Wednesday 23 July 2014

Daulat Tuanku Sultan Perak!


PETANG Sabtu lepas, saya sekali lagi dijemput berbuka puasa di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Jika pada tahun lepas jemputan dibuat oleh Raja Muda Perak, tahun ini baginda sudah bergelar Sultan Perak, Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah.

Seperti biasa sebelum masuk ke dewan santapan untuk berbuka, kami - dalam kumpulan terdiri daripada orang media dan NGO yang terpilih, dititah menghadap baginda di dalam sebuah Bilik Mengadap serba merah, diberi jolokan Bilik Merah.

Tempat-tempat duduk telah ditetapkan dengan tanda nama masing-masing. Tuanku duduk di tengah-tengah bersebelahan dengan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Baginda bertanya khabar semua tetamunya. Sungguh berhemah baginda.

Kemudian kami semua berangkat ke Bilik Jamuan Negeri. Selepas berbuka dengan juadah ringan buah kurma, bubur lambuk, kuih Tokyo, cucur badak, karipap dan sirap cincau, kami bersolat maghrib berjemaah.

Ia diikuti dengan santapan makan malam - yang menunya nasi putih Basmathi, nasi beriani, ayam Vangge, kari ikan bawal, rendang Tok, sambal tumis, udang cili, ikan masin - yang cukup menyelerakan berserta pajeri nanas, acar buah, air asam dan sambal belacan serta minuman sirap cincau. Di meja santapan, masing-masing teruja dengan ayam Vangge dan perbincangan mengenainya bermula.

Tetamu kemudian bersolat isyak dan tarawih berjemaah bersama-sama Tuanku.

Suasana bersolat di dalam istana berusia 81 tahun itu, dibina pada tahun 1933 di tepi Sungai Perak, cukup syahdu sekali.

Tetamu kemudian dibawa ke dewan santapan sekali lagi untuk jamuan moreh berupa kuetiau goreng dan ketupat daun palas cicah serunding daging serta hirupan teh tarik.

Namun majlis belum selesai. Beberapa tetamu terpilih diminta sekali lagi tunggu dahulu dan diiring ke Bilik Merah sekali lagi.

Seketika menunggu, Tuanku pun masuk mengambil tempat. Kali ini baginda tidak diiringi oleh Raja Permaisuri Perak.

Tuanku Sultan memulakan cerita. Pemilihan Presiden Indonesia, "apa peluang Jokowi dan Prabowo?"

Maka, tetamu terpilih Tuanku itu pun mengulas, membuat pelbagai analisis, pendapat dan cadangan. Tan Sri Azman Mokhtar, orang kuat Khazanah turut memberi pelbagai perspektif dari segi politik dan kesan-kesan kepada ekonomi serta perniagaan serantau.

Tuanku mendengar dengan penuh analitikal dan kritikal. Pelbagai lagi pendapat yang dilontarkan secara naratif dan interpretatif.

Sebagai seorang yang cukup terpelajar - berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, baginda cukup tajam.

Soalan kemudian menjurus kepada satu lagi isu sensitif yang sedang berlegar dalam kalangan NGO Melayu sekarang iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Harmoni serta cadangan penghapusan Akta Hasutan 1948.

NGO Melayu yang turut di bilik itu iaitu Majlis Perundingan Melayu (MPM), yang sedang bersama-sama puluhan lagi NGO Melayu Islam membahaskan rang undang-undang 'berat sebelah' itu turut mengulas.

Dr. Hasan Mad selaku Setiausaha Agung MPM memberi pencerahan kepada Tuanku. Cadangan rang undang-undang itu yang disokong oleh Majlis Peguam - yang pada pandangan NGO Melayu Islam ialah ke arah untuk mengekang hak keistimewaan Melayu dibincangkan dengan mendalam.

Ada juga tetamu yang agak emosional semasa perbincangan. Namun Tuanku cukup tenang.

Seorang lagi berkata sebagai sultan yang baharu dilantik, Tuanku harus juga memberi tumpuan kepada isu pokok itu.

Sebaliknya Tuanku amat menitikberatkan agar Rukun Negara diterapkan di jiwa rakyat Malaysia.

Benar kekhuatiran baginda. Sudah jauh dari hati dan jiwa rakyat kepada ideologi kebangsaan Malaysia itu.

Rukun Negara diwujudkan setahun selepas tragedi berdarah perkelahian kaum 13 Mei 1969. Ia dijadikan satu ideologi kebangsaan, seperti Pancasila yang cukup dihormati di Indonesia sehingga kini.

Rakyat Malaysia sudah lupa kepada ikrar bahawa mereka sewajibnya menumpukan seluruh tenaga dan usaha untuk mencapai cita-cita nasional itu berdasarkan prinsip-prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Benar ingatan Tuanku itu. Rukun Negara harus dimartabatkan semula. Malangnya, kini tiang nasional itu sudah semakin melayu dan lesu. Asas-asas Perlembagaan juga harus diajar sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Ajar anak-anak kecil kita mengenai asas Perlembagaan dan di akhir tahun biar anak-anak itu sendiri melakonkan drama pementasan mengenai Rukun Negara dan Perlembagaan.

Biar semua ibu dan bapa menyaksikan pementasan anak-anak kecil itu. Biar semua kita menyelami erti pementasan itu, seperti mana pementasan oleh anak-anak sekolah rendah di Amerika Syarikat mengenai Declaration of Independence 9 Julai 1776 oleh Jeneral George Washington.

Wajibkan ia mulai sekarang.

Kami di dalam Bilik Merah itu tidak sedar jam sudah melepasi 1 pagi hari Ahad.

Tuanku akhirnya bertitah; "Masa sudah suntuk, anda semua perlu membuat perjalanan jauh. Terima kasih, satu perbincangan yang amat baik."

Daulat Tuanku!

-Oleh Zaini Hassan@Utusan

No comments: