Tuesday 17 December 2013

Gani Patail sedia beri surat kuasa kepada Rafizi periksa akaun bank


Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sedia memberi surat kuasa kepada Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli untuk memeriksa akaun bank di mana-mana negara, kononnya beliau menerima wang sogokan berkaitan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Dalam kenyataan empat perenggan di sini hari ini, Abdul Gani berkata surat kuasa atau autoriti itu akan diberikan jika Rafizi mahu memeriksa akaun bank di mana-mana negara, termasuk di Hong Kong, kononnya berjuta-juta dolar dimasukkan ke atas nama beliau sebagai wang sogokan berkaitan kes itu yang didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Beliau turut menjemput Rafizi, yang juga Pengarah Strategik PKR, ke pejabatnya pada bila-bila masa bagi mendapatkan surat kuasa jika mahu memeriksa akaun bank atau mana-mana institusi kewangan di mana-mana negara. "Saya juga menafikan dengan keras dakwaan yang disebarkan ke atas saya sejak sebulan yang lalu, dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas semua yang terbabit menyebarkan dakwaan tidak berasas sama sekali ke atas saya," tegas beliau. Hari ini The Malaysian Insider melaporkan Rafizi sebagai berkata PKR akan meminta kerjasama pihak berkuasa Hong Kong untuk menyiasat dakwaan salah laku Abdul Gani yang didedahkan oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim baru-baru ini. Pada 26 November Mat Zain dilaporkan mendakwa wujudnya sogokan wang yang menyebabkan kekalahan Malaysia dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih pada 2007. Pendedahan itu dilakukan dalam bentuk akuan bersumpah setebal 31 muka surat yang antara lain mendakwa salah laku Abdul Gani ketika mengendalikan kes itu. – Bernama, 16 Disember, 2013. -The Malaysian Insider

No comments: