Friday 30 September 2016

Wanita pengsan selepas dilamar




Mexico City: Seorang wanita, Reyna Renteria pengsan sebaik teman lelakinya melamarnya dan menyerahkan cincin pertunangan.
Video menunjukkan kejadian itu menjadi viral apabila ia dimuat naik ke laman sosial.
Video berkenaan menunjukkan Reyna berpakaian putih dan jaket hitam berjalan ke arah teman lelakinya, German Benitez di satu acara yang lengkap dengan permainan muzik.
Benitez berdiri di hadapan Reyna sambil memegang kotak kecil dan menyerahkan kepadanya.
Tetapi, sebaik mengambilnya, Reyna pengsan.
Reyna yang rebah tiba-tiba cuba disambut Benitez, tetapi gagal.
Selepas kejadian itu, Reyna digelar ‘Wanita Bertunang’ oleh pengguna laman sosial.
Kejadian itu juga menarik perhatian beberapa syarikat dan pengeluar barangan berjenama yang menawarkan pasangan itu kelengkapan untuk perkahwinan jika Benitez dan Reyna bersetuju menggunakan barangan keluaran mereka. 

- Agensi/Metro

Thursday 29 September 2016

Tipu duit 'beranak'



Probolinggo, Indonesia: Pemimpin satu kumpulan agama yang mendakwa mempunyai kuasa ghaib dan mampu menggandakan wang ditangkap polis kerana disyaki menipu serta terbabit dalam pembunuhan pengikutnya yang menjadi saksi polis.
Kanjeng Dimas yang memimpin satu kumpulan yang dikenali sebagai Padepokan Kanjeng Dimas ditahan pada 22 September lalu di rumahnya di Probolinggo.
Beratus-ratus anggota polis yang lengkap dengan kereta perisai menyerbu rumah pemimpin itu sebelum menahannya.
Polis juga terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas sekumpulan pengikut Kanjeng cuba menghalang pihak berkuasa.
Jurucakap polis Probolinggo, Agus Andrianto berkata, Kanjeng pada mulanya disiasat susulan laporan daripada beberapa individu yang mendakwa ditipu lelaki itu.
Kanjeng yang mempunyai ribuan pengikut mendakwa mempunyai kebolehan untuk menggandakan wang.
Beberapa video menunjukkan Kanjeng menggandakan wang dan sering bergambar dengan timbunan wang banyak tersebar di Internet.
“Beberapa individu membuat laporan polis selepas menyerahkan sejumlah besar wang kepada Kanjeng supaya wang mereka digandakan tetapi akhirnya ditipu.
“Ketika siasatan dijalankan dua saksi polis yang juga pengikut Kanjeng ditemui mati dibunuh,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar memberitahu, suspek dianggap sebagai guru agama oleh pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai golongan.
“Aktiviti penipuan suspek sudah lama berlaku dan dia sering menggunakan agama untuk menipu serta memperdayakan mangsa.
“Buat masa ini polis menyiasat kes pembunuhan berkenaan sebelum meneliti kes penipuan yang dilakukannya,” katanya.

-Metro

Wednesday 28 September 2016

Masak, makan uri isteri



London: Pernahkah anda membayangkan memakan uri, walaupun uri isteri namun itulah yang dilakukan seorang lelaki di sini, yang kejutan apabila memuat naik video dia memakan uri isterinya.
Bapa dua anak itu, Ross Watson, 32, memasak organ itu selepas isterinya, Heather, 38, melahirkan anak kedua mereka minggu lalu.
Watson dari Durham dekat sini, yang bekerja sebagai ejen insurans berkata, dia berasa amat teringin untuk merasai uri, terutama ia adalah peluang terakhir kerana isterinya tidak akan mengandung lagi.
Dia memuat naik video seluruh proses, mencuci, memotong dan memasak uri berkenaan di Facebook, malah menggalakkan rakan berkongsinya.
“Saya perlu memenuhi keinginan saya atau tidak dapat merasainya selepas ini. Ia sedap,” kata Watson dalam video itu.
Menurutnya, isterinya, Heather, 38, berkata ‘Memang jijik tetapi dia tidak terkejut kerana dia tahu saya suka buat perkara pelik’.
Ramai pengguna media sosial yang terkejut dengan perbuatan Watson mengecamnya dengan kata-kata antaranya, ‘Menjijikkan’ dan ‘Seperti kanibali’.

-Metro

Pasangan zombie ditahan polis

Solekan zombie Steve Lowe (kiri) dan Diane Holden menggemparkan

LONDON 27 Sept. – Pihak polis di Cheshire, barat laut England digemparkan dengan panggilan kecemasan daripada orang ramai tentang seorang lelaki yang berlumuran darah menggigit dan menyerang seorang wanita di sebatang jalan raya di bandar ber­kenaan, minggu lalu.
Menurut laporan Mail Online, kejadian itu berlaku di M62 dan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan menghubungi talian 999 sebaik sahaja melihat pasangan berkenaan.
Namun apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, mereka mendapati lelaki dan wanita terbabit hanyalah pelakon ‘zombie’ yang dalam perjalanan pulang setelah selesai menjalani penggambaran drama dan tidak sempat untuk membersihkan solekan mereka.
Steve Lowe, 60 dan Diane Hol­den adalah pelakon tambahan siri komedi dalam talian Dead Town yang menjalani penggambaran di sini.
Menurut Lowe, insiden selama 15 minit tersebut menjadikan mereka terkenal apabila akhbar tempatan dan internet menyiarkan detik-detik yang melucukan itu.
“Saya telah bermain dram selama 40 tahun dan tidak pernah sekalipun nama saya disiarkan dalam akhbar, tetapi apabila saya memakai pakaian zombie, gambar kami terus viral di internet,’’ katanya.
Jelas Lowe, mereka tidak tahu siapa yang membuat aduan, tetapi hanya meyedari insiden itu selepas ditahan polis semasa dalam perjalanan pulang.
“Polis yang menahan kami terus ketawa sebaik sahaja kami menurunkan cermin tingkap kereta. Dia meminta untuk bergambar dengan kami kerana yakin tiada anggota polis di balai polis yang akan percaya tentang kejadian ini jika tiada sebarang bukti,’’ ujarnya.
Pasangan itu menyifatkan insiden tersebut merupakan hari yang paling melucukan dan menyerlahkan kemesraan penduduk sekitar.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pasangan-zombie-ditahan-polis-1.388000#sthash.BFhOscyg.dpuf

Tuesday 27 September 2016

Pesan piza dapat wang RM21,000



San Jose: Seorang wanita terkejut apabila kotak yang sepatutnya berisi kepak ayam goreng yang dipesannya sebaliknya mengandungi wang tunai berjumlah AS$5,000 (RM20,655).
Selena Avatos perlu membuat pilihan. Dia boleh menyimpan wang berkenaan dan membuat satu pesanan kepak ayam yang amat diperlukan kerana kelaparan.
Bagaimanapun, dia mengetepikan kelaparannya dan memilih untuk bertindak jujur.
Dia memberitahu stesen televisyen ABC 7, dia dapat mengagak wang itu ialah untuk dimasukkan ke dalam akaun bank restoran berkenaan.
Dia menelefon restoran terbabit dan keesokannya seorang pekerja datang mengambil semula wang itu.
Dan sebagai balasan, restoran itu menghadiahkan Selena piza percuma selama setahun. 

- Agensi/Metro

Monday 26 September 2016

Mayat kanak-kanak mati 300 tahun lalu buka mata


Jalisco (Mexico): Mayat seorang kanak-kanak yang mati 300 tahun lalu dilapor membuka matanya baru-baru ini.
Seorang pengunjung Gereja Guadalajara di Jalisco, Mexico, tempat mayat yang diberi nama Santa Inocencia itu disimpan di dalam peti kaca merakam kejadian itu.
Rakaman itu kemudian dimuat naik ke YouTube dan sejak itu ia sudah ditonton hampir sejuta kali.
Sekilas pandang, mayat itu, yang dirawat dengan lilin untuk tujuan pemeliharaan dan keadaan mukanya yang tidak reput sejak 300 tahun lalu, kelihatan seperti patung.
Tetapi, ketika pengunjung berkenaan merakamnya, mayat itu seolah-olah membuka matanya.
Ramai pengguna menyifatkannya sebagai palsu. Tetapi sebahagian lagi mempercayainya.
Banyak kisah yang dinyatakan mengenai bagaimana kanak-kanak itu mati.
Versi popular ialah dia ditikam hingga mati oleh bapanya yang membantah rancangannya untuk menghadiri satu majlis keagamaan dengan rakan sekelasnya. 

- Agensi/Metro

Friday 23 September 2016

Bayi dengan 31 jari jalani pembedahan



Beijing: Seorang bayi berusia enam bulan yang dilahirkan dengan 15 jari tangan dan 16 jari kaki di Ningbo akan menjalani pembedahan untuk membuang jari berlebihan itu.
Secara keseluruhannya, bayi dikenali sebagai Yuanyuan mempunyai 31 jari selain dilahirkan tanpa ibu jari pada tangan dan kakinya, lapor People’s Daily Online.
Semua jarinya tidak simetri, bererti ia perlu dibentuk semula.
Doktor kini dalam proses membuang jari berlebihannya dan membentuk jari yang tinggal dalam pembedahan yang perlu dilakukan dalam tiga peringkat.
Menurut laporan, ibu Yuanyuan juga dilahirkan dengan jari berlebihan, iaitu enam pada setiap tangan serta kaki.
Proses pembedahan dijangka panjang dengan tempoh lama diperlukan untuk pulih.
Disebabkan kos rawatan yang terlalu mahal, hospital berkenaan bermurah hati mengurangkannya untuk keluarga itu.
Yuanyuan dijangka sempat pulih sepenuhnya sebelum dia mula bersekolah.
Ini bukan kes pertama seumpamanya di China. Mei lalu, seorang lagi bayi dinamakan Honghong dilahirkan dengan 15 jari tangan dan 16 pada kakinya. Honghong juga mempunyai dua tapak pada setiap tangan tanpa ibu jari. 

- Agensi/Metro

Thursday 22 September 2016

Kuasa wanita


Fuzhou, China: Seorang wanita mengikat tali di leher teman lelakinya dan membawa kekasihnya bersiar-siar di bandar ini seperti seekor anjing.
Pasangan itu dilihat di sebatang jalan di bandar ini pada Jumaat lalu dan menjadi viral di laman sosial di China.
Beberapa gambar tersebar di Internet menunjukkan wanita itu berjalan sambil memegang tali diikat di leher teman lelaki yang merangkak seperti anjing.
Wanita itu juga dilihat bercakap dan mengusap kepala lelaki berkenaan.
Orang ramai yang kehairanan mula mengerumuni pasangan itu untuk merakamkan gambar.

-Metro



Wednesday 21 September 2016

Ibu dakwa anak disunat oleh jin



Pangandaran: Seorang wanita mendakwa anaknya berusia tiga tahun dikhatankan oleh jin.
Wanita berkenaan, Ani, 38, yang tinggal bersama suaminya Koswatra di Kampung Bojongsalawe dari daerah Pargi, Jawa Barat berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 2 pagi minggu lalu, anaknya, Alparo tiba-tiba menangis sambil memegang kemaluannya.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa. Saya hanya menepuknya untuk menidurkannya semula,” kata Ani.
Menurutnya, seperti biasa, dia bangun awal pagi untuk mandi dan solat Subuh.
“Ketika mandi, anak saya memanggil saya sambil menunjukkan kemaluannya yang berdarah. Saya sungguh terkejut. Suami saya juga terkejut. Apabila diperiksa, nyata kemaluannya sudah di sunat,” kata Ani.
Menurut Ani, dia dan suaminya kemudian membawa Alparo menemui seorang pembantu perubatan di kampung mereka.
“Dia mengesahkan Alparo memang sudah dikhatan dan hasilnya sungguh memuaskan. Tidak puas hati, kami membawa anak kami untuk berjumpa dengan orang paling tua di kampung dan kiai. Mereka juga mengesahkan anak kami memang sudah disunatkan, mungkin oleh jin Islam,” kata Ani.

 - Agensi/Metro

Tuesday 20 September 2016

Nasi goreng cetus debat





Jakarta: Tulisan dalam Twitter oleh bekas pemain bola sepak England Rio Ferdinand mengenai nasi goreng yang dikatakannya makanan berasal dari Singapura mencetuskan kemarahan penduduk Indonesia yang mendakwa ia makanan milik rakyat negara itu.
Ferdinand menulis mengenai nasi goreng ketika berada di Singapura untuk menyaksikan perlumbaan Formula One baru-baru ini dalam Twitter dengan gambarnya bersama sepinggan makanan itu dan komennya berbunyi: “Nasi goreng untuk makan tengah hari.. makanan tempatan #Singapura.”
Tulisannya mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengikut Twitternya di Indonesia.
“M8 (Ferdinand), nasi goreng ialah makanan asal Indonesia. Tidak ada ‘nasi’ dan ‘goreng’ di Singapura,” tulis Agung Prasetyo sementara beberapa yang lain mempelawa bekas bintang bola sepak Manchester Uniterd itu datang ke Indonesia dan menikmati apa yang mereka dakwa nasi goreng sebenar.
Tulisan mereka mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen di Singapura dan Malaysia dengan mereka berkata, nasi goreng boleh didapati di kebanyakan negara di rantau ini, bukan sahaja di Indonesia.
Rakyat Singapura khususnya menyelar tulisan warga Indonesia itu dengan berkata, ia jauh bertentangan dengan keengganan mereka untuk tidak mahu mengaku Indonesia menjadi punca jerebu yang melanda republik berkenaan setiap tahun.
“Ohhh nasi goreng mengaku dia punya tetapi jerebu tidak mahu mengaku,” tulis seorang pengguna Twitter @HarrisBRosli.
Sebahagian penduduk Indonesia memang terkenal mengada-ngada kerana mengaku apa sahaja yang ada di negara jirannya di Malaysia dan Singapura sebagai haknya, baik makanan mahupun budaya.
Pada 2009, mereka mengadakan tunjuk perasaan di luar kedutaan Malaysia di Jakarta selepas menuduh Kuala Lumpur menciplak budaya rakyat negara itu apabila tarian tradisional Barongan muncul dalam iklan mempromosikan pelancongan di Malaysia.
Perkataan seperti jamu dan batik yang digunakan di Malaysia juga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat negara itu.

-Metro

Monday 19 September 2016

Suami potong, larikan hidung




New Delhi: Seorang wanita cacat seumur hidup selepas suaminya memotong hidungnya kerana keluarganya tidak mampu membayar wang hantaran.
Kamlesh Rathore, 25, dari Shahjahanpur, Uttar Pradesh, berkata, suami yang dikahwini sejak lapan tahun lalu, Sanjeev Rathore, 27, mendesak bayaran Rs 50,000 (RM3,085) itu sejak hari mereka berkahwin.
“Dia mendesak saya setiap hari untuk wang itu. Saya berulang kali memberitahunya ayah saya miskin dan tidak mungkin mampu membayar jumlah itu tetapi tidak diendahkannya.
“Disebabkan itu dia sering memukul saya dan mengancam memotong hidung saya. Saya dibelasah menggunakan tali pinggang, kasut serta kayu dan selalu diseksa.
“Dia yang kaki botol menuduh saya bekas pelacur dan mengugut menjual saya. Sepanjang lapan tahun perkahwinan kami memang saya selalu didera,” katanya.
Pada 14 September lalu, dia diherdik Sanjeev ketika sedang masak.
“Tiba-tiba ibu dan bapa mentua menerpa saya dari belakang manakala suami terus mengambil pisau dan memotong hidung saya.
“Malah dia sempat berkata ‘Beginilah rupa kamu sekarang sampai bila-bila’ sebelum mereka semua melarikan diri,” katanya. 

- AP/Metro

Friday 9 September 2016

Mufti Arab Saudi label pemimpin Iran kafir



DUBAI – Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al Al-Asheikh dalam satu kenyataan yang disiarkan semalam menyatakan bahawa pemimpin musuh serantaunya, Iran sebagai kafir.
Beliau berkata, pemimpin Iran menganggap pengikut Sunnah sebagai musuh mereka.
Beliau memberitahu demikian sebagai mengulas komen pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang mengkritik pengurusan haji oleh Arab Saudi dan mencadangkan negara-negara Islam supaya mempertimbangkan untuk menamatkan kawalan Arab Saudi ke atas ibadat haji.
Ketika ditanya tentang kenyataan Ayatollah pada Isnin lepas, Abdul Aziz berkata, beliau tidak terkejut dengan perkara itu.
“Kita perlu faham bahawa mereka (pemimpin Iran) bukan beragama Islam. Kebencian mereka terhadap orang Islam sudah lama berlaku,” kata Abdul Aziz yang dipetik laman berita, Arab News.
Beliau berkata bahawa pemimpin Iran adalah “pengikut magus”, terma yang merujuk kepada agama majusi yang dipegang kuat empayar Parsi sehingga kedatangan Islam 13 abad lalu.
Kenyataan Abdul Aziz mendapat respons negatif Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif yang mengkritik sekolah Wahabi di Arab Saudi. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0908&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4Jj1JUTOb 

Ibu mentua kejam



New Delhi: Seorang wanita hamil dicurahkan asid pada perutnya oleh ibu mentua sendiri dalam usaha membunuh bayi dikandungnya selepas ramalan tukang tilik mengatakan ia perempuan.
Dalam kejadian pada 20 Ogos lalu, S Girija, 27, dari Nellore, timur India, rebah selepas ibu mentua dan kakak iparnya mencurahkan asid pada kandungannya susulan tukang tilik mendakwa bayi keduanya itu juga perempuan.
Girija sudah mempunyai anak perempuan berusia 18 bulan hasil perkahwinan dengan suaminya pada Ogos 2014.
Menceritakan kejadian itu, Girija berkata, ibu mentuanya sering memarahinya dan masih mendesaknya supaya membayar wang hantaran.
“Beberapa hari sebelum kejadian ibu mentua memanggil tukang tilik datang ke rumah.
“Sebaik diberitahu anak kedua ini juga perempuan, ibu mentua mula memukul saya dan memaksa saya menggugurkan kandungan.
“Suami berulang kali cuba melindungi saya dan meminta ibunya mendiamkan isu berkenaan.
“Sebaliknya, ibu mentua membuat laporan polis terhadap saya dan suami mendakwa kami memukulnya kerana berebut harta,” katanya.
Girija berkata, ibu mentua dan kakak iparnya mengambil kesempatan menyerangnya ketika suaminya keluar, namun dia sempat menyelamatkan diri dan lari dari rumah itu.
Polis mengesahkan ibu mentua mangsa melarikan diri, sementara suami dan bapa mentuanya yang tidak dinamakan dalam laporan ditangkap atas cubaan membunuh.
Sementara itu, pasukan perubatan berkata, Girija mengalami luka terbakar teruk lebih 30 peratus pada badannya.

-Metro

Thursday 8 September 2016

Pengsan selepas gaduh mulut 8 jam



Pengsan selepas gaduh mulut 8 jam
SHAANXI - CHINA. Akibat bertengkar selama 8 jam tanpa henti bawah cuaca panas terik, dua orang wanita pengsan di tepi jalan di bandar Angkang.
Menurut laporan Dailymail, kedua-dua wanita separuh abad tersebut bertengkar tentang hutang bermula pada jam 2 petang waktu tempatan.
Seorang saksi memberitahu mulut salah seorang wanita terbabit berbuih.
Kedua-dua wanita berkenaan juga dilaporkan tidak menjamah sebarang makanan atau meminum air sepanjang pertengkaran tersebut.
Mangsa telah dibawa ke hospital dan dirawat namun keadaan terkini mangsa gagal diketahui.

-Sinar

Budak tak gentar perompak berkapak


Auckland: Seorang budak perempuan berusia enam tahun digelar kanak-kanak paling berani di negara itu selepas tindakan beraninya berdepan perompak bersenjatakan kapak di kedai bapanya dan membawa pekerja ke tempat selamat.
Dalam kejadian petang Isnin lalu, kedai elektronik milik Suhail Patel diceroboh enam perompak yang turut mengancam kakitangannya menggunakan kapak.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan anak Patel, Sarah lari dan terjatuh sebelum meluru ke arah perompak memegang kapak yang sedang mengancam seorang kakitangan.
Lelaki terbabit yang nyata terkejut terpaku dan Sarah mengambil peluang itu untuk berlari serta menarik pekerja lain keluar dari premis itu.
Ketika ditemu ramah TVNZ, Patel berkata, dia amat bangga dengan Sarah.
“Dia sungguh berani. Memang saya sangat bangga dengannya.
“Mungkin dia menyangka mereka mahu memukul pekerja terbabit dan berusaha membantunya.
“Sebenarnya kami tidak tahu peranannya sehingga melihat rakaman CCTV,” katanya.
Katanya, Sarah masih terkejut dengan kejadian itu tetapi semakin pulih.
Perompak terbabit kemudian melarikan diri menaiki kereta, tetapi lima yang semuanya berusia 16 tahun berjaya ditahan. 

- Agensi/Metro

Monday 5 September 2016

Makanan ayam disangka daging lembu


Bhopal: Kumpulan pelampau Hindu membakar sebuah trak membawa makanan ayam dan memukul pemilik kenderaan itu selepas mereka mengesyakinya membawa daging lembu.
Kejadian berlaku di Kampung Zhora, 40 kilometer dari bandar Bhopal, apabila lori berkenaan yang mengalami kerosakan terpaksa berhenti untuk mendapatkan bantuan mekanik.
Bagaimanapun, bau tulang dan organ haiwan seperti tali perut yang digunakan untuk membuat makanan ayam itu menimbulkan keraguan penduduk tempatan yang rata-ratanya pelampau Hindu.
Mereka mengesyaki trak berkenaan membawa daging lembu dari Bhopal.
Pelampau Hindu itu kemudian menyerang pemilik trak, Rajesh Jain sebelum membakar kenderaan berkenaan.
Polis berkata, mereka menangkap dua pelampau berusia 20-an tahun sementara berusaha mencari beberapa orang lagi yang terbabit dalam serangan itu.
Penganut Hindu menyembah lembu yang mereka anggap sebagai ibu kerana memberi susu. Kebanyakan negeri di India mengharamkan penyembelihan atau memakan daging haiwan itu. 

- Agensi/Metro

Friday 2 September 2016

Bayi makan ular hidup-hidup


Serang (Indonesia): Seorang bayi berusia 18 bulan kini jatuh sakit selepas kanak-kanak itu makan seekor ular yang masuk ke dalam rumahnya di sini baru-baru ini.
Ibu bayi berkenaan, Arsanah berkata, kejadian berlaku kira-kira dua minggu lalu apabila dia melihat anak perempuannya mengunyah sesuatu.
“Apabila saya membuka mulutnya saya terkejut apabila melihat ada ekor ular di dalam mulut anak saya.
“Saya terus menarik ekor itu tetapi hanya bahagian ekor ular itu yang tinggal,” katanya.
Menurutnya, selang beberapa hari anaknya mengalami masalah membuang air besar dan sering muntah-muntah.
“Anak saya sering muntah dengan mengeluarkan sedikit darah dan sisik dipercayai sisik ular,” jelasnya.
Kata Arsanah, dia bersama suaminya tinggal di sebuah rumah kecil di tengah sawah dan mereka sering terlihat ular di kawasan itu.
Selepas keadaan anaknya semakin lemah, Arsanah membawa bayinya ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Dradjat Prawiranegara di sini.
“Anak saya terpaksa dirawat di hospital selama beberapa hari kerana keracunan dan masalah membuang air besar.
“Kini keadaan anak saya bertambah baik tetapi saya perlu kembali ke hospital untuk rawatan susulan,” jelasnya. 

- Agensi/Metro

Thursday 1 September 2016

Hidup lepas jadi abu


Chihuahua, Mexico: Seorang lelaki warga emas mengejutkan keluarganya apabila tiba-tiba pulang ke rumah kira-kira dua bulan mayatnya dibakar selepas diisytiharkan meninggal dunia oleh polis.
Lelaki berkenaan, Miguel Angel Gomar De Luna, 74, dilaporkan melarikan diri dari rumah jagaan orang tua dan hidup secara gelandangan serta meminta sedekah bagi membeli arak.
Selepas beberapa bulan mencari lelaki itu ketika musim sejuk keluarga De Luna hampir berputus asa untuk menemuinya.
Tidak lama selepas itu, polis menghubungi keluarga De Luna dan memberitahu mereka menemui mayat seorang lelaki yang menepati ciri-ciri lelaki itu.
Bagaimanapun, anak perempuan De Luna, Lucero Gomar Ramos tidak dapat mengecam mayat itu yang sudah mereput.
Namun, Lucero tetap menandatangani surat pengesahan dan membawa mayat ‘bapanya’ pulang untuk upacara pembakaran mayat.
Beberapa hari kemudian mayat lelaki itu dibakar dan abu mayatnya dibawa pulang oleh keluarga De Luna.
Dua bulan selepas itu, keluarga De Luna sekali lagi menerima kejutan apabila polis memaklumkan bahawa ahli keluarga mereka ditemui masih hidup.
Polis kemudian menghantar De Luna pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan kepala berbalut akibat kecederaan.
“Kami terkejut dan hampir tidak percaya apabila polis memberitahu mereka menemui De Luna berlegar-legar di tepi jalan,” kata Lucero.
Dalam satu wawancara televisyen De Luna berkata: “Mereka sangka saya sudah mati, tetapi saya sebenarnya hanya berjalan-jalan.”

-Metro