Tuesday 26 April 2016

Durian Belanda makin digilai



Alor Gajah: Benih pokok durian Belanda dikesan mendapat sambutan menggalakkan sejak awal tahun ini berikutan tersebarnya berita mengenai keberkesanannya membunuh sel kanser.

Peniaga buah dan sayur di Kampung Pulau, Kamarul Ariffin Mohd Yusof, 32, berkata, sejak berita mengenai kemampuan durian Belanda memerangi penyakit berkenaan tersebar luas melalui media sosial semakin ramai membeli benih pokok itu di gerainya.

“Saya membeli benih pokok durian Belanda dari pembekal di Ayer Hitam, Johor. Sejak awal tahun ini, saya jual purata 11 benih seminggu durian Belanda pada harga RM7 sepokok.

“Ia berbeza dengan keadaan sebelum ini. Amat kurang pelanggan membeli benih durian Belanda kerana mereka menganggapnya tidak mempunyai khasiat untuk kesihatan,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di gerainya di kampung itu semalam.

Dia berkata, berdasarkan pengalamannya menanam pokok berkenaan, dalam tempoh tiga tahun, ia sudah mengeluarkan bunga untuk berbuah.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada aspek penjagaan pokok berkenaan dan jika ia sering dibaja, ia mampu tumbuh dengan subur,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata, dia pernah dikejutkan dengan tindakan seorang pelanggan memberikan kepadanya durian Belanda goreng yang seakan-akan sama seperti buah sukun goreng.

“Rasanya lazat tetapi kita harus berhati-hati kerana bimbang tertelan bijinya. Selain itu, ada pelanggan yang memberitahu saya daun durian Belanda boleh direndam dalam air dan dilumurkan pada kepala sesiapa yang demam untuk mengurangkan sakit kepala,” katanya.

Ekstrak daripada durian Belanda dikatakan mampu membunuh sel kanser seperti kanser payu dara, prostat, paru-paru dan pankreas. Ia mampu memperlahankan sel kanser berbanding ‘Adriamycin,’ iaitu ubat kemoterapi yang biasa digunakan.

Antara kaedah menjadikan durian Belanda sebagai bahan untuk mengubati kanser ialah dengan dengan merebus 18 helai daun dengan tujuh cawan air.

Tempoh merebus ialah selama 15 minit dengan api sederhana dan air rebusan itu dijadikan minuman tambahan. - Metro

No comments: