SYDNEY - AUSTRALIA. Tidak semua yang kita harapkan menjadi kenyataan, begitulah nasib seorang lelaki yang pernah bergelar jutawan suatu ketika dahulu.
David Glasheen, 73, berasal Sydney North Shore, Australia terpaksa akur dengan kehidupannya sekarang selepas muflis sekali gus kekayaanya hilang dalam sekelip mata.
Akibat terlalu kecewa dan tertekan, lelaki ini mengambil keputusan tinggal berseorangan di sebuah pulau terpencil di Restoration Island sejak 20 tahun lalu bagi menghabiskan sisa hidupnya.  
Glasheen berkata, dengan kemudahan asas terbatas seperti tiada bekalan air dan elektrik di tambah dengan terdedah kepada serangan haiwan liar dia berasa hidupnya kini lebih bahagia dan jauh beza dengan kehidupannya sebelum ini.
“Saya dapat kebenaran menyewa pulau ini bagi tempoh 50 tahun dan membuat keputusan untuk terus menetap di pulau ini walaupun serba-serbi kekurangan,” katanya.
Bagi menampung keperluan hariannya di pulau itu, dia mengambil upah sebagai pemandu pelancong di sekitar pulau tersebut.  
“Saya dapat upah tak banyak tetapi cukup menampung kehidupan harian di pulau ini,” katanya.
Menyingkap kisah hidupnya, pada 1987, dia dikatakan kehilangan AS10 juta akibat krisis kewangan dunia ketika itu.
Sususlan kejadian itu, dia diisytiharkan muflis oleh pihak bank dan kekecewaan itu bertambah parah apabila dia ditinggalkan isterinya.

-Sinar