Tuesday, 19 April 2016

Raja seorang mekanik



Raja sambilan dan mekanik sepenuh masa. Itulah kehidupan yang dilalui Cephas Bansah yang dilahirkan di Ghana tetapi kini menetap di Ludwigshafen, Jerman. Bansah adalah raja di wilayah Gbi di timur Ghana berhampiran sempadan Togo, terdiri daripada 300,000 orang Ewe.

Walaupun ketua orang Ewe, dia juga bekerja sepenuh masa sebagai mekanik dan mentadbir kerajaannya melalui perkhidmatan sidang video, Skype. Bansah, 67, juga menghabiskan kebanyakan masanya bergelumang dengan pakaian berminyak dan membaiki kereta.

Bansah membesar di Ghana, dia berpindah ke Jerman pada 1970 sebelum dilantik menjadi raja. Dia berhijrah ke Jerman apabila datuknya yang ketika itu raja Gbi mahu dia belajar di negara itu sebagai mekanik. Selepas tamat pengajian dan mendapat taraf kewarganegaraan, Bansah menetap dan membuka bengkelnya sendiri di Ludwigshafen. Bansah menjalani kehidupan dengan tenang sehinggalah pada 1987 apabila dia menerima kiriman faks yang mengubah hidupnya.

Datuknya, Raja Hohoe meninggal dunia. Bapa dan abang sulungnya dianggap tidak layak untuk memerintah kerana kidal, sesuatu yang dianggap orang Ewe sebagai ‘kotor,’ menjadikan Bansah pengganti datuknya dan juga raja baru. Bansah kini menetap di Ludwigshafen bersama isterinya Gabriele Bansah, 57, serta dua anak Carlo dan Katharina.

Dia masih meneruskan pekerjaan sebagai mekanik dan berperanan sebagai raja. Bansah menggunakan Skype untuk mentadbir rakyatnya dan masih melawat Ghana sehingga lapan kali setahun. Dia turut terbabit dalam beberapa projek bantuan termasuk membina sekolah dan kini mengumpul dana untuk membina penjara wanita.

Bagi membiayai projek itu, Bansah menjual minuman bir jenamanya sendiri, iaitu Akosombo, walaupun dia sendiri tidak pernah meminum alkohol. Jurugambar Jerman, Christina Czybik diberi peluang menghabiskan seharian bersama raja itu dan merakam gambar menarik kehidupannya. Menurut Christina: “Campuran budaya sesuatu yang menarik.

Bansah memberitahu saya, orang Ghana mempunyai pegangan agama yang kuat.“Mereka kebanyakannya beragama Kristian, tetapi ramai juga yang mengamalkan voodoo tetapi bukan dengan tujuan jahat.“Raja Bansah mempunyai kuil voodoo kecil di ruang tamu rumahnya dengan papan tanda kecil ditulis, ‘Micheal Schumacher akan pulih tidak lama lagi dan cepat.’

“Dia turut menjemput saya menyertai rombongan ke Ghana September ini, dan saya sudahpun menempah tiket penerbangan,” katanya. Walaupun Ghana mengamalkan sistem demokrasi, raja tradisional masih mempunyai peranan penting sebagai penjaga rakyat.



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/131144#sthash.r64szbZ2.dpuf

No comments: