SEORANG bayi lelaki cukup sifat ditemukan dalam kawasan semak di belakang sebuah rumah kosong di Taman Perpaduan, Ipoh, Perak, semalam.
Bayi cukup sifat itu ditemukan dalam semak di belakang sebuah rumah kosong tanpa pakaian atau dibalut kain, kira-kira pukul 1 pagi.
Nur Amira Zulkifli, 21, berkata, dia sekeluarga mula terdengar bunyi tersebut pada pukul 11 malam, namun menyangka itu bunyi anak kucing mengiau di luar rumah.
Walau bagaimanapun kata­-
­­­nya, semasa menemani sua­mi­nya­, Muhammad Iskandar Johari, 21, makan di dapur, bunyi itu masih kedengaran dan mereka kemudiannya mengambil keputusan melihat sendiri dari arah mana datangnya bunyi tersebut.
“Saya dan suami membuka pintu dapur dan ketika itu bunyi tangisan tersebut semakin kuat dan jelas. Kami menggunakan lampu suluh dan terkejut apabila mendapati banyak tompokan darah di kaki lima.
“Lebih memeranjatkan apabila melihat seorang bayi tersembam dalam kawasan semak yang dipenuhi ranting dan duri di belakang rumah jiran yang sudah tidak berpenghuni,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suami­nya dan beberapa jiran segera mengeluarkan bayi tersebut dengan berhati-hati dari kawasan semak itu dan mendapati mukanya dipenuhi calar manakala badannya pula sejuk dan sudah bertukar biru.
Katanya, bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu segera dibawa masuk ke dalam rumah untuk dibersihkan sebelum laporan polis dibuat.
“Sehingga sekarang saya masih menggigil dan terkejut. Saya tidak sangka langsung ia adalah tangisan bayi. Oleh kerana panik, kami hanya memberinya minum air mineral yang dibasahkan menggunakan hujung tuala. Bayi itu sangat comel dan kelihatan sihat. Sebelum pulang ke Kuantan, Pahang saya mahu melihatnya di hospital, namun tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, bayi lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan kini di bawah pemantauan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, usaha mengesan individu yang membuang bayi itu giat dilakukan dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.