Friday 6 December 2013

Mengembara untuk beli kambing


Penghidap barah limfoma, Wang Xinmin, sanggup mengembara beribu-ribu kilometer untuk membeli kambing berkaki dua di daerah Zhoukou, wilayah Henan, China, baru-baru ini. - AGENSI BEIJING 5 Dis. - Seorang pesakit kanser dari wilayah Anhui di China, sanggup mengembara beribu-ribu kilometer ke wilayah Henan semata-mata kerana mahu membeli seekor kambing berkaki dua yang dipaparkan sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini. Wang Xinmin, penghidap barah limfoma dari daerah Fuyang membuat keputusan untuk membeli haiwan dari daerah Zhoukou itu selepas dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh kambing tersebut untuk terus hidup walaupun cacat. Xinmin, 31, membayar sebanyak 4,500 yuan (RM2,343) kepada pemilik kambing itu yang mampu berjalan sendiri selepas dilahirkan hanya dengan dua kaki di bahagian belakangnya. "Bila saya melihat laporan tentang kambing itu, saya rasa, saya mempunyai tanggungjawab untuk melindunginya kerana haiwan itu menunjukkan semangat yang bersungguh-sungguh untuk terus hidup. "Saya mahu membesarkan kambing itu kerana semangatnya yang kuat merupakan 'penawar' terbaik kepada saya,'' kata anak sulung daripada lima beradik itu yang kini mempunyai sebuah syarikat yang diusahakan bersama seorang rakannya. Menurut petani yang memelihara kambing itu, Zhao Jinfeng, haiwan tersebut dilahirkan pada Ogos lalu dan mempunyai empat beradik. Namun katanya, tiga daripada anak kambing itu dilahirkan dalam keadaan sempurna dan sihat. Katanya lagi, sebulan sejurus dilahirkan, kambing yang mempunyai dua kaki itu mula belajar untuk berjalan sendiri dengan dua kaki belakangnya. Menurut doktor haiwan, kecacatan yang dialami kambing itu adalah disebabkan oleh faktor mutasi genetik. - AGENSI/Utusan

No comments: