Monday 14 July 2014

Hutang orang meninggal dunia


SOALAN: Saya ingin bertanya mengenai permasalahan hutang orang yang telah meninggal dunia. Untuk makluman, ibu saya baru sahaja meninggal dunia dan arwah mempunyai hutang dua buah kereta yang belum dilangsaikan. Adakah arwah masih dikira berhutang jika kereta tersebut kami kembalikan semula kepada pihak bank?

JAWAPAN: Permasalahan hutang adalah perkara yang sangat ditegaskan oleh Baginda Nabi SAW seperti peristiwa Baginda tidak mahu solat jenazah ke atas orang yang berhutang dan tidak meninggalkan harta untuk membayarnya.

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan oleh Imam Muslim RA bermaksud: "Akan diampuni orang yang mati syahid semua dosanya, kecuali hutangnya."

Orang yang mati dengan meninggalkan hutang, maka walinya (saudaranya) haruslah menyelesaikan hutang. Jika tidak roh si mati akan tergantung antara langit dan bumi akibat hutang yang belum selesai.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang rohnya berpisah dari jasadnya dalam keadaan terbebas daripada tiga hal, nescaya masuk syurga: (pertama) bebas daripada sombong, (kedua) daripada khianat, dan (ketiga) daripada tanggungan hutang."

Dalam permasalahan sewa beli kereta, kebiasaannya jika membeli dengan kaedah atau sistem syariah, pembeli disaran mengambil insurans yang membolehkan hutang kereta dilangsaikan sekiranya berlaku kematian ke atas tuan kereta.

Namun, tidak semua pembeli yang mengambil pakej ini. Jika hutang itu masih tertunggak, wali atau ahli keluarga hendaklah melangsaikan hutang si mati sepertimana sabda Nabi SAW dari Abu Hurairah: "Jiwa orang Mukmin bergantung pada hutangnya hingga dilunasi."

Mengembalikan kereta kepada pihak bank juga harus disusuli dengan memastikan tiada apa-apa lagi perkara yang bersangkutan hutang. Jika ada, selesaikan agar jelas dan tiada keraguan lagi.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya."

-Kosmo

No comments: