Monday 3 September 2012


Kenyataan kontroversi Rhoma Irama
Dari Jakarta

SEKERAS mana sekalipun tembok keegoan seseorang lelaki itu, ada masanya, mereka juga tidak mampu untuk menahan air mata daripada jatuh.
Apa lagi bagi lelaki normal yang dikurniakan perasaan dan emosi, sekali hatinya terusik, tentu sekali air mata akan jatuh dari kelopak matanya.
Lalu, apabila seniman Rhoma Irama menangis di hadapan wartawan pada sidang akhbar baru-baru ini, ia menjadi tajuk berita utama di Indonesia.
Air mata Rhoma menjadi bahan perbualan ramai sehinggakan sebilangan besar peminat setia Raja Dangdut Indonesia ini turut sama merasa pilu melihat artis pujaan mereka.
Reaksi Rhoma tempoh hari berlaku di luar kawalannya selepas kenyataan beliau disalah faham oleh banyak pihak.
Rhoma, yang kini seorang ahli politik kecewa kerana niat dan maksud sebenar beliau ketika menyampaikan ceramah dilihat dari sisi negatif.
Sebagai umat Islam, Rhoma memikul tanggungjawab mengingatkan mereka yang seagama dengannya mengenai kepentingan memilih seorang muslim sebagai pemimpin.
“Saya memetik sepotong ayat al-Quran yang menyebut bahawa orang yang beriman dilarang memilih orang kafir sebagai pemimpin. Apakah itu menjadi satu kesalahan," soal Rhoma mengenai salah faham musuh-musuh politiknya.
Kontroversi ini tercetus selepas beliau memberikan ceramah di Masjid Al Isra di Tanjung Duren, Jakarta pada hujung bulan lalu.
Beliau didakwa telah menggunakan isu agama, bangsa dan etnik sebagai modal kempen pilihan raya Gabenor Jakarta.
Dalam siri kempen membantu calon Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo itu, Rhoma menegaskan, jika seorang muslim memilih pemimpin yang bukan sesama Islam maka mereka akan menjadi musuh Allah.
Fauzi Bowo dan wakilnya, Nachrowi Ramli berhadapan dengan persaingan calon lain untuk kerusi Gabenor Jakarta iaitu Joko Widodo (Jokowi) - Basuki Tjahaja Purnama (Ahok).
Berbanding Fauzi, Nachrowi dan Joko, hanya Ahok seorang sahaja calon yang bukan beragama Islam.
Justeru, apabila Rhoma menyampaikan peringatan bahawa umat Islam harus memilih pemimpin yang merupakan seorang muslim beriman, hal ini mencetus rasa kurang senang di kalangan pihak yang tidak berpuas hati dengan mendakwa beliau mahu mencetus ketegangan kaum.
Rhoma tentu sekali mempunyai pandangan tersendiri dalam menangani isu ini.
Sebagai orang yang berpengetahuan luas dalam agama, tentu sekali beliau menghormati Jokowi dan Ahok dalam konteks berbangsa dan bernegara.
“Saya sayang mereka. Tapi tetap dalam konteks memilih pemimpin, saya harus menyampaikan perintah Allah. Saya juga mohon pengertian umat bukan Islam," tegas Rhoma meminta semua pihak jangan dengan mudah menuding jari ke arahnya.
Dalam konteks berbangsa dan bernegara, Islam tegas Rhoma, memerintahkan umat Islam supaya menghormati dan mencintai umat daripada agama lain.
Toleransi
Bahkan, dalam Islam sendiri diberi penekanan bagaimana memupuk toleransi terhadap pelbagai cabaran agama.
“Namun, untuk urusan memilih pemimpin, harus dipilih yang seagama. Sekali lagi, saya katakan ini bukan isu agama, bangsa atau etnik.
“Misalnya saya katakan Jokowi itu Jawa dan agamanya Islam. Lalu Fauzi itu Betawi dan Nara juga Betawi, agamanya Islam. Sedangkan Ahok sukunya Cina dan agamanya Kristian. Rakyat harus tahu siapa calon mereka," katanya lagi.
Raja Dangdut tersohor itu juga mempertahankan pendiriannya bahawa menyampaikan ayat kitab suci di rumah ibadat termasuk di masjid bukan suatu kesalahan.
“Bahkan semua agama juga akan menerima kenyataan ayat kitab suci di rumah ibadat," jelas Rhoma.
Majoriti umat Islam tentu sekali akan bersetuju dengan mesej ceramah yang disampaikan oleh Rhoma.
Tidak kurang juga, ramai yang yakin bahawa air mata merupakan perlambangan kejujuran seseorang kerana ia bahasa kalbu.
Dan air mata kekesalannya ekoran salah faham mereka yang tidak mengenali Islam diyakini tertumpah kerana kejujurannya.
Barangkali juga, Rhoma tidak begitu berasa tertekan terhadap mereka yang salah faham mengenai mesej ceramah beliau.
Namun, yang sangat-sangat digusarkan beliau pada ketika ini ialah rasa kasihan kepada golongan yang keliru itu kerana terpaksa memikul dosa akibat melarang beliau menyampaikan maksud ayat-ayat al-Quran.
Atas rasa sedih yang terlalu mendalam itu, Rhoma mempertahankan prinsipnya bahawa sebagai penceramah agama, dia sekadar menyampaikan mesej yang jelas dan terang supaya masyarakat faham.
Persoalan yang turut mengundang perdebatan dalam konteks kontroversi Rhoma ini, apakah menjadi kesalahan apabila umat Islam kini berkongsi ilmu agama mengenai umat seagama?
Apakah dalam keterbukaan manusia era masa kini yang dengan mudah menerima kemasukan budaya asing pada masa sama menyekat suara-suara ulama atau mereka yang bijak pandai dalam hal ehwal Islam bercakap mengenai agama?
Tentu sekali persoalan-persoalan ini membuatkan Rhoma bimbang apa akan jadi pada umat Islam seandainya hukum syariat tidak dipanjangkan kepada mereka yang jahil mengenai agama.
Justeru, beliau sendiri menolak untuk meminta maaf kepada pasangan Jokowi-Ahok seperti yang disarankan sesetengah pihak kerana yakin berada di kedudukan yang benar.
"Saya tidak perlu meminta maaf kepada kelompok Jokowi-Ahok kerana saya tidak berbuat salah. Tiada soal perdamaian juga kerana kami tidak pernah bermusuh," kata Rhoma lagi.
Mungkin juga kontroversi ini menjadi debat yang panjang kerana mesej ceramah itu disampaikan oleh Rhoma Irama - satu nama yang sangat sinonim dengan perkembangan muzik dangdut Indonesia.
Tetapi, apa salahnya kalau orang seperti Rhoma yang sudah mendalami ilmu agama selama bertahun-tahun bercakap mengenai kebenaran?
Inilah masalahnya apabila agama diheret dalam kancah perdebatan politik.
Agama itu adalah suatu urusan yang sangat suci yang tidak perlu dicemari dengan pandangan-pandangan bersifat individualistik.
Sumber: Utusan 

No comments: