Monday 7 August 2017

Wanita boleh berbikini di Arab Saudi?



Riyadh: Arab Saudi baru-baru ini melancarkan pelan untuk membangunkan sebahagian pantai barat negaranya menjadi pusat peranginan Laut Merah.
Projek itu akan membongkar potensi pantai sepanjang 200 kilometer dan 50 pulau batu karang dengan pembangunan hotel, kediaman mewah di satu zon pelancongan.
Pembinaan, termasuk sebuah lapangan terbang baru dijadual bermula 2019 sementara pusat peranginan itu akan ‘ditadbir menggunakan undang-undang yang setara dengan standard antarabangsa,’ kata kerajaan Saudi.
Ini mungkin bermakna wanita akan dibenarkan mandi dan berjemur dengan hanya memakai bikini, sesuatu yang tidak pernah dilihat dan tidak pernah dijangka akan berlaku di negara tempat terletaknya dua tempat paling suci umat Islam.
Pelan itu ialah sebahagian daripada projek Wawasan 2030 yang diketuai oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan dirancang untuk menamatkan penggantungan ekonomi Saudi pada minyak.
“Projek Laut Merah akan menjadi destinasi pelancongan mewah. Ia akan meletakkan standard baru bagi pembangunan lestari dan menempatkan Arab Saudi dalam peta pelancongan antarabangsa pada masa akan datang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Tabung Pelaburan Awam (PIF) Saudi.
Untuk tujuan itu, sekatan terhadap visa pelancong akan dilonggarkan di zon itu walaupun setakat ini tidak jelas sama ada pengharaman arak di kawasan itu juga akan ditarik balik.
Fasa pertama projek itu dijangka siap menjelang 2022 dengan jumlah pengunjung diramalkan mencecah sejuta setahun menjelang 2035.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), PIF akan menyumbang modal awal sementara mencari rakan kongsi dalam kalangan syarikat utama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti. 

- Agensi/Metro

No comments: