Tuesday 9 May 2017

Mohon guna sperma mendiang kekasih



SEORANG wanita di Queensland, Australia bercadang kembali ke mahkamah untuk meminta kebenaran bagi menggunakan sperma teman lelakinya yang meninggal dunia, tahun lalu.
Ayla Cresswell, 24, diberi kebenaran tahun lalu oleh Hakim Mahkamah Agung, Martin Burns untuk menyimpan 'testis dan spermatozoa' teman lelakinya, Joshua Davies yang meninggal dunia pada 23 Ogos 2016.
Ia kini disimpan oleh pertubuhan persenyawaan in vitro (IVF) sementara menunggu permohonan tahap kedua oleh Cresswell.
Peguam Cresswell, David Riwoe memberitahu akhbar The Courier Mail bahawa mereka akan memfailkan permohonan tahap kedua itu di Mahkamah Agung menjelang Julai.
"Kami masih dalam proses menyiapkan afidavit untuk tahap kedua ini," katanya.
Sementara itu, bapa Davies, John, memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa dia dan isterinya, Ionie menyokong sepenuhnya permohonan Cresswell itu.
"Walaupun Joshua tidak pernah membincangkan hal ini, saya percaya sepenuhnya dia bangga Ayla dapat melahirkan anaknya," katanya.
Cresswell juga memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa ibu bapanya turut menyokong keputusannya untuk melahirkan anak Davies.

-Metro

No comments: