Friday 16 December 2016

16 bantu ibu obes bersalin


Beijing: Seorang wanita yang berat kira-kira 140 kilogram berjaya melahirkan anak selepas 16 kakitangan perubatan bekerjasama melakukan Caesarean terhadapnya.
Pembedahan selama dua jam itu dilakukan Selasa lalu di sebuah hospital di Changsa, selatan China, lapor Huiangqiu.com.
Wanita itu dikatakan hamil 39 minggu dan disahkan menghidap pelbagai penyakit, termasuk masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Kakitangan dari pelbagai jabatan di Hospital Rakyat Hunan, dikerah membantu proses berkenaan.
Nama dan usia wanita itu bagaimanapun tidak didedahkan dalam laporan itu.
Kerana masalah berat badan pesakit itu, doktor berkata, dia berdepan dengan cabaran anestesia memandangkan jarum biasa hanya sepanjang lapan sentimeter, tidak cukup panjang untuk menyuntik anestetik ke dalam tubuhnya.
Kakitangan lain terpaksa membantu menyokong wanita itu supaya doktor boleh menyuntik anesteik dari tulang belakangnya, bukan pada lehernya.
Laporan itu juga menyatakan, wanita terbabit berdepan masalah ‘apnea tidur,’ bermakna dia berdepan bahaya jika anestesia seluruh badan dilakukan.
Pembedahan dilakukan pada sebelah pagi dan berakhir dua jam kemudian.
Laporan itu tidak menyebut jantina bayi yang dilahirkan wanita itu atau menyatakan sama ada bayi berkenaan sihat atau tidak.
Laporan itu yang tular di media sosial mendapat pelbagai reaksi dengan ada pengguna menasihati wanita itu supaya menurunkan berat badannya bagi membolehkan dia cukup sihat untuk menjaga bayinya.

 - Agensi/Metro

No comments: