Saturday 18 August 2012

Hentikan kesengsaraan umat Islam Rohingya

Seorang wanita dan budak perempuan melintasi runtuhan rumah di Sittwe, ibu negeri Rakhine di barat Myanmar selepas berlaku pertempuran berdarah antara etnik Rohingya dengan Rakhine. - AP
 
BAYANGKAN di kala takbir Syawal sedang bergema di seluruh dunia, menyambut kemenangan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan, umat Islam di Rohingya terus dihimpit, dikeji, dinafikan hak sebagai manusia, dizalimi, diseksa, dirogol dan dibunuh.

Itu sebabnya dalam isu ini, dengan jelas kita semua perlu bersuara dengan kuat dan lantang! Ya, tidak ada kompromi. Sudah sampai masanya kekejaman penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar perlu diberhentikan serta-merta.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan di mahkamah antarabangsa dan dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Penulis amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan untuk meneruskan tekanan politik serta mendapatkan penglibatan pertubuhan hak asasi manusia bagi memainkan peranan yang lebih bermakna dan penting.

Baru-baru ini penulis berkesempatan mengikuti satu persidangan yang dihadiri oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara ASEAN membincangkan isu 800,000 penduduk Rohingya di Burma. Dan yang lebih menyedihkan, penduduk Rohingya ini dianggap sebagai orang luar atau pendatang tanpa izin.

Bukankah sejarah telah membuktikan dengan jelas bahawa kaum Rohingya adalah kaum pribumi di wilayah Rakhine. Untuk makluman, umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Myanmar di negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.

Dalam hal ini ternyata sekali kerajaan Myanmar tidak mematuhi langsung protokol ASEAN Human Rights Body, yang dipersetujui negara itu pada 15 Disember 2008. Itu sebabnya umat Islam Rohingya masih terus menderita akibat pencabulan dan pembunuhan secara terang-terangan yang bakal mengancam kewujudan kaum Rohingya di negara itu sekiranya kekejaman ini terus dibiarkan.
Kita perlu tahu bahawa penghapusan etnik ini bukannya berlaku sejak setahun dua ini. Ia telah lama dilancarkan sejak 1982 lagi, iaitu kira-kira 30 tahun lalu! Dan kita masih lagi tidak dapat membantu umat Islam di Rohingya yang terus dibunuh dengan kejam oleh rejim tentera Myanmar.

Daripada laporan akhbar, pada tahun itu sahaja seramai 100,000 umat Islam disiksa dan dibunuh dengan kejam, seolah-olah nyawa mereka tidak ada nilainya. Dan kini difahamkan juga terdapat 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 berlindung di Thailand, 150,000 di Pakistan, dan 40,000 di Malaysia.

Sebahagian daripada mereka yang bernasib baik terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ramai juga di kalangan mereka yang menemui ajal di tengah samudera yang mengganas, iaitu akibat mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah negara tumpahnya darah menganggap mereka ini sebagai kaum pendatang, ada juga negara-negara yang mendakwa sebagai negara Islam juga tidak mahu para pendatang ini menjadi pelarian di tempat mereka.

Jika hendak disebutkan satu persatu kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya, ia terlalu banyak untuk dinyatakan. Bayangkanlah, jika pembunuhan boleh berlaku dengan sewenang-wenangnya, maka kekejaman seperti pencabulan hak asasi, rogol, penyiksaan, tiada pengiktirafan sebagai rakyat adalah antara kekejaman yang dilakukan oleh pihak junta tentera Myanmar.
Masyarakat etnik Rohingya juga disiksa tanpa bicara dan terdapat kes yang mana berlakunya pemaksaan keluar daripada Islam dan dipaksa menganut Buddha.

Penulis yakin, Najib yang begitu prihatin dengan keadaan di Myanmar akan terus memberi tekanan dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu ini.

OIC merupakan organisasi antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keanggotaan OIC terdiri daripada 57 negara dari empat benua dengan penduduk melebihi 1.5 bilion.

OIC merupakan pertubuhan yang besar dan seharusnya dapat memainkan peranan yang lebih bermakna memastikan tidak ada lagi penganiayaan dan pembunuhan dilakukan terhadap umat Islam Rohingya.

OIC juga perlu mengeluarkan kenyataan secara kolektif menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Perkara 35 untuk campur tangan dengan serta-merta. Tiada kompromi dan usaha ini mesti dilakukan dengan secepat mungkin.

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa masalah di Rohingya perlu ditangani segera.
Dan satu dunia bukan sahaja perlu mengutuk kerajaan Myanmar yang membiarkan masalah ini berterusan, namun perlu bertindak dengan lebih aktif.

No comments: