Wednesday 23 November 2016

'Bini tak sayang aku...'



Kuantan: “Biar aku mati, ada bini (isteri) pun tak sayangkan aku lagi,” jerit seorang lelaki yang cuba membunuh diri dari bumbung sebuah inap desa di Jalan Alor Akar, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki berusia lingkungan 30-an dilihat duduk di atas bumbung premis berkenaan dan beberapa kali mengugut untuk terjun.
Tindakannya menarik perhatian orang ramai di kawasan perumahan terbabit, malah ada yang cuba memujuknya untuk turun sebelum mendapatkan bantuan pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 3.11 petang dan melihat lelaki berkenaan dalam keadaan tidak berbaju duduk di bahagian tepi bumbung inap desa itu.
Katanya, pihaknya cuba memujuk lelaki berkenaan untuk turun namun tidak dihiraukan sebaliknya berulang kali berkata mahu mati dan terjun dari bumbung.
“Kita merapatkan jentera di tepi rumah untuk keselamatan dan bagi memudahkan anggota kita menghampirinya namun lelaki berkenaan menghalang kita mendekatinya dan mengancam untuk terjun.
“Kita menggunakan khidmat anggota wanita dalam usaha memujuk lelaki berkenaan kerana dia kelihatan sedikit agresif apabila anggota lelaki mendekatinya. Selepas lebih setengah jam, lelaki itu akhirnya termakan pujukan dan mula turun ke arah jentera kami,” katanya.
Menurutnya, selepas turun dari bumbung itu, lelaki berkenaan menuju ke bahagian hadapan jentera sambil berkata sesuatu kepada orang ramai sebelum terjun dari kenderaan itu namun anggota polis dengan pantas menyambutnya.
Kamerul Bieza berkata, lelaki berkenaan bertindak demikian dipercayai kerana tertekan dengan masalah keluarga dihadapinya.
“Kita menyerahkan lelaki berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut dan hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan lalu lintas sesak berikutan orang ramai memperlahankan kenderaan masing-masing dan tidak kurang juga mengerumuni kawasan berkenaan bagi melihat ‘adegan’ itu.

-Metro

No comments: