Friday 26 May 2017

Cari susu ibu mati


New Delhi: Seorang anak kecil dirakam cuba menghisap susu ibunya tanpa menyedari wanita itu sudah meninggal dunia.
Kejadian itu dirakam berhampiran landasan kereta api di Damoh, Madhya Pradesh, semalam.
Peristiwa menyayat jati itu turut disaksikan anggota polis yang menyiasat laporan mengenai penemuan mayat di tempat kejadian.
Mereka juga terkejut menemui bayi berusia 17 bulan itu menangis dan cuba menyusu.
Saksi, Monu Balmiki, 27, berkata: “Kami melihat seorang wanita terbaring berhampiran landasan kereta api dan memaklumkan polis.
“Tetapi apabila kami menghampirinya kami melihat anaknya cuba menghisap susunya sambil menangis. Kami begitu sebak melihat kejadian itu.”
Ketua polis tempatan, Nand Ram berkata: “Kanak-kanak itu menangis dan cuba menghisap susu ibunya selepas wanita itu tidak memberi tindak balas.
“Kejadian itu amat mengejutkan dan menyayat hati. Kami tidak pernah melihat perkara seperti itu,” kata Ram.
Balmiki berkata, dia dimaklumkan mayat wanita itu sudah dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
“Kami mengesyaki kematiannya akibat kemalangan kerana telinga dan hidungnya berdarah.
Sementara itu, anak wanita terbabit dibawa ke hospital untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kepada jabatan kebajikan.
Jurucakap hospital berkata: “Kanak-kanak itu kesejukan, tetapi tiada masalah kesihatan lain.
“Kami akan memastikan dia terjaga dan buat masa ini kanak-kanak itu diserahkan ke rumah anak yatim sehingga keluarganya ditemui.”

-Metro

No comments: