Thursday 21 April 2016

Lelaki ditusuk pencangkuk daging terima pampasan



Tauranga, New Zealand: Sebuah kilang memproses daging, di sini semalam diarah membayar pampasan AS$55,000 (RM212,622) kepada seorang pekerja yang cedera selepas mukanya ditusuk pencangkuk daging dua tahun lalu. Mahkamah daerah Tauranga mengarahkan syarikat Affco New Zealand membayar pampasan kepada Jason Matahiki, 45, kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan.

Syarikat berkenaan sebelum ini enggan membayar pampasan kepada Matahiki kerana mendakwa kemalangan pada Ogos 2014 itu berpunca daripada kecuaian lelaki berkenaan. Matahiki berkata, kejadian itu berlaku ketika dia membersihkan besi pencangkuk daging di kilang berkenaan.

Katanya, secara tiba-tiba mesin berkenaan bergerak menyebabkan besi pencangkuk itu menusuk belakang kepalanya sehingga tembus ke pipi. Lebih mengerikan lagi Matahiki tergantung selama satu jam di besi pencangkuk berkenaan sebelum diselamatkan pasukan paramedik.

Matahiki dibawa ke hospital dalam keadaan parah, tetapi berjaya diselamatkan kerana pencangkuk itu tidak mengenai organ penting.“Saya tidak berapa mengingati kemalangan itu. Saya hanya ingat datang bekerja dan terjaga ketika berada di hospital,” katanya. Walaupun kemalangan itu tidak meragut nyawanya, penderitaan dialaminya selepas kejadian itu sukar digambarkan.“Proses pemulihan saya bagaikan satu jenaka buruk.

“Saya sering mengalami mimpi ngeri, sakit kepala, sukar tidur dan kadangkala sukar makan,” jelasnya. Menurutnya, dia kecewa dengan bekas majikannya yang dianggapnya tidak berhati perut kerana enggan mengakui kesalahan mereka. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132257#sthash.QPIafexs.dpuf

No comments: