, kewujudan program berkenaan membantu meringankan beban golongan miskin seperti mereka yang hanya bergantung kepada suami sebagai pemandu teksi.
“Pada mulanya, memang saya malu mengambil bekalan di sini namun kerana kesiankan empat anak, perasaan itu saya tolak tepi.
“Sebelum ini, lauk kami hanya tiga biji telur dipotong lima bahagian dan paling mewah apabila kami dapat makan ikan yang dipancing suami serta sekali sekala apabila suami dapat duit lebih dapatlah kami menjamah udang mahupun kerang.
“Tetapi sejak awal tahun menerima saluran bantuan secara langsung ini, kehidupan kami sedikit berubah memandangkan ia memudahkan kami apabila makanan kehabisan,” katanya.

PENGAWAL keselamatan, Abdul Rahman Yusof menyelia urusan pengambilan bantuan Gerobok Rezeki. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Sementara itu, Pengurus Masjid Ara Damansara Mohd Safwan Mohd Adenan berkata, projek berkenaan bermula sejak Oktober tahun lalu selepas Pengasas Humanity Mohd Nizam Wahid berhasrat melaksanakan program kebajikan di masjid berkenaan.
“Program ini sesuai dilaksanakan di sini berikutan 30 peratus daripada 3,000 kariah masjid ini ialah golongan asnaf yang memerlukan perhatian dan pembelaan.
“Uniknya, Gerobok Rezeki ini mendapat sambutan positif apabila mewujudkan satu rantaian berterusan antara penerima dan penyumbang yang sama-sama mengambil peluang memanfaatkannya.
“Tiada had ditetapkan untuk setiap penerima namun syaratnya mereka perlu menulis nama dalam buku rekod khas untuk memudahkan kami menyalurkan bantuan lain seperti merujuk ke Lembaga Zakat dan sebagainya,” katanya.
Bagi Mohd Nizam, matlamat Gerobok Rezeki adalah mahu membina persepsi baik tentang Islam bermula dengan masjid sebagai pusat bantuan kecemasan kepada golongan sasar terutama miskin bandar.
“Setiap keperluan asas yang disumbangkan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditambah setiap tiga hari atau seminggu sekali supaya bekalan tidak putus.
“Jika kami dapati nama seseorang itu kerap mengambil barang, ahli jawatankuasa masjid atau wakil amil boleh melihat keperluan keluarga terbabit atau merujuk kes mereka kepada pihak berkaitan untuk bantuan selanjutnya dan secara tak langsung matlamat kami membantu golongan sasar tercapai.
“Kami harap program ini dapat menyingkirkan kata-kata dan fitnah bahawa masjid tidak mesra asnaf atau tidak membantu orang susah,” katanya.

-Metro

No comments: