Friday 18 July 2014

Pandangan menarik Dr Mahathir


SEBAGAI tetamu melawat kilang Proton beberapa tahun lalu, mantan Setiausaha Agung Asean dan Felo Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Surin Pitsuwan, berkesempatan berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad. Menceritakan pengalaman itu kepada saya baru-baru ini, Dr Surin berkata beliau terkejut dan hairan apabila Dr Mahathir berkata: “Semua yang anda lihat di kilang ini adalah daripada al-Quran.” Lalu beliau minta penjelasan.

Jelas Dr Mahathir: “Perkataan pertama al-Quran ialah ‘Iqra, bacalah. Tapi apakah yang boleh dibaca oleh orang Islam ketika al-Quran belum ada? Orang Islam pada zaman awalnya mempelajari ilmu yang dikuasai bangsa Yunani, Parsi dan lain-lain. Mereka menterjemah segala ilmu yang diperoleh ke dalam bahasa Arab. Mereka juga menambah baik apa yang dipelajari kerana dalam Islam tiada tegahan. Dalam al-Quran, tiada tertulis, ‘Kamu ditegah daripada mempelajari apa yang tidak ada kaitan dengan agama kita’. Apabila kita membaca, kita mendapat pengetahuan. Ilmu Islam tidak berkisar kepada soal agama sahaja, tapi semua bidang termasuk teknologi, sains dan kejuruteraan. Inilah pengetahuan yang telah kita peroleh daripada ajaran Islam, ‘Iqra dan semua itu telah diterjemah menjadi kilang yang mengeluarkan kereta Proton.”

Dr Surin, yang juga bekas Menteri Luar Thai, mengakui beliau cukup terkesan dengan jawapan Dr Mahathir. Seterusnya, Dr Mahathir menerangkan: “Kalau kita membaca al-Quran dan kita mengkaji hadis-hadis yang sahih dan bukan sembarangan, kita akan dapati bahawa ajaran yang terdapat dalam al-Quran itu cukup baik, pragmatik dan sesuai untuk mana-mana zaman. Sehingga ke zaman sekarang pun ia cukup sesuai. Yang menjadi masalah ialah tafsiran dibuat, kadang-kadang ditumpukan kepada form (bentuk) bukan substance (isi).”

Sebagai contoh, Dr Mahathir bercakap mengenai pertahanan ke atas orang Islam. “Dalam Quran disebut orang Islam mesti mempunyai kebolehan mempertahankan diri. Pada zaman nabi, senjata bermaksud tombak, pedang, panah; tapi pada zaman ini, kita memerlukan roket, bom, kereta kebal. Untuk itu, kita perlu ada pengetahuan dalam bidang sains, fizik, kimia, ilmu hisab. Tapi ini kita tidak belajar (seperti dituntut agama). Kita perlu ada ilmu (serta kemampuan dan cara untuk menghasilkan) senjata moden. Tanpa ilmu ini kita tidak dapat menunaikan fardu kifayah, mempertahankan agama dan umat Islam seperti disuruh al-Quran.

“Kebanyakan daripada ajaran agama Islam yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih tidak dijelaskan kepada orang Islam. Mereka lebih menumpukan kepada ibadat tertentu seperti fardu ain. (Manakala) fardu ain kalau kita lakukan, kita mendapat pahala, fardu kifayah berkehendakkan dalam satu masyarakat itu mesti ada orang yang membuat sesuatu yang penting untuk masyarakat itu. Tapi ini tidak ditekankan.” Pandangan Dr Mahathir ini terdapat dalam buku Jejak Seorang Pemimpin:

Sejarah Lisan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan Yayasan Kepimpinan Perdana dan Universiti Utara Malaysia. Buku setebal 184 halaman ini adalah hasil wawancara oleh Prof Dr Mustapa Kassim, Prof Dr Abdul Rahman Abdul Aziz dan Dr R. Sivaperegasam P. Rajanthiran meliputi pelbagai tajuk menarik: politik, kerajaan, ekonomi, kewangan, pendidikan, agama, Perlembagaan serta kisah-kisah peribadi Dr Mahathir.

Seterusnya, Dr Mahathir menegaskan: “Islam itu ad-deen, a way of life, cara hidup bukan a way of death. Way of life ini banyak, menyeluruh termasuk mencari rezeki, bekerja, mempunyai kecekapan dan macam-macam lagi. Bagi orang yang mengajar agama, dia hanya utamakan ibadat tertentu. Tapi Islam is a religion and a way of life bukan sembahyang sahaja, atau puasa dan ibadah haji sahaja. Bercucuk tanam, membuat baju, menenun kain, semua ini cara hidup. Justeru kita tidak boleh kata bahawa perkara ini adalah sekular. Kita tidak boleh kata (soal seperti) pentadbiran adalah kegiatan sekular. (Pandangan) ini salah dan mengikut cara barat, iaitu mengasingkan sekular dengan religion, church and state. Pada zaman dahulu, church secara langsung terlibat dengan pentadbiran sehingga menidakkan pemerintahan oleh raja. Oleh itu mereka terpaksa memisahkan pentadbir dan pentadbiran daripada gereja. Tapi dalam agama Islam, ini tidak boleh dipisahkan kerana pentadbiran dan mentadbir adalah sebahagian daripada way of life.”

Satu lagi bentuk tafsiran yang membawa masalah ialah kegagalan Pas memahami konsep keadilan Islam dalam usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Jelas Dr Mahathir: “Al-Quran menyeru kepada keadilan. Dalam lebih daripada 43 ayat, penekanan diberikan terhadap keadilan. Lebih 14 ayat menyatakan kita mesti menghindarkan ketidakadilan. Akan tetapi Pas tidak melihat pada bahagian ini (sebaliknya) mereka menumpukan semata-mata pada proses membuat penghakiman dan punishment, hukuman yang dikenakan kepada penjenayah. Jadi dalam al-Quran, yang ditekankan bukan proses, bukan hukum, tetapi keadilan. Kalau kita berpegang kepada keadilan, maka kita sedar bahawa agama Islam adalah satu agama yang cukup baik.”

-DR MASHITAH IBRAHIM/Sinar

No comments: