Friday 4 August 2017

Tak dapat terima anak tampan

Beijing: Seorang wanita memfailkan saman terhadap sebuah hospital kerana dipercayai tertukar bayi 28 tahun lalu, dalam kejadian yang cuma disedari selepas mereka membuat ujian DNA disebabkan suaminya curiga anak itu bukan anaknya kerana dia terlalu kacak.
Wanita dikenali sebagai Zhang itu berkata, perkara berkenaan cuma diketahui selepas bekas suaminya mendesaknya melakukan ujian DNA kerana mengesyaki dia curang sehingga melahirkan anak yang sangat tampan.
Isu itu mencetuskan masalah dalam rumahtangga mereka sehingga pasangan itu bercerai pada 2004 kerana tidak tahan asyik disoal mengenai rupa paras anak mereka.
Zhang percaya anaknya tertukar selepas dilahirkan pada Februari 1989 di hospital di Shanghai.
Kan Kan News melaporkan, bekas suami Zhang yang masih tidak berpuas hati mendesaknya melakukan ujian DNA pada 2011.
Keputusannya tetap sama, si anak tidak ada pertalian dengan pasangan berkenaan.
Anak mereka itu, Wang Ye berkata: “Saya masih tidak dapat menerimanya. Kami hidup sebagai satu keluarga untuk begitu lama.”
Zhang menuntut ganti rugi 1.3 juta yuan (RM828,000) dari hospital berkenaan dan pada masa sama berusaha untuk menjejaki anak kandungnya dan mencari ibu bapa kandung Wang Ye.
Sementara itu, hospital terbabit dalam kenyataan pada 28 Julai lalu berkata, ia sudah membentuk pasukan untuk menyiasat kes berkenaan.
Pihak hospital juga bersedia bertanggungjawab jika siasatan mendapati ia melakukan kesilapan.

-Metro

No comments: