Monday 22 May 2017

Demi anak, ibu bagi rahim




SEORANG wanita berusia 43 tahun mendermakan rahimnya kepada anak perempuannya yang berusia 21 tahun melalui pembedahan pertama seumpamanya di India dengan harapan anaknya yang dilahirkan tanpa rahim, berpeluang merasai pengalaman melahirkan anak.
Pembedahan sukar selama lapan jam itu dilakukan di Pune, selatan India, Khamis lalu, oleh sepasukan doktor dan pembantu di Hospital Penjagaan Galaxy Pune diketuai pengarah perubatan hospital itu, Dr Shailesh Puntambekar.
Portal berita kfor.com yang memetik CNN melaporkan, Shailesh berkata, pembedahan itu amat sukar kerana banyak saluran darah utama perlu disambung manakala saluran darah lain pula kecil dan pendek.
Beliau berkata, pesakit perlu menunggu setahun bagi membolehkan luka pembedahan sembuh serta tubuhnya menyesuaikan dengan rahim berkenaan
sebelum boleh cuba hamil melalui IVF.
Menurut Dr Mats Brannstrom, seorang profesor perubatan di Universiti Gothenburg, Sweden, hanya enam bayi dilahirkan melalui rahim pindahan dengan dua oleh ibu yang sama.
Brannstrom mengetuai pasukan yang melakukan pembedahan pemindahan pertama yang berjaya pada 2014 selepas 11 pembedahan lain oleh pasukannya serta pasukan lain di seluruh dunia, gagal, membolehkan bayi pertama dilahirkan di Sweden.
Semua lima lagi bayi hasil pembedahan yang dilakukan pasukan perubatan Sweden dan dunia kini menunggu hasil pembedahan di India itu.
Pembedahan pemindahan rahim yang berjaya amat jarang kerana prosesnya yang kompleks serta rumit dan pembedahan yang pertama di India itu ialah percubaan yang ke-30 di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Brazil, Sweden, China, Jerman, Serbia, Czechoslovakia, Arab Saudi dan Turki.
Menurut Brannstrom, pembedahan itu pada masa depan boleh lakukan terhadap wanita yang menghidap penyakit rahim atau lelaki yang menukar jantina membolehkan mereka hamil dan melahirkan anak.
“Namun masuk banyak penyelidikan perlu dilakukan dan saya menjangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun sebelum boleh menjadi prosedur klinikal,” katanya.

-Metro

No comments: