Friday 19 May 2017

Peluk mayat anak dipenuhi ulat



BAPA mangsa rogol yang dibunuh kejam, terpaksa membersihkan ratusan ulat pada tubuh anak gadisnya yang berusia 22 tahun ketika mengenal pasti mayat yang ditemui ditinggalkan di tengah padang tepi hutan, di bandar Sonipat, kira-kira 40 kilometer di utara New Delhi, India, 9 Mei lalu.
Sebelum kejadian, wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerja bahagian pembungkusan sebuah syarikat farmasi apabila diculik sekumpulan lelaki, termasuk seorang yang ditolak lamaran untuk mengahwini wanita berkenaan.
Bapa mangsa, Mahender Singh, 45, berkata dia pergi ke Post Graduate Institute of Medical Sciences (PFGIMS) di Rohtak, pada 12 Mei lalu, tiga hari selepas anaknya hilang untuk mengenal pasti mayat anaknya itu.
“Mayatnya sukar dikenal pasti. Sebaik tiba saya dapati mayatnya berada dalam tong, tiada siapa meletakkannya di atas katil atau pengusung.
“Ada 200 ulat pada tubuhnya dan saya peluk sebelum angkat mayatnya ke atas pengusung. Doktor mengambil masa empat jam untuk membuang ulat terbabit,” katanya.
Menurutnya, dia mengenal pasti mayat anaknya itu berdasarkan pakaian dan rantai yang diberi ibunya beberapa hari sebelum kejadian.
Selain kepala dan mukanya pecah akibat dihentak benda keras, dipercayai bata, bedah siasat mendapati organ dalaman serta kemaluan mangsa rosak teruk. Tubuh mangsa juga didapati digilis dengan kenderaan.
Menurut Daily Mail, doktor juga menemui dawai dimasukkan ke dalam mulutnya manakala sebahagian rambutnya dicabut.
Pengarah Jabatan Forensik PFGIMS, Dr Suresh Kumar Dhatterwal, berkata mayat mangsa ‘dimusnahkan dengan amat kejam’ bagi menghapuskan identitinya.
“Tempurung kepalanya pecah teruk. Kami percaya beberapa lelaki merogol dan membunuhnya,” katanya.
Seorang lelaki yang dikenali keluarga mangsa, Sumit Kumar, 25, sudah ditahan bersama seorang rakannya.
Sumit tinggal berhampiran kampung keluarga mangsa dan sudah beberapa kali lamarannya untuk mengahwini mangsa ditolak wanita itu serta keluarganya.
Ibu mangsa, Baed Kaur, 40, yang mengancam membunuh diri jika anaknya tidak mendapat pembelaan berkata, anaknya itu meninggalkan rumah pada 8 pagi dan apabila tidak pulang pada sebelah petang, mereka menjadi bimbang.
“Saya dan anak lelaki ke kilang tempatnya bekerja namun sudah ditutup. Kami kemudian membuat laporan polis kehilangannya.
“Esoknya jiran datang memberitahu mereka terbaca dalam akhbar mengenai anak saya dirogol dan dibunuh,” katanya.
Menurut polis, mangsa diculik ketika dalam perjalanan ke tempat kerja oleh Sumit dan rakan-rakannya, memaksa wanita itu minum minuman mengkhayalkan, membawanya ke kawasan hutan, 60 kilometer dari kampungnya sebelum dirogol beramai-ramai dan dibunuh.
Menurut ibunya, anaknya itu mahu menjadi doktor dan bekerja di kilang berkenaan dengan gaji Rs 5,000 (£60) sebulan, bagi mengumpul wang membiayai pelajaran selain membantu keluarganya.
Baed berkata, Sumit mengganggu anaknya itu sejak 12 bulan lalu, mendesaknya menerima lamaran dan tiga bulan lalu, mereka membuat laporan polis menyebabkan keluarga Sumit datang meminta maaf.
“Namun, ibunya pernah mengancam menculik anak saya untuk dikahwinkan dengan Sumit. Anak saya enggan kerana lelaki itu menganggur, tidak beradab dan panas baran,” katanya.
Timbalan Superintendan Polis di Rohtak, Mukesh Kumar, berkata dua lelaki ditahan iaitu Sumit dan Vikas, 21, mengikut Seksyen 302 (dihukum kepada membunuh), 376 A (dihukum kerana merogol), 376 D (merogol berkumpulan) yang akan dibicarakan dalam masa 90 hari.
Bagaimanapun, doktor percaya lebih ramai lelaki terbabit dalam kejadian itu.

-Metro

No comments: