Tuesday 24 December 2013

Bukan kembar biasa


OLIVER dan Harry Machin bukan hanya sekadar saudara kembar, malah mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain. Manakan tidak, tatkala kanak-kanak lain mengejek Harry kerana memiliki wajah tidak sempurna, Oliver sebagai abang akan bertindak melindungi adik kembarnya itu. Bahkan, dia tidak berasa malu dan menyifatkan kecacatan Harry sebagai anugerah istimewa dari Tuhan. Bagaimanapun, keadaan berbeza buat ibu mereka, Charlene Machin yang hanya dapat menerima kenyataan mengenai kecacatan Harry selepas anaknya itu menginjak usia dua tahun. Wanita yang berasal dari Stoke-on-Trent, Staffordshire, England itu mengakui dia berasa takut serta hampa pada mulanya apabila mengetahui Harry dilahirkan dengan kecacatan teruk di muka. Mengimbau kembali memori ketika melahirkan pasangan kembar tersebut tujuh tahun lalu, Charlene berkata, tidak seperti kebanyakan ibu lain yang gembira ketika menimang cahaya mata, dia sebaliknya berasa sedih saat pertama melihat anaknya itu. Menurutnya, bahagian kiri wajah Harry seakan-akan 'terpadam' kerana dia tidak memiliki mata, telinga dan separuh daripada bahagian hidungnya hilang. "Saya berasa terkejut selepas melihat Harry tidak mempunyai separuh daripada mukanya. "Apabila saya memegangnya, saya hanya mampu melemparkan senyuman tetapi jauh di sudut hati, saya tidak menaruh apa-apa perasaan," katanya menerusi portal berita Daily Mail. Keadaan tersebut membuatkan Charlene berasa terpukul dan sering kali menyalahkan diri sendiri dengan keadaan yang menimpa cahaya matanya itu. Caesarian "Selama beberapa bulan, saya menyembunyikan anak saya daripada orang ramai kerana tidak mahu dia diejek. "Saya berasa sedih kerana Harry tidak boleh menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak seusia dengannya," kata Charlene yang melahirkan pasangan kembar itu menerusi pembedahan caesarian. Menurut Charlene, dia terpaksa menjalani pembedahan tersebut selepas air ketubannya bocor tatkala kehamilan baru mencecah tujuh bulan. Tambahan pula, posisi salah seorang anak kembarnya pada ketika itu berada dalam kedudukan songsang. "Saya sering mengalami sakit pada bahagian pelvik dan doktor memaklumkan bahawa saya mungkin menghidap kehamilan ektopik iaitu kehamilan di luar rahim. "Keadaan kesihatan saya yang tenat memerlukan saya dimasukkan ke hospital segera kerana dikhuatiri kehamilan itu boleh meragut nyawa serta bayi dalam kandungan," jelasnya. MESKIPUN cacat, Harry (kanan) tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Nasib menyebelahi Charlene apabila dia selamat melahirkan sepasang bayi kembar lelaki dengan masing-masing seberat kira-kira 1.62 kilogram. Bagaimanapun, Harry terpaksa dipindahkan ke Hospital Hope di Salford, Manchester untuk pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan itu mendapati Harry tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, bahkan organ lain seperti buah pinggang, jantung serta tulang belakang berfungsi dengan baik. Charlene memberitahu, setakat ini, anak lelakinya itu telah menjalani tiga pembedahan bagi merawat wajahnya. Malahan pada bulan Julai tahun lalu, Harry telah menjalani pembedahan selama 10 jam di di Hospital Kanak-kanak Alder Hey, Liverpool untuk memperbetulkan kedudukan otak, tengkorak serta bahagian mukanya. "Harry juga dijangka menjalani pembedahan pemasangan kelopak mata dan mata prostetik pada hujung tahun ini," ujar Charlene. Kini, ketika kedua-duanya anak sudah membesar, ibu muda berumur 33 tahun itu sudah boleh menerima hakikat dan mampu mengatasi rasa takut untuk membantu Harry menghadapi dunia luar. Charlene juga kini tidak berasa malu berkongsi cerita dengan orang ramai, malah dia mahu mereka memahami situasi seorang ibu apabila berhadapan dengan kecacatan anak selain menjadikan kisahnya sebagai teladan. "Saya tidak mahu lagi menyembunyikan anak saya dan mahu menghadapi keadaan dengan tabah kerana Harry akan memerlukan bantuan saya apabila sudah dewasa. "Jika Oliver yang masih kecil boleh mempertahankan adik kembarnya, mengapa saya sebagai ibunya tidak mampu berbuat demikian juga," ujarnya. -Kosmo

No comments: