Wednesday 2 July 2014

Iktibar Ramadhan: Tukang kebun yang bijaksana


HAYATILAH ini satu cerita; kisah tukang kebun yang bijaksana; kepintarannya selamatkan pembesar negeri daripada hilang kuasa; ini kisah nasihat dahulu kala, bukannya auta!

Pada suatu hari di suatu zaman, seorang raja mengajukan soalan kepada pembesar negeri (PN).

Titah raja: "Sudah lama mamanda nikmati jawatan, harta dan kuasa. Hari ini, beta bentangkan tiga perkara. Jika gagal, mamanda akan hilang segalanya dan dinyahkan dari negeri beta. Mamanda ada tujuh hari menjawabnya."

Maka PN pun jadi gundah-gulana, makan tak lalu tidur tak lena, berjumpa semua pembantu, anak isteri dan sanak-saudara, meminta tolong cari jawapannya.

Hari demi hari berlalu, fikirannya bercelaru, wajah dan pakaiannya tidak segak macam dahulu.

Pada hari keenam, PN disapa si tukang kebun (TK).

"Hamba nampak tuan sangat sugul. Apakah masalahnya?. Beritahulah, biar hamba cuba-cuba tolong," kata TK.

"Pembesar-pembesar negeri pun tidak mampu selesaikan, ini pula si TK," fikir PN.

Namun, memandangkan waktu terlalu suntuk, suka tidak suka PN terpaksa juga tunduk. Kepada si TK dibentangkan soalan, dengan harapan mendapat jawaban.

"Soalan pertama; raja mahu tahu", kata PN, "Dalam banyak perkara palsu, apakah kepalsuan yang paling besar?

"Itu mudah sahaja. Kepalsuan paling besar adalah dunia. Jika dunia ini sesuatu yang bukan palsu, ALLAH tidak akan memberi segala kemewahan kepada mereka yang mengkufuriNya.

"Pada ALLAH, dunia ini lebih kecil nilainya daripada sebelah sayap seekor nyamuk.

"Apakah kita membawa jawatan, pangkat, harta dan kuasa ketika menemui ALLAH? Kita hanya akan dibalut dengan kain tidak berjahit dan dikebumikan enam kaki dalam tanah.

"Kita akan tinggal segalanya dan membawa amalan, sedekah jariah dan anak-anak yang mendoakan. Bahkan kita akan membawa dosa.

Termenung PN mendengar huraian TK.

"Soalan kedua?" tanya TK. Raja mahu tahu, dalam banyak-banyak kebenaran, apakah yang paling benar?

"Itu mudah," ujar TK. "Jawapannya ialah 'mati'. Semua orang tahu, setiap makhluk akan mati. Yang kufur, malah ateis pun mengakui mati itu benar.

"Tuan, saya dan semua makhluk tidak tahu apakah kita akan mati lima minit, lima hari, lima bulan atau lima tahun dari sekarang, tetapi kita pasti mati apabila tiba giliran kita.

"Betapa malangnya apabila ada yang tipu helah untuk mencapai kehendak nafsu secara salah, maki hamun untuk mendapat jawatan, mengaut harga dan kuasa, sedangkan di penghujungnya kita akan pergi tangan kosong, meninggalkan perbuatan buruk dan nama yang mengaibkan, sedangkan kita membawa dosa untuk dibentangkan di depan ALLAH."

PN sebak. "Soalan ketiga?" tanya TK. "Raja mahu tahu, dalam banyak-banyak perkara yang tinggi, apakah yang paling tinggi di dunia?," kata PN.

"Itu pun mudah," kata TK, cuma tuan balik dahulu, siapkan makanan yang paling tuan gemar dan bawa kepada saya esok."

Bengkeng diarah demikian rupa oleh TK, tetapi kerana tiada pilihan, PN terpaksa akur.

"Tuan makan makanan ini, bukan saya," kata TK apabila PN menghulurkan makanan paling digemarinya kepada TK.

"Sila duduk dan kongsi makanan dengan haiwan ternakan saya ini," kata TK.

Kemarahan PN memuncak, tetapi kerana itu adalah hari terakhir untuk dia menyembahkan ketiga-tiga jawapan kepada raja, maka PN terpaksa menelan ego dan menurut perintah TK.

Setelah habis, TK bertanya: "Tentunya tuan tahu sekarang apa yang paling tinggi".

"Maruah?" tanya PN. "Bukan," jawab TK. "Ego?", tanya PN. "Itu pun bukan," kata TK.

"Jawapannya", kata TK, "ialah matlamat. Bayangkan, fikiran tuan berkecamuk, diri tuan tidak terurus, pakaian tuan kusut. Tuan sanggup meminta bantuan sesiapa sahaja, tidak kira walaupun orang biasa, bahkan tuan lakukan yang bertentangan dengan ego tuan selama ini semata-mata untuk mencapai matlamat tuan agar tuan dapat membentangkan jawaban kepada raja supaya tuan tidak hilang jawatan, harta dan kuasa."

PN mengangguk. Air matanya mengalir mengakui hakikatnya.

-FARUSH KHAN@Sinar

No comments: