Friday 13 December 2013

Wanita pakai purdah enggan hadir ke mahkamah


PARIS 12 Dis. - Seorang wanita beragama Islam di sini semalam, membuat keputusan untuk tidak menghadiri prosiding sebutan kes hari pertama selepas dia didakwa atas kesalahan memakai purdah pada Julai lalu. Cassandra Berlin, 20, enggan menghadiri prosiding tersebut kerana dia tidak mahu dilihat sebagai 'simbol keislaman melampau'. Berlin ditahan polis di Trappes bersama suaminya, Michael Khiri, selepas dia dikesan memakai purdah. Dia turut didakwa menghina anggota polis yang menahannya apabila dia menyuruh mereka diam, namun menafikan tuduhan mengeluarkan kenyataan 'Allah SWT akan menghukum anda'. Suaminya pula dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama tiga bulan kerana cuba menghalang Berlin daripada ditahan polis. Kes penahanannya mencetuskan tunjuk perasaan oleh penduduk tempatan, terutamanya di Trappes yang menentang undang-undang larangan pemakaian purdah yang dikuat kuasakan pada 2011. Sehubungan itu, peguam bela Berlin, Philippe Bataille mencabar Perlembagaan Perancis untuk menggugurkan undang-undang tersebut yang dianggap menindas penduduk Islam. "Larangan itu bersifat diskriminasi, tidak mematuhi Perlembagaan dan menentang prinsip Republik Perancis," katanya kepada sebuah mahkamah di Versailles, di barat bandar raya ini. Kumpulan ahli politik konservatif mendakwa enam juta penduduk Islam di Perancis kini cuba mengubah norma asal di negara ini. - AGENSI/Utusan

No comments: