Monday, 3 September 2012


Jangan biarkan mereka terlepas!
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

PAPARAN gambar seorang wanita dan seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta aksi memualkan sekumpulan remaja ketika demonstrasi Bersih pada 30 Ogos lalu yang dipaparkan oleh Mingguan Malaysia telah mendapat perhatian ramai.
Penulis sendiri menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempersoalkan apakah perbuatan biadab berkenaan akan dibiarkan begitu sahaja.
Mereka mahu kerajaan bertindak kerana perbuatan itu sudah benar-benar tidak boleh dimaafkan.
Apa yang paling membimbangkan banyak pihak ialah keberanian sekumpulan pemuda mengibarkan bendera merah putih yang menyerupai bendera Singapura dan Indonesia.
Mereka bertindak sedemikian bagi menolak Jalur Gemilang yang selama ini menjadi lambang kedaulatan dan maruah serta martabat rakyat dan negara ini.
Justeru persoalan yang bermain di fikiran kita ialah apakah perbuatan biadab dan melampaui batas ini akan dibiarkan begitu sahaja?
Penulis tidak berhasrat mewujudkan perasaan perkauman tetapi apa yang benar-benar kita terkilan ialah tindakan seorang wanita bertudung labuh yang hanya tersenyum melihat seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri.
Wanita berkenaan seolah-olah seronok kerana wajah pemimpin yang mungkin 'musuh politiknya' dilakukan sedemikian rupa!
Apakah itu dipanggil kebebasan? Apakah itu dinamakan demokrasi? Apakah itu dianggap cara untuk melakukan bantahan?
Penulis percaya tindakan biadab peserta-peserta demonstrasi 'Janji Bersih' berkenaan akan membangkitkan kemarahan seluruh rakyat negara ini yang cintakan kedamaian dan mempunyai nilai tata susila yang tinggi.
Tetapi soalnya apakah kemarahan boleh memastikan perbuatan biadab itu tidak berulang lagi?
Ketika inilah tumpuan diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk bertindak dan bukan sekadar mengeluh apatah lagi memberi amaran.
Keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan tidak harus biarkan berterusan.
Kita harus ingat ini bukanlah kali pertama rakyat negara ini dipaksa menyaksikan adegan memualkan oleh puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi.
Demokrasi apa yang hendak diperjuangkan kalau tingkah laku sendiri menunjukkan betapa rendahnya moral kelompok berkenaan.
Begitu juga apabila mereka mengibarkan bendera merah putih, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah menyambut kemerdekaan negara.
Mana mungkin ketika negara ini sedang meraikan kemerdekaan, kita membiarkan sekelompok manusia biadab mencemarinya dengan satu perbuatan yang dianggap sudah melampaui batas.
Jangan lupa suatu ketika dulu pihak berkuasa pernah mengambil tindakan terhadap sekelompok pemuda di Terengganu yang membakar Jalur Gemilang, tetapi perbuatan mengibarkan bendera merah putih kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang lebih biadab dan bahaya.
Ini bermakna sudah ada satu keberanian di kalangan sesetengah generasi muda untuk mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.
Perbuatan kelompok berkenaan tidak harus dibalas dengan hujah politik sahaja, mereka tidak harus dikategorikan sebagai golongan yang harus dipujuk untuk menyokong kerajaan sebaliknya, mereka adalah kelompok yang perlu diasingkan daripada masyarakat.
Kita sama sekali tidak boleh membiarkan kelompok ini berasa bangga dan gembira dengan perbuatan mereka, apatah lagi apabila ia tersebar luas di seluruh dunia melalui internet.
Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera bagi memburu golongan pemuda yang terlibat. Mereka ini perlu diberi pengajaran bahawa perbuatan mereka sudah melampaui tata susila rakyat Malaysia.
Selain itu, kita juga bertanya apakah komen pakatan pembangkang terhadap perbuatan-perbuatan biadab yang dilakukan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan.
Jika mereka tidak mendesak supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab, jelaslah perbuatan penunjuk perasaan berkenaan direstui oleh pembangkang.
Jangan lupa, Bersih adalah idea pembangkang dan sebelum ini pemimpin-pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan kononnya dalam usaha menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Oleh itu, mereka tidak harus lepas tangan apabila ada penunjuk-penunjuk perasaan yang menyokong Bersih melakukan perbuatan kurang ajar seperti mana di dalam gambar-gambar yang disiarkan di surat khabar dan internet.
Apa pun, tumpuan lebih diberikan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas kelompok manusia yang dianggap masih berjiwa penjajah dan dianggap tidak berjiwa patriotik itu.
Kalau mereka berjiwa patriotik dan mempunyai tata susila yang tinggi sudah pasti mereka tidak akan mengibarkan bendera Merah Putih, tidak akan memijak gambar pemimpin negara dan melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai.
Melalui perbuatan biadab yang berlaku sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas, memang benar yang terlibat hanya kelompok kecil tetapi kita tidak harus membiarkan seinci pun bumi Malaysia ini 'dihuni' oleh kelompok tidak bertamadun tersebut.
Justeru ketegasan pihak berkuasa amat dinanti-nantikan oleh ramai pihak kerana majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan tindakan berdasarkan amaran semata-mata.
Apa yang rakyat ingin lihat ialah kelompok bertanggungjawab dikenakan tindakan setegas-tegasnya.
Kita tidak boleh membiarkan kelompok ini dilihat memperkotak-katikkan undang-undang dan berani melakukan tindakan kerana merasakan ada pihak yang akan tampil membela mereka atas nama hak asasi manusia.
Apa yang mereka lakukan bukannya soal hak asasi apatah lagi memperjuangkan kebenaran atau keadilan tetapi demonstrasi yang diadakan sebenar bertujuan untuk mencemarkan imej Malaysia di mata dunia, mencabar keberanian pihak berkuasa dan menghina kepimpinan negara.
Oleh itu apakah mereka harus dibiarkan begitu sahaja? Segala-galanya terserah kepada pihak berkuasa menentukannya tetapi apa yang pasti ingatlah kata-kata Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang pernah mengingatkan,"pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil".
Jadi, tidak salah kalau kita katakan itulah yang dilakukan oleh sekelompok manusia pada malam menyambut kemerdekaan baru-baru ini, apabila mereka mengibarkan bendera Merah Putih, memijak gambar pemimpin dan menunjukkan aksi lucah.
Percayalah jika ini dibiarkan, maka tidak mustahil mereka akan melakukan lebih banyak lagi tindakan yang memualkan. Jangan biar ini terjadi!

Kenyataan kontroversi Rhoma Irama
Dari Jakarta

SEKERAS mana sekalipun tembok keegoan seseorang lelaki itu, ada masanya, mereka juga tidak mampu untuk menahan air mata daripada jatuh.
Apa lagi bagi lelaki normal yang dikurniakan perasaan dan emosi, sekali hatinya terusik, tentu sekali air mata akan jatuh dari kelopak matanya.
Lalu, apabila seniman Rhoma Irama menangis di hadapan wartawan pada sidang akhbar baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama di Indonesia.
Air mata Rhoma menjadi bahan perbualan ramai sehinggakan sebilangan besar peminat setia Raja Dangdut Indonesia ini turut sama merasa pilu melihat artis pujaan mereka.
Reaksi Rhoma tempoh hari berlaku di luar kawalannya selepas kenyataan beliau disalah faham oleh banyak pihak.
Rhoma, yang kini seorang ahli politik kecewa kerana niat dan maksud sebenar beliau ketika menyampaikan ceramah dilihat dari sisi negatif.
Sebagai umat Islam, Rhoma memikul tanggungjawab mengingatkan mereka yang seagama dengannya mengenai kepentingan memilih seorang muslim sebagai pemimpin.
“Saya memetik sepotong ayat al-Quran yang menyebut bahawa orang yang beriman dilarang memilih orang kafir sebagai pemimpin. Apakah itu menjadi satu kesalahan," soal Rhoma mengenai salah faham musuh-musuh politiknya.
Kontroversi ini tercetus selepas beliau memberikan ceramah di Masjid Al Isra di Tanjung Duren, Jakarta pada hujung bulan lalu.
Beliau didakwa telah menggunakan isu agama, bangsa dan etnik sebagai modal kempen pilihan raya Gabenor Jakarta.
Dalam siri kempen membantu calon Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo itu, Rhoma menegaskan, jika seorang muslim memilih pemimpin yang bukan sesama Islam maka mereka akan menjadi musuh Allah.
Fauzi Bowo dan wakilnya, Nachrowi Ramli berhadapan dengan persaingan calon lain untuk kerusi Gabenor Jakarta iaitu Joko Widodo (Jokowi) - Basuki Tjahaja Purnama (Ahok).
Berbanding Fauzi, Nachrowi dan Joko, hanya Ahok seorang sahaja calon yang bukan beragama Islam.
Justeru, apabila Rhoma menyampaikan peringatan bahawa umat Islam harus memilih pemimpin yang merupakan seorang muslim beriman, hal ini mencetus rasa kurang senang di kalangan pihak yang tidak berpuas hati dengan mendakwa beliau mahu mencetus ketegangan kaum.
Rhoma tentu sekali mempunyai pandangan tersendiri dalam menangani isu ini.
Sebagai orang yang berpengetahuan luas dalam agama, tentu sekali beliau menghormati Jokowi dan Ahok dalam konteks berbangsa dan bernegara.
“Saya sayang mereka. Tapi tetap dalam konteks memilih pemimpin, saya harus menyampaikan perintah Allah. Saya juga mohon pengertian umat bukan Islam," tegas Rhoma meminta semua pihak jangan dengan mudah menuding jari ke arahnya.
Dalam konteks berbangsa dan bernegara, Islam tegas Rhoma, memerintahkan umat Islam supaya menghormati dan mencintai umat daripada agama lain.
Toleransi
Bahkan, dalam Islam sendiri diberi penekanan bagaimana memupuk toleransi terhadap pelbagai cabaran agama.
“Namun, untuk urusan memilih pemimpin, harus dipilih yang seagama. Sekali lagi, saya katakan ini bukan isu agama, bangsa atau etnik.
“Misalnya saya katakan Jokowi itu Jawa dan agamanya Islam. Lalu Fauzi itu Betawi dan Nara juga Betawi, agamanya Islam. Sedangkan Ahok sukunya Cina dan agamanya Kristian. Rakyat harus tahu siapa calon mereka," katanya lagi.
Raja Dangdut tersohor itu juga mempertahankan pendiriannya bahawa menyampaikan ayat kitab suci di rumah ibadat termasuk di masjid bukan suatu kesalahan.
“Bahkan semua agama juga akan menerima kenyataan ayat kitab suci di rumah ibadat," jelas Rhoma.
Majoriti umat Islam tentu sekali akan bersetuju dengan mesej ceramah yang disampaikan oleh Rhoma.
Tidak kurang juga, ramai yang yakin bahawa air mata merupakan perlambangan kejujuran seseorang kerana ia bahasa kalbu.
Dan air mata kekesalannya ekoran salah faham mereka yang tidak mengenali Islam diyakini tertumpah kerana kejujurannya.
Barangkali juga, Rhoma tidak begitu berasa tertekan terhadap mereka yang salah faham mengenai mesej ceramah beliau.
Namun, yang sangat-sangat digusarkan beliau pada ketika ini ialah rasa kasihan kepada golongan yang keliru itu kerana terpaksa memikul dosa akibat melarang beliau menyampaikan maksud ayat-ayat al-Quran.
Atas rasa sedih yang terlalu mendalam itu, Rhoma mempertahankan prinsipnya bahawa sebagai penceramah agama, dia sekadar menyampaikan mesej yang jelas dan terang supaya masyarakat faham.
Persoalan yang turut mengundang perdebatan dalam konteks kontroversi Rhoma ini, apakah menjadi kesalahan apabila umat Islam kini berkongsi ilmu agama mengenai umat seagama?
Apakah dalam keterbukaan manusia era masa kini yang dengan mudah menerima kemasukan budaya asing pada masa sama menyekat suara-suara ulama atau mereka yang bijak pandai dalam hal ehwal Islam bercakap mengenai agama?
Tentu sekali persoalan-persoalan ini membuatkan Rhoma bimbang apa akan jadi pada umat Islam seandainya hukum syariat tidak dipanjangkan kepada mereka yang jahil mengenai agama.
Justeru, beliau sendiri menolak untuk meminta maaf kepada pasangan Jokowi-Ahok seperti yang disarankan sesetengah pihak kerana yakin berada di kedudukan yang benar.
"Saya tidak perlu meminta maaf kepada kelompok Jokowi-Ahok kerana saya tidak berbuat salah. Tiada soal perdamaian juga kerana kami tidak pernah bermusuh," kata Rhoma lagi.
Mungkin juga kontroversi ini menjadi debat yang panjang kerana mesej ceramah itu disampaikan oleh Rhoma Irama - satu nama yang sangat sinonim dengan perkembangan muzik dangdut Indonesia.
Tetapi, apa salahnya kalau orang seperti Rhoma yang sudah mendalami ilmu agama selama bertahun-tahun bercakap mengenai kebenaran?
Inilah masalahnya apabila agama diheret dalam kancah perdebatan politik.
Agama itu adalah suatu urusan yang sangat suci yang tidak perlu dicemari dengan pandangan-pandangan bersifat individualistik.
Sumber: Utusan 

Janji Allah     
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
 
SURAH ini dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.
Firman Allah SWT: Demi malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. (al-Mursalat: 1-4)
Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:
* Yang diutuskan untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.
* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.
* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.
* Para Malaikat yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.
Abu Hurairah berkata: "Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."
Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai. Faariqaat dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."
Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran kepada mereka.
Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaat itu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."
Firman Allah SWT: Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi. (al-Mursalat: 5-7)
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."
Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.
Firman Allah SWT: Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat: 8-9).
Al-Maraghi berkata: "Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan terbelah."
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."
Sayid Qutub berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit dipecahkan."
Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu. (al-Mursalat: 10)
Al-Maraghi berkata: "Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan kesannya."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada bekasnya."
Firman Allah SWT: Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)
Al-Maraghi berkata: "Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."
Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.
Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan waktunya."
Sayid Qutub berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."
Marilah sama-sama kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.
Sumber: Utusan 

Monday, 27 August 2012

Doa dalam kehidupan Muslim

Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al-Idrus
 
  
Lambat atau cepat permohonan dimakbul suatu ujian yang perlu dihadapi

Pada suatu hari, ada orang melihat Abu Abbas al-Mursi sedang dalam keadaan sakit. Orang itu mendoakan supaya Abu Abbas al-Mursi diberi kesejahteraan oleh Allah SWT, akan tetapi Abu Abbas berkata: “Adakah kamu mengira bahawa aku tidak memohon kepada Allah untuk kesejahteraanku? Sesungguhnya aku telah meminta ke sejahteraan kepada-Nya. Sebagai pengetahuanmu, pen deritaanku ini pun termasuk dalam maksud kesejahteraan.”
Abu Abbas al-Mursi kembali berkata: “Untuk kamu ketahui, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq juga memohon kesejahteraan daripada Allah SWT, akan tetapi beliau mati terkena racun. Umar bin Khattab juga memohon kesejahteraan daripada Allah SWT, akan tetapi beliau mati terbunuh. Usman bin Affan juga memohon ke sejahteraan daripada Allah SWT, ternyata beliau mati terbunuh. Begitu juga dengan Ali bin Abi Talib, ia juga memohon kesejahteraan kepada Allah SWT, beliau juga mati terbunuh.”
"Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan permohonanmu itu"
Justeru, apabila seseorang itu memohon kesejahteraan daripada Allah SWT, maka berdoa dan mohonlah ke sejahteraan menurut apa dikehendaki Allah SWT kerana yang demikian itu paling baik bagi diri seseorang, wa laupun keadaannya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsunya.

Sebagai makhluk atau hamba Allah yang sentiasa dalam serba kekurangan dan kelemahan, sudah tentu kita ber hajat kepada bantuan orang lain yang lebih kaya serta berkuasa daripada kita. Jadi, siapakah yang dapat mem beri pertolongan kepada kita dalam erti kata sebenar nya?

Jawapannya, sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya Allah SWT semata-mata yang benar-benar dapat menolong dan membantu hamba-Nya yang sentiasa me merlukan bantuan.

Oleh itu, kita janganlah sekali-kali berdoa atau me mohon sesuatu pertolongan selain daripada Allah SWT kerana perbuatan sedemikian akan meletakkan diri kita dalam kepompong orang yang melakukan perbuatan syirik yang amat dibenci lagi dikutuk oleh Allah SWT.
Doa adalah suatu ibadah yang besar ertinya dalam kehidupan setiap Muslim, di mana ia mendatangkan manfaat dan faedah untuk dunia mahupun akhirat, menolak atau menghindar dari segala bencana yang sudah atau belum berlaku.

Sabda Rasulullah SAW: “Berdoa itu memberi manfaat terhadap sesuatu yang telah berlaku dan dari apa yang belum berlaku, maka lazimlah kamu dengan berdoa wahai hamba-hamba Allah.” (Riwayat al-Hakim)

Setiap orang dianjurkan untuk berdoa, tetapi tidak semua doa itu akan dikabulkan oleh Allah SWT. Ada yang cepat dikabulkan dan ada pula lambat. Jika lambatnya doa itu dikabulkan oleh Allah SWT, janganlah hendaknya berputus asa.

Firman Allah SWT: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan permohonanmu itu.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Jika Allah SWT tidak mengabulkan permohonan ham ba-Nya itu bukanlah bererti Allah SWT menolak, tetapi berkemungkinan ada kemudaratan terkandung dalam nya yang mencelakakan hamba-Nya, justeru itu peno lakan juga bererti pemberian.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa lagi Maha Mendengar. Tiada suatu kuasa selain Dia yang dapat mendatangkan kebaikan atau manfaat kepada manusia. Oleh itu, Islam mewajibkan umatnya menjuruskan per mohonan, permintaan dan doa hanya kepada Allah SWT.

Memohon sesuatu selain daripada Allah SWT adalah perbuatan yang boleh merosakkan akidah. Tiada satu doa pun yang menjadi tunggak segala ibadah tidak didengar oleh Allah SWT. Namun, doa akan dimakbulkan apabila seseorang itu mentaati suruhan dan menjauhi larangan Allah SWT.

Perlanggaran perintah Allah SWT akan mengakibatkan sesuatu doa itu menjadi sia-sia dan ditolak. Mudah- mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang diperkenankan doa oleh Allah SWT.
 
sumber: Berita Harian                              
 

Ganjaran suka membantu sesama Muslim

Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, “Apabila Nabi SAW didatangi kepadanya oleh orang yang me merlukan pertolongan, Baginda menghadap kepada sa habat-sahabatnya yang sedang duduk bersamanya lalu bersabda: Bantulah dia nescaya kamu akan mendapat pahala, dan Allah akan menyempurnakan atas lidah nabinya yang disukai (dalam riwayat lain apa yang di kehendakinya).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Orang Islam mestilah memberi sokongan kepada orang Islam lain dalam perkara kebajikan kerana Allah SWT menjanjikan pahala yang besar kepada orang Islam yang suka menolong orang dalam kesusahan. Umat Islam juga perlu yakin, segala permintaan (doa) Nabi SAW diterima oleh Allah SWT. Oleh itu, memberi sokongan pada perkara kebajikan adalah digalakkan dan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT sama ada dengan sokongan hajat orang itu diterima atau sebaliknya.

  Begitu juga kewajipan umat Islam menolong saudaranya yang dizalimi kerana kita hendaklah menahan dan mencegah saudara seagama daripada melakukan ke zaliman. Menghalang saudara melakukan kezaliman ber erti kita telah menyelamatkan daripada dosa dan azab.

Islam ialah agama yang menentang kezaliman dalam apa bentuk sekalipun sama ada berpunca daripada orang Islam atau bukan Islam.

Daripada Anas katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi. Berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim? Jawab baginda: Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya.” (Riwayat Bukhari)

Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
 
sumber: Berita Harian

Thursday, 23 August 2012

Keluarga ilmuwan


PADA zaman Abbasiah, iaitu semasa pemerintahan Khalifah al-Ma'mun, keluarga Musa bin Shakir sangat terkenal kerana penguasaan mereka dalam bidang matematik, khususnya geometri. Malah mereka juga menguasai dalam bidang astronomi serta falsafah.

Musa bin Syakir merupakan seorang ilmuwan terbilang kerana kejayaan yang dicapai turut dikongsi bersama ketiga-tiga anaknya, Abu Jaafar Muhammad, Ahmad dan Hassan.

Pada zaman Abassiah, rakyatnya suka belajar dan menimba ilmu. Mereka memanfaatkan sepenuhnya kekayaan yang dimiliki untuk membeli buku yang diperoleh dari Rom. Malah mereka juga mengupah penulis untuk menghasilkan pelbagai buku dan ada di antara penulis yang memperoleh gaji sehingga 500 dinar.

Antara kejayaan Musa dan anak-anaknya ialah dengan melakar dan mencipta puluhan air pancuran (air pancut) yang digunakan untuk menghiasi istana khalifah sehingga membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang lumayan.

Salah seorang anaknya, Abu Jaafar Muhammad amat tersohor kerana memiliki ilmu astronomi, kejuruteraan dan mantik.

Mantik ialah ilmu yang digunakan dalam ilmu kalam atau ilmu falsafah. Kepakaran seorang lagi anaknya, Ahmad yang menguasai ilmu mekanik, sementara Hasan pula pakar dalam bidang kejuruteraan dan mekanikal.

Mereka telah menghasilkan beberapa kitab, iaitu Kitab al-Hiyal yang mengandungi pelbagai gambar mengenai tabung, paip dan air pancuran sebagai memenuhi keperluan ketika itu.

Hasil rekaan tabung mereka banyak digunakan di masjid, rumah dan tempat berhimpun sebagai bekas minuman, berwuduk, menyimpan dan memindahkan air.

Kemampuan mereka juga menyerlah apabila berjaya menghasilkan pancutan air berbentuk bunga teratai dan air yang memancut keluar seperti bentuk perisai.

Malah, anaknya juga menghasilkan buyung air yang dibawa oleh kanak-kanak dan diberikan juga kepada mereka yang mahu berwuduk.

Paling unik, rekaan mereka berasaskan teknologi tekanan udara dan proses naik turun air dari buyung. Selain itu juga mereka turut mencipta pelita yang boleh menaikkan sumbu dan menuang minyak dengan sendiri hinggakan apabila orang melihatnya akan menyangka api tidak memakan sumbu itu walaupun pada hakikatnya ia berlaku secara automatik. Malah, mereka juga turut mencipta alat menimbang emas.

Semua hasil rekaan mereka telah diabadikan dalam Kitab al-Qarsatun yang bererti timbangan dan Kitab Wasfil Alat yang bermaksud penjelasan yang boleh mengeluarkan bunyi.

Karya mereka juga telah diakui oleh ilmuwan Barat kerana beliau dan anak-anaknya telah membuat sumbangan yang besar pada zaman kegemilangan Islam.

Ilmuwan Barat juga telah menterjemahkan karya mereka, meneliti dan melakukan penambahan.
Musa juga telah menyatakan kewujudan satu tarikan bernama graviti yang menyebabkan planet di langit terikat antara satu dengan yang lain dan juga jasad jatuh ke bumi. Teori ini yang telah dikaitkan dengan nama ahli fizik Barat, Isaac Newton (1642-1727 Masihi).

Musa bin Shakir dengan gelaran Banu Musa telah dilahirkan pada 805 Hijrah di Baghdad dan meninggal dunia pada 873 Hijrah.

sumber: Utusan

Ibadah Syawal


BULAN Ramadan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki bulan Syawal. Saya sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilalui sepanjang di bulan Ramadan. Apakah amalan-amalan ibadah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini?

Pertama-tama, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di tanah air. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadan. Kita meminta kepada Allah semoga mempertemukan kita kembali dengan Ramadan pada tahun-tahun hadapan.

Bulan Syawal memang masa untuk kita bergembira. Namun begitu, jarang yang menyedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan.

Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.

Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan pertanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT.

Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif: "Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."

Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadan.

Yang pertama ialah puasa sunat enam hari. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian ia melanjutkannya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olahnya dia telah berpuasa setahun penuh. (riwayat Muslim)

Itu kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.

Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.

Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.

Selain itu, melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"

Baginda menjawab: "Orang yang segera berangkat setelah tiba. Yakni orang yang membaca al-Quran dari awal hingga ke akhir. Apabila ia tiba di akhirnya, ia memulai bacaan kembali dari awalnya."

Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga.

Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain.

Namun sesiapa yang tidak lagi membaca al-Quran apabila Syawal menjelang, maka biasanya orang ini tidak akan berjumpa lagi dengan al-Quran hingga ke bulan Ramadan di tahun hadapan.

l UMAR MUHAMMAD NOOR sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM).

sumber :Utusan

Saturday, 18 August 2012

Hentikan kesengsaraan umat Islam Rohingya

Seorang wanita dan budak perempuan melintasi runtuhan rumah di Sittwe, ibu negeri Rakhine di barat Myanmar selepas berlaku pertempuran berdarah antara etnik Rohingya dengan Rakhine. - AP
 
BAYANGKAN di kala takbir Syawal sedang bergema di seluruh dunia, menyambut kemenangan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan, umat Islam di Rohingya terus dihimpit, dikeji, dinafikan hak sebagai manusia, dizalimi, diseksa, dirogol dan dibunuh.

Itu sebabnya dalam isu ini, dengan jelas kita semua perlu bersuara dengan kuat dan lantang! Ya, tidak ada kompromi. Sudah sampai masanya kekejaman penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta-merta.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa dan dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Penulis amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan untuk meneruskan tekanan politik serta mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia bagi memainkan peranan yang lebih bermakna dan penting.

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengikuti satu persidangan yang dihadiri oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara ASEAN membincangkan isu 800,000 penduduk Rohingya di Burma. Dan yang lebih menyedihkan, penduduk Rohingya ini dianggap sebagai orang luar atau pendatang tanpa izin.

Bukankah sejarah telah membuktikan dengan jelas bahawa kaum Rohingya adalah kaum pribumi di wilayah Rakhine. Untuk makluman, umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Myanmar di negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.

Dalam hal ini ternyata sekali kerajaan Myanmar tidak mematuhi langsung protokol ASEAN Human Rights Body, yang dipersetujui negara itu pada 15 Disember 2008. Itu sebabnya umat Islam Rohingya masih terus menderita akibat pencabulan dan pembunuhan secara terang-terangan yang bakal mengancam kewujudan kaum Rohingya di negara itu sekiranya kekejaman ini terus dibiarkan.
Kita perlu tahu bahawa penghapusan etnik ini bukannya berlaku sejak setahun dua ini. Ia telah lama dilancarkan sejak 1982 lagi, iaitu kira-kira 30 tahun lalu! Dan kita masih lagi tidak dapat membantu umat Islam di Rohingya yang terus dibunuh dengan kejam oleh rejim tentera Myanmar.

Daripada laporan akhbar, pada tahun itu sahaja seramai 100,000 umat Islam disiksa dan dibunuh dengan kejam, seolah-olah nyawa mereka tidak ada nilainya. Dan kini difahamkan juga terdapat 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 berlindung di Thailand, 150,000 di Pakistan, dan 40,000 di Malaysia.

Sebahagian daripada mereka yang bernasib baik terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ramai juga di kalangan mereka yang menemui ajal di tengah samudera yang mengganas, iaitu akibat mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah negara tumpahnya darah menganggap mereka ini sebagai kaum pendatang, ada juga negara-negara yang mendakwa sebagai negara Islam juga tidak mahu para pendatang ini menjadi pelarian di tempat mereka.

Jika hendak disebutkan satu persatu kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya, ia terlalu banyak untuk dinyatakan. Bayangkanlah, jika pembunuhan boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya, maka kekejaman seperti pencabulan hak asasi, rogol, penyiksaan, tiada pengiktirafan sebagai rakyat adalah antara kekejaman yang dilakukan oleh pihak junta tentera Myanmar.
Masyarakat etnik Rohingya juga disiksa tanpa bicara dan terdapat kes yang mana berlakunya pemaksaan keluar daripada Islam dan dipaksa menganut Buddha.

Penulis yakin, Najib yang begitu prihatin dengan keadaan di Myanmar akan terus memberi tekanan dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu ini.

OIC merupakan organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keanggotaan OIC terdiri daripada 57 negara dari empat benua dengan penduduk melebihi 1.5 bilion.

OIC merupakan pertubuhan yang besar dan seharusnya dapat memainkan peranan yang lebih bermakna memastikan tidak ada lagi penganiayaan dan pembunuhan dilakukan terhadap umat Islam Rohingya.

OIC juga perlu mengeluarkan kenyataan secara kolektif menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta. Tiada kompromi dan usaha ini mesti dilakukan dengan secepat mungkin.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa masalah di Rohingya perlu ditangani segera.
Dan satu dunia bukan sahaja perlu mengutuk kerajaan Myanmar yang membiarkan masalah ini berterusan, namun perlu bertindak dengan lebih aktif.

Penjelasan Nasharudin

NASHARUDIN Mat Isa kelihatan ceria sejurus tiba dari Jeddah di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa
 Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

Sebaik tiba di tanah air dari Tanah Suci, Mekah semalam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa mengadakan sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada sidang akhbar itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang mempertikaikan kehadiran beliau di Mekah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang menggesa Pas mengkaji semula kedudukan dalam pakatan pembangkang jika DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud. Berikut kenyataan penuh beliau:

Laporan media cetak dan elektronik pada 14 dan 15 Ogos 2012 dan beberapa ulasan daripada pelbagai pihak sehubungan dengan kenyataan saya di Mekah al-Mukaramah adalah dirujuk.

- Hudud

Saya kekal dengan pandangan saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti-Islam.

Sebagai seorang peguam yang lama, dia tahu apa itu substantive law dan apa itu procedural law. Pelaksanaan hudud memerlukan kepada standard of proof yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan, ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke taraf beyond any shadow of doubt iaitu tahap pembuktian yang maksimum, sebelum boleh ia dilaksanakan, tetapi dia menolak semua itu hanya kerana ia adalah undang-undang Islam.

Berapa kali sudah dia mengungkapkan bahawa pelaksanaan sistem perundangan Islam is over my dead body menunjukkan dia sanggup mati untuk pertahankan pendiriannya, maka saya juga sanggup melakukan apa saja at whatever cost untuk pertahankan agama saya. Terpulanglah kepada mana pihak yang mungkin kerana percaturan politik akan mendiamkan diri seperti syaitan-syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan, insya-Allah saya tidak akan biarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menghina agama saya.

Pas harus lebih tegas menyatakan pendiriannya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada Pas adalah kerana perjuangannya untuk menegakkan syariah Allah SWT namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh ini, masih ramai yang tertunggu apa sikap Pas terhadap Karpal Singh.

Adakah tahaluf siyasi yang sedang diamalkan oleh Pas turut membolehkan kesepakatan dengan mereka yang menolak dan memerangi Islam. Harapan saya adalah apabila penjelasan dibuat oleh pimpinan tertinggi Pas kepada masyarakat umum, maka akan terjawablah kekaburan yang ada pada masyarakat umum. Pemimpin Pas mungkin sudah faham, ahli Pas juga mungkin sudah mengerti tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang hanya dengan undi daripada ahlinya sahaja.

- Isu pertemuan di Mekah

Kepada mereka yang membuat andaian, tuduhan dan suu’ dzan (bersangka buruk), nasihat saya adalah ittaqillah, ittaqillah, ittaqillah (bertakwalah) dan beristghfarlah khasnya pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal. Berbaik sangkalah sesama Muslim. Hampir sebulan sepanjang Ramadan ini, doa qunut yang dibacakan di hadapan Kaabah ketika solat witir, menyeru kepada merapatkan saf dan menyatupadukan orang Islam. Imam solat saban malam memohon dengan doa Ya Allah satukanlah suara umat Islam.
Saya telah mengaturkan pertemuan di Mekah antara beberapa orang ulama di Mekah bersama dengan YAB Perdana Menteri bersempena dengan persidangan OIC. Saya dijemput ke Mekah dengan visa khas selepas YAB PM bersetuju untuk bertemu dengan ulama-ulama tersebut. Perbincangan telah diadakan di sebuah villa kenalan bersebelahan dengan Masjidil Haram. Yang dibincang antara lain adalah isu di Syria dan Rohingya. Para ulama tersebut menyebut tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia. Perbincangan juga menyentuh beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia. Mereka juga telah meninggalkan beberapa pesanan kepada PM seperti memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memelihara kesucian Islam.
Pertemuan itu sedikit pun tidak berbincang tentang Pas atau UMNO, sebab isu yang dibincangkan adalah jauh lebih besar daripada Pas atau UMNO. Kami berbincang tentang keadaan semasa ummah. Rasullullah menyebut, man lam yahtamma biamril muslimin falaisa minhum (Siapapun yang tidak menganggap penting urusan/perkara yang menimpa kaum muslim, maka dia bukan termasuk golongan mereka (muslim).

Adakah berbincang tentang ummah satu jenayah?

Tiba-tiba dikaitkan dengan saya akan masuk UMNO. Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk UMNO, cuma saya menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya seiman termasuklah pemimpin dan ahli UMNO, dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara saya seinsan. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan maslahat ummah.


sumber: Utusan

Wednesday, 15 August 2012

Pemain remaja negara sertai kelab Itali



PEMAIN bola sepak remaja Malaysia, Sean Gan Giannelli (gambar) akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo di Tusca- ny mulai 20 Ogos ini.

Sean, 15, akan menyertai skuad bawah 17 tahun (B-17) Atletico Arrezo selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab itu baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan berlatih serta mewakili skuad B-17 SSBJ.

Bapanya, Massimo berkata, beliau berbangga dengan pencapaian Sean memandangkan anak lelakinya itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani ujian percubaan pada Jun lalu.

"Dia (Sean) anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah.

"Daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya," kata Massimo.

Katanya, kepantasan dan tek- nik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu, Abel Balbo yang juga bekas pemain skuad kebangsaan Argentina.

Balbao yang pernah beraksi bersama legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, menyumbat 150 gol dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.



sumber: Kosmo