Wednesday 9 August 2017

'Tak kisah bayar RM1,200'

Segamat: Meskipun harganya mencecah RM400 sebiji, durian Musang King masih menjadi pilihan dan buruan peminat tegar raja buah itu sejak kebelakangan ini.
Ditawarkan RM90 sekilogram, durian Musang King mempunyai berat purata antara tiga hingga 4.5 kilogram itu tetap dibeli pelanggan yang ingin menikmati kepuasan rasanya yang berkualiti tinggi.
Pemborong di Projek Pembangunan Kluster Tanaman Durian Jementah, Samsari Ahmad berkata, sejak dua minggu lalu pelbagai jenis durian termasuk berkualiti tinggi ditanam pekebun dalam kalangan penduduk setempat seperti Musang King, Duri Hitam, 101 dan durian kampung mulai membanjiri pusat pengumpulan di sini untuk dipasarkan.
Selain itu katanya, ada pelanggan yang mencari durian Duri Hitam yang harganya kini mencecah sehingga RM120 sekilogram, namun ia sukar diperoleh disebabkan kurang menjadi pada musim ini disebabkan faktor cuaca tidak menentu di sekitar Segamat sejak beberapa bulan lalu.
“Saya pernah didatangi pelanggan yang sanggup membayar sehingga RM1,200 untuk mendapatkan beberapa biji durian Musang King dan ini menunjukkan wang bukan penghalang bagi mereka yang benar-benar gemarkannya.
“Peminat durian mahu menikmati setiap ulas Musang King yang lengkap dengan rasa lemak, manis, sedikit pahit serta warna kekuningan emas selain tebal isinya boleh menenggelamkan duit siling 50 sen,” katanya ketika ditemui di Pusat Pembangunan Kluster Tanaman Durian di Kampung Paya Jakas, semalam.

-Metro

No comments: