Wednesday 27 April 2016

Dipukul suami di khalayak ramai



Chengdu: Seorang wanita menjadi mangsa keganasan suaminya apabila dipukul dengan teruk di khalayak ramai di bandar ini, kelmarin. Menurut laporan, lelaki berkenaan menuduh isterinya curang selepas menemui wanita itu bersiar-siar dengan anak perempuan mereka.

Orang ramai hanya dapat melihat lelaki itu memukul dan memijak isterinya tanpa dapat melakukan apa-apa untuk menghalangnya.

Rakaman video menunjukkan suami itu memaki hamun serta memukul isterinya di tepi jalan tanpa mempedulikan orang sekeliling.

Si isteri juga dilihat cuba melarikan diri dari suaminya, tetapi dia dikejar dan ditendang berulangkali, sementara anak mereka yang berada berhampiran menangis ketakutan.

Keganasan itu berakhir apabila puluhan pejalan kaki mengerumuni lelaki itu, membolehkan isteri dan anaknya meninggalkan tempat kejadian. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/133653#sthash.NeBh75bk.dpuf

Tuesday 26 April 2016

Durian Belanda makin digilai



Alor Gajah: Benih pokok durian Belanda dikesan mendapat sambutan menggalakkan sejak awal tahun ini berikutan tersebarnya berita mengenai keberkesanannya membunuh sel kanser.

Peniaga buah dan sayur di Kampung Pulau, Kamarul Ariffin Mohd Yusof, 32, berkata, sejak berita mengenai kemampuan durian Belanda memerangi penyakit berkenaan tersebar luas melalui media sosial semakin ramai membeli benih pokok itu di gerainya.

“Saya membeli benih pokok durian Belanda dari pembekal di Ayer Hitam, Johor. Sejak awal tahun ini, saya jual purata 11 benih seminggu durian Belanda pada harga RM7 sepokok.

“Ia berbeza dengan keadaan sebelum ini. Amat kurang pelanggan membeli benih durian Belanda kerana mereka menganggapnya tidak mempunyai khasiat untuk kesihatan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di gerainya di kampung itu semalam.

Dia berkata, berdasarkan pengalamannya menanam pokok berkenaan, dalam tempoh tiga tahun, ia sudah mengeluarkan bunga untuk berbuah.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada aspek penjagaan pokok berkenaan dan jika ia sering dibaja, ia mampu tumbuh dengan subur,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata, dia pernah dikejutkan dengan tindakan seorang pelanggan memberikan kepadanya durian Belanda goreng yang seakan-akan sama seperti buah sukun goreng.

“Rasanya lazat tetapi kita harus berhati-hati kerana bimbang tertelan bijinya. Selain itu, ada pelanggan yang memberitahu saya daun durian Belanda boleh direndam dalam air dan dilumurkan pada kepala sesiapa yang demam untuk mengurangkan sakit kepala,” katanya.

Ekstrak daripada durian Belanda dikatakan mampu membunuh sel kanser seperti kanser payu dara, prostat, paru-paru dan pankreas. Ia mampu memperlahankan sel kanser berbanding ‘Adriamycin,’ iaitu ubat kemoterapi yang biasa digunakan.

Antara kaedah menjadikan durian Belanda sebagai bahan untuk mengubati kanser ialah dengan dengan merebus 18 helai daun dengan tujuh cawan air.

Tempoh merebus ialah selama 15 minit dengan api sederhana dan air rebusan itu dijadikan minuman tambahan. - Metro

Monday 25 April 2016

Kerbau RM47.8 juta



Johannesburg: Seekor kerbau dinamakan Horizon dilaporkan sebagai paling berharga di dunia apabila bernilai £8.5 juta (RM47.8 juta) disebabkan tanduknya yang berukuran 142 sentimeter.

Horizon sungguh berharga sehingga penjualan milikan sebanyak 25 peratus haiwan itu meraih lebih £2.1 juta (RM11.8 juta) kepada ahli perniagaan Afrika Selatan, Peter Bellingham, pada Februari lalu. Horizon bagaikan lubuk emas dengan nilai tinggi terletak pada tanduknya yang luar biasa dan gen yang sempurna menyebabkannya menjadi buruan golongan penternak untuk membiakkan kerbau seumpamanya.

Pemilik taman rizab sering membeli kerbau untuk menarik pelancong dan Horizon memberi peluang untuk mereka membiakkan haiwan yang paling besar dan hebat.

Aktiviti memburu juga meraih keuntungan tinggi di Afrika, bererti kerbau dengan tanduk sehebat Horizon pasti menarik minat pemburu paling berpengalaman yang mahukan cabaran.

Horizon membiakkan anak berkualiti tinggi seterusnya nilai kerbau betina yang mengawan dengannya turut bertambah apabila kerbau bunting biasa bernilai £38,000 (RM214,000) manakala yang dibuntingkan Horizon pula lebih £121,000 (RM681,000).

Horizon kini dimiliki empat ahli perniagaan Afrika Selatan dan tinggal di ladang seorang pemiliknya, Piet du Toit di Rustenberg. Setiap mereka mempunyai pegangan 25 peratus terhadap Horizon dan masing-maing dibenarkan mengawankannya dengan 10 kerbau betina setahun dengan hak terhadap anak dilahirkan. Du Toit, 45, berkata:

“Horizon bukan saja mempunyai tanduk yang hebat, malah sihat dan kerbau yang paling besar. Lazimnya tanduk kerbau cuma antara 91 sentimeter hingga 102 sentimeter.“Jarang sekali kerbau jantan mampu menurunkan ciri-ciri genetik hebat kepada anaknya, tetapi Horizon menghasilkan anak yang sangat berkualiti tinggi dan ini menambah nilainya.”

- Agensi - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132956#sthash.6npzRUXS.dpuf

Friday 22 April 2016

Budak terbang



Beijing: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun cedera selepas ‘terbang’ akibat dilambung beberapa meter di udara oleh angin pusar yang tiba-tiba melanda di sekolahnya.
Dalam kejadian itu yang sempat dirakam dan tersebar di Internet, Li Jiaqi, pelajar gred tiga di sekolah rendah di daerah Guazhou itu sedang bermain di padang bersama rakannya sebelum tiba-tiba diangkat angin seperti puting beliung kecil itu.

Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak yang berada di atas padang terkejut dan bertempiaran menyelamatkan diri manakala pakaian, beg dan sampah-sarap berterbangan.
Li satu-satunya mangsa yang cedera selepas terjatuh beberapa meter dan dikejarkan ke hospital selepas kejadian.
Dia bagaimanapun cuma mengalami kecederaan ringan sebelum dibenarkan pulang.
Guazhou mengalami fenomena cuaca pelik sejak kebelakangan ini termasuk ribut pasir kuat yang hanya bertahan selama 10 minit.

-Metro

Thursday 21 April 2016

Lelaki ditusuk pencangkuk daging terima pampasan



Tauranga, New Zealand: Sebuah kilang memproses daging, di sini semalam diarah membayar pampasan AS$55,000 (RM212,622) kepada seorang pekerja yang cedera selepas mukanya ditusuk pencangkuk daging dua tahun lalu. Mahkamah daerah Tauranga mengarahkan syarikat Affco New Zealand membayar pampasan kepada Jason Matahiki, 45, kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan.

Syarikat berkenaan sebelum ini enggan membayar pampasan kepada Matahiki kerana mendakwa kemalangan pada Ogos 2014 itu berpunca daripada kecuaian lelaki berkenaan. Matahiki berkata, kejadian itu berlaku ketika dia membersihkan besi pencangkuk daging di kilang berkenaan.

Katanya, secara tiba-tiba mesin berkenaan bergerak menyebabkan besi pencangkuk itu menusuk belakang kepalanya sehingga tembus ke pipi. Lebih mengerikan lagi Matahiki tergantung selama satu jam di besi pencangkuk berkenaan sebelum diselamatkan pasukan paramedik.

Matahiki dibawa ke hospital dalam keadaan parah, tetapi berjaya diselamatkan kerana pencangkuk itu tidak mengenai organ penting.“Saya tidak berapa mengingati kemalangan itu. Saya hanya ingat datang bekerja dan terjaga ketika berada di hospital,” katanya. Walaupun kemalangan itu tidak meragut nyawanya, penderitaan dialaminya selepas kejadian itu sukar digambarkan.“Proses pemulihan saya bagaikan satu jenaka buruk.

“Saya sering mengalami mimpi ngeri, sakit kepala, sukar tidur dan kadangkala sukar makan,” jelasnya. Menurutnya, dia kecewa dengan bekas majikannya yang dianggapnya tidak berhati perut kerana enggan mengakui kesalahan mereka. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132257#sthash.QPIafexs.dpuf

Wednesday 20 April 2016

Mayat tercicir

       
Havana: Seorang pemandu kereta mayat dirakam memandu di sebuah kawasan simpang yang sibuk tanpa menyedari mayat dibawanya tercicir di atas jalan raya. Rakaman itu menunjukkan pemandu berkenaan terus meninggalkan tempat itu dengan mayat yang hanya ditutup dengan selimut oren terdampar di tengah jalan. Akibatnya pemandu lain bertempiaran mengelak melanggar mayat itu. Orang ramai merakamkan kejadian itu di Vedado - kawasan perniagaan di Havana, ibu negara Cuba. googletag.display('div-gpt-ad-1406187945380-0'); Rakaman itu juga menunjukkan seorang lelaki dan wanita di dalam kereta mayat itu kembali ke lokasi berkenaan, mungkin selepas menyedari kejadian itu. Mereka dilihat cuba mengangkat mayat berkenaan ke atas pengusung, malangnya tidak cukup kuat sehingga seorang lelaki yang kebetulan lalu di situ membantu mereka meletakkan semula mayat itu di dalam kereta mayat. Video itu tersebar di Internet dan mendapat pelbagai komen termasuk ada yang menganggap ia bukti perkhidmatan buruk di Cuba akibat pemerintah komunis. Netizen, Kenny Beltran berkata: “Lihat sajalah tahap perkhidmatan asas di Cuba.“Ia kesan sistem pentadbiran yang buruk serta tidak produktif dan tidak berkesan.”Seorang lagi berkata: “Perkara seperti ini hanya berlaku di negara dunia ketiga.”
 

 

Tuesday 19 April 2016

Raja seorang mekanik



Raja sambilan dan mekanik sepenuh masa. Itulah kehidupan yang dilalui Cephas Bansah yang dilahirkan di Ghana tetapi kini menetap di Ludwigshafen, Jerman. Bansah adalah raja di wilayah Gbi di timur Ghana berhampiran sempadan Togo, terdiri daripada 300,000 orang Ewe.

Walaupun ketua orang Ewe, dia juga bekerja sepenuh masa sebagai mekanik dan mentadbir kerajaannya melalui perkhidmatan sidang video, Skype. Bansah, 67, juga menghabiskan kebanyakan masanya bergelumang dengan pakaian berminyak dan membaiki kereta.

Bansah membesar di Ghana, dia berpindah ke Jerman pada 1970 sebelum dilantik menjadi raja. Dia berhijrah ke Jerman apabila datuknya yang ketika itu raja Gbi mahu dia belajar di negara itu sebagai mekanik. Selepas tamat pengajian dan mendapat taraf kewarganegaraan, Bansah menetap dan membuka bengkelnya sendiri di Ludwigshafen. Bansah menjalani kehidupan dengan tenang sehinggalah pada 1987 apabila dia menerima kiriman faks yang mengubah hidupnya.

Datuknya, Raja Hohoe meninggal dunia. Bapa dan abang sulungnya dianggap tidak layak untuk memerintah kerana kidal, sesuatu yang dianggap orang Ewe sebagai ‘kotor,’ menjadikan Bansah pengganti datuknya dan juga raja baru. Bansah kini menetap di Ludwigshafen bersama isterinya Gabriele Bansah, 57, serta dua anak Carlo dan Katharina.

Dia masih meneruskan pekerjaan sebagai mekanik dan berperanan sebagai raja. Bansah menggunakan Skype untuk mentadbir rakyatnya dan masih melawat Ghana sehingga lapan kali setahun. Dia turut terbabit dalam beberapa projek bantuan termasuk membina sekolah dan kini mengumpul dana untuk membina penjara wanita.

Bagi membiayai projek itu, Bansah menjual minuman bir jenamanya sendiri, iaitu Akosombo, walaupun dia sendiri tidak pernah meminum alkohol. Jurugambar Jerman, Christina Czybik diberi peluang menghabiskan seharian bersama raja itu dan merakam gambar menarik kehidupannya. Menurut Christina: “Campuran budaya sesuatu yang menarik.

Bansah memberitahu saya, orang Ghana mempunyai pegangan agama yang kuat.“Mereka kebanyakannya beragama Kristian, tetapi ramai juga yang mengamalkan voodoo tetapi bukan dengan tujuan jahat.“Raja Bansah mempunyai kuil voodoo kecil di ruang tamu rumahnya dengan papan tanda kecil ditulis, ‘Micheal Schumacher akan pulih tidak lama lagi dan cepat.’

“Dia turut menjemput saya menyertai rombongan ke Ghana September ini, dan saya sudahpun menempah tiket penerbangan,” katanya. Walaupun Ghana mengamalkan sistem demokrasi, raja tradisional masih mempunyai peranan penting sebagai penjaga rakyat.



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/131144#sthash.r64szbZ2.dpuf

Monday 18 April 2016

Janin wanita dikesan membesar di hati




Langzhong (China): Seorang wanita berusia 30 tahun di bandar ini gembira selepas di maklumkan bahawa dia kini hamil dua bulan. Bagaimanapun, apabila menjalani pemeriksaan, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Yang terkejut apabila doktor gagal mengesan janin dalam rahimnya.

Yang kemudian dihantar ke Hospital Perubatan Tradisional China Langzhong dan pemeriksaan lanjut menemui sesuatu yang lebih menakutkan. Doktor berkata, janin itu dikesan berada di luar rahim dan apa yang mengejutkan ia membesar di bahagian hati wanita itu.

Seorang doktor pakar, Yang Xiongye berkata, keadaan itu sangat bahaya kerana hati wanita itu boleh pecah sekiranya janin berkenaan dibiarkan membesar. Katanya, situasi berkenaan sangat jarang ditemui dan hanya 22 kes dilaporkan di seluruh dunia dalam tempoh 60 tahun. Menurut media tempatan, pihak hospital terpaksa menangguhkan semua pembedahan bagi memberi tumpuan kepada kes wanita itu.

Seramai 10 doktor dan jururawat terbabit dalam pembedahan kecemasan berkenaan untuk mengeluarkan janin dari hati wanita itu. Selepas pembedahan selama empat jam, pasukan perubatan itu berjaya mengeluarkan janin berkenaan sekali gus menyelamatkan nyawa Yang. Yang kini dilaporkan semakin pulih dan dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana berjaya mengesan keadaan saya lebih awal dan menyelamatkan nyawa saya,” katanya. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/131334#sthash.CQD03B6e.dpuf

Friday 15 April 2016

Pistol zaman Perang Revolusi dijual AS$1.8 juta

NEW YORK – Dua pucuk pistol milik wira Kemerdekaan Amerika Selatan, Simon Bolivar dijual pada harga AS$1.8 juta (RM7 juta) pada satu majlis lelongan kelmarin.

Kedua-dua pistol itu merupakan hadiah oleh seorang bangsawan Perancis, Marquis de Lafayette yang terbabit dalam Peperangan Revolusi Perancis dan Amerika Syarikat.

De Lafayette memberikan dua pistol yang diperbuat oleh pengeluar senjata diraja di Versailles pada 1825 kepada Bolivar dalam satu upacara beristiadat.

Pistol berkenaan diletakkan di dalam sebuah kotak kayu. Ia turut dihiasi dengan saduran emas dan perak sekali gus menonjolkan lambang mitologi Rom dan Yunani.

Bolivar yang dilahirkan dalam keluarga kaya di Caracas turut mengetuai pasukan tentera yang memaksa tentera Sepanyol untuk menyerahkan kalah kepada Kapten Jeneral Venezuela pada tahun 1813.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Colombia, Ecuador, Peru dan Bolivia. Bolivar meninggal dunia semasa berusia 47 tahun pada tahun 1830. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0415&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz45rKKUlTg

Thursday 14 April 2016

Pengemis raih RM286,000 sebulan


GAMBAR hiasan, seorang lelaki menderma kepada pengemis di Dubai.


Dubai: Pihak berkuasa majlis perbandaran Dubai menahan seorang lelaki yang dikatakan mengumpul sehingga Dh270,000 (RM286,000) sebulan dengan mengemis.

Dalam satu kenyataan, Ketua Bahagian Pasaran majlis berkenaan, Faisal Al Badiawi, berkata, lelaki itu ditahan baru-baru ini dalam kempen membasmi pengemis yang dilancarkan sejak tiga bulan lalu. Seramai 59 pengemis profesional ditahan dalam kempen berkenaan dengan kerjasama polis.

“Sebahagian pengemis itu memiliki pasport dengan visa perniagaan atau pelancong. Kebanyakannya memasuki negara ini secara sah dengan visa tiga bulan dan mereka menggunakannya untuk mengumpulkan sebanyak wang yang mungkin sepanjang tempoh itu,” kata Faisal.

Menurutnya, seorang daripada mereka ditahan bersama-sama wang berjumlah lebih Dh270,000, hanya sebulan selepas tiba di Dubai.“Mengikut pengiraan kami, dia memperolehi hampir Dh,9,000 (RM9,500) sehari atau Dh1,500 (RM1,590) dalam masa satu setengah jam.

Dia mengaku boleh memperoleh lebih banyak dengan mengemis di depan masjid, khususnya pada Jumaat,” kata Faisal.

Katanya, kempen itu akan dilancarkan sepanjang masa, lebih-lebih lagi ketika Ramadan bagi membersihkan imej negara itu. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/130095#sthash.1NLqjnSO.dpuf

Wednesday 13 April 2016

Gadis digilis kereta 
api ketika leka selfie

BEIJING 12 April - Seorang pelancong tempatan sempat merakamkan detik-detik ngeri seorang remaja pe­rempuan digilis sebuah kereta api ketika mangsa mengambil gambar selfie berdekatan landasan di ­Foshan, selatan China baru-baru ini.

Menurut laporan portal Mail Online, kejadian berkenaan berlaku pada 9 April lalu di kawasan kebun bunga ros di Kampung Liantang yang menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.
Tambah laporan itu, nahas berkenaan berlaku apabila remaja berusia 19 tahun yang tidak dikenali tersebut berdiri terlalu dekat dengan landasan ketika sebuah kereta api menghampiri dengan kelajuan tinggi.

Pengurus kebun terbabit yang hanya dikenali sebagai Dai berkata, remaja itu mahu mengambil gambar selfie berlatar belakangkan kereta api walaupun tindakannya mengundang bahaya.
Malah mangsa mengabaikan hon yang dibunyikan oleh pemandu kereta api tersebut serta tidak menghiraukan amaran beberapa pelancong lain.

Seorang lagi pelancong yang berada di lokasi sama sempat me­rakamkan gambar remaja ber­kenaan mengambil gambar selfie sebelum maut digilis kereta api.

Walaupun mangsa tidak berdiri di atas landasan, tetapi daya tarikan yang tercetus akibat kelajuan kereta api tersebut membuatkan wanita itu disedut ke bawah landasan.

Kejadian berkenaan bukan kali pertama berlaku di lokasi yang sama memandangkan tiada penghadang atau papan tanda amaran dipasang bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.

-Utusan

Tuesday 12 April 2016

Sembah silap patung

Beijing: Seorang wanita tua dilihat menyembah sebuah patung yang disangkanya patung dewa tanpa menyedari ia sebenarnya patung watak adiwira dalam permainan Internet.

Gambar yang dirakam di luar sebuah kafe Internet menunjukkan wanita itu melutut, menyembah dan membakar colok di hadapan patung yang dikatakan menyerupai Dewa Guan, jeneral China ketika pemerintahan Tiga Kerajaan yang diabadikan dalam sebuah buku paling terkenal China sebelum dinobatkan menjadi dewa.

Bagaimanapun, patung itu sebenarnya ialah Garen, panglima tentera dalam satu permainan Internet yang dikenali sebagai Liga Legenda

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/128762#sthash.rxSuZjH0.dpuf

Saudi bertindak terhadap fesyen rambut pelik



Riyadh: Pihak berkuasa sukan Saudi mula bertindak terhadap gaya rambut pemain bola sepak yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Satu video yang dimuat naik ke Internet kelmarin menunjukkan seorang pemain digunting pada saat akhir sebelum satu perlawanan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Saudi. Video itu menunjukkan seorang pengadil menggunting rambut fesyen mohawk seorang pemain sebelum dia dibenarkan memasuki padang.

Ketua pertubuhan belia Saudi Selasa lalu menggesa persekutuan sukan dan jawatankuasa Olimpik negara itu mengharamkan fenomena ‘qazaa’, perkataan merujuk kepada fesyen pelik yang sering dilihat pada pemain bola sepak.

Gaya rambut seperti itu bertentangan dengan Islam dan tradisi masyarakat tempatan, tulis seorang pengulas di akhbar Al-Jazirah, kelmarin. Dia menggesa persekutuan bola sepak negara itu mengenakan sekatan terhadap pemain yang membuat fesyen rambut pelik bagi mengelak peminat mereka, khususnya pelajar sekolah menirunya. - AFP

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/129499#sthash.Lp2hChKG.dpuf

Monday 11 April 2016

Manusia naga

             
             
Seorang pondan mendakwa menjadi orang pertama dan satu-satunya menjalani pembedahan kosmetik membuang kedua telinganya sebagai sebahagian `perjalanan’ menjadi naga. Dilahirkan sebagai Richard Hernandez di Maricopa County, Arizona, dia menjalani banyak pembedahan menyakitkan sejak beberapa tahun lalu termasuk pengubahsuaian hidung, mencabut gigi dan mewarnakan mata. Lebih ekstrim, pondan berusia 52 tahun itu juga mempunyai lidah bercabang dan muka dipenuhi tatu sebagai sebahagian transformasi kepada haiwan mistik itu. Dia juga menukar namanya kepada Eva Tiamat Baphomet Medusa atau singkatannya Tiamat, nama karakter naga dalam satu permainan Internet.
           
Selama beberapa tahun Tiamat menjalani pelbagai peringkat transformasi sebelum akhirnya memilih untuk menjadi naga. Tiamat mempunyai tanduk yang diimplan pada dahinya serta tatu pada muka dan dada yang menyerupai sisik haiwan mistik itu. Malah, mata putihnya juga ditukar kepada hijau yang apa dipanggilnya sebagai mata hijau maut Medusa makhluk mitos Greece.

Dia kini lebih suka dikenali sebagai Wanita Naga dan menggambarkan dirinya sebagai haiwan mitos itu. Di laman sosialnya, Tiamat menjelaskan dia adalah Wanita Naga yang berubah dari lelaki kepada wanita.“Saya dalam proses perlahan-lahan menjadi manusia naga, menjadi reptilia dengan mengubah kulit dan penampilan malah meninggalkan keseluruhan kehidupan manusia saya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia mahu mendekati dan menyelami kesedaran diri semula jadi sebagai haiwan mitos itu. Tiamat mempunyai ramai pengikut di Facebook, mengadakan temu bual di YouTube kepada kedai yang pakar dalam pengubahsuaian badan dan sering menyiarkan kata-kata inspirasi.

Pada gambar terkini dirinya, dia menulis: “Saya tidak peduli apa orang kata tentang saya atau pandangan saya dan jika perlu saya akan melawan dan berdiri berseorangan menentang dunia. Tetapi saya tidak akan berkompromi mengenai integriti saya.“Saya adalah saya. Saya adalah ciptaan istimewa saya sendiri,” jelasnya. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/129051#sthash.GeZdaB2p.dpuf

Friday 8 April 2016

Suara teruna gersang



Uzumlu, Turki: Sekumpulan lelaki bujang dan kesunyian di sebuah kampung di sini berarak bagi membantah kaum wanita di kampung itu yang menolak semua lamaran mereka. Kaum wanita di kampung Uzumlu di selatan Turki itu menolak lamaran berkenaan kerana tidak mahu terus tinggal di perkampungan terpencil itu.

Menurut kumpulan lelaki itu, alasan yang diberikan kaum wanita tidak munasabah. Rakaman video di laman sesawang CNNTurk.com menunjukkan mereka berarak di sepanjang kampung sambil memegang sepanduk menggesa wanita menerima kehidupan di desa.

Sementara itu, datuk bandar Mustafa Bashbilan memberitahu laman sesawang Al Arabiya, terdapat 25 lelaki bujang berusia antara 25 hingga 45 di kampung berkenaan. Perkahwinan terakhir di kampung itu ialah sembilan tahun lalu dan sejak itu bilangan penduduk turun mendadak daripada 400 kepada 233 orang.

“Kebanyakan wanita muda memilih berpindah ke bandar besar seperti Istanbul, Ankara dan Antalya.“Bagaimanapun, lelaki lebih memilih tinggal di kampung untuk berbakti kepada tanah ladang milik keluarga mereka sejak berabad lamanya.“Pekan ini tidak miskin, tetapi rasa tidak gembira kaum lelaki menjadi satu masalah sosial di sana,” katanya.

Dalam tunjuk perasaan itu, kumpulan lelaki berkenaan turut memegang sepanduk meminta Presiden Recep Tayyip Erdogan membantu mereka. Mereka turut membawa sepanduk yang mengandungi janji untuk memberi bakal isteri masing-masing lima anak.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/128752#sthash.U9Q0tGrF.dpuf

Thursday 7 April 2016

Polis kawal rumah lelaki dakwa miliki berlian gergasi



Sidrap (Indonesia): Polis terpaksa mengawasi rumah seorang lelaki selepas dia mahu menjual berlian gergasi miliknya dengan harga Rp7 trilion (RM2.07 bilion). Ketua Polis Sidrap, Anggi Siregar berkata, polis tidak berdiam diri selepas kisah lelaki dikenali sebagai Qarsing mahu menjual berlian berkenaan tersebar meluas.

“Kami mengawasi rumah lelaki berusia 81 tahun itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Anggi menasihati penduduk supaya tidak terlalu terpengaruh dakwaan Qarsing bahawa berlian yang ditemui di laut itu asli.

“Sehingga kini hanya lelaki itu yang memberi jaminan berlian itu asli, tetapi belum ada pakar yang mengesahkan dakwaannya itu.

“Jangan sampai ada yang tertipu nanti kerana saya dengar dia mahu menjual berlian itu dengan harga yang sangat luar biasa.

“Sekiranya permata itu asli, sudah pasti ia direkodkan antara berlian paling besar di dunia yang pernah ditemui,” kata Anggi. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/128579#sthash.gzvIgZfm.dpuf

Wednesday 6 April 2016

Penyanyi dangdut maut dipatuk ular ketika persembahan

Irmawaty sering melakukan persembahan sambil bermain ular.  AGENSI 
 
JAKARTA 5 April – Seorang penyanyi dangdut Indonesia, Irmawaty atau lebih dikenali sebagai Irma Bule maut dipatuk ular ketika mengadakan persembahan dangdut bersama ular di Kabupa­ten Karawang, Jakarta Barat, pada malam minggu lalu.

Ketika kejadian, penyanyi berusia 26 tahun itu sedang menyanyikan lagu keduanya apabila dia tidak sengaja terpijak ekor ular senduk yang sering dibawanya ketika mengadakan persembahan, menyebabkan ular tersebut mematuk pahanya.

Bagaimanapun, menurut media tempatan, dia yang juga dikenali sebagai Irma ‘Si goyang Ular’ meneruskan persembahannya hingga akhir dan menolak untuk diberi rawatan oleh bomoh ular ketika berada di belakang pentas.

Menurut seorang rakan­nya, Ferlando Octavion Auzora, selepas selesai membuat persembahan, Irma masih boleh berual-bual dengan rakan-rakan dan tidak mahu dirawat.

Bagaimanapun kira-kira sejam selepas itu, dia muntah-muntah dan tubuh­nya kejang.

Ferlando berkata, Irma kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan kira-kira pukul 11 malam untuk mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi dia disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Menurut polis, doktor mengesahkan penyanyi tersebut mening­- gal dunia kerana dipatuk ular.

“Irma menjadi penyanyi jemputan malam itu. Seperti biasa, dia tampil memukau penonton dengan lagunya sambil berjoget bersama ular. Semasa menyampaikan lagu pertama, tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Tetapi ketika sedang men­yampaikan lagu kedua, dia tidak sengaja terpijak ekor ular, menyebabkan ular itu mematuk pa­hanya,” ujarnya.


 – UTUSAN

Tuesday 5 April 2016

Sejam tersepit celah tembok



Shaoyang, China: Seorang budak lelaki menahan sakit lebih sejam selepas terperangkap dalam celah tembok sempit berhampiran kediamannya, di sini.
Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu dilaporkan tersepit selepas masuk ke dalam celah antara tembok konkrit dan batu-bata.
Satu rakaman video dirakam penduduk memaparkan kanak-kanak itu menangis dan cuba dipujuk ibunya.
“Jangan bergerak dan jangan menangis. Kami akan mengeluarkan kamu tidak lama lagi,” kata ibu kanak-kanak itu.
Beberapa penduduk cuba menarik kanak-kanak itu keluar, tetapi dia menjerit lebih kuat kerana kesakitan.
Selepas beberapa kali mencuba, keluarga kanak-kanak itu menghubungi bomba.
Bomba yang datang tidak lama selepas itu mengambil keputusan menebuk lubang di dinding berkenaan.
Selepas sejam mereka akhirnya berjaya mengeluarkan kanak-kanak itu dengan selamat.
Kanak-kanak itu dibawa ke hospital, di sini dan hanya dirawat akibat calar pada badan.


 - Agensi/Metro

Monday 4 April 2016

Doktor 'tanam' tangan pesakit dalam perut

FacebookTwitterGoogle+Compact

Doktor 'tanam' tangan pesakit dalam perut


ORLEANS - BRAZIL. Memang pelik namun inilah yang berlaku. Doktor di selatan Brazil menggunakan kaedah kreatif untuk menyelamatkan tangan seorang lelaki selepas kulit tangannnya terkoyak dengan memasukkan tangan tersebut ke dalam perut mangsa.
Laporan Dailymail UK mengatakan, tangan yang cedera tersebut akan 'ditanam' di celah tisu lembut perut selama enam minggu untuk mengelakkan jangkitan kuman dan proses reput.
Kulit tangan mangsa, Carlos Mariotti, 41, terkoyak sehingga menampakkan tulang dan tendon ketika sedang mengendalikan sebuah mesin.
"Tanpa prosedur ini, tangan Carlos pasti akan mereput dan jangkitan kuman pasti akan berlaku," kata pakar bedah hospital Santa Otilia, Boris Brandao.
Bahagian perut Carlos kemudian dibalut bersama-sama tangan yang dimasukkan untuk meyembuhkan luka pembedahan.
"Rasa pelik sedikit kerana saya boleh gerakkan jari-jari saya di dalam perut," kata Carlos sambil mengetap bibir.
Dalam kemalangan di tempat kerjanya, Carlos kehilangan dua jarinya.
"Sekurang-kurangnya jari saya yang lain masih OK dan saya masih boleh memegang stereng kenderaan untuk pergi kerja," kata Calors sambil tersenyum.

-Sinar

Iklan cari suami



Bangkok: Seorang pelakon drama Thailand yang kecewa kerana masih dara dan belum berkahwin menyiarkan iklan untuk mencari bakal suaminya.
Pui Aranya yang berusia 40 tahun menyewa sebuah papan iklan gergasi di Bangkok untuk mengiklankan dirinya.

Papan iklan itu memaparkan Pui, seorang aktres kurang terkenal dalam keadaan mengghairahkan berserta nombor telefonnya.
“Berusia 40 tahun dan masih dara, Saya mahu kamu! Pui Aranya kini mencari seorang suami.
“Sebelum saya mati, saya mahu mempunyai suami,” katanya dalam iklan itu.
Pui memberitahu akhbar tempatan, dia kecewa kerana gagal mencari pasangan hidup termasuk melalui agensi mencari jodoh dan di Internet.

“Saya serius mahu mencari suami dan sebab itu saya mengiklankan diri saya,” katanya.

Walaupun iklan itu menarik perhatian warga Bangkok, polis pula beranggapan sebaliknya.
Beberapa hari selepas iklan itu dipasangkan, pihak berkuasa mengarahkan ia diturunkan kerana dianggap berunsur lucah.

Jurucakap polis berkata, agensi pengiklanan yang memasang iklan berkenaan juga akan dikenakan denda berjumlah 500 baht (RM55).

“Kami juga akan menyoal siasat wanita dalam iklan ini untuk mengetahui motifnya yang sebenar,” jelasnya.

-Metro

Friday 1 April 2016

Mas kahwin segelas air



Aceh: Selepas dihebohkan dengan cerita mengenai pasangan yang gagal dinikahkan di Kuala Lumpur disebabkan wang hantaran, timbul pula kisah mengharukan dari daerah Kampung Pea Jambu di wilayah Indonesia ini.

Gambar yang dipaparkan dalam akaun Facebook pemilik bernama Purwanto menunjukkan sepasang pengantin duduk di dalam sebuah masjid. Sekali lihat, ia acara seperti pernikahan biasa. Pasangan itu duduk di masjid dengan pengantin perempuan minum segelas air.

Bagaimanapun, menurut Purwanto, ia bukan air biasa. Sebaliknya segelas air putih itu ialah hantaran yang diberikan pengantin lelaki kepada isterinya.

“Pernikahan Hari & Rohani dengan mahar segelas air minum. Langsung diminum maharnya...Semoga menjadi keluarga yang bahagia,” tulis Purwanto.

Hari dan Rohani itu ialah nama pasangan pengantin berkenaan. Dalam komen dibawah, pemilik akaun Facebook itu berkata, pengantin lelaki itu ialah pegawai agama di Pejabat Urusan Agama Singkohol.

“Ia. Yang menikah ialah pegawai agama. Pernikahan dilangsungkan di Masjid Al Falah Kampung Pea Jambu, Khamis 24 Mac 2016,” tulis Purwanto.

Ramai pengguna Facebook terharu dengan laporan itu kerana tidak percaya ada pernikahan boleh dilangsungkan dengan hantaran segelas air putih sahaja.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127008#sthash.Oagl93uC.dpuf
googletag.display('div-gpt-ad-1406187945380-0');