Monday 21 July 2014

Wanita makan makanan haiwan


SEORANG pemilik kedai haiwan peliharaan dari Richland, Washington, Amerika Syarikat yang mahu mempromosikan pemakanan sihat untuk haiwan kesayangan bertindak memakan makanan haiwan selama sebulan.

Pada suatu hari, pemilik Paws Natural Pet Emporium, Dorothy Hunter, tiada masa untuk mendapatkan snek ketika dia menyusun rak yang menempatkan makanan anjing di kedainya.

"Saya tidak sempat membeli snek. Jadi, saya makan makanan sihat yang dimakan haiwan peliharaan. Saya melakukannya selama 30 hari," katanya.

Hunter memakan makanan kucing iaitu kepingan ikan salmon dan ayam yang dibekukan selama seminggu. Dia mengikuti diet haiwan itu dengan berdisiplin.

Apabila membandingkan bahan-bahan yang digunakan dalam makanan manusia, dia mendapati corak pemakanan haiwan lebih sihat.

Katanya, manfaat kesihatan memakan makanan haiwan sangat ketara pada dirinya.

"Saya kehilangan berat badan tetapi bukan melakukannya untuk mempromosikan makanan haiwan atau menurunkan berat badan, saya cuma ingin menunjukkan yang saya percayakan produk saya," ujarnya.

Jelasnya, dia tidak kisah dengan rasa kepingan salmon dan ayam yang dibekukan malah dia turut mengeluarkan beberapa produk pilihan makanan haiwan.

Walaupun hanya memakan makanan haiwan, Hunter berkata, dia tetap menggemari kopi bagi memastikan dirinya sentiasa segar dan tidak tidur di tempat kerja.

-Kosmo

No comments: